Tuesday, 12 August 2025 0 comments By: Naemah

RABU: ADA KISAH YANG BERBEZA


 Hari Rabu. Hari ni abi keluar jam 4 pagi ke airport sebab ada urusan kerja di Singapura. Malam nanti akan sampai balik ke rumah. Dan hari ni ummi perlu ambil tugas hantar dan ambil anak sekolah macam biasa.

Hari Rabu adalah hari yang sedikit berbeza berbanding hari sekolah yang lain. Sebab, hari Rabu Anas dan Mussaab terlibat dengan kokurikulum. Anas akan keluar pagi (berbasikal) seperti yang lain, dan akan stay sampai waktu sekolah sessi petang. Petang pukul 7 baru sampai rumah balik. 


Mussaab pula, sessi pagi akan bersambung dengan koko, dan tamat pada jam 3 petang. Perlu ambil dan hantar ke sekolah agama dan ambil semula jam 6.30 petang (ada kelas tambahan UPKK). 


Suri waktu balik biasa, 12 tengahari dan Miqdad pula 3.30 petang. 


Hari Rabu. Apa yang terlintas di hati ummi hari ni? Nak rehat lebih. Tak nak masak tengahari (sebab ada Nuha dan Suri je tengahari ni), tak nak basuh baju (semalam dah 2 round cucian), nak settle kemas ruang luar ni je. Tak masak, takdelah kena cuci pinggan mangkuk, periuk kuali semua. Tak membasuh, tak perlu nak menjemur dan angkat kain semua. Kan dapat jimat banyak masa. 


Tapi takdir Allah siapalah yang boleh jangkakan? Hari ni tak jadi seperti yang dimahukan. Sebaik bersedia nak hantar Mussaab dan Miqdad sekolah, dah angkut yang kecil (yang masih lena) masuk kereta, dah kejut si kakak naik kereta, dah keluar pagar rumah dah, tiba-tiba rasa lain macam dengan kereta. Rupanya tayar belakang bocor. Ya Allah, ujian di pagi hari. Masuk semula ke dalam pagar rumah. Mussaab dan Miqdad tak bersekolah la jawabnya hari ni (Anas dah bergerak ke sekolah).  


Suri pula ummi minta tolong mak Aireen (classmate Suri) untuk tumpangkan Suri pergi dan balik. Alhamdulillah Suri dapat ke sekolah (ayah Aireen yang bawa).


Hmm.. kini ada Mussaab dan Miqdad, juga Nuha di rumah. Masuk dapur, masak nasi goreng. Pagi tadi dah makan fries sikit sorang, mana nak kenyangnya. Terpaksalah masak, ummi pun nak makan (cadangnya tadi nak beli bungkus je lepas hantar anak-anak sekolah). Dan tengahari tentunya kena masak lagi. Nak keluar beli pun tak boleh. Nak order food panda tak murah ya! Bukan untuk seorang dua.


Dan petang, tentunya perlu ada hidangan lagi. Simple pun, tetaplah kena masak. Spend masa kat dapur jugalah hari ni ye! Takpelah, at least tak perlu keluar ambil dan hantar anak sekolah (walaupun sangat tak seronok anak tak pergi sekolah dan tak belajar macam orang lain). Nak buat macamana, inilah takdir hari ini.


Ya Allah, sungguh aku percaya ujian dariMu ini penuh hikmah dan ada baiknya buat kami. Pagi ni hati tak gembira dengan apa yang terjadi, tapi cuba bertenang dan bersabar. Kecil saja ujian ini kan? Setakat anak tak dapat ke sekolah sehari ni saja. Abi pergi pun tak lama, dia balik nanti akan selesai juga masalah kita. Esok hari abi ada, boleh hantar anak sekolah macam biasa.


Dan syukur ya Allah, ia terjadi di depan rumah saja. Bukan di tengah jalan, yang lagi membuat diri ini buntu. Dan syukur juga, ada yang sudi tumpangkan Suri ke sekolah. Kebetulan pula Suri ada latihan senamrobik (untuk pertandingan) minggu ni. Alhamdulillah, hari ni tak skip walaupun ummi tak dapat hantar. 


Sesekali melalui hari yang tak seperti biasa. Sesekali mendepani ujian yang berbeza. Menambah lagi rencah dalam kehidupan yang tak menjanjikan sempurna ini. Ujian dariNya, dan tempat pergantungan juga hanya PadaNya. Ujian ini terlalu kecil berbanding rahmatNya yang  tak terhitung banyak. Bukankah begitu? 

ISNIN YANG TERUJI


Bermula pagi Isnin-permulaan minggu ini. Pagi ni hanya Miqdad yang bersekolah. Mussaab cuti peristiwa, dan Anas bersekolah sessi petang. Tambahan Isnin, dan seorang pula tu, slownya lah gerak gerinya dari bangun mandi sampai siap ke sekolah. Dari abinya bersabar banyak, sampai abinya hilang sabar. Sampai sekolah pun dah lewat dan kena tulis nama lah jawabnya. 


Di rumah, sinki tersumbat sejak 2 hari lepas. Sebenarnya dah beberapa kali terjadi dah dalam tahun ni. Dan selalunya tak ambil masa lama untuk suami settlekan. Tapi kali ni lain macam pulak tersumbatnya. Air tak nak turun langsung. Dapur dah jadi kotor berselut dan berbau. Masak dalam keadaan lantai dapur basah dan kotor. Pulak tu tak boleh nak cepat-cepat buat kerja sebab lantai licin. Ya Allah, stressnya. Tapi Alhamdulillah lunch dan dinner terhidang lengkap untuk seisi keluarga.


Dan takdir juga, hari ini suami sakit belakang (mungkin sebab main bola pada hari sebelumnya). Sakit sangat nampak gayanya tu. Berkerut muka bila bergerak. Tambah pula dengan puasa, bertambah la kelihatan lemahnya. 


Dugaan petang harinya pula, tayar Ativa tiba-tiba bocor. Dengan sinki yang tak settle lagi tu, dengan penat puasa dan sakit belakang, kena settle juga hal tayar kereta tu. 


Dan menjelang senja pula, Nuha meragam entah apa yang tak kena. Tak pernahnya dia meragam macam ni. Nangis tak henti. Bagi apapun tak nak. Makan minum pun tolak. Menyusu pun tak nak. Nak nangis je! Mungkin sebab hari ni abi tak layan dia sangat. Mungkin sebab penat dan mengantuk. Entahlah.. yang pasti inilah kali pertama Nuha jadi tantrum teruk macam ni.


Malam hari, dah tak hirau dah keadaan rumah yang huru-hara. Kotornya bukan saja di dapur, malah di luar juga bersepah kertas dan segala macam di lantai. Pinggan, cawan, kuali, bersusun tunggu masa nak dibasuh. Macamana nak basuh, sinki tak boleh pakai. Masak tadi pun dok mengangkut air kat toilet. 


Jam 10 malam, bila semua dah lena, keadaan kembali tenang dan lapang, tawakkal dah dengan keadaan, malas nak fikir banyak. Suami masuk bilik dan maklumkan masalah sinki dah selesai. Rupanya tadi balik dari surau dia usahakan juga bagi settle, masuk dapur dah bersih semua. Sinki pun dah clear (tapi masih banyak pinggan mangkuk di meja makan). Alhamdulillah, terima kasih ya Allah. Terima kasih suamiku. Yang tadinya berat terasa ringan amat. Dapur dah boleh pakai macam biasa. Dapatlah tidur dengan tenang.


Pagi Selasa lebih tenang dan lapang. Anak-anak boleh siap awal, takde perangai macam-macam dah. 


Bila semua ke sekolah, ambil masa settlekan hal di dapur dan di ruang makan dan ruang tamu. Rupa dan keadaan semalam yang teruk dan huru hara, pagi ni dah bertukar wajah, kemas dan rapi kembali. Alhamdulillah. Inilah rumah. 


Terima kasih ya Allah. Kau yang menghadirkan ujian, dan Kau jua yang menunjukkan jalan keluar dari segala kesulitan. Hanya perlu doa, sabar, usaha dan tawakkal sesungguhnya. 


Bukankah begitu?


 

Sunday, 10 August 2025 0 comments By: Naemah

TERUS MEMBURU IMPIAN

 


Setiap insan mengimpikan keluarga sempurna. Suami yang memimpin penuh tanggungjawab dan kasih sayang. Isteri yang taat, lembut bicara, penyejuk mata. Anak-anak yang patuh, mendengar kata, menghibur hati.

Rumah yang dipenuhi tenang, sejahtera, dan damai. Alangkah bahagianya.


Namun realiti tidak selalu secantik impian. Ujian dan cabaran hidup datang silih berganti. Suami yang penyayang boleh bertukar baran, suka berdiam dan menjauh, dingin melayan anak dan isteri, seakan segalanya serba tak kena.


Isteri yang setia memendam, menyimpan luka di hati tanpa suara. Kadang marah meletus, kadang rasa ikhlas bagai menghakis sedikit demi sedikit.


Anak-anak pula membesar dengan ragam dan kerenah yang menguji kesabaran saban hari, hingga watak-watak indah yang diimpi bagai hilang dalam kabus tebal.


Rumahtangga yang dulunya diharap menjadi syurga dunia terasa jauh dari bayangan itu. Hari-hari berlalu dalam struggle yang melemaskan, tak mampu lagi menimbang dengan akal waras, dan tak tahu mahu memulakan semula dari mana.


Namun di celah retak dan luka ini, masih ada doa yang bergantung di langit. Masih ada harapan, bahawa setiap jiwa yang rapuh boleh dipulihkan, jika cinta itu kembali berpaut pada-Nya.


Setiap seorang-suami, isteri dan anak-anak-perlu menyedari dan mengambil peranan. Setiap kita perlu bermuhasabah, dan berusaha ke arah kebaikan bersama. Tak ada kehidupan yang sempurna dan hidup tenang bahagia sentiasa di dunia. Semua teruji. Tak ada yang terkecuali. Tak perlu kita membandingkan kehidupan ini dengan sesiapapun. Perhatikan kehidupan sendiri, dan berusaha memperbetulkan mana yang dirasakan silap dan menyimpang dari yang sepatutnya. 


Selamat berjuang menuju bahagia sejati. 


OGOS: MASIH SAMA


 Ogos. 10 hari berlalu. Pun tiada cerita luar biasa untuk ditulis di sini. Sekadar menjalani rutin yang sama setiap hari. 

Alhamdulillah abi ada di sisi, dah  seminggu balik dari laut. Dan masih ada cuti lagi untuk teruskan hari bersama, ringankan beban kerja di rumah, melayan si kecil yang asyik nak mengekor abi tu, mengangkut anak-anak pergi dan balik sekolah, dan cukupkan kepeluan rumah yang dah menyusut. Alhamdulillah. 

Sabtu (9/8/2025) hari temasya sukan SKKR. Mussaab terlibat dengan perbarisan (tapi tak masuk acara). Datang jugalah tengok Mussaab buat perbarisan. Miqdad pula setiap Sabtu training bola sepak untuk perlawanan minggu depan (wakil seksyen 6 Bandar Rinching 8-10 tahun). 

Ahad (10/8/2025) pula, hari sukan SRIPN. Mussaab tak pergi sebab katanya tak main apa-apa. Kebetulan pula hari ni nak hantar Kak Zawiah (anak saudara abi yang datang ke rumah) ke Shah Alam, maka decide terus ke Shah Alam pagi ni, hantar Kak Zawiah dan balik semula ke Semenyih. 

Ahad dah hampir menutup hari. Esok Isnin, akan kembali semula ke sekolah. Ulangi lagi rutin yang sama. Cuma Mussaab masih bercuti esok (cuti peristiwa SKKR dan SRIPN). Boleh la rehat sehari lagi.

Alhamdulillah untuk permulaan Ogos ini yang meskipun biasa, tetap lancar segala urusan. Dikurniakan kesihatan, dan dicukupkan rezeki. Dapat meneruskan hari ke hari seterusnya dengan baik, dan sudah tentu pada setiap harinya ada ujian dan cabaran yang tersendiri yang perlu ditempuh. 

Tetap bersyukur pada Allah yang masih memberi peluang untuk kita bermuhasabah dan memperbaiki diri pada setiap harinya. Semoga peluang yang ada ini tidak kita sia-siakan. Insya Allah.