Thursday, 25 October 2018 0 comments By: Naemah

MERANCANG SETIAP KEHAMILAN

Alhamdulillah sudah tahun ke-8 kami di alam rumahtangga. Alhamdulillah dikurniakan kehidupan yang sangat baik oleh Allah bersama dengan kehadiran 3 cahaya mata yang sihat, bijak dan kian membesar.


Tergerak hati untuk menulis tentang family planning/perancangan keluarga. Tentunya term itu sudah biasa didengar dan sering diperbincangkan kan? Ianya lebih kepada perancangan kehamilan/kelahiran anak dalam sesebuah keluarga.


Setiap kali pregnant, kita pasti dinasihatkan tentang perancangan keluarga dan kaedahnya oleh misi dan doktor kan? Selalu sangat. Kita juga selalu sangat dipesankan agar menjarakkan kelahiran pada tempoh yang sepatutnya. Bahkan banyak kaedah perancangan kehamilan disediakan di semua klinik dan hospital kerajaan. Kita pilih saja kaedah mana yang kita mahu.


Menyentuh tentang topik ini, aku bersetuju untuk kita merancang setiap kehamilan kita. Sudah pastinya perlu kepada persetujuan bersama suami dan isteri dan perlu kepada kerjasama berdua juga. Ada pasangan yang tak kisah anak ramai dan jarak umur rapat, ada pasangan pula yang memilih untuk menjarakkan umur anak dalam tempoh tertentu atas alasan tertentu. Terpulanglah. Namun biarlah setiap kelahiran itu menjadi kelahiran yang dinanti dan diterima dengan penuh syukur dan bahagia. Bukan kehamilan ‘terkejut’ atau tak dijangka dan diharap. Nau’zubillah.


Alhamdulillah, aku bersyukur kerana setiap kehamilanku boleh aku katakan sebagai kehamilan yang dirancang, dan yang dinanti (5 kehamilan termasuk 2 keguguran). 


Bila kita katakan ‘merancang’ tidaklah menjadi kewajipan pada kita untuk mengambil ubatan dan mengikut segala prosedur yang disediakan oleh pihak hospital/klinik. Merancang sendiri pun boleh, tapi lebih ‘berisiko’ lah kan :D 

(Tapi ada doktor cakap merancang sendiri tu tak termasuk dalam kaedah ‘merancang keluarga’ D)


Setakat ini kami pun masih dalam kategori pasangan yang ‘merancang sendiri’ kehamilan. Tak mengambil ubat/cucuk atau ikut sebarang prosedur di klinik, sebab masih belum tergerak hati nak ambil. Dalam pada merancang sendiri, kena perlu bersedia andai takdirNya mengandung lagi walau bukan dalam tempoh yang sebenarnya kita nak mengandung lagi :) yes, ajar hati untuk menerimanya dengan tenang dan syukur, sebagaimana pengalaman mengandung sebelum ini juga. 


Nasihatku pada yang benar-benar ingin merancang kehamilan, jika tidak mahu mengandung ‘tiba-tiba’ dalam keadaan diri tidak ready mental dan fizikal, adalah lebih baik merancang kehamilan dengan cara yang lebih selamat, iaitu merujuk kepada doktor/nurse dan memilih salah satu kaedah perancangan keluarga yang insya Allah selamat untuk kita.


Kenapa perlu merancang? Pastinya atas sebab-sebab yang tertentu, antaranya mengelakkan rasa ‘terkejut’ beginilah. Anak baru 4 bulan dah mengandung lagi. Ibu belum betul-betul sembuh lagi. Belum hilang penat mengandung dan sakit melahirkan, dah kena hadapinya sekali lagi. Kesian si ibu, dan kesian lagi si anak, kalau dia tahu kehadirannya sebenarnya bukan yang dinanti-nantikan seperti kakak/abangnya (namun yang lebih utama apa niat kita, pastikan bukan atas tujuan yang bersalahan dengan syari’e)


Tapi, ada saja yang ok dengan jarak usia anak yang rapat, ada saja yang memang mahukan anak yang ramai. Dan sentiasa bersedia, sentiasa gembira dan bersyukur dengan setiap kehamilan dan kelahiran. Dapat pula suami yang rajin membantu dan sangat menjaga dan memahami, dapat memberi perhatian dan masa berkualiti pada setiap anak tak terkecuali seorang pun, dan ditambah lagi dengan tahap kesihatan ibu yang baik, maka tak ada masalah untuk pasangan ini tidak terlalu memikirkan tentang ‘perancangan keluarga’. Bila setiap kehamilan itu menjadi berita gembira buat suami dan isteri, apa lagi yang dikhuatirkan. 


Yang kita tidak mahu adalah hal yang sebaliknya. Merancang kehamilan bukan untuk menyekat rezeki, tapi untuk mengatur agar setiap rezeki yang hadir diterima dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Insya Allah :)










Anas, Mussaab dan Miqdad 

Kalian adalah kurniaan Allah yang sentiasa ummi dan abi nantikan dalam hidup ini


Love you 



DIARI ANAKKU: 251018





Hari ini abi berpagian seperti biasa menuju ke airport untuk kembali bekerja selepas 3 hari berada di rumah. Sekejap saja di rumah, kerja dah memanggil. Tak apalah, at least abi balik juga walau sekejap :)


Miqdad bangun paling awal, sempat bye bye abi yang naik teksi pagi ni. Alhamdulillah Miqdad tak menangis nak mengikut. Anas dan Mussaab bangun selepas abi dah bertolak pergi. Siap mandi dan berpakaian, menikmati breakfast dan menonton tv seketika, kemudian ke sekolah. Pagi ni pun dah macam-macam ragam nak kena handle. Hai lah anak.


Lepas hantar Anas dan Mussaab, tinggal Miqdad keseorangan seperti biasa di rumah. Miqdad main sekejap di luar, kemudian main cars, ummi buatkan car track untuk Miqdad, biar Miqdad leka main seketika sementara ummi siapkan kerja rumah. Miqdad kemudian minta nak tengok video dinosaur. Ummi buka video ‘blippi’, leka seketika menonton video sambil main. 


Jam 11 pagi, buka buku aktiviti sekejap, sambil buat aktiviti di buku, sambil menonton video. Selesai ummi memasak, siap untuk ambil Anas dan Mussaab di sekolah. Balik rumah dan makan tengahari bersama. Anas dan Mussaab excited bermain car track yang ummi buat untuk Miqdad tadi. Siap ada tambahan background lagi. Anas, Mussaab dan Miqdad main sama-sama. Lepas main ambil pen dan kertas, buat aktiviti sendiri. Anas buka tv dan asyik menonton pula.


Jam 1.30, ummi naik ke atas bersama Miqdad. Miqdad tidur bersama ummi. Mussaab naik dan turun beberapa kali. Tak lepas mainannya di tangan. Dah bosan sangat, membebel dan menyanyi sorang-sorang. Diajaknya ummi turun ke bawah berkali-kali. Dikejutnya pula Miqdad yang tengah lena. Akhirnya Miqdad bangun juga. Jam 4, turun ke bawah. Anas seperti biasa, sambil menonton dan melukis dari tadi lagi. 


Ummi masak roti paratha. Anas dan Mussaab makan. Miqdad masih tiada mood, berbaring saja. Makan pun tak nak. Lepas makan roti paratha makan nasi pula. Baru pukul 5 petang, semua dah kelaparan. Miqdad masih menolak untuk makan. Dah siap abang-abang makan, Miqdad makan banana yang tinggal 2 biji di meja. Tak cukup, menangis nak lagi. Ummi ambil pisang yang difrozen (stok buat cekodok), defrost dan suapkan Miqdad. Habis sebiji pula. Lapar juga dia, tapi tak nak makan nasi.


Lepas makan menonton tv lagi. Mussaab pula melukis, sambil menonton. ‘Ditegur’ abi yang sedang memerhati dari cctv. Miqdad dah ceria , dah banyak cakap. Masing-masing melayan video ‘zombi’ pilihan Anas. Hai, tak jemu-jemu lagi dengan zombi. Adik-adik pun ikut melayan juga.


Jam 6 petang, layan kuiz di YouTube sama-sama. Anas sambil jawab soalan sambil mewarna. Main kuiz sampai jam 6.30. Lepas tu semua naik mandi dan siap berpakaian tidur. Sempat ummi kemas di ruang tamu dan kemas pakaian di atas. Mussaab sibuk melukis, Miqdad bermain tractor, Anas pula ambil Hp ummi dan asyik menatap gambar di galeri. 


Kemudian seperti biasa Mussaab membaca iqra’ dan ayat-ayat lazim, Anas membaca al-Quran dan hafazan. Malam ini sambung tafsir surah atTakwir hingga habis. Lepas tu sambung melukis dan mewarna. Miqdad minta ummi lukiskan aeroplane. Dah siap, ajak tidur. Anas dan Mussaab masih leka mewarna. Miqdad lena bersama lukisan tadi. Kemudian Anas dan Mussaab pula masuk dan siap untuk tidur. 


Hampir jam 9.30 malam, semuanya sudah lena dibuai mimpi. Alhamdulillah. Suasana kembali tenang dan sepi. Semoga bermimpi indah semuanya. Semoga hari esok menjanjikan yang lebih baik buat Anas, Mussaab, Miqdad dan kita semua. Semoga abi juga baik-baik dan dipermudahkan urusan di sana. Semoga kembali bertemu dan sentiasa bahagia bersama. Insya Allah. Ummi sayang semua.

Wednesday, 24 October 2018 0 comments By: Naemah

MASIH INGAT LAGI

Masih ingat lagi 

Sebelum bernikah sudah maklum ‘bakal suami’ kerja di laut dan pasti akan berpisah berbulan lamanya atas faktor kerjanya yang memang begitu. Tapi ketika itu rasa ok saja, tak akan ada masalah bertemu dan berpisah. Seakan faham lumrah menjadi isteri pelaut (mungkin kerana belum kenal dan belum mencintai)


Masih ingat lagi

Tak sampai sebulan bernikah, suami sudah dipanggil bertugas. Sekarang baru rasa bagaimana ‘perit’ sebuah perpisahan. Tambahan kemudian dikhabarkan mengandung, dan kemudian pula ditakdirkan keguguran. Melalui semuanya tanpa suami di sisi. Menanggung rasa yang tak terluah oleh kata, pada sesiapapun.


Masih ingat lagi

Selepas cerita sedih yang dilalui sekelip mata itu, diberi peluang untuk ‘belayar’ di samudera bersama yang tercinta. ‘Honeymoon’ 2 bulan di lautan luas. Allah memberi peluang untuk memahami kerjayanya, dan mengenal dirinya dengan lebih dekat (sebab tak pernah kenal sebelum ni, lepas nikah tak lama dah perlu berpisah)bayangkan! 


Masih ingat lagi

Selepas kelahiran anak sulung, suami mengucapkan selamat tinggal pada dunia pelayaran. Saat benar-benar terasa dekat, bila setiap hari bertemu muka. Suami isteri yang tak pernah berpisah lama takkan rasa perasaan seperti ini (hakikatnya tak sempat berpisah lama sangat pun, mungkin Allah tahu ku tak mampu nak harung yang lebih dari itu)


Masih ingat lagi 

Selepas anak kedua berusia setahun, suami memilih kerjaya yang memerlukan kami ‘berpisah’ lagi. Cuma bukan kembali ke dunia pelayaran. Walau kerap pergi, perginya tak lama. Hilang sebentar dan muncul lagi. Cuma setiap kali dia mahu pergi, terasa berat nak lepaskan. Rindu sudah tentulah :) 


Kini dah bertahun, suami masih kekal dengan kerjaya yang ini. Dari anak dua, sekarang dah tiga. Dari berat nak melepaskan dia pergi setiap kalinya, kini dah tenang dan redha sepenuhnya. Melalui hari yang ‘padat dan sibuk’ dengan urusan rumah dan anak-anak, masa terasa berlalu cepat. Allah yakinkan hati bahawa dia pergi tak lama, dia pergi dan pasti kembali. Insya Allah.


Entah tidak pasti pada takdir yang mendatang. Bagaimana aturan Tuhan buat kita. Tak siapa dambakan perpisahan. Tak siapa mahu jauh dengan yang tersayang. Namun Allah sajalah yang mengatur segala. Jauh atau dekat, Allah tahu mana yang lebih baik. Hati bersedialah untuk pasrah dan yakin pada takdir Allah. 


Insya Allah, walau apa takdirNya untuk kita di masa akan datang, itulah yang terbaik dan akan membuat hidup kita lebih baik berbanding hari ini. Insya Allah :)





7 years.10 months.14 days.

And still counting

Till jannah 

Insya Allah


Sunday, 21 October 2018 0 comments By: Naemah

K. KINABALU HARI TERAKHIR: DESTINASI PILIHAN

Sambungan yang sebelum ini:


K. KINABALU HARI KETIGA: DESTINASI PILIHAN 2



Hari keempat/hari terakhir (09/10/18)


Usai solat subuh kami ke halaman menikmati udara pagi di Kundasang. Tak jemu memandang Gunung Kinabalu yang terhidang indah di depan mata. Ada ketikanya ia jelas dan terang kelihatan, ada ketikanya pula ia terlindung oleh kabus tebal yang berarak datang dan pergi. 


Kami ke Pekan Kundasang untuk breakfast di luar. Tapi malangnya tak banyak kedai yang berniaga pada pagi ini. Kami hanya membeli nasi lemak di sebuah gerai dan balik makan di homestay. Selepas menikmati sarapan pagi, kami siap berkemas dan bersedia untuk check out dari homestay ini untuk menuju ke destinasi pilihan yang seterusnya, dan langsung balik ke Kota Kinabalu untuk penerbangan balik ke KLIA pada petang harinya.


Destinasi pilihan yang pertama pada hari ini ialah Desa Dairy Farm



Gambar kenang-kenangan di D’Permai View Homestay 























Desa Dairy Farm


Tempat ini sememangnya terkenal di sini di kalangan penduduk setempat dan juga pelancong dari dalam dan luar negara. Oleh kerana lokasinya yang terletak di kaki gunung Kinabalu, sudah tentu ia menjanjikan pemandangan yang cantik dan mempesonakan. 


Tarikan di sini adalah pada ladang ternakan lembunya, yang luas, saujana mata memandang, ditambah lagi dengan pemandangan gunung yang memukau, memang terasa asyik sekali berada di sini. 


Di sini juga pengunjung boleh mendapatkan susu lembu yang segar dan segala hasil yang berasaskan susu seperti ais krim dan yogurt.


Di samping itu, pengunjung berpeluang untuk mendekati lembu peliharaan di sini dan berpeluang untuk menyuap sendiri susu dan rumput pada anak lembu di ruang yang telah dikhaskan. Selain itu, pengunjung juga boleh melihat bagaimana susu lembu diproses di kilang yang terdapat di sini. 


Kami berada di sini lebih kurang satu jam. Kami membeli susu dan makanan yang dijual di sini untuk dinikmati bersama. Tak lupa membeli sedikit souvenir untuk dibawa pulang. Anak-anak pula berpeluang untuk menyuapkan susu pada anak lembu dengan sedikit bayaran, dan selepas itu kami beransur meninggalkan Desa Dairy Farm untuk menuju ke destinasi seterusnya iaitu Kundasang War Memorial.

























Kundasang War Memorial 


Kundasang War Memorial adalah sebuah kubu peringatan yang berlokasi di Pekan Kundasang, tak jauh dari homestay kami menginap. Tugu ini dibina khas memperingati tawanan perang yang terdiri daripada askar British dan Australia yang terkorban di Sandakan dan di dalam perjalanan mereka ke Ranau. Terkenal dengan kisah ‘death marches’, catatan detailnya boleh kita baca di ruang khas di tugu peringatan ini. 


Memorial ini dibina khas dan dilengkapi dengan taman bercirikan inggeris dan tempatan, juga dipenuhi dengan pokok-pokok tertentu dan juga bunga-bunga yang cantik dan berwarna-warni. Di sini ada cafe kecil yang menjual makanan dan souvenir dan juga bilik teater untuk menayangkan kisah sejarah di sini. Pendek kata, buat peminat sejarah tempatan atau dunia, tidak sah kiranya anda tidak menjejakkan kaki ke sini jika berkunjung ke Kota Kinabalu atau Kundasang 


Kami berada di sini hampir satu jam juga. Melawat di sekitar tugu peringatan, membaca serba sedikit tentang sejarah, dan mendengar cerita sejarah dari suamiku yang gigih bercerita pada anak dan anak saudara kami yang kelihatannya sangat berminat :)


Setelah berpuas hati berada di situ, kami beransur meninggalkan Tugu Peringatan ini dan terus menghala ke Kota Kinabalu. Dalam kesempatan yang masih ada, kami singgah pula di Rumah Terbalik Tamparuli buat pertama kalinya


















Rumah Terbalik dan Muzium 3D Tamparuli 


Rumah Terbalik juga sangat terkenal di sini. Ia tersenarai di dalam Malaysia Book of Record sebagai rumah terbalik yang pertama di Malaysia. 


Di sini kita berpeluang melihat sendiri rupa bentuk rumah traditional Sabah, tetapi di dalam kedudukan terbalik. Mereka juga menyediakan jurucakap yang akan memberi keterangan tentang rumah terbalik ini dengan lebih jelas. 


Yang terbaru ialah Muzium 3D, di mana kita berpeluang untuk bergambar denagn bermacam pilihan latar belakang yang dilihat seperti ‘real’.


Namun kami hanya memilih untuk masuk ke rumah terbalik sahaja kali ini, kerana Muzium 3D boleh saja dijumpai di tempat lain seperti di Cameron Highland dan Melaka. Cuma pasti di sini latar belakang gambarnya mungkin lebih bercirikan suasana dan pemandangan negeri Sabah :) 


Di sini juga terdapat kedai yang menjual souvenir seperti t-shirt, mug, poscard, dan banyak lagi. Di sini juga kita boleh membeli minuman, ais krim dan kudap-kudapan. 


Kami berada di sini sehingga masuknya waktu zohor. Kami menuju pula ke Pasar Kraftangan untuk ke kedua untuk membeli sedikit lagi ole-ole untuk dibawa pulang. Selepas itu kami segera ke airport, serahkan kereta sewa di sini, solat zohor, check in flight, makan petang dan menaiki penerbangan balik jam 5.20 petang. Kami tiba di KLIA hampir jam 8 malam. 


Kak za dan anak-anak menyambung penerbangan ke Kota Bharu, sementara kami menaiki Klia Transit menuju ke stesen Salak Tinggi, menaiki kereta dan langsung balik ke Semenyih. Alhamdulillah. Sebuah perjalanan yang dipermudahkan oleh Allah. 


(Tidak dibenarkan mengambil gambar di dalam rumah terbalik. Bergambar di luar sahaja )

















Di KKIA- masa untuk pulang









Penerbangan terakhir Miqdad sebelum usia 2 tahun- lepas ni kadar tambang dah macam orang lain juga la :)



Sekian catatan musafir ke Kota Kinabalu dan Kundasang :)





Friday, 19 October 2018 0 comments By: Naemah

K. KINABALU HARI KETIGA: DESTINASI PILIHAN 2

Masih di hari ketiga (8/10/18)


Sambungan dari catatan lepas: 

K.KINABALU HARI KETIGA: DESTINASI PILIHAN 1


Selepas meninggalkan semua beg pakaian dan keperluan di homestay, kami sekali lagi keluar untuk ke tempat menarik di sekitar Kundasang pula. Kami meninggalkan homestay hampir jam 12 tengahari menuju ke Poring Hot Spring. Sebelum itu kami singgah di masjid Kg Lohan (kalau tak silap namanya), dan terus ke Poring Hot Spring yang mengambil masa lebih kurang 1 jam dari homestay. 




Poring Hot Spring


Poring Hot Spring terkenal di sini, di kalangan penduduk setempat. Di sini dapat kita bersantai di tempat yang telah dibina khas untuk pengunjung bersantai sambil merendam kaki atau berendam di kolam air panas. Di samping itu, ada juga kolam tertutup (bukan kolam air panas) yang dikhaskan untuk pengunjung bermandi-manda, terutamanya anak-anak kecil.


Di samping kolam air panas, ada banyak lagi tarikan lain di sini seperti Taman Rama-Rama, pusat pemuliharaan orkid, taman tropika, tapak bunga rafflesia, dan banyak lagi. Sudah tentu ia memerlukan masa yang lebih lama untuk menjelajah kesemua tempat di sini. 


Kami memilih untuk berada di sekitar kolam air panas dan melepaskan anak-anak bermain di kolam yang disediakan. Kami berada di sini lebih kurang satu jam setengah. Kemudian terus meninggalkan tempat ini dan menuju pula ke Spa ikan Tagal Kg. Moroli yang mengambil masa hampir setengah jam perjalanan.








Dihidangkan denagn pemandangan hutan menghijau juga anak sungai jernih yang mengalir 







Tempat pengunjung merendam kaki/berendam air panas















Kolam mandi untuk kanak-kanak dan dewasa






Antara tempat yang menarik untuk dikunjungi di sini




Tagal Sg. Moroli Fish Spa, Kg. Luanti


Kami tiba di sini jam 3.30 petang. Ini juga merupakan kali ketiga kami ke sini. Apa yang menarik di sini, kita berpeluang untuk melakukan ‘urutan kaki’ di sungai yang mempunyai ratusan ikan. Dengan sedikit bayaran, kita boleh berada di sini selama 15 minit, untuk sekadar merendam kaki atau untuk mandi bersama ikan-ikan di sini (dengan kadar bayaran yang berbeza). Urutan ikan ini dipercayai mampu untuk menghilangkan sel-sel kulit mati pada kaki. 


Kami juga tidak lama di sini, sambil merendam kaki (tapi geli ya amat dikerumuni ikan-ikan), sambil memberi makan pada ikan-ikan yang terdapat di sungai. Kami membeli sedikit makanan dan minuman yang dijual berdekatan dengan sungai tersebut. Tak lupa sambal tuhau menjadi pilihan kami untuk dibawa balik (pernah beli dulu, dan sedap untuk dinikmati sebagai penambah selera dalam hidangan harian).


Selepas itu kami menuju pula ke Sabah Tea Plantation Yang hanya mengambil masa 5 minit perjalanan dari Tagal Sg. Moroli.



















Sabah Tea Plantation, Nalapak


Ini merupakan destinasi terakhir kami pada hari ini. Ladang teh Sabah ini merupakan satu-satunya ladang teh organik yang terdapat di Malaysia. Kawasannya agak luas, dan pemandangan di sini cantik berlatarkan gunung Kinabalu. Di sini, di samping menikmati pemandangan yang indah dan melawat ladang teh, pengunjung juga boleh melawat ke kilang pemprosesan teh (tapi kami tak sempat masuk sebab waktu operasinya sudah ditutup ketika kami sampai), boleh juga membeli teh dan cenderamata di kedai yang disediakan dan menikmati hidangan teh Sabah yang dijual di cafe.


Kami bergambar seketika di sini, dan kemudian menikmati campuran teh Sabah dan kopi tenom yang terkenal di Sabah, dan juga waffle yang juga dihasilkan daripada teh. Selepas menikmati hidangan di sini, kami beransur meninggalkan tempat ini dan menuju balik ke homestay kami di Kundasang. Sejam menempuh perjalanan, akhirnya selamat sampai. Azan maghrib sudah pun berkumandang. Sempat kami singgah di restoren KFC untuk membeli set ayam dan nasi untuk anak-anak yang sudah mengadu kelaparan.


Malam ini kami menikmati hidangan yang dimasak sendiri di homestay. Kami menghabiskan semua stok makanan laut yang dibeli pada hari pertama, kerana esok akan meninggalkan tempat dan balik semula ke semenanjung :) ‘Makan mewah’ lagi malam ini, Alhamdulillah. Malam ini juga anak-anak begitu seronok bermain di halaman homestay yang luas, dan di dalam kesejukan malam yang mampu memberi kesegaran dan kenyamanan. Damai rasanya malam ini, penat berjalan tak dirasa :)































Makan malam di homestay 





Seronok bermain dan bersantai di halaman



Bersambung: 


K.KINABALU HARI TERAKHIR: DESTINASI PILIHAN