Tuesday 31 May 2022 0 comments By: Naemah

LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN: MAJLIS HARI RAYA, HARI GURU DAN LAPORAN PRESTASI MIQDAD





Pada 21/5 yang lepas diadakan majlis sambutan hari raya juga majlis hari guru di Little Diamond Kindergarten. Pada hari tersebut juga menerima laporan prestasi Miqdad di sekolah. Setelah 2 tahun berturut tak diadakan majlis seperti ini, tahun ini diizinkan olehNya untuk raikan kemeriahan Syawal ini bersama-sama.


Tahun ni sambutan diadakan di lokasi yang baru (sebab Little Diamond dah berpindah tempat). Jauh sikit dari rumah, tapi taklah jauh sangat.


Ringkasnya, majlis ini terbahagi kepada dua sessi, pagi untuk student playschool dan 4 tahun, petang pula untuk student 5 dan 6 tahun (jam 12-12.30 ada persembahan dari anak-anak mengikut kelas). 


Jam 12 ummi, Miqdad dan Suri dah ada di sekolah Miqdad. Abi pula bawa Anas dan Mussaab ke kelas berenang dan datang ke majlis setelah selesai kelas. Miqdad tak ikut kelas berenang hari ni, takut rushing dan kejar masa nak ke majlis sekolah. 


Sebaik sampai, menjamu selera dulu dengan aneka juadah yang ada. Alhamdulillah, kenyang. Tak lupa hulurkan hadiah hari guru buat teacher. Kemudian tengok persembahan Miqdad dan kawan-kawan yang menghiburkan. Akhir sekali barulah jumpa teacher untuk dengar laporan prestasi Miqdad. Part ni memang paling ditunggu, sebab nak tahu progress Miqdad kat sekolah. 


Dari laporan Teacher Fatin, Alhamdulillah semuanya baik dan terbaik. Tak ada masalah tentang pembelajaran Miqdad di sekolah, cuma bab social involvement dia kurang sikit. Katanya pemalu sangat, suara pun perlahan amat. Hmm.. kat rumah bukan main kuat lagi suara tu kan? Harapnya Miqdad boleh perbaiki lagi, jadi lebih berani dan yakin diri lepas ni. Kan dah nak masuk darjah satu. Miqdad kenalah lebih berani. 


Lepas jumpa teacher, terus menuju balik ke rumah. Urusan dah selesai. Cuaca pun agak panas. Balik rumah, ready masak untuk majlis hari raya dengan jiran-jiran pula malam ni. Ummi masakkan nasi dagang untuk majlis malam nanti.


Lepas Maghrib berkumpul dengan jiran-jiran pula, makan-makan aneka juadah yang ada. Tapi tak lama, sebab lepas tu abi nak drive balik kampung untuk ziarah mak cik abi yang sedang sakit tenat. Abi balik dengan Mussaab.


Tamatlah program hari ni. Semua pun sudah kepenatan. Tinggal ummi, Anas, Miqdad dan Suri di rumah. Mendoakan perjalanan abi mudah dan selamat sampai.


Alhamdulillah atas apa yang telah dilalui bersama hari ini. Syukur dapat berkumpul dengan meriah sekali. Perut kenyang, hati riang. 


Tahun terakhir Miqdad di Little Diamond Kindergarten. Tahun depan mungkin tak dapat rasa suasana seperti ini lagi sebab dah tukar sekolah.


Apapun syukur, berbanding tahun lepas, tahun ni keadaan hampir kembali normal. Miqdad dapat juga nikmati momen-momen seperti ini di tadika. 


Alhamdulillah. Syukur atas nikmat dan rezeki dariNya. 








BERAYA DI SRAIPB DAN SKKR





Pada hari Jumaat (20/5/2022) telah diadakan majlis sambutan hari raya di sekolah Anas (SRAI Pekan Beranang) dan sekolah Mussaab (SK Kampung Rinching). Setelah 2 tahun majlis seperti ini tidak diraikan, akhirnya tahun ini anak-anak dapat kembali meraikan kemeriahan Syawal bersama guru dan kawan-kawan. 


Hari tersebut anak-anak siap berpakaian raya (baju melayu lengkap dengan songkok dan sampin). Anas bawa nasi himpit dan biskut, Mussaab pula bawa kerepek dan hadiah untuk guru (sebab majlis ni juga sekali dengan sambutan hari guru). Seronok keduanya nak beraya di sekolah. 


Di sekolah, anak-anak meraikan hari raya dengan penuh kemeriahan. Menikmati hidangan dengan aneka juadah, lupakan buku dan pelajaran semua. Penuh dengan aktiviti makan dan bermain dengan kawan-kawan saja. 


Jam 12 balik dari sekolah. Ummi ambil Anas, abi pula ambil Mussaab (sebab balik pada waktu yang sama). Keduanya kepenatan setengah hari beraya di sekolah. Alhamdulillah majlis raya berjalan dengan baik dan anak-anak menikmati kemeriahan raya hari ini.


Ummi pun tak ada apa sangat nak cerita, just nak highlight hari-hari penting yang dilalui anak-anak di sekolah. Dah masuk sekolah rendah, dah besar dah keduanya. Hal-hal di sekolah, anak-anak lalui sendiri dengan rakan-rakan dan guru-guru. Ummi  hanya setia menanti di rumah. Mungkin ada cerita dan momen yang mahu dikongsi, ummi sedia mendengar.


Syawal pun dah berakhir. Alhamdulillah semua dapat raikan Syawal dengan lebih meriah berbanding tahun-tahun lepas (ketika covid masih mengganas). Syukur padaNya, Syawal kita tak lagi kelam.


Syawal tahun depan pasti akan lebih baik dan lebih meriah, insya Allah. 

Wednesday 4 May 2022 0 comments By: Naemah

NOSTALGIA AIDILFITRI ENDEMIK (2022)




3 April yang lalu kita mula berpuasa. Menyambut 1 Ramadan dengan penuh kesyukuran, biarpun Ramadan kita lalui tanpa abi pada kebanyakan harinya. Namun tetap bersyukur, bertemu lagi kita dengan Ramadan tahun ini. 


Setelah 3 tahun kita ‘berperang’ dengan virus covid-19 yang tak terlihat, syukur kita masih di kalangan yang ‘terselamat’ dari kekejamannya. Ya, meskipun kita satu keluarga juga tak terlepas dari diserang virus itu hampir 2 bulan yang lalu. Sekali lagi syukur, hari ini kita sekeluarga berada dalam keadaan baik-baik saja, beraya di kampung dengan kemeriahan yang sudah lama tidak kita rasakan.


2 Aidilfitri yang lepas kita raikan di perantauan, jauh dari keluarga. Tahun ini special, sebab tiada lagi halangan untuk beraya di kampung halaman. Tapi raya kali ini juga menjadi raya yang tak terjangka, bila diumumkan hari raya Aidilfitri jatuh pada 2 Mei 2022, di mana ia tak seperti yang tercatat di dalam takwim (3 Mei). Boleh dikatakan semua orang mengalami ‘kejutan’ dan kurang persediaan untuk menyambut Aidilfitri. Ya, agak sedih juga la seakan Ramadan pergi dengan tiba-tiba saja.


Namun dalam ‘terkejut’, kita tetap terima dengan lapang dada. Beraya seadanya sajalah. Syukur di rumah ini, segala keperluan untuk memasak hidangan raya dah lengkap. Tinggal nak masak je! Tengok orang lain kalut tak tahu nak masak apa, kita tenang-tenang saja, cuma perlu kumpul semangat untuk terus ‘bersilat’ di dapur selepas mendengar pengumuman ‘esok raya’!


Sebab apa semua dah cukup lengkap? Sebab tahun ini ditakdirkan abi perlu berkuarantin dan bertugas di hari raya. Semuanya abi cukupkan demi nak anak-anak menikmati raya walaupun dia tiada bersama. Nak ummi masak sedap-sedap, nak bagi feel raya semua. Lagipun rumah ni jadi tumpuan anak cucu mek selepas solat hari raya, rumah mek akan penuh dengan anak cucu. Jadi, biarlah ada hidangan istimewa untuk semua.


Kita merancang, Allah jua merancang. Sudah tentulah perancangan Dia yang terbaik. Dalam tak seronok beraya sebab abi tak ada, tiba-tiba abi muncul di rumah. Ya, seperti tiba-tiba esok raya, begitu juga tiba-tiba abi balik nak raya bersama. Sekejap cuma, tapi penuh bermakna. Terasa raya lebih lengkap dengan kehadiran abi. 


Hari raya ni memang rasa sangat luar biasa. Tak terjangka dan tak terduga. Kerana sudah 2 tahun tak beraya bersama, sudah pasti semua mengharapkan raya yang meriah, dengan juadah yang istimewa di pagi raya. Tapi bila ditakdirkan kita perlu beraya awal sehari dari tarikh yang kita jangka, semua jadi kelam kabut. Raya dah jadi berbeza sedikit dari yang dirancang. Ada yang tak sempat ambil baju raya, ada yang perlu beraya di jalan raya ( dalam perjalanan balik kampung), ada yang tak sempat ambil tempahan makanan, dan lain-lain lagi. Maka jadilah raya kali ini seadanya dan kekadarnya saja. Namun moga kita tetap bersyukur, kerana syukur menjadikan segalanya indah.


Begitu juga buat keluarga kita. Kita jangka raya kita kurang seronok sebab 2 tahun berturut abi perlu jalani kuarantin di hari raya. Tapi Allah Maha Baik, hadirkan abi untuk raikan raya ini bersama kita. Raya kita jadi lebih bermakna. 


Pada ummi, raya ini sudah cukup sempurna. Dapat beraya di kampung, sempat sediakan juadah raya seperti yang dirancang, dapat jumpa ahli keluarga yang dah lama tak jumpa, anak-anak seronok ada ramai kawan di kampung dan dapat duit raya, dan paling best abi ada di hari raya, menjadikan ia raya yang tak seperti kita jangka. Kita terima akan takdirNya yang abi tak dapat beraya bersama, tetapi Allah takdirkan hal dan situasi yang tak terjangka. Dan takdir itu sangat membahagiakan. 


Oleh itu, ayuhlah kita bersyukur sebanyaknya untuk sambutan Aidilfitri ini. Kita masih dikurniakan kesihatan yang baik, dapat berkumpul dengan ahli keluarga yang ramai, dalam suasana yang meriah. Kerana dalam kita gembira ini sudah pasti ada yang sedang berduka kerana telah kehilangan ahli keluarga kerana covid-19 dan sebab yang lain. Syukur dapat menikmati juadah raya dan berpakaian baru, kerana dalam masa yang sama ada yang tidak dapat menikmati semua ini kerana kurang kemampuan. 


Terima kasih ya Allah. Segalanya cukup Kau kurniakan buat kami. Cukup dan sempurna. Aku sentiasa merasakan takdir dan aturanMu sentiasa yang terbaik dan terindah. Meski dalam bentuk yang kami tidak mahu, tetap ianya yang terbaik dan menjanjikan indah. 


Alhamdulillah. 

Selayaknya puji-pujian hanya untukMu ya Allah.


Selamat hari raya Aidilfiti buat seluruh dunia!!



** Tahniah anak-anak (Anas, Mussaab dan Miqdad) kerana berjaya sempurnakan puasa sebulan. Especially Miqdad yang tahun ini mula belajar berpuasa. Pastinya Raya ini memberi kegembiraan luar biasa buat semua. Alhamdulillah **