Saturday 31 October 2015 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 311015

Hari kedua suami di Labuan. Seperti biasa masa abi tiada di rumah ni juga la ummi sempat nak update blog dan cerita aktiviti anak anak di rumah :)

Seperti biasa Mussaab bangun lebih awal dari Anas. Ummi juga seperti biasa mengadap komputer di awal pagi untuk menambahkan koleksi video untuk anak anak ummi. Hari ni download video shawn the train dengan harapan Anas dan Mussaab suka dan belajar.

Seperti biasa juga ketika bersama ummi, ummi akan mulakan pagi Anas dan Mussaab dengan memperdengarkan bacaan juzuk amma, sambil membiarkan Anas dan Mussaab membuat aktiviti sendiri.

Tapi hari ni, ummi ada surprise untuk Anas. Semalam bertungkus lumus ummi buatkan car track untuk Anas. Nah, ummi hadiahkan untuk Anas dan Mussaab (share ye). Tak cantik sangat pun, sebab ummi tak kreatif :) tapi yang pasti Anas suka. Sebelum tu ummi minta Anas tasmik surah dulu. Anas akur dan seronok sangat dapat hadiah :) Mussaab pun sama juga suka walaupun sebenarnya kurang berminat lagi nak main macam along.



Selepas makan dan mandi, ummi benarkan untuk menonton video. Banyak video baru, tapi Anas dah pandai pilih pilih. Ada yang dia nak tengok, ada juga yang dia tak nak. Mussaab akan asyik menonton pada video yang dia suka, dan tak pedulikan video yang kurang menarik. Anas dan Mussaab, menonton dan bermain bersama. Ada ketika baik, ketawa dan bergurau. Ada ketika gamat berebut mainan dan masing masing dah pandai mengusik sampai menangis dibuatnya. Along dan adik, sama je...

Ummi berikan Anas kertas latihan yang ummi dah print dan laminate. Latihan yang berkaitan dengan tajuk favourite Anas, season, weather dan planet. Anas asyik melukis di kertas tersebut mengikut gayanya sendiri. Leka sekejap dengan aktiviti tersebut. Mussaab turut meminta pen dan kertas. Menconteng sepuasnya, tak cukup kertas muka, kaki dan dinding jadi sasaran :) ummi berikan pada Mussaab flash card huruf hijaiyyah bila nampak dia dah menconteng merata tempat :)




Lunch, ummi suapkan nasi berlaukkan ayam bakar dan sayur air. Anas makan berselera seperti biasa, Mussaab pula hanya makan ayam. Selepas itu masing masing minta vitamin, dah dua hari ummi lupa nak bagi. 

Ummi solat zohor selepas tidurkan Mussaab. Selepas itu ummi juga masuk tidur. Anas pun ikut sekali. Alhamdulillah semua tidur lena siang tadi. Mussaab yang pertama bangun. Senyap senyap keluar dan bermain sendiri. Lepas tu masuk kejut ummi dan along bangun. 

Sementara nak tunggu asar ummi gorengkan fries dan makan bersama. Ummi solat asar, sambil Anas dan Mussaab leka bermain. Rumah dah memang macam apa dah. Buku dan mainan banyak di lantai. Mussaab sering ke rak buku, mengambil dan membelek buku. Bacalah sayang...

Lepas tu boleh pulak minta dengan ummi dan berguling di atas kain baju yang baru diangkat dari jemuran. Anas janji nak kemas balik. Ummi pun layan sajalah, sambil snap gambar sekeping dua. Dah puas Anas masukkan semula kain baju ke dalam bakul. Hai anak... Macam macamlah.



Dalam pukul 5 petang ummi masuk ke dapur untuk masak. Ummi suapkan Anas dan Mussaab makan sehingga kenyang. Ummi masih tak lapar disebabkan makan fries tadi. Dah siap suapkan makan, ummi buat stok bergedil untuk disimpan. Potato dah lama beli, takut rosak tak pakai. Ummi biarkan Anas dan Mussab bermain dan menonton video. Anas dan Mussaab pun ok je...

Dah siap semua, Ummi mandikan Anas dan Mussaab. Dah nak maghrib, ummi pasang bacaan juzuk amma untuk kali kedua. Masing masing tenang bermain sambil ummi setelkan kerja ummi, mandi dan solat Maghrib.

Selepas maghrib ajarkan Anas al quran, dan sambung cerita surah al falaq. Alhamdulillah sikit demi sikit Anas dah dapat tangkap cerita di sebalik surah yang dihafaznya. Kemudian ummi makan, Anas minta nak tengok video upin ipin. Dah lama tak menonton cerita upin ipin. Mussaab pun layan sekali. Selepas itu baca buku bersama. Anas dan Mussaab tekun mendengar dan bertanya. Ummi happy sangat sangat sebab Mussaab dah banyak belajar dan dah banyak tahu. Ummi solat isyak, Anas dan Mussaab masih leka bersama buku.


Lepas isyak ummi tidurkan Mussaab. Anas kemudian menyusul, selepas ummi dengarkan surah surah hafazan yang dia dah hafaz bermula surah an Nas. Sampai surah al Qadr, Anas dah terlena. Alhamdulillah..

Semoga mimpi yang indah anak anak ummi.. Semoga membesar menjadi hamba Allah yang taat, dan menjadi anak ummi dan abi yang soleh. Insya Allah.

End of October 2015... 
Waiting for our hero..
May Allah bless and protect him..
Aameen..


Friday 30 October 2015 0 comments By: Naemah

WARKAH RINDU UNTUK DIA


Hari ini dia kembali merantau, jauh mencari rezeki yang halal. Di situ tempat dia mengerah keringat, berjauhan seketika dengan anak dan isteri.

Hari ini episod perpisahan berulang lagi. Insya Allah ia hanyalah perpisahan sementara. Dalam hatinya pasti ada kerinduan, tetapi dia tetap perlu pergi. Untuk dirinya, dan untuk keluarganya yang tercinta.

Dia kini jauh di pandangan mata. Tetapi tetap dekat di dalam hati. Tak dapat untuk saling menatap dan menyentuh, tetapi masih mampu untuk saling mendoakan.

Saat adanya terasa indah, bahagia, menghiburkan, seperti mahu dia sentiasa ada di sisi. Saat tiadanya terasa kehilangan, kesunyian dan rindu yang tak tergambar. Tetapi inilah takdir yang pastinya terbaik di sisi yang Esa.

Dia istimewa, sekurang kurangnya untuk anak dan isteri. Dia anugerah, yang sukar dicari ganti. Dia yang terbaik, insya Allah cinta hingga ke syurga.

Kala jauh hati merindu. Rindu buat kekasih anugerah yang Esa. Dia tempat seorang isteri mencari syurga. Dia yang mencintai seikhlas hati. Sering memaafkan walau sering dilukai. 

Dia yang bernama suami.. 
Dia yang sangat kucintai..
Dia yang amat kudambakan keredhaannya..
Meski dengan kekurangan dan kelemahan yang banyak ini..

Semoga dalam rahmat dan kasih sayang Allah duhai suami...

DIARI ANAKKU: 301015

Hari ini suamiku kembali menyambung kerja setelah 2 minggu bercuti. Satu percutian yang sangat lama :)

Mussaab bangun seawal jam 6 pagi, sempat bersalam dengan abi. Kucupan kasih sayang abi seperti biasa buat Mussaab dan Anas yang masih lena. Abi menaiki teksi jam 6.40 pagi ke airport. Mussaab leka bermain sendiri. Ummi pula gigih mendownload video baru untuk anak anak ummi. Lagi video tentang 'weather' yang menjadi topik kegemaran Anas. Juga video video lain buat Mussaab juga. 

Anas bangun pukul 7.30 pagi. Abi dah tiada. Boleh pulak dia suruh abi balik sebab nak salam :) kelakar dan kesian.. Abi dah sampai airport sayang :)

Anas meminta untuk menonton video sebaik keluar dari bilik tidur. Ummi syaratkan untuk habiskan dulu video juzuk amma, makan dan mandi terlebih dahulu. Alhamdulillah Anas ikut syarat tersebut. Mussaab juga :)

Anas dan Mussaab breakfast dengan roti cheese dan nugget. Selepas mandi ummi buka video seperti yang dijanjikan. Masing masing excited menonton video baru. Mussaab sedikit bosan kerana ada video yang mungkin tak sesuai dengan umurnya :)

Tiba turn video yang ajar drawing, Anas mencari kertas dan pen dan minta ummi lukis seperti di dalam video. Ummi lukis, kemudian Anas tambah. Lepas tu asyik dok minta kertas nak lukis lagi. Lukisan Anas masih berkaitan dengan minatnya. Ada awan, pokok, matahari, angin, hujan,  jalan, dll. Alhamdulillah ada improvement dalam lukisan Anas :) ummi biarkan Anas leka melukis. Mussaab pula pantang tengok ummi duduk, terus cakap nak tido (nak susu sebenarnya:))

 Mussaab tidur sekejap sekitar jam 10-10.30 pagi. Kemudian bangun dan aktif bermain semula. Sempat bacakan buku untuk Anas dan Mussaab. 

Makan tengahari ummi suapkan nasi dengan sup daging dan ikan bawal goreng. Keduanya masih makan bersuap :) dan keduanya berselera makan. Teringat pada abi yang tak makan pagi tadi gara gara nak kena timbang berat badan hari ni :D

Selepas waktu zohor ummi seperti biasa nak rehat dan lelapkan mata. Tapi sukar dek kerana Mussaab yang tengah aktif dan tak mahu tidur, tapi asyik minta susu saja. Macamana ummi nak tidur... Anas pula asyik dengan video dan masih belum puas melukis. Kerap pula minta kertas. Hai... Macamana ummi nak tidur.. Tapi sempat juga la lelap dalam 15 minit :)

Pukul 3.30 ummi keluar layan Anas dan Mussaab semula. Anas dan Mussaab makan aiskrim, ummi sempat update blog sementara tunggu nak solat asar. Selepas itu masing masing asyik dengan mainan. Sesekali riuh berebut mainan. Sabar jelah... 

Selepas solat asar, layan Anas dan Mussaab dengan buku lagi. Mussaab asyik dengan soalannya, 'what is this' dan ummi perlu menjawab setiap soalannya. Alhamdulillah Mussaab mengenal hampir semua colors, dan shapes. Juga sedang tekun belajar parts of body. Good job Mussaab!!

Ummi kemudian masuk ke dapur memasak untuk makan malam pula. Anas dan Mussaab membuat aktiviti masing masing. Kedengaran suara riang ketawa, diselangi jeritan dan tangisan juga. Hai anak... 

Kemudian menikmati makan malam jam 6 petang. Anas berselera makan, Mussaab pula banyak main. Tak banyak makan macam siang tadi. Dah siap semuanya, ummi kemaskan meja dan pinggan mangkuk dicuci. Segala makanan tumpah disapu. Anas juga menurut arahan untuk mengemas segala buku dan permainanya yang bersepah. Alhamdulillah kemas dah :)

Selepas itu Anas dan Mussaab mandi. Sekali lagi ummi dengarkan juzuk amma Mussaab terlena dalam pukul 7 malam. Selepas solat maghrib ajar Anas al Quran dan kali ni sempat cerita sedikit tentang surah an Nas. Permulaan untuk tadabbur al Quran bersama anak soleh ummi. Semoga dapat diteruskan dan semoga al Quran menjadi penerang dan penyuluh jalan anak anak ummi.

Anas kemudian tidur juga jam 8 malam. Ummi kemudian sendiri. Ada tugas lagi yang belum selesai. Semoga segalanya dipermudahkan dan semoga lena tidur anak anak ummi. 

Ummi love Anas and Mussaab 
Ummi love abi too...



BUKTI DIA CINTA

picture: here


Cinta 'dia' yang bernama suami. Setiap insan berbeza dalam menterjemahkan cinta. Hanya kita sendiri yang dapat mengenal pasangan, memahami bahasa cintanya, lantas bersyukur :)

Bukti dia cinta;
Dia tahu cinta mana yang sepatutnya menjadi keutamaan dalam hidupnya. Allah dan Rasul menjadi cinta utamanya, disusuli cinta pada ibubapanya. Selepas itu barulah cinta buat isterinya. Bukan cinta isteri yang pertama, hingga lupa pada cinta yang lebih utama.

Bukti dia cinta;
Dia bertanggungjawab mencari rezeki untuk menanggung kehidupan anak isterinya. Dia rajin bekerja, dia ikhlas bekerja, dia cuba cukupkan keperluan isteri dan anak anaknya dengan kadar kemampuan dan kudratnya meskipun tak seberapa hasilnya.

Bukti dia cinta; 
Dia cuba meluangkan masa yang berkualiti buat keluarganya meskipun sebentar. Sedikit masa di rumah tetapi penuh pengisian jauh lebih baik dari banyak masa di rumah tetapi hal anak isteri langsung tak dipeduli.

Bukti dia cinta;
Dia mengajar anak isteri ilmu agama. Kenalkan mereka pada Allah dan Rasul. Ingatkan mereka tentang dosa pahala. Ajarkan mereka tentang akhlak mulia. Menegur di kala salah, dan tak lupa mengambil berat bab pakaian dan aurat isteri.

Bukti dia cinta; 
Dia cuba memahami kepenatan isteri menguruskan rumahtangga. Tidak marah kala rumah tak terurus sempurna, malah membantu tika ada kelapangan. Memasak untuk keluarga jika ada bakat di dapur, atau sesekali bawa isteri menikmati hidangan di luar sambil rehat dari kesibukan urusan rumahtangga yang tak pernah sudah.

Bukti dia cinta;
Dia menjaga tahap kebebasan sosial isteri agar tidak terlalu bebas, malah lebih baik di rumah saja saat dia tiada bersama. Kerana dunia luar penuh dengan cubaan dan dugaan. Dia mengambil tahu kenalan isteri, aktiviti isteri dan topik perbualan dan perbinacangan isteri agar tidak hanyut tersasar. Bukan untuk mengongkong, sekadar untuk menjaga.

Bukti dia cinta;
Dia cuba bersabar dengan segala karenah isteri yang adakalanya sukar difahami. Isteri yang kuat rajuk, kuat marah, kuat merungut, kuat berleter, dan segala macam sikap wanita, dirai dan ditangani dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan sesuai dengan watak seorang suami sebagai seorang pemimpin dan perlu bijaksana dalam memimpin.

Bukti dia cinta;
Dia tidak menjauhkan isterinya dari ibubapa dan keluarga isteri meskipun kini dia yang menjadi keutamaan pada isterinya. Dia sedar betapa ibubapa mertua dan keluarga itu yang pernah menjaga dan berjasa pada isterinya sebelum kehadirannya, dan betapa keluarga itu memberi makna kehidupan yang besar buat isterinya.

Bukti dia cinta;
Dia tidak memandang pada kecantikan semata. Dia bersabar dengan kekurangan isteri, tidak terlintas di hati untuk membuat perbandingan dengan wanita lain yang pastinya akan mengundang cemburu di hati isteri malah membuat isteri kecil hati kerana kekurangannya. 

Bukti dia cinta;
Sesekali berada di rumah dia mengambil tugas melayan dan menguruskan anak anak yang ternyata agak mencabar. Fahami isteri yang hampir setiap hari, malah setiap masa melayan karenah anak yang berbagai, menguruskan hal mereka dalam setiap perkara. 

Bukti dia cinta;
Dia tidak akan sesekali menjatuhkan maruah isteri di hadapan sesiapapun termasuk di depan ibu ayahnya. Dia cuba  sedaya upaya menutup segala keaiban isterinya, cukup sekadar dia yang tahu. Malah lebih baik, dia menonjolkan segala kebaikan isterinya di depan ibubapa dan ahli keluarganya agar isterinya tetap dihormati dan disayangi.

Yang di atas itu hanya cebisan dari bukti cinta seorang suami buat isterinya. Wahai isteri, ambil sedikit masa merenung kebaikan suami buat dirimu lantas bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang sedang mencintaimu dengan ekspressinya yang tersendiri.

Suami kita takkan sama dengan suami orang. Mereka punya cara tersendiri dalam membuktikan cinta. Hanya kita yang lebih mengenal suami kita dan bagaimana cara dia mempamerkan cinta, meski bukan dengan luahan atau ungkapan cinta.

Hakikatnya cinta yang hadir bersama tanggungjawab adalah lebih bermakna buat sang isteri. Bukan sekadar cinta, bukan sekadar luahan kata manis dan indah semata.

Namun wahai isteri, saat hati tertanya apakah dia benar benar cinta, mungkin saat itu kita perlu merenung diri melihat kadar mana cinta kita untuknya dan kerana apa kita mencintainya. Hanya kerana kita ikhlas mencintai, insya Allah kita juga akan ikhlas dicintai..
Tuesday 27 October 2015 0 comments By: Naemah

JOM MASAK KAT RUMAH!!


picture: here

Malaysia masih dilanda masalah jerebu. Jerebu yang semakin teruk, tak tahu bila akan berakhir. Satu ujiandan peringatan dari Allah buat seluruh hambaNya.

Tak cukup dengan jerebu, masalah masalah lain turut hadir bersama. Salah satunya ialah masalah wabak kepialu yang sedang merebak di negara kita yang tercinta ini. Satu demi satu wabak penyakit yang melanda dan mengundang rasa takut kita semua. 

Kerana wabak yang sedang melanda ini juga, kita semua dinasihatkan untuk tidak membeli makanan di luar demi menjaga kebersihan dan mengelakkan jangkitan penyakit ini. 

Ya, satu saranan yang sangat baik dan patut diberi perhatian. Kerana kebanyakan kita hari ini suka untuk membeli makanan di luar kerana kesuntukan masa untuk memasak di rumah, terutamanya bagi ibu ibu yang berkerjaya.

Namun tak dinafikan, masih ada ibu bekerja yang rajin ke dapur dan berusaha memasak sendiri makanan untuk keluarga. Dan tak dinafikan juga, isteri yang tak bekerja pun ada juga yang jarang masuk dapur dek kerana lecehnya tugas memasak. Beli kat luar kan lagi mudah :)

Apapun, perlu kita renungkan bersama, mengapa pentingnya untuk kita terutamanya para isteri dan ibu untuk memasak sendiri di rumah, dan tidak bergantung pada makanan luar. 

Ya, yang pertamanya tentang kebersihan, yang menjadi punca tersebarnya pelbagai penyakit termasuk demam kepialu yang sedang kita hadapi hari ini. 

Jika memasak di rumah sudah pasti kita sangat mengambil berat bab kebersihan ni. Kalau bab masakan kita tak jaga, mungkin kita sendiri pun tak lalu nak makan agaknya. 

Tapi bila makan di kedai, kita tak tahu bagaimana penyediaannya. Sejauh mana mereka mengambil berat bab kebersihan makanan yang nak dijual tu. Mereka memasak dalam kuantiti yang banyak, jadi agak meragukan juga la bab kebersihan tu. Namun bukan nak kata makanan di luar tu semuanya tak bagus. Ada juga yang ambil berat bab kebersihan. Kalau kita pasti tempat mana yang terjamin bersih tu, silakanlah. Tak salah pun beli di luar.

Cuma sebagai langkah berjaga jaga, kita digalakkan untuk tidak bergantung pada makanan di luar. Dan yang pasti, masakan sendiri lebih terjamin bersih dan berkhasiat, di samping manfaat manfaat lain buat seluruh ahli keluarga, terutama anak anak kita.

Yang penting cuba dan usahalah untuk memasak sendiri di rumah. Mungkin masakan kita kurang sedap, mungkin kita kurang cekap di dapur, mungkin kita kesuntukan masa, mungkin kita sering buntu nak masak apa, tapi kita tetap perlu mencuba untuk rajin ke dapur demi suami dan anak anak. Sayangi mereka dengan menjaga makan mereka. Cuba untuk menyediakan hidangan terbaik buat santapan mereka. 

Insya Allah bila kerap ke dapur, mutu masakan kita dapat diperbaiki. jika kerap ke dapur, skill kita dapat diimprove, lama kelamaan kita akan jadi biasa. suami dan anak anak juga jadi biasa dengan gaya dan citarasa masakan kita. Air tangan ibu dan isteri pasti lebih bermakna dan dapat menambat hati suami dan anak anak. Yang lebih penting, kita sebagai isteri sudah pasti memasak dengan ikhlas dari hati. Setiap suapan yang masuk ke mulut suami dan anak anak, pasti membuahkan kepuasan dan kebahagiaan dalam hati kita. percayalah!!


Monday 26 October 2015 0 comments By: Naemah

FAMILY PICNIC: PANTAI BUKIT KELUANG BESUT

Alhamdulillah berkesempatan untuk bersama keluarga (mertua) berpiknik dan berehlah di Pantai Bukit keluang, besut Terengganu pada hari sabtu yang lepas (24/10/15)

Kami bertolak dari rumah mak di Kota Bharu sekitar jam 9.00 pagi dengan menaiki 3 buah kereta. Agak ramai juga, walaupun sebenarnya masih tak cukup adik beradik suamiku yang 10 orang tu. Kalau semua ada pasti bertambah meriahnya. Hanya 6 beradik saja anak mak yang boleh join, dengan 2 menantu serta cucu seramai 11 orang. Semuanya berjumlah 21 orang termasuk mak dan bibik adik iparku. Ramai sangat dah tu :)

Kami tiba di sana dalam pukul 10 pagi. Orang dah ramai kat sana, tapi Alhamdulillah dapat juga tempat yang agak selesa dan luas untuk kami sekeluarga. sesampainya di sana kami agak risau juga kerana keadaan yang mendung macam nak hujan. sebaik tikar dihampar dan barang barang diangkut turun, hujan mula turun rintik rintik. First sekali payung diambil dan diberikan pada mak yang tengah menghidupkan api untuk bbq. Tikar ditutup semula untuk mengelakkan basah. Anak anak saudara masih berlarian di tepi pantai tanpa menghiraukan hujan. Aku pula  membawa anak anak berteduh di pondok, sedang suamiku sibuk membantu apa yang patut bersama mak dan adik adiknya. 

Alhamdulillah hujan tak lama. Bila sudah reda, kami teruskan piknik kami. Yang nak mandi terus berlari ke laut, termasuk suami dan anak anakku. Mak terus membakar ayam dibantu adik ipar serta kakak iparku. Aku hanya memerhati. Sesekali berjalan ke tepi pantai melihat mereka yang asyik mandi manda. Jelas terpancar keseronokan mereka bermain air :)

Agak lama mandi di pantai, masing masing naik untuk mengisi perut. Ayam pun dah banyak yang siap dibakar. Makan dengan nasi goreng, bihun goreng, nasi putih pun ada. Sangat berselera makan semuanya dek kerana penat bermain air. 

Selepas makan mereka ke kawasan bukit keluang untuk melihat suasana di situ. Jalan jalan dan ambil gambar. Ramai orang di sekitar kawasan situ. Masing masing dengan aktiviti tersendiri. 

Kemudian mereka kembali ke laut untuk mandi second round. Tak puas mandi lagi rupanya :) aku hanya memerhati suami yang asyik mandi manda bersama anak anak dan anak saudara. Kemudian mak pula datang menjenguk dan mengajak pulang kerana dah hampir masuk waktu zohor. Masing masing mengikut perintah.

Kami mengemaskan apa yang patut. Clearkan segala sampah sarap, dan tinggalkan kawasan tersebut dalam keadaan bersih seperti kami mula datang tadi. Saat berangkat pulang kedengan azan zohor berkumandang. Kami singgah solat zohor di masjid berdekatan dan sambung perjalanan pulang yang mengambil masa dalam 1 jam. Anak anak dan anak saudara yang keletihan semuanya terlena tidur di dalam kereta. 

Sampai di rumah dalam pukul 3 petang. Alhamdulillah rehlah keluarga yang memuaskan dan memberi kesan mendalam di hati. Gembira dapat bersama sama keluarga yang jarang jarang dapat berkumpul bersama. Berpuas hati juga kerana dapat menikmati suasana pantai yang masih cantik dan selamat untuk mandi manda :) 









Wednesday 21 October 2015 0 comments By: Naemah

AIR DICINCANG TAK AKAN PUTUS




Adik beradik itu ibarat air, dicincang tidak akan putus. Satu perumpamaan yang biasa didengar, diingat sampai bila bila. 

Adik beradik, apatah lagi beribu dan berbapa yang sama. Punya pertalian dari darah yang sama. Tak bisa ditukar, tak bisa diubah. 

Ingat masa lalu yang pasti indah. Ketika kecil, dunia kita hanya ibubapa dan adik beradik. Mereka cinta terawal yang hadir dalam hidup kita. Tiada yang lain, hanya ibu ayah dan adik beradik inilah.

Masa kecil, kita berkawan mesra, bergaduh dan berbaik semula, bercerita, bergurau, bermain, menikmati hidup dan berbagi kasih sayang ibu dan ayah yang sama.

Kita membesar bersama, melalui kehidupan kanak kanak, bersekolah, dan akhirnya menjadi dewasa. Antara kita mungkin ada jarak, tidak serapat dan seakrab dulu. Kerana kita punya langkah dan tujuan hidup yang berbeza. Namun kita percaya, meski jauh dan jarang bertemu kita masih tetap adik beradik. Tidak terputus ikatan ini. Dalam hati kita masih tetap saling menyayangi meski tanpa ungkapan yang dilafazkan. Kerana rasa sayang ini lumrah dan wujud di sanubari sejak mula kita menjadi adik beradik.

Meskipun akhirnya kita mempunyai kehidupan sendiri dan bertemu jodoh, kita masih adik beradik. Hubungan kita masih tidak akan terputus, dan darah yang sama masih tetap mengalir di dalam tubuh kita. Andai suami dan isteri yang saling mencintai itupun, bisa dipisahkan, tetapi adik beradik, selamanya TIDAK akan terputus. 

Bertanya pada hati, wujudkah rasa kasih dan sayang itu, buat mereka yang bergelar adik beradik. Ya, kita disibukkan dengan urusan kerja, rumahtangga, anak isteri/suami, hingga ingatan pada adik beradik timbul tenggelam. Tapi percayalah, rasa sayang itu tetap teguh di hati. Tidak berubah sedikit pun. 

Barangkali antara kita ada ketikanya tegang, berbeza pendapat, berbeza fahaman, berbeza dalam banyak perkara, hingga ada yang makan hati, memendam rasa dan mencetus marah. Tetapi... Kita tetap adik beradik kan? Kita tetap sayang kan? Ibu dan ayah kita tetap menjadi titik pertemuan dan persamaan kita kan? 

Lumrah yang lebih tua, kedudukannya lebih dekat dengan ibu dan ayah. Layaknya dia dihormati, dirujuk dalam hal penting, dan diutamakan dalam sesuatu urusan dan perbincangan. Lumrahnya yang lebih muda, mahu disayang dan diberi perhatian. Disapa, dimesra dan diambil berat dari yang lebih tua. 

Maka wajar kita fikirkan, di mana tempatnya kita. Andai kita yang lebih tua, berikanlah perhatian, kasih sayang, dan mulakan kemesraan dengan yang lebih muda. Jika kita yang lebih muda, hormati yang lebih tua dengan melibatkan dirinya dalam setiap urusan keluarga dari sekecil kecil hingga sebesar besar urusan. Minta pendapat, minta nasihat, laporkan permasalahan, hingga sampai masej padanya bahawa dia orang penting dalam keluarga, dan menjadi pengganti ayah dan ibu bila mereka sudah tua atau sudah tiada. 

Ya, muhasabah itu kunci yang terpenting dalam menjaga hubungan mesra adik beradik. Apakah kita telah cuba menjadi abang/kakak/adik yang terbaik buat adik beradik kita. Mungkin kita jarang bertemu, tapi tidak sukar untuk bertanya khabar. Mungkin kita jauh, namun kita boleh merancang untuk saling ziarah demi silaturrahim. Mungkin kita segan nak mengucapkan sayang, tapi kita masih mampu untuk saling mendoakan sebagai tanda kasih. Mungkin antara kita ada segan dan malu, tapi kita masih boleh mencuba... 

Ya, kita adik beradik selamanya. Kita punya ibu dan ayah yang sama. Kita berkongsi kasih dan sayang ibu ayah yang sama. Antara kita ada pertalian erat yang tak boleh dipisahkan. 

Ayuhlah sama sama kita jaga ikatan ini, biar semakin teguh dan erat, semakin dekat dan rapat. Kita saling menjaga hati, saling bertindak atas kebenaran, saling mendoakan, saling memaafkan sekaligus saling bermuhasabah dan memperbaiki diri. Kerana kita tak sempurna, ada salah silap yang kita tidak menyedari. Pokoknya, mulakan dengan diri kita demi sebuah kejernihan dalam hubungan kekeluargaan ini.

Kita.. Adik beradik, saudara seibu dan sebapa. Jangan dilukai hati orang tua dengan sengketa kita. 




OUR BIG FAMILY




Apabila sudah berumahtangga, bermakna kita mempunyai sebuah lagi keluarga yang besar. Sebagaimana sebelum ini kita mempunyai ibu ayah, adik beradik, dan saudara jauh dan dekat, suami juga seperti itu. Maka bilangan ahli keluarga kita makin bertambah ramai. Tak dinafikan...

Boleh jadi kita dari keluarga yang besar, suami pula sebaliknya. Boleh jadi juga kita dari keluarga yang lebih kecil berbanding suami. Atau keduanya sama besar, atau sama kecilnya. Tak kisahlah tu... Yang pastinya, selepas berkahwin kita punya dua keluarga yang pasti ada perbezaan antara keduanya, sikit atau banyak.

Kita tidak sekadar menikahi seorang suami/isteri, tetapi dalam masa yang sama juga kita menambah jumlah ahli keluarga yang sedia ada.

Antara keluarga kita dan keluarga dia, pasti ada bezanya. Cara ibubapa mendidik dan mempamerkan kasih sayang mungkin tak sama, pergaulan sesama adik beradik mungkin juga berbeza, adab dan nilai yang tertanam di dalam diri setiap ahli keluarga malah berbeza juga. Rutin dan kebiasaan setiap dari kita pun mungkin tak sama. Namun.. Di situlah kita perlu mencuba meraikan setiap perbezaan, dan cuba untuk 'masuk' ke dalam kehidupan yang berbeza itu.

Kita mungkin lebih selesa dan happy  bila berada dalam keluarga sendiri. Yelah, itukan keluarga kita. Dari awal kelahiran hingga akhirnya berumahtangga itulah keluarga kita, begitulah kehidupan kita. Dah biasa, dah rasa best sangat dah. 

Tetapi setelah berumahtangga, kita masuk dalam keluarga baru yang rasanya 'asing' sangat dengan kita. Masuk seorang diri, dipimpin suami tercinta, langkah demi langkah hingga akhirnya menjadi biasa. Walaupun biasa, masih ada rasa asingnya, dan menjadi tugas kita sendiri untuk membuang rasa asing dan cuba meletakkan kita sebagai sebahagian dari mereka. 

Dalam keluarga baru ini, kita tidak boleh mengharapkan mereka memahami kita dan mengikut rentak kita. Sebaliknya kita yang perlu biasakan diri mengikut rentak mereka. Pendiam dan malu kita, boleh dianggap sombong dan tak pandai bergaul, walaupun hakikatnya begitulah kita. Ya, agak sukar untuk menjadi orang lain, bila dalam situasi yang lain dari kehidupan kita suatu masa dulu. Dan ya, kita harapkan mereka mengerti kita dan menerima kita seadanya sebagai sebahagian dari mereka, serta menjauhi segala sangkaan. 

Namun kita juga perlu menerima dan menyayangi keluarga baru ini dengan  sepenuh hati. Keluarga suami, hakikatnya keluarga kita juga. Setiap masalah yang timbul dalam keluarga ini hakikatnya menjadi sebahagian dari masalah kita juga. Tidak boleh nak jauhkan diri, dan merasakan diri tak perlu ambil tahu atau masuk campur. Kerana itu juga keluarga kita!

Bukti cinta kita pada suami adalah dengan mencintai keluarganya juga. Kita tahu itulah kehidupan suami sebelum kita hadir. Merekalah yang paling dekat dengan suami, mereka membesar bersama, saling melihat jatuh bangun bersama. Betapa kita akui, bahawa keluarga itu memberi makna kehidupan yang sangat besar dalam diri suami, sebelum hadirnya kita. Ya, seperti kita dan keluarga kita juga :)

Oleh itu, semoga hati kita sentiasa berlapang dada menerima segala perbezaan yang ada antara keluarga kita dan keluarga suami. Kita menyayangi dan menghormati setiap ahli keluarga, dan menerima hakikat antara kita dan mereka mungkin berbeza, tetapi tiada sesiapa yang lebih baik dari sesiapa pun, melainkan keduanya punya kelebihan dan kekurangan tersendiri. 

AKU DAN DUNIA LELAKI

Aku dilahirkan dalam sebuah keluarga yang boleh dikatakan 'senang'. Makan pakaiku lebih dari cukup. Tak pernah rasa hidup  susah, dan kurang mengerti erti susah dalam mencari rezeki. Segalanya cukup dan tersedia buatku. Alhamdulillah.

Namun di sebalik kelebihan harta itu, pasti ada kekurangan yang melengkapi kehidupanku. Aku kehilangan ayahku di usia 3 tahun. Usia yang terlalu muda untuk mengerti makna sebuah kehilangan. Dia, seorang ayah dan seorang lelaki penting dalam kehidupan seorang anak. Aku telah kehilangannya tika aku masih belum mengerti akan pentingnya 'dia' dalam hidupku. Namun takdir Allah pasti ada hikmahnya.

Hingga aku membesar, tanpa kasih sayang seorang ayah. Ada rasa sedikit kurang dan berbeza dengan orang lain, namun aku ok saja. Hanya sesekali datang rasa sunyi, dan terasa ingin dikasihi ayah. Aku hanya menangis sendiri. Tak pernah siapa tahu hatiku.

Aku punya 3 orang abang pengganti ayah. Usia kami jauh berbeza. Abang sulungku umpama ayah, yang kedua dan ketiga juga sangat bertanggungjawab. Namun dia tetap abang, bukan ayah. Kerana usia yang jauh berbeza juga menyebabkan mereka sentiasa jauh dariku. Mereka ada keluarga sendiri. Sejak aku kecil, mereka sudah berumahtangga. Mereka tidak lagi tinggal bersamaku. Dunia harianku hanya aku dan ibuku. Hingga aku merasakan aku tidak mengerti apa apa tentang lelaki. Kerana aku merasakan insan yang bernama lelaki itu sangat jauh dari kehidupanku.

Kerana tidak pernah memahami seorang lelaki, menjadikan aku 'asing' dari dunia lelaki. Aku tak punya kekasih hati, malah kawan lelaki juga aku tak punya. Berhadapan dengan mereka aku rasa janggal, berbicara dengan mereka aku jadi kelu, apatah mahu senyum atau bergurau mesra. Sangat tidak masuk akal bagiku.

Bukan aku tak mengharapkan kehadiran seorang lelaki dalam hidupku. Malah sangat berharap ada insan yang sudi mengisi kesunyian hatiku. Aku sangat berharap, Allah saja yang tahu bahawa air mata ini pernah tumpah di hadapanNya mengharapkan kehadiran seorang lelaki yang akan menghulurkan bahagia. Aku menanti dengan harapan dan doa, meski aku tidak pasti adakah insan yang sudi.

Takdir Allah menyatukan aku dengan suamiku. Dia lelaki yang pertama aku mula berkenalan dan bercinta. Allah sahaja yang tahu betapa aku amat bersyukur dan berbahagia dengan kehadiran seorang lelaki yang bernama suami ini. Namun sungguh, aku yang sangat asing dengan dunia lelaki ini bertatih untuk mengenal dan memahami hati lelaki yang kini menjadi temanku. Aku tak pandai, aku tidak begitu memahaminya.

Takdir Allah juga, kami dikurniakan 2 orang anak lelaki yang menjadi penyeri hidup. Aku yang dulunya sangat jauh dari dunia lelaki kini hidup brsama 3 orang lelaki. Ia membuatkan aku terfikir akan hikmahnya. Kadang aku bagai terkapai kapai bagaimana untuk membuatkan 3 lelaki dalam hidupku ini bahagia bersamaku yang hakikatnya tidak begitu mengerti akan hati dan dunia lelaki.

Sungguh aku rasa berdosa pada suamiku. Aku tak mampu menjadi seperti yang dia harapkan. Aku berdosa pada anak anakku. Aku tidak tahu untuk membentuk mereka menjadi lelaki yang bagaimana...

Sungguh aku menulis ini dengan air mata. Aku yang dulu merindukan kehadiran seorang lelaki, akhirnya kini dikelilingi 3 lelaki yang sangat aku cintai. Aku bersyukur, namun hatiku diusik sayu. Kerana aku tahu, aku belum mampu menjadi yang terbaik buat mereka. Aku masih cuba untuk mengerti hati dan dunia lelaki yang suatu ketika dulu aku sangat jahil tentangnya.

Aku mengharapkan masih ada ruang untuk aku memperbaiki diri. Aku mohon agar lebih memahami mereka dan memberi yang terbaik buat mereka. Aku tahu aku sangat tak sempurna. Malah ada saja yang tidak kena pada setiap tindakanku. Maafkan aku...kerana aku masih belum sepenuhnya mengerti..
Tuesday 20 October 2015 0 comments By: Naemah

181015: ANAS IS NOT FEELING WELL

Hari ini di rumah ibuku di kampung. Hari pertama setelah dua malam di rumah ibu mertuaku. 

Hari ini juga diuji dengan keadaan anak anak yang kurang sihat. Anas, batuk, muntah dan cirit birit. Tak berselera makan dan kurang aktif. Sangat merisaukan hatiku. Mussaab pula selesema dan panas badan. Tapi Alhamdulillah masih aktif berbanding abangnya.

Tak tahu di mana silapnya, sejak malam tadi tidur Anas tak lena terganggu dek batuk. Hari ini badan lemah dan nafas laju. Kebetulan pula suamiku akan balik ke Kajang malam ini menaiki bas. Akan tinggal aku seorang untuk menguruskan anak anak yang tidak sihat. 

Dari pagi hingga ke petang hari, keadaan Anas masih sama. Lemah dan tiada selera makan. Nafas pula laju. Ingin dibawa ke klinik dia tidak mahu. Menolak dan menangis walaupun dah sampai depan klinik. Akhirnya tak jadi bawa jumpa doktor. Suamiku membawanyanke supermarket membeli nutrigen, aiskrim dan nugget. Dia berjanji untuk minum air masak banyak dengan syarat jangan bawa dia ke klinik. Hai anak... Seperti selalunya, sangat susah nak bawa jumpa doktor. Pernah sekali meraung dan menjerit dari mula sampai hingga sudah. Bagaimanalah nak pujuk ye...

Suamiku bertolak ke Kota Bharu jam 430 petang untuk menaiki bas malam ni. Pemergiannya dilepaskan dengan baik oleh anak anak kerana dia tahu abi pergi tak lama dan akan balik semula ambil mereka.

Sebaik pemergian suamiku, anak anak bermain dengan baik. Anas juga sempat melukis dan ajak buat aktiviti. Tapi kemudian rasa tak larat dan merengek saja. Petang ini hanya makan nuget dan aiskrim, juga air masak. Langsung tak nak makan nasi. Selepas azan maghrib, terus terlena dengan sendirinya. Kemudian Mussaab pula tidur dengan lenanya.

Alhamdulillah keduanya tidur dengan baik sepanjang malam. Sesekali dengar suara Anas mengigau, dan sesekali Mussaab terjaga minta susu.

Semoga esok keadaannya lebih baik. Diberi kesihatan dan kecergasan seperti biasa. Insya Allah.


SETIAP ANAK PASTI BERBEZA



Alhamdulillah direzekikan Tuhan dengan 2 cahayamata yang sihat, cerdas dan soleh :) selama perkongsian hidup dengan yang tercinta hampir 5 tahun. Alhamdulillah, syukur dan bahagia di atas anugerah Allah.

Punya impian untuk menimang cahaya mata lagi. Insya Allah, semoga Allah mempermudahkan dan memilih kami untuk menjaga amanahNya yang seterusnya :)

Bahagia melihat pasangan yang dikurniakan ramai anak, dan anak anak pula membesar dengan dengan penuh kasih sayang dan menjadi anak anak yang soleh dan solehah. Aku juga, punya impian untuk memiliki anak yang ramai, dan memohon agar Allah mempermudahkan jalan buat kami untuk mendidik anak anak dengan baik menuju redha Allah.

Aku kini punya 2 anak. Dua anak, dua watak yang berbeza. Sudah pastinya berbeza kerana Allah tidak menciptakan setiap manusia itu sama 100% meskipun mereka dilahirkan ibu yang sama, berbinkan ayah yang sama, hatta meskipun mereka kembar seiras sekalipun, pasti ada perbezaannya.

Kerana itu, ibubapa perlu meraikan setiap perbezaan anak anak. Tak perlu membandingkan, kerana setiap mereka pastinya dikurniakan dengan kelebihan tersendiri, dilengkapi dengan kekurangan tersendiri. Yelah, kerana manusia itu tak sempurna. Pasti ada kurang dan lemahnya.

Barangkali aku ini masih tiada pengalaman yang cukup dalam mengendalikan perbezaan antara anak anak. Maklumlah, anak baru dua orang dan masih kecil pula. Pun begitu, ada perbezaan yang jelas dan ketara dapat kuperhatikan dari watak keduanya. Ada persamaan, dan ada juga perbezaan. Anak pertama dan kedua yang hakikatnya saling melengkapi antara mereka.

Sebagai ibubapa, kita cuba untuk memberikan yang terbaik untuk anak anak. Kita juga mencuba, untuk memberikan yang secukupnya dan yang sama kepada mereka. Namun hakikatnya, takkan sama meskipun kita mencuba.

Anak pertama, lahirnya mendapat sepenuh perhatian dari ibu dan ayah. Setiap detik, hanya untuk dia. Tak perlu berkongsi kasih dengan sesiapa. Kalau boleh, anak yang kedua juga mahu diberikan perhatian seumpama itu juga. Tapi lahirnya saat anak pertama sudah ada di dalam kehidupan ibu dan ayah. Di samping perlu menjaga anak kedua, perhatian juga perlu diberikan kepada anak yang pertama. Saling berkongsi kasih dan sayang, saling menagih perhatian ibu dan ayah. Begitu juga selepas kelahiran anak anak seterusnya. Apalagi kalau jarak melahirkan itu sangat dekat.

Ya, kita sebagai ibubapa tetap cuba memberi yang terbaik buat setiap mereka. Tapi dalam situasi yang berbeza, dan cara yang berbeza juga. Makin anak ramai, makin kita perlu berusaha sebaik mungkin agar setiap mereka mendapat perhatian dan kasih sayang kita. Semakin  ramai anak, semakin banyak perbezaan yang perlu kita raikan dan kendalikan dengan penuh bijaksana. 

Kerana mereka itu pasti berbeza, maka tidak wajar untuk kita saling membandingkan. Bukan yang seorang itu lebih baik atau lebih istimewa berbanding yang lain, melainkan yang seorang itu Allah kurniakan kelebihan untuknya di sudut itu, mungkin kurang pula di sudut lain. Anak yang lain pula, mungkin kurangnya di sini, tapi pasti ada lebihnya di bahagian yang lain. Allah lebih mengetahui yang terbaik untuk setiap makhluk ciptaanNya. Maka ibu dan ayah, hargai setiap anak kita dengan meraikan setiap perbezaan antara mereka.

Insya Allah kita semua sedang mencuba yang terbaik dalam menjaga amanah Allah ini. Sedikit atau ramai anak bukanlah nilaiannya. Tetapi bagaimana kita berusaha menjadi ibubapa yang terbaik untuk anak anak kita. 

Ada sebab mengapa ada pasangan yang tidak dikurniakan cahayamata, ada pasangan hanya dikurniakan sedikit anak, ada pasangan anaknya ramai berderet, ada pula yang dikurniakan hanya anak perempuan, dan ada juga yang dikurniakan hanya anak lelaki. Segalanya menjadi rahsia Allah dan sebagai hamba, kita menerima dengan penuh rasa syukur dan redha. Percayalah, inilah takdir yang terbaik buat  kita semua :)


Monday 19 October 2015 0 comments By: Naemah

ANDAI DAPAT KURAKAM SETIAP DETIK BERSAMAMU

Saat bahagia adalah saat menjadi seorang isteri kepada insan yang dicintai. Saat paling bahagia juga adalah saat bergelar seorang ibu atau bakal ibu. Tiada lafaz untuk menggambarkan bahagia ini :)

Anak anak, cahaya mata, penyeri hidup, penghubung kasih suami dan isteri. Saat mengandungkannya kita bersyukur dan gembira. Dibelai perut yang kian membesar. Dihadiah doa dan bacaan ayat suci al quran untuk menenangkan anak di alam rahim. Saat dia menendang lembut, kita tersenyum ceria. Alhamdulillah si anak sihat dan aktif. Manisnya saat saat ini :)

Hati bertambah bahagia saat mendengar tangisan pertama si anak selepas bergadai nyawa untuk melahirkannya. Serta merta kesakitan itu berlalu pergi. Hati ibu kini dihiasi perasaan indah saat mendakap tubuh si kecil dan menatap wajah comelnya. Hanya Allah yang mengerti bagaimana bahagianya hati ibu di saat dan ketika itu.

Setelah itu bermula episod ibu bersama anak yang telah dilahirkannya. Menjaga, menyusu, membelai, memeluk, dengan penuh rasa kasih dan sayang. Anak kecil itu, setiap detik membahagiakan. Setiap ketika, menceriakan.

Kalau dapat dirakam, mahu saja dirakamkan setiap detik keletah dan gelagat manja si anak. Mahu saja merakam setiap senyum dan tangisnya. Mahu saja dirakam setiap inci pembesarannya. Tidak mahu kenangan indah itu berlalu begitu saja bersama kedewasaan si anak. Biarkan ia tetap menjadi ingatan dan memori yang terindah dalam hidup ini.

Percayalah, hati ibu terlalu bahagia melahirkan anak yang dikandungnya selama 9 bulan. Hati ibu terlalu sayang, tak terbanding kasih sayangnya buat anak yang tercinta. Sakit anak, sakit jugalah ibu. Gembira anak, gembira jugalah ibu. 

Semakin anak membesar dewasa, semakin ibu dalam kerinduan. Rindu pada kisah lalu mengandungkannya, melahirkannya, membelai tubuhnya, mendakap dan mengucup pipinya, menyuap makan minumnya, memandikannya, melihat jatuh bangunnya, senyum tawa dan tangisnya, saat dia mula belajar bertatih, berjalan dan berlari, dan segala kenangan indah yang pastinya akan membuatkan hati ibu sarat dengan kerinduan.

Kerana ibu yang paling dekat dengan si anak, maka ibu juga yang lebih mengenal dan memahami anaknya. Segala kenangan yang lalu banyak terakam di minda ibu, meski si anaksendiri sudah   melupakannya. 

Hati ibu... Takkan mampu difahami seorang anak. Jasa dan pengorbanannya takkan mampu dibalasi hingga ke akhirnya. Ibu insan yang paling bahagia dengan kehadiran seorang anak, yang paling menyayangi si anak dengan tulus ikhlas, dengan sepenuh jiwa dan raganya. 

Sungguh... Andai dapat kurakam segala detik indah bersamamu duhai anak...



Friday 16 October 2015 0 comments By: Naemah

ANAS N MUSSAAB: NEW EXPERIENCE

Alhamdulillah berkesempatan untuk pulang ke kampung lagi. Kali ini suamiku akan bercuti lebih lama. Maka, kampung halaman menjadi destinasi utama kami. Kebetulan ibu mertuaku baru pulang dari mengerjakan haji, dan kami belum sempat bertemu dengannya. Maka di kesempatan yang ada ini kami mengambil peluang untuk pulang ke kampung.

Kepulangan kali ini sedikit berbeza dari biasa kerana kami mengambil keputusan untuk menaiki bas dari KL-KB. Bas yang kedua untuk Anas, dan yang pertama buat Mussaab. Aku pun dah lama tak menaiki bas sejak meninggalkan alam universiti. Kali terakhir naik bas ketika Anas berusia lebih kurang setahun.

Kami memilih perjalanan malam hari kerana jarak yang jauh dan masa yang panjang, pasti membuatkan anak anak bosan sekiranya berjalan di siang hari. Waktu malam dah tentu anak anak akan tidur sepanjang perjalanan :)

Kami turun dari rumah dalam pukul 5 petang, menaiki teksi ke stesen ktm kajang. Kemudian, menaiki komuter ke stesen TBS. Sampai di sana terus ke kaunter tiket untuk membeli tiket bas untuk perjalanan malam itu. Memang tawakkal saja, harap ada lagi tiketnya. Memandangkan bukan musim cuti dan bukan hari minggu, kami tak risau sangat. Alhamdulillah dapat beli tiket bas Perdana yang akan bertolak jam 9 malam. Selepas selesai urusan tiket, kami ke food court untuk makan malam kami. 

Selepas itu ke surau menunaikan solat Maghrib dan Isyak (jamak). Sementara menunggu ke pukul 9, kami berjalan di sekitar kawasan tersebut. Pertama kali aku menaiki bas di TBS ni. Sangat selesa dan jauh lebih selesa berbanding di Hentian Putra dulu. Nak bawa anak anak kecil pun tak risau sangat. Kawasannya luas, dan siap ada polis lagi untuk menjaga keselamatan. 

Jam 8.30 malam kami turun ke tempat menunggu bas. Kat tempat menunggu tu pun sangat selesa dengan kerusi pun banyak. Malam ni orang tak ramai sangat, agak lengang juga la tempat menunggu tu. Anas dan Mussaab pun bebas berlari lari dengan bahagianya. Anas tak sabar sabar nak naik bas :)

Hampir pukul 9 malam bas tiba, dan kami menaiki bas perdana 2 tingkat. Seat kami di tingkat atas. Dan ini juga kali pertama aku menaiki bas 2 tingkat :) tepat masanya kami memulakan perjalanan pulang ke kampung. Tak lupa doa dibaca untuk keselamatan perjalanan. Anas dan Mussaab yang kepenatan akhirnya terlena meskipun masih di awal perjalanan.

Kami tiba di Kota Bharu dalam pukul 4 pagi. Masih awal pagi. Suamiku menghubungi adiknya untuk mengambil kami di perhentian bas. Anas dan Mussaab pun dah bangun keduanya.Masing  masing dah tak mengantuk lagi nampaknya. Tak lama kemudian adik iparku tiba, dan kami pulang ke rumah.

Begitulah kisahnya perjalanan pulang kampung kami yang sedikit lain dari kebiasaan. Alhamdulillah segala urusan dipermudahkan, perjalanan lancar, dan anak anak pun tak susah nak handle :) yang pastinya, ia satu pengalaman baru buat anak anakku. Selalu tengok je bas, kali ni dapat merasai sendiri bagaimana naik bas (walaupun tidur je). Anas dan Mussaab keduanya happy. Mungkin lain kali boleh travel dngan bas lagi :)