Thursday, 4 June 2026 0 comments By: Naemah

YANG TERPALING PENATKAH?



Di rumah sendiri, hari-hari terasa seperti perlumbaan yang tidak pernah tamat. Mengurus anak-anak ke sekolah, menghantar dan mengambil mereka, menyediakan segala keperluan, memikirkan apa yang hendak dimasak, mengemas rumah, dan menyelesaikan seribu satu urusan kecil yang tidak pernah habis. Hari minggu pula berlalu terlalu cepat, seolah-olah tidak sempat memberi ruang untuk tubuh dan jiwa berehat.


Bila cuti panjang tiba, kampung menjadi destinasi utama.


Di rumah ibuku, rutin tetap berjalan. Makan minum keluarga perlu diurus juga, kerana ibuku sudah terlalu uzur dan hanya mampu menguruskan dirinya sendiri sahaja. Namun ibuku bukanlah beban. Malahan dia tak pernah menuntut apa-apa bakti dariku untuknya. Tetapi apabila hari berganti hari di sini, keletihan itu mula terkumpul perlahan-lahan dalam diri.


Di rumah mak mertua pula, keadaannya berbeza. Segala makan minum dijaga. Hampir tiada apa yang perlu dilakukan. Masa lapang terlalu banyak sehingga pada awalnya terasa melegakan. Namun apabila hari-hari berlalu dengan cara yang sama, hati mula terasa kosong. Ada waktu-waktunya, terasa seperti kehadiran diri hanya menumpang ruang dan waktu orang lain. Mungkin hanya sekadar beban?


Entahlah.


Kadang-kadang aku tertanya-tanya, adakah aku yang kurang bersyukur dengan hidup ini? Atau sebenarnya tubuh, fikiran dan emosi yang sudah terlalu lama memikul beban tanpa sempat benar-benar berehat?


Ke mana pun pergi, penat itu seakan ikut bersama. Yang berubah hanya bentuknya. Bukan lagi penat pada tubuh, tetapi penat yang bersarang dalam fikiran. Bukan lagi letih kerana bekerja, tetapi sesak kerana terlalu lama menanggung semuanya seorang diri.


Esok, suami akan kembali meneruskan tugasnya di kejauhan. Cuti sekolah juga bakal melabuhkan tirainya. Aku sudah dapat membayangkan bagaimana sibuknya hari-hari yang menanti. Pagi yang kelam-kabut, perjalanan menghantar anak-anak, urusan rumah yang tidak pernah habis, dan malam-malam yang kembali sunyi seperti biasa.


Entah mengapa, kali ini hati terasa sedikit berat untuk melepaskan.


Bukan kerana aku tidak reda. Bukan juga kerana aku tidak memahami tanggungjawab yang dipikulnya. Sejak dahulu lagi aku tahu, dia sedang berjuang di medan yang Allah tetapkan untuknya, dan aku pula sedang berjuang di medan yang Allah amanahkan kepadaku.


Tiada siapa yang bersalah.


Cuma kadang-kadang, menjadi kuat setiap hari juga ada lelahnya.


Ada waktu-waktunya, aku berharap masa dapat bergerak sedikit perlahan. Agar kebersamaan ini dapat dipanjangkan walau hanya beberapa hari lagi. Agar hati mempunyai lebih ruang untuk bersedia menerima kembali hari-hari yang perlu ditempuh sendirian.


Namun hidup sentiasa berjalan. Dan aku juga perlu terus melangkah.


Rasa berat itu tetap ada. Rasa rindu itu pasti akan datang. Tetapi di sebalik semua itu, ada satu perkara yang sentiasa menenangkan.


Aku tidak pernah benar-benar sendiri.


Saat rumah kembali sunyi, saat penat datang bertamu, saat hati terasa sesak memikul segala yang perlu dipikul, aku tahu Allah sentiasa ada. Mendengar setiap keluhan yang tidak terluah, melihat setiap lelah yang tidak diceritakan, dan mengira setiap pengorbanan yang mungkin tidak disedari sesiapa.


Mungkin aku tidak tahu bagaimana hari-hari mendatang akan berlalu.


Tetapi aku tahu, seperti hari-hari yang telah berlalu sebelum ini, Allah akan memimpin aku melaluinya satu hari demi satu hari.



Bukan kerana aku tidak kuat untuk melalui semuanya. Cuma ada hari-hari tertentu, hati ini juga ingin ditemani sebelum kembali belajar kuat sendirian.


Tuesday, 2 June 2026 0 comments By: Naemah

DOAKAN AKU SIHAT

Kini berada di bulan Jun 2026.


Terimbas kembali kenangan Jun 2022. 4 tahun dah berlalu. Detik aku berdepan dengan ujian ‘sakit’ hingga perlu dirawat di hospital, perlu menjalani pembedahan, dan terpaksa berjauhan dengan anak-anak untuk beberapa hari. Perit rasanya ujian itu. 


Lepas sakit tu, keadaan aku jadi lebih baik. Sebab sakit tu beri banyak pengajaran, terutamanya bab kesihatan diri yang perlu dijaga dan dihargai.


Sebelum sakit, memang berat badan ni tak terkawal. Makan berselera, apa adanya. Boleh telan semua. Tambahan pula sebelum tu PKP berbulan-bulan. Duduk rumah saja, bergerak dalam rumah saja. Mana tak ‘sihat’nya badan ni.


Lepas sakit, masa tu juga dapat tahu ada kencing manis (dengan hba1C 9), dah start kena makan ubat kencing manis. Memang lepas tu jaga betullah makan. Diet sihat, berat badan banyak turun, bacaan hba1C semakin baik dan baik, sampai tahap selamat untuk mengandung semula. Masa tu seronoknya rasa, boleh konsisten jaga diet, berat badan turun, badan rasa ringan. 


Dan kemudian Allah takdirkan diri ini mengandung lagi. Mengandung yang Alhamdulillah mudah dan tak bermasalah sampailah lahirnya si bongsu ini.


Dan lepas tulah, aku di’uji’ lagi. Lepas bersalin, tiada disiplin lagi dalam berdiet. Dengan menyusu badan, lepas tu ambil suntikan perancang pula, rasa lapar tu jadi lebih kerap. Portion makan dah tak terkawal lagi. Makan tak beringat! 


Setahun pertama lepas bersalin, berat dah makin naik walaupun beberapa kg sahaja peningkatan. Masuk tahun kedua, makin laju dan banyak naiknya. Hampir nak kembali ke zaman berat sebelum sakit dulu (ataupun dah memang sama). 


Dan yang menyedihkan juga, bacaan hba1c pun dah start naik sikit demi sikit sejak bersalin. Kini dah lepas border ‘selamat’ dah  walaupun jauh lagi dari bacaan masa mula-mula dapat kencing manis dulu. 


Bukan tak ada cubaan berdiet, masalahnya tak berjaya. Tak mampu konsisten dan berdisiplin dalam bab makan, macam dulu. Tak mampu dah…


Ya Allah, risau sangat diuji dengan masalah kesihatan lagi. Usia pun makin bertambah. Kalau sendiri tak mampu nak jaga diri, siapa lagi nak tolong jagakan. Tak ada siapa.


Semangat datang dan pergi. Awalnya memang semangat nak jaga makan. Dah jumpa makanan, jadi lupa diri. Padahal bukanlah jenis yang suka kejar makanan viral. Tapi tulah.. sentiasa kalah dalam bab makan. Cenderung untuk ambil lebih. Itulah punca utamanya 


Jun ini, ketika hati diingatkan lagi dengan pengalaman sakit dulu, datanglah balik semangat nak berdiet macam dulu. Nak kurus macam dulu, nak sihat macam dulu.


Semoga Allah kentalkan hati ini. Tak salah menyimpan azam lagi, walaupun sering saja kecundang. Tak salah ingin terus mencuba, walaupun sering sampai separuh jalan saja. 


Mudah-mudahan akan sampailah waktunya nanti, diri ini tak kalah lagi dengan ‘nafsu’ yang membawa kepada kemudaratan diri.


Dan Jun ini juga, merupakan bulan kelahiranku. Dah nak masuk 41 tahun.  


Kepada yang membaca hingga ke titik ini; TOLONG DOAKAN AKU SIHAT-SIHAT SENTIASA.