Monday, 30 December 2019 0 comments By: Naemah

CAMERON HIGHLAND: SEPINTAS LALU


Entri terakhir sebelum masuk tahun baru 2020 :)


Menjelang cuti akhir tahun persekolahan;

Selepas seminggu berada di rumah

Selepas hampir 3 minggu berada di kampung 

Selepas lebih kurang 10 hari pula berada di rumah

Akhirnya dapat juga ‘bercuti’ satu family ke Cameron Highland selama 2 hari 1 malam 

Alhamdulillah, walau agak singkat masanya namun tetap memberi kepuasan tersendiri 

Walaupun Cameron Highland adalah tempat yang sering dituju, tetap ia menjadi lokasi percutian yang menyeronokkan (at least untuk ummi :D)


Pada 28/12/19, seawal 5 pagi bertolak meninggalkan rumah (Semenyih). Singgah solat subuh di R&R Rawang, singgah breakfast di R&R Tapah, singgah sekejap di Air Terjun Lata Iskandar, dan akhirnya sampai di Cameron Highland sekitar jam 11 pagi. Kami menginap di Homestay (Khor’s Apartment) yang terletak di Tanah Rata -Rm 220 semalaman. Apartment ni memang sangat selesa untuk keluarga kami sebab ianya mempunyai 3 bilik dengan 3 katil queen, siap extra bantal dan toto lagi. Nak tambah ahli keluarga lain pun boleh sangat!


Sebelum check in, kami ke Taman Agroteknologi Mardi, kemudian makan tengahari di medan makan yang berdekatan, lepas check in, rehat, solat dan tidur di bilik sehingga asar. Jam 5 petang, keluar membeli makanan di pasar malam, kemudian pusing-pusing di sekitar tanah rata, dan kemudian lepaskan anak-anak bermain sepuasnya di Taman Pertabalan Tanah Rata, tempat yang memang anak-anak suka datang :) dah nak dekat masuk waktu maghrib, kami meninggalkan taman dan menuju ke penginapan. Penat dan mengantuk sangat. Lepas makan malam, solat, akhirnya tidur awal semua. 


Hari kedua, bersedia untuk balik kampung (kali kedua). Kami meninggalkan apartment sekitar jam 8 pagi. Breakfast dulu di sebuah kedai makan di Brinchang, kemudian naik ke Big Red Strawberry Farm, minum kopi, makan ais krim, salad dan fire cracker, dan terus meninggalkan tempat itu bila pengunjung pun dah semakin ramai. Maklumlah, hari minggu dan masih di musim cuti persekolahan. Jalan dah mula sesak, syukurlah kami keluar lebih awal. Kalau tak, tak tahulah jam berapa baru boleh keluar dari kawasan Cameron Higland. Sebelum balik beli sedikit jagung dan sayur untuk dibawa pulang. 


Alhamdulillah, sekitar jam 10.30 pagi kami dah turun dari Cameron Highland dan menuju ke kampung. Sampai di rumah Mek di Jeli jam 2 petang, berehat dan bermalam di rumah mek malam ni. Esok paginya ke Kota Bharu rumah mak mertua pula. Juga tak lama, sebab cuti sekolah sudah sampai ke penghujungnya. Insya Allah malam ini akan bertolak balik ke Semenyih-bawa sekali adik ipar yang nak balik UIA. Semoga Allah permudahkan musafir kami.


Alhamdulillah untuk ‘perjalanan’ ini. Menutup tirai 2019, dapat habiskan masa berkualiti dengan setiap ahli keluarga tercinta. Dapat juga anak-anak berjalan makan angin selain balik kampung.


Alhamdulillah. Semoga Allah memberkati musafir dan setiap langkah perjalanan kami. آمين



Breakfast di R&R Tapah








Di Lata Iskandar 









Dah sampai Cameron Highland 

(Banyak sangat gambar ni)
































































Thursday, 26 December 2019 0 comments By: Naemah

SRAI PEKAN BERANANG: PENDAFTARAN DARJAH 2


Kurang lebih seminggu saja lagi nak masuk ke tahun baru 2020, dan anak-anak juga akan kembali bersekolah. 


Alhamdulillah hari ini selesai pendaftaran Anas ke darjah 2. Yuran persekolahan sudah dibayar semuanya, tinggal yuran makan setiap bulan sahaja. Mussaab pun dah selesaikan bayaran pendaftaran lebih awal, dan sekarang (untuk sementara waktu) tak perlu fikir pasal nak keluar duit yuran lagi :)


Pengalaman hari ni, ke SRAI Pekan Beranang bersama anak-anak, Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri. Kebetulan lagi tahun ini suamiku tak ada di rumah pada hari pendaftaran Anas (seperti tahun lepas juga). Maka akulah yang bertanggungjawab, siapa lagi kan? Kalau dia ada, senang je. Sorang-sorang pun boleh settle, sebab urusan pembayaran yuran tu sekejap sangat. Tapi nak buat macam mana, plan Allah lain :)


Jam 8.30 aku dan anak-anak meninggalkan rumah. Sampai-sampai, dah banyak kereta parking kat luar sekolah. Alhamdulillah ada ruang lagi kat dalam perkarangan masjid (sebelah sekolah). Terus menuju ke  dewan (masa ni tengah ada taklimat untuk ibubapa pelajar darjah satu). Syukur juga tak lama sangat nak menunggu giliran membayar yuran. Sekejap je dah settle. Miqdad kat tepi dok berbisik lapar. Lepas bayar yuran terus ke kantin sekolah.


Di kantin, masing-masing menjamu selera dengan nasi lemak. Semua dah lapar sangat, semuanya makan berselera. Dah selesai makan semua, ke koperasi sekolah untuk beli baju sukan dan lencana (tapi lencana dah kehabisan stok). Selesai kat situ, terus bersegera untuk balik.


Nak dijadikan cerita, tayar kereta bocor. Nak naik kereta baru perasan. Tak tahulah sama ada baru bocor, atau dari rumah tadi lagi. Tak ada pilihan lain, dengan anak-anak yang masing-masing dah kepanasan, aku drive juga balik rumah. Perlahan saja drive. Alhamdulillah sampai rumah dengan selamat. 


Apapun syukur melalui hari yang dipermudahkan oleh Allah, walaupun suami tak ada bersama. Anak-anak semuanya terkawal baik, walaupun memang perlu sentiasa berpesan dan berjaga-jaga (risau berlalu hal yang tak diingini). Alhamdulillah urusan tak memakan masa yang lama sangat. Jam 10.30 dah sampai rumah. 


Terima kasih Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri kerana memberikan ‘kerjasama’ yang sangat baik hari ni. Semuanya bagus, semuanya dengar cakap. Alhamdulillah :)



‘Kita’ hari ini;




















Wednesday, 18 December 2019 0 comments By: Naemah

DAH BALIK RUMAH

(29/11/19-17/12/19)


Lebih kurang 18 hari berada di kampung, akhirnya balik ke rumah. Anak-anak semua dah tak sabar nak kembali. Mungkin sebab di kampung banyak main sesama sendiri saja. Sepupu jauh tak sempat nak jumpa. Sepupu dekat pun, jarang-jarang dapat jumpa. Paling frust, tak dapat jumpa Umar, Uwais dan Urwah yang dah balik ke Sabah. Mereka balik rumah nenek, Anas dan adik-adik berada di rumah mek. Abi pula di laut, maka TakdirNya tak dapatlah bersua. Insya Allah ada rezeki boleh jumpa. Tak pun nanti kita ke Sabah lagi :D


Balik hari tu pun hujan memanjang. Banyak duduk dalam rumah je. Sempat sekali main banjir kat rumah pok ngoh. Semalam balik, diberitahu banjir teruk melanda kampung. Kesian sangat, kereta dan motor Pok ngoh tak sempat diselamatkan. Alhamdulillah rumah Mek di atas bukit, so tak pernah banjir la setakat ni.


Hari tu abi balik kampung menaiki viva sebab tiba-tiba kereta lagi satu tu ada masalah dan terpaksa hantar ke bengkel. Dengan viva tulah juga kita balik ke Semenyih. Agak sesak juga, 6 orang semuanya dengan barang-barang lagi. Carseat Suri pun tak boleh nak letak sebab akan menyempitkan lagi ruang. Terpaksa la ummi pangku Suri dari Kelantan ke  Semenyih. Alhamdulillah selamat sampai, dan perjalanan juga sangat dipermudahkan oleh Allah. Syukur sangat. Cuma biasa la, drama-drama swasta dengan anak-anak kecil bersilih ganti di dalam perjalanan yang panjang ni. Tapi takpe, bila dah besar semua dah tak adalah momen-momen macam ni lagi kan?


Kini sudah hari ke-2 berada di rumah sendiri. Rumah masih tak terurus baik. Nak kena kemas sana sini. Tapi perlahan-lahan la. Masih tiada mood nak buat operasi. Pulak tu balik-balik tengok najis tikus penuh dalam kabinet dapur. Entah macam mana boleh masuk siap buat macam rumah sendiri lagi tu. Settlekan yang tu dululah semalam. Habis kena cuci semua. Alhamdulillah dah settle bab tu. 


Anas, Mussaab dan Miqdad kembali ke rutin biasa di rumah. Cuti sekolah masih berbaki, entahlah tak tahu pengisian apa untuk hari seterusnya ni. Abi masih di rumah, nanti akan kembali bekerja juga. Insya Allah akan baik-baik saja semua. 


Alhamdulillah untuk segalanya yang telah dilalui bersama :)




Perjalanan balik

(6am-3pm)








Home sweet home

Alhamdulillah 









CERPEN: MARYA AZZAM




Intan Syuhada menutup bukunya setelah merasakan matanya sudah kepenatan kerana menatap buku itu sejak sekian lama. Matanya terarah ke tempat kanak kanak yang sedang asyik bermain. Dia mencari kelibat anak saudaranya Afiq dan Azra. Tersenyum dia melihat gelagat mereka yang begitu asyik dan seronok bermain air. Abang dan kakak iparnya mengawal anak anak mereka.


Intan memerhati setiap penjuru yang dipenuhi kanak kanak riang tersebut. Hatinya turut terhibur dengan gelagat mereka yang bermacam. Kemudian matanya tertumpu pada seorang lelaki dalam lingkungan umur  30an yang juga sedang mengawal anak anaknya yang sedang asyik bermain air. Setiap anaknya tidak terlepas dari pandangan ayahnya itu. 


Entah kenapa, mata Intan masih tertumpu pada lelaki itu. Seperti ada sesuatu yang luar biasa pada watak lelaki itu. Orangnya boleh tahan, ada rupa dan berperwatakan menarik walaupun berkulit sedikit gelap. Manis senyumannya, saat melayan anak anaknya. Tiga orang anaknya, Intan cuba mengagak. Yang paling besar nampak seperti sebaya Afiq yang berusia 6 tahun, dan yang paling kecil mungkin 2 tahun atau lebih. 2 lelaki dan seorang perempuan. Comel semuanya. Intan senyum sendiri.


Selepas menunggu hampir satu jam, abang serta kakak ipar dan anak saudaranya datang menghampiri. Mereka sudah selesai bermain air. Pakaian yang basah juga sudah ditukar. Masing masing duduk dan mula membuka bekalan yang dibawa dari rumah. Sandwich, mi goreng dan air. Afiq dan Azra makan berselera. Lapar dan penat bermain air. Intan gelihati melihat mereka berdua yang asyik makan sambil bercerita tentang keseronokan mereka bermain air. Intan turut mengisi perutnya yang juga sudah lapar.


Selepas itu mereka bersiap siap untuk meninggalkan tempat tersebut. Segala barang dikemas dan segala  sampah dibuang ke tong sampah yang tersedia. Intan melipat tikar yang mereka duduk tadi. 


"Assalamualaikum.. Irfan."

Ada suara yang menyapa. Masing masing berpaling ke arah suara itu. Irfan, abang intan memandang lelaki yang menyapa dengan wajah terkejut, namun wajahnya kemudian terukir senyuman. Ternyata dia mengenali lelaki yang memberi salam itu. Intan turut terpaku, inilah lelaki yang diperhatinya dari jauh tadi. Anak anaknya yang comel turut  serta mengekori ayahnya.


"Waalaikumussalam... Hey. Azzam.. Kau pun datang sini?"

Irfan lantas membalas salam yang diberikan.


"Aah... Bawak anak anak aku ni. Dah lama ajak main air kat sini."

Balas Azzam sambil menunjuk ke arah anak anaknya.


"Ooo... Aku pun bawak anak isteri ni juga. Kebetulan hari minggu, cuti kan. Emm... Bertiga je?"

Irfan teragak agak bertanya. Tak tahu soalan itu sesuai atau tidak. Namun Azzam tetap membalas dengan senyuman.


"Ye.. Bertiga saja."

Dia menjawab ringkas, namun tetap tersenyum. 


Intan menyambung kerja mengemas yang tergendala tadi. Abangnya masih berbual dengan sahabatnya itu. Bertanya banyak perkara. Sepertinya abangnya kenal benar dengan lelaki bernama Azzam itu. Malah kakak iparnya, Roza sesekali menyampuk perbualan mereka. Intan meneruskan kerjanya tanpa menghiraukan lagi isi percakapan mereka.


Selepas semuanya selesai, Irfan berjabat tangan dan bersalaman dengan sahabatnya Azzam yang sudah lama tak bersua itu. Kebetulan pula bertembung hari ni tanpa disangka. Kalau ikutkan masih mahu berbual panjang, tapi masa tak mengizinkan. Mereka berpisah akhirnya. 


Intan mengikut abangnya ke tempat parking kereta. Mereka sekeluarga menaiki kereta untuk pulang ke rumah. 


" tak sangka Azzam masih sendiri sejak isterinya meninggal kan bang? Dah lama tak dengar cerita dia."

Roza memulakan bicara. Masih terkesan dengan pertemuan dengan Azzam tadi. Irfan mengangguk anggukkan kepalanya.


" ye.. Abang pun dah lama tak contact dia. Dah lama tak sembang dengan dia macam dulu dulu. Yelah, sejak isterinya meninggal, dia berhenti kerja, balik tinggal dengan mak dia. Masa tu masih lagi bertanya khabar semua.. Tapi lama lama dek kerana sibuk dengan tugas dan kerja masing masing, terus senyap tak tahu apa cerita"

Irfan membalas. Terasa juga kesal di hatinya kerana hampir melupakan sahabatnya itu. Intan mendengar dalan diam. Agak menarik juga kisah lelaki bernama Azzam ini. Rupa rupanya seorang duda yang kematian isteri.


" dah berapa lama agaknya isteri dia meninggal ya?"

Roza cuba mengingat. 


" sama umur dengan anak dia yang bongsu tulah. Dalam 2 tahun kot. Kan dia meninggal selepas melahirkan anak."


Roza menganggukkan kepalanya, cuba mengingati. Dia juga kenal isteri Azzam walaupun jarang berjumpa. Apa yang dia tahu, Azzam adalah sahabat baik suaminya ketika belajar di universiti dulu. Selepas masing masing berkahwin, ada juga beberapa kali mereka bertemu dan sempat berkenalan dengan isteri Azzam. Seingatnya, Marya isteri Azzam seorang yang sederhana dan cantik juga pada pandangannya. Orangnya juga agak pendiam dan lemah lembut dalam tutur kata. Selebihnya Roza tidak tahu dengan lebih mendalam. Cuma dia yakin Marya seorang isteri yang baik dan sempurna untuk Azzam. Hatinya cukup sayu saat menerima berita tentang kematian Marya selepas bersalin anak bongsu mereka itu. 


" comel sangat anak anak Azzam. Yang bongsu tu perempuan kan. Tak sempat nak bermanja dengan ibu dia."

Roza meluahkan rasa simpati.


"Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. Kita doakanlah semoga mereka dapat menjalani kehidupan ini dengan baik, meskipun tanpa kehadiran seorang ibu."

Irfan membalas. Sedikit sebanyak hatinya turut merasakan kesayuan dan simpati pada anak anak yang masih kecil itu. Anak sulung Azzam, Ihsan kini berusia 6 tahun. Anak keduanya, Ilham berusia 4 tahun, dan si bongsu Nisreen berusia 2 tahun. Sangat sedih untuk diingati, tetapi Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat mereka.


Intan hanya memasang telinganya dari tadi. Dia segan untuk menyampuk kerana  dia tahu kisah lelaki itu tiada kaitan dengannya. Tetapi sedikit sebanyak hatinya turut terkesan mendengarkan perbualan abang dan kakak iparnya tentang lelaki bernama Azzam itu. Malah hatinya turut dijentik sayu mengingatkan wajah wajah suci ketiga anak Azzam.


Irfan meneruskan pemanduan hingga tiba di rumah mereka. Dalam fikirannya masih terbayangkan Azzam dan anak anaknya. Terasa rindu, dan belum puas untuk bercakap dengan Azzam sahabatnya itu. Masih banyak perkara yang ingin ditanya. Tapi tak mengapa, masih boleh menghubungi Azzam lagi. Boleh berjumpa dan bercerita lagi, memandangkan Azzam kini sudah kembali tinggal di bandar ini. 



..........



Intan Syuhada asyik menatap skrin laptopnya. Sudah hampir satu jam dia cuba untuk menyelesaikan assignment yang perlu dihantar minggu depan. Dia yang mengambil kuliah Bahasa Arab sangat mencintai bahasa tersebut dan cuba sebaik mungkin untuk cemerlang dalam pengajiannya. 


Sudah lama dia tidak pulang ke kampung bertemu orang tuanya. Dia merupakan anak bongsu dari dua beradik, dia dan abangnya Irfan. Orang tua mereka tinggal berdua di kampung, abangnya pula bertugas di Kuala Lumpur sejak 8 tahun yang lalu. Intan rindu untuk pulang, tetapi perlu menunggu sehingga cuti semester akhir. Tamat exam yang akan datang, maka berakhirlah pengajiannya di sini.


"Intan... Termenung nampak!"

Bahu Intan disentuh seseorang lantas mematikan lamunannya. Ah.. Tak sangka dah mengelamun rupanya. Dia tersenyum pada teman sebiliknya itu, Raihana. Raihana pula mengambil jurusan Bahasa Inggeris di sini. Mereka mula kenal sejak di tahun pertama pengajian lagi, dan mereka berdua sangat rapat.


"Kau fikir apa? Aku balik pun kau tak perasan..."

Raihana bertanya lagi.


" entahlah.. Aku pun tak tahu aku fikir apa?"

Intan menjawab dan tersengih. 


"Kau dah abis kelas eh?"

Dia bertanya pula. Dia melihat jam. Oh, dah pukul 5 petang. Sungguh dia tak sedar masa berlalu dek kerana asyik membuat assignment dan mengelamun tadi. Dia senyum kembali pada Raihana.


" berangan nak kawin yee?"

Raihana mengusik. Maklumlah inikan semester terakhir mereka di sini.


" eh ke situ pulak kau ni. Takdelah.. Aku rindu mak ayah aku je. Tak sabar rasanya nak balik." 

Intan memberi penjelasan. Mudah mudahan Raihana tak salah sangka. Tapi... Tipulah kalau dia tak pernah fikirkan tentang perkahwinan. Dia juga seperti wanita lain. Mahu dicintai, mahukan membina kehidupan dengan insan bernama suami. Tapi sehingga kini dia tak punya calon, tak memungkinkan dia untuk bernikah dalam masa yang terdekat ini. 


Dalam berfikir, wajah seseorang singgah di fikirannya. Ya, lelaki yang berjaya menarik perhatiannya di hari tersebut. Lelaki yang bernama Azzam, duda beranak tiga, sahabat abangnya Irfan. Seperti pertama kali memerhatikan Azzam, dia merasakan ada sesuatu yang istimewa pada diri Azzam.


"Astaghfirullahal adzim.."

Jauh pula dia berfikir. Entah siapa siapa encik Azzam tu. Dia kembali ke alam nyata, menatap wajah Raihana yang masih setia di sisi. Raihana juga agak kehairanan melihat gelagatnya.


" eh.. Kau dah beli makanan untuk dinner?"

Dia cepat bertanya dan menukar topik.


"Belum lagi. Jomlah kita ke cafe. Makan kat sana lah. Awal lagi ni"

Balas Raihana.


"Ok.. Aku tak solat asar lagi ni. Kejap ye.. 10 minit"

Intan segera bangun dari duduknya dan segera ke toilet. Dah lama masuk waktu asar, rasa berdosa kerana tidak mengerjakan solat di awal waktu. Itulah, leka mengelamun. Tak sedar masa berlalu. Raihana menunggunya sambil membaca buku.



..........



Intan Syuhada akhirnya tamat pengajian dalam bidang yang diminatinya. Dia lulus cemerlang dalam peperiksaan hingga melayakkan dia menerima anugerah dekan. Ibu dan ayahnya hadir di hari konvokesyennya, hari yang sangat bermakna dalam hidupnya. Intan berpenampilan cantik dan sopan di hari bersejarahnya. Ibu dan ayahnya sudah pasti sangat bangga dan bersyukur kerana anak bongsunya kini sudah berjaya dalam pengajiannya. Abang dan kakak iparnya turut hadir di hari konvokesyennya bersama dua anak mereka. Di hari tersebut juga dia agak kesedihan kerana terpaksa berpisah dengan sahabat baiknya sekian lama, Raihana dan sahabat yang lain. Insya Allah, ukhuwwah ini akan tetap terjalin walau di mana pun mereka, jauh atau dekat.


Intan dan ibu ayahnya tinggal di rumah abangnya Irfan selama seminggu sebelum balik ke kampung. Intan rasa lega sekarang, kerana segalanya sudah selesai. Rindu bertaut pada sahabat sepengajian. Entah apa yang mereka semua akan lakukan selepas ini. Raihana katanya akan menyambung pengajian ke peringkat master. Kawan kawan yang lain ada yang sudah bekerja, bakal bekerja, tak kurang juga yang akan melangsungkan perkahwinan.


Intan termenung panjang. Dia sendiri kurang pasti apakah langkah seterusnya. Nak berumahtangga, jauh sekali menandangkan calon masih tiada. Ibu dan ayah pun tak pernah bertanya atau memaksa dia bernikah. Ada jodoh nanti, kahwinlah.


"Intan nak buat apa lepas ni? Takkan nak balik duduk kat kampung je? Ada minta kerja kat mana mana?"

Abangnya irfan bertanya saat mereka sekeluarga makan malam bersama. Semua mata tertumpu padanya.


" tak tahulah bang. Belum mohon kerja kat mana mana lagi. Ingat nak rehat kat kampung dulu. Spend masa dengan mak dan ayah dulu"

Intan menjawab jujur. Memang begitu niat hatinya. Kalau terus bekerja, nanti berjauhan lagi dengan ibu dan ayah yang pasti sangat merinduinya juga. Irfan menganggukkan kepalanya.


"Tapi.. Intan rasa macam nak sambung belajar juga. Apa pendapat semua?"

Intan menyatakan hasrat hatinya. 


"Ok jugak tu. Abang takde halangan"

Irfan memberi respon.


"Ayah dan mak pun tak kisah. Kalau rasa nak belajar lagi, teruskanlah. Elok juga tu, usia pun masih muda."

Ayahnya juga memberi persetujuan. Intan senyum. Nampaknya, mungkin ini pilihan yang terbaik. Mungkin ini juga jawapan istikharahnya. 


"Hmm.. Ayah ingat lagi tak pada kawan saya, Azzam?" 

Irfan tiba tiba menukar topik. Hati Intan turut bergetar mendengar nama Azzam. Tiba tibalah pulak abangnya ni. Ayahnya termenung dan berfikir sejenak.


" kawan kamu masa kat kampus dulu tu ke?"

Ayahnya bertanya untuk kepastian. Irfan lantas mengangguk.


"Ayah ingat... Kawan baik kamu tu kan. Baik sangat budaknya. Kenapa tiba tiba tanya?"


"Erk.. Takde apalah ayah. Kebetulan tadi keluar jumpa dia. Dia tahu ayah ada kat rumah, dia kirim salam pada mak dan ayah"


Irfan menjelaskan. Mak dan ayahnya menjawab salam tersebut, dan bertanya tentang Azzam. Irfan mula bercerita tentang sahabatnya itu. Intan hanya diam memasang telinga. Dia tidak mahu masuk campur memandangkan lelaki itu tiada kaitan dengannya. Namun cerita tentang Azzam amat menarik untuk didengar. Sedikit sebanyak, dia mula tahu tentang Azzam. 



..........



Intan Syuhada bersendirian di beranda rumahnya. Jam menunjukkan pukul 10 malam. Matanya masih belum mengantuk. Selepas solat isyak tadi dia menikmati makan malam bersama ibu dan ayahnya, dan mereka rancak berbual bersama. Sudah hampir seminggu dua di kampung. Hanya terperap di rumah. Dia sudah memohon untuk menyambung pengajiannya di peringkat master. Syukur, permohonannya diterima dan dia akan mendaftarkan diri 2 minggu lagi. 


Ibu dan ayahnya sudah lena tidur. Kini tinggal Intan sendirian melayan perasaan. Tak tahu apa nak buat. Nak baca buku pun terasa tiada mood. Dia hanya mengambil angin di beranda rumah. Terada nyaman dan nikmatnya suasana malam di kampung. Langit juga cantik dihiasi bintang bergemerlapan. Intan asyik membuai perasaan.


Dalam tempoh percutian ini, banyak kad jemputan kahwin yang diterima dari kawan kawannya, jauh dan dekat. Ramai antara mereka yang bakal menamatkan zaman bujang. Alhamdulillah, sudah jodoh mereka. Mana yang berkesempatan insya Allah dia akan hadir ke majlis tersebut. Mana yang tak sempat, hanya ucapan dan doa dari jauh mampu dihulurkan. Tipulah dia tak rasa cemburu mendengar khabar kawan kawannya yang bakal berkahwin. Cemburu juga, tapi dia terima kenyataan yang jodohnya belum tiba. Dan dia tak pernah jemu untuk berdoa agar dikurniakan pasangan hidup yang soleh dan terbaik untuk dirinya.


Hadir wajah Azzam di fikirannya. Entah, hati berdetak kasar. Ada debaran di hati. Ah.. Tak sangka wajah lelaki itu pula yang muncul. Kemudian hadir pula wajah wajah comel anak anak Azzam yang tak mungkin dilupa. 

"Adakah aku sudah jatuh cinta pada dia?"

Hatinya tertanya sendiri. 

" tak mungkinlah... Dia kawan abang aku, dia duda, dia entah siapa ..."

Hatinya membalas pula.


Sedikit sebanyak dia tahu tentang kisah hidup lelaki bernama Azzam. Setiap kali mendengar tentang Azzam, dia makin merasakan Azzam seorang yang baik dan istimewa. 


Azzam, seorang suami yang kematian isteri 2 tahun yang lalu ketika melahirkan anak bongsu mereka. 2 tahun juga dia sendirian menjaga anak anaknya. Menurut cerita abangnya, selepas kematian isterinya Azzam berhenti dari kerjanya sebagai seorang engineer dan kembali ke kampung bersama anak anaknya. Dia membuat berbagai kerja kampung demi untuk dekat dengan anak anaknya. Mujur juga ibunya masih ada, tolong jaga anak anaknya ketika dia bekerja. Adik adiknya juga ada yang masih tinggal bersama ibunya, dan mereka juga yang banyak membantu Azzam dalam urusan anak anaknya. 


Kini Azzam kembali bekerja seperti dulu. Dia sedar dia tak boleh terus bekerja di kampung kerana anak anaknya makin membesar, perlu sekolah dan banyak keperluan lain yang perlu dia sediakan untuk anak anaknya. Dia perlu mencari rezeki lebih, dan dia perlu melupakan kesedihan yang lalu. Kerana itu dia mengambil keputusan untuk kembali bekerja di kota. Ibunya bersetuju untuk tinggal bersamanya. Adik adiknya juga semuanya dah menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Adik bongsunya dah masuk kolej matrikulasi. Daripada ibunya tinggal sendirian, lebih baik dia tinggal bersama Azzam. Boleh juga tengokkan cucu cucunya itu. Azzam tak biarkan ibunya sendirian menjaga anak anaknya. Dia turut mengambil pembantu rumah untuk menguruskan rumah dan anak anaknya. 


Namun Intan tertanya tanya, kenapa Azzam tidak mencari pengganti isterinya? 2 tahun adalah tempoh yang agak lama, memikirkan anak anaknya yang masih kecil itu. Pasti mereka rindukan belaian seorang ibu. Barangkali dia masih tak mampu nak melupakan arwah isterinya. Barangkali juga dia belum temui pengganti yang layak. Intan meneka sendiri.


Intan hanyut dalam khayalannya tentang Azzam. Entah mengapa wajah lelaki itu sering hadir di ingatan. Mungkinkah suka? Mungkinkah cinta?


" stoplah berangan pasal dia.. " 

Intan mengejutkan diri sendiri. Rasa malu sendiri pun ada. Entah siapa siapalah Azzam tu. Bersua pun baru sekali. 



..........


Beberapa bulan kemudian, Intan sibuk dengan pengajiannya. Seperti sebelum ini, dia sangat fokus pada pengajiannya dan sering mendapat keputusan yang cemerlang dalam ujian. Tapi kali ini berbeza, kerana dia sudah menjadi tunangan orang. Malah dia sendiri bagaikan tak percaya yang kini dia sudah bertunang. Sebelum ini hanya memandang sepi tentang jodoh. Berteka teki sendiri tentang jodoh yang belum pasti. Hanya di dalam doa, menadah tangan agar dihadirkan insan yang terbaik buatnya.


Kini hal tentang jodoh hampir menjadi nyata. Dia akhirnya bertunang dengan insan yang dia sendiri tidak pernah kenal, namun istikharahnya meyakinkan hatinya bahawa lelaki ini adalah jawapan kepada doanya selama ini. 


Umrahnya di Tanah Suci sebulan yang lalu bersama keluarga menemukan dia dengan Ammar Iskandar. Yang nyata, dia tidak pernah mengenali Ammar dan tidak pernah bersua sekalipun. Di sana, dia bersungguh sungguh memohon pada Allah agar dihadirkan jodoh buatnya. Meskipun tak pernah bercinta, dan tak pernah rapat dengan insan bernama lelaki, namun dia juga insan yang punya impian untuk mempunyai pasangan hidup. Dan dia percaya, jodoh itu pasti ada untuknya. Dia memohon dan berdoa pada yang Esa dengan penuh pengharapan.


Ditakdirkan di sana, dia dan ibunya berkongsi bilik dengan seorang mak cik yang sangat peramah dan baik. Umurnya dalam lingkungan ibunya juga. Mak cik Aida, datang bersama anak lelakinya untuk menunaikan ibadah umrah. Suaminya sudah meninggal, dia datang bersama anak sulungnya yang juga satu satunya anak lelakinya. Ammar Iskandar, seorang pensyarah muda yang masih bujang. 


Urusan ibadah Mak cik Aida banyak dibantu oleh anaknya Ammar dan sering juga dibantu Intan. Intan tahu mak cik Aida datang bersama anak lelakinya, namun dia tak pernah sekalipun berpeluang untuk bertemu dengannya. Hanya mendengar cerita dari mak cik Aida. Banyak perkara tentang Ammar yang diceritakan padanya. Yang pasti, mak cik Aida sangat menyayangi Ammar dan banyak memuji anak lelakinya itu. Intan sentiasa menjadi pendengar yang setia, dan tersenyum saja saat mak cik Aida bercerita tentang anaknya.


Namun siapa tahu, itu permulaan dia dalam bertemu jodohnya. Mak cik Aida yang dianggap emaknya sendiri, rupanya berkenan untuk menjadikannya menantu.  Lamaran itu sampai setelah mereka pulang ke tanah air. Mak cik Aida menghubungi ibunya dan menyatakan hasrat suci tersebut. Dia tak pernah menyangka dan menduga. Insan bernama Ammar itu hanya dia kenal melalui cerita mak cik Aida. Namun ketika itu, dia hanya mampu berserah. Di dalam hatinya, mungkin sudah sampai jodohnya. Dia menyerahkan keputusan kepada kedua orang tuanya. Yang nyata, ibu dan ayahnya berkenan menerima Ammar sebagai menantu mereka. Intan akur.


Pertama kali bersua dengan Ammar di hari pertunangan mereka. Intan memandang sekilas lalu. Alhamdulillah hatinya tenang dan redha dengan wajah itu. Kerana yang pasti bukan wajah yang menjadi keutamaan dalam memilih jodoh. Yang penting, dia yakin dengan akhlak dan peribadinya. Dia juga percaya Ammar seorang anak yang taat pada ibunya.



...........


Intan tekun membaca setiap bait tulisan di blog yang sering dikunjunginya itu. Kini dia menjadi follower setia kepada blog MARYA AZZAM sejak setahun yang lalu. Tak sangka, pencariannya tentang Azzam menemukan dia dengan blog milik isteri Azzam ini. Ya, dulu hatinya sering terbayangkan wajah lelaki itu, hadir banyak tanda tanya tentang lelaki itu. Sehingga akhirnya dia bertemu blog yang sangat bermanfaat ini. Blog seorang isteri dan ibu bernama Marya Izzati. Gambar anak anak mereka dan juga Azzam meyakinkan dia bahawa Marya adalah isteri Azzam. Blog yang penuh dengan masej cinta dan panduan dalam melayari bahtera rumahtangga. Dia mencari kalau kalau ada gambar Marya, namun hampa. Tiada gambar penulis blog di situ.


Sepertinya, Marya seorang isteri yang baik dan sempurna untuk Azzam. Bait tulisannya penuh dengan masej dan pelajaran dalam ilmu rumahtangga. Ia memandu Intan yang baru beberapa bulan menjadi isteri kepada Ammar Iskandar. Dia akui, masih belum benar benar mengenali Ammar. Dan masih belum mampu menjadi isteri yang baik buat Ammar. Di dalam hatinya, dia mahu menjadi isteri yang solehah buat suaminya. Namun dia tetap akui, dirinya penuh dengan kekurangan dan kelemahan. Tak mungkin senpurna...


Marya.. Dalam diam hatinya mengkagumi, meskipun tidak pernah kenal dan meskipun hanya melewati tulisan insan istimewa ini. Pasti Azzam sangat mencintainya, pasti Azzam meredhainya. Pasti bahagia dia di sana. Hatinya diusik cemburu. Cemburu kerana  merasakan dia tak mampu untuk menjadi bidadari yang membahagiakan Ammar. 


Namun, dia berazam akan terus mencuba. Setiap bait tulisan Marya banyak mendidik hatinya. Semoga dia juga mampu.



..........


Jam menghampiri 11 malam. Azzam belum dapat melelapkan matanya. Anak anak nya Ihsan, Ilham dan Nisreen sudah lama lena dibuai mimpi. Dia memandang satu persatu wajah anak anak kesayangannya. Seperti biasa dia menghadiah kucupan buat mereka di samping doa. Ihsan dan Ilham tidur di bilik yang sama. Nisreen masih tidur bersamanya, atau bersama neneknya jika ayahnya tiada. Wajah Nisreen yang masih kecil direnung kesayuan. Anak kecil ini belum sempat merasakan kasih sayang seorang ibu.


Azzam sedar, menjaga anak kecil tanpa isteri di sisi bukan satu tugas yang mudah. Dia merindui kehadiran Marya yang suatu ketika dulu hanyalah seorang suri rumahtangga. Walau berkelulusan luar negara dalam bidang perakaunan, Marya akur dengan permintaan Azzam untuk tidak bekerja demi menjaga dan menguruskan anak anak mereka. 


Marya, isteri kesayangan yang dinikahinya 9 tahun yang lalu atas pilihan orang tua. Dia sebagai anak akur dengan pilihan ibunya. Marya, anak tunggal kepada pasangan berada, dan berkelulusan luar negara pula. Sedang dia, dari keluarga sederhana, anak sulung dalam keluarga yang besar. Dia juga yang menjadi tempat bergantung ibu dan 7 adiknya sejak ayahnya meninggal. Pendek kata, antara dia dan Marya banyak perbezaannya.


Dalam mengharungi bahtera hidup bersama, bersama perbezaan yang banyak, dia tahu Marya sudah sedaya upaya untuk menjadi isteri yang baik buatnya. Dalam tempoh bersama, dia akui bukan segalanya indah. Rencah rumahtangga ada berbagai rasa. Adakala mereka tak sekata, adakala mereka tak sehaluan. 


Marya, perwatakannya sebagai anak tunggal yang manja, ditangani Azzam penuh sabar. Adakala Marya cepat marah dan merajuk, mudah terguris dan cepat bersangka, malah sikapnya kadangkala seperti keanak anakan. Marya juga adakalanya mengeluh kepenatan menguruskan anak anak dan hal rumahtangga. Namun syukur jodohnya Azzam, seorang lelaki yang bersifat sabar, tenang dan hikmah dalam mendidik. Dari sikap itu Marya jatuh cinta, Marya berusaha untuk berubah menjadi yang lebih baik. Marya cuba untuk menjadi seorang yang lebih matang. Marya terharu dengan cinta, keikhlasan dan kesabaran Azzam.


Azzam akui, Marya telah mencuba yang terbaik sebagai seorang isteri. Marya cuba bertingkah laku dan bertutur bicara yang baik, Marya cuba menjadi isteri yang membahagiakannya, Marya cuba menjadi ibu yang sempurna untuk anak anak mereka. Anak anak diajar mencintai al Quran dan berakhlak dengan akhlak mulia. Marya mencuba, meski dalam kepayahan. Marya sujud menangis pada Tuhan kerana sering merasa berat dan gagal.


Azzam menatap tulisan tangan Marya yang disimpan rapi sejak sekian lama. Buku catatan dan blog menjadi tempat Marya menulis rasa hati. Penulisannya sangat baik dan mendidik. Tulisannya dari hati seorang wanita, isteri dan ibu. Catatan Marya menjadi pengubat rindu Azzam, meski dia akan menitiskan air mata setiap kali membacanya. Segala catatan yang tidak sempat dibaca ketika Marya ada. Dia tahu Marya suka menulis, namun tak pernah dia berkesempatan untuk membacanya. Dia tahu blog MARYA AZZAM menjadi bukti Marya mencurahkan seluruh hatinya untuk keluarganya. Catatannya penuh dengan masej cinta, dan pelajaran dalam kehidupan berumahtangga. Semoga catatan ini juga menjadi ilmu yang terus mengalir buat insan lain, dan menjadi ladang pahala buat Marya.


Azzam redha pada isterinya. Semoga damai Marya Izzati di sana.