Thursday, 26 July 2018 0 comments By: Naemah

SRAI PEKAN BERANANG: MABROOK ANAS ZAYDAN

Sambungan dari entri yang lepas:

Keputusan ujian kelayakan Sekolah Rendah Agama Integrasi sudah diumumkan pada 26/7/18. Alhamdulillah, Anas berjaya mendapat tempat di SRAI Pekan Beranang. Selain Anas, Eiman (sepupu Anas) juga dapat bersekolah di sekolah yang sama tahun depan. 

Pada asalnya, aku juga tidak pernah tahu tentang kewujudan SRA INTEGRASI di bawah kerajaan negeri Selangor ini. Mujurlah abang ipar (ayah Eiman) cadangkan sekolah ini pada Anas pada tahun lepas. Selepas mendengar tentang sekolah ini, aku cuba mencari maklumat tentang sekolah ini di internet. Sedikit sebanyak, terkumpul juga maklumat tentang sekolah ini yang menjadi panduan untuk kami lebih jelas tentang sekolah ini sebelum membuat permohonan.

Selepas mengambil borang di SRA Integrasi Pekan Beranang pada bulan April lepas, maka pada 7/7/18 Anas menempuh ujian kelayakan untuk memasuki sekolah tersebut, dan Anas berjaya melepasi ujian itu dengan baik. Alhamdulillah. Sesungguhnya hanya syukur dapat kupanjatkan kepada Allah di atas berita gembira yang diharapkan ini.

Insya Allah di entri yang lain akan dicatatkan gambaran ringkas tentang SRA Integrasi serta cara dan syarat kelayakan untuk memohon ke sekolah tersebut. Mudah-mudahan dapat membantu ibubapa lain di masa yang akan datang, yang ingin membuat permohonan untuk anak-anak mereka untuk memasuki  SRA Integrasi negeri Selangor ini.






Alhamdulillah :)



Semoga terus cemerlang Anas!
Tak lupa, Mussaab dan Miqdad juga.
Semoga cemerlang dan bahagia anak-anak ummi dunia dan akhirat.

Aameen.




Baca di sini
.
.
.
.
-
V



Tuesday, 24 July 2018 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 250718






Hari ini abi berada di Miri. Semalam ke Sibu, then ke Miri dan Insya Allah akan balik malam ni. Anas, Mussaab dan Miqdad bangun pagi seperti biasa, bersiap untuk ke sekolah. Mussaab sudah 2 hari tak ke sekolah dek sakit perut dan cirit birit. Anas pula semalam tak ke sekolah atas sebab yang sama walaupun tak begitu teruk. Hari ni Alhamdulillah keduanya sudah baik dan sihat, Insya Allah.

Selepas breakfast dan menonton tv sebentar, ummi hantar Anas dan Mussaab ke sekolah. Miqdad juga setia menemani. Seperti biasa, pagi yang agak ‘sibuk’ buat ummi bila abi tiada di rumah. Ketiganya perlu disiapkan dan diuruskan sebaiknya sebelum melangkah ke sekolah. Balik ke rumah, ummi selesaikan kerja rutin yang biasa, sementara Miqdad baik-baik saja menonton video. Sesekali Miqdad memanggil dan mencari ummi. Ummi susukan Miqdad seketika dan sambung kerja lagi, termasuk memasak.

Jam 10, ummi rehat menemani Miqdad di sofa. Miqdad masih leka dengan video ‘baby bus’. Makan pun tak nak. Ummi biarkan saja Miqdad melayan video yang sedang menarik minatnya. Kemudian ummi keluar menjemur kain. Miqdad ikut keluar bermain di luar. Bila ummi masuk, Miqdad masih nak bermain di luar. Leka dia menguis tanah di tempat pembakaran sampah. Dah puas bermain, Miqdad masuk dan ummi bersihkan tangan dan kaki Miqdad. Ummi sambung memasak. Miqdad asyik makan keropok ikan di luar sambil menonton tv lagi.

Selesai masak dan menyapu di luar, ummi dan Miqdad ke sekolah untuk jemput Anas dan Mussaab balik seperti biasa. Balik rumah, makan dan menonton tv. Miqdad meragam dan menangis, sudah penat dan mengantuk. Ummi susukan Miqdad dan Miqdad terlena. Ummi tinggalkan Anas dan Mussaab di bawah yang belum selesai makan. Mussaab kemudian naik ke atas dan tidur bersama Miqdad. Anas di bawah berseorangan.

Selesai solat zohor, ummi bersiap untuk tidur bersama Mussaab dan Miqdad. Belum sempat ummi pejam mata Mussaab dah bangun. Mundar mandir keseorangan keluar dan masuk bilik. Turun dan naik semula. Ummi lena di sisi Miqdad. 

Jam 4 petang, ummi terjaga mendengar tangisan sayu Mussaab. Bila ditanya katanya rindu abi. Mungkin kerana keseorangan tiada yang melayan. Ummi pujuk Mussaab hingga reda tangisannya. Miqdad juga bangun dari tidur dan sama-sama turun ke bawah. Anas sedang dengan hal sendiri, dengan beg sekolah dan failnya. Adalah tu ‘karya’ yang dihasilkan. Meja makan bersepah dengan nasi goreng dan roti. Rupanya kerja Mussaab . Tadi lapar, tak ada yang melayan, tu yang sedih semacam. Kesian Mussaab. Ummi memasak dan makan bersama Miqdad. Anas bermain basikal seketika di luar dan masuk menonton tv bersama Mussaab. 

Selesai solat asar, ummi siapkan pula makan malam untuk Anas, Mussaab dan Miqdad. Hanya Anas yang makan banyak, Mussaab hanya makan meatball dan sedikit ayam goreng. Miqdad juga makan sedikit, dah kenyang agaknya tadi makan bersama ummi. Lepas makan, sambung menonton video lagi sementara ummi kemas apa yang patut dan masak sedikit lauk untuk abi. Abi di dalam penerbangan ke KLIA.

7.15, naik mandi dan berpakaian malam. Mussaab menangis kesayuan lagi. Rindu abi lagi. Adalah yang tak kena tu. Dipujuk-pujuk, tenang semula. Selepas maghrib baca al-Quran, iqra dan hafazan seperti biasa. Mussaab siapkan kerja sekolah, belajar menulis namanya. Kemudian sama-sama menonton tv lagi. Miqdad yang tadinya menyusu, segar kembali. Belum ada tanda nak tidur.

Ummi solat isyak dan cuba tunggu abi sementara Miqdad masih ‘ok’. Tapi belum sempat abi sampai Miqdad sudah menangis nak tidur. Ummi bawa naik ke atas dan tidurkan Miqdad. Anas dan Mussaab masih di bawah. Sekejap kemudian abi sampai, Anas dan Mussaab naik ke atas untuk tidur. Tinggalkan abi, menikmati makan malam sendirian. 

Anas dan Mussaab akhirnya lena juga sekitar jam 9.30. Ummi tinggalkan Anas, Mussaab dan Miqdad yang sedang lena. Turun ke bawah dapatkan abi yang sudah siap makan. Selamat malam sayang ummi semua. Semoga lena dan tenang tidur kalian. Semoga bermimpi indah. Semoga hari esok menjanjikan yang lebih baik untuk Anas, Mussaab dan Miqdad dan kita semua. Insya Allah. 

Ummi love you all!
Sunday, 22 July 2018 0 comments By: Naemah

KUNJUNGAN KELUARGA DARI KAMPUNG

Pada 19/7/18 kami menerima kunjungan ahli keluarga dari kampung. Mak mertua, adik beradik ipar dan anak-anak mereka. 

Kedatangan mereka disambut dengan hati yang tak kurang gembira, memandangkan rumah kami ini sudah lama tidak dikunjungi ahli keluarga dari kampung. Tambahan pula, kami juga dah lama tak balik kampung sejak balik dari berhari raya bulan lepas.

2 hari pertama, rumah kami meriah dengan suara-suara ahli keluarga yang ramai, terutamanya anak-anak kami. Abang ipar yang tinggal di Pajam dan adik ipar yang tinggal di Puchong juga datang untuk berjumpa dengan Mak. 

Bila ramai-ramai macam ni, meja makan pun meriah juga dengan makanan :) non stop makan. Tambahan pula musim buah, pelbagai jenis buah dapat dinikmati bersama-sama. Durian, manggis, rambutan, mangga, mata kucing, dan lain-lain. Nikmat makanan yang tak putus. Alhamdulillah. Cuma kita je yang perlu berjaga-jaga agar tak terlebih makan :)

Selepas 2 malam di rumah kami, kami kemudiannya ke Sabak Bernam berkunjung ke rumah abang iparku yang baru menyewa di sana. Asalnya mereka sekeluarga menetap di Sarawak, baru-baru ini isterinya dapat bertukar tempat kerja di Sabak Bernam, maka ini adalah kunjungan pertama kami ke rumahnya. Kami bermalam di sini dan balik pada esok harinya.

Oh ya, sempat juga kami singgah di Bukit Malawati di Kuala Selangor dalam perjalanan ke rumah abang ipar.  Ini adalah kunjungan kedua kami sekeluarga dan yang pertama kali buat yang lain. Sangat berbeza dengan kunjungan yang sebelum ini, ramai pengunjung pada hari ini dan banyak pula monyet yang menyambut para pengunjung. Hai. Meremang bulu roma, walaupun dia tak mengacau orang ,:)

Alhamdulillah, kunjungan ahli keluarga yang meninggalkan kenangan manis bersama. Anak-anak, sudah pastinya bergembira dapat bermain dengan sepupu mereka, Abang Faiz, Kak Zawiah, Umar, Uwais, Urwah, Eiman, Safiyya dan Nu’man. Mandi kolam sama-sama, main toys dan sebagainya. 

Terima kasih pada Mak yang datang berkunjung, juga buat Azim, Nasibah dan anak-anak, Abang Man, Fiza dan Eiman, Kak Za dan anak-anak,  Sajidah, Ame dan anak-anak, Nor dan Adik Aisyah. Walaupun sebentar cuma, ia tetap sebuah kunjungan yang dinanti dan diharapkan kalian akan sudi untuk berkunjung lagi di masa akan datang. Maaf di atas segala kekurangan. Terima kasih semua, datang lagi ya.

Tak lupa pada Fizah, sahabat uia  yang sempat datang di celahan waktu dan kesibukan bersama keluarga dari kampung. Dah lama tak jumpa Fizah, akhirnya jumpa juga. Alhamdulillah :)

Syukur pada Allah yang menghadiahkan keluarga besar ini. Aku mensyukuri dan menghargai semuanya. Semoga Allah merahmati keluarga kita ini. Insya Allah.



Anas, Mussaab dan Miqdad bersama sepupu













Di Bukit Malawati










Bersama Fizah x-roommate Uia






Saturday, 14 July 2018 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 150718





Hari minggu. Hari ke-3 abi di Bintulu. Anas, Mussaab dan Miqdad habiskan masa bersama di rumah hari ini. Bangun pagi agak lewat semuanya, hampir jam 8 pagi. Selesai mandi dan berpakaian, terus turun ke bawah. Pagi ini menjamu selera dengan roti telur dan cheese. Hanya Miqdad yang tak sudi nak merasa. Miqdad memang tak suka makan roti. 

Kemudian ummi masakkan spageti dan nasi goreng. Anas semalam beriya nak makan spageti. Sudahnya, nasi goreng juga yang laku. Spageti hanya terusik sedikit. Miqdad masih tak nak makan, nasi goreng juga tak nak. Pagi ini dia hanya makan keropok ikan dan menyusu sahaja.

Lepas makan, menonton tv seketika. Pukul 10, ummi naik ke atas untuk mengemas mainan. Asingkan yang masih elok dan yang nak dibuang. Mainan agak banyak, hampir 2 jam baru selesai. Anas, Mussaab dan Miqdad juga naik ‘membantu’. Excited semuanya bila dapat main mainan yang dah lama tak terusik. Leka bermain seketika. 

Jam 12, turun semula ke bawah. Anas, Mussaab dan Miqdad minta nak main kolam di luar. Walaupun cuaca agak panas, tetap nak main juga. Ummi biarkan saja. Ummi masak dan makan. Dapat whatsapp abi yang baru selesai kerja di laut. 

Jam 1, ummi panggil masuk semua. Salin pakaian dan makan tengahari. Semua makan dengan agak banyak, lapar lepas bermain air :) lepas makan, kemas dan menonton tv lagi. Ummi solat dan bawa Miqdad naik ke atas, susukan Miqdad dan Miqdad terlena. Mussaab naik sekejap ke atas, kemudian turun semula ke bawah bersama Anas, menonton tv dan membuat hal sendiri. Ummi tidur bersama Miqdad. Mussaab akan ada saja ‘kerja tangan’ dia menggunakan bahan yang ada dalam rumah. Anas pula mesti ada pensel dan kertas melukis segala yang terilham. Sesekali ummi mengintai melalui cctv memantau keduanya.

Jam 4.15, ummi dan Miqdad turun ke bawah. Anas dan Mussaab tengah melayan video. Mussaab yang kelaparan sedang mengunyah coklat. Kemudian ambil pula biskut kacang. Puas duduk dalam rumah, keluar bermain di luar. Anas seperti biasa berbasikal di jalan. Mussaab juga ikut sekali, tapi sekejap saja bila ummi arahkan masuk Mussaab masuk dan bermain di dalam kawasan rumah sahaja. Bukan tak nak bagi Mussaab main tapi Mussaab masih belum cekap berbasikal, sangat berbahaya jika bermain di luar.

Selepas asar, ummi siapkan makan malam. Anas, Mussaab dan Miqdad keluar masuk rumah. Bosan agaknya. Sesekali melayan video, dan berjalan ke sana sini. Sempat video call dengan abi yang masih di hotel. Abi akan balik malam nanti, insya Allah.

Jam 6.30, makan bersama. Alhamdulillah semuanya sudah kenyang. Sambung menonton seketika dan naik mandi. Selepas maghrib, baca al-Quran, Iqra’ dan hafazan seperti biasa. Miqdad terpaksa ummi tinggalkan depan tv bersama video umar dan Hana, demi nak fokus mengajar Anas dan Mussaab. Sesekali Miqdad masuk menjenguk juga. 

Selesai solat isyak, ummi ajak semuanya naik tidur. Jam 9.30, semuanya sudah lena. Alhamdulillah. Abi masih di dalam penerbangan. Semoga Allah permudahkan perjalanan abi. Semoga akan selamat kembali ke rumah. Insya Allah. Esok bangun pagi abi dah ada bersama. Alhamdulillah :)

Semoga lena anak-anak ummi. Semoga bermimpi indah. Semoga esok akan menjanjikan yang lebih baik untuk Anas, Mussaab, Miqdad dan kita semua. Insya Allah.






Thursday, 12 July 2018 0 comments By: Naemah

TAMAN REKREASI JALAN TIMUR-KAJANG

Hari ini berpeluang sekali lagi untuk ke Taman Rekreasi Jalan Timur, Kajang untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Oleh kerana suamiku akan berangkat ke Bintulu esok pagi, maka hari ini adalah hari untuk ‘menggembirakan’ anak-anak yang bakal ditinggalkan, seperti selalunya :)

Taman ini sudah sangat sering kami kunjungi, selain daripada stadium kajang yang letaknya tidak jauh dari Taman ini juga. Taman ini berdekatan dengan hospital kajang dan bersebelahan dengan SRJK(C). Kebiasannya kami akan ke sini pada waktu petang selepas menunaikan solat asar di rumah atau di Masjid.

Taman ini agak luas dan anak-anak bebas bermain dengan riangnya di sini. Selain permainan untuk kanak-kanak, di sini juga menjadi tumpuan untuk penduduk setempat datang berjogging dan melakukan aktiviti lain seperti senam robik atau sekadar untuk lepak di pondok dan kerusi yang disediakan. Dan oleh kerana Taman ini bersebelahan dengan sekolah, maka ia juga menjadi tempat yang strategik untuk ibubapa bersantai sambil menunggu anak-anak balik dari sekolah. Pendek kata, taman ini menjadi tumpuan orang ramai terutama pada waktu petang dan di hujung minggu.

Hari ini juga buat pertama kalinya kami membawa basikal ke taman ini. Walaupun kawasannya tidak seluas stadium kajang, namun anak-anak masih bebas untuk berbasikal di sini, tetapi perlu lebih berhati-hati. Anas, Mussaab dan Miqdad bermain sepuasnya hampir 1 jam di taman ini. 

Selepas itu kami meninggalkan taman ini dan menuju ke Metro Kajang. Cadangnya nak makan malam di restoren Burger King, tapi rupanya restoren tu sudah ditutup dan diganti dengan restoren lain. Entah bila, tak perasan pula. Kali terakhir beli Burger King di sini ialah pada tahun 2015, dah agak lama :) terpaksalah kami mencari makan di tempat lain.

Oleh kerana Mussaab teringin nak makan Burger juga, dan Anas pula nak makan nugget dan fries, kami singgah di restoren McDonald’s- drive thru yang berdekatan dengan rumah. Memandangkan azan maghrib sudah berkumandang, kami terus pulang ke rumah.

Malam ini menikmati hidangan McDonald’s bersama-sama. Alhamdulillah kenyang. Anas, Mussaab dan Miqdad tidur lena selepas kepenatan bermain di taman tadi. Esok bangun pagi, abi sudah tiada di rumah, merantau lagi mencari rezeki. Semoga nanti akan bertemu dan berkumpul bersama lagi. Insya Allah.

Alhamdulillah di atas kenikmatan hidup yang dikecapi bersama hari ini :)































Sunday, 8 July 2018 0 comments By: Naemah

UJIAN KELAYAKAN SRAI PEKAN BERANANG






Pada 7/7/18 Anas menduduki ujian kelayakan di SRAI Pekan Beranang. Permohonan untuk memasuki sekolah ini telah dibuat pada bulan April yang lepas, selepas mendaftar di sekolah kementerian secara online.

Beberapa hari sebelum tarikh ujian, pihak sekolah telah menghantar surat untuk memaklumkan tarikh ujian tersebut. 

Maka pada 7/7/18 adalah merupakan harinya. Dan ini juga merupakan exam pertama buat Anas memandangkan Anas belum pernah berhadapan dengan exam seumpama ini di sekolahnya yang sebelum ini (Genius Aulad) dan yang sekarang (Little Diamond Kindergarten). 

Beberapa hari sebelum tarikh peperiksaan Anas sudah membuat latihan menggunakan buku soalan contoh yang dibeli di sekolah. Alhamdulillah, Anas dapat menjawab soalan dengan baik. Cuma yang perlu lebih ditekankan ialah dalam bab jawi dan sirah nabi. Dalam kesempatan yang masih ada, ummi cuba ajar Anas membaca jawi dan bercerita serba ringkas tentang sirah nabi, dan nampaknya Anas dapat memahami dengan baik. 

Sehari sebelum exam, Anas diberi masa selama 1 jam untuk menjawab soalan di dalam buku. 1 jam untuk set  pertama dan satu jam untuk set kedua. Anas dapat siapkan lebih cepat berbanding masa yang diberikan. Anas berjaya mendapat 96% untuk set pertama, dan 98% untuk set kedua. Ummi sangat berpuas hati dan yakin pada kemampuan Anas untuk berhadapan dengan exam pada esok harinya. 

Tiba harinya, Anas berhadapan dengan ujian dengan penuh confidence. Masuknya ceria, keluarnya juga dengan ceria. Exam bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 11 pagi. Exam pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu bertulis dan lisan. Kata Anas, soalannya tak sama dengan soalan yang di dalam buku, tapi senang saja katanya :) 

Ummi percaya Anas sudah menjawab yang terbaik sesudah berusaha dan bersedia sebaik mungkin.  Ummi juga tak lupa mendoakan agar segalanya mudah untuk Anas. Dan seterusnya, kita berserah saja pada Allah yang pasti telah mentakdirkan yang terbaik untuk Anas. Jika sekolah ini yang terbaik untuk Anas, Insya Allah akan ada tempatnya nanti untuk Anas. 

Keputusan ujian akan diumumkan pada 26/7/18. Yang berdebar bukan Anas, tapi ummi dan abi :D tinggi juga harapan ummi dan abi agar Anas diberi tempat untuk belajar di sekolah ini. Namun ummi juga sedar saingan untuk memasuki sekolah ini juga sangat ramai, dan mereka juga pasti bukan calang-calang. Maklumlah, bak kata orang budak-budak sekarang ni bijak-bijak :)

Tak mengapa. Ummi cuba tenang saja :) segalanya sudah tertulis. Ada rezeki, adalah kan? Insya Allah.

Mengimbas kembali di hari ujian kemasukan SRAI Pekan Beranang, kebetulan abi masih di Bintulu. Maka terpaksalah ummi drive sendiri ke sekolah, membawa bersama Mussaab dan Miqdad. Jam 7.30 sudah bertolak, bimbang jalan jem dan tiada ruang untuk parking nanti. Alhamdulillah, perjalanan lancar walaupun jalan sudah penuh dengan kereta. Kita antara yang terawal sampai di sekolah.

Di sepanjang tempoh menunggu pula, berpeluh ummi mengawal Mussaab dan Miqdad yang melasak tak kira masa. Masa yang sepatutnya ummi berada di dalam dewan dan mendengar taklimat, terpaksa dihabiskan di luar dewan sahaja. Tak dapat ummi nak mendengar taklimat yang disampaikan. Mussaab dan Miqdad perlu dikawal dan diperhatikan selalu. 

Tiba masanya balik ke rumah, sekali lagi menempuh perjalanan dalam kesesakan jalan raya. Alhamdulillah, akhirnya selamat pergi dan selamat balik. Satu kejayaan buat ummi secara peribadi :D berjaya juga ummi drive ‘sejauh’ itu bersama anak-anak. Alhamdulillah:)

Harapan dan doa ummi, semoga Allah takdirkan yang terbaik buat Anas. 

Ya Allah, jadikan Anas yang terbaik di kalangan yang terbaik. 
Aameen.





Di dalam dewan sebelum pendaftaran dibuat. Dewan masih lengang kerana masih terlalu awal.





Dapat ‘diamkan’ Miqdad seketika dengan buku





Beratur untuk dibawa ke bilik exam










Mussaab dan Miqdad yang aktif, ceria dan tersangat bahagia :)





Selesai sudah exam. Sedang menunggu eiman (sepupu) dan Aqil (kawan di LD)



Sempat jumpa dan bergambar dengan Aqil. Lepas tu balik, tak dapat jumpa Eiman yang masih belum selesai ujian lisan.


Selesai
Alhamdulillah 






Wednesday, 4 July 2018 0 comments By: Naemah

MENTAL ARITHMETIC: TILL JULY UPDATE

Entri lepas:


Dalam entri March yang lalu, Anas sudah menguasai sehingga bab kumpulan 10 (dengan formula)

Sebenarnya sudah agak lama pelajaran Mental Arithmetic Anas tergendala atas alasan yang tak dapat dielakkan. Yang terakhir adalah sehingga bulan Mei 2018 (sebelum Ramadhan). Apapun berbanding dengan update yang lepas, Anas juga sudah melangkah banyak step dalam Mental Arithmetic, dan mengusai tajuk dan formula baru. 

Secara kesimpulannya, ini adalah tajuk-tajuk yang telah Anas kuasai sehingga akhir Mei 2018:

Introduction
Asas jari 1,2, dan 3
Kumpulan 10 (tanpa formula)
Kumpulan 10 (operasi tambah dan tolak dengan formula)
Kumpulan 5 (operasi tambah dan tolak dengan formula)
Kombinasi kumpulan 10 dan kumpulan 5 (operasi tambah dan tolak)


Untuk mengusai setiap topik, Anas perlu menyiapkan beberapa worksheet untuk setiap tajuk yang dipelajarinya. 

Alhamdulillah semua worksheet sudah complete, bagi semua bab yang dipelajarinya. 

Namun begitu, jika ingin menguasai mental Arithmetic, ia memerlukan disiplin dalam membuat latihan/worksheet . Tak boleh nak selalu skip atau ‘cuti panjang’. Latihan akan melatih kecekapan dan kemahiran mengira :) ya, sehingga tahap mental, itulah matlamatnya. 

Tetapi oleh kerana Anas sudah lama tak membuat latihan dan ulangkaji, maka Anas masih dikategorikan dalam peringkat beginner. Masih perlukan lebih latihan tubi. 

Insya Allah, mungkin dalam bulan ini (Julai) juga akan ulangkaji balik topik-topik lepas, sebelum masuk kepada bab yang seterusnya. Tak boleh tidak, perlu menguasai topik yang terawal terlebih dahulu sebelum masuk kepada yang lebih mencabar.

Ummi juga masih belajar, sama-sama belajar dengan Anas. Alhamdulillah diberi upaya untuk mengajar sendiri Anas Mental Arithmetic, sesuatu yang tidak diajar di sekolah. Anas belajar kaedah math yang biasa diajar di sekolah, dan Mental Arithmetic ini sebagai tambahan buat Anas. Namun ummi doakan agar suatu hari Anas akan betul-betul dapat menguasainya dengan baik. Insya Allah. Dan Insya Allah Mussaab dan Miqdad juga :)


Antara worksheet yang sudah disiapkan;




























DIARI ANAKKU: 050718






Hari ini hari kedua abi di Bintulu. Anas, Mussaab dan Miqdad bangun awal seperti biasa. Mandi, berpakaian dan breakfast bersama. Ummi puasa hari ni, hanya melayan Anas, Mussaab dan Miqdad menjamu selera di meja makan. Miqdad dah tak mahu disuapkan sekarang, makan pula habis tumpah dan bersepah. Oh ya, menu breakfast pagi ni ialah nasi lemak dan roti nutella.

Selesai makan, Anas dan Mussaab keluar berbasikal di luar. Anas dengan basikal barunya, Mussaab pula dengan basikal lama yang dah tak sesuai dengan dirinya yang makin membesar. Basikal baru tak menarik minatnya. Susah katanya. Ulang alik kayuh basikal dan menonton upin upin. Miqdad juga keluar masuk rumah. Ummi selesaikan kerja yang patut.

Jam 7.55 hantar Anas dan Mussaab ke sekolah. Miqdad juga ikut, semestinya. Balik ke rumah, Miqdad menonton ‘dream english’ sementara ummi buat kerja rumah. Miqdad menyusu dan menonton lagi. Banyak kerja ummi perlu buat pagi ni. Ummi tinggalkan Miqdad dengan video Omar Hana, dan Didi&Friends. Alhamdulillah Miqdad ok je, tak memanggil ummi sedikit pun. Sesekali bosan, Miqdad berjalan dan mengambil sesuatu. 

Selesai kerja jam 10, ummi susukan Miqdad hingga Miqdad terlena. Miqdad bangun semula bila hampir jam 12. Sempat menonton tv sekejap sebelum keluar ambil Anas dan Mussaab di sekolah. Balik ke rumah, makan ais krim dan nasi lemak. Anas sempat berbasikal beberapa round. Mussaab juga ikut keluar bermain. Kemudian, Anas buat latihan untuk menduduki ujian kelayakan SRAI Beranang pada hari Sabtu ini. Mussaab pula melukis dan menconteng di buku ‘diary’nya. Lepas tu bosan, kacau Anas buat kerja. Kecoh seketika. Miqdad tak berganjak menonton video. 

Jam 1.30, Anas keluar lagi bermain basikal. Masih tak puas, walaupun dalam cuaca panas. Ummi tukarkan pampers Miqdad dan susukan Miqdad. Miqdad kembali keluar menonton video. Anas dan Mussaab juga buat kerja dan hal sendiri di depan tv. Ummi lelapkan mata seketika. Jam 3 ummi bangun dan keluar. Miqdad sedang asyik menonton video. Satu botol minyak Johnson dah dituangnya ke lantai. Habis berminyak. Mussaab dalam keadaan mengantuk, dan tertidur akhirnya di sofa. Anas keluar masuk main basikal, melukis dan makan ais krim. 

Jam 4, Miqdad aktif bergerak sana sini langsung tak mengantuk. Anas menonton upin upin. Sambil menyiapkan latihan tadi.  Mussaab masih tidur. Anas keluar lagi bermain basikal. Mussaab bangun menangis dipukul Miqdad. Perlu pujuk dan redakan tangisan Mussaab. Miqdad riang, ria dan ceria bermain. Panjat sana sini. Kutip dan campak segala barang. Allahu . Habis bersepah lantai. Ummi yang berpuasa, terasa lemah nak berkemas. Biarkan dulu Miqdad dengan aksinya yang macam-macam.

Selepas solat asar, cadangnya ummi nak terus memasak. Tapi Miqdad pula menangis, nak tidur katanya. Ummi susukan dulu Miqdad. Anas dan Mussaab dengan hal sendiri di luar. Miqdad hanya susu sekejap, kemudian keluar bermain. Ummi cepat-cepat memasak. Anas sudah mengadu kelaparan. 

Selepas memasak, ummi ajak semua keluar ke halaman. Anas berbasikal lagi. Mussaab dan Miqdad main bersama di halaman rumah sehingga ummi panggil masuk semula ke dalam rumah. Miqdad comot dan kotor bermain di tempat pembakaran sampah. Ummi arahkan naik mandi semuanya. Bermain lagi di bilik air hingga ummi panggil keluar. Lepas mandi dan berpakaian, turun semula ke bawah. Masa untuk makan malam. Semuanya makan dengan berselera. 

Selesai makan sambung menonton upin dan ipin pula. Giliran ummi untuk berbuka puasa. Alhamdulillah cukup 6 hari puasa Syawwal ummi. 

Selesai berbuka dan solat, ummi bawa Miqdad naik ke atas, susukan Miqdad hingga Miqdad terlena. Anas juga ikut naik ke bilik. Tinggal Mussaab masih tak berganjak dari depan tv. Ummi diserang sakit perut hingga ke atas belakang badan. Rasa sukar untuk bergerak. Sudah lama ummi tak diserang sakit sebegini. Entah apa puncanya. Ummi minta Anas carikan minyak, dan Anas tolong sapukan minyak di belakang ummi. Alhamdulillah semakin lega. Terima kasih Anas :)

Kemudian Mussaab pula naik ke atas, meminta untuk menemaninya di bawah. Ummi minta Mussaab tunggu dahulu sehingga ummi betul-betul ok. Anas sudah lena di samping Miqdad. Mussaab yang siangnya sudah tidur, kelihatannya masih belum mengantuk. Berguling dan bergolek dia seorang diri. Ummi solat isyak, Mussaab yang tadinya belum tidur akhirnya tertidur juga. Alhamdulillah.

Miqdad beberapa kali terjaga dan menangis. Mimpi agaknya. Selepas ketiganya dah lena, ummi turun ke bawah, kemaskan apa yang patut dan siapkan peralatan tulis Anas untuk hadapi exam sabtu ini. 

Semoga lena dan mimpi indah semuanya anak-anak ummi. Semoga hari esok menjanjikan yang lebih baik untuk Anas, Mussaab dan Miqdad. InsyaAllah. Tak lupa doa untuk abi yang jauh. Semoga Allah menjaga dan melindungi abi sentiasa. Sejak pagi tadi dah loss contact dengan abi. Insya Allah esok akan mendapat khabar abi dari laut sana. Semoga segalanya baik untuk kita :) aameen.

JULAI: AL-QURAN, IQRA’ DAN HAFAZAN

Dah lama tak update tentang kemajuan Anas dan Mussaab dalam bab al-Quran, Iqra’ dan juga hafazan. 

Ini adalah update yang lepas:

Dan ini pula update sehingga Julai. Alhamdulillah, Anas dan Mussaab masih istiqomah meneruskan pengajian al-Quran dan Iqra’ dan hafazan mereka. Seperti biasa, part yang paling mencabar ialah bila balik kampung, di mana di sana memang mereka akan banyak bermain dan memang akan banyak ‘bercuti’ dari membaca al-Quran dan iqra’. 

Anas: Al-Quran

Alhamdulillah bacaan al-Quran Anas semakin baik. Masih belum betul-betul lancar, tetapi jauh lebih baik dari sebelum ini. Jika sebelum ini Anas hanya baca al-Quran 1 atau 2 ayat sahaja sehari, bermula selepas hari raya puasa lepas, Anas dah mula menambahkan bacaan sehingga half page sehari. Lebih banyak ayat dibaca, insya Allah lebih membantu Anas untuk melancarkan bacaan. Kini Anas masih lagi membaca surah al-Baqarah sehingga ayat 230, page 36 (rujuk gambar di bawah)






Hafazan

Alhamdulillah hafazan juga berjalan dengan baik. Bermula Januari hingga Jun, Anas sudah berjaya menghafal 2 surah panjang dari juzuk amma iaitu surah an-Naba’ dan surah an-Naziaa’t. Kini Anas dah mula menghafal surah a’basa untuk surah hafazan seterusnya. Alhamdulillah, walaupun 1 ayat je sehari, yang penting istiqomah berjalan. Akhirnya dapat juga. Tak dinafikan, adakala satu ayat perlukan sehingga 2-3 hari, terutama bila ayatnya panjang. Tapi ok saja. Anas berjaya menghafal dengan baik dan lancar kedua surah tersebut. Yang seterusnya ialah untuk menambahkan lagi surah hafazan, dan mengulang semula hafazan yang sudah dia dapat. Insya Allah, semoga diberi kemampuan.


Mussaab: Iqra’/Al-Barqy 

Mussaab sebelum ini diajar dengan menggunakan buku iqra’ Genius, tetapi kini sudah ditukar menggunakan buku membaca al-Quran kaedah al-Barqy bermula Jun lepas. Mussaab bermula dari page awal, dan kini di bahagian akhir bab kedua kaedah al-Barqy, yang melibatkan huruf bersambung dan baris fathah, kasrah dan dhommah. Alhamdulillah Mussaab juga sudah boleh dikatakan mengenal huruf dengan baik serta betul sebutan barisnya. Cuma yang ‘sukar’ sedikit pada Mussaab ialah untuk mengajak dia membaca dengan ‘rela’ dan fokus sepanjang belajar. Agak-agak mencabar ,:)




Page terkini 


Hafazan

Untuk hafazan Mussaab, masih menekankan hafazan 4 surah lazim iaitu al-Fatihah, an-Naas, al-Falaq dan al-Ikhlas. Masih belum betul-betul lancar, kecuali al-Fatihah. Dan ya, berhadapan dengan cabaran yang sama juga :) tapi Insya Allah Mussaab juga boleh! 


Al-Quran, Iqra’ dan Hafazan Tracker

Januari hingga Mei, tracker khas digunakan untuk memastikan Anas dan Mussaab sentiasa istiqomah membaca. Sticker yang dijadikan sebagai reward harian akan ditampalkan selepas masing-masing selesai membaca. Kiraan jumlah sticker akan dikira di penghujung bulan. Sekurang-kurangnya ada ‘motivasi’ buat mereka di situ :)

Bulan Jun pula, dek kesempitan masa dan banyak berada di kampung, tiada tracker untuk memantau bacaan Anas dan Mussaab. Dan memang banyak skip juga bulan ni. Memang kena cover dan pecut baliklah bulan Julai ni :) insya Allah.

Setakat ini dulu update bacaan al-Quran, iqra’ dan hafazan Anas sehingga Julai 2018. Semoga diberi kekuatan, kesabaran dan tetap istiqomah untuk meneruskan pelajaran al-Quran sehingga benar-benar dapat membaca dan seterusnya mendalami isi al-Quran dengan sebaiknya. Insya Allah :)


Tuesday, 3 July 2018 0 comments By: Naemah

SYURGA BUAT ADIK ADAM RAYQAL

Mendengar berita anak kecil disakiti dan dizalimi bahkan sehingga menyebabkan kematian, sakit yang dirasa bak jantung sedang ditusuk-tusuk. Itulah gambaran rasa seorang ibu sepertiku. Dan aku percaya, semua ibu yang ‘waras’ pasti berkongsikan perasaan yang sama.

Hari ini Malaysia dikejutkan dengan kematian baby Adam Rayqal yang baru berusia 5 bulan. Bayi yang dilaporkan diculik oleh pengasuhnya, rupanya ditemui mati dan disembunyikan di dalam peti ais pengsuhnya. Setakat ini punca kematian masih belum dikenalpasti. Tak terjangkau dek akal kan? Biar apa punca, betapa ‘tergamak’nya pengasuh membuat aduan palsu dan sanggup pula menyimpan tubuh kaku si kecil di dalam peti ais. Betapa tergamak!

Bagi yang menjaga dan mengasuh sendiri anak-anak sepertiku, rasa kegusaran itu masih boleh dibendung. Sekurang -kurangnya, anak-anak hampir setiap masa berada di depan mata, dan seorang ibu takkan tergamak untuk menyakiti anak-anak sendiri. Pun begitu, tak dinafikan masih juga ada ‘kes’ anak-anak yang dizalimi ibubapa sendiri. 

Kegusaran dan kebimbangan ini pasti akan lebih menyelubungi perasaan ibu-ibu yang bekerja, yang setiap hari terpaksa menyerahkan jagaan anak-anak kepada pengasuh. Pastinya mendengar kes sebegini menjadi satu mimpi dan igauan ngeri buat mereka. Bukan sekali ini, sudah berkali-kali negara ini digemparkan dengan kes penderaan dan penganiayaan pengasuh terhadap anak-anak asuhan mereka. Betapa ‘sakit dan tenat’nya masyarakat kita ini.

Kalau mampu aku meminta agar semua ibu kembali ke rumah dan menjaga anak-anak dengan tangan sendiri....
 Tetapi aku juga tahu mustahil untuk semuanya kembali ke rumah atas alasan-alasan yang pelbagai dan mungkin tak mampu dielakkan. Kalian wahai ibu, memohon dan berdoalah sentiasa agar-agar anak-anak akan sentiasa dilindungi Allah dan mendapat asuhan baik dan sempurna meskipun bukan dengan tangan kita sendiri. 

Sama-sama kita mendoakan agar ibu dan ayah Adik Adam Rayqal diberi kekuatan dan kesabaran yang kuat untuk menghadapi ujian yang sangat hebat ini. Semoga Allah memelihara mereka dan mentakdirkan ‘sesuatu’ yang lebih baik buat mereka yang tak pernah terjangkau dek akal mereka sendiri. Semoga mereka tabah, tenang dan redha menghadapi ujian ini. Insya Allah si kecil itu sedang menanti untuk menyambut kedatangan ibu dan ayahnya di syurga sana. Bertahan dan bertabahlah!  

Adik Adam Rayqal, pastinya sedang tersenyum dan bahagia di sana.

Semoga Allah melindungi kita dan anak-anak kita dari segala bentuk kezaliman :,(


Semoga Allah menjaga dan melindungi anak-anak ummi tercinta



Sunday, 1 July 2018 0 comments By: Naemah

LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN : OPEN DAY AND RAYA CELEBRATION




Pada 30/06/18 diadakan open day dan sambutan hari raya di Little Diamond kindergarten. Hari ini juga merupakan hari perjumpaan ibubapa dan guru kelas untuk menyerahkan report card student dan juga berbincang serba sedikit tentang anak-anak dari segi pencapaian dan kemajuan mereka di sekolah sepanjang semester pertama yang lepas.

Rumah kami tidak jauh dari sekolah, kami sekeluarga berjalan kaki seperti kebiasaan Anas dan Mussaab ke sekolah. Kami berada di sekolah jam 9.30 pagi, masih lengang suasana di sekolah. Hanya ada sepasang ibubapa yang sedang berbincang tentang report card anak mereka dengan guru kelas. 

Oleh kerana kami antara yang terawal, maka kami tak perlu menunggu lama. Terus mengambil tempat yang disediakan dan menerima report card Anas dan Mussaab. 

Pertamanya, kami menerima kad laporan Anas (6 tahun) dan mendengar penerangan yang disampaikan oleh Teacher Zeeda, guru kelas Anas. Secara keseluruhannya, Anas berada pada pencapaian yang sangat baik dari segi akademik dan social skillnya. Cuma yang perlu lebih ditekankan ialah bab confidence. Mungkin Anas masih malu-malu untuk menyuarakan idea dan menyampaikan sesuatu pada guru dan khalayak. Bukan tak boleh, tapi perlu lebih yakin dan berani. Antara lain, Teacher Zeeda menyatakan bahawa Anas sangat menyukai aktiviti seperti art dan craft. Anas juga seorang yang sentiasa bersemangat dan berstamina dalam setiap aktiviti yang disertainya. Secara kesimpulan, Anas sudah berada di tahap yang cemerlang, namun masih ada perkara yg perlu diperbaiki. Anas juga boleh dikatakan sudah bersedia untuk melangkah ke tahun satu tahun depan. Insya Allah.

Selesai Anas, tiba giliran Mussaab pula. Kami menerima kad laporan dari guru kelasnya Teacher Fika dan mendengar tentang kemajuan dan segala yang melibatkan Mussaab di sekolah. Dari segi pencapaian akademik dan social skill, Mussaab masih dalam kategori baik, biarpun bukan terbaik. Segalanya masih dalam proses belajar dan perlukan masa untuk develop. Namun mengikut Teacher Fika, Mussaab seorang student yang baik dan mendengar kata. Mudah memahami arahan dan tidak bermasalah. Namun dalam bab tertentu, Mussaab perlu ‘ditekan’, barulah akan bertindak mengikut arahan. Mussaab juga seorang yang ‘bercakap’ bila bersama kawan-kawan seusianya. Penjelasan yang melegakan, dan memberi gambaran positif pada Mussaab yg kini berusia 4 tahun.

Meneliti kedua laporan Anas dan Mussaab, juga penerangan daripada guru kelas mereka, ia seakan selari dengan hakikat diri Anas dan Mussaab di rumah. Pendek kata, begitu mereka di rumah, begitu juga di sekolah. Yang berbeza pun ada, tapi tak banyak dan tidak terlalu ketara.

Menerima kad laporan anak, itulah antara hal yang paling excited buat seorang ibu sepertiku. Sangat teringin nak tahu tentang perkembangan dan kemajuan anak-anak di sekolah. Nak tahu sikap dan perangai mereka, bagaimana mereka dengan guru dan kawan, bagaimana mereka belajar dan bergaul, dan macam-macam lagi. Bila dijemput hadiri sessi sebegini, sudah tentu takkan dilepaskan peluang ini.

Secara keseluruhannya, aku dan suami sangat berpuas hati dengan tahap pencapaian Anas dan Mussaab di sekolah dalam semua bab. Alhamdulillah, di sini tiada sistem gred, maka tak adalah ukuran siapa lebih pandai, siapa lebih cemerlang. Semua sama saja, sebahagian menyerlah di sini, dan sebahagian menyerlah di bahagian lain. Kerana setiap anak-anak ini kan unik dan istimewa dengan kelebihan tersendiri :)

Dalam pertemuan ini, guru banyak highlight kan tentang pencapaian baik/positif anak-anak, namun guru juga pasti maklum hal-hal yang ‘kurang’ pada diri setiap mereka. Sebagai ibu, aku juga akur anak-anak ini tak sempurna dan dalam proses belajar untuk menjadi yang lebih baik dan lebih cemerlang dari hari ke hari. Namun sebagai ibu, sudah pasti ada rasa bahagia dan bangga dengan apa yang telah anak-anak capai sepanjang tempoh pengajian mereka ini. Walaupun masih di peringkat awal, masih sangat kecil, namun inilah ‘pencapaian’ dan inilah hadiah dari anak-anak buat ibubapanya. Setiap hal yang positif yang berkaitan dengan anak-anak, itulah antara sumber ‘bahagia’nya seorang ibu :)

Tamat bab report card :)

Jamuan raya Little Diamond meriah dengan kehadiran ibubapa pelajar. Hari ini juga ibubapa dihidangkan dengan persembahan istimewa dari anak-anak comel Little Diamond Kindergarten. Selepas persembahan, diadakan juga majlis sambutan hari jadi rakan sekolah Anas dan Mussaab yang bernama Adam. Sekali lagi meriah dengan lagu ‘happy birthday’ dan acara potong kek dan agihan hadiah daripada Adam. Dan tak lupa,duit raya daripada guru-guru Little Diamond Kindergarten.

Akhir sekali, ibubapa menjamu selera bersama dan masing-masing beransur balik. Kami juga meninggalkan sekolah lebih kurang jam 12 tengahari. Alhamdulillah, selesai sudah majlis raya dan perjumpaan ibubapa dan guru di Little Diamond pada hari ini. Segalanya berjalan baik. Terima kasih pada para pendidik di Little Diamond kindergarten yang pastinya sudah bertungkus lumus untuk menjayakan majlis pada hari ini. Terima kasih atas jamuan dan hidangan, duit raya dan persembahan anak-anak yang menghiburkan. Didoakan agar Little Diamond akan lebih bergemerlapan. Insya Allah.



Foto hari ini :)