Sunday, 19 October 2025 0 comments By: Naemah

PENGALAMAN VERTIGO-KU



 


Baca ini dulu untuk fahami vertigo



Hari pertama (Rabu, 24 Sept)


Aku bangun pagi seperti biasa untuk menjalani rutin. Sebaik bangkit dari tidur (ke posisi duduk), kepala terasa berpusing kuat. Terus rebah semula ke katil. Agak kuat rasa pusingnya. Hanya mampu pejam mata, diam tak bergerak, dengan harapan rasa pusing ini akan hilang (sebab pernah ada pengalaman kepala berpusing, tapi ia hilang selepas beberapa saat). 


Dalam 10-15 minit lepas tu cuba bangkit semula, kepala masih berat dan pening, cuma tak sekuat tadi. Gagahkan diri untuk mandi dan solat. Keadaan lebih baik berbanding tadi.


Turun bawah dan ceritakan pada suami  (yang baru balik dari surau). Cerita apa yang aku alami tadi. Dia sediakan breakfast anak-anak, dan aku rehat di sofa. Ingatkan dengan rehat ni dapatlah kembali sihat dan hilang pening kepala.


Rupanya bila dah bersandar di sofa, kepala kembali berpusing-pusing. Untuk beberapa jam, tak mampu nak buka mata. Kalau buka atau gerak, memang dunia terasa berpusing. Pejam dan tidur sajalah pagi ni. Suami ambil tanggungjawab sepenuhnya urusan anak-anak dan lain-lain urusan hari ini. Syukurlah dia ada. Kelamnya dunia pagi ini. Berpusing-pusingnya kepala aduhai…


Dalam pukul 10.30 pagi, rasa ok sikit, boleh buka mata pegang handphone. Terus whatsapp biras, Dr Nasibah untuk ceritakan keaadaan dan minta nasihat dia. Pendek cerita, lepas tanya beberapa soalan dia minta ke klinik segera, jangan tunggu-tunggu. Masa masej tu memang masih belum mampu bangun. Dan suami pula sibuk dengan anak balik sekolah.


Akhirnya ke klinik juga pukul 2 petang. Masa ni dah rasa ok sikit, tapi kepala masih berpusing-berpusing juga. Ok sekejap, then pusing lagi untuk beberapa saat. Begitulah ia berulang sampai masa dipanggil berjumpa doktor (selepas hampir 2 jam menunggu). 


Kat klinik ni cek bp, gula, hb, dan ecg. Semuanya ok dan normal. Doktor bertanya beberapa soalan (ada muntah? Sesak dada? Mata kabur? Telinga berdengung?) dan doktor suruh perhati jarinya sambil dia gerakkan satu jari lagi. Lebih kurang macam tulah. Lepas tu dapat ubat tahan pening. Kata Doktor, jika pening masih berulang atau tak hilang selepas 3-4 hari, dia suruh datang klinik lagi. 


Balik rumah, dan layan pening yang tak hilang-hilang ini seharian. Memang tak mampu buat apa-apa kerja. Makan pun sekadar isi perut. Tak ada selera.



Hari kedua (Khamis, 25 Sept)


Keadaan diri masih sama. Pening-pening masih mengganggu. Cuba gagahkan diri untuk mandi, solat dan ke toilet. Suami sediakan sarapan, dan hari ni dia perlu ke KL kerana ada meeting. Pagi ni tinggal bertiga dengan Anas dan Nuha. 


Boleh la gagahkan diri mandikan Nuha, suap makan semua. Anas pun ada, boleh minta tolong buat apa yang patut. Lunch order food panda je. Aku banyak baring dan bersandar. Ikut keselesaan. Yang pasti, pening tetap datang dan pergi. Mujurlah Nuha tak meragam. Main sendiri-sendiri je. Sesekali minta disusukan.


Dan seharian lagi dalam berkeadaan begitu. Makan ubat juga, tapi rasa macam keadaan sama saja.



Hari ketiga (Jumaat, 26 Sept)


Masih kepeningan. Namun rasanya lebih baik. ‘Pusingan’ di kepala tak terlalu kuat dan menghentam. Ada sela masa boleh duduk dan berjalan tanpa rasa pening. Serik nak bersandar dan berbaring kerana rasa pening kuat ketika kepala bersandar dan bergerak. Hari ni lebih banyak gerak dan kurang baring. 


Dr. Nasibah suruh beli ubat (betahistine 24mg BD x 1 minggu) di farmasi untuk kesembuhan lebih baik. Dia juga ajarkan exercise pergerakan.


Hari ini yang lebih baik dari semalam. Gelap yang terasa lebih cerah. Walaupun dalam keadaan kepala masih ada pusing-pusingnya.



Hari keempat


Sama seperti semalam. Masih ada pening dan pusing saat duduk bersandar atau berbaring. Cuba elak dari banyak bersandar. Makan pun lebih berselera. Uruskan Nuha macam biasa.  Boleh jemur kain, basuh pinggan mangkuk, goreng ayam, yang simple-simple saja. Tak nak paksa buat banyak kerja dulu.


Pening yang dah kurang mengganggu. Jika sebelum ini kerap sangat, hari ni dah ambil masa beberapa jam nak datang balik rasa pening dan pusing. Ye, time baring dan sandar atau ubah posisilah selalunya. 


Esok, lusa dan seterusnya juga sama keadaan. Ok pada kebanyakan masa, tak ok bila baring atau sandar.



Rabu (genap seminggu)


Masih berkeadaan sama seperti hari sebelumnya. Sementara suami masih ada di rumah (belum ke laut), decide untuk ke klinik dapatkan nasihat doktor sekali lagi. Rasa macam ok, tapi belum ok sebenarnya. Dah boleh masak, dan buat kerja rumah, tapi pening-pening tu tetap mengganggu pada keadaan tertentu (seperti yang dinyatakan di atas).


Doktor tanya sama ada nak buat surat refer doktor pakar atau tak? Atau nak sambung ubat dan pantau sendiri dulu? Macam tak bahaya sangat bunyinya tu. dan doktor kata, biasa je orang kena vertigo berminggu hingga berbulan. Cumanya ia boleh mengganggu aktiviti harian kitalah. Nak memandu pun tak boleh (ya, tak berani lagi nak drive). 


Jadi ambil keputusan sambung ubat dulu, dan kalau keadaan tak baik juga atau lebih teruk, akan datang klinik lagi dan minta refer pakar pula. Begitulah… 



2 hari bebas pening


Next day, Khamis dan Jumaat, bebas pening 2 hari. Suka dan syukur amat. Harap-haraplah tak datang lagi vertigo tu.


Tapi rupanya hari Sabtu, bangun pagi kepala terasa berpusing balik. Cuma tak kuat macam hari pertama kena. Balik pada hari-hari yang sebelum ke klinik kali kedua. Ya, dapat lakukan aktiviti di rumah (dengan tak terlalu memaksa diri yang dalam proses sembuh). Dan Alhamdulillah suami masih lagi ada untuk urusan anak-anak sekolah. 



Cuba drive 


Ada satu hari (Ahad, minggu kedua) suami ada urusan di Bintulu, dan first time aku cuba drive, keluar beli nasi lemak di warung yang tak jauh dari rumah. Tak sampai 1 km. Alhamdulillah selamat pergi dan balik. Cuma bila nak keluar dari kereta tu, kepala akan berpusing-pusing lagi (sebab tukar posisi badan), jadi tak boleh keluar terus. Perlu ambil masa. 


Isnin suami ada di rumah, masih boleh hantar ambil anak sekolah. Selasa dan berikutnya, itulah cabaran yang sebenar (genap 2 minggu, keadaan masih sama).


Seminggu suami di Kemaman, dan 4 hari kembali mengambil tugas sebagai ‘driver’ anak-anak. Minggu ini ada yang tak sihat, dan ada pula yang exam UASA, maka ada yang tak dihantar ke sekolah, dan ada ‘wajib’ dihantar tanpa alasan. Alhamdulillah Allah permudahkan. Dapat memandu dengan baik, selamat pergi dan balik. Sesekali rasa tak selesa dan terganggu pada pandangan mata, tapi sekejap saja. Masih boleh memandu. Cuma bila nak keluar kereta memang perlu ambil masa. Nak pusing badan, nak berdiri, perlahan-lahan saja, kalau tak berpusing-pusinglah kepala ni. Kena beringat sentiasa.


Ahad, minggu ketiga suami balik dari Kemaman. Seminggu dia cuti, dan minggu ni semua menghadapi UASA. Alhamdulillah, pagi-pagi tak rushing sedia breakfast dan hantar anak sekolah. Minggu ini lancar.


Ada satu situasi di mana masa ni rasanya macam dah sihat, dan aku tak jaga pergerakan. Pantas saja bangun duduk dan buat sesuatu. Sekali tu, dukung Nuha nak tunjuk dia gambar yang tergantung di pintu (mendongak), tiba-tiba terus rasa dunia berputar laju dan sambil pegang Nuha, terjatuh la ke lantai (tak mampu control diri, tapi taklah jatuh terhempap kuat sangat), dan terkedu jugalah masa tu. Ya Allah, apa ni? Teruknya rasa. Takut dan debarnya. Tiba-tiba sahaja. Baru je rasa nak sihat sikit, nak hiburkan si kecil ni. Di’serang’ lagi? 


Lepas tu aku lebih berhati-hati.Jaga betul-betul pergerakan diri. Perlahan, asal selamat. Jangan gopoh, jangan rushing, jangan buat yang tak mampu. Alhamdulillah sekali itu saja ia serang. Hari-hari seterusnya hanya pening ringan (belum bebas pening).


*pening dalam catatan ini bukan pening yang biasa boleh hilang dengan panadol. Ia rasa berpusing, buat diri terhuyung hayang dan hilang keseimbangan badan. Rasa ‘pening’ tu antara kuat dengan ringan saja*



Vertigo tiada lagi


Dan bermula Isnin, hingga genap 3 minggu (dari hari pertama vertigo), dah hilang terus rasa berpusing-pusing. Alhamdulillah.


Hari ni dah cukup seminggu ‘bebas’ vertigo. Dah seminggu juga tak drive sebab suami ada. Dan 2 hari lepas jalan-jalan Melaka, banyak berjalan, Alhamdulillah baik-baik saja keadaan diri ini. Cuma penat tu adalah. Pun begitu, masih berhati-hati, masih beringat, tak boleh pantas, perlahan-lahan saja pergerakan dan buat kerja. 


Nak kata sihat sepenuhnya tak juga, cuma jauh lebih baik. Tiada dah rasa pusingan, tiada rasa hanyut dan terhuyung-hayang, bersandar, berbaring, berubah posisi kepala juga tak diganggu pening lagi. Walaupun masih sangat berhati-hati dan ‘trauma’.


Suami dah kembali bekerja hari ni. Syukurlah masih berbaki 3 hari cuti Deepavali. Tak perlu drive lagi. Jujurnya masih takut, masih trauma, dan kalau ada pilihan memang tak nak memandu.


Aku serah segalanya pada Allah. Moga sakit itu tak berulang lagi. Moga sakit itu pergi tak kembali lagi. Semoga aku kembali sihat, dan bebas dari sakit yang mengganggu urusan harianku. 


Ya Allah kurniakan buat hambaMu ini kesihatan dan kesembuhan. Ameen. 




Ubat klinik




Ubat yang beli di farmasi




Mengamalkan doa ini di samping doa yang lain.




Siapa nak share pengalaman vertigo?

Berapa lama?

Bagaimana rawatan?

Bagaimana sembuh? 



MELAKA: JALAN-JALAN MENIMBA ILMU

 Jalan-jalan Melaka lagi.

(18-19/10/2025)


Cuti sekolah sempena Deepavali bermula pada 18-22 Oktober 2025. Niat asalnya, nak balik kampung sebab cuti panjang. Tapi tiba-tiba, abi maklumkan dia perlu ke Bintulu pada 20hb. Alahai, tak dapatlah balik kampung. Frust…


Sebab tak dapat balik kampung, abi cuba cari tempat untuk bawa anak-anak bercuti Sabtu dan Ahad, sementara abi masih di rumah. Cari punya cari, semua tempat best sah-sah la penuh, cuti Deepavali kan. 


Miqdad pula asyik sebut nak jalan-jalan. Nak claim hadiah birthday. Tak kisah ke mana, asal dapat jalan-jalan. Last-last abi tempah homestay di Bayou Lagoon Park Resort. Entah untuk ke berapa kali stay kat situ, yang pasti anak-anak suka sangat! Sebab waterpark kat situ best!


Tapi percutian kali ini jadi percutian ‘ilmiah’ sikit, sebab selain dari mandi kolam, sempat menyinggah tempat-tempat bersejarah yang sebelum ini belum pernah pergi (dah kerap jejakkan kaki ke Melaka, tak sempat nak jejak semua, sebab kat Melaka banyak tempat best dan menarik).


Bermula perjalanan dan sarapan pagi.


Bertolak dari rumah sekitar jam 7 pagi. Meluncur terus ke Melaka dan memang cadangnya nak breakfast di Melaka. 


Jam 8.30-singgah breakfast di sebuah kedai makan OCT Garden Nursery Cafe yang terletak di Alor Gajah. Kat sini ada jual nasi lemak, mi kari, lempeng, pulut, dll. Alhamdulillah kenyang bersarapan pagi di sini. Perjalanan diteruskan.


Sarapan


Muzium Istana Kesultanan Melaka

(Bandar Hilir, Melaka)


Setelah berhenti isi minyak, ke toilet, dan berpusing-pusing mencari parking, akhirnya (jam 11 pagi) dapat masuk juga ke Muzium Istana Kesultanan Melaka yang tersergam megah- dengan bayaran sebanyak rm 10 untuk dewasa dan rm5 untuk kanak-kanak.


Menurut bacaan, Replika Istana ini dibina semula berdasarkan catatan Sejarah Melayu yang menggambarkan keunikan seni bina Istana Melayu di zaman Sultan Mansur Shah yang memerintah dari tahun 1456 hingga 1477.


Kat dalam muzium ni dapat baca banyak catatan berkaitan sejarah Negeri Melaka. Lebih kurang dalam buku teks la, tapi lebih menarik, dengan gambar dan replikanya.


Bila masuk dalam ni, kita dapat gambaran jelas tentang bagaimana suasana di Istana Kesultanan Melayu. Dapat tengok bagaimana bentuk balairong seri, bilik beradu raja, dan belajar tentang adat istiadat raja-raja melayu. Lebih kurang 1 jam setengah berada dalam ni. Kemudian keluar untuk menuju ke Kota A Famosa pula (kat sebelah istana je). 
















Kota A Famosa


Dari gerbang Kota A Famosa, kemudian memanjat naik ke atas Bukit Melaka di mana kat atas tu terdapat kubu pertahanan yang dibina Portugis suatu ketika dulu. Masih teguh dan utuh binaannya (dan panjang kisah sejarahnya). Dari pandangan atas, dapat lihat laut yang membiru luas, dan benarlah, ianya satu tempat yang strategik untuk membina kubu pertahanan seperti ini. Dari jauh dapat meninjau kehadiran musuh atau kapal asing, dan dapat melancarkan atau menangkis serangan musuh dengan mudah. 


Selepas setengah jam (12.30), meninggalkan Kota A Famosa dan menaiki kereta. Cuaca agak panas, dah tak mampu nak jalan-jalan dah. Nak cari makan tengahari dan nak check in homestay pula.


Makan tengahari kami di kedai makan Hajah Rahmah Kari Kepala Ikan-aneka lauk asam pedas dan masak lemak, di samping lauk yang lain. Alhamdulillah kenyang makan tengahari di sini. 













Bayou Lagoon Park Resort


Jam 2.45 check in homestay. Bilik kali ini bertemakan ‘lego’, seronok lain macam anak-anak bila masuk bilik. Dapat main-main lego dulu sebelum turun mandi kolam di bawah. Harga sewa homestay Rm350 termasuk 4 keping pass (4 orang) untuk masuk waterpark. 


Pukul 4 petang, abi dan anak-anak bergerak ke waterpark. Ummi tak ikut kali ni, nak berehat je. Penat berjalan tadi. Mandilah puas-puas anak-anak!


Hampir masuk waktu Maghrib, barulah selesai mandi semua. Itupun tak puas lagi katanya. Tukar pakaian, solat dan makan malam. Masak megi je malam ni. Semua dah malas nak keluar. 

















Sarapan pagi dan check out


Abi solat Subuh di masjid. Selesai solat, abi beli nasi lemak dan sarapan bersama di bilik. Santai-santai saja pagi ni, jam 9.40 dah kemas semua, dan check out. 




Hang Tuah Center / Hang Tuah Museum (Lokasi: Duyong)


Mulanya tu, plan nak ke Pantai Klebang, ambil angin sambil menikmati coconut shake sebelum balik ke Semenyih. Tapi kebetulan lalu jalan ke perkampungan Hang Tuah, teringin pula nak singgah. Kat sini ada Muzium Hang Tuah dan juga perigi Hang Tuah. Bayaran sebanyak Rm 10 untuk dewasa dan Rm5 untuk kanak-kanak dikenakan untuk masuk Muzium Hang Tuah.


Apa yang menarik, muzium ini merupakan muzium pertama di Malaysia yang guna teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memaparkan kisah pahlawan legenda itu.


Menarik sekali, dapat tengok perlawanan Hang Tuah dan Hang Jebat  menggunakan teknologi, dapat tengok aktiviti perdagangan Hang Tuah secara visual tour, dapat tengok teater mini tentang pelayaran Hang Tuah, dapat membaca sejarah tentang Hang Tuah dengan cara yang sangat interaktif, dan banyak lagi. Anak-anak seronok dapat explore kisah Hang Tuah dalam muzium ni. Lain dari yang lain.


Kat luar Muzium pula, terdapat rumah-rumah 5 sahabat; Rumah Hang Tuah, Rumah Hang Jebat, Rumah Hang Kasturi, Rumah Hang Lekir dan Rumah Hang Lekiu. Boleh masuk dalam rumah dan tengok sendiri senibina dan suasana dalam rumah. 


Ada juga beberapa monumen gergasi berkaitan Melaka seperti tangga rumah Melaka, keris dan buaian di kawasan tersebut (tak sempat nak bergambar dengan monumen). 


Berada di situ dari jam 10.20 hingga 11.30. Itupun tak jelajah semua tempat sebab dah penat berjalan. 


Teruskan perjalanan untuk pulang, dan singgah makan di kedai makan Mai Salai (tempat yang biasa disinggah). 


Dalam perjalanan balik, singgah pula di Masjid Sendayan di Seremban. First time datang masjid yang cantik dan tersergam megah ni. Kat sini solat jamak zohor dan asar, dan terus sambung perjalanan ke Semenyih. Tamat sudah percutian 2 hari 1 malam. Percutian singkat tapi penuh kenangan dan makna tersendiri.  


Kembali ke rumah. 3 hari lagi berbaki cuti sekolah. Kat rumah sajalah kita 3 hari ni. Esok pagi-pagi lagi abi akan ke airport untuk penerbangan ke Miri (urusan permit dan inspection kapal), dan lusa ke Bintulu dan ke laut untuk bekerja. 


Alhamdulillah untuk nikmat dan rezeki. Terima kasih abi untuk percutian ini. Selamat kembali bekerja dan selamat kembali lagi, insya Allah.