Hari pertama di Kota Kinabalu (06/10/18)
Kami tiba di Kota Kinabalu International Airport pada pukul 11 pagi. Di sini kereta sewa diserahkan kepada kami. Kami dibawa ke homestay yang terletak di ‘Friendship Garden’ kira-kira 5 minit sahaja perjalanan dari Airport. Di homestay, kami berehat seketika dan bersiap untuk keluar. Destinasi pertama kami ialah Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, kemudian ke Pasar Besar Kota Kinabalu dan yang terakhir ialah Perdana Park, Tanjung Aru.
Masjid Bandaraya Kota Kinabalu
Kami menuju ke masjid ini untuk menunaikan solat jamak-qasar Zuhur dan Asar. Masjid ini sangat terkenal di sini, bukan saja kepada penduduk setempat, bahkan juga kepada pelancong luar negara. Pada hari ini kami dapat saksikan begitu ramai pelancong Muslim dan non-Muslim dari luar negara yang datang berkunjung ke masjid yang sangat besar, luas dan selesa ini.
Masjid ini juga dikenali sebagai masjid terapung, kerana kedudukan masjid ini yang mana 70% kawasannya dikelilingi oleh air.
Masjid ini sangat luas, dan aktif menjalankan pelbagai aktiviti termasuk kelas-kelas agama, seminar, kursus, kelas-kelas tuisyen dan sebagainya. Terdapat juga beberapa buah sekolah yang beroperasi di sini dengan jumlah pelajarnya yang agak ramai. Di sini juga diwujudkan pusat komuniti yang menjaga kebajikan OKU. Di samping, masjid ini aktif menganjurkan aktiviti kebajikan dan khidmat sosial di seluruh tempat, khususnya di sekitar Kota Kinabalu. Pendek kata, masjid ini sangat aktif dan ‘hidup’ dengan pelbagai aktiviti keagamaan, pendidikan dan kebajikan sosial.
Di perkarangan masjid ini terdapat deretan kedai makan, dan juga kedai runcit dan gerai yang menjual air dan buah. Di sini kami menjamu selera, untuk makan tengahari pertama kami di Kota Kinabalu. Selepas menjamu selera, kami ke Pasar Besar Kota Kinabalu untuk membeli lauk segar untuk dimasak di homestay kami nanti.
Pasar Besar Kota Kinabalu
Aku tak dapat sertai suamiku untuk membeli hasil laut di sini, oleh kerana tiada tempat untuk parking kereta. Aku dan anak-anak hanya menunggu di dalam kereta, sementara suamiku, kak za dan Faiz (anak saudara) keluar membeli lauk mentah.
Pasar Besar ini berderetan dengan pasar Filipina/Pasar Kraftangan yang juga terkenal di Kota Kinabalu. Di pasar ini terdapat aneka hasil laut yang dijual dengan harga yang agak murah, berbanding di tempat kita. Sama seperti pasar basah di tempat kita, di sini juga dijual buah-buahan dan sayur-sayuran, ikan kering, ikan bilis dan keperluan yang lain juga.
Di sini kami membeli ketam, sotong, ikan, etak, kerang, udang, dll. Selepas membeli belah di sini, kami balik ke homestay dan berehat sehingga masuk waktu Maghrib. Selepas itu keluar menuju ke Perdana Park pula.
Perdana Park Tanjung Aru
Perdana Park merupakan sebuah Taman rekreasi yang agak luas dan selesa untuk para pengunjung beraktiviit di sini. Ia menjadi tumpuan untuk melakukan aktiviti jogging dan bersenam di siang hari, atau sekadar untuk bersantai. Di sini terdapat track untuk berlari, kolam ikan, restoren, dan juga taman permainan.
Pada malam hari, tempat ini menjadi tarikan pengunjung yang ingin menyaksikan air pancut menari yang diiringi lagu dan muzik. Ia bermula jam 7 malam, dan berakhir jam 9 malam. Untuk setiap sessi, ia mengambil masa selama 20 minit, dan kemudian berhenti untuk tempoh 10 minit sebelum sessi yang seterusnya. Anak-anak agak terhibur di sini, melihat pancutan air menari, dengan cahaya lampu yang menarik, dan diiringi lagi dan muzik yang menghiburkan.
Kami berada di sini selama lebih kurang 1 jam, anak-anak bermain di playground dan menikmati ais krim yang dijual. Tak lupa, membeli makanan untuk diberi kepada ikan yang terdapat di dalam kolam. Selepas itu kami terus balik ke homestay. Malam ini memasak dan ber’bbq’ untuk makan malam bersama. Alhamdulillah, nikmat dapat menjamu selera dengan hasil laut yang segar dan enak. Malam ini tidur dengan sangat lena :) Alhamdulillah untuk perjalanan hari ini.
Catatan bersambung:
0 comments:
Post a Comment