Friday, 27 March 2020 0 comments By: Naemah

COVID-19: BERJARAK SOSIAL DEMI MENJAGA

Genap seminggu, hari ini suamiku pulang ke pangkuan keIuarga (untuk seketika). Tapi kali ini lain, situasi dan suasana pertemuan. Agak syahdu..


Petang tadi baru aku khabarkan pada anak-anak yang abi mereka akan balik hari ni. Siap pesan berulangkali, kali ni tak boleh peluk dan cium abi. Tak boleh sentuh dan dekat-dekat dengan abi. Dan beritahu sebabnya sekali. Mereka seakan faham semuanya. 


Suamiku sampai di rumah hampir jam 9 malam, ketika anak-anak sedang bersedia untuk tidur. Sengaja aku diamkan dari pengetahuan anak-anak yang abi mereka dah sampai. Buat pertama kali aku tak mahu mereka dipertemukan. Walau semalam, Miqdad sudah banyak kali bertanya bila abi akan balik. Maafkan ummi. Selepas semuanya tidur barulah aku keluar mencari suamiku. Dia di luar rumah, membersihkan diri dan semua barangan yang dibawa balik. Tak terus masuk ke rumah.


Malam ini walaupun bertemu, tetapi kami perlu berjarak. Dia di bilik lain, aku dan anak-anak di bilik lain. Senyum dalam kepahitan. Tak sangka sampai begini. Tapi inilah yang terbaik. Kerana dia sendiri tidak tahu apa yang ‘dibawa balik’. Perlu begitu, demi melindungi keluarga. Dalam hati terus berdoa, semoga suamiku terlindung, dan keluarga kami ini juga terpelihara dari wabak yang menakutkan itu. 


Esok, anak-anak akan ‘bertemu’ abi. Entah bagaimana reaksi. Allah, ini cubaan. Anak-anak terhalang dari mendapat sentuhan abi hingga suatu tempoh yang diyakini selamat. Tapi, abi pulang ini juga tak lama. Mungkin sehari saja. Akan kerja lagi, akan berdepan situasi seperti ini lagi. Sehingga covid-19 tak lagi menjadi hal yang menghantui kita semua.


Sesungguhnya aku cemburu. Stay at home, tak bermakna untuk pekerjaan suamiku. Jika sebelum ini kami kerap berpisah, sekarang juga situasi tak berubah. Tapi dulu pertemuan paling dinanti, dapat salam peluk cium anak-anak, terubat segala rindu. Tapi sekarang, perlu lupakan dulu semua itu. 


Namun aku percaya pada hikmah yang Allah sediakan untuk mereka yang redha, sabar dan bersangka baik padaNya. Dalam ujian yang berat ini, pasti ada bersamanya kebaikan yang akan terlihat nanti. 


Untuk anda yang dapat stay at home dengan semua ahli keluarga, hargailah masa bersama. Bukan senang nak dapat, dan inilah antara hikmah di sebalik ujian ini. Bila nanti situasi kembali pulih, mungkin saat bersama seluruh ahli keluarga inilah yang akan dirindui :)


Untuk kami sekeluarga. Aku tetap bersyukur. Suamiku pergi dan masih kembali. Anak-anak setiap masa bersama. Kediaman kami selesa, makan minum kami cukup, dan yang penting kami sihat. Semoga akan terus sihat. Insya Allah 


Untuk suatu tempoh, suamiku perlu kuarantinkan dirinya demi langkah berjaga-jaga. Anak-anak perlu kami fahamkan bahawa abi tak boleh ‘dekat’ dengan mereka untuk sementara waktu. Ya, sementara waktu saja, insya Allah. 


Semoga covid-19 akan berakhir. Tiada lagi yang dijangkiti. Tiada lagi yang kesakitan. Tiada lagi yang menangis kerana kehilangan. Dan frontliners semua akan dapat menarik nafas lega, bersyukur dan berehat dengan penuh ketenangan. Ummat manusia kembali ke kehidupan normal, bekerja, bersekolah, bermain, berkawan, dll. 



Aameen ya Allah





Suami tercinta 

Siap sucikan diri kat bawah terus ke bilik ‘pengasingan’. Sempat berbual sekejap sebelum dia berehat. Dah penat kerja dan travel. Ya Allah, betul, pertemuan kali ini sangat lain! Pasti ada hikmahnya kan? 


Terima kasih suamiku, ku tahu kau juga keluar kerana berjuang.


:,)

Thursday, 26 March 2020 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 260320




Masuk hari ke-9 Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh Malaysia. Nampaknya tempoh PKP dilanjutkan lagi sehingga 14 April 2020 (sebelum ini 18/3-31/3). Maknanya, 2 minggu tambahan lagi anak-anak perlu stay di rumah dan tak bersekolah. Dahsyat penangan covid-19 ini. Ya, masih belum reda kes ini, malahan makin bertambah.


Hari ini sudah 9 hari Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri berkurung di rumah. Menjalani hari yang tak banyak beza, setiap hari. Hari ini juga adalah hari ke-6 abi di Kerteh, Terengganu. Bekerja seperti biasa. Tiada makna PKP pada abi, sama juga seperti sesetengah yang lain yang khidmatnya masih diperlukan walaupun di musim wabak ini. Tak apalah, kita doakan untuk abi dan untuk semua. 


Pagi ini seperti biasa Suri yang pertama bangun, kejutkan ummi. Kemudian Miqdad, Anas dan Mussaab. Selesai mandi dan solat, ke bawah, sarapan dan menonton video sekejap. Kemudian naik ke atas, main di beranda. Main macam-macam, lego, hide and seek, ipad, dll. Riuh rendah sudah tentu. Kadang baik, kadang tegang, itupun biasa. Suri bermain sendiri di lantai. 


Sehingga jam 9, ummi tidurkan Suri. Tapi sekejap saja tidurnya. Anas di bawah, menonton video, Mussaab dan Miqdad turun dan naik, bosan dah tak tau nak buat apa. Jam 10 ummi turun bersama Suri. Letak Suri di bAwah dan mula memasak. Tak lama juga, Suri dah menangis. Semua naik ke atas semula. Anas buat latih tubi math, Mussaab buat latihan dari Google classroom bersama Miqdad, dan Suri bebas bergerak di lantai beranda. Dah siap semua, turun semula ke bawah. Ummi selesaikan kerja memasak.


Jam 12, makan tengahari bersama. Semua sekali di meja makan termasuk Suri yang tak mahu duduk sorang. Menangis saja, dah mengantuk agaknya. Makan pun tak nak. Dah selesai makan, naik semua ke atas. Siap angkut mainan dari bawah untuk main di atas. Dah tak tahu nak angkut apa lagi dah ,:) ummi mandikan dan tidurkan Suri. Anas, Mussaab dan Miqdad main bersama di beranda. 


Selepas zohor, ummi rehat di bilik. Suri pun dah bangun . Anas, Mussaab dan Miqdad masih leka dengan aktiviti masing-masing. Terima whatsapp dari abi yang baru selesai kerja. Masih di laut. Tapi ada berita yang buat ummi tak sedap hati. Tak apalah, tenang saja. Allah Maha Kuasa. Jam 3.30’ semua turun ke bawah. Makan roti canai, santai di meja makan dan main game di ipad. Jam 4 naik atas semula. Main lagi, sambil ummi melipat kain. Anas juga. Kemudian solat asar, dan main lagi. Lepas mandi turun ke bawah. Suri lelap sekejap. Kemudian turun ke bawah juga bersama ummi. Sertai abang-abang yang sedang menonton tv. Ummi masak nasi goreng untuk makan malam. Lepas masak, makan dan kemas rumah. Naik ke atas, main lagi.


Sementara menunggu masuk waktu Maghrib, baca al-Quran dan iqra’. Lepas solat Maghrib, Anas, Mussaab dan Miqdad ke beranda dan sambung main LEGO dan melukis. Ummi tidurkan Suri. Menunggu sehingga masuk waktu Isyak. Ummi sebak malam ini bila Miqdad asyik bertanyakan abi, kata ‘nak Abi’, ‘rindu abi’.. sebak sangat. Di musim begini, ia beri perasaan yang luar biasa. Balik nanti pun, mungkin abi perlu kuarantinkan diri dulu. Di luar bertemu banyak orang, di tempat kerja, dan perjalanan balik, semuanya berisiko. Ummi harap anak-anak akan faham dan akan sama-sama mendoakan abi. Saban malam ummi minta berdoa, doa khusus  untuk abi di musim wabak ini. Allah.. lindungi abi dari covid-19.


Selepas solat isyak, bersedia untuk tidur semua. Ummi temankan Anas dan Mussaab sekejap, kemudian temankan Miqdad hingga lena. Sudah nyenyak semuanya. Alhamdulillah.


Ummi turun ke bawah, menyambung tugasan yang belum selesai. Kalau ikutkan nak rehat saja, tapi ada yang perlu di bereskan sebelum masuk tidur. 


Lenalah semua. Mimpi yang indah. Moga esok dan akan datang, akan baik-baik semuanya. 


Ya Allah, lindungi dan pelihara keluarga kami ini. Rindu pada abi :,

Tuesday, 24 March 2020 0 comments By: Naemah

COVID-19: SEMINGGU PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN


Genap sudah seminggu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Alhamdulillah, dalam tempoh ini aku dan anak-anak patuh menurut perintah. 7 hari kami, hanya di rumah semata.


Suamiku pula, hari ini masuk hari ke-4 dia di Terengganu. Masih belum tahu, bila akan balik. Sepanjang tempoh PKP ini, selagi khidmatnya diperlukan, selagi itu dia menurut perintah. Ya, suamiku tak menyertai frontliners yang sedang bertungkus lumus menyelamatkan dan melindungi negara dan rakyat, tapi dari sudut yang lain, suamiku juga sedang berjuang untuk negara tercinta.


Covid-19 masih belum menunjukkan tanda mahu reda. Kes meningkat saban hari. Kematian juga bertambah. Bukan hanya di Malaysia, malahan seluruh dunia. Hanya beberapa negara yang terkecuali.


Bimbang dan gusar, sudah tentu. Hanya yang mampu dilakukan sekarang, ikut arahan kerajaan untuk ‘stay at home’, di samping berdoa agar Allah melindungi setiap masa. Aku, anak-anak, suami dan keluarga tercinta. Tak lupa buat semuanya, moga tragedi covid-19 ini akan berakhir. 



Aku percaya, jika semua dengan rela hati menurut perintah untuk duduk di rumah dalam tempoh yang telah ditetapkan, virus ini akan sendirinya akan berhenti merebak. Tapi itulah, perlukan kerjasama SEMUA orang. Jangan ada yang degil. Benar, kita semua kena bersatu hati, berganding bahu, untuk hapuskan wabak ini.


Aku tahu tak semua mampu untuk duduk diam di rumah. Ada pelbagai kesukaran yang berbeza pada setiap orang, yang menjadikan arahan ‘stay at home’ itu satu kesusahan buat mereka. Namun bertahanlah dengan sabar. Inilah sekecil-kecil jihad kita dalam membantu menyelesaikan masalah yang rumit ini. Pasti Allah ganjari. 


Entah bila akan berakhir, tapi aku pasti ia akan berakhir. Sedih mendengar berita kematian, tangisan dan rayuan pemimpin dan petugas barisan depan, tapi tetap yakin dan percaya, tiap musibah dan ujian yang Allah turunkan sudah pasti terkandung hikmah yang sangat banyak.


Teruskan berdoa, moga Allah sentiasa melindungi dan semua ini akan berakhir. 


Insya Allah 



Stay at home; seadanya kita 



Hari pertama (18/3/20)




Hari kedua (19/3/20)



Hari ketiga (20/3/20)



Hari keempat (21/3/20)




Hari kelima (22/3/20)



Hari keenam (23/3/.20)




Hari ketujuh (24/3/20)




Sunday, 22 March 2020 0 comments By: Naemah

COVID-19: PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN



Perintah Kawalan Pergerakan
(18/3/20-31/3/20)

Hari ke-5 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tanah airku, Malaysia. Pertama kali dalam sejarah kehidupan ku di bumi ini, mendepani satu situasi yang boleh aku katakan sangat dahsyat. Virus Corona yang sedang menyerang dunia, benar-benar memberi kesan pada semua. 


Kami patuh pada arahan kerajaan untuk ‘stay at home’ demi untuk membantu pihak barisan hadapan yang sedang bertungkus lumus dalam menangani masalah ini.


Covid-19, semakin hari semakin bertambah mangsa yang dijangkiti virus. Angka kematian juga sudah sampai 10 orang. Semua negeri di Malaysia tak terkecuali satu pun. Ia merebak dengan sangat pantas.


Sepanjang tempoh PKP ini semua rakyat diarahkan untuk hanya berada di rumah, dan tidak kemana-mana kecuali atas keperluan. Hanya ketua keluarga yang dibenarkan keluar untuk membeli keperluan makanan atau ubatan. Semua kedai diarahkan tutup kecuali pasaraya dan kedai-kedai yang menjual keperluan harian. Sekolah ditutup, yang bekerja juga diarah bercuti, kecuali terlibat dalam sektor tertentu.


Hari ini hari kedua suamiku di Terengganu kerana bertugas. Dia juga termasuk yang perlu berkhidmat, meskipun di musim begini. Risau tu risau juga, bila keluar dah tentu akan banyak contact dengan orang luar. Namun hanya doa saja yang mampu, moga Allah menjaganya.


Dalam kerisauan pada suami sendiri, tak lepas rasa simpati pada frontliners yang bertungkus lumus bekerja untuk ‘menyelamatkan negara’ terutama para doktor dan petugas kesihatan. Ada yang dah berhari tak balik jumpa pasangan dan anak-anak, berdepan dengan risiko dijangkiti penyakit covid-19, penat dan sengasara rasanya mereka, dan keluarga Mereka. Moga Allah kurniakan pahala jihad buat mereka. 


Hari ini juga angkatan tenterĂ  dah mula campur tangan untuk memastikan PKP ini dipatuhi oleh semua. Harapnya tak ada lagilah yang sambil lewa mendengar arahan kerajaan. Tak ada lagilah yang ‘berkeliaran’ di sana sini tanpa tujuan. 


Ya Allah, selamatkan kami semua. Lindungi kami semua. Aku tahu virus ganas ini datang dariMu, dan Kau jua yang berupaya membawa ia pergi. Selamatkan negara ini ya Allah. Selamatkan dunia ini ya Allah. Ampuni segala dosa kami ya Allah. Akhirilah semua ini ya Allah. 


Kini seperti sedang dihantui mimpi ngeri.

Moga mampu bertenang.

Moga segalanya berakhir.



Stay at home-day 5








Wednesday, 18 March 2020 0 comments By: Naemah

COVID-19 DAN CUTI SEKOLAH



Cuti semester pertama persekolahan sudah pun bermula (14/3/20-22/3/20). Kami tak merancang sebarang percutian, sekadar plan balik kampung macam biasa. Tapi walaupun cuti sekolah seminggu, kami tak dapat balik lama juga sebab suamiku tak boleh cuti lama. Ada meeting, dan lepas tu perlu ke Kerteh untuk bertugas pula. 


Semalam (14/3/20) sebaik suamiku sampai dari Kerteh, dan mengambil sedikit masa untuk berehat, kami kemudian bertolak balik kampung jam 10 malam. Kereta agak banyak juga di sepanjang perjalanan, namun Alhamdulillah perjalanan lancar. Anak-anak tidur lena sehingga sampai ke destinasi. Suamiku berhenti dan tidur sebentar di Masjid Gua Musang, dan kemudian singgah solat subuh di Masjid Muhammadi Kota Bharu sebelum sampai ke rumah mak mertua di jalan Pantai Cahaya Bulan.


Di rumah nenek, anak-anak seronok bermain dengan sepupu mereka yang balik dari Sabah. Mereka balik pun tak lama. Sempatlah 2 hari main bersama-sama. Hari pertama ikut Pak cu dan Mak cu mereka ke pameran 3D di Muzium Negeri Kelantan, hari kedua abinya bawa ke Pantai Sri Nipah, main pantai dan makan-makan. 


Seperti yang kita semua maklum, wabak covid-19 sehingga kini masih menyerang dunia. Kes meningkat setiap hari. Banyak negara dah kuatkuasakan perintah berkurung. Malaysia tak terkecuali, dengan kes yang meningkat saban hari, tak mustahil jika satu masa berdepan dengan situasi yang sama (perintah berkurung) untuk mengawal wabak ini dari terus merebak.


Kami sekeluarga juga tak terlepas dari rasa risau dan mengambil langkah berjaga-jaga seperti tidak mengunjungi tempat yang menjadi tumpuan orang ramai, dan sentiasa bawa bersama hand sanitizer untuk kegunaan keluarga. 


Cuti kali ini juga kami tak lama di kampung. Esok akan ke rumah ibuku di Jeli, dan lusa akan balik ke Semenyih. Anak-anak akan menghabiskan baki cuti sekolah di rumah pula. 


Alhamdulillah, Sekurang-kurangnya anak-anak dah dapat spend masa dengan sepupu mereka di kampung, walaupun tak lama. Dah banyak main, dan berseronok. Dan anak-anak juga faham, dalam situasi sekarang mereka perlu habiskan masa di rumah, tak boleh banyak berjalan dan mengunjungi tempat yang tak sepatutnya. 


Dalam situasi sekarang ini, moga kita semua boleh bertenang dan banyakkan berdoa, di samping mengambil langkah berjaga-jaga dan mengikut sarĂ nan para doktor dan pakar. Semua ini adalah petunjuk dan ujian dari Allah. Allah yang hadirkan wabak ini, dan Allah jua yang mampu menghilangkannya. Moga Allah melindungi kita dan ahli keluarga kita semuanya. 

Ameen


Kemaskini: terpaksa balik ke Semenyih lebih awal (17/3/20) selepas dikuatkuasakan perintah ‘kawalan pergerakan’ yang bermula 18/3/20 hingga 31/3/20. 



Di kampung bersama sepupu 

(Sebelum kawalan pergerakan)

Di Muzium lengang 

Di pantai juga tiada pengunjung lain

Ya, cuba mengelakkan diri dari tempat yang sesak untuk perlindungan diri.























Wednesday, 11 March 2020 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 110320


Masuk hari ke-4 abi di Kerteh. ‘Sangkut’ di laut lagi kali ni. Yang sepatutnya balik esok, tertunda ke tarikh yang belum pasti lagi. Harap-harap, sempat balik bercuti di kampung. Minggu depan dah start cuti sekolah selama 1 minggu. Sepupu di Sabah juga balik, tapi tak lama. Harapnya sempat berjumpa.


Hari ni hari persekolahan seperti biasa. Anas yang pertama bangun, siap mandi dan berpakaian sekolah, solat subuh dan bersarapan. Selalunya bangun hampir serentak semua, tapi hari ni entah kenapa adik-adik masih melayan lena. Ummi layan Anas makan dan tolong siapkan apa yang patut. Hampir jam 7 pagi, van datang ambil Anas seperti setiap harinya. Alhamdulillah selesai bab Anas.


Ummi naik ke atas dan kejutkan Mussaab pula. Kemudian Miqdad dan Suri juga bangun. Mandi dan bersiap semua. Layan Mussaab dan Miqdad breakfast pula. Suri baik je, layan diri sendiri di lantai :)


Tepat jam 8 pagi ummi hantar Mussaab ke sekolah. Ditemani Miqdad dan Suri. Terus balik semula ke rumah. Susukan Suri, dan suapkan Suri makan. Miqdad layan ipad sekejap. Lepas tu naik ke atas. Rehat-rehat dan teman Miqdad buat aktiviti di buku. Suri juga bermain sendiri. Sempat juga berwhatsapp dengan abi di laut, saling bertanya khabar. Juga ceritakan pasal potty train Miqdad yang hampir berjaya :) Alhamdulillah.

 

Jam 10.30, ummi tidurkan Suri. Kemudian turun ke bawah masakkan bubur Suri. Miqdad buat aktiviti di buku. Jam 11.20 keluar ke kedai runcit dan speedmart untuk membeli keperluan. Ambil Mussaab dan beli sebungkus nasi di luar. Ummi tak masak, nasi lemak pagi tadi masih ada. Di rumah, makan tengahari sama-sama. Sebelum tu suapkan dulu bubur Suri sebab Suri dah merengek lapar. Selesai di meja makan, semua naik ke atas. Main dan berbual sama sendiri, sementara tunggu masuk waktu zohor. Suri juga tak menangis, dibiar meniarap di lantai.


Selepas zohor ummi susukan Suri yang dah mula menangis mengantuk. Mussaab dan Miqdad bermain di luar. Ummi juga tidur bersama Suri sehingga jam 3 petang. Mussaab sedang menonton boboiboy, Miqdad main toys katanya. Ummi tunggu Suri bangun dan turun ke bawah bersama Suri. Suri duduk bersama Miqdad dan Suri. Sempat ummi basuh pinggan dan kemas apa yang patut. Lepas tu ambil angin di luar bersama Suri dan Miqdad. Mussaab masih menonton tv. Anas Sampai di rumah jam 4 petang. Remote tv bertukar tangan. Giliran Anas menonton pula. Mussaab ready untuk ke kelas taekwando.


Jam 4.30 hantar Mussaab ke tadika untuk kelas taekwando. Di rumah, Anas menonton tv, Miqdad buat aktiviti sendiri di buku. Suri di bilik bersama ummi. Jam 5.30 ambil Mussaab. Miqdad dah terlena di sofa. Anas solat asar, dan menonton tv lagi.


Jam 6.30 makan malam. Video call sekejap dgn abi yg berada di tengah laut. Tutup tv semua, kemas sikit, dan naik ke atas. Mandi dan solat Maghrib. Suasana riuh rendah seperti biasa. Bergurau,  bermain, tak duduk diam. Lepas Maghrib ummi tidurkan Suri. ‘Cuti’ mengaji malam ni. Anas siapkan homework, Mussaab dan Miqdad buat aktiviti dengan kertas. Dah tidur Suri, ummi cek homework Anas, solat isyak dan ready untuk tidur semua. 


Anas dan Mussaab lena di bilik mereka. Ummi temankan Miqdad-yang paling last tidur sebab tadi siang dah tidur. Hampir jam 10, lena juga Miqdad di samping Suri. Alhamdulillah :)


Semoga mimpi indah semua. Semoga esok menjanjikan yang lebih baik untuk anak-anak ummi. Semoga diberi kesihatan yang baik dan ceria menjalani kehidupan. Tak lupa, doa kita untuk abi yang jauh. Moga Allah jaga abi, dan pertemukan kita semua lagi. Insya Allah.


I love you all



Ummi tak sempat nak snap gambar untuk hari ni. Tampal gambar yang satu ni jelah sebagai ‘wakil’



Sebelum ke sekolah 





Friday, 6 March 2020 0 comments By: Naemah

IMPIAN DAN KENYATAAN




Berbicara tentang cita-cita, ummi (ketika kecil) tiada cita-cita spesifik ‘apa mahu jadi’ bila besar nanti. Tapi jika bercakap tentang impian, rasa-rasanya ummi sudah beroleh kehidupan yang ketika dulu ummi impikan. Masya Allah


Ummi yang suatu masa dulu hidup tak seperti kawan-kawan yang lain; dari kecil dah kehilangan ayah, tak ada adik beradik yang jadi teman bermain dan bergaduh-sebab jarak usia yang jauh dan masing-masing dah berkeluarga sejak ummi kecil. Namun ummi tetap syukuri pada kehidupan lepas kerana ada mek yang banyak berkorban dan menjaga diri ini sebaiknya, ada abang dan kakak yang sangat baik, bertanggungjawab dan terbaik dalam memainkan peranan masing-masing. Ummi tak nafikan..


Tapi mungkin kerana tak pernah merasa hidup dalam keluarga yang ‘lengkap’ seperti orang lain, ummi ber’impian’ untuk cipta ‘keluarga idaman’ sendiri. Entahlah sejak bila, tapi membayangkan diri berada di samping seorang suami yang penyayang, dan dikelilingi anak-anak yang ceria, alangkah terasa bahagianya hidup. Itulah impian yang tak pernah terluah pada sesiapa pun. Langsung terlupa apa ‘aku mahu jadi’, kerana banyak memikirkan ‘kehidupan yang bagaimana’ yang diimpikan pada masa depan.


Berlalu hari, bulan, dan tahun. Dan inilah kehidupan ummi hari ini. Abi dan anak-anak ummi, inilah jawapan kepada doa yang selama ini ummi pohonkan. Hadirnya kalian, seorang demi seorang dalam hidup ini, menjadikan seolah impian sudah menjadi nyata.

 

Walau pada hakikatnya kehidupan yang dilalui bukan indah belaka, tetapi ummi tetap bersyukur di atas ‘hadiah dan anugerah’ ini- abi dan anak-anak. 


Hidup dalam kehidupan yang diimpikan, bukanlah bererti bahagia setiap masa. Tetap ada ‘struggle’. Sering saja rasa kecewa dan gagal sebagai isteri dan ibu. Sering saja rasa hilang semangat dalam mendepani sukarnya kehidupan. Sering saja menangis sendu, rasa seperti realiti tak seindah mimpi.


Tapi tetap perlu bangkit. Tetap perlu teruskan kehidupan. Yakin bahawa apa yang telah Allah susunkan dalam hidup ini sudah sangat cantik. Lumrah bila sesekali berdepan dengan ujian dan pahit getir. Tetaplah bertahan, tetaplah bermohon pada pertolongan dan petunjuk Allah.


Ummi hari ini, sesungguhnya sangat bersyukur dikurnia kehidupan yang seperti ini. Syukur atas anugerah yang Allah kurniakan. Seolah Allah mengkabulkan setiap doa yang pernah dipohon dengan air mata satu ketika dulu.


Sememangnya hidup ini tak selalu menjanjikan indah. Namun semoga sentiasa ada pertolongan dari Allah pada setiap kali menempuh sukar. 


Terima kasih Tuhan atas kehidupan yang sangat baik ini. Bersyukur dan rasa cukup. Namun tetap perlu mencuba jadi yang lebih baik. Untuk suami, untuk anak-anak. Kerana masih terlalu banyak kurangnya diri. 


Semoga Allah sentiasa REDHA

 

Monday, 2 March 2020 0 comments By: Naemah

SRAI PEKAN BERANANG: SUKAN TAHUNAN




Tahun ini sukan tahunan SRAI Pekan Beranang diadakan pada 27/2/20 iaitu pada hari Khamis lepas. Pelajar menjalani latihan sukan 3 hari berturut sebelum hari sukan tersebut. Semua pelajar teribat, termasuk Anas :) setiap hari main sukan, muka pun semakin gelap dibakar mentari. 


Pada hari sukan tersebut, Anas ke sekolah dihantar abi (biasanya naik van). Siap breakfast dengan beberapa biji cekodok yang ummi goreng. Bila ditanya masuk pertandingan ke tak hari ni, dia pun confuse-tak tahu. Sebab semalam katanya main dapat no.2. Tak tahu hari ni main lagi ke tak. Takpelah, ummi just pesan sikit-sikit, kalau main nanti main betul-betul. Kalau tak ada rezeki nak menang, sabarlah. Usaha lagi tahun depan :)


Oh ya, ibubapa juga dialu-alukan untuk hadir ke sekolah dan memberi sokongan pada anak-anak. Ummi dan abi dapat ke sekolah selepas jam 10 pagi. Sebelum tu sibuk mengemas rumah dan keperluan untuk balik kampung. Sampai-sampai, acara dah pun tamat. Anas tengah makan di kantin. Abi belikan air milo untuk Anas dan Eiman (sepupu). Anas (dan ahli kumpulan) berjaya dapat no.2 dalam acara yang dimasuki. Alhamdulillah dapat medal lagi tahun ni :)


Ummi dan abi tak boleh nak menunggu lama juga. Tinggalkan dulu Anas hingga tamat acara dan majlis. Anas kemudian balik dihantar mak teh (mak saudara). Semua bersiap segera sebab nak balik kampung. Hampir jam 1 petang siap meninggalkan rumah.


Alhamdulillah tamat acara sukan tahunan  sekolah. Walaupun agak penat, ummi percaya Anas ‘enjoy’ melalui detik bersama kawan. Kalau boleh, ummi nak Anas lebih berusaha dan boleh ‘main’ lebih baik lagi di masa akan datang. Biar rasa seronok bersukan, sebab tugas kita bukan duduk dalam kelas belajar dan menulis saja kan?


Kalah menang, adat pertandingan. Namun semoga ‘sukan’ itu memberi kepuasan yang tersendiri buat Anas dan semua. Terkenang zaman sekolah ummi dulu. Ummi suka sukan :) best... sangat! 


Keputusan keseluruhan sukan tahunan SRAI Pekan Beranang tahun 2020:


Juara: rumah biru

Kedua: rumah kuning 

Ketiga: rumah hijau 

Keempat: rumah merah


Tahniah semua!!!