Wednesday, 30 April 2025 0 comments By: Naemah

SURI NAK JADI CIKGU




“Ummi.. Suri tahu Suri nak jadi apa nanti”


Tiba-tiba dia bersuara. Ya, tiba-tiba saja.


“Suri nak jadi cikguuuu…”

Sambungnya lagi.


Itu cerita beberapa bulan lepas (entah la bulan berapa ye!) Tapi ummi ingat sangat ayat tu.


Dan kebetulan hari ni (30 April 2025) ada majlis sambutan birthday di Little Diamond Kindergarten bertemakan pekerjaan, ummi pun tiba-tiba ter’recall’ balik dialog Suri tu (masa teacher pos pasal majlis ni). Dan ummi pun tak fikir nak ‘gaya’kan Suri dengan pakaian pekerjaan lain, selain guru. Ada je coat doktor kat rumah ni, tapi ummi rasa cikgu lebih sesuai untuk Suri.


Dan tiba harinya Suri menyarung baju kurung, tudung dan ber’tag’ nama Suri yang  ummi tempah. Jadilah watak guru yang diinginkan. Simple and nice saja. Di tadika, Suri bersama kawan-kawan menyarung berbagai pakaian/uniform pekerjaan pilihan masing-masing. Ada doktor, engineer, askar, polis dan banyak lagi. Cikgu macam Suri pun ramai juga. Comel-comel semua. 


Suri cakap seronok sangat hari ni. Seronok ‘berlagak’ macam cikgu. Best dapat makan-makan dan dapat bawa balik hadiah dari kawan-kawan. 


Ummi tanya Suri; kenapa nak jadi cikgu? Jawabnya, sebab boleh marah dan boleh ajar. 

Amboii. Begitu jawapannya ya!


Apapun ummi support je cita-cita Suri. Di usia 6 tahun ini, cita-cita Suri nak jadi cikgu. Terinspirasi dengan teacher kat tadika kot! Yang pasti kerja cikgu tu amatlah mulia dan paling sesuai untuk perempuan kan?


Pada masa akan datang, tak tahu apa pula cita-cita Suri. Ummi akan sentiasa doakan yang terbaik untuk Suri. Yang penting kerja itu baik dan sesuai untuk seorang muslimah. Dan yang lebih penting untuk permulaan ini, Suri belajar rajin-rajin ye. Penuhkan ilmu di dada. Jadi insan berguna dan bermanfaat untuk diri, masyarakat dan agama. Insya Allah! 




(Bukan birthday Suri)

KENANGAN DI KUBANG GAJAH WATERPARK

Menutup April dengan cerita aktiviti mandi kolam di Kubang Gajah Waterpark, Temerloh.


Cukup seminggu abi balik dari Sarawak, akhirnya dipanggil bekerja lagi. Akan terbang ke Sabah pula untuk urusan kerja.


Sebelum pergi, abi hiburkan hati anak- anak dengan membawa mereka ke tempat yang menjanjikan seronok, iaitu waterpark. Lagipun dah lama anak-anak tak mandi kolam. Last hari tu (last year) kat Melaka, ketika Nuha masih baby lagi. Kini Nuha pun dah besar, dan boleh join mandi kolam sekali. Inilah first time Nuha mandi kolam dengan abang kakak Nuha.


Lokasinya ialah di Kubang Gajah, Temerloh. Kali kedua datang sini (yang pertama pada bulan Ogos 2022). Anak-anak masih teringatkan keseronokan bermain kolam di sana. Abi pun dah lama berhajat nak bawa anak-anak, tapi tak ada masa yang sesuai. Kali ini plan, dan pergi. 


Pada hari Sabtu (26/4/2025), jam 7 pagi bertolak dari rumah. Jam 9 pagi bersarapan di Warung Saidina (di Bentong), meneruskan perjalanan, singgah beli barang sikit, dan sampai di Kubang Gajah Waterpark jam 10.30 pagi.


Dengan bayaran rm15 (dewasa), dan rm12 (kanak-kanak), sangatlah murah berbanding waterpark di sekitar negeri Selangor ni. Masa unlimited (sehingga tutup) dan boleh bawa makanan sendiri. Dan kami juga menyewa satu gazebo dengan bayaran sebanyak rm35 (juga tiada had masa). Kalau tak nak sewa gazebo, kerusi meja pun banyak, tandas, surau lengkap semua, ada juga disewakan pelampung dan loker untuk letak barang-barang. Ada juga terdapat gerai-gerai jualan untuk membeli makanan.


Hari ni spend masa kat kolam lah semua. Dari pagi sampai ke petang. Diajak berkali untuk balik pun tak nak. Abi kata, biarlah mandi sampai puas. Tak fikir nak makan dah. Time lapar makan je bekalan yang ada (kuih muih dan ayam goreng). Sempat juga beli pau di gerai yang jual kat dalam tu. 


Dari 10.30 pagi, pukul 4 petang siap untuk balik. Tukar baju, mandi, solat, dan keluar dari kawasan waterpark dan menuju pula ke restoren Saiful Patin Gulai Masam yang lokasinya di tepian sungai Temerloh. Makan pun dah lambat, ambil apa yang ada je la. Alhamdulillah masih ada patin tempoyak untuk dinikmati sebelum pulang ke rumah.


Selesai makan terus menuju balik ke Semenyih. Singgah solat di Masjid Bandar Kajang dan sampai di rumah jam 9 malam. Makan malam dan tidur. Penat dah semua. Penat tapi puas hati dan seronok. 


Esok harinya (Ahad) jalani hari macam biasa. Duduk rumah saja. Buat kerja dalam workbook sikit, selebihnya main. Abi pula, selepas solat Asar terus menuju ke airport untuk ‘terbang’ ke Kota Kinabalu pula. Insya Allah seminggu lagi akan bersua kembali.


Terima kasih abi untuk kegembiraan anak-anak. Nanti kita cipta kenangan bersama lagi, insya Allah. 


Terima kasih ya Allah, untuk segala 

nikmat dan rezeki dariMu. 



Foto kenang-kenangan;























Kisah bagaimana boleh kenal dan sampai Kubang Gajah Waterpark satu ketika dulu (Ogos 2022)

.

.

V


MELENCONG KE TEMERLOH

Thursday, 24 April 2025 0 comments By: Naemah

BUAT DIRIKU YANG SUDAH DAN SEDANG MENCUBA



Hari ini terasa berat, bukan? Seakan dunia mempersoalkan setiap langkahku sebagai isteri dan ibu. Aku tahu, ada saat aku rasa gagal—bila suara naik tanpa niat, bila rumah berselerak, bila makanan tidak sempat dimasak dengan sempurna, bila senyum anak-anak tak sempat aku balas sepenuhnya.

Tapi hari ini, aku mahu aku tahu satu perkara: aku tidak gagal. Aku letih, ya. Aku manusia. Tapi aku masih berdiri, masih mencuba. Setiap pagi aku bangun dan fikirkan orang lain lebih dari diriku. Aku peluk mereka walau hatiku sendiri retak. Aku senyum walau dalam dada ada air mata yang belum tumpah.

Lihatlah sekeliling—ada anak-anak yang tidur lena dalam dakapan rumah ini. Ada senyuman yang terbit bila aku masuk ke bilik. Mereka tidak melihat kekuranganku seperti aku melihatnya. Mereka melihat tempat perlindungan, tempat kembali, tempat mereka merasa cukup… dan itu adalah aku.

Wahai diriku, perlahanlah. Beri ruang untuk salah. Beri ruang untuk belajar. Kau tidak perlu jadi sempurna. Kau hanya perlu terus mencintai. Dan itu, aku tahu kau sedang lakukan sebaik yang mungkin.

Esok, bila aku bangun lagi, aku mahu cuba sekali lagi—dengan lebih sayang pada mereka, dan juga lebih sayang pada diriku sendiri.

Dengan kasih yang paling dalam,

AKU


Tuesday, 22 April 2025 0 comments By: Naemah

ADA HARINYA AKU JUGA LEMAH DAN TIADA SEMANGAT



Sesekali datang ‘malas’ dan kurang motivasi nak mengulangi rutin. Bermula dengan bangun pagi, sibuk dengan anak-anak dari bab kejut dari tidur, sediakan sarapan, pastikan siap, lengkap dan tepat waktu ke sekolah, hingga ke penutup harinya, sedia untuk tutup mata kembali. Begitulah rutin.


Seperti hari ini, bangun-bangun dah rasa ‘malas’ tu. Ya Allah, malasnya nak ulang kejut ‘mereka’ ni. Kejut sekali tak bangun, dua kali sampai berkali-kali. Penatnya…

Itu baru satu bab. 


Nak masak pun malas. Ummi panaskan nasi goreng lebihan petang semalam dan goreng telur mata. Abi balik dari surau, masakkan kue teow goreng. Alhamdulillah, cukuplah makan pagi kita. Sampai waktunya, abi hantar Mussaab dan Miqdad ke sekolah. Selesai dulu ‘dua’. Yang tadinya ummi kena turun naik tangga untuk pastikan dah bangun, mandi, bersiap dan solat semua. Ya, ummi malas tapi tetap kena jalankan tanggungjawab. 


Ummi.. masih beratnya mata. Mengantuk lagi. Tapi, masih ada seorang lagi yang bersekolah pagi. Perlu dikejut dan perlu dipastikan mandi dan makan. Kalau ikutkan mengantuk ni, nak je ummi baring sekali. Tidur tanpa rasa bersalah. Tapi tak boleh.


Oh, jangan dilupa yang paling kecil ni, yang bermulanya hari sama seperti abang-abangnya. Yang perlu dipastikan pampers ditukar, dimandikan, disuap makan, dan dalam keadaan baik sentiasa.


Malas? Nak buat apa dengan malas ni? Letak tepi sajalah. Hal tanggungjawab, tak boleh diketepikan. Paling tidak pun, pinggan mangkuk dalam sinki tulah ummi biar kat situ dulu. Kekemasan rumah, abaikanlah dulu. Kain yang bertimbun, nanti-nantilah angkut masuk mesin basuh. 


Dalam malas dan kurangnya semangat, selesai juga hal anak-anak sekolah. Yang kecil pun terurus seperti kebiasaan. Dan masa tetap terus berjalan. Malas pun, tanggungjawab tak boleh tinggal, selagi berkudrat. Begitulah setiap kalinya. Nak baring dan lelap sesuka hati, tak boleh. Nak duduk diam-diam tanpa ada yang mengganggu, tak boleh. Nak sesuka hati buat apa saja tanpa fikirkan masa yang berjalan, tak boleh. Kerana pada bahu ini ada tanggungjawab yang perlu langsai pada masa yang setepatnya. Ya, seperti rutin yang sebelumnya. 


Syukur Alhamdulillah, dalam ‘malas’nya ummi ini, anak-anak dapat hadir ke sekolah dengan kelengkapan secukupnya, pada waktu setepatnya. Makan minum masih tersedia. Yang kecil ini cukup makan tidur, susu, dan bertukar pampers pada waktunya demi keselesaan. Alhamdulillah, baik-baik saja semua, walau hakikatnya tetap tak sempurna ummi memberi. Walau kadangkalanya dalam keadaan memaksa diri. Maafkan khilaf ummi, kerana ummi ini juga manusia biasa. Ada bermacam rasa. 


 Dan syukur jua, ummi tak berseorangan menghadapi hari. Ada abi di sisi, saling berganding uruskan semua. Taklah terlalu berat rasanya nak menanggung dan menangkis ‘malas’ ini. Namun jika sendiri, dan tika datang jua ‘rasa’ ini, perlu lebih kuat melawan dan membisikkan semangat pada diri sendiri, walau ada ketikanya rasa mahu ‘jerit’ saja. 


Alhamdulillah, pertolongan Allah ada sentiasa. Walau pada hari paling tak bersemangat nak menjalani rutin, masih mampu tunaikan tanggungjawab. Walaupun tak sempurna, tetap juga buat. Tetap juga jadi. Allah bantu sentiasa..


Ya Allah.. ku ingin jalani hari yang lebih baik. Menjadi ibu dan isteri yang lebih baik. Bantulah hambaMU ini ya Allah. Ameen. 



Saturday, 19 April 2025 0 comments By: Naemah

RAYA.RAYA.RAYA (2025)




Sambutan raya di SMK Bandar Rinching (Anas), SK Kampung Rinching (Mussaab) dan SRAI Pekan Beranang (Miqdad) diadakan pada tarikh yang sama iaitu pada 18 April 2025.


Manakala pada esok harinya (19 April 2025) diadakan pula jamuan raya Little Diamond Kindergarten (Suri) dan SRI Permata Nusaybah (sekolah agama Mussaab). Dan tak lupa, open house Surau Istiqamah pada malam harinya.


Sekali harung je semua tahun ni. 3 sekolah dengan 3 menu, anak-anak raikan bersama guru dan kawan-kawan masing-masing. Anas dengan menu roti sosej, Mussaab dengan menu nugget dan Miqdad dengan menu mi goreng. 


Kenapa menu tak sama? Sebab ikut permintaan anak dan ikut menu yang ditentukan sekolah (SRAIPB). Buat pun yang senang dan cepat saja. Kebetulan pula abi tak ada (kerja), ummi kenalah pantas nak sedia semua di samping kesibukan urusan yang lain.


Selesai sekolah menengah dan rendah, esoknya open house tadika Suri dan sekolah agama Mussaab pula. Kali ni jemputan untuk semua ibubapa, dan tak perlu sediakan menu sendiri. Mudahlah, bawa diri dan anak-anak je. Namun hanya sempat hadir open house Little Diamond, atas sebab yang tak dapat dielakkan. Pulak tu, nak control ber’lima’ ni di meja makan pun memenatkan juga. Yang besar pun nak kena pesan-pesan sentiasa. Penatlah ummi. SRIPN kita pergi tahun depan lah pula ya.


Balik rumah, ada agenda lain yang menanti. Nak kena masak nasi arab kambing (wakil dari persatuan penduduk) pula. Ada request nasi arab, so kita cuba la buat walaupun tak pernah masak dengan kambing. Selalu ayam je. Dan Alhamdulillah, flight abi dari Sarawak juga hari ni, balik dari open house Little Diamond abi dah pun sampai. Maka sibuklah ummi dan abi dengan projek nasi mandy kambing. 


Selapas maghrib, bermula acara makan-makan di surau. Aneka juadah, enak-enak semua. Nasi arab antara yang terawal habis. Alhamdulillah. Semoga memberi kepuasan pada semua. Anak-anak sekali lagi menjamu selera dengan aneka pilihan makanan yang ada. Syukur atas nikmat rezeki dariNya. 


Alhamdulillah, selesai dulu ‘raya’ minggu ini. Sekali serentak semua. Nikmat beraya di tempat kita yang tak dapat disangkal. Semoga kita jadi insan yang tahu bersyukur. 


Syawal masih berbaki tak lama. Mungkin ada jemputan open house lagi, atau mungkin tiada. Apapun, minggu depan anak-anak perlu balik ke sekolah macam biasa. Jangan dilupa tanggungjawab utama. 
















Sunday, 13 April 2025 0 comments By: Naemah

CHATGPT MENJAWAB…









ChatGPT menjawab persoalan (of course dia tak tahu siapa yang bertanya).


Terima kasih chatGPT, menterjemahkan ‘makna’ di sebalik tulisanku. Ah, rasa difahami itu amat mendamaikan. Walaupun pada hakikatnya bukan dari yang bernama ‘insan’. 


Biar tulisanku biasa-biasa. Namun aku harapkan ada ‘nilai’ di dalamnya. Sungguh, penulisan ini satu ‘terapi’ buatku. Bicara hati yang tak mampu diterjemah dengan lisan. 


Dan harapanku, semoga ada manfaatnya pada mereka yang pernah ‘singgah’.


*** Ada satu pertanyaanku (yang aku tak screenshot); apa pendapat dia tentang penulis blog ini? Dia gambarkan penulis seorang ibu dan isteri yang sangat baik, pandai mendidik anak, dan sabar orangnya. 


Bila baca jawapan tu, Allah.. agaknya macam tu juga la orang lain menilaiku bila baca tulisanku di blog. Sedang hakikatnya, aku jauh dari apa yang dia gambarkan. Jauh sangat. Aku ibu biasa je. Banyak buat silap dengan anak. Tak cukup sabar dengan karenah anak, dan banyak lagi yang tak cukup. 


Makanya aku tak screenshot lah jawapan dia tu, sebab nampak ‘perfect’ sungguh gambaran dia. Ibu mana je yang perfect? Aku percaya, semua ibu ‘struggle’ nak jadi ibu yang lebih baik untuk anak-anak mereka. Biar siapa pun dia… 


Jadi, jomlah ibu-ibu sekalian, kita berjuang sama-sama. Tiada kalah menang dalam perjuangan ini. Insya Allah, kita adalah ibu yang terbaik untuk anak-anak kita. ***

CERITA DAN KENANGAN ‘OPEN HOUSE’ KITA



Jamuan makan-makan kali pertama. Rugilah kalau tak catat dan simpan kenangan di sini kan?


Baik Syawal atau bukan Syawal, tak pernah lagi buat makan besar sejak menetap kat rumah ni (tahun 2017). Inilah kali pertama, itupun secara kecil-kecilan saja. Jemputan ahli keluarga (yang stay dekat-dekat sini) dan jiran dan kenalan dekat je. Campur tolak semua, lebih kurang 40 orang sahaja jemputan, termasuk anak kecil.


Kisahnya, tiap kali raya, adalah hasrat nak buat open house macam orang lain. Tapi selalu je ada kekangan. Dan macam teragak-agak nak ‘mulakan’. Faham-fahamlah, nak buat majlis kena ready betul-betul. Selain wang ringgit, perlu ada perancangan yang sebaiknya juga. Bukan sekadar buat. 


Tahun ni nak try buat jugalah. Mula tu plan nak ajak keluarga, kawan-kawan abi, dan jiran-jiran. Tapi setelah dipertimbang-timbangkan, akhirnya decide untuk jemput ahli keluarga je dulu untuk ‘open house’ tahun ni. Buat kecil-kecilan saja. Pilih tarikh (12/4/2025/13 Syawal/Sabtu) dulu, dan maklumkan dalam group keluarga (ummi) pada hari Rabu. Family abi tak ramai yang tinggal sini, so PM je yang mana ada dekat. Dalam masa 2 hari tulah plan menu dan persiapan semua. 


Selain tu jemput kawan abi yang dekat-dekat sini, jiran-jiran paling dekat, dan satu family (kawan sekolah Anas)


Setelah dikira-kira, dalam 40 orang saja jemputan. Tapi penyediaan menu tu macam 80 orang yang datang. 


Menu utama; Nasi Mandy (ummi masak), Mi kari (abi masak), kuih muih-pulut bakar, karipap dan apam coklat (tempah), lemang (beli), rendang daging (abi masak), sandwich telur (ummi buat), buah oren, air lemon soda dan teh tarik (abi sediakan) di samping biskut raya yang semuanya dibeli.


Bermula jam 11, 3 orang kawan abi yang sampai dulu. Kemudian jam 1, family Pak Cu (adik abi dari KB beraya di KL) pula sampai. Meriah amat, sebab anak Pak Cu pun 5 orang dan hampir sebaya pula semua dengan Anas dan adik-adik. Seronoklah dapat jumpa dan main sama-sama.


Kemudian datang pula sepupu ummi yang tinggal di Nilai. Selepas waktu zohor, tetamu semakin ramai, family Adam (kawan Anas), family Pak Teh (abang abi yang tinggal di Mantin), dan jiran dekat rumah. Makan dan sembang-sembang. Meriah. Anak-anak pula makan dan main tak sudah.


Hampir masuk waktu asar, family Pok Long (abang ummi) pula yang sampai. Ini group paling ramai. Abe Seraf, Family Kak Nor, Family Abe Ala, dan family Kak Jah (anak cucu Pok Long). Tak lupa juga Abe Faroki dan Abe Faris (anak pok ngoh-abang ummi juga). Ramai-ramai berkumpul di sini sehingga masuk waktu maghrib. Meriah lain macam rumah kita hari ni. Semuanya seronok, maklumlah belum pernah ada majlis keramaian di rumah kita. Selalu di kampung je dapat berkumpul ramai-ramai. 


Lepas dah seronok beramai-ramai, part yang paling tak seronok (pada anak-anak), ialah bila nak berpisah dengan sepupu dan anak sepupu. Tadinya riuh rendah bermain, tiba masanya untuk berpisah pula. Seorang demi seorang beransur pergi, yang tinggal hanya keluarga kecil kita. Sabarlah anak-anak, insya Allah kita semua akan jumpa dan berkumpul lagi di hari dan waktu yang lain. 


Bila semua balik, kembali ke suasana biasa. Pada ummi, majlis hari ini sangat memberi kesan di hati. Penat, tapi berbunga di hatii. Dapat jumpa dengan semua, walaupun ramai lagi yang tak ada (ahli keluarga yang lain). Dan tentunya teringat pada mek dan nenek. Kalau mereka sihat dan tak uzur, tentu mereka juga akan ‘sampai’. Dan tentunya lebih bermakna hari kita.


Tapi beginipun sudah sangat bersyukur. Majlis pertama kita, berjalan amat lancar dan semua yang dijemput menghadirkan diri. Walaupun pada hari ni sesak lain macam di sepanjang jalan. Maklumlah, musim rumah terbuka. 


Dan makanan agak banyak yang berlebihan n(kan masak untuk 80 orang). Walaupun dah ambik sorang sikit bawa balik, masih banyak yang lebih. Jawabnya, bungkus dan frozenkan untuk dimakan di masa-masa akan datang. Insya Allah tak membazir. 


Syukur padaMu ya Allah yang menjadikan hari ini satu kenyataan. Lancar dan ‘sempurna’ untuk kami, dan semoga senang  dan puas juga buat tetamu. 


Terima kasih ahli keluarga dan jemputan yang sudi bertandang meraikan Syawal bersama kami sekeluarga di rumah ini. Ia hadiah bermakna buat anak-anak, menggantikan 1 Syawal yang agak ‘suram’ kerana tak dapat balik beraya di kampung. Malahan tanpa abi di sisi pula. Dan inilah gantinya. Ia kegembiraan dan kemenangan yang ditunda, bukan langsung tiada. 


Takkan mampu menjadikan lebih baik dari Aidilfitri dan kemeriahan berkumpul bersama seluruh ahli keluarga di kampung, namun begini pun sudah sangat memberikan kebahagiaan di hati. Terima kasih dan syukur sesungguhnya padaMu ya Allah yang menyatukan kami sesama ahli keluarga dalam suasana yang sangat menyenangkan. 


Anas bisik pada ummi (esok harinya); Seronok ‘open house’ kita. Nanti nak buat lagi… 


Dia masih terkenang-kenang kisah semalam.


Kenangan ‘open house’ kita;

(Tak banyak sangat gambar. Sibuk layan tetamu)