Mendapat khabar keluarga di sana (keluarga mertua) diuji dengan ujian sakit/demam/cirit birit. Habis terkena satu keluarga yang berbuka bersama pada hari sebelumnya. Mak, adik beradik dan anak saudara. Pastinya ia ujian buat mereka yang sedang menanggung segala kesakitan itu.
Hati juga tak lepas dari rasa sayu memikirkan abang ipar yang sehingga hari ini berjuang melawan sakit kansernya.
Simpati dan sayu... itulah gambaran rasa hati. Namun pastinya berat mata memandang, berat lagi bahu yang sedang memikul. Harapan dan doaku, semoga mereka semua tabah menghadapi segala ujian ini. Semoga mereka temui kemanisan di sebalik ujian Allah ini.
Terkenang ujian 'sakit' yang pernah aku tempuh beberapa bulan sebelum bernikah. Diuji dengan keracunan makanan, juga di bulan puasa (2 hari sebelum raya). Juga melibatkan ahli keluarga yang ramai. Aku antara yang teruk terkena, hingga ditahan di wad untuk dimasukkan air dan rawatan susulan. Perit dan sakitnya, Allah saja yang tahu. Saat sakit begitu, hanya kematian terlintas di hati.
Ujian itu telah lama berlalu. Hari ini, syukur dikurniakan kesihatan yang baik. Hingga melupakan kesakitan dan ujian yang pernah dilalui suatu masa dulu. Hingga lupa pertolongan Allah yang sentiasa dihulurkan buat diri untuk keluar dari segala ujian dan kesakitan.
Sungguh, Allah sentiasa ada di saat senang dan sukar. Ujian kesakitan ini, tidak lain hanya sebuah perhatian istimewa dari Allah buat kita. Saat sakit ini hati kita tak lepas dari mengingati Dia. Tak jemu berdoa dan berharap pada Dia. Tiada perasaan yang lebih indah, selain di saat hati benar benar ada Dia. Berdoa dengan penuh khusyuk dan penuh harapan.
Ya, di sebalik ujian kesakitan kita temui kemanisan cinta Tuhan. Hanya di saat hati menerima penuh redha, sabar dan ikhlas.
Di saat kita bertarung dengan kesakitan ini, tanyalah di mana letaknya Dia di hati kita. Pastinya di sudut yang paling dekat si ruang hati kita :)
Sungguh, Allah menguji kerana Allah sangat kasih...
0 comments:
Post a Comment