Wah tajuk. Macam nak buat karangan budak sekolah rendah :b
Semua orang tahu definisi Suri rumah kan? Ringkasnya, suri rumah adalah gelaran kepada seorang isteri yang tak berkerjaya. Dok kat rumah je, jaga anak, siapkan makan minum dan pakaian suami dan anak-anak, masak, kemas rumah, dan banyak lagilah..
Di laman sosial banyak aku baca orang dok berdebat pasal siapa lebih banyak kerja? Siapa lebih penat? Siapa lebih mulia? Isteri bekerja atau suri rumah? Aku pun tak naklah masuk campur bab tu. Bagi aku, keduanya mulia dan terpuji, bergantung pada niat dan keikhlasan individu. Sebagai suri rumah, aku tak pernah rasa seorang suri rumah itu lebih baik dan lebih mulia dari seorang isteri/ibu yang bekerjaya. Tak layak nak rasa lebih baik, sebab ramai je aku tengok ibu yang mampu didik anak dengan baik (lebih baik dari aku) walaupun mereka tak sepanjang masa bersama anak-anak.
Kat sini aku cuma nak highlight bab ‘duit’ atau kuasa beli seorang suri rumah. Mungkin juga boleh jadi rujukan untuk seorang isteri yang sedang mempertimbang untuk teruskan kerjaya, atau berhenti kerja dan fokus pada rumahtangga.
Sebagaimana maklum, kami suri rumah tak ada ‘gaji’. Tak macam yang bekerja, tiap bulan gaji masuk, puas hati dapat hasil dari kerja keras sendiri, boleh sesuka hati berbelanja. Macam tulah mungkin rasanya kan?
Suri rumah tak ada gaji, tak ada duit sendiri. Bergantung pada suami. Ada yang suami kaya raya, tak hairan sangatlah. Mungkin tak payah minta, tiap bulan duit masuk akaun, dapat berbelanja sesuka hati. Ada juga yang mungkin suami dah tetapkan kadar yang nak dihulurkan pada isteri setiap bulan, sampai masa duit diserah ke tangan. Dengan duit tulah nak berbelanja apa yang perlu, cukup tak cukup, kena tunggu bulan seterusnya lah pula nak dapat duit lagi. Mungkin ada juga suami yang kena tunggu isteri minta dulu barulah diberinya duit. Entah, macam-macam cara dan kaedah lagilah agaknya bagaimana seorang suri rumah nak dapatkan ‘duit’.
Aku ni bukanlah yang tergolong dalam kalangan isteri yang mempunyai suami kaya raya. Tak kaya, tapi Alhamdulillah cukup. Tak dapat pegang duit banyak, tapi Alhamdulillah dicukupkan semua keperluan.
Bila sedar diri tak ada pendapatan sendiri, aku juga perlu sedar yang aku tak boleh berbelanja sesuka hati. Apa yang penting-penting saja. Apa yang mampu milik saja. Hakikatnya kemahuan itu banyak, tapi aku pilih diam dan pendam, sebab aku kena faham komitmen bulanan suami yang bukan sedikit. Senang je, kalau itu keperluan, minta! kalau sekadar kemahuan (takde pun tak apa), diam-diam sudah.
Kawan-kawan atau saudara yang mungkin ada produk nak jual, nak saja aku cakap ; Tolong jangan iklan barang pada aku! Bukan aku tak suka, tapi aku tahu aku takkan beli (bergantung pada harga la) lebih-lebih lagi kalau ia bukan keperluan keluarga. Yang selalunya aku beli ialah makanan, sebab makanan selalunya harga dia tak mahal, dan boleh makan sama-sama anak beranak. Kalau barang mekap ke, supplement ke, peralatan rumah yang macam-macam tu ke, sorilah... saya bukan orang berduit, juallah kat orang lain ye. Kat suami saya pun boleh. Yang penting jangan pada saya :D
Begitu juga la part nak memberi hutang pada orang. Mungkinlah ada yang nampak aku macam ‘senang’ je hidup kan. Tapi ketahuilah aku tak pernah rasa aku berduit, sebab semua datang dari suami dan apa-apa keperluan memang kena melalui suami, walaupun duit tu dalam akaun sendiri. Sekali lagi, aku bukan jenis yang berani nak keluarkan duit sesuka hati tanpa pengetahuan suami.
Begitulah serba sedikit coretan tentang ‘duit’ bagi seorang suri rumah seperti aku ni- tapi lain orang lain kisahnya. Nampak macam ‘miskin’ kan? Bergantunglah... bila kita redha dengan kerja kita, dan rasa cukup dengan apa yang kita ada, serta merta kita rasa kita dah ‘kaya’. Rasa cukup je semua.. ya, kuncinya fokus pada apa yang kita ada. Abaikan saja apa yang kita tak ada. Tenang...
Rasanya dah berjela dah kot aku menulis pasal aku seorang suri rumah ni. Kesimpulannya, seorang suri rumah ni perlu sentiasa tanamkan rasa ikhlas dalam diri, redha dengan tugas rutin harian yang memenatkan, walaupun tugas-tugas tu semua tak dibayar. Redha tak ada duit sendiri, tak dapat semua yang kita nak, dan perlu hidup dalam kemampuan kewangan suami..
Wahai isteri.. Moga sentiasa memilih untuk bersyukur. Kerana syukur itulah yang men’cukup’kan. Yakinlah.
ان شاء الله
Kepada yang mungkin sedang berkira-kira untuk berhenti kerja, mungkin boleh tanyakan pada diri, bolehkah nanti hidup dengan sekadarnya- bila tiada lagi wang masuk setiap bulan ke dalam akaun?
0 comments:
Post a Comment