Sunday 5 June 2016 By: Naemah

RAMADHAN KALI INI

06/06/16: 1 Ramadhan 1437H

Alhamdulillah bertemu Ramadhan buat kesekian kalinya.
Hari ini, hari pertama berpuasa. Kami sekeluarga menyambutnya di kampung. Kebetulan suamiku bercuti, dan hari ini juga sudah masuk hari ketiga Anas berkhatan.

Pagi tadi bersahur dengan jumlah ahli keluarga suamiku yang ramai. Dari dewasa hingga kanak kanak, semuanya excited nak berpuasa. Semalam juga sudah melaksanakan solat sunat terawih di masjid.

Tahun ini aku berpuasa dalam keadaan berbadan dua. Kali ketiga aku berpuasa ketika hamil. Kini usia kandunganku sudah melepasi 5 bulan. Sebagaimana puasa sebelum ini, aku mengharapkan puasa kali ini dapat disempurnakan dengan baik.

Di hari pertama ini, sejak pagi lagi badanku sudah terasa lesu dan tak bermaya. Rasa mahu berbaring dan tidur saja. Sahur tadi rasanya dah makan cukup. Nasi, sayur, ikan, daging, air dan kurma. Tapi entah mengapa...mungkin juga kerana hari ini hari pertama. Belum biasa. Mudah mudahan dapat berpuasa penuh hari ini, dan moga esok dan akan datang akan lebih baik.

Di bulan Ramadhan yang mulia ini, aku harapkan dapat meningkatkan amal ibadahku, banyak membaca al Quran juga bersedekah. Semoga Allah memberi kekuatan buatku.

Semoga anak ummi juga sihat di dalam kandungan ummi. Ummi akan cuba menjaga kesihatan sebaiknya, insya Allah.

Selamat berpuasa kepada semua. Semoga Allah menerima amalan kita :)


0 comments:

Post a Comment