Friday 6 March 2020 By: Naemah

IMPIAN DAN KENYATAAN




Berbicara tentang cita-cita, ummi (ketika kecil) tiada cita-cita spesifik ‘apa mahu jadi’ bila besar nanti. Tapi jika bercakap tentang impian, rasa-rasanya ummi sudah beroleh kehidupan yang ketika dulu ummi impikan. Masya Allah


Ummi yang suatu masa dulu hidup tak seperti kawan-kawan yang lain; dari kecil dah kehilangan ayah, tak ada adik beradik yang jadi teman bermain dan bergaduh-sebab jarak usia yang jauh dan masing-masing dah berkeluarga sejak ummi kecil. Namun ummi tetap syukuri pada kehidupan lepas kerana ada mek yang banyak berkorban dan menjaga diri ini sebaiknya, ada abang dan kakak yang sangat baik, bertanggungjawab dan terbaik dalam memainkan peranan masing-masing. Ummi tak nafikan..


Tapi mungkin kerana tak pernah merasa hidup dalam keluarga yang ‘lengkap’ seperti orang lain, ummi ber’impian’ untuk cipta ‘keluarga idaman’ sendiri. Entahlah sejak bila, tapi membayangkan diri berada di samping seorang suami yang penyayang, dan dikelilingi anak-anak yang ceria, alangkah terasa bahagianya hidup. Itulah impian yang tak pernah terluah pada sesiapa pun. Langsung terlupa apa ‘aku mahu jadi’, kerana banyak memikirkan ‘kehidupan yang bagaimana’ yang diimpikan pada masa depan.


Berlalu hari, bulan, dan tahun. Dan inilah kehidupan ummi hari ini. Abi dan anak-anak ummi, inilah jawapan kepada doa yang selama ini ummi pohonkan. Hadirnya kalian, seorang demi seorang dalam hidup ini, menjadikan seolah impian sudah menjadi nyata.

 

Walau pada hakikatnya kehidupan yang dilalui bukan indah belaka, tetapi ummi tetap bersyukur di atas ‘hadiah dan anugerah’ ini- abi dan anak-anak. 


Hidup dalam kehidupan yang diimpikan, bukanlah bererti bahagia setiap masa. Tetap ada ‘struggle’. Sering saja rasa kecewa dan gagal sebagai isteri dan ibu. Sering saja rasa hilang semangat dalam mendepani sukarnya kehidupan. Sering saja menangis sendu, rasa seperti realiti tak seindah mimpi.


Tapi tetap perlu bangkit. Tetap perlu teruskan kehidupan. Yakin bahawa apa yang telah Allah susunkan dalam hidup ini sudah sangat cantik. Lumrah bila sesekali berdepan dengan ujian dan pahit getir. Tetaplah bertahan, tetaplah bermohon pada pertolongan dan petunjuk Allah.


Ummi hari ini, sesungguhnya sangat bersyukur dikurnia kehidupan yang seperti ini. Syukur atas anugerah yang Allah kurniakan. Seolah Allah mengkabulkan setiap doa yang pernah dipohon dengan air mata satu ketika dulu.


Sememangnya hidup ini tak selalu menjanjikan indah. Namun semoga sentiasa ada pertolongan dari Allah pada setiap kali menempuh sukar. 


Terima kasih Tuhan atas kehidupan yang sangat baik ini. Bersyukur dan rasa cukup. Namun tetap perlu mencuba jadi yang lebih baik. Untuk suami, untuk anak-anak. Kerana masih terlalu banyak kurangnya diri. 


Semoga Allah sentiasa REDHA

 

0 comments:

Post a Comment