[8 tahun 2 bulan 15 hari]
Alhamdulillah. Syukur aku panjatkan untuk satu ‘tempoh’ yang ini. Melalui kehidupan bersama dia yang Allah telah takdirkan sebagai jodohku.
Satu tempoh yang bukan baru, juga masih jauh dari matang. Masih dalam tempoh untuk saling mengenali, cuba memahami, cuba menerima seadanya.
Di awal perkahwinan, sebagaimana maklum, itu fasa ‘berbulan madu’ segalanya manis, belum tersingkap kekurangan dan kelemahan.
Kemudian lahir cahaya mata, seorang demi seorang, peranan dan tanggungjawab makin bertambah, makin terserlah warna diri, saat diasak dengan cabaran menjadi suami/isteri, ibu/ayah, yang realitinya bukan sweet semua.
Di sini terserlah tahap mana kesabaran diri, sejauh mana ‘ikhlas’ dan mampu bertahan, setakat mana usaha untuk memberikan yang terbaik, dan menjadi yang lebih baik. Segalanya bukan mudah.
Anak-anak makin membesar lasak, watak pasangan banyak berubah, makin menyerlahkan sikap dirinya yang sebenar. Banyak sabarkah, atau banyak marah dan membebel. Tahankah dengan segala kepenatan dan kepayahan, atau merungut tak henti-henti. Mendepani segala dengan penuh redha dan syukur atau penuh dengan kekesalan lantaran hidup tak seindah yang diimpikan?
Realiti hidup berumahtangga, memang banyak cabaran dan dugaan. Ia datang bersilih ganti.
Kuncinya tetap sabar. Dalam penat dan marah, sabar itu jadi penahan. Dari bertindak dan berkata yang bukan-bukan. Namun sabar itu kadang tak kuat untuk dipertahankan. Lantas bertindak di luar jangkaan. Nau’zubillah!
Dan kami juga, hidup dalam realiti seperti pasangan yang lain. Bukan sepanjang masa indah hidup ini. Bukan bahagia dan senyum selalu. Bukan tak ada sengketa dan saling mengguris rasa. Segalanya ada! Cukup masam manis dirasa dalam sepanjang tempoh ini.
Namun lapangan ini juga menjadi lapangan perjuangan. Bagaimana untuk mempertahan dan meningkatkan sabar. Pada sikap pasangan yang mungkin kita tak jangka. Pada perubahan perilaku yang mungkin kita tak sangka. Pada segala bentuk kekurangan yang mungkin masih tersembunyi. Ya, kita pun apa kurangnya. Samalah juga, banyak kekurangan dan kelemahan.
Semoga hati akan sentiasa bersedia untuk memaafkan biar apa salahnya. Biar hati sentiasa lebih fokus pada 10 kebaikannya berbanding 1 kekurangannya. Semoga hati sentiasa ada simpati, dan terus mendoakan untuk kebaikannya (mudah-mudahan begitu juga dia)
Biar sudah melepasi jauh fasa ‘bulan madu’ yang manis segala. Tetap masih boleh mencipta manisnya, biar dihimpit ujian kiri dan kanan dan diasak tanggungjawab yang semakin berat dan mencabar. Yakin itu satu perjuangan yang pasti dikira Tuhan.
Sebagaimana di awal dulu yakin menerimanya sebagai yang terbaik dari Tuhan. Hari ini tetap dia juga yang terbaik, yang akan terus setia bersama, mempertahankan ikhlas, menerima segala baik dan buruk, bersama saling membimbing dan mengingatkan, bahawa kita bukan hanya ingin bahagia di sini, tapi juga di sana. Bersam-sama.
Moga terus erat berpimpin tangan. Sampai syurga. Insya Allah.
0 comments:
Post a Comment