Sunday, 21 October 2018 By: Naemah

K. KINABALU HARI TERAKHIR: DESTINASI PILIHAN

Sambungan yang sebelum ini:


K. KINABALU HARI KETIGA: DESTINASI PILIHAN 2



Hari keempat/hari terakhir (09/10/18)


Usai solat subuh kami ke halaman menikmati udara pagi di Kundasang. Tak jemu memandang Gunung Kinabalu yang terhidang indah di depan mata. Ada ketikanya ia jelas dan terang kelihatan, ada ketikanya pula ia terlindung oleh kabus tebal yang berarak datang dan pergi. 


Kami ke Pekan Kundasang untuk breakfast di luar. Tapi malangnya tak banyak kedai yang berniaga pada pagi ini. Kami hanya membeli nasi lemak di sebuah gerai dan balik makan di homestay. Selepas menikmati sarapan pagi, kami siap berkemas dan bersedia untuk check out dari homestay ini untuk menuju ke destinasi pilihan yang seterusnya, dan langsung balik ke Kota Kinabalu untuk penerbangan balik ke KLIA pada petang harinya.


Destinasi pilihan yang pertama pada hari ini ialah Desa Dairy Farm



Gambar kenang-kenangan di D’Permai View Homestay 























Desa Dairy Farm


Tempat ini sememangnya terkenal di sini di kalangan penduduk setempat dan juga pelancong dari dalam dan luar negara. Oleh kerana lokasinya yang terletak di kaki gunung Kinabalu, sudah tentu ia menjanjikan pemandangan yang cantik dan mempesonakan. 


Tarikan di sini adalah pada ladang ternakan lembunya, yang luas, saujana mata memandang, ditambah lagi dengan pemandangan gunung yang memukau, memang terasa asyik sekali berada di sini. 


Di sini juga pengunjung boleh mendapatkan susu lembu yang segar dan segala hasil yang berasaskan susu seperti ais krim dan yogurt.


Di samping itu, pengunjung berpeluang untuk mendekati lembu peliharaan di sini dan berpeluang untuk menyuap sendiri susu dan rumput pada anak lembu di ruang yang telah dikhaskan. Selain itu, pengunjung juga boleh melihat bagaimana susu lembu diproses di kilang yang terdapat di sini. 


Kami berada di sini lebih kurang satu jam. Kami membeli susu dan makanan yang dijual di sini untuk dinikmati bersama. Tak lupa membeli sedikit souvenir untuk dibawa pulang. Anak-anak pula berpeluang untuk menyuapkan susu pada anak lembu dengan sedikit bayaran, dan selepas itu kami beransur meninggalkan Desa Dairy Farm untuk menuju ke destinasi seterusnya iaitu Kundasang War Memorial.

























Kundasang War Memorial 


Kundasang War Memorial adalah sebuah kubu peringatan yang berlokasi di Pekan Kundasang, tak jauh dari homestay kami menginap. Tugu ini dibina khas memperingati tawanan perang yang terdiri daripada askar British dan Australia yang terkorban di Sandakan dan di dalam perjalanan mereka ke Ranau. Terkenal dengan kisah ‘death marches’, catatan detailnya boleh kita baca di ruang khas di tugu peringatan ini. 


Memorial ini dibina khas dan dilengkapi dengan taman bercirikan inggeris dan tempatan, juga dipenuhi dengan pokok-pokok tertentu dan juga bunga-bunga yang cantik dan berwarna-warni. Di sini ada cafe kecil yang menjual makanan dan souvenir dan juga bilik teater untuk menayangkan kisah sejarah di sini. Pendek kata, buat peminat sejarah tempatan atau dunia, tidak sah kiranya anda tidak menjejakkan kaki ke sini jika berkunjung ke Kota Kinabalu atau Kundasang 


Kami berada di sini hampir satu jam juga. Melawat di sekitar tugu peringatan, membaca serba sedikit tentang sejarah, dan mendengar cerita sejarah dari suamiku yang gigih bercerita pada anak dan anak saudara kami yang kelihatannya sangat berminat :)


Setelah berpuas hati berada di situ, kami beransur meninggalkan Tugu Peringatan ini dan terus menghala ke Kota Kinabalu. Dalam kesempatan yang masih ada, kami singgah pula di Rumah Terbalik Tamparuli buat pertama kalinya


















Rumah Terbalik dan Muzium 3D Tamparuli 


Rumah Terbalik juga sangat terkenal di sini. Ia tersenarai di dalam Malaysia Book of Record sebagai rumah terbalik yang pertama di Malaysia. 


Di sini kita berpeluang melihat sendiri rupa bentuk rumah traditional Sabah, tetapi di dalam kedudukan terbalik. Mereka juga menyediakan jurucakap yang akan memberi keterangan tentang rumah terbalik ini dengan lebih jelas. 


Yang terbaru ialah Muzium 3D, di mana kita berpeluang untuk bergambar denagn bermacam pilihan latar belakang yang dilihat seperti ‘real’.


Namun kami hanya memilih untuk masuk ke rumah terbalik sahaja kali ini, kerana Muzium 3D boleh saja dijumpai di tempat lain seperti di Cameron Highland dan Melaka. Cuma pasti di sini latar belakang gambarnya mungkin lebih bercirikan suasana dan pemandangan negeri Sabah :) 


Di sini juga terdapat kedai yang menjual souvenir seperti t-shirt, mug, poscard, dan banyak lagi. Di sini juga kita boleh membeli minuman, ais krim dan kudap-kudapan. 


Kami berada di sini sehingga masuknya waktu zohor. Kami menuju pula ke Pasar Kraftangan untuk ke kedua untuk membeli sedikit lagi ole-ole untuk dibawa pulang. Selepas itu kami segera ke airport, serahkan kereta sewa di sini, solat zohor, check in flight, makan petang dan menaiki penerbangan balik jam 5.20 petang. Kami tiba di KLIA hampir jam 8 malam. 


Kak za dan anak-anak menyambung penerbangan ke Kota Bharu, sementara kami menaiki Klia Transit menuju ke stesen Salak Tinggi, menaiki kereta dan langsung balik ke Semenyih. Alhamdulillah. Sebuah perjalanan yang dipermudahkan oleh Allah. 


(Tidak dibenarkan mengambil gambar di dalam rumah terbalik. Bergambar di luar sahaja )

















Di KKIA- masa untuk pulang









Penerbangan terakhir Miqdad sebelum usia 2 tahun- lepas ni kadar tambang dah macam orang lain juga la :)



Sekian catatan musafir ke Kota Kinabalu dan Kundasang :)





0 comments:

Post a Comment