Monday, 27 March 2023 0 comments By: Naemah

RAMADAN DAN KEMBALI KE SEKOLAH



20-3-2023

Kembali ke sekolah



Alhamdulillah sudah masuk hari ke-5 berpuasa. Dan Alhamdulillah sudah masuk minggu ke-2 anak-anak bersekolah sessi baru. 


Bermula sessi persekolahan 2023/2024 pada 20 Mac 2023. Seminggu sebelumnya sudah kembali ke rumah, selepas berada di kampung selama lebih kurang 3 minggu. Balik semula ke rumah, untuk selesaikan hal sekolah. Lengkapkan keperluan yang mana belum cukup, settle hal yuran dan buku, dan hadir orientasi tahun 1 Miqdad di SRAIPB. Alhamdulillah Allah permudahkan segalanya. Sempat juga abi bawa anak-anak menonton Didi & Friends the movie di pawagam sebelum buka sekolah.


Beberapa hari sebelum tu agak sibuk juga, menerima tetamu nenek, mak de, mak andak, maksu dan family pak lang. Ulang alik KLIA hantar nenek, mak de, mak andak dan mak su yang nak tunaikan umrah, dan hantar family pak lang yang nak balik Sarawak. Kemudian anak-anak ikut pula abi hantar abang Muaz ke MRSM Jasin, Melaka. Agak padat masa, namun dalam masa yang sama anak-anak seronok dengan kunjungan sepupu mereka.


Kini dah kembali ke sekolah seperti biasa. Anas dah melangkah ke tahun 5. Berbaki 2 tahun saja lagi di sekolah rendah. Ummi harap Anas akan lebih fokus dan bersungguh belajar untuk dapat kecemerlangan. Anas boleh, insya Allah! Mussaab pula melangkah ke tahun 3. Masih meneruskan pengajian di SKKR dan SRIPN. Ummi juga harapkan Mussaab lebih serius belajar, dan kurangkan ‘main-main’. Mussaab juga akan cemerlang jika lebih berusaha, insya Allah! 


Miqdad pula melangkah ke tahun 1 di SRAIPB bersama Anas setelah 3 bulan ‘bercuti’. Masuk sekolah baru dan persekitaran baru. Sekolah kini tak sama dengan sekolah yang dulu, namun ummi percaya Miqdad akan suka dan akan biasa dengan sekolah baru. Miqdad yang baru bermula, semoga akan tekun belajar dan mendapat ilmu yang bermanfaat. Miqdad juga pasti akan cemerlang, insya Allah!


1 Ramadan jatuh pada hari ke-4 persekolahan. Anak-anak meneruskan persekolahan seperti biasa. Hari pertama puasa sudah pasti mencabar. Namun tahniah anak-anak kerana dapat melepasi cabaran hari pertama puasa. Sehingga hari ke-5 ini, anak-anak masih berpuasa penuh. Alhamdulillah. 


Dan bersyukur juga, abi ada bersama menyambut Ramadan kali ini setelah 2 tahun menyambut Ramadan tanpa abi. Ini juga anugerah dari Allah yang tak ternilai harganya.


Syukur anak-anak dah besar. Puasa atas kehendak sendiri. Setiap malam ke surau berjemaah terawih dan solat fardu. Dan  manisnya saat bersahur dan berbuka bersama, walau tetap ada ‘drama’nya sesekali. Itu semua akan kita ingat dan kita kenang.


Alhamdulillah dan bersyukur untuk Ramadan kali ini, yang di dalamnya terhimpun rahmat dan kasih Allah yang tak putus. Alhamdulillah kita menjalani hidup dengan sangat baik. Meskipun bersama ujian yang tetap mendatangi. 


Semoga bersama keberkatan Ramadan ini, dapat kita usahakan untuk memperbaiki diri menjadi insan dan hamba yang lebih baik. Insya Allah. 



Indahnya Ramadan








Tuesday, 14 March 2023 0 comments By: Naemah

CERPEN: SEKILAS KU TERKENANG





Sudah 2 hari Ilman dan keluarganya berada di kampung, bermalam di rumah ibu saudaranya. Sejak arwah datuk dan neneknya meninggal dunia, mereka sekeluarga jarang-jarang pulang ke kampung. Kalau pulang, rumah mak longnya inilah yang menjadi tempat mereka berkumpul.
Mereka pulang kerana ada hajat yang besar. Ilman dan kedua ibubapanya serta adiknya Anas pulang untuk urusan merisik dan meminang calon isteri buat Ilman. Calon yang langsung tidak dikenalinya. Malah ibubapanya juga tidak kenal. Semua ini atas cadangan mak longnya yang sangat berkenan dengan si gadis ini. Katanya baik, cantik dan berpelajaran tinggi.

Ilman yang sangat berat hati untuk pulang ke kampung, balik juga atas pujukan mamanya. Dia sebenarnya masih belum bersedia untuk berkahwin meskipun mamanya sering bertanya dan mendesak. Baginya umur 27 tahun masih sangat muda untuk bernikah. Dia masih mahu hidup sendiri dan fokus pada kerjayanya sebagai seorang jurutera. Dia mahu pergi lebih jauh lagi dalam bidang kerjayanya.

Dia faham mengapa mamanya sangat risaukan dirinya. Maklum saja, dia anak sulung dan mereka hanya ada 2 beradik iaitu dia dan adiknya Anas.

Ilman menurut kemahuan mamanya setelah berkali-kali dipujuk. Dia akur untuk ikut pulang ke kampung bersama ibubapanya. Mak longnya juga tak jemu menelefonnya dan memujuk dia pulang ke kampung. Tiada alasan lagi untuk dia menolak.

"Kau ni Man, apa yang payah sangat nak balik kampung. Orang dah carikan kau calon isteri, kau terima jelah.."

Suara mak longnya masih kedengaran meneruskan bebelan padanya. Siapa tak kenal mak longnya, juara membebel persis mamanya juga. Cuma mamanya tak sekuat mak longnya. Dia dah agak, balik kampung memang akan 'kena'. Dah biasa dah..

Tapi dia tak nafikan, mak longnya seorang yang sangat baik. Sangat mengambil berat akan anak-anak saudaranya. Cuma kena tahan sikitlah, mendengar setiap isi ceramahnya. Semua orang pun dah faham.

" mak long dah cuba cari yang terbaik untuk kau Man. Mak long kenal sangat ibubapa budak ni. Tengok dia membesar depan mata. Baik sangat budaknya. Dia pun lulusan oversea macam Man juga. Sesuai sangat.."

Ilman memasang telinga lagi. Mama, Papa dan adiknya Anas turut membatu mendengar syarahan mak longnya dari tadi.

"Jangan risaulah.. Mak long rasa Man mesti berkenan lepas tengok dia.."

Mak longnya menyambung lagi, penuh konfiden.

"Pandai je mak long ni. Mana tahu aku berkenan. Cantik sangat ke budak tu.."

Ilman membalas dalam hati. Dia hanya diam seribu bahasa. Dia sudah serahkan pada mama dan papanya untuk membuat keputusan. Baik bagi mereka, baiklah baginya. Balik kampung ni pun, sekadar ikut syarat saja. Buat masa ini tiada apa apa perasaan yang hadir. Malas nak fikir sangat.

    ………………………………………………..


Harinya tiba juga.  Ilman bakal bersua dengan gadis yang menjadi calon isterinya. Dia berpakaian kemas, memakai baju yang dipilih oleh mamanya. Warna biru laut menjadi pilihan mamanya. Dia juga kelihatan agak segak pada hari itu. Bersiap dan berkemas sebaiknya, atas permintaan mama dan mak longnya.

Tiada sebarang debaran yang dirasa. Dia hanya patuh atas kehendak mamanya. Setuju atau tidak nanti, dia hanya berserah pada penilaian mama dan papanya.

Mereka bergerak ke rumah gadis itu jam 10 pagi. Jarak antara rumah mereka bukanlah jauh sangat, cuma perlu melalui banyak rumah orang kampung. Kalau ikutkan, berjalan kaki pun boleh. Namun mereka memilih untuk berkereta untuk tujuan yang sangat penting ini.

Sampai di rumah yang dituju, mereka memberi salam dan bersalaman dengan tuan rumah yang sedia menanti kehadiran mereka. Ilman tetap berlagak biasa, bersalaman dengan semua orang serta tetap tersenyum pada semua meskipun dia tidak mengenali mereka. Yang mana satu bakal bapa mertua dan ibu mertua juga, dia tidak tahu. Mereka dijemput masuk dan duduk di ruang yang telah disediakan.

Pak longnya sebagai orang yang paling tua, mengetuai majlis tersebut. Menyatakan hajat dan hasrat yang hakikatnya sudah diketahui tuan rumah. Mereka menyatakan hajat yang penting ini dengan penuh beradab dan tertib. Ilman hanya diam membatu. Sedikit sebanyak hatinya dah mula terdetik rasa cemas. Bagaikan tak percaya, majlis ini adalah untuknya.

Setengah jam berlalu, si gadis masih belum munculkan diri. Hingga sampai saatnya, keluarga meminta calon isterinya untuk keluar. Ilman tak tahu apa perasaannya. Dia hanya berlagak biasa dan seadanya. Tiada degupan kencang di dada, perasaan gementar juga tiada. Dia hanya berserah. Bukanlah terlalu ingin menatap wajah si gadis itu.

Perlahan,  Nina Syuhada muncul dari bilik bersama ibunya. Hanya tertunduk, dan berjalan penuh sopan. Tak terlepas dari rasa malu, kerana dia tahu setiap mata pasti tertumpu padanya. 

Berbeza dengan Ilman, hati Nina Syuhada penuh dengan debaran. Ini juga bukan pilihannya. Malah, dia tidak pernah mengenali diri Ilman.
Ilman memerhati dari jauh. Dari awal Nina muncul, hingga dia duduk bersimpuh di antara hadirin yang ada. Gadis itu kelihatan pemalu, berjubah hijau muda dan bertudung agak labuh menutupi dada. Berkulit cerah, berwajah lembut. Menyejukkan hati setiap yang memandang. Dan begitu juga yang dirasakan oleh Ilman. Namun, renungannya lebih lama.

" man.." 

Pahanya ditepuk lembut oleh mamanya. Dia agak terkejut dan tersentak. Bagai tersedar dari lamunan.

" apa yang renung lama sangat tu. Malu la orang tengok. "

Mamanya berbisik melihatkan reaksi anaknya yang tidak disangka. Ilman tersengih ditegur mamanya. Ah, ada persoalan yang kini muncul di benaknya.

Nina Syuhada masih tertunduk malu. Tidak tahu yang mana satu Ilman. Dia tidak berani untuk mengangkat muka dan mencari. Nanti apa difikir orang. Namun hatinya tertanya juga, bagaimana jejaka pilihan ibu dan ayahnya.

Ibunya membisikkan sesuatu di telinga. Menjelaskan di mana duduk Ilman dan menjelaskan ciri ciri Ilman agar anaknya tidak tersalah orang. Nina Syuhada perlahan mengangkat kepalanya dan mencari insan yang dimaksudkan. Mata bertentang mata. Hatinya kian berdegup kencang. Sekilas pandang, dia kembali tertunduk memandangkan Ilman turut memandang ke arahnya. Hati Ilman juga... 

Berdebar seketika saat mata mereka bertentang.
Selepas ditemukan kedua gadis dan teruna, mereka menjamu selera, menikmati hidangan yang disediakan oleh tuan rumah. Nina Syuhada sudah masuk ke dalam dan tidak muncul muncul lagi. Ilman menjamah hidangan yang ada. Sesekali matanya meliar mencari kelibat Nina Syuhada. Agak pelik tingkahnya selepas melihat bakal isterinya itu.

"Abang... Kakak tu dah tak ada. Makanlah. Tak baik mata tu meliar mencari anak gadis orang"

Anas adiknya tiba-tiba berbisik di telinganya. Sekali lagi Ilman tersentak dan terkejut dengan teguran spontan adiknya.

"Erk..ye.. Abang memang nak makan"

Dia membalas kaget. Terus fokus semula pada hidangan yang sudah di depan mata.

       …………………………………………….


Ilman dan keluarganya kini kembali ke rumah mak longnya. Tidak lama lagi mereka sekeluarga akan kembali ke rumah sendiri. Ilman masih termenung berfikir, membayangkan wajah Nina Syuhada bakal isterinya. Ada sesuatu yang perlu dia pastikan.

" Abang ni kenapa? Kejap bangun, kejap duduk, kejap berguling... apa masalahnya bang?"

Anas menegur melihat gelagat abangnya yang luar biasa.

" Takde apalah dik. Abang tengah berfikir ni.."

Ilman membalas ringkas.

" Jangan kata...abang tengah angau. Tak baik bang..."

Tak lupa Anas memberi peringatan buatnya. Ilman sangat kenal adiknya itu. Boleh dikatakan setiap masa memberi nasihat padanya. Macam dia pulak abang. Tapi hakikatnya begitulah... berbeza dengan Ilman, Anas sejak kecil bersekolah di sekolah agama. Di sekolah menengah juga, mengambil aliran agama dan giat menghafaz al Quran. Ilman pula mendapat pendidikan dari sekolah biasa. Dia sangat menyayangi dan menghormati ilmu dan ketokohan Anas yang kadangkala dilihat lebih matang darinya.

" Eh..taklah dik. Abang memang sedang fikir tentang dia. Abang rasa macam pernah jumpa dia."

" Betul ke bang? Kat mana? Mungkin kat kampung ni juga kot... kan dulu kita kerap je balik kampung."

" Entah..."

" Abang..Anas tahu Kak Nina tu cantik sangat. Tapi, sekiranya abang memang suka dia dan setuju nak kawin dengan dia, Anas harap bukanlah semata kerana dia cantik."

Anas masih cuba mengingatkan abang yang dikasihinya. Ungkapan itu turut membuatkan Ilman berfikir. Ya, dia akui ada pesona pada wajah gadis itu. Malah, hatinya turut merasakan debaran saat menatap wajahnya semalam. Dia juga kurang mengerti pada perasaannya. Cuma hatinya masih tertanya tanya tentang gadis itu. Dia masih di dalam lamunan.

Lama berfikir dan mundar mandir di bilik yang dikongsi bersama adiknya, dia lantas teringatkan sesuatu.

" Yes.."

Kalimah itu keluar dari bibirnya penuh teruja. Anas yang sedang membaca terus berpaling memandangnya. Masih pelik dengan kelakuan abangnya. Tak sempat dia nak buka mulut untuk bertanya, abangnya sudah bangkit dari katil dan meluru keluar. Anas perlahan bangun dari kerusi dan mengikut ke mana arah abangnya pergi.

Di ruang tamu, mama, papa dan mak longnya sedang berbual santai. Ilman mendekati mereka, diikuti Anas.

" Mak long... Nina Syuhada belajar kat mana dulu?"

Ilman terus bertanya. Hatinya penuh tanda tanya. Mak longnya memandang wajahnya kehairanan. Sebelum ini tidak pernah pula Ilman bertanya tentang Nina.

" Entahlah kat mana.. yang mak long tahu, dia belajar luar negara macam Man juga."

Jawapan mak longnya agak tidak memuaskan hatinya.

" Kenapa Man?"

Mamanya bertanya. Kehairanan juga. Mungkinkah Ilman sudah mula suka pada gadis pilihan mak longnya? Sejak balik dari merisik Nina Syuhada, dia masih belum bertanya hati ke hati, apakah Ilman menerima gadis itu sebagai isteri.

" Erk..takde apa ma.. cuma.. Man seperti pernah melihat dia suatu masa dulu. Tapi.. takut Man silap."

Ilman memberi jawapan yang merungkaikan persoalan semua orang. Masing masing diam.

" Mak long..boleh tak Man nak jumpa Nina petang ni??"

Ilman menyambung kata tanpa disangka. Permintaannya mengejutkan semua orang. Mama dan papanya saling berpandangan.

" Untuk apa bang? Penting sangat ke sehingga perlu berjumpa?"

Anas seperti kurang bersetuju. Dia bimbang tindakan abangnya itu melampau dan menyimpang.

"Maksud abang.. abang nak jumpa dia di rumahnya, ditemani mama dan mak long."

Ilman menjawab, bimbang disalah sangka.

" Ya...abang rasa penting..penting untuk menjawab persoalan hati abang. Jika sangkaan abang benar, abang tak ragu untuk terima dia sebagai isteri abang."

Jawapan Ilman sekali lagi memberi kejutan pada semua orang. Sehingga begitu sekali? Apakah sebenarnya yang berada di fikiran Ilman? Tak siapa dapat menduga.

Mak long dan mamanya bersetuju untuk ke rumah Nina Syuhada. Jika memang ia penting buat Ilman, mengapa tidak? Lagipun mereka selama ini sudah berusaha mencarikan calon buat Ilman dan susah payah memujuknya.

……………………………………..


Petang itu mereka bertiga menuju ke rumah ibubapa Nina Syuhada. Kedatangan mereka sudah dimaklumkan kepada tuan rumah. Ilman tidak pasti apa perasaannya pada gadis itu. Hatinya mendesak untuk bertanyakan khabar dan merisik cerita.

Kedatangan mereka disambut baik. Ibubapa Nina Syuhada memberi layanan mesra. Mereka duduk di ruang tamu, bersama hidangan kuih dan minuman. Nina Syuhada juga diminta keluar bertemu tetamu. Meski dalam keberatan, dia memenuhi permintaan ibu dan ayahnya. Hatinya tertanya tanya. Untuk apa Ilman datang lagi. Kalau mahukan jawapannya, sudah dia jelaskan. Terserah pada ibu dan ayahnya.

Nina Syuhada duduk di samping ibunya selepas bersalaman dengan mama dan mak long Ilman. Perasaan malu masih menguasai diri. Apatah lagi Ilman juga ada bersama. Dia sendiri tidak dapat mengingati wajah sebenar Ilman. Wajah itu hanya dipandang sekilas lalu lantaran dia tersangat malu. Hari ini juga, langsung wajah Ilman tidak dipandangnya meski Ilman dari tadi memerhati ke arahnya.

Mereka membuka bicara. Mak longnya meminta maaf kerana datang ke rumah dengan agak tiba tiba. Pastinya mengundang tanda tanya tuan rumah.

" Ya.. saya yang patut minta maaf pada pak cik, mak cik dan...Nina.."

Ilman memberanikan diri bersuara. Dia juga segan, tetapi dia tahu dia perlu berani.

" Anggap saja ini sebagai taaruf saya dengan..bakal isteri saya"

" Saya yang minta mama dan mak long datang ke sini. Rasanya tidak manis jika hanya saya berdua dengan Nina untuk memulakan perkenalan."

Ilman terus melafazkan kata. Nina sekilas menjeling ke arahnya. Dia juga tak menyangka Ilman orangnya berani berbicara seperti ini. Sekurang kurangnya Nina tahu, dia pemuda beradab. Dan.. boleh tahan juga rupanya. Lantas Nina tertunduk. Rasa malu sendiri. Sempat pula dia membuat penilaian.

" Boleh saya tahu, Nina graduan dari universiti mana?"

Tanpa berlengah Ilman bertanyakan soalan yang berlegar di di fikirannya. Matanya tepat memandang Nina. Nina membalas pandangan itu. Masih segan dan malu.

" University of Cambridge"

Nina menjawab persoalan Ilman. Ilman seperti kelegaan mendengar jawapan itu, lantas terukir senyuman di bibirnya.

" Kalau macam tu, mungkin saya tak silap. Nina junior saya semasa di universiti dulu..."

Semua orang seakan terkejut mendengar penjelasan itu, termasuk Nina Syuhada. Dia juga tidak tahu Ilman lulusan dari universiti yang sama.

" Ya. Mungkin Nina tak kenal saya. Tapi.. saya pernah sambut Nina dan kawan kawan satu batch Nina di airport, semasa hari pertama Nina menjejakkan kaki ke UK."

Sekali lagi Nina terkejut dengan penjelasan itu. Fikirannya berputar mengingati kenangan di hari pertamanya menjejakkan kaki ke UK. Dia masih ingat, dia dan kawan kawannya yang lain disambut oleh sekumpulan pelajar senior dari Malaysia. Namun dia tak kenal setiap seorang dari mereka. Dia juga tidak pernah tahu, salah seorangnya adalah Ilman, bakal suaminya ini. 

Nina perlahan lahan mengangguk. Terasa takjub sekali. Kenangan itu sudah lebih 4 tahun berlalu. Dia kini fresh graduate dari universiti tersebut. Menanti hari konvokesyennya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

" Masa tu saya sudah di semester terakhir. Jadi, mungkin Nina tak pernah kenal saya...lagipun di sana saya dikenali sebagai Syah, bukan Ilman..."

Ilman melanjutkan bicaranya lagi. Lantas senyuman terukir lagi di bibirnya.

" Syah..."

Suara hati Nina berbisik. Seperti biasa mendengar nama itu suatu ketika dulu.

" Kalau ikutkan dah lama sangat tu Man. Tak sangka Man boleh ingat lagi pada wajah Nina ya.."

Mak longnya bertanya pula tiba tiba. Ilman senyum lagi. Ya, mungkin agak menghairankan. Itulah pertemuan mereka yang pertama dan terakhir. Lagipun bukan Nina seorang pelajar baru yang disambutnya pada hari itu.

" Sebabnya mak long... mama..."

Ilman berhenti seketika. Tak tahu dia perlu jujur menjawab atau sebaliknya.

" Hari itu Man sudah jatuh cinta pandang pertama pada seorang gadis... gadis yang sopan berjubah hijau muda dan bertudung labuh. Dia satu satunya yang kelihatan berbeza dari yang lain.."

Ilman menjawab jujur akhirnya, sambil matanya melirik ke arah Nina. Muka Nina merona kemerahan menahan malu. Dia tidak menyangka jawapan itu yang keluar dari mulut Ilman.

Dia tahu dialah gadis yang dimaksudkan Ilman. Jubah hijau muda itu jarang dipakainya, hanya untuk hari-hari tertentu yang dirasakan penting seperti hari pertamanya di UK dulu, dan di hari keluarga Ilman datang merisik. Dia tertunduk menahan malu yang amat. Ada senyuman di wajah ibubapanya, mama Ilman dan mak longnya. Mereka seakan mengerti.

Kini sudah jelas, segala persoalan di hati Ilman terjawab. Dia tidak ragu untuk menikahi Nina Syuhada, gadis yang pernah menarik perhatiannya suatu ketika dulu. Walau dia hampir terlupa, namun pada pengamatannya,Nina yang dulu dan hari ini tidak berubah sedikit pun.

Mereka menyambung bicara dan perkenalan lagi. Nina banyak berdiam diri dan mengunci kata. Dia masih agak segan dan malu. Apatah lagi dia tahu Ilman menyukainya. Dia sendiri, dalam diam turut terpikat dengan sikap berani, jujur, dan penuh beradab yang ditampilkan Ilman pada hari ini. Hatinya lebih tenang untuk menerima lamaran dari keluarga Ilman.

Tarikh pertunangan ditetapkan dengan persetujuan kedua belah pihak. Majlis akan diadakan pada bulan depan, selepas Nina selesai konvokesyennya. Ilman pulang dengan hati yang berbunga. Tak sangka, dia yang pada mulanya ambik endah tak endah saja akan hal penting ini, akhirnya menjadi yang paling gembira dan bersedia untuk berkahwin.

……………………………………


Nina Syuhada masuk ke biliknya selepas tetamunya mengundurkan diri. Dia mengambil kotak buku yang dibawa pulang dari kampusnya. Masih belum selesai dia mengemas semuanya. Majalah-majalah terbitan kampus edisi lama dibukanya satu persatu. Dia mencari wajah Ilman kalau-kalau ada terselit.

Jarinya berhenti membelek helaian majalah saat melihat deretan gambar beserta nama pelajar seniornya yang cemerlang dalam pelajaran. Salah seorangnya adalah Ilman.

" Ilman Syahran"

Dia menyebut nama yang tertera. Wajah itu segera dikenalinya. Tidak banyak yang berubah. Mungkin yang di dalam gambar  ini kelihatan lebih muda belia. Nina tersenyum sendiri. Tidak menyangka...

Kalau tidak silap, nama 'Syah' sering disebut teman serumahnya suatu ketika dulu, terutamanya oleh kakak senior. Sering disebut kerana cemerlang dalam pelajaran, tambahan pula punya rupa yang boleh memikat ramai gadis. Selain itu, tidak pula dia mendengar hal yang bukan bukan tentang Ilman.Tak hairanlah... cuma Nina Syuhada yang tidak begitu mengambil perhatian. Dia hanya mahu fokus pada pengajiannya. Masa itu masa untuk tumpukan pada pelajaran, bukan mencari cinta atau memilih calon suami. Itu prinsip yang sentiasa dipegangnya.

Kini hati Nina dipandu rasa tenang dengan pilihan orang tuanya ini. Hatinya mantap menerima Ilman sebagai suaminya. Sedikit sebanyak, hati dah mula terpaut pada perwatakan Ilman. Dia tersenyum lagi.

…………………………………………..


Kisah di suatu hari, di suatu ketika yang dulu..
Di semester terakhirku,
Saat aku ditugaskan untuk menyambut kedatangan pelajar baru dari Malaysia,
Kebanyakan teman sukakan tugasan ini, kerana kata mereka saat inilah boleh berkenal-kenalan dengan student baru, especially yang perempuan.

Aku?? Biasa biasa saja. Belum terlintas nak mengintai calon isteri..

Namun di hari tersebut, mataku tertatap pada seorang gadis yang berbeza penampilannya,
Ya... tak sama dengan teman temannya yang lain. Berjubah hijau muda, bertudung labuh menutup aurat sepenuhnya.

Sangat berbeza... dan memang berbeza.

Penampilan yang begini jarang ditemui di tanah air sendiri, apalagi di sini.
Hati berdetak dan bergetar memandang wajah lembutnya. Tak pernah aku rasa perasaan seperti ini.

Namun itulah pertemuan pertama dan terakhir kami.

Setelah itu, dia tidak kutemui lagi sehingga akhirnya aku tamat pengajian.

Tentang dirinya juga, langsung aku lupakan, dan tidak pernah memikirkannya lagi.

Sehingga hari itu.. hari yang baru berlalu,
Aku melihatnya buat kali kedua di rumah orang tuanya.

Berpenampilan yang sama. Masih sopan, masih ayu.

Sekali lagi hatiku bergetar dan berdebar,
Dia yang pernah aku jumpa, seterusnya aku lupakan, kini muncul kembali di depanku.

Apa yang ingin aku nyatakan atau tafsirkan..
Jelas ini cinta, jelas ini aturan Tuhan yang Maha Indah...

Nukilannya di atas sekeping kertas diserahkan pada adiknya Anas. Anas membaca, namun hairan, untuk apa luahan hati ini diserahkan kepadanya.

" Adik...berikan abang nasihat"

Ilman bersuara. Tepat menatap wajah adiknya. Anas faham maksud Ilman. Abangnya mahukan kata nasihat darinya, agar cinta yang sedang ditanggungnya ini tidak tersasar dari landasan agama yang benar. Betapa dia tahu, abangnya benar benar serius.

" Abang Ilman yang Anas kenal, memang seorang abang dan anak yang sangat baik. Itu sangat jelas..."

Anas memulakan sessi tazkirahnya. Ilman tersenyum mendengar ungkapan ikhlas itu. Dia diam, membiarkan Anas menyambung kata.

" Selama ini abang tak pernah bercinta, tak pernah sibuk keluar dengan teman wanita, tak pernah bercerita hal wanita, pendek kata abang sangat suci dalam hal itu...itu yang Anas tahu.."

" Namun kali ini Anas tengok abang betul betul sudah jatuh cinta. Mungkin buat pertama kali..."

" Hakikatnya cinta itu tidak salah. Tanpa kita paksa, dia sendiri datang. Namun pesona cinta itu adakala terlalu memukau hingga membawa kita jauh keawang-awangan. Kita berada di dunia fantasi. Kita hanya nampak yang indah indah.."

" Cinta boleh membuatkan sang pencinta menjadi angau, terbayang-bayang wajah orang yang dicintainya.. setiap masa, setiap detik. Hingga boleh jadi, lupa pada yang lain termasuk Tuhan."

Kata kata Anas membuatkan Ilman jadi takut. Sedikit sebanyak rasa itu sudah merasuk jiwanya. Bukan sekali dua wajah itu muncul di ingatannya. Memang indah dan mempesonakan.

" Oleh itu... cinta perlu didasari dengan Iman dan taqwa. Cinta orang beriman akan mengawal hati dan tingkahnya. Jika teringat, tidak sehingga hanyut. Jika rindu, tidak sehingga membawa kepada pertemuan demi pertemuan, atau sering berbalas masej. Cukuplah Iman menjadi benteng..gadis itu masih tiada ikatan halal buat kita. Hanya perkahwinan yang menghalalkan segala perhubungan yang lebih intim dan mesra."

" Buat masa sekarang, dia masih asing buat abang, dan abang masih asing buat dia, meski sudah diikat dengan ikatan pertunangan. Jadi, masa ini adalah masa untuk terus bertahan dan bersabar. Jangan melebihi batasan. Jika terbayang dan sering teringat pun sudah membawa kepada zina hati, apatah lagi jika disusuli dengan pertemuan dan seumpamanya.."

" Tiada jalan lain bang.. bernikahlah.. bawa cinta abang pada saluran yang betul dan diredhai Allah.."

Tekun Ilman mendengar kata nasihat adiknya. Terus terang, dia memang menjaga dirinya selama ini dari dunia yang penuh cubaan dan godaan. Namun dia bukanlah seorang yang sangat faham tentang agama, mujur saja Anas sentiasa ada untuk memberi peringatan pada dirinya yang adakala alpa.

" Terima kasih adik.. tak sia sia abang ada adik macam ni. Sejuk perut mama.."

"Erk... adik pernah jatuh cinta? Maklumlah kat sekolah adik tu abang tengok ramai sangat gadis solehah... ayu dan sejuk mata memandang.."

Ilman cuba menduga adiknya pula. Anas diam tak menjawab. Kenapalah abangnya tiba tiba tanya tentang cinta pulak. Malu juga dia untuk menjawab.

" Apalah abang ni. Anas baru nak ambik SPM. Jangan tanya soalan tu lagi boleh?"

Anas menepis soalan itu. Ilman tersengih. Dia tahu adiknya ini agak pemalu juga.

" Oklah...abang nak nasihatkan adik juga. Waktu belajar ni belajar la betul betul. Tak perlu sibuk nak bercinta. Nanti pelajaran entah ke mana, cinta entah ke mana..."

Giliran Ilman memberi nasihat pada adiknya dengan penuh kematangan. Dulu, itulah juga nasihat dari mama dan papa buat dirinya hingga dia tidak asyik mencari cinta. Dia hanya mahu berjaya dalam pelajarannya. Dulu, bukan kefahaman agama yang mendorongnya untuk menjaga diri dari dunia khayalan cinta itu, tetapi kerana mama dan papanya yang banyak memberi nasihat. Kini dia syukur, kerana mendengar nasihat mereka, batasan agama turut dijaga bersama.

Anas antara yang sering menegur dan menasihatinya. Adiknya itu banyak menyedarkannya dan memberi kefahaman padanya dalam hidup beragama.

Tidak lama lagi dia dan Nina Syuhada akan diijabkabulkan. Dalam bahagia dan tidak sabar menanti, hatinya tidak lepas dari debaran. Dia banyak membaca buku berkaitan dalam persediaan dirinya menjadi seorang suami dan ketua keluarga. Dia sendiri tidak menyangka akan menamatkan zaman bujang. Namun dia sudah bersedia. Mungkin ini jodoh yang telah tertulis untuknya. Senyuman terukir lagi di bibirnya buat kesekian kali..


Monday, 13 March 2023 0 comments By: Naemah

KOTA BHARU-HATYAI: 3 HARI 2 MALAM (PART 3)

Hari ketiga (3/3/2023)


Selesai menunaikan solat subuh, terus kemas-kemas barang dan bersedia untuk bertolak balik ke Malaysia. Percutian di Hat Yai dah tamat.


Kami check out dari hotel pukul 7.30 pagi, terus bertolak meninggalkan bandar Hat Yai. Dalam perjalanan, singgah makan di satu tempat dalam wilayah Pattani. Tadi tak breakfast dulu, masing-masing dah kelaparan sangat. Kami masuk kedai ‘five star’ yang menyediakan hidangan set ayam goreng dan burger. Makan pagi sekali dengan makan tengahari terus la kiranya ni. Dah kenyang, sambung perjalanan semula.


Kemudian, singgah pula di Masjid Keresek (dalam wilayah Pattani juga), sebuah masjid lama yang berusia lebih 500 tahun.  Masjid ini antara yang terkenal dan menjadi tarikan di sini. Semasa sampai, terdapat juga pelancong lain yang singgah dan bergambar di sekitar masjid ini.


Kemudian singgah pula di sebuah masjid untuk suami dan anak-anak menunaikan solat jumaat. Lepas tu masuk pasar Munok sekejap, dan akhir sekali singgah 7E buat kali terakhir, habiskan duit baht yang ada, sebelum meninggalkan Thailand. 


Sampai di imegresen Sungai Kolok jam 4 petang (waktu Malaysia). Selesai urusan di kedua imegresen Sungai Kolok dan Rantau Panjang, dan akhirnya tamat sudah percutian pendek ke Hat Yai. Sudah tentu, pulang bersama kenangan yang tak mungkin dilupakan. 


Alhamdulillah Allah permudahkan urusan perjalanan pergi dan balik, dan dipermudahkan juga urusan sepanjang berada di sana. Ada rezeki, boleh ke sana lagi dan bawa sekali ahli keluarga yang lain. Pengalaman pertama kali ini, boleh jadi panduan untuk percutian yang akan datang =)




Ready nak balik dah!













Berhenti makan 

















Di Masjid Kresek



Beli aiskrim kelapa



Berhenti solat Jumaat



Alhamdulillah dah sampai Malaysia




HATYAI PART 1


HATYAI PART 2

KOTA BHARU-HATYAI: 3 HARI 2 MALAM (PART 2)

Hari kedua (2/3/2023)


Hari kedua di Hatyai, kami bersarapan di Restoren halal Dimsum Chabura. Ianya juga sebuah restoren yang sering disebut-sebut oleh pelancong dari Malaysia. So, kami datang untuk mencuba. Alhamdulillah masa sampai sini, tak ramai lagi pelanggan (katanya kedai ni selalu penuh dan susah nak dapat parking). Rezekilah, sampai-sampai terus dapat parking dan order makanan. Selain dimsum aneka pilihan, terdapat juga makanan lain. Kami order nasi kerabu thai, nasi goreng, gyoza, telur gulung (apa ntah nama dia), last-last dimsum tak beli pun sebab dah banyak sangat makanan dan semua dah kenyang. 




















Lepas sarapan, kami menuju ke Samila Beach, Songkhla. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit dari Bandar Hat Yai. Alhamdulillah cuaca hari ni sangat baik. Kami melepasi bandar Songhkla dan akhirnya tiba di Samila Beach pada pukul 9 pagi. Ya, kat sini pun masih tak ramai pengunjung. Mulanya kami semua turun nak bergambar dan mengambil angin di pantai, tapi kat sini terdapat banyak pula anjing dan monyet berkeliaran. Last-last, suami dan dua anak (Mussaab dan Suri) je yang ke pantai. Mereka bergambar dengan patung duyung (trademark kat sini), main buaian, makan aiskrim dan menunggang kuda juga. Seronok katanya, rugilah ummi, Anas dan Miqdad tak ikut. 


Kemudian suami bawa ke bahagian lain (di pantai tu juga), di mana bahagian ni langsung tak ada orang. Anjing dan monyet juga tak ada. Semua turun ke tepi pantai, hirup udara nyaman di sini, main buaian dan bergambar. Cuaca agak panas, angin kuat dan ombak juga besar. Langsung tak boleh main air pantai kat sini. Di sekitar pantai ni terdapat 3 buah universiti, salah satunya ialah Universiti Thaksin. Kami meninggalkan pantai dan menuju ke tempat yang seterusnya, iaitu Masjid Songkhla. 






















































Masjid Besar Wilayah Songkhla juga antara tarikan pelancong yang datang ke Hat Yai. Masjid yang gah berdiri, di samping landskapnya yang agak cantik juga, kami mengambil peluang untuk bersolat di sini. Sebelum azan berkumandang, kami duduk bersantai di bawah pokok, jauh sikit dari masjid (masih dalam kawasan masjid). Makan sedikit bekal yang ada, sehinggalah masuknya waktu zohor. Kami solat jamak zohor dan asar di sini. 






































Selesai menunaikan solat, kami menuju pula ke Municipal Park, di mana kat sini pengunjung dapat menaiki cable car untuk melihat pemandangan bandar Hatyai dan Songkhla dari atas. Tapi disebabkan cuaca yang berangin kuat hari ni, kami tak jadi nak naik cable car. Hanya melihat pemandangan dari atas bukit dan bergambar di sekitar tempat ini. Agak tenang berada di sini. Dapat melihat pemandangan yang cantik dan menghirup udara yang segar.  Dah puas berada di sini, kami meninggalkan Municipal Park dan balik semula ke hotel. 


































Suami keluar semula bersama Mussaab menuju ke Kim Yong Market untuk membeli kekacang yang dijual dengan harga yang lebih murah di sini, berbanding di Malaysia. Oleh kerana tak jauh, mereka just naik motor tambang dengan bayaran 20 baht sehala. Selesai membeli, balik semula ke hotel dengan motor juga.










Kemudian kami sekeluarga keluar lagi untuk makan malam. Kali ni, try naik tuk tuk pula. Mulanya kami ke Lee Garden Night Market (tambang 100 baht) tapi tak berapa selera nak makan kat sini, sebab saling bersebelahan gerai yang jual makanan halal dan tak halal. Kami tak berjalan lama kat sini, dan memang tak berniat nak shopping pun, terus ambil tuk tuk dan ke Asean Night Market (100 baht) dan menuju ke tempat makan yang kami pergi malam tadi. Kat sini, anak-anak order nasi goreng dan kueteow goreng sekali lagi (itu jelah yang mereka suka). Dah kenyang makan, turun bahagian bawah, ambil angin di ruang lapang yang disediakan, pusing-pusing dalam pasar sekejap dan balik semula ke hotel. Dah penat sangat dah semua, dari pagi ke malam berjalan. Balik rehat, solat dan tidur. Esok pagi nak bertolak balik Malaysia dah.























Sambungan dari; 

HATYAI PART 1


Bersambung

HATYAI PART 3