Friday, 31 May 2024 0 comments By: Naemah

TABUNG HAJI DAN PTPTN



Tabung haji dan PTPTN? Ada kaitan ke 2 tabung ni?


Sebenarnya takde kaitan antara satu sama lain pun. Tapi berkebetulan dengan musim haji dan langsainya hutang ptptn pada tahun ni (Selepas 14 tahun grad. Alhamdulillah!). Aku punya cerita yang berkaitan dengan 2 tabung ini. Yang aku dedikasikan kisah dan penghargaan ini buat suami tercintaku.


Bermula dengan perkahwinan kami pada bulan Disember 2010, selepas beberapa bulan tamat belajar di UIA (grad bulan April 2010). Aku masa tu belum bekerja, dan tiada pendapatan. Dan masa tu akaun tabung haji pun aku takde lagi.


Perkara pertama yang suami aku buat ialah ajak aku buka akaun tabung haji dan daftar haji (dah lupa hari keberapa selepas pernikahan kami, tapi dalam minggu pertama selepas bernikah). Semua duit hantaran dimasukkan dalam akaun tabung haji. Tahun giliran haji aku ialah 1454H (suami pula giliran tahun 1442H). Tapi pihak tabung haji menyatakan aku boleh ikut sekali nanti dah tiba giliran suami menunaikan haji.


Nak jadi cerita, suami dah selamat mengerjakan haji pada tahun lepas, dan aku tak dapat ikut sekali kerana keadaan tak mengizinkan. Takpelah aku reda, giliran aku pun dah tak lama, insya Allah. Moga masa tu masih sihat dan cergas untuk beribadah, dan harapannya suami dapat ikut sekali. Ameen. 


Tentang PTPTN pula. 

Selesai bab tabung haji, suami tolong aku settlekan bab ptptn pula. Masa tu aku dah buat bayaran balik dalam amaun lebih kurang 2k-3k. Aku bayar tak ikut jadual, just ikut berapa yang ada di tangan masa tu. Sebab tak kerja lagi, buat tak tahulah dulu. 


Tapi suami aku bertanyakan tentang PTPTN. Seganlah juga, kita baru je kenal dia, tak nak membebankan dia dengan hutang belajar kita. Tapi dia bersungguh, tukar daripada pinjaman biasa kepada ujrah, ke LHDN selesaikan apa yang patut, jumpa penghulu dan sebagainya, dan setiap bulan bayaran ditolak melalui akaun secara direct debit. Sungguh, dia ambik tanggungjawab sepenuhnya. Katanya hutang wajib dibayar. 


Sampailah, hampir 14 tahun lamanya langsai juga hutang belajar aku (pada 27/5/2024). Alhamdulillah. 


Begitulah kisahnya. Sudah tentu, aku rasa sangat terhutang budi pada suamiku yang sangat ambil berat tentang dua perkara ni. Kerana dia(dan dengan izinNya), aku berdaftar untuk giliran haji, dan aku bebas hutang ptptn (walaupun lepas belajar tak merasa nak bekerja dan ada gaji sendiri). Atas kerana rasa tanggungjawabnya terhadap isteri yang baru dia kenal beberapa hari je masa tu, dia bertindak dengan bijaksana sebagai seorang suami.


Mungkin dia tak ingat. Mungkin dia tak menganggap itu jasa besar dia untuk aku. Tapi aku merasakan dua perkara ini adalah hal yang sangat besar yang meringankan beban aku dan memudahkan urusanku. 


Bayangkan kalau dia tak ajak aku buka akaun tabung haji, entah bila aku sendiri nak ada kesedaran untuk buka sendiri. Dan entah tahun bila pula giliran aku untuk mengerjakan haji. 


Bayangkan kalau dia tak ambik tahu pasal hutang ptptn aku, aku sendiri pun macam tak ambik tahu hutang aku tu, mungkin sampai dapat surat amaran. Yelah, takde duit kan!


Yang pasti, 5 anak kami semuanya masing-masing dah ada akaun tabung haji (dan daftar haji sekali), dan dah buka akaun sspn juga. Mudah-mudahan, memberi kebaikan pada urusan masa depan anak-anak kami nanti. InsyaAllah. 


Terima kasih suamiku. 2 hal ini (tabung haji dan ptptn) sangat bermakna buatku, dan pasti aku tak lupa akan baik dan bertanggungjawabnya dirimu buatku, isterimu ini. Sudah tentu di samping hal-hal yang lain juga, di sepanjang 13 tahun lebih usia pernikahan ini. Segala nilai tanggungjawab, cinta, usaha keras, kasih sayang, kesetiaan, kejujuran, kesolehan, dan sebagainya darimu yang bernama suami, aku perakui dan bersaksi padaNya. 


Aku ini yang jauh dari sempurna.

Dan kau juga yang tak mungkin sempurna.

Namun aku percaya, sudah kau berusaha untuk berikan yang terbaik. 


Untuk segalanya ini, aku bersyukur padaMu ya Allah. Indah, cantik, dan tersusun sempurna tiap takdirMu ya Allah. 




Monday, 27 May 2024 0 comments By: Naemah

NUHA KHADEEJA: 3 MONTHS OLD

(25/2/2024-25/5/2024)


Alhamdulillah genap usia Nuha 3 bulan.

Dah makin besar kan baby ummi?

3 bulan berlalu, Nuha terus berkembang sihat, dan baik-baik saja. Alhamdulillah.


Belum buat check-up 3 bulan lagi (appoinment next week). Sebulan lepas dah terima suntikan di usia 2 bulan. Dan perkembangan normal saja. Insya Allah, temujanji akan datang tetap normal juga.


Baru seminggu lepas Nuha batuk dan selesema. Berjangkit dengan abang-abang yang semuanya kurang sihat. Kesian Nuha, ‘seksa’ juga nak bernafas dan teruk juga bunyi batuknya. Tidur malam kurang tenang. Adakalanya batuk sampai termuntah susu. Alhamdulillah kini dah semakin baik. Tinggal batuk-batuk sesekali yang tak teruk sangat bunyinya. 


Nuha kini masih pada posisi terbaring. Sedang cuba-cuba mengiring, tapi belum meniarap. Mata dah melilau sana-sini. Senyum bila ditegur, dan tangan perlahan-lahan dah cuba mencapai objek di depan mata. Dan satu lagi, mulut Nuha dah makin ‘bising’ nak bersembang. Bila ditegur, Nuha akan membalas dengan bahasa Nuha :)


Tiada masalah pada bab menyusu. Cuma ummi rasa Nuha bukan jenis kuat menyusu. Tidur malam lena. Sekali dua saja bangun menyusu. Siang pula Nuha akan menyusu pada jarak 2-3 jam sekali. Yang penting, ummi kena pastikan Nuha kenyang sebelum keluar hantar atau ambik abang kakak Nuha dari sekolah. 


Kencing berak juga normal. Berak 4-5 hari sekali (normal untuk baby yang menyusu badan). Badan pun semakin tegap. Lain-lain juga normal, insya Allah. 3 bulan yang baik untuk Nuha. Alhamdulillah. 


3 bulan dah Nuha hidup bersama ummi, abi, abang-abang dan kakak. Nuha jadi teman setia ummi setiap hari. Seawal pagi Nuha temankan ummi hantar abang kakak sekolah (time abi kat laut). Lepas tu jemput dari sekolah pun Nuha terpaksa ikut juga. Ada time Nuha ok, ada time Nuha lantang menangis. Tapi pada kebanyakan masa, Nuha tenang saja. Alhamdulillah. 


Untuk hari yang mendatang pun begitulah juga rutin Nuha bersama ummi. Time abi ada jelah, Nuha tak perlu keluar rumah sangat. Rehat kat rumah dengan ummi.


Apapun syukur Alhamdulillah. Kita lalui segalanya bersama dengan baik. Nuha semakin besar, semakin sihat dan comel. Terasa nak perlahankan waktu, agar dapat menikmati indahnya waktu bersama baby Nuha. 


Sihat-sihat sentiasa ye, Nuha. Nuha ummi yang comel, cantik dan baik, ummi sangat menyayangimu. 






MOTHERHOOD: ADA SATU ZAMAN YANG DIRINDUKAN



Catatan perjalanan seorang ibu.

Ibu yang biasa-biasa je. 

Tak ada yang luar biasa.


Sedar tak sedar, dah lebih 12 tahun bergelar seorang ‘ummi’. Tempoh yang bukanlah sekejap, dan tidak juga terlalu matang dan berpengalaman luas dalam dunia keibubapaan ini. Menjalani liku dan suka duka perjalanan seorang ibu, sama seperti orang lain juga. Tak sempurna, dan terlalu jauh dari sempurna.


Bila dikenang-kenang balik, ada satu tempoh yang ‘tenang dan santai’ ketika menjadi seorang ibu. Dan kemudiannya beransur menjadi lebih mencabar dan kian mencabar. 


Seingat aku, antara tahun 2017-2018 adalah tempoh di mana aku merindukan sangat waktu itu. Kurang tekanan, lebih santai dan tak terkejar-kejar seperti sekarang. Masa tu baru ada anak 3, boys semua. Anas dan Mussaab masih bersekolah tadika (umur yang masih dengar cakap dan tak ada perangai macam-macam lagi) manakala Miqdad dah melepasi fasa perlu diperhatikan setiap masa (dah boleh berjalan berlari dan faham arahan).


Tapi kenapa tempoh itu paling aku suka? Bagaimana tahun-tahun yang sebelumnya? Ketika anak seorang dan dua orang bagaimana pula? Tanggungjawab tak besar lagi masa tu kan?


Entahlah, masa tu kan masih baru bergelar seorang ibu. Kurang ilmu dan pengalaman. Segala yang perlu dihadap adalah perkara baru, makanya semua terasa mencabar. Sebagai ibu muda yang melahirkan anak sulung, terasa amat mencabar untuk melakukan hal baru dan tak pernah, berkaitan dengan baby. Tambahan pula tak ada pengalaman jaga budak. Anak bongsulah katakan. 


Genap anak sulung 2 tahun, dapat anak kedua pula. Pun mencabar, nak adapt dengan suasana hidup baru dengan pengalaman dan ilmu yang masih kurang.


 Sebab tu bila ibu muda atau yang baru bergelar ibu mengeluh penat dan stress walaupun anak baru sorang dua, aku faham akan rasa itu kerana pernah melaluinya. Tambahan kalau hidup jauh dari ahli keluarga terdekat yang boleh jadi support system kita di waktu kita memerlukan. 


Ok sambung. 

Hinggalah masuk anak ketiga (2016) masih mencabar hingga yang ketiga ini dah besar sikit, abang-abang masuk sekolah tadika, terasa lebih tenang menguruskan segalanya. Sudah tentu atas faktor sokongan yang lain, di mana masa ni dah stay kat rumah sendiri (tak menyewa dan berpindah randah lagi), sekolah tadika anak-anak dekat je dengan rumah, jalan kaki pun boleh (yang mana aku tak perlu bersesak di jalan raya), zaman sebelum hadirnya covid (tak tahu pun akan hadirnya virus ganas tu, tapi bila diingat tentang covid tu terasa lebih rindu pada zaman sebelum hadirnya covid tu), dan ya, seperti yang aku tulis di atas, anak-anak sangat baik dan mendengar kata, tak ada pengaruh tak baik dari luar yang dibawa balik ke rumah, tak kenal game dalam hp, dan yang kecil sekali tu pun dah bukan berada dalam fasa baby lagi (2017-2018).


Jujur kata, itulah zaman tenang yang dirindu sebagai seorang ibu. Tak banyak marah, tak banyak bebel, tak banyak risau, tak banyak fikir, dan terhibur sentiasa dengan gelagat anak-anak. Tapi bukanlah hidup masa tu tenang dan happy sentiasa. Sebagai ibu tak sempurna, masa tu pun banyak buat khilaf juga. Tapi tulah.. itulah zaman paling bebas stress untuk aku.


Tapi masa terus berlalu. Dari anak 3 kemudian jadi 4 dan 5. Sikit demi sikit beban tanggungjawab menjadi kebih besar dan berat. Tekanan makin terasa. 


Bila anak makin besar, masuk pula ke sekolah rendah, perlu seawal pagi bersedia dan bersiap hantar anak-anak ke sekolah masing-masing. Sekolah makin jauh, sekolah yang berbeza tempat dan waktu, jalan raya dah jadi tempat yang selalu kena ‘turun’. Bukan sekali dua, malahan berkali-kali, di samping tanggungjawab yang lain di rumah. 


Anak-anak pun, dah makin besar, mulalah nampak perangai masing-masing. Yang perlu diingatkan dan dipesankan berkali-kali dalam segala bab, yang gaya percakapan dan bahasanya dah lain macam (entah pengaruh dari mana), yang bergaduh tak kira isu, yang kaki mengusik sampai riuh satu rumah, yang nak masuk bilik sorang pun takut, yang memilih-milih makan, dan macam-macam lagi yang mencetuskan stress seorang ibu. Ibu yang kurang tahap sabarnya ini, dah mula marah-marah, masam muka, membebel, dan segala sikap ibu yang ‘biasa’ dah mula menonjol pada diri. Sungguh, penat bila marah. Penat bila naikkan suara. Penat bila kena pesan banyak kali. Penat. Tapi kalau tak buat semua tu, pun tak boleh. Sering rasa serba tak kena. Marah salah, tak marah salah. Sudahnya ibu yang penat dan rasa bersalah. Kerana hakikatnya ibu sangat sayang. Biarpun marah, tetap sayang. 


Cerita tentang musim wabak yang dulu, di mana 24 jam bersama anak-anak (kerana tempoh PKP yang panjang), banyak jugalah ceritanya. Keadaan rumah yang huru hara dek anak-anak beraktiviti bersama di rumah, dan pdpr yang mencabar (ibu yang perlu pantau, cakna dan buat persediaan untuk pembelajaran anak-anak). Semua kisah itu tak dilupa.


Masuk bab gadjet. Seperti kebanyakan anak zaman kini, anak-anakku juga jadi peminat pada game-game dalam gadjet. Tak nak bagi dah terlanjur bagi. Bila dah bagi kena pantau sentiasa agar tak melampaui batas. Bila dah bagi pegang hp sorang satu, bersedialah dengan kesannya. Dipanggil susah nak dengar. Disuruh lambat nak buat. Apalagi nak bagi ceramah dan nasihat, lagilah tak pasang telinga. Fokus hanya pada gadjet. Perlunya tangani segera sebelum sampai tahap yang begitu atau lebih lagi. Dan itulah, gadjet juga merupakan punca stress ibubapa. Nak tak nak, beginilah hidup di zaman mereka. Tak sama dengan zaman kecil kita dulu. Ibubapa jugalah nak kena jadi bijak mengawal semua tu. 


Kalau nak disambungkan lagi, banyak lagilah cerita perjalanan seorang ibu ini. Ada cerita di meja makan, ada cerita di dalam perjalanan ke sekolah, ada cerita di sepanjang musafir balik kampung, ada cerita di antara maghrib dan isyak, ada cerita di hari cuti sekolah, dan banyak lagi ceritanya. Betapa seorang ibu itu perlu memainkan peranan penting dalam setiap situasi dan keadaan. Punya pancaindera yang memerhati, memantau dan selalu berpesan-pesan untuk mengingatkan.


Bukan tujuanku untuk mengeluhkan apa yang perlu dihadapi oleh seorang ibu sepertiku. Sekadar menterjemahkan apa yang aku rasa. Bukan tak gembira dengan takdir, sedang hakikatnya tittle ibu itu sangat aku inginkan suatu masa dulu. Bukan mereka ini satu bebanan, melainkan aku yang paling bahagia atas setiap kelahiran mereka.


Namun gelaran ibu sudah tentunya hadir bersama tanggungjawab. Bukan sekadar untuk gembira atas kehadiran mereka. Yang lebih besar lagi adalah tanggungjawab untuk mendidik dan membesarkan mereka menjadi manusia beragama dan berguna.


Kita lalui jalan dan proses yang panjang.

Kita dihadapkan dalam perlbagai situasi dan keadaan.

Kita diuji yang bermacam-macam.

Kita menikmati pelbagai rasa.


Yang semuanya menjadikan kita lebih matang dan dewasa.

Yang menghadiahkan kita ilmu dan pengalaman.

Yang mendorong kita untuk lebih tenang dan bijaksana dalam bertindak di kemudian hari.


Dan boleh juga, ia menjadi yang sebaliknya. Nau’zubillah


Dan hakikatnya perjalanan seorang ibu ini masih perlu diteruskan selagi nyawa dikandung badan. Esok entah bagaimana bentuk cabarannya. Bila anak-anak meningkat remaja, pasti ceritanya berbeza dari hari ini. 


Anak-anak, ummi bahagia dengan setiap kehadiranmu. Ummi ikhlas memikul amanah dan tanggungjawab sebagai ibumu. Namun ummi insan lemah dan tak sempurna. Ada banyak dari tindakan ummi yang tak sepatutnya. Ummi minta maaf. Ummi ini yang serius memanjang, yang selalu naik suara, yang complain itu dan ini, yang tak mampu memberi contoh yang baik, maafkanlah segalanya.


Biar mungkin di hari mendatang tugas ummi kian mencabar, tetap ummi akan berusaha untuk teguh berdiri demi anak-anak. Tak mungkin sempurna, tapi doakan ummi agar mampu menjadi yang lebih baik, dan mampu memberikan yang lebih baik. 


Kini masih melalui saat sukar dan mencabar. Kalian anak-anak, masih banyak hal yang perlu ummi ajar dan bentuk. Jomlah anak-anak, kita sama-sama berusaha ke arah yang lebih baik. Moga satu hari nanti, ummi temui lagi zaman yang tenang dan lapang seperti yang pernah ummi rasakan sebelum ini. Iaitu ketika anak-anak ummi semuaaaanya jadi anak yang baik dan soleh-solehah. 


Ameen ya Allah. 






Monday, 20 May 2024 0 comments By: Naemah

CATATAN HARI GURU





Tarikh 16 Mei tidak dilupa. Hari guru, paling tak boleh dilupa kerana kita semua hidup ber’guru’ kan?


Dekat ‘to do list’ untuk bulan Mei yang pertama sekali ialah nak sediakan hadiah guru. Maklumlah, anak 4 orang yang bersekolah (5 kelas semuanya). Bila dikira-kira, lebih kurang 40 hadiah kena sediakan semuanya. Tak terfikir yang mahal, yang penting yang ber’guna’ untuk guru-guru. Sekadar penghargaan dan ingatan ikhlas buat guru-guru yang mendidik anak-anak. Perlu sediakan pada semua yang mengajar, tak boleh nak pilih-pilih pula.


Kebetulan pula Mei ini suami tersangat sibuk. 3 minggu hanya sibuk di laut. Balik juga sehari dua, lepas tu pergi lagi. Semuanya nak kena fikir dan sediakan sendiri. Hingga hal kewangan pun tak minta peruntukan dari dia, hanya sekadar yang ada di tangan. 


Satu pagi (weekend), bergegas keluar ke econsave mencari hadiah. Nuha (yang baru tidur dan menyusu) ditinggalkan dalam jagaan Anas. Cepat-cepat cari barang, dan segera balik. Alhamdulillah Nuha ok je.


Siapkan dulu hadiah untuk sekolah Suri (LD) dan Mussaab (SKKR dan SRIPN) yang diadakan majlis hari gurunya pada minggu yang sama. Alhamdulillah selesai. 


Minggu berikutnya majlis sambutan hari guru di sekolah Anas dan Miqdad pula (SRAIPB). Sempat ke kedai eco bersama abinya dan beli hadiah untuk kelas Anas dan Miqdad pula. Alhamdulillah, siap juga untuk keduanya.


Majlis sambutan hari guru di sekolah anak-anak dah pun selesai semuanya. Hadiah pun dah sampai ke tangan guru-guru. Biar tak seberapa, semoga ianya dapat gembirakan hati guru. Tentunya pada hari tersebut guru diraikan dengan meriah. Tak cukup tangan dan ruang nak letak hadiah. Alhamdulillah. Rezeki seorang guru. Mahal atau murah hadiahnya, cikgu tak kisah pun kan? Malahan ada yang tak mampu untuk memberi, cikgu tetap faham kan? 


Terima kasih cikgu. Terima kasih mendidik anak-anak dari tidak tahu menjadi tahu. Dari tidak pandai menjadi pandai. Dari ilmu yang sedikit menjadi lebih banyak. 


Terima kasih guru-guru mendidik mereka dengan ikhlas dan kasih sayang umpama anak-anak sendiri. Aku tahu, kerja guru bukan mudah. Mendidik perlu dengan ‘hati’. 


Semoga terus mendidik dengan penuh keikhlasan. Semoga terus memberi dengan kasih sayang. Padamu guru, ibubapa menyerahkan amanah yang besar untuk mendidik anak-anak kami. Jasamu tak terbalas oleh kami, tetapi pasti ganjaran di sisiNya tersangatlah indah.


Terima kasih buat guru-guru yang pernah dan kini mendidik anak-anakku Anas Zaydan, Abdullah Mussaab, Ilham Miqdad, dan Suri lilyana ; GENIUS AULAD BANDAR RINCHING, LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN, SRAI PEKAN BERANANG, SK KAMPUNG RINCHING dan SRI PERMATA NUSAYBAH.


Terima kasih buat para pendidik yang pernah mencurahkan ilmu buatku; guru-guru di SK KAMPUNG LEGEH, MAAHAD MUHAMMADI (P), SMUA (A) AL-SABIRIN, MCIIUM, dan IIUM. 


Jasamu guru takkan pernah terbalas.