Tuesday 31 January 2023 0 comments By: Naemah

KENDURI DI KOTA TINGGI



Alhamdulillah berkesempatan menghadiri kenduri (ex-jiran suami di Bentong dulu) di Kota Tinggi, Johor pada 29/1/2023. Kenduri pertama untuk tahun ni :)


Bertolak dari rumah jam 9.30 pagi, dan tiba di majlis sekitar jam 1.30 petang. Alhamdulillah perjalanan lancar, meskipun diiringi hujan gerimis di sepanjang perjalanan.


Sebaik sampai, suami bertegur sapa dengan tuan rumah, dan kawan-kawan lamanya yang sudah lama tak berjumpa. Kami menjamu selera dengan hidangan yang ada. Lepas makan, suami ambik peluang bersembang dengan kawan-kawannya. Banyak pula ceritanya, bila dah lama tak jumpa. Aku dan anak-anak menunggu dengan sabar. Bagi can lah, dah lama tak jumpa kan. Lebih kurang 3.30 petang kami meninggalkan majlis.


Lepas tu kami ke Johor Bahru, menuju ke homestay yang telah suami booking. Kami menyewa di Pangsapuri Meridin, Medina, Nusajaya. Alhamdulillah agak selesa menginap di sini. 


Petang hari kami mengambil peluang untuk berjalan di sekitar bandar Johor Bahru. Kami makan malam di medan selera Hentian Tebrau, kemudian solat di Masjid Abu Bakar, lepas tu hiburkan anak-anak di Danga Bay Theme Park, dan akhir sekali ke Pasar Karat JB. Kami balik semula ke homestay sekitar jam 10.30 malam.


Esok harinya, check out dari homestay jam 9 pagi. Kami breakfast di Pontian (tak lalu highway sebab nak tengok tempat orang). Sambung perjalanan balik, santai-santai saja tak mengejar masa. Sempat juga singgah di gerai tepi jalan (di Muar kalau tak silap) membeli seafood dan mi siput. 


Kemudian singgah makan tengahari di Mai Salai (di Linggi Negeri Sembilan), kedai makan yang selalu kami singgah jika ke Melaka. Alhamdulillah menikmati masakan salai yang enak di sini. 


Dah kenyang, sambung perjalanan balik. Berhenti sekejap di r&r untuk solat, dan terus balik ke rumah. Sampai di rumah sekitar jam 4.30 petang. Agak panjang perjalanan hari ini. Penat, tapi berbaloi dan seronok. 


Inilah perjalanan ‘jauh’ yang pertama untuk tahun ini. Walaupun percutian singkat je, namun tetap memuaskan hati. Dapat cipta kenangan bersama, itulah saat terindah.


Insya Allah this weekend akan balik kampung pula. Ada cuti sempena Thaipusam, jadi bolehlah balik lama sikit. Insya Allah. 




















Sunday 22 January 2023 0 comments By: Naemah

2023 SEPINTAS LALU




Sedar tak sedar dah pun berada pada tarikh 23 Januari 2023. 23 hari melangkah ke tahun baru, siapa sangka sampai ke usia ini kita meniti kehidupan di dunia. Aku yang semakin berusia, anak-anakku yang semakin membesar, suamiku yang sudah masuk ke fasa usia 40an. Masya Allah. Jauh sudah kita mengembara di bumi Allah. Apakah kita sedar? Apakah kita bersyukur?


23 hari berada di tahun baru, sungguh aku katakan mood aku masih ke laut dalam. Aku tak bermula dengan semangat yang berkobar. Sampai ke hari ni, aku masih mencari semangat dan kekuatan untuk terus berjalan. Impian aku, sudah tentu ingin mencipta lebih banyak kenangan manis dan berharga bersama keluarga tercinta.


Apa punca semangat ini merudum tak kunjung tiba? Pertama, sudah tentu aku masih terkenangkan ibuku (yang sakit) sejak lebih sebulan yang lepas. Kini hanya mampu bertanyakan khabar pada kakakku. Syukurlah aku terima berita yang baik saja tentang keadaan ibuku. Serba salah juga aku, hanya aku satu-satunya anak yang jauh dari ibuku. Syukurlah, 3 abang dan kakakku tinggal dekat dengan ibuku dan dapat selalu menjenguk dan menjaga. Tapi sungguh, selagi aku tak balik hati aku masih belum tenteram. 


Keduanya, kerana awal tahun ini diuji dengan tidak sihat badan satu keluarga. Demam yang bermula dengan Miqdad, seorang demi seorang, sampailah Suri yang terakhir. Alhamdulillah semua sudah beransur sihat. Tapi ya Allah, demam kali ini lain macam. Dah baik dari demam pun, still badan masih lemah dan rasa malas nak buat apa. 


Kini Allah hadirkan semangat dan kekuatan sedikit demi sedikit. Tambahan suami sudah kembali bekerja, maka aku perlu lebih kuat untuk bersama anak-anak. Alhamdulillah, rasa seperti dah hampir kembali ke rentak yang dulu. Dah tak rasa ‘malas’ sangat dah. Boleh buat aktiviti dengan anak-anak, walaupun sekadarnya saja.


Aku harapkan esok dan hari mendatang akan lebih baik. Tahun ni belum berpeluang balik kampung, insya Allah akan sampa masanya untuk balik juga. Semoga kesihatan seluruh ahli keluarga juga semakin baik. Allah sekadar menguji hamba-hambaNya. Pelangi kan hadir selepas gerimis. Insya Allah. Kita akan jalani kehidupan yang lebih baik. 


Alhamdulillah atas nikmat dan ujian dariNya.

SELAMAT HARI LAHIR ANAS DAN MUSSAAB




12-1-2023 genaplah usia Anas 11 tahun. Alhamdulillah.


19-1-2023. Genap pula usia Mussaab 9 tahun. Alhamdulillah.


Semakin besar panjang anak ummi. Syukur padaNya yang menghadirkan kalian dalam hidup ummi dan abi.


Sepanjang 2 minggu ini agak kelam rasanya kehidupan ini. Satu family diuji tak sihat badan. Bermula Miqdad, kemudian abi, ummi, Anas, Mussaab dan terakhir Suri. Berantai ujian demam kali ini (demam influenza barangkali). Meskipun dah sembuh dari demam, badan masih lemah tak bermaya. Batuk selesema masih mengganggu.


Hari lahir Anas dan Mussaab sedanya. Diingat dan disyukuri, tak lebih dari itu. Tiada jamuan istimewa, dalam keadaan tak sihat badan, makan pun tak berselera. Abi belanja MCD sebelum kembali bekerja, itupun hanya menjamah sedikit sorang. 


Ujian sungguh kali ini, bila cuti Raya Cina pun kita tak boleh balik kampung ziarah mek dan nenek. Ya, pertamanya sebab tak sihat. Keduanya, abi berkebetulan perlu bekerja. Maka bercuti di rumah sajalah kita semua. Dalam keadaan yang belum sihat sempurna lagi.


Apapun syukurlah, keadaan kita semakin baik dan semakin sihat. Allah sekadar menguji kita. Selama ni sihat saja, sesekali Allah ingatkan kita dengan sakit. Sabar dan syukurlah anakku!


Untuk Anas dan Mussaab yang semakin bertambah besar dewasa. Ummi tak pernah lupakan hari penting kelahiran putera ummi ini. Ummi sentiasa mendoakan kebaikan buat Anas dan Mussaab. Seiring bertambahnya usia, semoga bertambah juga kebaikan dan keberkatan Allah dalam hidupmu.


Selamat melangkah di dunia sementara ini. Moga Allah permudahkan langkah perjalananmu. Semoga Allah menunjukkanmu jalan yang benar. Semoga tercapai segala impian dan cita-citamu. Semoga kan bersama kita, di sini dan di sana. Ameen. 


Ummi sayang Anas dan Mussaab.

Ummi sayang semua.




Anas (12/1/2023)

Breakfast mi goreng sebelum ke sekolah.




Mussaab (19/1/2023)

Lepas demam 2 hari

Hari ni sambutan hari kanak-kanak di sekolah.

Sunday 1 January 2023 0 comments By: Naemah

CERITA BALIK KAMPUNG



Imbas kenangan balik kampung pada cuti sekolah yang lepas (11/12-27/12/2022). Balik kampung kali ini, kita dihadiahkan dengan situasi dan suasana yang berbeza. Ia tak seperti yang kita ingin dan yang kita rancang, namun itulah perancangan terbaik dari Allah.


Beberapa hari sebelum cuti sekolah bermula, menerima berita mek jatuh di dapur rumah dan patah tulang peha. Ya Allah, tika itu Allah saja yang tahu betapa merontanya hati nak balik. Tapi tika itu juga, terhalang kerana Mussaab yang sedang menjalani exam pada minggu tersebut, abi pula janji nak tolong hantar pak lang ke airport, dan terikat juga dengan majlis graduasi Miqdad. Jadi, kita balik sebagaimana yang dirancang dengan menaiki keretapi. 


Sebaik tiba di kampung, terus melawat mek di Hospital Tanah Merah, dan hari itu juga ummi terus mengambil giliran menjaga mek di hospital. Alhamdulillah, kerana musim cuti sekolah, adalah anak menantu dan cucu-cucu mek yang boleh ambil giliran menjaga mek selama 2 minggu mek ditahan di wad. Ketika ummi menjaga mek, anak-anak bersama abi di rumah. Alhamdulillah, kebetulan abi juga bercuti panjang.


Sebagaimana mek tak ada di rumah, begitu juga nenek. Malang tak berbau, di kampung menerima berita pak lang yang jatuh sakit di Sarawak. Agak kritikal sakitnya, tak sangka sebab kita baru saja hantar pak lang ke airport hari tu. Nenek segera ambil tiket dan terbang ke Sarawak. Makanya, rumah nenek pun tak ada orang. Kurang seronok bila balik kampung dalam situasi seperti ini. Namun apa daya, inilah takdirNya.


Kebetulan juga musim tengkujuh, Kelantan dilanda banjir besar. Rumah nenek tak terkecuali, cuma tak teruk seperti di tempat lain. Disebabkan banjir juga, kita tak dapat kemana-mana untuk beberapa hari sehingga banjir surut. 


Alhamdulillah lepas 2 minggu mek dibenarkan balik selepas menjalani pembedahan. Nenek juga balik ke rumah bila keadaan pak lang bertambah baik. Di rumah, ummi ambil tanggungjawab menjaga mek hampir 24 jam sebelum tiba masanya untuk kembali ke rumah. Keadaan mek memerlukan penjagaan rapi sebab mek tak dapat dah nak berjalan macam dulu. Hanya mampu baring dan duduk. Ramai orang datang ziarah mek, termasuk nenek.


Cuti Anas, Mussaab dan Miqdad kali ini agak berbeza. Perlu faham keadaan dan situasi sukar ini. Alhamdulillah masih ada sepupu dan anak sepupu untuk berkawan dan bermain. Ada ketikanya, rumah mek jadi sangat meriah bila semua datang. Di siang hari, ikut ayah cik ‘mengembala’ biri-biri yang berpuluh ekor tu. Itupun antara keseronokan juga. Yang tak best, internet kat kampung sangatlah slow. Nak main game, memang tak bolehlah! Whatsapp pun susah nak lepas. Sabar jelah.


Selepas 3 malam ummi jaga mek di hospital, dan 6 malam di rumah, tiba masanya untuk kita pulang ke rumah. Berat hati nak tinggalkan mek, tapi ada tanggungjawab lain yang perlu dilunaskan di sini. Ummi serahkan penjagaan mek pada adik beradik yang lain, dan pada Allah seluruhnya. Mengharapkan keadaan mek akan bertambah baik, mek dijaga dengan sebaiknya. Dengan nenek pun hanya dapat jumpa sekejap saja.


Balik ke rumah, hampir masanya untuk Anas dan Mussaab kembali ke sekolah. Abi juga perlu bersedia untuk dipanggil bekerja. Semoga Allah permudahkan urusan mek dan semua ahli keluarga di kampung. Insya Allah kita akan balik lagi, jumpa mek dan nenek. Insya Allah segalanya akan baik-baik saja. Tidak Allah takdirkan semua ini terjadi, melainkan ianya baik buat kita. Ada hikmahnya, insya Allah.



Antara kenangan di kampung;