Sunday, 28 March 2021 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 280321




Hari ke-2 cuti sekolah (pertengahan penggal). Hari ke-4 abi kembali ke tempat kerja. 


Bangun pagi serentak seperti kebiasaan. Mandi dan solat subuh, terus turun ke bawah. Ummi masak nasi lemak untuk breakfast. Sementara tunggu breakfast siap, main game dan menonton YouTube sekejap. Dah siap masak, makan sama-sama. 


Lepas makan masing-masing buat hal sendiri. Main game, dan menonton youtube lagi. Ummi kemaskan apa yang patut, dan siapkan ‘game abc’ untuk Suri. Main sekejap dengan Suri (dan abang-abang pun ikut join sekali). 


Pukul 10, Anas, Mussaab dan Miqdad buat latihan dalam workbook. Anas dan Mussaab buat latihan matematik , Miqdad buat latihan english dan doodles. Tak banyak pun, 1-2 page sorang. Suri ulang alik tengok tv dan duduk semeja dengan abang-abang. 


Jam 11, selesai latihan, semua naik mandi kolam kat atas termasuk Suri. Abang-abang tolong tengokkan Suri, ummi masak untuk makan tengahari. Masak nasi beriani untuk Anas yang hari-hari minta ummi masakkan.selesai masak, naik tengok anak-anak yang masih belum selesai mandi kolam walaupun dah kesejukan semua. Dah puas mandi kolam, turun semula ke bawah. Ummi tidurkan Suri dan turun sediakan makan tengahari untuk Anas, Mussaab dan Miqdad. Mussaab dan Miqdad habiskan nasi lemak pagi tadi, Anas pula makan nasi beriani kegemaran. 


Lepas makan, Suri bangun dan menangis. Dipujuk-pujuk, lepas tu ok, makan nasi dan tengok YouTube lagi. Anas, Mussaab, dan Miqdad sambung main game. 


Masuk waktu zohor, semua solat dan sambung main lagi. Ummi naik ke bilik dan berehat. Biarkan semua dengan hal masing-masing, termasuk Suri yang tadinya dah tidur. Ummi tinggalkan pada abang-abang untuk jaga dan tengokkan adik. 


Jam 3, Suri naik ke bilik, ummi pun dah tak boleh nak sambung tidur. Main-main sekejap dengan Suri sampai Suri turun semula ke bawah. Ummi juga turun, dah tak mengantuk lagi. Kat meja makan, mangkuk bersepah. Mussaab dan Miqdad baru lepas makan coco crunch dengan susu. Lepas makan menonton youtube, Anas pula siapkan homework english. Ummi goreng nugget dan makan sama-sama. 


Lepas solat asar naik mandi kolam lagi. Mandi sampai puas keempat-empatnya. Lepas mandi turun semula ke bawah. Ummi siapkan makan malam. Anas makan nasi beriani tadi, Mussaab dan Miqdad makan roti paratha dan kari. Suri juga makan yang sama. Lepas makan keluar main kat luar sekejap, masuk tengok tv lagi, dan kemas rumah sama-sama. 


Dah settle kat bawah, naik ke atas dan ready untuk solat maghrib. Anas jadi imam untuk solat maghrib, kemudian baca al-Quran, dan aktiviti sendiri. Tak lupa ummi ingatkan malam ni adalah malam nisfu syaaban. Dah tak lama nak menyambut ramadhan. Anas dan Mussaab excited nak berpuasa tahun ni. 


Ummi tidurkan Suri yang dah mengantuk, sementara abang-abang menunggu masuk waktu isyak. Suri lena akhirnya. Masuk waktu isyak, solat dan siap untuk tidur. Tak sampai 5 minit, lena ketiga hero :) Alhamdulillah.


Semoga bermimpi indah semua. Ummi sayang Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri. Hari ni seharian tanpa khabar abi yang sudah mula bertugas di laut. Insya Allah esok akan mendapat khabar abi dari sana. Semoga baik-baik saja, dan dipermudahkan urusan abi. Terima kasih semua, jadi anak yang baik, dan insya Allah akan lebih baik lagi. Maafkan atas kekurangan ummi dalam memberi. 


Sayang semua sampai syurga. Insya Allah.

Monday, 22 March 2021 0 comments By: Naemah

HUTAN REKREASI SG. TEKALA: PIKNIK BERSAMA JIRAN

Cerita last week. First time kami sekeluarga ke Hutan Rekreasi Sg. Tekala yang jaraknya sekitar 20 km sahaja dari rumah. 


Tak pernah pun kami merancang untuk ke sini sebelum ni. Tambahan PKP, memang langsung tak pernah jejak tempat ni walaupun dekat. Tapi pernah la juga dengar pasal tempat perkelahan air terjun Sg. Tekala (yang agak famous juga). Hutan rekreasi ini lokasinya berdekatan dengan kawasan air terjun tersebut. 


Nak dijadikan cerita, jiran-jiran merancang untuk berkelah di hutan rekreasi ni. Siapa yang berkelapangan dialukan untuk datang. Pada mulanya hanya dalam sekitar 5 buah family yang confirm nak datang, dah dekat tarikhnya, suami cakap ada la dalam 10 family. Wow, ramai jugak tu. masing-masing bahagikan apa yang nak dibawa nanti. Di samping sedikit bayaran untuk kambing bakar, ayam bakar, dan seafood. Kami decide untuk bawa minuman.


Akhirnya pada hari yang dijanjikan (14/3/2021) bergeraklah kami sekeluarga ke hutan rekreasi Sg. Tekala seawal jam 8 pagi. Di samping air, suami sempat masakkan roti sosej untuk dibawa bersama. Sesampai kami di sana, dah ada 2 family yang dah sampai dulu. Kami bentangkan tikar, hidangkan makanan yang dibawa, dan yang lain menyusul memenuhi tapak perkelahan yang dah kami book dulu. Agak strategik di bawah pokok, dan berdekatan sungai yang menjadi tarikan anak-anak. 


Belum sempat menjamah breakfast, semua dah basah kuyup main air. Terpaksa panggil semua naik dulu untuk makan. Anak-anak ummi suapkan nasi lemak, di samping mereka menikmati makanan yang lain yang sedia terhidang. Sangat meriah dengan makanan yang dibawa. Ada nasi lemak, nuget dan sosej, samosa, keropok, dan lain-lain. Suamiku siapkan minuman sejuk oren sunquick di samping air mineral yang kami beli untuk dinikmati bersama. 


Suasana makin meriah dengan kehadiran jiran-jiran kami. Anak-anak paling seronok, dapat makan-makan, dapat mandi sungai, dan berjumpa kawan-kawan sebaya. Kami berkenal-kenalan serba sedikit dengan jiran (ada yang tak pernah bersua). Rupanya tak ramai kaum ibu yang menyertai. Meriah dengan kaum bapa dan anak-anak saja :) ketika anak-anak seronok bermain air, kaum bapa sibuk membakar kambing, ayam dan makanan laut yang dibawa. Anak-anak juga perlu diperhatikan selalu, walaupun keadaan sungai yang cetek airnya tak merisaukan sangat. 


Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri seronok bermain air. Dari mula sampai hingga tiba waktu untuk balik. Sekadar naik untuk makan, dan kembali bermain sungai lagi. Alhamdulillah airnya cetek dan jernih. Memang sesuai untuk bawa anak-abak kecil. Kaum ibu dan bapa juga tak melepaskan peluang ikut menemani anak-anak bermain air.


Dah mandi dan makan berkali-kali, akhirnya kami meninggalkan hutan rekreasi Sg.Tekala pada jam 1.30 petang. Anak-anak masih seronok bermain air. Waktu dirasakan terlalu cepat berjalan. Mereka akur bila dipanggil naik untuk salin pakaian dan balik ke rumah. Insya Allah kita akan datang lagi next time ya! Tempat ni akan jadi destinasi yang akan kita kunjungi lagi lepas ni. Lagipun tak jauh dari rumah. Cumanya perlu datang awal pagi untuk dapat tempat yang paling best, sebab lepas kita datang, makin ramai pengunjung yang datang. Semua siap dengan khemah masing-masing. Rupanya ramai yang suka datang ke sini. Dan kita, ini adalah untuk pertama kalinya :)


Anak-anak semua seronok dan ajak piknik lagi. Paling seronok sebab dapat main air dengan kawan-kawan. Tambahan pula dah lama tak berjalan. Pantai pun dah lama tak dituju. Sekali dibawa mandi sungai, tentulah seronok tak terkata. 


Insya Allah lain kali kita akan berkelah lagi kat sini. Atau try masuk ke kawasan air terjun yang tak jauh dari hutan rekreasi tadi. Kena tunggu hari cuti dan hari abi ada di rumah, barulah jadi :)


Terima kasih pada jiran-jiran yang merancang dan menjemput. Semoga akan terus harmoni sebagai jiran dan sebagai sahabat. Salam perkenalan semua!



Photos of the day;























Friday, 19 March 2021 0 comments By: Naemah

BERAKHIR PDPR BERMULA PERSEKOLAHAN




Pdpr Mussaab (20/1/2021-26/2/2021)

Bermula persekolahan pada 1/3/2021


Pdpr Anas (20/1/2021-5/3/2021)

Bermula persekolahan pada 8/3/2021)


Alhamdulillah ummi ‘melepaskan’ dulu amanah dan tanggungjawab sebagai ‘guru sementara’ sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran di rumah (pdpr) 2021. 


Anas dan Mussaab keduanya sudah kembali ke sekolah, tak lagi belajar di rumah secara online. Alhamdulillah, sudah kembali kepada asal seperti sebelum diuji dengan covid-19. Walaupun banyak yang berbeza, tetaplah bersyukur,  anak-anak dah tak terkurung di rumah semata. Walaupun agak merisaukan juga (sebab kes masih banyak), namun doa jualah yang menjadi senjata. Moga Allah sentiasa lindungi anak-anak. 


Rutin baru berubah lagi. Anak-anak perlu dikejutkan seawal yang mungkin untuk mandi, solat subuh, breakfast dan bersiap ke sekolah. Malam sebelumnya dah kena pastikan semua kelengkapan sekolah ready agar esoknya tak kelam kabut. Alhamdulillah setakat ni situasi masih terkawal :)


Buat permulaan ini, Alhamdulillah suami ada bersama uruskan penghantaran pergi dan balik anak sekolah. Pagi sekitar jam 6.50 pagi menghantar Anas ke SRAI Pekan Beranang, kemudian jam 7.30 hantar Miqdad ke Tadika Little Diamond dan Mussaab ke SRI Permata Nusaybah. Jam 11 pagi ambil Mussaab, dan jam 12 tengahari ambil Miqdad. Sekitar jam 12.50 hantar Mussaab pula ke Sekolah Kebangsaan Kampung Rinching, dan terus ambil Anas dari sekolahnya. Trip terakhir sekitar jam 5.50 petang ambil Mussaab dari SKKR. Begitulah setiap hari kecuali Jumaat (berbeza sikit waktu masuk dan balik sekolah). Itu semua adalah tugas suami, sementara dia masih di rumah. Bila dia dah kembali bekerja, sudah tentunya aku yang akan memikul semua tanggungjawab ini. Ya, agak mencabar juga. Buat masa ni, masih belum terfikir untuk sewa van sekolah. 


Anas dah menempuh persekolahan selama 2 minggu, Mussaab pula 3 minggu. Alhamdulillah, tak ada masalah, kehadiran penuh, penat tu biasa la :) seminggu lagi bersekolah, kemudian akan bercuti selama seminggu. Suami juga akan kembali bekerja minggu depan, mungkin untuk hari-hari terakhir sebelum bercuti, aku yang akan uruskan semua bersendirian. Risau pun ada. Perlu berpagian siapkan anak-anak sekaligus dan hantar ke sekolah ‘satu jalan’ semua. Pada Allah jua tempat bergantung. Insya Allah dah bersedia untuk new journey, new adventure. Semoga akan baik-baiklah semua, dengan izinNya.


Didoakan covid-19 akan berakhir juga. Lenyap dari muka bumi ini, dan kita semua akan ‘bebas’ kembali setelah lebih setahun hidup yang bagaikan terkurung. Semoga anak-anak akan dapat meneruskan persekolahan mereka dengan baik, tiada lagi pdpr, belajar dan berguru seperti sebelumnya. Insya Allah







Friday, 5 March 2021 0 comments By: Naemah

ABDULLAH MUSSAAB: MINGGU PERTAMA DI SKKR DAN SRIPN


Pengajaran dan pembelajaran di rumah (pdpr) Mussaab: 20/1/2021-26/2/2021


Sekolah mula dibuka pada 1/3/2021


Seminggu pertama sessi persekolahan Mussaab (tahun 1) sudah pun berakhir. Alhamdulillah kehadiran Mussaab penuh, tak ada sebarang  masalah dan keuzuran sepanjang seminggu bersekolah. 


Mussaab bersekolah 2 sessi, paginya di SRI Permata Nusaybah (8 pagi-11 pagi), dan petangnya di SK Kampung Rinching (1 petang-6 petang). Di SRIPN untuk kelas KAFA dan SKKR untuk sekolah harian biasa. Berbeza dengan Anas (SRAI Pekan Beranang) yang perlu menghadiri satu sessi sahaja. 


Untuk minggu pertama ini, Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Mussaab memang tak ada masalah untuk ke sekolah. Cuma bab nak bersiap, kalau tak disuruh dan diperhatikan, memang lambatlah jawabnya nak masuk sekolah. 


Selama seminggu ini, Mussaab dah mula belajar di sekolah. Di SKKR masih berada di dalam minggu transisi dan belajar menggunakan buku transisi yang digunakan selama tempoh sebulan pdpr. Maknanya tak perlu bawa buku teks ke sekolah, hanya buku transisi dan alat tulis yang secukupnya. 


Bab makan pula, di SRIPN yurannya dah termasuk makan, manakala di SKKR ibubapa diberi pilihan untuk bawa bekal dari rumah atau menempah makanan dari pihak kantin sekolah. Untuk minggu pertama ini Mussaab makan makanan yang ditempah (bayaran dibuat secara online). Di samping itu bekalkan juga roti dan air kosong sebagai tambahan.


Alhamdulillah tiada masalah untuk minggu pertama ini. Abi ada di rumah, makanya ummi taklah kelam kabut sangat nak uruskan hal sekolah Mussaab (dan Miqdad). Minggu depan Anas pula dah mula bersekolah, mungkin akan jadi lebih mencabar. Semoga Allah permudahkan. Buat masa sekarang abi masih belum dipanggil untuk ke laut, namun ummi tetap perlu bersedia sebab bila-bila masa saja abi akan kembali bekerja. 


Begitulah serba ringkas tentang minggu pertama persekolahan Mussaab. Agak penat juga, bersekolah 2 sessi, dari pagi hingga ke petang hari. Namun insya Allah lama-kelamaan Mussaab akan biasa dengan rutin seperti ini. Memang agak berbeza dengan Anas, tapi nak buat macam mana, insya Allah ini yang terbaik untuk Mussaab. Juga menjadi rutin baru untuk ummi dan abi, siapkan anak-anak waktu pagi, hantar dan ambil anak sekolah (banyak trip tahun ni). Tahun ni juga tak ambil van sekolah untuk Anas dan Mussaab sebab risaukan kes covid-19 yang masih tinggi angkanya. Mungkin bila kes dah menurun dan tak merisaukan lagi, akan pertimbangkan untuk Anas dan Mussaab naik van ke sekolah. 


Oh ya, Mussaab menjalani ujian penilaian untuk tentukan kedudukan kelas pada 4/3/2021. Tunggulah apa keputusannya. Insya Allah yang terbaik saja untuk Mussaab. Next week pula akan terima suntikan vaksin dan perlu hadir ke KK Semenyih pada waktu yang telah dijadualkan. 


Ok sehingga di sini saja catatan minggu pertama Mussaab bersekolah. Next week cabaran baru akan bermula. Anas juga akan masuk sekolah, pagi akan lebih meriah (suara ummi abi yang tak henti ingatkan anak-anak bersiap dan bermacam pesan lagi). Kalau abi pula tak ada, akan lebih mencabar. Namun tetaplah pergantungan kita hanya pada Allah. Biar bagaimana mencabar, insya Allah akan dapat diharungi dengan pertolonganNya. 


Semoga minggu depan akan lebih memberikan keseronokan buat Mussaab. Semoga lebih serasi dengan sekolah baru,  dapat kawan-kawan baru, dan seronok belajar bersama-sama.


Moga Allah terangi hati Mussaab, dan semoga seronok menuntut ilmu dan menjadi hamba yang mencintai ilmu. Insya Allah. 


Selangkah lagi ke hadapan. Semoga akan maju dan berjaya anakku!




Kenangan minggu pertama persekolahan Mussaab;