Wednesday, 29 June 2022 0 comments By: Naemah

SYUKUR ATAS NIKMAT DAN UJIAN

‘Jun 1985-Jun 2022’

Genap usiaku 37 tahun. Alhamdulillah.


Catatan hari lahir setahun yang lalu:

SYUKUR ATAS NIKMAT USIA

Pada hari tersebut aku jalani kehidupan yang sangat baik bersama suami dan anak-anak tercinta. Meraikan hari lahir dengan cara tersendiri, sekadarnya dan seadanya, namun Alhamdulillah cukup membahagiakan kerana bersamaku adalah insan-insan yang sangat aku cintai.


Tahun ini cerita hari lahirku berbeza. Sangat berbeza. Tahun lepas aku sihat dan baik-baik saja bersama yang tercinta. Tapi tahun ini diuji dengan kesakitan dan ‘perpisahan’ sementara dengan anak-anak. Satu situasi yang tak pernah aku jangkakan akan berlaku. 


Pada hari lahirku aku menjalani pembedahan (di perut) buat pertama kalinya dalam hidup ini. Pada hari lahirku, aku berada di wad hospital, di bilik pembedahan dan tidak langsung dapat bertemu dengan anak-anak yang sangat aku rindui. Namun Alhamdulillah suami setia di sisi, menunggu sehingga pembedahan aku tamat dan sehingga aku sedar setelah menjalani pembedahan sebelum kembali kepada anak-anak yang memerlukannya.


Pada hari lahirku, aku seperti diberikan kembali kehidupan yang mungkin sebelum ini banyak aku persiakan. Kuasa Allah, selepas menempuh episod kesakitan, aku ‘kembali’ lagi bernafas di dunia sementara ini. Masya Allah. 


Hari demi hari, keadaan kesihatanku makin baik. Alhamdulillah. Aku kini telah kembali kepada anak-anak yang menanti kepulanganku.


Untuk tempoh yang sukar ini (lebih kurang 2 minggu), terima kasih buat suamiku yang tercinta, memikul seluruh tanggungjawab menjaga anak-anak dan memenuhi keperluan mereka, menguruskan hal-hal di rumah sendirian biarpun tak sempurna (kerana aku juga tak pernah sempurna melakukannya). Allah saja mampu membalas jasa dan keringatmu suamiku. Pada tiap pengorbananmu aku kenal erti cinta yang ikhlas.


Alhamdulillah saat sukar itu semakin kita tinggalkan, insya Allah. Semoga hari mendatang akan lebih baik buat kita semua. Akan baik dan tenang-tenang saja, meski kita tahu ujian tetap akan mendatangi selagi kita masih di sini, di dunia ini.


Ujian dan dugaan hadir pada saat yang tepat, dan ia juga hadir pada insan yang tepat dan mampu untuk menanggungnya. Aku redha atas ujian ini. Aku bersyukur atas ujian ini. Terlalu banyak hikmahnya. 


Allah yang menghadirkan ujian ini. Allah jua yang membawa kita keluar darinya. Ujian ini yang bakal kita syukuri selepas ini sebanyaknya, pada saat dan ketika kita menjalani kehidupan yang jauh lebih baik, insya Allah. 



Terima kasih cinta

Saturday, 11 June 2022 0 comments By: Naemah

PULAU LANGKAWI: BERCUTI TANPA ABI (PART 5)

(7/6/2022) Hari ke-4 juga hari terakhir di bumi Mahsuri ini. Tiada masa untuk berjalan-jalan, just fokus berkemas dan bersiap untuk balik. 


Meninggalkan apartment seawal jam 8.30 pagi, singgah breakfast dulu di gerai nasi lemak yang berhampiran. Kemudian ke Dataran Lang untuk bergambar kenang-kenangan, dan terus menuju ke jeti untuk menaiki feri. Beratur mengikut prosedur, melalui pemeriksaan sebelum menaiki feri (agak lama juga la prosesnya), akhirnya kereta dibenarkan menaiki feri dan bergerak meninggalkan Pulau Langkawi sekitar jam 11.30 pagi. 


Selepas 3 jam (lebih) perjalanan, tiba di jeti Kuala Perlis sekitar jam 3 petang. Singgah solat di masjid dan berhenti makan tengahari, teruskan perjalanan (banyak juga perhentian selepas tu) hingga sampai ke Ayer Lanas  (jam 10 malam) perhentianku bersama anak-anak, sebab suami dah balik dari kerja dan dah sampai di kampung dulu untuk menyambut kami di sini. Alhamdulillah. 


Adik ipar sekeluarga, mak mertua, adik-adik ipar dan anak saudara meneruskan perjalanan mereka hingga ke Kuala Krai. Alhamdulillah semua selamat tiba ke destinasi.


Hari terakhir ini juga tersangat penat, bermusafir dan melayan karenah anak-anak yang pelbagai di sepanjang perjalanan. Dalam sukar, tetap Allah mudahkam segalanya. Alhamdulillah.


4 hari 3 malam di Pulau Langkawi tanpa suami bersama, memberikan pengalaman yang berbeza. Namun tetap ia sebuah kenangan yanh indah dan akan dikenang di suatu hari. 


Anak-anak paling seronok, dah lama tak bercuti dengan sepupu yang rapat dengan mereka. Masa nilah dapat spend masa bersama, buat aktivit bersama, tak nak berpisah. 


Syukur Alhamdulillah dan terima kasih buat adik Azim (adik ipar) sekeluarga yang banyak menyantuni dan melayan anak-anak dengan baik, mak mertua, dan adik-adik ipar yang juga banyak membantu, juga semua yang ada bersama. Insya Allah ada rezeki akan bersua kembali, dan semoga dapat plan percutian dengan penyertaan lebih ramai ahli keluarga. Insya Allah. 














PULAU LANGKAWI: BERCUTI TANPA ABI (PART 4)

(6/6/2022) Pagi ini selepas breakfast, anak-anak mengisi masa dengan bermain di kolam renang yang terdapat di apartment ini. Mandi sepuasnya, kalau boleh tak nak tinggalkan kolam langsung. Tapi masih ada program lain di sini, takkanlah nak berendam dalam kolam saja. 


Dalam pukul 10 pagi, membeli belah di RAMS Home Decor dan HIG (aktiviti orang dewasa). Kanak-kanak tak berapa berminat, so tunggu jelah dalam kereta. Kat HIG semua turun sebab tempat ni lebih luas, tak risau sangat anak terlanggar barang ke apa. Anak-anak memilih coklat kesukaan mereka. Yang dewasa memilih peralatan dapur dan segala yang menarik minat mereka di sini. 


Selesai membeli belah, menuju ke sebuah restoren nasi campur untuk lunch. Lepas tu menuju ke jeti untuk aktiviti Kilim Mangrove tour. Solat siap-siap di masjid dalam perjalanan tadi, anak-anak tukar pakaian mandi dan satu keluarga menaiki bot yang telah ditempah. Di sini kami dibawa ke tempat peliharaan ikan, gua kelawar, gua buaya, habitat monyet dan helang, juga dapat mandi pantai. Lebih kurang 3 jam di sini, kemudian balik ke homestay. Satu hari lagi menempuh penat, tapi memuaskan dan berbaloi dengan kenangan yang diperoleh.


Malam just keluar makan dan balik berehat secukupnya. Hari ini adalah hari terakhir berjalan-jalan di Pulau Langkawi. Esok akan menempuh perjalanan balik pula. Ya, akan menempuh perjalanan panjang lagi. Maka perlu rehat dan tenaga secukupnya. 









































.

.

.V


Bersambung 


PULAU LANGKAWI: BERCUTI TANPA ABI (PART 3)

(5/6/2022) Hari ke-2 di Pulau Langkawi. Bangun pagi dengan semangat dan tenaga yang baru untuk menghadapi hari di sini. 


Lokasi pertama hari ini ialah Skycab Langkawi. Bertolak ke sana seawal jam 9 pagi. Lautan pengunjung sudah sedia berkumpul untuk beratur membeli tiket cable car. Biarpun kami sudah membeli tiket secara online, masih juga perlu beratur panjang untuk menunggu giliran naik cable car. 


Bersesak dengan pengunjung yang ramai, perlu beratur panjang, cuaca panas, anak-anak yang dah mula meragam dan serba tak kena, terasa mahu tinggalkan saja tempat ini. Namun Alhamdulillah bisa bertahan dan situasi menjadi lebih tenang setelah itu. 


Akhirnya tiba giliran kami pada pukul 12.30 untuk menaiki cable car. Alhamdulillah dapat memberikan anak-anak kenangan menaiki cable car sekali lagi. 


Jam 3 petang, meninggalkan lokasi skycab, singgah makan tengahari dan balik berehat di homestay.


Selepas asar mereka semua sekali lagi keluar menuju ke Pantai Chenang (ummi dan Suri tinggal di bilik). Satu petang di Pantai Chenang, anak-anak bermain pantai dan menaiki banana boat. Menjelang maghrib, pulang semula ke homestay. Seronok bercerita pengalaman pertama menaiki banana boat.


Malam hari hanya berehat di bilik dan makan maggie cup saja. Semua dah penat dan tak larat dan keluar makan dah.


Alhamdulillah untuk keseronokan hari ini. Esok masih ada aktiviti yang menanti anak-anak. Masa untuk rehat secukupnya.




Siap-siap nak naik cable car 



Berlatarkan pengunjung yang sudah ramai


3D Art Langkawi 



Muka yang penat menunggu



Sebelum tu enjoy 6d cinemotion





Akhirnya dapat naik cable car











Menikmati view dari puncak



Pantai Chenang 






.

.

.

V


Bersambung 

PULAU LANGKAWI: BERCUTI TANPA ABI (PART 2)

(4/6/2022) menaiki feri dan meninggalkan jeti Kuala Perlis pada jam 1.50 petang. Perjalanan mengambil masa sekitar 3 jam. Sampai ke destinasi jam 4.30 petang, dan terus menuju ke homestay (Perdana Serviced Apartment & Resort) yang letaknya di area Pantai Chenang. 


Petang hingga maghrib, hanya berehat di bilik. Leganya dapat rebahkan badan ke katil selepas satu hari tak jumpa katil dan tidur ala kadar saja. 


Selepas solat jamak maghrib dan isyak, menuju ke rumah sepupu (anak saudara mak mertua yang tinggal di sini). Di sini kami makan malam dan beramah mesra dengan tuan rumah. Malam masih muda, namun semua orang sudah sangat kepenatan. Yang dewasa masih boleh bertahan. Kanak-kanak, seorang demi seorang rebah (tidur) di rumah sepupu. Satu kerja pula nak kejutkan sorang demi sorang, dalam keadaan sangat penat dan mengantuk, memang menguji sangat. Ada pula anak yang dah mula meragam dan menangis. Lebih menguji sabar.


Tiba di apartment jam 11 malam. Masa untuk rehat dan tidur. Anak-anak sudah lena dibuai mimpi. Satu hari lagi menjalani hari yang memenatkan. Untuk mereka, pastinya hari ini adalah hari yang sangat menggembirakan. Dapat jumpa sepupu, dapat juga sampai ke Langkawi yang mereka impikan. Alhamdulillah.


Untuk ummi, penat dan sukar rasanya bila abi tak ada bersama. Dan rindu nak abi ada bersama kita melalui hari-hari penuh bermakna di sini bersama keluarga yang hadir bersama. Tapi apakan daya, Allah mentakdirkan yang seperti ini. 


Esok hari akan penuh dengan aktiviti lagi. Berehat dengan secukupnya, moga esok akan lebih bertenaga untuk meneruskan hari di sini.


 




Suri dan Sumayyah



Beratur menaiki feri



Sudah berada di dalam feri




Bergambar kenangan di atas feri







Pemandangan dari apartment 



Senja di Pulau Langkawi 



.

.

.

V


Bersambung