Saturday, 23 February 2019 By: Naemah

MELAKA: 3 HARI 2 MALAM

Cerita minggu lepas, baru sempat nak catat di sini :) 


Pada 15/2/19 kami sekeluarga berkesempatan untuk ke  Melaka, destinasi percutian yang tak jauh dari rumah kami. Ini juga merupakan percutian pertama untuk tahun ini buat kami sekeluarga. Nak pergi jauh tak boleh, Melaka sajalah yang sempat :)


Melaka memang terkenal sebagai negeri yang bersejarah, dan sudah tentunya di sini terdapat banyak tempat menarik untuk dikunjungi. Terus terang, walaupun sebelum ini kami pernah menetap di Melaka (2012-2014), dan sering juga datang ke Melaka selepas itu, tapi hakikatnya tak semua tempat menarik di Melaka telah kami kunjungi. Yang selalu kami tuju ialah Pantai Pengkalan Balak, pantai klebang dan Pantai Puteri. Antara lain pernah menaiki Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, menaiki beca, melawat kapal selam, bersantai di dataran 1Malaysia Klebang, dan lain-lain. 


Selama 3 hari 2 malam kami di sana, sedikit catatan mengenai tempat menarik yang sempat kami ‘singgah’


Pertama sekali cerita dulu tentang penginapan kami;



The Shore Hotel & Residences


Hotel ini terletak di tengah-tengah Bandar Melaka. Lokasinya sangat strategik di mana ia berhampiran dengan banyak tempat menarik di tengah-tengah Kota Melaka ini. Tak perlu drive, banyak tempat yang boleh kita sampai dengan hanya berjalan kaki saja bila menginap di sini. 


Hotel ini bertaraf 4 bintang, dan ini pertama kali kami menginap di sini (sebelum ni pilih hotel budget bawah rm100 je) tapi kebetulan dapat murah, kos penginapan kami untuk 3 hari 2 malam di hotel ini ialah sebanyak rm 370 (studio suite). Bilik hotelnya luas dan selesa sangat untuk kami suami isteri bersama 3 anak :)


Apa yang menarik di sini, hotel ini dilengkapi mall untuk pengunjung membeli-belah, ada juga the shore oceanarium (nanti cerita kat bawah), ada sky tower (tak sempat naik), Toys Museum (juga tak masuk), gym, juga kolam mandi untuk para pengunjung di sini.


Anak-anak sudah tentunya tak lepaskan peluang untuk mandi di kolam yang letaknya di tingkat 9.



Bermain di kolam




















Malacca River Cruise


Jika kali pertama ke Melaka, rugi rasanya kalau tak mencuba untuk menaiki River Cruise menyusuri tebing sungai Melaka. Nak naik siang boleh, malam pun boleh. Jika siang hari pemandangan lebih terang dan jelas, boleh melihat binaan yang terdapat di sepanjang tebing sungai Melaka, jambatan yang punya nama khas, juga lukisan mural yang mempunyai maksud tersendiri tentang sejarah negeri Melaka.


Pada waktu malam pula dapat melihat pemandangan cantik di sepanjang perjalanan yang dihiasi dengan cahaya lampu yang berwarna-warni. Perjalanan dari jeti hingga balik semula ke jeti mengambil masa sekitar 45 minit. Bayarannya pula ialah sebanyak rm 25 (dewasa) dan rm 15 (kanak-kanak).


Kami memilih perjalanan malam untuk kali ini. Ini juga merupakan kali ke-4 (kalau tak silap) kami menaiki River Cruise Melaka ni (kali pertama untuk Miqdad).



Menaiki Malacca River Cruise

















The Shore Oceanarium 


Kalau di KLCC kita ada Aquaria, di Melaka pula kita berpeluang untuk mengunjungi The Shore Oceanarium yang seakan-akan Aquaria juga (tapi tak sebanding Aquaria lah kot). Lokasinya adalah di The Shore Hotel and Residences itu sendiri. Bayaran masuknya ialah sebanyak rm 35 (dewasa) dan rm 25 (kanak-kanak)-free untuk Miqdad yang belum berusia 3 tahun


Alhamdulillah, tempat ini mampu memberi keseronokan pada anak-anak kami. Tempatnya cantik, berinformatif dan interaktif. Ada pelbagai spesis ikan dan hidupan laut yang terdapat di sini di samping maklumat yang disediakan untuk menambahkan pengetahuan am. Di sini juga kita boleh menonton video animasi 3D, melihat demo, dan memberi makan ikan. Kita juga diberikan sekeping kertas yang mengandungi beberapa soalan yang berkaitan dengan ‘ilmu laut’ yang terdapat di situ. Agak leka juga kami sekeluarga di sini :)


Pendek kata, tempat ini adalah antara tempat yang berbaloi untuk dikunjungi bersama anak-anak kecil. Mereka pasti teruja ‘masuk’ dalam dunia lautan dan bertemu dengan aneka spesis hidupan laut di sini :)





















Melawat Kg Morten


Kg Morten adalah antara yang terkenal di Bandar Melaka. Ia merupakan sebuah ‘kampung’ yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Melaka. ‘Kampung dalam bandar’. Pelik kan?


Jika menaiki River Cruise, kita akan melalui perkampungan ini. Apa yang menarik, ia merupakan perkampungan yang mengekalkan senibina dan reka bentuk asli rumah di negeri itu. Ia dikekalkan sebagai sejarah yang terpelihara, untuk terus diwarisi dan dikenali oleh generasi yang akan datang.


Ia juga dikenali sebagai ‘muzium hidup’ kerana di sini penduduknya menjalani kehidupan seperti biasa, bekerja, berkeluarga dan sebagainya di perkampungan mereka ini, di tengah Kota Melaka ini :)


Dari hotel, kami menyusur tebing sungai Melaka hingga sampai ke perkampungan ini. Sempat juga singgah di kedai makan dan makan malam bersama di sini. Pertama kali merasa pengalaman seumpama ini, seronok walau penat berjalan menyusur tebing sungai :D

























Itu saja destinasi yang sempat (kalau ikutkan plan banyak lagi tempat yang nak pergi). Selebihnya berehat di bilik, jalan-jalan cari makan, dan sempat juga ke kedai ‘Mimiedriena preloved baby shop’ membeli stroller :) 


Dalam perjalanan balik pula singgah di Pantai Puteri, dan kemudian menyambung perjalanan  balik ke Semenyih. Ya, balik ke dunia nyata :)


Alhamdulillah untuk percutian ini. Anak-anak happy, ummi abi pun happy juga :) terima kasih suamiku atas ‘hadiah’ percutian ini. Anak-anak kembali bersekolah, suamiku pula kembali menyambung tugas. Moga lebih semangat, lebih fokus, dan semoga hari yang mendatang menjanjikan yang lebih baik lagi. Insya Allah.


0 comments:

Post a Comment