Tuesday, 26 February 2019 0 comments By: Naemah

MOGA TERPELIHARA ‘IKHLAS’ KITA



[8 tahun 2 bulan 15 hari]



Alhamdulillah. Syukur aku panjatkan untuk satu ‘tempoh’ yang ini. Melalui kehidupan bersama dia yang Allah telah takdirkan sebagai jodohku.


Satu tempoh yang bukan baru, juga masih jauh dari matang. Masih dalam tempoh untuk saling mengenali, cuba memahami, cuba menerima seadanya. 


Di awal perkahwinan, sebagaimana maklum, itu fasa ‘berbulan madu’ segalanya manis, belum tersingkap kekurangan dan kelemahan. 


Kemudian lahir cahaya mata, seorang demi seorang, peranan dan tanggungjawab makin bertambah, makin terserlah warna diri, saat diasak dengan cabaran menjadi suami/isteri, ibu/ayah, yang realitinya bukan sweet semua. 


Di sini terserlah tahap mana kesabaran diri, sejauh mana ‘ikhlas’ dan mampu bertahan, setakat mana usaha untuk memberikan yang terbaik, dan menjadi yang lebih baik. Segalanya bukan mudah.


Anak-anak makin membesar lasak, watak pasangan banyak berubah, makin menyerlahkan sikap dirinya yang sebenar. Banyak sabarkah, atau banyak marah dan membebel. Tahankah dengan segala kepenatan dan kepayahan, atau merungut tak henti-henti. Mendepani segala dengan penuh redha dan syukur atau penuh dengan kekesalan lantaran hidup tak seindah yang diimpikan?


Realiti hidup berumahtangga, memang banyak cabaran dan dugaan. Ia datang bersilih ganti. 


Kuncinya tetap sabar. Dalam penat dan marah, sabar itu jadi penahan. Dari bertindak dan berkata yang bukan-bukan. Namun sabar itu kadang tak kuat untuk dipertahankan. Lantas bertindak di luar jangkaan. Nau’zubillah!


Dan kami juga, hidup dalam realiti seperti pasangan yang lain. Bukan sepanjang masa indah hidup ini. Bukan bahagia dan senyum selalu. Bukan tak ada sengketa dan saling mengguris rasa. Segalanya ada! Cukup masam manis dirasa dalam sepanjang tempoh ini.


Namun lapangan ini juga menjadi lapangan perjuangan. Bagaimana untuk mempertahan dan meningkatkan sabar. Pada sikap pasangan yang mungkin kita tak jangka. Pada perubahan perilaku yang mungkin kita tak sangka. Pada segala bentuk kekurangan yang mungkin masih tersembunyi. Ya, kita pun apa kurangnya. Samalah juga, banyak kekurangan dan kelemahan.


Semoga hati akan sentiasa bersedia untuk memaafkan biar apa salahnya. Biar hati sentiasa lebih fokus pada 10 kebaikannya berbanding 1 kekurangannya. Semoga hati sentiasa ada simpati, dan terus mendoakan untuk kebaikannya (mudah-mudahan begitu juga dia)


Biar sudah melepasi jauh fasa ‘bulan madu’ yang manis segala. Tetap masih boleh  mencipta manisnya, biar dihimpit ujian kiri dan kanan dan diasak tanggungjawab yang semakin berat dan mencabar. Yakin itu satu perjuangan yang pasti dikira Tuhan.


Sebagaimana di awal dulu yakin menerimanya sebagai yang terbaik dari Tuhan. Hari ini tetap dia juga yang terbaik, yang akan terus setia bersama, mempertahankan ikhlas, menerima segala baik dan buruk, bersama saling membimbing dan mengingatkan, bahawa kita bukan hanya ingin bahagia di sini, tapi juga di sana. Bersam-sama. 


Moga terus erat berpimpin tangan. Sampai syurga. Insya Allah.

Saturday, 23 February 2019 0 comments By: Naemah

MELAKA: 3 HARI 2 MALAM

Cerita minggu lepas, baru sempat nak catat di sini :) 


Pada 15/2/19 kami sekeluarga berkesempatan untuk ke  Melaka, destinasi percutian yang tak jauh dari rumah kami. Ini juga merupakan percutian pertama untuk tahun ini buat kami sekeluarga. Nak pergi jauh tak boleh, Melaka sajalah yang sempat :)


Melaka memang terkenal sebagai negeri yang bersejarah, dan sudah tentunya di sini terdapat banyak tempat menarik untuk dikunjungi. Terus terang, walaupun sebelum ini kami pernah menetap di Melaka (2012-2014), dan sering juga datang ke Melaka selepas itu, tapi hakikatnya tak semua tempat menarik di Melaka telah kami kunjungi. Yang selalu kami tuju ialah Pantai Pengkalan Balak, pantai klebang dan Pantai Puteri. Antara lain pernah menaiki Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, menaiki beca, melawat kapal selam, bersantai di dataran 1Malaysia Klebang, dan lain-lain. 


Selama 3 hari 2 malam kami di sana, sedikit catatan mengenai tempat menarik yang sempat kami ‘singgah’


Pertama sekali cerita dulu tentang penginapan kami;



The Shore Hotel & Residences


Hotel ini terletak di tengah-tengah Bandar Melaka. Lokasinya sangat strategik di mana ia berhampiran dengan banyak tempat menarik di tengah-tengah Kota Melaka ini. Tak perlu drive, banyak tempat yang boleh kita sampai dengan hanya berjalan kaki saja bila menginap di sini. 


Hotel ini bertaraf 4 bintang, dan ini pertama kali kami menginap di sini (sebelum ni pilih hotel budget bawah rm100 je) tapi kebetulan dapat murah, kos penginapan kami untuk 3 hari 2 malam di hotel ini ialah sebanyak rm 370 (studio suite). Bilik hotelnya luas dan selesa sangat untuk kami suami isteri bersama 3 anak :)


Apa yang menarik di sini, hotel ini dilengkapi mall untuk pengunjung membeli-belah, ada juga the shore oceanarium (nanti cerita kat bawah), ada sky tower (tak sempat naik), Toys Museum (juga tak masuk), gym, juga kolam mandi untuk para pengunjung di sini.


Anak-anak sudah tentunya tak lepaskan peluang untuk mandi di kolam yang letaknya di tingkat 9.



Bermain di kolam




















Malacca River Cruise


Jika kali pertama ke Melaka, rugi rasanya kalau tak mencuba untuk menaiki River Cruise menyusuri tebing sungai Melaka. Nak naik siang boleh, malam pun boleh. Jika siang hari pemandangan lebih terang dan jelas, boleh melihat binaan yang terdapat di sepanjang tebing sungai Melaka, jambatan yang punya nama khas, juga lukisan mural yang mempunyai maksud tersendiri tentang sejarah negeri Melaka.


Pada waktu malam pula dapat melihat pemandangan cantik di sepanjang perjalanan yang dihiasi dengan cahaya lampu yang berwarna-warni. Perjalanan dari jeti hingga balik semula ke jeti mengambil masa sekitar 45 minit. Bayarannya pula ialah sebanyak rm 25 (dewasa) dan rm 15 (kanak-kanak).


Kami memilih perjalanan malam untuk kali ini. Ini juga merupakan kali ke-4 (kalau tak silap) kami menaiki River Cruise Melaka ni (kali pertama untuk Miqdad).



Menaiki Malacca River Cruise

















The Shore Oceanarium 


Kalau di KLCC kita ada Aquaria, di Melaka pula kita berpeluang untuk mengunjungi The Shore Oceanarium yang seakan-akan Aquaria juga (tapi tak sebanding Aquaria lah kot). Lokasinya adalah di The Shore Hotel and Residences itu sendiri. Bayaran masuknya ialah sebanyak rm 35 (dewasa) dan rm 25 (kanak-kanak)-free untuk Miqdad yang belum berusia 3 tahun


Alhamdulillah, tempat ini mampu memberi keseronokan pada anak-anak kami. Tempatnya cantik, berinformatif dan interaktif. Ada pelbagai spesis ikan dan hidupan laut yang terdapat di sini di samping maklumat yang disediakan untuk menambahkan pengetahuan am. Di sini juga kita boleh menonton video animasi 3D, melihat demo, dan memberi makan ikan. Kita juga diberikan sekeping kertas yang mengandungi beberapa soalan yang berkaitan dengan ‘ilmu laut’ yang terdapat di situ. Agak leka juga kami sekeluarga di sini :)


Pendek kata, tempat ini adalah antara tempat yang berbaloi untuk dikunjungi bersama anak-anak kecil. Mereka pasti teruja ‘masuk’ dalam dunia lautan dan bertemu dengan aneka spesis hidupan laut di sini :)





















Melawat Kg Morten


Kg Morten adalah antara yang terkenal di Bandar Melaka. Ia merupakan sebuah ‘kampung’ yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Melaka. ‘Kampung dalam bandar’. Pelik kan?


Jika menaiki River Cruise, kita akan melalui perkampungan ini. Apa yang menarik, ia merupakan perkampungan yang mengekalkan senibina dan reka bentuk asli rumah di negeri itu. Ia dikekalkan sebagai sejarah yang terpelihara, untuk terus diwarisi dan dikenali oleh generasi yang akan datang.


Ia juga dikenali sebagai ‘muzium hidup’ kerana di sini penduduknya menjalani kehidupan seperti biasa, bekerja, berkeluarga dan sebagainya di perkampungan mereka ini, di tengah Kota Melaka ini :)


Dari hotel, kami menyusur tebing sungai Melaka hingga sampai ke perkampungan ini. Sempat juga singgah di kedai makan dan makan malam bersama di sini. Pertama kali merasa pengalaman seumpama ini, seronok walau penat berjalan menyusur tebing sungai :D

























Itu saja destinasi yang sempat (kalau ikutkan plan banyak lagi tempat yang nak pergi). Selebihnya berehat di bilik, jalan-jalan cari makan, dan sempat juga ke kedai ‘Mimiedriena preloved baby shop’ membeli stroller :) 


Dalam perjalanan balik pula singgah di Pantai Puteri, dan kemudian menyambung perjalanan  balik ke Semenyih. Ya, balik ke dunia nyata :)


Alhamdulillah untuk percutian ini. Anak-anak happy, ummi abi pun happy juga :) terima kasih suamiku atas ‘hadiah’ percutian ini. Anak-anak kembali bersekolah, suamiku pula kembali menyambung tugas. Moga lebih semangat, lebih fokus, dan semoga hari yang mendatang menjanjikan yang lebih baik lagi. Insya Allah.


Tuesday, 19 February 2019 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 190219




Minggu ke-2 persekolahan selepas Chinese New Year break. Hari ini Anas bangun pagi seperti biasa (actually lambat sikit dari biasa) sebab ummi dan abi pun terlajak sampai azan subuh baru terjaga. Kesnya, semalam kerap bangun bila Mussaab muntah beberapa kali, dan Miqdad tiba-tiba di tengah malam bangun dan tak nak tidur. Ummi lena sekejap, dikejutnya bangun. Lena lagi, dikejutnya lagi. Mungkin sampai jam 3 pagi barulah Miqdad tidur dan lena terus sampai ke pagi. Pagi pun bangun awal juga, ketika abi bersiap nak hantar Anas ke sekolah. Mussaab juga bangun lepas tu, masih mengadu sakit dan muntah di tangga. Ummi buatkan air garam untuk Mussaab dan Mussaab habiskan. Langsung tak nak makan, tak ada selera. Badan masih lemah, hanya baring di sofa sahaja. 


Abi bawa balik nasi lemak lepas hantar Anas di sekolah. Anas pun tadi pergi tanpa breakfast (yelah ummi tak sempat masak apa-apa pagi ni), just ambik satu sudu madu. Harapnya Anas sempat beli makanan di kantin sebelum masuk kelas pagi ni. Miqdad makan nasi lemak dengan berselera. Mussaab hanya berbaring, tak nak makan. Ummi maklumkan pada teacher Zeeda, Mussaab tak dapat ke sekolah hari ni. Pagi ini Mussaab dan Miqdad habiskan masa di rumah, menonton video.


Sekitar jam 10 pagi abi bawa Miqdad ke Mydin untuk membeli sedikit keperluan. Mussaab tinggal di rumah bersama ummi. Makan masih tak mahu, hanya minum air kosong. Siap pesan pada abi untuk beli air susu coklat. Itu saja yang dia nak :) ummi naik ke atas kemas bilik dan ruang membaca yang bersepah. Mussaab melayan video sendirian. 


Jam 11 abi dan Miqdad balik. Miqdad dengan muka comotnya, baru lepas makan aiskrim. Mussaab minum air coklat yang abi beli. Habis sekotak kecil air coklat diminumnya. Alhamdulillah dah tak muntah sejak pagi tadi. Tapi masih tak aktif, bangun dan duduk di sofa saja. Miqdad juga join Mussaab menonton video. Sudah agak lama di depan tv keduanya. Hingga ummi siap memasak, masih asyik menonton. Ummi suapkan Miqdad makan nasi. Mussaab masih tak nak makan. Abi pula dah naik ke atas berehat dan tidur. Lepas makan teruskan menonton lagi. 


Pukul 1 semua naik ke atas. Mussaab baring di katil di sebelah abi. Kemudian minta nak minum air garam lagi, ummi bancuhkan untuk Mussaab. Miqdad ambil buku dan minta baca bersamanya. Lepas baca buku, main dan bergurau dengan Mussaab yang nampaknya dan makin ceria, walaupun masih tak larat nak bangun. Yelah, apapun tak makan hari ni. Hanya minum air. Itu pun mujurlah nak juga minum. Insya Allah makin sihat, dah tak muntah sejak pagi. 


Pukul 2, semua ikut abi turun ke bawah. Tinggal ummi layan mengantuk di bilik. Miqdad tetap tak nak tidur walaupun semalam tak tidur sangat. Giliran abi pula jaga Mussaab dan Miqdad di bawah. 


Dekat jam 3, abi naik memangku Miqdad yang dah lena dengan sendirinya di bawah. Abi letak Miqdad di sofa, Miqdad menyambung lena. Jam 3.20, abi keluar untuk ambik Anas di sekolah. Mussaab sudah tertidur di sofa. Tak lama kemudian Mussaab bangun dan naik ke atas bertanyakan abi. Tak lama kemudian abi dan Anas sampai balik. Ummi dan Mussaab turun ke bawah. Belum apa-apa dah cari remote tv dan menonton video. Hujan turun lebat di luar. Masing-masing melayan tv, Miqdad pula masih lena di atas. Mussaab lena sekali lagi di depan tv.


Masuk waktu asar, solat bersama. Miqdad menangis, abi bawa turun ke bawah. Menangis dan sambung tidur lagi bersama Mussaab di bawah. Anas keseorangan, sambung menonton video lagi. Mood kurang baik, muka masam dan sensitif. Ditanya kenapa pun tak dijawab. Tanya hal sekolah, katanya semua ok. Entahlah... ummi siapkan makan malam. Anas makan berselera, lepas tu mood dah ok balik. Lapar sangat kot tadi. Mussaab dan Miqdad juga bangun dari tidur dan makan bersama. Mussaab dah ada selera untuk makan nasi. Alhamdulillah. Perut juga dah tak sakit katanya. Agak lama juga Mussaab dan Miqdad tidur tadi. Bimbang pulak ummi, kalau malam ni Miqdad terjaga malam dan susah nak tidur lagi.


Lepas makan malam semua naik mandi. Siap berpakaian dan turun semula ke bawah. Main dan layan video lagi, hingga masuk waktu Maghrib. Anas dan Mussaab ikut abi ke surau, Miqdad tinggal bersama ummi. Balik dari surau baca al-Quran, iqra’ dan hafazan (juga sessi reading untuk Mussaab), dan buat hal masing-masing. Lepas isyak semua siap untuk tidur. Anas yang pertama lena, seperti biasa sebab dia tak tidur siang. Kemudian Miqdad juga tidur. Last sekali barulah Mussaab yang tadinya dah tidur banyak, sukar nak lelapkan mata. Pusing kiri, pusing kanan, jam 9.45, barulah terlena. Alhamdulillah semua sudah hanyut dibuai mimpi. 


Alhamdulillah, tetap bersyukur atas kehidupan hari ini. Mussaab yang semalamnya sakit perut dan muntah kini dah semakin baik. Anas dan Miqdad sihat seperti biasa. Alhamdulillah. Tak ada kerisauan melampau, semua Allah mudahkan. Juga yang sedang ummi kandungkan ini, semoga sihat dan membesar baik dan sempurna juga, insya Allah. 


Semoga bermimpi indah semuanya. Semoga esok menjanjikan yang lebih baik untuk Anas, Mussaab, Miqdad dan kita semua. Insya Allah. 

Thursday, 14 February 2019 0 comments By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: BERAKHIR TRIMESTER PERTAMA


Alhamdulillah dengan izinNya aku kini hamil lagi , insya Allah dalam keadaan diri sudah bersedia untuk menambah zuriat/ahli dalam keluarga ini. Syukur yang tak terhingga kupanjatkan pada Tuhan yang Maha Pemurah, tak pernah berkira untuk memberi kepada sesiapa jua yang DIA kehendaki. Alhamdulillah :)


Catatan pengalaman dan mudah-mudahan dapat menjadi panduan di masa akan datang;



Simpton awal 


November 2018: Kira-kira seminggu selepas period yang terakhir aku mengalami bengkak payudara yang memakan masa sehingga 2 minggu  untuk baik. Semakin hari semakin sakit, risau bukan kepalang, tak terlepas dari memikirkan yang bukan-bukan. Siapa tak takutkan? Belum pernah rasa sakit yang semacam ni. Tak tahu nak gambarkan bagaimana rasa ni. Menjalani hari dengan hati yang risau, sedih dan takut.


Seminggu kemudian buat keputusan untuk berjumpa doktor (bila sakit tak reda-reda). Doktor cakap mungkin jangkitan kuman, lega sikit dengar. Dapat ubat antibiotic, ubat tahan sakit dan surut bengkak. Dekat seminggu juga, bila ubat dah nak habis bengkak pun makin surut dan tak sakit lagi. Lega... macam baru dikeluarkan dari lubang yang dalam dan gelap (2 minggu bukan tempoh yang sekejap ya!)


Tapi beberapa hari lepas tu datang lagi rasa sakit. Bengkak lagi, dan risau lagi. Ya Allah, menangis! Kenapa sakit ni datang lagi (yang ni kira-kira seminggu sebelum period yang seterusnya). Tak berlengah, esoknya terus jumpa doktor balik, cek balik, dan kali ni dapat ubat tahan sakit je. Doktor pun cakap, takde apa, mungkin gangguan hormon saja, lagipun dah dekat nak period. Oklah, lega juga la bila dengar tu. Memang berdoa sangat, tak ada apa yang menakutkan keluar dari mulut doktor :) dan tak jangka sikit pun akan pregnant (tapi tak pastilah juga adakah sakit semua tu sebab ‘pregnant’ kan, sebab tak pernah alami sakit yang sebegitu)


Dan Alhamdulillah esoknya bengkak makin kurang dan lepas tu tak sakit dah. Lega lagi, namun masih risau kalau tiba-tiba diserang sakit lagi. Pendek kata, sepanjang tempoh bermulanya sakit, hingga sebelum sah positif mengandung diri tak lepas dari rasa takut. Jiwa memang kacau habis!


Oh ya, masalah sembelit juga mengganggu sebelum di’sah’kan mengandung lagi. Sama seperti pengalaman lepas, masalah sembelit yang sangat menyeksakan jiwa dan raga :,(



Lewat period 


Pernah lewat period sehari dua, jadi masa ni berteka-teki dengan diri sendiri. Pregnant ke? Nak cek awal-awal takut nanti ‘hampa’ pula sebab dalam hati memang dah ‘mengharap’  :) 


Akhirnya cek UPT lepas 3 hari terlewat period. Hmm... macam double line, tapi line kedua tu antara nampak dengan tidak je. Result tu tak mampu nak buat diri ‘bergembira’ :] bila tunjuk pada suami dia pula yang lebih konfiden aku mengandung :D ok takpe lah, biar je dulu. Bila lepas tu pun belum period, makin kuatlah keyakinan diri yang aku ni sudah mengandung. Happy, sudah tentu. Risau, juga sudah pasti. Pertama takut ‘sebab’ lain aku tak datang period. Kedua, di awal kehamilan ni keguguran masih boleh terjadi. Apatah lagi sudah mengalami dua kali keguguran (2011 dan 2015), pengalaman pahit yang pasti menghantui setiap kali disahkan mengandung. Tapi cuba untuk tenang dan positif saja. Insya Allah, segalanya baik saja. Ada rezeki tak kemana :)



Morning sickness


Pada awalnnya aku biasa-biasa saja. Tak ada mual atau muntah teruk (tapi adalah rasa lesu dan malas semacam nak buat kerja. Sering mengantuk pun ye jugak). Awal tahun yang patutnya aku bersemangat lebih, tapi sebaliknya tahun ni aku macam ’tak ada perasaan’ dan tak ada persediaan. 


Keadaan diri bertambah lesu bila masuk minggu ke-8 kehamilan, dah mula diserang morning sickness (mual tapi tak sampai muntah) yang tak keterlaluan sangat. Cuma badan hari-hari rasa lesu tak bermaya. Rasa tak nak buat apa-apa. Nak kata teruk, tak teruk sangatlah. Masih boleh masak, ada bau yang tak boleh dihidu tapi masih boleh hadap. Kurang berselera pada nasi, tapi masih boleh telan :D Kalau ikutkan, pengalaman morning sickness masa mengandungkan Miqdad (2016)  lebih teruk dari yang ni :)



Scan kehamilan yang pertama 


Tarikh 17/1/19: Aku ke Klinik Pakar Wanita Asyifa (minggu ke 9 kehamilan) untuk melakukan scan kehamilan sekaligus untuk meng’confirm’kan yang aku ni memang mengandung. Dan Alhamdulillah segalanya terjawab lepas melakukan scan kali pertama ini. Bertepatan dengan kiraan usia kehamilan mengikut tarikh terakhir haid, saiz baby yang discan juga membesar mengikut kiraan masa yang sama (9w3d, edd: 25/8/19).


Syukur Alhamdulillah aku panjatkan pada Allah. Gembira di atas kurniaan ini. Niatnya nak terus buka buku mengandung di Klinik Desa, tapi terpaksa tangguhkan hasrat sebab terlalu ramai orang pada hari tersebut.



Buka Buku Mengandung di Klinik Desa Rinching Tengah


Pada 31/1/19 (minggu ke-10 kehamilan) akhirnya aku membuka buku mengandung di KDRT. Di klinik, lakukan procedure seperti biasa, cek bp, urin, timbang berat, dll.


Pada esok harinya ke Klinik Kesihatan Beranang pula untuk scan baby dan ambil darah. Selesai. Tunggu next appointment pula :)


Dah buat buku di Klinik, dah scan dan jumpa doktor, kira dah settle la apa yang perlu dilakukan di awal kehamilan ini. Jalani kehidupan macam biasa, sabar dengan segala rasa yang mengganggu, mual-mual yang kerap datang dan pergi, dan cuba sebolehnya menjaga pemakanan untuk kebaikan diri dan anak yang sedang dikandung ini.


Mengidam yang bukan-bukan tak ada, cuma asyik teringin pada asam/buah yang masam sebab tekak sering rasa pahit semacam. Kadang-kadang juga terlintas nak makan makanan yang jarang-jarang dimakan, contohnya burger, mi sup, char kue teow, yong tau fu... tapi tak pernah la kongsikan rasa ‘teringin’ tu pada suami. Yang boleh buat/cari sendiri, cuba usahakan sendiri. Yang tak boleh, pendam hasrat dan keinginan saja. Ok je kalau tak dapat :)


Kini dah masuk trimester kedua (bermula 11/2/19). Alhamdulillah atas semua yang telah aku lalui. Pengalaman di awal trimester, tetap berbeza dengan yang lepas, meskipun dah ‘banyak’ kali menempuhnya. Kini bersedia fizikal dan mental untuk jalani hari-hari yang seterusnya. Semoga badan akan lebih cergas dan bertenaga, tak malas dan mengantuk aje, morning sickness berlalu pergi, dapat lakukan rutin seperti biasa, meski sedang berbadan dua. Insya Allah. 


Menanti hari temujanji di klinik desa yang seterusnya iaitu pada 28/2/19, seterusnya ambil tarikh untuk minum air gula (paling risau yang ni, setiap kali pregnant mesti sangkut gdm). Semoga Allah permudahkan semuanya.


آمين






Tuesday, 12 February 2019 0 comments By: Naemah

TAHUN BARU CINA: JURNAL CUTI SEKOLAH




2/2/19


Hari pertama cuti sekolah bersempena Chinese New Year. Bertolak dari rumah jam 3 pagi menuju ke kampung. Kepulangan yang pertama untuk tahun ini :) Singgah solat subuh di Merapoh, breakfast di Gua Musang, mandi di air Terjun Stong, ke pasar pagi Jeli, dan tiba di rumah mek sekitar jam 12 pm. Ummi dan abi yang kepenatan tidur nyenyak. Anas, Mussaab dan Miqdad yang riang dan ceria (puas dan tidur semalam) ke rumah cik, Alhamdulillah cik tolong jaga petang ni. Tak lama kemudian cik hantar gambar whatsapp semua tengah tidur terbaring kat rumah cik. Masya Allah. Bukan senang Miqdad nak tidur ‘sendiri’ macam tu. Bila dah bangun semua, cik hantar ke rumah Mek, siap beli aiskrim lagi. Cergas dan aktif semula semuanya. Malam ni Mussaab tidur di rumah cik, Anas dan Miqdad setia dgn ummi dan abi.


Alhamdulillah di atas segala urusan yang dipermudahkan olehNya.







3/2/19


Lepas solat zohor, bertolak ke Kota Bharu. Sebelum tu sempat singgah rumah pok long, jumpa family kat situ dulu. Lepas tu melencong pula ke pantai Bukit Keluang. Cuaca baik, ombak agak kuat, tapi masih sempat bermandian dengan sepuasnya. Dalam perjalanan balik, singgah makan malam dan sampai di rumah nenek jam 9 malam (jauh sungguh perjalanan :D) Di rumah nenek ramai orang, walau tak semua ada. ‘Meriah’, tp semua pun dah kepenatan, bersedia untuk tidur. Esok boleh sambung main lagi :)


Alhamdulillah juga untuk hari ini. Anak-anak ummi beroleh kerseronokan lagi. 







4/2/19


Di rumah nenek sepanjang hari. Hanya keluar untuk menziarahi mak saudara abi yang kurang sihat. Anas, Mussaab dan Miqdad hanya bermain di rumah nenek, dengan sepupu yang ramai. Tapi sepupu semua dah taraf ‘abang-abang’, tak berapa nak campur sangatlah :) kalau ada Umar dan adik2 barulah ‘geng’ betul :) pagi sampai ke malam, main dan main saja. Happy semua walau tak cukup geng.


Alhamdulillah juga untuk hari ini. Menikmati kemeriahan bersama ahli keluarga yang jarang bersua.







5/2/19


Pukul 9 pagi bertolak ke Besut untuk raikan majlis akad nikah abe Ala. Majlis bertunang dan akad nikah yang hanya dihadiri ahli keluarga terdekat. Kendurinya bulan 3 nanti, insya Allah. Hari ni dapat main pula dengan Muhammad, anak sepupu yang sebaya Anas. Selesai semuanya jam 3 petang. Menuju pula ke hospital Tanah Merah, ziarah kak Jah yang baru lahirkan anak ketiganya. Tak dapat jumpa baby yang ditahan di NICU (sebab lahir tak cukup bulan). Lepas tu terus balik ke rumah Mek. Makan malam di luar, balik rumah dan tidur dengan nyenyaknya. Oh ya, Mussaab malam ni tidur rumah cik lagi.


Alhamdulillah. Hari ini bertambah ahli keluarga baru. Bukan seorang, tapi dua! Siapa sangka :)







6/2/19


Berada di rumah Mek sepanjang hari. Kalau ikutkan abi nak drive balik hari ni tp cek google maps, asyik ‘merah’ je di sepanjang jalan, tangguhkan hasrat nak balik dulu. Anas, Mussaab dan Miqdad habiskan masa di rumah mek bertiga sahaja. Dekat Maghrib, cik datang bawa balik ke rumahnya sekejap. Lepas tu hantar semula ke rumah mek. Mussaab ‘tidak dibenarkan’ tidur rumah cik malam ni sebab abi nak bertolak awal pagi balik Semenyih :)


Alhamdulillah juga untuk hari ini. Cukup makan tidur dan rehat semua. Esok dah nak tinggalkan kampung. 







7/2/19


Bertolak dari rumah mek sekitar jam 2.30 pagi. Alhamdulillah perjalanan sangat lancar. Subuh di Bentong, dan menyambung perjalanan. Sampai di Semenyih sekitar jam 8.30 pagi. Beli breakfast di Tesco, dan terus balik. Makan dan sambung dengan aktiviti sendiri-sendiri. Abi yang penat memandu tidur nyenyak, tak boleh diganggu lagi. Anas dan Mussaab aktif dah tidur banyak. Miqdad sempat tidur sekejap dengan ummi. Lepas asar ke Tesco beli keperluan dapur dan makan malam. Balik rumah, mandi, solat dan bersiap untuk tidur.


Alhamdulillah. Segalanya Allah permudahkan. Anak-anak ummi juga sihat dan tetap aktif bermain dan melakukan aktiviti bersama.







8/2/19


Abi meninggalkan rumah jam 5.30 pagi. Hari ini penerbangan abi ke Bintulu. Anas, Mussaab dan Miqdad mulakan hari tanpa abi. Lakukan rutin dan aktiviti biasa saja. Menonton tv, main sama-sama, melukis dan berkreativiti sekadarnya. Pok su Asnawi (tok sedara Anas, Mussaab dan Miqdad) datang singgah di rumah. Sempat makan tengahari sebelum meneruskan perjalanan balik ke rumah mereka di Serting, Negeri Sembilan. Petang hanya tinggal berempat macam biasa. Main d luar, berbasikal, makan malam, mandi, solat, baca Quran, tak sempat video call abi semua dah tidur lena.


Alhamdulillah. Sehari yang berlalu tanpa abi. Diberi rasa ‘mampu’ pada ummi untuk menguruskan anak-anak sendirian.







9/2/19


Hari kedua tanpa abi. Tak kemana-mana, habiskan masa di rumah sahaja. Dari pagi sampai ke petang, aktiviti biasa juga seperti semalam. Makan, main, tv, kertas, pensel, mainan, dll. Rumah pun bersepah-sepah dan menyemakkan pandangan mata. Tapi Alhamdulillah semua sihat dan aktif, riang dan gembira :)


Hari ini juga sepi tanpa khabar berita dari abi yang sudah ke laut, menunaikan tanggungjawab. Semoga Allah sentiasa melindungi dan memberkati.Insya Allah.







10/2/19


Hari terakhir cuti sekolah. Pagi ni ummi bawa ke South Creek, Setia Ecohill 2 untuk bermain dan beriadah bersama. Kesian pulak dok berkurung je dalam rumah. Lebih kurang 2 jam kat sini, on the way balik singgah makan di kedai yang biasa makan (destation) Alhamdulillah behave semua :) balik rumah, buat aktiviti macam biasa. Mussaab dan Miqdad yang kepenatan tidur di siang hari, Anas macam biasa takkan tidur, sayang masa dia berlalu dengan hanya tidur je. Petang dapat video call abi yang baru balik ke hotel. Malam pula tidur awal semuanya. Esok dah sekolah!! Semoga dipermudahkan urusan hari esok pula. Insya Allah.


ALHAMDULILLAH. 

Pada setiap hari yang dilalui bersama, yang terisi dengan segala kebaikan bersama anugerah kesihatan yang tak ternilai harganya. 


Moga sentiasa jadi hamba yang bersyukur anakku!


Wednesday, 6 February 2019 0 comments By: Naemah

SELAMAT PENGANTIN BARU ABRAR DAN RAIHANAH




Tanggal 5/2/19, kami menerima 2 ahli keluarga baru; yang pertama melalui kelahiran, dan yang kedua melalui ikatan pernikahan. Alhamdulillah. Syukur dipanjatkan pada Ilahi di atas kurniaan dan anugerah ini.


Yang paling berbahagia pada hari ini sudah tentulah abang sulungku dan isterinya. Pertama, menerima kelahiran cucu mereka yang ke-5, kemudian dapat pula menantu perempuan yang ke-2. Debaran bertukar kepada kebahagiaan, bila segalanya dipermudahkan oleh Allah.


Ucapan tahniah ini khas buat anak saudaraku Abrar dan isterinya Raihanah yang baru diijabkabulkan. Abrar menjadi anak saudara lelaki yang ke-4 menamatkan zaman solo, mengikut jejak abangnya Fadhlullah dan sepupunya Firdaus dan Faiz.


Hari ini juga buat pertama kali aku berpeluang untuk kenal ‘anak saudara baru’ iaitu Raihanah. Tak sempat nak bercakap pun, mungkin lain kali boleh berkenalan dengan lebih dekat :) 


Hari ini diadakan majlis pertunangan (jam 11.30 pagi), kemudian majlis akad nikah (jam 2.30 petang). Majlis yang serba ringkas dengan kehadiran ahli keluarga terdekat sahaja. Majlis kendurinya nanti insya Allah akan diadakan pada cuti sekolah bulan 3 nanti. 


Alhamdulillah majlis lancar berjalan, segalanya dipermudahkan. Semoga ikatan ini mendapat keberkatan daripada Allah dan pasangan pengantin ini dikurniakan Sakinah, mawaddah dan rahmah di dalam melayari bantera rumahtangga bersama. Semoga berkekalan dan berbahagia hingga ke syurga. آمين


Selamat pengantin baru Ala dan isteri :)