Tuesday 21 June 2016 By: Naemah

BERSYUKURLAH SAYANG

21/06/16 (16 Ramadhan 1437)

Hari ini Anas dan Mussaab berada di kampung, di rumah Mek. Semalam berpisah dengan abi yang akan ke Bintulu selama 10 hari. Abi pulang ke Semenyih, dan akan menaiki flight pagi ini. Kali ini berpisah agak lama, hampir 2 minggu. Mudah mudahan segalanya dipermudahkan untuk abi di sana. Pastinya Anas, Mussaab dan ummi akan amat merindui abi.

Semalam juga seperti biasa abi shopping sakan untuk gembirakan hati anak anak yang akan ditinggalkan. Abi bawa Anas dan Mussaab ke kedai ToysRus untuk membeli mainan. Entah kali keberapa, mainan sentiasa menjadi hadiah yang menggembirakan hati Anas dan Mussaab. Niat abi hanya satu, nak gembirakan hati Anas dan Mussaab yang akan ditinggalkan sementara. Abi tak pernah berkira.

Alhamdulillah, Anas dan Mussaab seperti biasa gembira dan excited mendapat hadiah permainan baru. Sempat abi berpesan, jadi anak yang soleh mendengar cakap ummi dan abi, sayang adik, tak boleh marah marah, behave, bla bla bla... Semoga Anas tahu hadiah itu bukan saja saja untuk diberi.

Hakikatnya begitulah abi... tak pernah berkira untuk berbelanja pada anak anaknya. Malah dengan orang lain juga abi tidak pernah kedekut. Abi bukan orang kaya, tapi Alhamdulillah ada rezeki yang mencukupi. Walau ummi rasa apa yang dibelanjakan abi itu tidak patut, abi tetap rasa segalanya ok saja.

Ya, salah satunya bab mainan ini. Anas dan Mussaab selalu dibelikan mainan baru. Tak kira mahal, tak kira murah, abi sanggup keluarkan duit. Ummi tak mampu nak sekat kerana abi memang mahu anak anaknya happy dengan apa yang dibelikannya.

Kadangkala ummi fikir betapa bertuah dan beruntungnya anak anak ummi. Ada abi yang 'berduit' dan tak berkira untuk berbelanja. Padahal, abi dulu pun tak merasa semua itu. Tapi untuk anak anaknya, abi sanggup.

Kadangkala ummi terfikirkan kanak kanak lain yang tidak mudah mendapat sebagaimana Anas dan Mussaab. Ummi kesian, dan ummi rasa Anas dan Mussaab jauh lebih beruntung. Yalah, meskipun kita bukan kaya raya sangat. Ada lagi kanak kanak yang lebih mewah. Tak dinafikan..tetapi buat Anas dan Mussaab, apa yang Anas dan Mussaab dapat sudah lebih dari cukup.

Anas dan Mussaab, semoga satu hari belajar untuk menjadi hamba yang tahu bersyukur di atas apa yang kalian ada. Semoga tahu menghargai setiap apa yang dimiliki. Ingat, tak semua dapat apa yang kalian dapat.

Anas dan Mussaab, semoga tak lupa jasa dan pengorbanan abi yang tak pernah berkira untuk anak anaknya. Meski abi ada kemampuan untuk berbelanja, namun ia tetap dari hasil keringat abi yang berjuang jauh dari mata kita. Anas dan Mussaab, malah ummi tak pernah tahu apa yang abi rasa dan tanggung di saat bekerjanya. Susah atau sukar, segalanya abi tanggung sendiri. Dan tak pernah pula abi berkongsi kesukaran yang ditanggungnya, meski ummi tahu setiap pekerjaan ada cabarannya tersendiri. Malahan abi memendam rasa rindu pada anak anaknya bila berjauhan, tak putus doa buat keluarga kita dan tak lepas dari rasa kebimbangan pada anak isterinya saat dia tiada bersama.

Pesanan ummi, hargailah segala pengorbanan dan sikap tanggungjawab abi, berterima kasih pada seluruh kebaikan dan kebajikan yang abi berikan, kesenangan yang abi sediakan, dan segala pemberian yang sering abi hulurkan buat anak anaknya demi melihat anak anaknya gembira dan bahagia, meski saat dia jauh di pandangan mata.

Anas dan Mussaab, kalian ada hampir segalanya, maka bersyukurlah... dan jangan pernah lupa pada yang tiada. Jangan berkira untuk memberi, jangan kedekut untuk berkongsi..

Hari ini, mungkin Anas dan Mussaab masih kecil untuk memikirkan tentang semua ini. Namun di suatu masa, ummi harapkan kalian akan lebih mengerti akan makna hidup ini.
Suatu hari nanti Anas dan Mussaab akan menjadi dewasa, dan akan berada di tempat abi. Menjadi suami dan ayah. Kala itu pasti kalian akan lebih mengerti...

Ummi doakan agar anak anak ummi dapat menjalani hidup ini dengan baik. Tabah dan sabar menghadapi ujianNya. Menjadi hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Berjaya dan cemerlang di dunia dan akhirat. Insya Allah.










0 comments:

Post a Comment