Thursday 30 June 2016 0 comments By: Naemah

RUMAHTANGGA: SESEKALI DIUJI

Dunia rumahtangga banyak mengajar kita makna dalam kehidupan ini. Melatih diri bersabar, bekerjasama, bertolak ansur, saling memaafkan, bersyukur, dan segala nilai yang lain. Semakin lama di alam rumahtangga, semakin banyak yang kita belajar. Setahun bernikah, tak sama pengalamannya dengan yang dah bertahun menikah. Semestinya :)

Setiap pasangan berhadapan dengan ujian tersendiri, sesuai dengan keupayaan masing masing untuk menempuhnya. Hidup berumahtangga, sedikit atau banyak pasti teruji juga. Ada yang diuji dengan kesempitan kewangan, masalah kesihatan, anak anak nakal, sering terpisah dan berjauhan, tanpa anak, dibenci mertua, hadir orang ketiga, dan macam macam bentuk ujian lagi yang menggugat keutuhan rumahtangga.

Setiap ujian yang hadir, pasti memberi tekanan pada diri dan pasangan. Di sinilah memerlukan kebijaksanaan suami dan isteri dalam mengurus segala rasa, seterusnya tenang mengharungi ujian rumahtangga bersama sama. Ikut rasa, binasa...kerana bukan sedikit pasangan yang kalah dalam ujian, hingga membawa kepada kehancuran sebuah rumahtangga. Na'uzubillah..

Segalanya kembali kepada sikap kita. Sikap kita sendiri. Bagaimana ketika saat diuji itu, kita memilih untuk sabar dan tenang atau berkeluh kesah dan saling menyalahkan. Apakah kita sanggup untuk harungi susah dan sukar bersama, atau terus meletakkan bebanan pada pasangan. Bolehkah kita memilih untuk mengalah berbanding terus berperang mempertahankan ego. Mampukah senyuman ikhlas terus terukir buat yang tersayang, meski di saat hati sedang terluka.....

Medan rumahtangga ini, adakalanya sangat menguji emosi. Ujian yang mendatang terkadang rasa sangat berat untuk ditanggung. Betapa perlunya suami dan isteri untuk berpimpin tangan, mengharungi segalanya bersama sama. Bekerjasama, bertimbang rasa, toleransi, memahami, sabar...antara kunci sebuah keharmonian rumahtangga.

Di alam nyata ini juga, dapat kita temui banyak pasangan bahagia yang terus hidup dengan senyuman meski diuji dengan berbagai keperitan dan kepayahan. Betapa mereka tidak lemah ketika diuji, dan terus erat berpimpin tangan, berganding bahu dan saling mempercayai dalam mengharungi segalanya bersama sama.

Aku dan suami, bukan juga pasangan sempurna yang sentiasa lulus berhadapan dengan ujian rumahtangga. Meski ujian tidak begitu berat, adakala terseksa batin untuk menanggung. Adakala ujian sedikit mengganggu hubungan kami suami isteri. Ya, kerana sikap sendiri. Sikap yang sering tewas dengan hasutan syaitan dan nafsu. Namun sehingga hari ini, Alhamdulillah... Allah masih menjaga ikatan suci ini. Dia masih pasanganku yang paling membahagiakan. Kami memang tak sempurna, namun dengan izinNya, kami saling melengkapi. Insya Allah :)

Namun pasti, selagi hidup ini belum berakhir, ujian tetap akan terus mendatangi, dan kami perlu lebih bersedia dan perlu lebih bijak dalam menempuhnya. Sungguh pengalaman lepas telah banyak mengajar, semoga diri akan menjadi lebih matang.

Rumahtangga ini, satu kehidupan yang dibina bersama suami dan isteri. Allah menguji, kerana kita layak diuji. Ujian itu bukan sekadar untuk menyakitkan, lebih dari itu, ia terkandung 1001 hikmah. Melalui ujian kita menjadi lebih kuat, melalui ujian, kasih sayang suami dan isteri bertambah utuh, bersama ujian, hadirnya cinta Allah yang akan membawa sinar dan rahmat di alam rumahtangga. Insya Allah.

Semoga kita tabah mengharungi segala ujian di alam rumahtangga. Tetap teguh dan setia bersama cinta, semoga dapat harungi bersama dan hidup bahagia bersama hingga ke syurga. Aameen..

CATATAN KEHAMILAN: ABI JUGA SAYANG

Genap 25 minggu usia kandunganku. Juga sudah 25 hari aku berpuasa tanpa sebarang masalah walaupun dalam keadaanku yang sedang berbadan dua ini. Alhamdulillah, segala syukur kupanjatkan pada yang Esa.

Hari ini juga masuk hari yang ke-11 berjauhan dengan suamiku yang tercinta. Belum pernah ditinggal dalam tempoh yang lama begini sepanjang pengalaman mengandung anak pertama dan kedua kami. Tapi aku tahu, bukan dia sengaja mahu meninggalkan kami, dia pergi atas tuntutan kerja dan mencari nafkah. Aku redha dengan perpisahan sementara ini. Insya Allah.

Jika diimbas kembali, pengalaman mengandungkan Anas (anak pertama) adalah yang paling istimewa, kerana hampir setiap hari dan setiap masa suami ada bersama. Dari awal mengandung, hingga lahirnya Anas. Setiap kali temujanji di klinik juga, suamiku akan pasti menemani. Maklumlah, ketika itu dia masih bekerja dengan MISC. Ketika awal mengandung, aku bersamanya di atas kapal, kemudian dia bercuti lama sehingga aku melahirkan anak. Memang ketika itu dia tiada komitmen lain.

Ketika mengandungkan anak kedua pula, kami sekeluarga sudah berhijrah ke Melaka. Suami sudah meninggalkan MISC dan kemudian berkhidmat di Petronas Sg. Udang. Juga, boleh dikatakan setiap hari suami ada bersamaku yang sedang mengandung. Ke klinik juga, meskipun tidak selalu dapat menemani, akan sentiasa menghantar dan mengambilku. Selain perlu menunggu lama, suami juga perlu menjaga Anas yang ketika itu baru berusia setahun lebih. Jadi, tak sepanjang masa dia dapat menungguku di klinik. Pun begitu, hingga kelahiran anak keduaku Mussaab, suamiku tetap ada di sisi.

Kini mengandungkan yang ketiga pula. Kerja suamiku bertukar lagi. Kini bersama Xilog. Kerja yang memerlukan dia selalu travel jauh. Sudah setahun setengah dengan company ini, dan kami anak beranak juga sudah biasa ditinggalkan. Mengandung kali ini, suamiku tidak selalu ada di sisi. Kali ini perginya pula lebih lama dari biasa. Pasti anakku ini rindu pada suara abinya. Agak berbeza dari abang abangnya yang setiap hari merasakan kehadiran abinya ketika di dalam kandungan.

Tapi hakikatnya bukan abi tidak sayang, bukan abi tidak pedulikan anaknya yang bakal lahir ini, hanya kerana situasi kerja dan komitmen abi yang berbeza dari sebelum ini. Abi tak dapat selalu bersama, tetapi percayalah abi tetap sayang, dan abi sangat menantikan kehadiran zuriat ini. Abi sering bertanya keadaan ummi, abi sedaya upaya cuba memastikan ummi penuhi temujanji klinik dan doktor, hanya ketika abi ada. Tapi ya, abi hanya akan menghantar dan mengambil ummi. Tak boleh juga nak menemani ummi kerana abang berdua tu perlu dijaga :)

Bersyukurlah, meski masa dan keadaan berbeza, ummi percaya abi tetap abi yang penuh dengan cinta dan faham erti tanggungjawab. Abi gembira dengan kehadiran anak ketiga ini, sebagaimana abi gembira untuk menyambut anak pertama dan keduanya dulu.

Insya Allah, 15 minggu lagi penantian ummi dan abi untuk menyambut kelahiran cahaya mata yang sangat dirindui ini. Semoga abi akan ada di sisi di hari ummi melahirkan anak ummi ini. Semoga segalanya dipermudahkan untuk kita semua..aameen.




HAKIKATNYA UMMI INI...

Picture: Pinterest 

Ummi ini...
Tak perlu dinafikan betapa cinta ummi pada anak anak terlalu mendalam, tak siapa dapat menandingi. Kerana ummi adalah ibu yang mengandung dan melahirkan, ummi yang menanggung segala beban, kesukaran dan kesakitan. Hati ummi terlalu kasih dan terlalu cinta.


Ummi ini...
Menyimpan rasa kasih dan cinta yang tak pernah luntur. Cinta yang akan dibawa sehingga mati. Cinta seorang ibu pada anak yang dikandung 9bulan, yang dilahirkan setelah bertarung nyawa melawan kesakitan.


Ummi ini...
Dalam cinta dan sayang, ada ketika menjadi kasar dan marah. Adakala terhakis sabar, terluah emosi. Dek pelbagai alasan yang tak termampu ditanggung hati. Anak anak jadi mangsa, meski anak tak pernah berdosa.


Ummi ini... 
Dalam kemuliaan yang Allah kurniakan, tetap insan biasa yang banyak dosa. Tetap perlu mengasuh diri, menjadi ibu yang kuat sabar dan tahan marah. Kerana dengan kesabaran yang kuat itu, dan kerana dalam kemampuan untuk terus bertahan itu, darjat kemuliaan menjadi hak ibu yang tak perlu dipertikai.


Ummi ini... 
Sering saja bertekad dan menyimpan hasrat. Agar menjadi ibu yang lebih baik dari sebelumnya. Kuat menahan sabar, lemah lembut memberi layanan, mendengar segala cerita dan luahan, bijak memberi nasihat dan kata semangat  dan terus berusaha menjadi ibu yang berperwatakan ibu sejati.


Ummi ini...
Kerana sering berbuat salah, sering pula menyesal dan rasa berdosa. Namun tetap juga lemah, untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama. Berulang kali, berkali kali. Betapa ummi ini sangat lemah.


Ummi ini...
Sering dihambat rasa berdosa pada anak syurga ini. Amanah yang belum termampu dijaga dengan sempurna. Terkurang di sana dan sini. Entah, adakah cebisan kemuliaan itu masih ada pada ummi ini. Atau sekadar dosa yang bertambah saban masa???


Allah... ampunkan dosa ummi ini. Ummi yang terlalu banyak khilaf dalam mendidik amanahMu.

Allah...berilah masa, peluang dan petunjuk. Agar ummi ini bisa memperbaiki kekurangan diri, agar bisa menjadi ummi yang lebih baik, agar kemuliaan seorang ibu itu bisa diraih.

Aameen ya Rabb :')

MASA BERLALU JUA


Picture: Here
Kata orang, penantian itu satu penyiksaan. Dalam hidup ini, ada detik dan saat indah yang kita nantikan untuk menjadi kenyataan. Ada yang nyata, ada pula sekadar khayalan dan harapan.

Ada insan menanti saat disatukan dengan insan yang dicintai, ada insan menanti saat kelahiran cahaya mata yang telah lama dinanti, ada insan menanti pertemuan dengan yang tercinta yang telah  lama berjauhan, dan bermacam bentuk penantian yang diharapkan akan berakhir bersama takdir yang indah.

Hakikatnya, masa tak pernah berhenti berlalu. Penantian walau berapa lama sekalipun, ia tetap akan berakhir. Saat dinanti pasti tiba jua, kecuali Allah tidak mengizinkan ia berlaku.

Masa terus berlalu, tak pernah berhenti. Detik demi detik kita menghampiri saat yang dinantikan. Semoga semuanya akan berakhir dengan pengakhiran penantian yang manis :)

Maka, bersabarlah wahai hati yang sedang menanti..

***Rindu... hanya Allah yang tahu***
Wednesday 29 June 2016 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 290616

Hari ini 24 Ramadhan 1437H. Juga hari ke-9 berjauhan dengan abi. Rindu yang amat.. semoga Allah menjaga abi di kejauhan dan dipermudahkan urusannya.

Anas bangun ketika ummi sedang bersahur. Seperti biasa, bangun menangis melihat ummi tiada di sebelahnya. Sebelum masuk waktu subuh, ummi temankan Anas tidur di sofa. Anas tidur lena semula.

Mussaab bangun jam 8pagi, bangun dengan ceria. Anas pula bangun jam 8.30. Ummi mandikan Anas, kemudian Mussaab. Seperti biasa berkejaran dulu dengan Mussaab yang tak nak dimandikan.

Selesai mandi, ummi buatkan susu dan suapkan nasi. Alhamdulillah, kenyang. Ummi mengemas rumah, Anas sibuk menampal lukisannya, juga menanda tarikh di kalendar. Mussaab bermain dengan permainan yang ada di lantai.

9.30, Mussaab bermain ipad. Anas menulis. Kemudian ambil kamus Mutiara dan baca bersama ummi. Selepas itu ambil buku Hidden Things pula untuk selesaikan bersama ummi. Mussaab hanya memerhati, tak berminat nak join. ipad juga yang menjadi pilihan.

Jam 10, masing masing dah mula lapar semula. Makan biskut dalam Tupperware. Kemudian makan kek pandan dan roti nutella yang ada dalam peti pula. Lepas tu main ipad lagi. Bergilir bermain. Dah tak minat nak buat kerja lain. Kertas dan buku juga dah tak nak. Pada mainan juga kurang berminat.

Jam 11.30, ummi masuk ke dapur bakar ayam yang sudah diperap. Anas dan Mussaab turut ke dapur menunggu ummi masak. Sambil ipad masih di tangan Anas. Mussaab tak tahu nak buat apa. Buat apa pun asyik kena marah dengan ummi. Ye, sebab buat benda yang bahaya. Lepas tu cuba menarik perhatian ummi dengan menggigit ummi dan macam macam lagi. Ummi marah Mussaab. Mussaab menangis sayu, menyentuh hati ummi. Sorry sayang :'( ummi alihkan perhatian pada Mussaab. Ummi peluk, cium dan pujuk. Ummi rasa berdosa sangat pada Mussaab kerana marah marah dan tak pedulikan hati Mussaab. Mussaab tak menangis lagi. Tengok Anas yang tengah baca buku Elmo di ipad.

Jam 12, ummi suapkan makan. Hingga jam 12.30, keluar semula ke ruang tamu. Kali ini ipad di tangan Mussaab pula, sehingga kehabisan bateri. Anas mundar mandir tak tahu nak buat apa. Ummi cadangkan buat itu dan ini juga tak mahu. Minta candies, minta susu, coklat dan macam macam. Ummi tak bagi sebab baru je makan nasi.

Semua masuk ke bilik, sementara ummi tunggu nak solat zohor. Ummi baca al Quran, Anas dan Mussaab bermain 'role play' menggunakan apa yang ada dalam bilik. Panjat sana dan sini. Berlakon berada di car wash, Island, bridge, menggunakan kerusi dan kusyen di dalam bilik. Riang main berdua. Jatuh sakit dah tak hirau. Ummi biarkan saja, asal anak ummi bahagia. Tengah banyak akal kan. Teruskan komunikasi dan imaginasi :)

Selesai solat dan baca al Quran, ummi ajak tidur. Anas minta hp ummi untuk dengar lagu 'balik kampung' versi Tamil :D dah jatuh minat pula dia pada lagu tu. Hari ni dah berapa kali ulang dengar. Ummi biarkan saja. Ummi yang mengantuk terlena dulu, diikuti Anas dan Mussaab. Tak tahu siapa yang lena dulu.

Ummi bangun bila terdengar azan asar. Anas dan Mussaab masih lena. Ummi berwuduk dan solat asar. Anas dan Mussaab bangun bila ummi selesai solat. Berbual seketika dengan Anas dan Mussaab di atas sejadah. Lepas tu keluar bersama. Ummi hulurkan ipad pada Mussaab. Anas juga nak ipad. Ummi minta share dan bergilir main.

Ummi tawarkan Anas mainan dalam box yang tersimpan di atas almari. Anas anggukkan kepala. Dengan syarat, perlu kemas balik malam ni sebelum tidur. Anas angguk juga. Ummi berikan Anas mainan tersebut. Terus mainan dituang semuanya macam biasa. Tapi nampaknya tak berminat nak main juga.

Kemudian Anas ajak ummi buat buku Hidden Things lagi. Nampaknya Anas dah makin ' mahir' mencari barang tersembunyi. Siap 2 muka surat lagi petang ni. Lepas tu dah bosan, ambil ipad pula. Mussaab pula dah tak tahu nak buat apa. Mula nak buat ' macam macam ' lagi. Color dimasukkan dalam botol minuman. Kena 'marah' lagi dengan ummi :b Mussaab alihkan perhatian pada ipad di tangan Anas. Tengok je apa Anas main :)

Jam 6.30, cik datang bawa berus gigi Anas dan Mussaab yang tertinggal di dalam kereta cik. Anas dan Mussaab mandi dan berus gigi. Lepas tu masuk ke dapur, bersiap untuk berbuka. Cik suapkan Anas dan Mussaab roti John dan mi goreng. Lepas tu makan keropok lekor dan nasi bersama ummi, Mek dan cik yang berbuka puasa. 

Hampir jam 8 malam, selesai makan kat dapur. Bersiap untuk solat maghrib pula. Cik balik ke rumahnya. Ummi solat, Anas dengan ipadnya, dan Mussaab main apa saja yang yang ada dalam bilik. Selesai solat baca surah annas dengan Mussaab , lepas tu ajar Anas mengaji. Masih membaca surah an Nazi'at dan 'abasa. Alhamdulillah Anas mudah diajak mengaji sekarang. 

Lepas tu ummi mengaji, solat isyak dan terawih. Anas masih dengan ipad. Kesian Mussaab main sorang sorang, hingga kebosanan. 

Selesai terawih, masuk ke dapur. Ummi siapkan apa yang perlu. Kemudian lukiskan gambar ikan, dolphin, lobster dll di kertas atas permintaan Anas sejak tadi. Mussaab pun nak juga. Ummi lukis untuk Mussaab juga. Kedua lukisan ditampal ke dinding seperti biasa. Ummi siapkan tempat tidur, tukarkan baju Anas dan Mussaab yang dah kotor, dan tutup lampu. Bersedia untuk tidur. Tapi Anas dan Mussaab masih tak mahu tidur. Ipad lagi..hari ni nampaknya banyak masa dihabiskan dengan ipad saja. Tak daya ummi nak larang dah. 

Mussaab minta hp ummi. Anas dah bersedia untuk tidur. Ummi juga dah mengantuk sangat. Ummi yang terlena dulu. Tak pasti Anas dan Mussaab lena jam berapa. Ummi terjaga selepas itu, lega melihat Anas dan Mussaab juga sudah lena. Ummi tutup mp3 surah an Nazi'at yang dipasang tadi. Ummi sambung tidur.

Alhamdulillah untuk kehidupan hari ini. Semoga Allah sentiasa menjaga dan merahmati anak anak ummi. Tak lupa mendoakan abi yang sangat dirindui. Semoga Allah menjaga abi dan memudahkan segala urusan abi di sana. Insya Allah 





Tuesday 28 June 2016 0 comments By: Naemah

ANAS DAN MUSSAAB: SEKITAR AKTIVITI DI KAMPUNG



June 2016: Anas (4 tahun 5 bulan), Mussaab (2 tahun 5 bulan)

Hari ini cukup seminggu Anas dan Mussaab berada di rumah Mek. Seminggu juga berjauhan dengan abi yang perlu bekerja. Anas, Mussaab dan ummi meneruskan hari di kampung. Hari raya juga semakin hampir tiba. Insya Allah akan berhari raya bersama abi.

Di kampung, Anas dan Mussaab melakukan berbagai aktiviti meskipun tak dapat nak menonton video kegemaran. Di rumah Mek juga tiada TV dan komputer/laptop.
Kerana dah tahu nak balik lama, ummi dan abi bawa bersama keperluan Anas dan Mussaab seperti alat tulis dan kertas, permainan, ipad, buku dan al Quran. Maka, di rumah Mek, aktiviti yang berkaitan dengan semua itulah yang mengisi masa Anas dan Mussaab.


Alat tulis dan kertas
Kertas A4, pen, pensel dan pensel warna antara yang menjadi pilihan Anas dan Mussaab. Anas seperti biasa melukis perkara yang dia suka seperti kereta, pokok, jalan, rumah, dll.

Selain melukis Anas juga sudah ada minat untuk menulis. ABC, 123, dan mengeja perkataan tertentu termasuk namanya dengan pertolongan ummi.

Mussaab pula, masih kurang berminat pada pen dan kertas. Cukup satu kertas dan satu pen, dia guna untuk menconteng and that's it. Beralih fokus pada perkara lain pula. Tapi jika diberikan marker, Mussaab akan lebih berminat untuk menulis/menconteng di dinding, lantai dan pada badannya. Awaslah ummi :D

Pelajaran utk Anas dan Mussaab: skill memegang pen dan pensel, menulis, melukis, mewarna dan fokus.





Permainan
1 kotak barang permainan Anas dan Mussaab dibawa pulang dari rumah kami di Semenyih. Tak cukup dengan yang ada, abi beli lagi yang baru semata tak mahu anaknya kebosanan ditinggal lama.

Maka permainan ini juga antara yang mengisi masa Anas dan Mussaab di kampung. Setiap hari akan bersepah rumah dengan permainan mereka. Kadang ummi 'berang' bila berkali kali diminta kemas semula, masih tak kemas.

Kerja mengemas permainan hanya berjalan bila ummi turut serta. Tak boleh sendiri sendiri. Dan memang ummi sudah faham, tak boleh hanya mengarahkan, tapi perlu buat bersama. Walaupun ummi tak main ':)

Pelajaran utk Anas dan Mussaab: menjadi lebih kreatif menggunakan permainan yang terhad, tapi boleh hasilkan kepuasan melalui hasil yang pelbagai. Juga perlu kemaskan mainan selepas bermain.







Ipad
Sebelum ini ipad sudah tidak menjadi pilihan sangat. Tapi dek tiada hiburan lain ipad menjadi 'rebutan' semula. Meskipun tiada games, hanya apps education saja.

Anas dan Mussaab leka bersama apps 'read me' (reading skills), 'agnitus' (math, reading, songs, multiple learning skills, etc), 'fun english' (all about English lessons with different thinking skills), 'e-flashapps' (arabic and english vocab), 'reader' ( reading skills), dan banyak lagi.

Education apps: banyak yang boleh parents download ke hp dan iPad masing2. Ada yang free dan ada juga perlu dibeli. Tapi ia sangat berbaloi.

Anas dah khatam hampir semua. Mussaab masih belajar step by step.

Pelajaran utk Anas dan Mussaab: revision buat Anas di samping tingkatkan skill pada level yang dia belum capai, especially bab reading dan simple math. Mussaab, menambahkan lagi apa yang dia dah dapat.







Buku
Tak banyak buku yang dibawa balik. Tak sampai 10 buah buku. Antaranya, hanya satu buku aktiviti. Buku buku inilah yang akan diulang baca atau sekadar dibelek.

Antara buku tersebut, ada yang menjadi favorite masing masing. Anas suka buku 'words that name things' by Disney. Hampir setiap hari buku itu dibelek dan ditekuni. Mussaab pula suka pada buku 'My First 123' dan 'Baby Animal'. Buku ini akan dihulurkan pada ummi untuk membaca bersamanya.

Pelajaran buat Anas dan Mussaab: memupuk minat dan cinta pada buku. Semoga menjadi insan berilmu. Insya Allah.









Al Quran
Bawa pulang bersama 'al Quran pertamaku ' untuk fokus mengajar al Quran pada Anas (dan Mussaab)

Spend sedikit masa selepas solat Maghrib untuk mengajar Anas dan Mussaab al Quran. Anas membaca surah an Nazi'at dan 'abasa. Mussaab membaca 3 qul.

Sepanjang seminggu di kampung ni, Alhamdulillah boleh fokus dan konsisten membaca bersama setiap malam. Mussaab pula perlu ikut mood dan minatnya yang selalu terganggu dek benda lain.

Pelajaran buat Anas dan Mussaab: Memupuk rasa cinta pada al Quran dan mengenal al Quran sedikit demi sedikit. Juga sebagai membantu hafazan Anas yang berjalan sejak tahun 2015.





Sekadar ini perkongsian tentang aktiviti Anas dan Mussaab di kampung. Di kampung ini, Anas dan Mussaab banyak berkurung di dalam rumah. Sudah menjadi kebiasaan, bila abi tiada. Pernah sekali ke rumah p.long, sekali keluar shopping barang dengan cik dan ayah cik, dan sesekali keluar bermain dan berlarian di halaman rumah Mek. Itu saja. Tapi tak mengapalah, insya Allah tak lama lagi abi akan balik. Kita akan balik ke rumah nenek, akan sambut raya bersama, dan sudah pasti akan banyak berjalan juga =)

Semoga Allah merahmati Anas dan Mussaab. Ummi sekadar mahu memastikan hari hari yang berlalu memberi pengisian yang baik pada Anas dan Mussaab meskipun ummi juga belum mampu memberikan yang terbaik. Terlalu banyak kekurangan ummi, dan terlalu banyak kesilapan ummi dalam mendidik. Maafkan ummi ya :'(

Semoga Anas dan Mussaab menjadi insan yang berilmu, berakhlak dan dikurniakan banyak kemahiran. Insya Allah masih panjang masa untuk Anas dan Mussaab belajar banyak perkara lagi dalam hidup ini.

Semoga Anas dan Mussaab dapat melalui zaman kecil ini dengan penuh keriangan sebagaimana layaknya seorang kanak kanak. Jatuh rebah, salah silap, itu perkara biasa buat anak kecil seperti Anas dan Mussaab. Ya, sebagai peringatan buat ummi dan abi agar tidak meletak harapan yang terlalu tinggi pada Anas dan Mussaab yang masih kecil. Agar tidak marah kecewa atas sesuatu yang Anas dan Mussaab belum mampu buat atau capai. Relekslah ummi... Anas dan Mussaab masih kecil :')

Semoga anak anak ummi akan cemerlang, bahagia, mulia, dunia dan akhirat. Aameen

KLINIK DESA LEGEH

28/06/16: 23 Ramadhan 1437h

Hari ini Anas dan Mussaab menemani ummi check up kandungan di Klinik Desa Legeh. Dah lama tak menjejakkan kaki ke klinik itu. Semasa ummi mengandungkan Anas memang ummi buka buku mengandung di sini. Masa mengandungkan Mussaab, pernah juga sekali dua check up di sini ketika balik kampung. Untuk kandungan kali ini, ini adalah yang pertama menumpang check up di sini. Misi juga dah tukar semua. Tiada misi yang lama yang ummi kenal sebelum ni.

Ummi sangat suka check up di sini. Pertamanya, klinik hanya di depan rumah. Tak perlu dihantar, jalan kaki saja. Abi takde pun takde masalah. Kedua, tak perlu menunggu lama kerana orang tak ramai. Tadi pergi terus boleh check up dan cepat selesai. Anas dan Mussaab pun tak sehingga bosan menunggu ummi, malah ada tempat untuk Anas dan Mussaab bermain juga. Ummi dah bawakan buku dan iPad, tapi ada permainan lain si situ yang menarik minat Anas dan Mussaab. Alhamdulillah keduanya ok sampai siap check up ummi.

Berbanding check up di Melaka sebelum ini, dan di rinching tengah Semenyih, agak lama perlu menunggu dan perlu ada abi pula untuk hantar ummi dan jaga Anas dan Mussaab. Tapi nak buat macamana, situasi itu sudah biasa. Nak buka buku kat kampung tak boleh, sebab menatap kat sana. Redha sajalah pada segala kekurangan dan kepayahan.

Apapun, berterima kasih pada semua staff/nurse yang sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik. Detail membuat pemeriksaan dan catatan di buku. Kerana itu tetap selesa membuat pemeriksaan di klinik kerajaan, meskipun bersama kekurangan yang ada.

Alhamdulillah check up hari ini tiada masalah. Semuanya ok. Hb pun ok walaupun sebelum ni agak rendah. Berat badan juga tak naik, maklumlah puasa :)

Selesai semuanya tak sampai sejam. Lepas tu balik ke rumah. Anas dan Mussaab berlarian pulang ke rumah mek yang letaknya tak jauh dari klinik.

Begitulah kisah pagi ini, di Klinik Desa Legeh. Alhamdulillah dah penuhi temujanji hari ini. Next appointment pula, lepas raya :)









Monday 27 June 2016 0 comments By: Naemah

IBU: GUNAKAN KELEBIHAN YANG ADA



Sebagai seorang ibu, pasti mahu berikan yang terbaik untuk anak anak. Pasti mahu menjadi ibu yang terbaik untuk anak anak. Namun ibu tetap insan biasa yang tak sempurna, terkurang di sana sini. Apa yang ibu lain mampu berikan pada anak anak mereka, kita belum tentu. Lantas segala rasa kekurangan dan rasa bersalah datang menghantui diri. Begitu jua diri ini..

Aku menyedari hakikat aku adalah seorang ibu yang biasa biasa saja. Tiada kelebihan atau kemahiran khusus, dalam dunia pendidikan anak anak. Aku melakukan sekadar yang mampu, bersama sedikit kelebihan (mungkin) yang ada pada diri.

Ada ibu yang dikurniakan kelebihan bercerita, mampu mendidik anak anak melalui cerita yang menarik. Ada ibu yang sangat kuat sabarnya, pandai psikologi dan membaca hati anak kecil, mampu mengawal emosi anak anak. Ada ibu yang pandai banyak bahasa, mampu mengajarkan anak bahasa yang berbeza di usia kecil mereka, ada ibu yang bijak ilmu agama, setiap masa mengaitkan kehidupan dengan agama, ada ibu yang bijak berkata dan menyusun kata, setiap kata nasihatnya mudah melekat ke hati si anak, ada ibu yang akhlaknya sangat terbaik, mendidik anak anak hanya melalui akhlak dan peribadinya yang mulia, dan berbagai lagi kelebihan yang Allah kurniakan buat seorang ibu. Kelebihan yang berbeza, kelebihan yang pelbagai.

Aku merenung diri, setiap apa yang aku sebutkan di atas satu pun aku tak punya :D Kadang hadir rasa rendah diri berbanding mereka yang punya. Namun satu yang perlu aku ingatkan pada diri, setiap kita dikurniakan dengan kelebihan tersendiri sebagai seorang ibu. Ditambah dengan usaha memanfaatkan kelebihan tersebut, dan mencari ilmu lagi untuk menjadi yang lebih baik.

Aku sendiri, mungkin kelebihan pada diriku adalah kerana punya masa yang banyak dengan anak anak. Boleh dikatakan 24jam sehari, aku ada bersama mereka. Aku punya masa yang sangat cukup untuk mendidik mereka sebaik mungkin, di samping melaksanakan tugasan lain sebagaimana biasa seorang suri rumahtangga :)

Namun ya, jika ini satu kelebihan, aku tetap perlu berusaha untuk memanfaatkan kelebihan ini. Tiada gunanya juga masa yang banyak dengan anak anak, namun masaku berlalu tanpa berbuat apa apa untuk mereka. Namun jika masa itu aku manfaatkan sebaiknya, pasti aku mampu menjadi guru terbaik buat anak anakku. Dan pasti lebih berbahagia andai apa yang anak anak dapat adalah hasil dari tangan dan usahaku sendiri.

Namun tetaplah diri ini belum mampu memberikan terbaik. Dalam memberikan pendidikan yang terbaik pada anak anak, perlu juga ada kemahiran dan persediaan yang cukup. Nak mengajar anak mengenal huruf, membaca, menulis, termasuk juga mengajar mereka menjadi manusia berakhlak dan memahami agama, tidak dapat tidak aku terlebih dahulu perlu menjadi ibu yang berilmu dan berakhlak. Rupanya bukan mudah juga..

Kesimpulannya, seorang ibu pasti mahu memberi yang terbaik buat anak anak, mahu menjadi yang terbaik buat anak anak. Setiap ibu juga, dalam kekurangan pasti ada kelebihan tersendiri yang membantu ibu untuk mendidik anak anaknya. Di samping kelebihan, tetap perlu ada usaha agar kelebihan itu mampu dimanfaatkan sebaiknya dalam pendidikan anak anak. Ibu ibu juga, dalam menyedari hakikat kekurangan diri, perlu mencari ilmu dan sentiasa belajar untuk menambah nilai yang ada pada diri seorang ibu.

Hakikatnya bukan mudah, tetap perlu lebih berusaha. Namun yang pasti, Allah pasti membantu. Insya Allah segalanya akan dipermudahkan demi untuk kebaikan anak anak syurga kita.

Wahai ibu, gunakan kelebihan yang kita ada sebaiknya, di samping usaha dan doa untuk mendidik anak anak kita dengan sebaiknya. Ingatlah ibu, sesungguhnya ibu adalah madrasah pertama buat anak anak :)
Sunday 26 June 2016 0 comments By: Naemah

RAMADHAN SEBAGAI ISTERI DAN IBU

22 Ramadhan 1437H

Alhamdulillah masuk hari ke-22 aku berpuasa tanpa sebarang masalah. Kalau 2 Ramadhan lepas aku berpuasa dalam keadaan menyusu badan, kini berpuasa dalam keadaan hamil pula.

Bila difikirkan balik, ini adalah Ramadhan yang ke-6 setelah aku bergelar isteri. Ramadhan pertama aku menyambutnya dalam keadaan mengandung anak sulungku. Ramadhan kedua dalam keadaan menyusu badan. Ramadhan ke-3 pula dalam keadaan menyusu dan mengandung anak kedua pula. Ramadhan ke-4 dan ke-5 juga masih menyusukan anak keduaku. Dan Ramadhan ke-6 ini sekali lagi dalam keadaan mengandung anak ketiga.

Terasa bagai tak percaya, seperti tiada 'rehat' buatku pada setiap kali Ramadhan. Tak dinafikan, menyusu dan mengandung itu sesuatu yang agak mencabar dan memerlukan kesabaran yang tinggi dari seorang ibu. Kerana itu agama memberi kelonggaran kepada ibu mengandung dan menyusu untuk berbuka puasa sekiranya tak berdaya untuk meneruskan puasa. Puasa yang ditinggalkan perlu digantikan atau dibayar fidyah, atau keduanya bergantung kepada 'atas sebab apa' dia meninggalkan puasa tersebut. Boleh jadi kerana risaukan bayi di dalam kandungan, atau risaukan kesihatan dirinya, atau keduanya (boleh merujuk hukumnya pada yang lebih pakar)

Aku bersyukur kerana Ramadhanku yang berlalu dapat aku tempuhi tanpa sebarang masalah. Tidak pernah meninggalkan puasa, kecuali atas sebab uzur. Malah lebih seronok dapat berpuasa penuh saat berbadan dua. Semoga Ramadhan yang ini juga sama. Masih ada 8 hari yang berbaki. Semoga terus diberikan kekuatan. Insya Allah.

6 tahun menyambut Ramadhan sebagai ibu mengandung dan menyusu tanpa sebarang masalah, sesungguhnya aku sangat mensyukuri nikmat ini. Bermakna mengandung dan menyusu tidak memberi sebarang mudarat pada diriku atau kandunganku. Aku bahagia menjadi ibu yang mengandungkan anak anakku, dan menyusukan mereka, di kala insan lain mungkin diuji dengan 'kesukaran' untuk berbuat demikian. Segala kesyukuran kupanjatkan pada yang Esa.

Tiada sebarang rahsia, selain menyimpan tekad untuk sempurnakan Ramadhan dengan sebaiknya walau bagaimana keadaan dan situasiku. Mengandung atau menyusu, atau keduanya, aku memohon agar Allah tetap memberikan kekuatan buatku untuk terus berpuasa.

Selain itu, aku juga mengambil berat tentang pemakananku baik di waktu bersahur dan berbuka. Makan secukupnya, dan mengambil sekurang kurangnya sebiji kurma (adakala terlupa juga). Air kosong juga jangan dilupa. Minum sebanyak yang boleh. Itu sahaja rahsianya. Tambahan selera makan baik, makanan apa pun aku tak tolak. Tapi agak kesian juga pada yang mungkin tiada selera makan, atau mungkin tengah morning sickness kerana di awal kehamilan. Mungkin tiada cara lain selain berbuka andai diri sudah tidak berdaya dan tiada tenaga.

Berpuasa di dalam keadaan mengandung, padaku satu rahmat dan kebahagiaan. Di bulan yang mulia dan berkat ini, kita takkan lepaskan peluang berdoa untuk kebaikan anak yang sedang dikandung ini agar sentiasa sihat dan dipermudahkan kelahirannya nanti, di samping doa doa yang lain.

Ramadhan yang masih berbaki, semoga Allah terus memberikan kekuatan buatku untuk menyempurnakan puasa ini sebaiknya. Di samping mengandung, aku juga perlu menguruskan dua lagi anakku yang masih kecil. Dalam situasi berjauhan dengan suami seperti sekarang ini, agak mencabar juga tugasku. Tetapi syukur di atas apa yang telah aku tempuhi. Aku tahu aku mampu, dengan izin dan pertolongan dariNya. Insya Allah..





DIARI ANAKKU: 260616

Hari ini 21 Ramadhan 1437H. Hari keenam abi di Bintulu. Anas dan Mussaab masih di rumah mek. ummi bangun bersahur seperti biasa.

Jam 4.30, Anas turut bangun, menangis mencari ummi yang tiada di sisi. Kemudian Mussaab pula bangun, menangis juga minta nak minum air. Selepas diberi air, Anas dan Mussaab sambung tidur. Tidur lena...

Anas bangun jam 9 pagi, Mussaab pula jam 9.30 pagi. Seperti biasa, berguling dan bergolek dulu di tempat tidur sebelum memulakan hari. Anas mencapai ipad dan leka sebentar dengan ipad. Ummi bawa Mussaab ke bilik air untuk dimandikan. Seperti biasa, berkejar dulu untuk dimandikan. Selesai Mussaab, Anas pula. Anas lebih mudah, kerana dah besar. Walaupun lambat, ikut saja arahan ummi.

Lepas mandi, ummi ke dapur buatkan susu untuk Anas dan Mussaab. Pukul 10 pagi, makan nasi dan nugget. Lepas tu main. Anas minta ummi bawa turun mainan dalam box yang ummi simpan di atas almari. Seperti biasa, satu box dicurah ke lantai dan sudah pastinya rumah bersepah sepah. Anas janji dengan ummi nak kemas balik lepas main. Ummi biarkan dan harap Anas akan kemas. Mussaab juga main bersama. Ipad juga tak dilupa.



Jam 11 pagi, cik singgah rumah Mek lepas balik dari menoreh. Cik belikan ikan dan keropok lekor yang Anas dan Mussaab suka. Berbual santai dengan Mek dan cik di luar rumah. Masuk semula ke dalam rumah lepas cik balik. Anas dan Mussaab tolong ummi jemur kain pula. Lepas tu baca buku 123 dengan Mussaab. Anas ulangkaji vocab arabic dalam ipadnya (e-flashapps).



Jam 12, ummi WhatsApp dengan abi. Abi bertanya khabar anak anaknya. Ummi seperti biasa melaporkan aktiviti Anas dan Mussaab pada abi. Hantar juga gambar sebagai pengubat rindu abi. Lepas tu abi cal, bercakap sekejap dengan abi.

Lepas tu, Anas baca ayat al Quran per kata yang sudah ummi tulis di kertas a4. Sudah masuk ayat ke4 surah 'abasa. Anas suka belajar cara begini. Di samping melukis, Anas juga dah suka menulis sekarang. Banyak contengan ABC di kertas dan di dinding. Rajin pula mengajar adik. Lepas baca ayat per kata, Anas menulis numbers pula, 1- 20. Ummi suka sangat Anas semakin pandai. Ummi hantar video dan gambar Anas belajar pada abi. Abi juga suka dan bangga. Harap Anas dapat ajar adik juga. Kesian adik. Dia nak pandai macam Anas juga. Kadang ummi lupa untuk fokus pada Mussaab. Tapi Mussaab pandai juga, insya Allah. Mussaab dah belajar banyak perkara juga.


Pukul 1.30, lepas ummi solat zohor, suapkan Anas dan Mussaab nasi pula. Makan berselera. Kemudian masuk bilik untuk tidur. Tapi Anas dan Mussaab leka dengan ipad dan hp ummi sorang satu. Kemudian berebut ipad pula sampai Mussaab menangis dan akhirnya tertidur. Ummi juga kemudian lena. Anas masih tekun dengan ipadnya.

Jam 3.45, ummi bangun dari tidur. Anas masih belum tidur walaupun kelihatan dah mengantuk. Jam 4 petang, tertidur juga. Mussaab bangun ketika azan asar. Keluar rumah melihat hujan sedang turun. Anas masih lena. Ummi solat asar, Mussaab baring sebelah Anas, tunggu ummi selesai solat. Kemudian keluar ke ruang tamu rumah Mek.
Mussaab ambil buku 123 lagi untuk baca bersama ummi. Kemudian buku Baby Animal pula. Lepas tu Mussaab main mainan yang masih bersepah di lantai, belum dikemas. Anas masih lena meskipun ummi dah cuba kejut.

Jam 6 petang, Anas bangun dari tidur. Mata bengkak dan selesema lagi. Kesian Anas. Terus mandi dan keluar membuat aktiviti. Petang ni buat buku Hidden Pictures Puzzles (cari barang tersembunyi). Siap satu muka surat. Mussaab tak berminat. Leka dengan ipad pula.

6.45, cik datang lagi. Datang sekejap saja. Ummi mandikan Mussaab, kemudian suapkan nasi, dan buatkan susu. Selepas itu Anas dan Mussaab main di luar, sementara ummi menunggu waktu berbuka. Tengah ummi berbuka, Anas dan Mussaab masuk lagi dan makan lagi. Banyak sangat makan. Hingga selesai bersama, dan keluar bersama. Anas kemas mainan yang bersepah selepas banyak kali Ummi minta kemaskan. Ummi solat maghrib. Anas melukis dan menulis lagi. Mussaab main.

Lepas solat Maghrib, Anas membaca al Quran seperti biasa. Baca surah an Nazi'at (1-35) dan mengeja ayat di surah 'abasa. Dah eja sampai 5 ayat. Alhamdulillah. Lepas tu sambung main dan menulis lagi. Mussaab juga sama. Ummi solat isyak dan terawih. Tengah ummi solat, Anas dan Mussaab makan lagi. Roti sira Mek dihabiskan pula.

Selapas ummi selesai terawih, masuk dapur dan goreng keropok lekor. Anas dan Mussaab makan lagi. Memang berselera sangat makan sejak akhir akhir ini. Mussaab dah semakin tembam. Anas juga. Lepas makan sambung aktiviti lagi. Ipad, buku dan mainan. Masih tak mengantuk.

10.30 malam, ummi siapkan tempat tidur dan tutup lampu. Tak lupa buka mp3 surah yang sering diperdengarkan pada Anas dan Mussaab. Anas dan Mussaab masih tak mahu tidur. Macam macam aksi dilakukan. Masih mahu bercakap dan bertanya. Gosok perut ummi dan bertanya tentang baby juga :)

Mussaab tidur akhirnya jam 11 lebih. Kemudian ummi dan Anas. Tak tahu pukul berapa. Ummi terbangun semula dan tutup bacaan surah. Tidur semula. Anak anak ummi keduanya sudah lena. Alhamdulillah.

Semoga hari esok bangun dengan lebih ceria dan happy. Semoga sihat anak anak ummi. Semoga dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Ummi sayang Anas dan Mussaab. Tak lupa anak yang sedang ummi kandung ini. Semoga sihat Sayang ummi :)









Saturday 25 June 2016 0 comments By: Naemah

ALLAH MENJAGA ANAK ANAK UMMI

Anak anak ummi..

Hari ini ummi bersyukur menjadi seorang ibu. Gelaran 'ibu' menjadi milik ummi sebaik kalian ummi lahirkan. Satu gelaran yang indah dan paling membahagiakan :')


Hari ini, membaca kisah penderaan kanak kanak, ummi menangis, membaca kisah pedophilia, ummi sakit hati dan teramat sedih, melihat kanak kanak sakit terlantar dengan keadaan fizikal yang tak mampu dilihat, ummi sayu hati, melihat anak anak yang hidup dalam kemiskinan dan kesempitan, ummi sangat simpati, melihat anak anak tanpa ayah dan ibu, ummi kesayuan, melihat anak anak mangsa perang yang tak dapat makan minum dan tiada tempat tinggal, hati ummi diusik sedih dan sayu lagi....

Mereka anak anak kecil seperti Anas dan Mussaab. Namun Allah mentakdirkan kehidupan mereka tidak sebaik dan seindah kehidupan kanak kanak seperti Anas dan Mussaab. Yang punya ayah dan ibu, yang sering dilindungi, cukup makan minum dan riang bermain, sihat tubuh badan dan hampir semua permintaan dipenuhi ummi dan abi. Betapa kalian beruntung dan bertuah.

Ummi sedih, mengapa begitu nasib mereka, namun ummi tak mampu mengagak rahsia Allah. Mereka juga insan suci dan tiada dosa seperti anak anak ummi. Namun mengapa mereka perlu mengharungi segala derita itu. Allah pasti sudah menyusun takdir yang indah buat mereka, di sebalik setiap derita yang mereka tanggung itu. Maka ummi hanya bersangka baik pada Dia yang Maha Kuasa. Maha Pengasih, dan tak pernah menzalimi :')

Ummi menangis bila melihat wajah suci mereka. Hati ummi lebih dicarik pilu bila memikirkan mereka itu adalah anak anak ummi yang hari ini hidup dengan sangat baik dan ceria. Ummi tak mampu nak menahan sebak di dada.

Sekali lagi ummi mohon Anas, Mussaab dan anak anak ummi semuanya... bersyukurlah kalian di atas kehidupan yang baik ini. Syukur di mana tempat dan duduk kalian hari ini. Ada ummi dan abi, cukup makan pakai, ada tubuh badan yang sihat, dapat bermain penuh riang, dapat hampir segalanya yang kalian mahu. Syukurlah, dan jangan pernah lupa pada mereka yang tiada.

Malah ummi.. penuh kesyukuran ummi panjatkan pada Ilahi yang memberikan kehidupan yang baik dan sempurna pada anak anak ummi. Segalanya cukup, anakku. Sudah lebih dari cukup, anakku... 

Nikmat Allah yang mana lagi yang tidak kau syukuri???


Hari ini anak ummi masih kecil untuk memikirkan tentang semua ini. Namun di suatu hari apabila sudah semakin dewasa, semoga kalian dapat memikirkan tentang hakikat semua ini. Apa saja boleh terjadi dalam kehidupan kita. Takdir Allah mengatasi segalanya. Jika hari ini kehidupan kita baik, di masa akan datang belum tentu bagaimana. Berdoa dan berharaplah hanya pada Allah agar perjalanan hidup kita dipermudahkan. Agar kita tidak diuji dengan ujian yang tak mampu kita pikul.

Bagaimana kehidupan anak anak ummi hari ini... di saat senang bersyukurlah, di saat sukar mohonlah pada Allah agar ditunjukkan jalan keluar.

Anak anak ummi... semoga dalam hatimu sentiasa ada ALLAH. Ummi dan abi tak selamanya akan menjagamu. Namun yang pasti, ALLAH sentiasa ada untukmu.

Ingatlah pesan ummi sentiasa.. moga ALLAH sentiasa ada dalam hatimu.