Sunday, 31 July 2016 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 310716

Hari ini genap seminggu abi di Bintulu. Hari ini juga tak dapat berhubung dengan abi yang jauh di lautan. Insya Allah akan dapat whatsapp abi semula esok hari. Semoga abi baik baik di sana, dan semoga urusan abi dipermudahkan. Anas, Mussaab dan ummi masih di rumah mek.

Hari ini Anas bangun sekitar jam 8.30 pagi. Semalam tidur agak lewat, bangun juga lewat. Mussaab juga sama. Anas bangun dengan tangisan dan mood yang kurang baik. Lepas mandikan Anas, Mussaab pula bangun. Mussaab happy dan ceria saja :) ummi suapkan Anas dan Mussaab makan nasi lemak yang dimasak tadi. Anas masih dalam keadaan mood yang kurang baik. Ada saja yang tidak kena. Tapi makan agak berselera. Mussaab pula hanya makan sedikit. Lepas makan Anas keluar mencari ipad, dan leka dengan ipad. Mussaab sekejap keluar dan sekejap masuk ke dapur. 

Jam 9.30 pagi, ummi rebus jagung yang cik bagi semalam. Jagung memang kesukaan Anas dan Mussaab. Dah masak, bagi Anas dan Mussaab makan. Mussaab makan agak banyak. Mungkin kerana tadi makan sikit saja nasi lemak. Anas yang dah kenyang hanya makan sedikit. Lepas tu keluar semula dan asyik dengan ipad lagi. Mana taknya, ummi dah download apps baru untuk Anas dan Mussaab belajar. Dari semalam, ipad menjadi pilihan sampai berebut dibuatnya. 

10 pagi, ipad berpindah ke tangan Mussaab pula. Anas menonton video 'chuggington' dan 'heroes of the city'. Bosan menonton, Anas berbasikal di dalam rumah.  Ummi keluar menjemur kain, Anas juga keluar dari rumah dan cuba memanjat pokok. Sekejap saja, lepas tu Anas mundar mandir di luar tak tahu nak buat aktiviti apa lagi. Kesian.. Mussaab masih bersama ipad.



Pukul 11, Anas meminta pen dan kertas untuk melukis. Sambil lukis, ada saja yang tak kena. Last last, tak nak melukis dah. Pen dan kertas berpindah ke tangan Mussaab. Mussaab pula leka menconteng di kertas. Anas ambil ipad sekejap, lepas tu menampal sticker di almari. Ummi sorokkan ipad. Tak nak biarkan Anas dan Mussaab terus leka dengan ipad saja. 




Jam 11.30, ummi buatkan jagung butter, ingatkan ummi nak makan sorang je. Rupanya Anas dan Mussaab juga berminat, dan bertambah makannya. Ummi pula yang kena makan sikit je. Itupun masih minta nak tambah lagi. Ummi janji nak buat lain kali pula. Sambil makan, Anas belajar membaca menggunakan buku 'siri buku pantas membaca'. Belajar membaca bahasa melayu pula, memandangkan bahasa inggeris Anas dah boleh. Alhamdulillah dah habis bab 3. Itupun belajar perlahan lahan, ketika Anas mudah diajak belajar. Anas dah boleh baca perkataan yang simple. Alhamdulillah :)





Jam 12, sambung menonton video lagi. Menonton 'Maya the bee' pula. Anas yang buka sendiri. Maklumlah dah pandai baca folder, dah boleh tekan sendiri. Itupun mengamuk juga bila tersalah tekan. Sabar ajelah..Ummi tak berapa suka sebenarnya bila Anas dah pandai guna komputer, takut tak terkawal pula nanti. Ummi perlu lebih memantau dalam bab menonton video sekarang ni. Maklumlah bila menonton video kesukaan, masa berlalu pun tak sedar. Melekat saja di kerusi. Mata pun menatap di skrin saja. Mussaab setia menonton bersama. Tengok saja video apa yang Anas buka. 

Jam 12.30, ummi suapkan makan. Nasi lemak lagi untuk lunch Anas dan Mussaab. Sambil makan, sambil main dan bergurau. Mujurlah tak ada yang menangis. Selesai makan, basuh tangan dan mulut, berlarian dan berkejaran pula hingga ke luar rumah. Penuh keriangan. Lepas tu bermain salotape pula. Tampal sana sini. 

Sementara menunggu untuk solat zohor, ummi online sekejap. Anas dan Mussaab masih bermain dan bergurau. Gamat suara ketawa dan menjerit. Macam macam aksi dan watak dilakonkan bersama. 



Azan zohor, semua masuk ke bilik. Anas dan Mussaab mandi. Ummi juga bersiap dan solat. Lepas solat, ummi ajar Anas baca al quran. Alhamdulillah Anas baca dengan baik. Masih surah 'abasa (ayat1-28). Lepas tu, Anas mula mencari ipad yang tadi sudah dilupakan. Jumpa juga walaupun ummi dah sorok. Mussaab nak juga, tapi tak dapatlah. Mussaab jalan ke sana ke mari. Barang di almari juga dicampak ke bawah. Puas ajak tidur, akhirnya tertidur juga bersama ummi.

Ummi bangun jam 4 petang. Anas langsung tak tidur. Tak pasti Anas buat apa selain bermain ipad. Ummi tunggu azan asar. Anas bermain kereta permainan pula. Mussaab masih lena. 

Lepas solat ummi ke dapur, masak nasi dan perap ayam untuk makan malam. Anas juga ikut. P. Long datang rumah mek. Mussaab bangun tidur, menangis mencari ummi. Semua masuk ke dapur. Tak lama kemudian cik datang. Ummi goreng ayam dan suapkan Anas dan Mussaab makan. Lepas tu Anas dan Mussaab  keluar tolong cik dan mek kutip buah cermai. Kemudian makan colek cermai. Mussaab makan, Anas tak suka asam.

6.30, abe Loh pula datang ajak Anas dan Mussaab ke rumah p. Long. Anas dan Mussaab mandi dan bersiap untuk ikut abe Loh. Hampir masuk waktu Maghrib, menuju ke rumah p. Long. Tiba tiba dapat masej dari abi yang berada di lautan. Kata abi, kapal yang dia naik ada internet. So, dapatlah whatsapp. Alhamdulillah. Rindu pada abi.

Di rumah p. Long, ummi dan mek solat maghrib dan isyak. Anas dan Mussaab ulang alik rumah p. Long dan rumah p. Ngah, main dengan abg Faris dan kak Zana. 

Selesai solat, makan jagung rebus dan minum air teh di rumah p. Long. Lepas tu abe Loh hantar balik ke rumah mek. Mussaab yang masih belum mengantuk, membuat aktiviti sendiri, menconteng di kertas. Ummi siapkan tempat tidur dan kemudian tutup lampu. Anas yang dah mengantuk, terlena jam 10.30. Tinggal Mussaab masih berguling dan tak tahu nak buat apa dalam gelap. Akhirnya terlena juga jam 11 malam. 

Alhamdulillah, hari ini sudah berlalu. Anas dan Mussaab menjalani hidup dengan baik. Kesihatan juga baik. Syukur pada Allah yang Maha Kuasa. Terlalu rindu pada abi yang jauh. Semoga Allah menjaga abi dan menjaga kita semua. Semoga hari esok akan lebih baik buat kita. Insya Allah :)
Saturday, 30 July 2016 0 comments By: Naemah

RUTIN SEORANG UMMI




Setiap hari, bermula dari anak anak ummi bangun dari tidur, maka di situ bermulalah rutin ummi bersama anak anak ummi, Anas dan Mussaab.

Dulu ketika ada anak seorang, tak sama seperti sekarang bila dah ada dua anak. Tak lama lagi insya Allah bertiga pula :) maka situasi pasti akan sedikit berbeza pula. 

Dunia dan kehidupan ummi, di rumah inilah, bersama anak anak ummi. Tak dapat lari ke mana, hanya di sini bersama sama kalian yang ummi cinta. 

Rutin harian ummi setiap hari sama saja. Kerana Anas dan Mussaab masih kecil, maka masih tak mampu menguruskan diri sendiri. Hampir segala hal yang berkaitan diri Anas dan Mussaab perlu ummi lakukan.

Rutin harian biasa, sebagai ibu yang tak bekerja. Setiap hari dan setiap masa bersama anak anak ummi. Perlu mandikan kalian, pakaikan baju, masak dan suapkan makan, mengajar, mengemas rumah dan mainan, menyapu sampah dan mana yang tertumpah, memenuhi permintaan demi permintaan, dan sebagainya. Itulah yang perlu ummi lakukan setiap hari. Lebih lebih lagi bila abi tiada. Segala yang berkaitan Anas dan Mussaab, hanya terletak di bahu ummi.

Kerana ummi juga manusia biasa, adakala ummi bertenaga dan tiada masalah menguruskan segalanya. Namun adakalanya juga ummi kepenatan, dan kurang bertenaga untuk melakukannya. Adakala mood ummi sangat baik, dan ummi sangat positif. Adakalanya juga emosi ummi terganggu dan ummi cepat nak marah.

Setiap detik antara kita, ada cerita yang tersendiri. Adakala penuh riang dan tawa, adakala penuh drama yang mengusik jiwa. Ummi hakikatnya bahagia dapat menguruskan setiap hal anak anak ummi  dengan tangan ummi sendiri. Ummi malah kesal, di saat ummi tak begitu baik  dalam memenuhi keperluan anak anak ummi.

Saat ummi diusik kesal, ummi merenung ke wajah anak anak ummi. Masa kecil anak anak hanya sebentar cuma. Tak bolehkah ummi terus ikhlas melayan, dan terus bersabar dan tetap bersabar meski di kala ummi penat dan letih. Pasti suatu hari ummi rindu saat saat seperti ini. 

Saat menyuap makan, hingga kadang bertambah tambah dan masa pun berlalu tanpa sedar, belum kira tumpah di sana sini dan terpaksa pula dilap dan disapu..saat memandikan, walau sering terpaksa berkejaran untuk dimandikan dan basah kuyup pula ummi saat memandikan kalian... saat belajar dan mengajar, meski buku bertaburan di lantai, pen dan pensel kerap hilang entah ke mana, kertas juga bersepah dan perlu dikutip... juga tika saat bermain, permainan bersepah tak kira tempat, terpijak di kaki, rosak sana sini meski baru dibeli... masuk pula bab meleraikan pergaduhan adik beradik kerana hal remeh temeh, termasuk berebut sebiji bantal :), dan berbagai aksi harian yang dapat ummi saksikan hari ini. 

Ummi pasti rindu. Ummi pasti terkenangkannya. Cuma ummi tidak pasti, adakah anak anak ummi juga akan ingat segala detik manis ini? Tika kalian sudah besar dewasa, apakah kenangan bersama ummi masih segar di fikiran kalian? Saat riuh rendah, riang ketawa bersama, apakah kalian tidak akan lupa? Atau sekadar mengingati saat saat dimarah ummi saja :(

Ummi cuba belajar untuk lebih ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab ummi. Meski nampak remeh di mata insan yang kurang memahami, insya Allah ia sangat besar di pandangan Allah. 

Ummi tahu mana letaknya ummi. Ummi sedar apa tugas dan keutamaan seorang isteri dan ibu. Di rumah inilah, di sisi suami. Di rumah inilah, bersama anak anak. Anak anak ummi, amanah Allah untuk dijaga, dan dididik dengan sebaiknya. Ummi ikhlas, ummi tak merasakan ia beban. Walau di kala ummi tak berdaya, ummi tahu ummi tetap perlu menjaga ikhlas ini. Cuma ummi perlu belajar untuk tingkatkan sabar, agar ummi sentiasa positif dalam melaksanakan tanggungjawab. 

Sungguh ummi hargai setiap detik bersama anak anak. Ummi sedar masa akan terus berlalu dan detik ini hanya akan tinggal sebagai kenangan.Begini Lumrah hidup. Cuma harapkan ummi mampu memberikan yang terbaik buat anak anak ummi, selagi kalian masih bersama ummi, dan masih memerlukan ummi, di ketika ini. 

Semoga Allah memimpin langkah ummi. Diberi kekuatan dan kesihatan,diberi kesabaran dan usia, dan semoga ummi akan mampu menpertahankan 'ikhlas' di hati ummi demi amanah Allah ini. 

Aameen.
Thursday, 28 July 2016 0 comments By: Naemah

HANYA UJIAN KECIL

picture: here

Alhamdulillah sudah berada di minggu ke 30 kehamilanku. Perut dah semakin besar, berat bertambah tambah, pergerakan juga makin terbatas :) sukar untuk bangun duduk, nak tukar posisi tidur terasa payah, pergerakan dalam solat juga terasa berat. Nak buat kerja kerja berat pun dah tak berapa nak larat. Bukan berat mana pun. Nak mengangkat bakul kain untuk dijemur pun dah termengah. Ada ketika kena angkat Mussaab, memang terasa tak berdayanya... Tapi tika terpaksa apa boleh buat.

Yang rasa susah sikit tu ialah bila suamiku tiada di rumah untuk membantu. Bertambah sukar bila perginya lebih lama dari kebiasaan. Namun apa boleh buat, dia pergi pun kerana tanggungjawab. Memang dalam tempoh itu, hampir semua perkara aku perlu uruskan sendiri, especially bab anak anak. Anak pula tu masih kecil dan tak berapa faham keadaan ummi. Ada ketika ummi perlu jelaskan, tika diri tak begitu berdaya nak melayan permintaan mereka. Ya, adakala mereka faham, adakala ummi tetap perlu melayan permintaan mereka. 

Sekarang aku dan anak anak berada di kampung. Meski di kampung, kebanyakan hal perlu diuruskan sendiri juga. Tak sampai hati nak susahkan ibu yang telah tua. Itupun tanpa sedar banyak menyusahkan juga.

Hari ini ditakdirkan aku sakit perut. Entah sebab apa. Dari pagi hingga ke malam, masih sama keadaannya. Rasa yang sekejap ok, sekejap memulas. Adakala rasa nak muntah juga. Mungkin angin, mungkin tersalah makan. Buat aku rasa lemah dan rasa nak baring saja. Namun hal keperluan anak anakku perlu aku uruskan juga. Perlu mandikan mereka, masak dan suapkan makan, kemas mana yang tertumpah dan bersepah, dan yang sewaktu dengannya. Alhamdulillah, dalam sedikit kepayahan aku boleh lakukan juga. 

Malam ini anak anak 'dipaksa' tidur lebih awal memandangkan siang tadi langsung tak tidur. Alhamdulilah sudah lena keduanya. Tinggal ummi yang masih sukar nak lelapkan mata. Sakit perut masih mengganggu. Namun dalam keadaan yang masih boleh bertahan. Alhamdulillah baby juga aktif. Saat saat begini, bertambah aktif :) semoga sihat ya sayang :)

Sekadar ujian kecil buatku, setelah terlalu banyak nikmat yang aku kecapi dalam kehidupan seharianku. Juga masa untuk aku bermuhasabah, betapa hidup ini sedikit atau banyak akan teruji. Apa sangatlah ujian buatku ini, berbanding mereka yang lebih besar ujiannya. Bersama sedikit kesakitan ini, ku mohon agar dosaku turut diampuni.

Semoga hari esok akan lebih baik. Semoga Allah memberi kekuatan dan petunjuk untuk aku menjalankan tanggungjawab sebaiknya sebagai seorang isteri dan ibu. Aameen

MENDIDIK BUKAN MENGHERDIK


picture: here


Marah anak biar berpada. Marah jangan sampai mengherdik/menengking/menjerit atau seumpamanya. Marah untuk mendidik, bukan untuk menghukum. Jangan lupa, dalam marah perlu juga perhatikan kata kata yang keluar, kerana setiap kata dan ungkapan akan menjadi sebuah doa.

Pesanan ini tak lain tak bukan, hanya untuk diriku sendiri. Betapa aku sedar aku ibu yang kurang sabar, mudah sentap dan mudah naik angin. Bukan tak tahu, tak baik marah marah. Bukan tak tahu, marah banyak memberi kesan tak baik pada anak, namun tiba saat yang menguji sabar, kemarahan itu tetap mengatasi segala. 

Namun syukur, diri masih mampu menjaga lisan agar tiada ungkapan yang tidak baik keluar dari bibir. Aku sedar di mana tempat seorang ibu. Betapa kata kata ibu menjadi sebuah doa buat anak anak. Baik ungkapan ibu, maka ia menjadi doa yang baik. Begitulah juga sebaliknya. 

Sebagai ibu yang setiap hari dan saban waktu bersama anak anak, hati sering teruji dengan tingkah mereka yang sedang lasak membesar. Makin besar, makin cerdik, makin banyak akal. Kerana masih kecil, masih belum sepenuhnya mengerti baik dan buruk setiap perlakuan mereka. Maka, di saat inilah hati ibu ini sering teruji. Bila anak banyak akal, banyaklah experiment mereka, maka sering pula la ibu kepenatan dalam berhadapan dengan situasi yang bermacam dan yang tak terduga. 

Kadang kadang ibu yang sedang marah dan beremosi, akan mengeluarkan kata kata yang tidak baik pada anak. Anak tak berguna, menyusahkan, gila, tak dengar kata, dan bermacam kata yang tidak sepatutnya. Istighfarlah... Kata kata ibu itu menjadi satu doa. Sedarilah ibu..Jangan mengulangi kata kata yang buruk dan negatif itu lagi. Takut bila memikirkan di masa akan datang apa yang pernah kita lemparkan pada anak itu akhirnya menjadi kenyataan. Na'uzubillah.

Memang sakit hati melihat ibu marah marah anak di khalayak, sakit hati mendengar kata-kata buruk dan sumpah seranah yang keluar dari mulut ibu, sakit hati bila anak yang silapnya sikit saja dihukum dengan hukuman yang tak sepatutnya.

Ya, aku sendiri sering saja marah pada anak. Aku tahu aku silap. Marah itu hadir selalunya atas niat untuk menegur, namun mungkin tersilap cara. Aku juga tak kisah jika ada orang lain 'marah' pada anak anakku, tapi aku dapat membezakan marah yang mendidik/menegur, atau marah kerana  merasakan hak dan privasi mereka terganggu dek anak kecil ini. 

Bagaimana rasa seorang ibu melihat anak anak dimarah orang? Dah tentu rasa kecil hati. Itu anak kita kan. Ibu mana tak sayang anak? Tapi jika itu sebuah teguran baik dan sesuai, takde masalah pun. Memang kita tahu anak kita masih kecil, masih tak matang, masih buat sesuka hati kerana tak tahu baik dan buruk. Maka tak salah jika ada insan lain yang sudi menegur kesalahan anak kita. 

Pada anak anakku, entah berapa kali termarah, ternaik suara semua... Tapi pada anak orang lain aku cuba untuk berlembut dan menegur secara lebih baik demi menjaga hati ibu mereka. Dalam rasa nak marah sekalipun, berdiam diri adalah menjadi pilihanku. Biasalah.. Budak kecil kan??

Jadi kesimpulannya di sini, ibu ibu cubalah banyakkan bersabar dalam berhadapan dengan karenah anak kecil. Biar mencabar, biar dicabar, jagalah agar tiada lisan yang keluar yang akan membuahkan kekesalan di masa yang akan datang.

Pada insan lain, yang mungkin kerap berhadapan dengan anak kecil, anak saudara, anak jiran, atau anak sesiapa saja, fahamilah anak kecil memang banyak ragam dan sering menguji kesabaran orang dewasa. Tanganilah mereka dengan penuh hikmah dan kasih sayang. 

Jika hari ini anda masih tiada anak, ingatlah satu hari akan ada anak juga. Jika baru ada baby, ingatlah satu hari nanti baby tu akan membesar dan ada karenah tersendiri. Jika perangai anak kita tak sama dengan perangai anak dia, ingatlah setiap orang ujiannya berbeza. Maka tak perlulah nak marah marah dan fed up dengan anak orang :) 

Peringatan buat diriku yang bergelar ibu. Semoga lebih sabar berhadapan dengan anak bijak dan solehku, semoga tak memandang rendah pada anak orang lain meski mereka berbeza dengan anak anakku. Mereka semua anak syurga yang  hadir untuk dibentuk, dilayani dan disayangi.

Insya Allah :)
Wednesday, 27 July 2016 0 comments By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: DIARI HAMILKU


Setia bersama catatan :) 

Setiap kali disahkan mengandung, maka setiap kali juga aku akan mencatat apa yang berkaitan dengan kehamilanku, hampir setiap hari. 

Sudah 5 kali sah mengandung (termasuk 2 keguguran). Semuanya ada catatan tersendiri. Aku rasakan aku perlu mencatat, dan aku seronok mencatat :)



Kandungan pertama tidak ada apa sangat yang dapat kucatat. Kandungan berakhir di usianya 11 minggu. Begitu juga kandungan ke 4, ia berakhir di usia 7 minggu. Sekadar catatan tarikh upt, dan permasalahan awal hingga terjadinya keguguran. Di ketika itu, catatan dibuat bersama emosi dan kesedihan. Namun ia tetap catatan penting yang akan menjadi rujukan di masa yang akan datang.

Kandungan kedua, ketiga dan kelima (sekarang), ada catatan yang lebih panjang dan rapi. Catatan dari awal kehamilan sehingga kelahiran anak anakku. Tidaklah terlalu detail, cukup key point untuk menyatakan keadaanku sepanjang kehamilan; apa yang aku rasa, apa perubahan pada diri, masalah kesihatan, keputusan check up, dll. 

Penting sangatkah?? Hmm.. Tiada kepentingan pada orang lain, tapi sangat berguna pada diriku sendiri. Penting atas beberapa sebab:

Rujukan masa depan
Apa yang aku catat hari ini, mungkin berguna di masa yang akan datang. Mungkin pada saat kehamilan anak anak yang seterusnya. Aku boleh menilai keadaanku dengan merujuk pada catatan yang lepas. Jadi, jika ada sebarang masalah yang lebih kurang sama dengan yang lepas, aku sendiri boleh agak adakah ia serius atau sebaliknya.

Langkah peringatan buat diri
Selalunya, keputusan pemeriksaan antenal yang kurang baik/ bertulisan merah akan aku catat di bukuku untuk peringatan pada diri. Contohnya hb low, result bsp, discharge, dll. Maka aku tahu masalah aku, dan aku cuba ambil berat dan lakukan usaha sekadar kemampuan. Nak selalu buka buku klinik tu pun susah juga nak faham tulisan dan istilahnya. Lebih baik catat sendiri dengan tulisan dan bahasa yang lebih mudah :)

Sering berhadapan dengan masalah
Pengalaman lepas, especially keguguran membuatkan aku rasa aku perlu lebih berhati hati dan selalu memerhati keadaanku. Jika ada sedikit masalah, atau yang kemungkinan sama dengan yang lepas, menjadikan aku lebih tenang dan tidak panik. Contohnya bleeding, boleh jadi ia ancaman keguguran,boleh jadi bleeding normal. Begitu juga dengan masalah kencing manis yang aku hadapi setiap kali mengandung. Dengan catatan, aku akan lebih berjaga jaga.

Catatan sebagai teman 
Setiap kali check up, suami tak dapat untuk menemani. Apatah lagi ada anak anak lain yang perlu dijaga. Maka keadaan kita, masalah kita, kerisauan kita, hanya kita yang tahu. Suami tak rasa, suami sukar untuk faham keadaan kita. Kita boleh cerita, tapi adakala cerita tu tak sampai :) maka catatan boleh menjadi tempat meluah sedikit rasa, meski tak mampu nak luahkan segalanya juga. Sekurangnya, bila menulis hati akan lebih lapang.

Kerana memang suka menulis
Yang ini memang kesukaan azali. Kerana memang suka menulis, dan mendapat kepuasan dengan menulis. Maka, yang punya kesukaan sepertiku ini, mencatat pasti menjadi rutin di saat bahagia mengandungkan si kecil ini :)

 Itu sajalah alasan yang mampu aku berikan dan senaraikan di entri catatan kehamilan ini. Aku tak pasti orang lain bagaimana, namun aku bahagia dan akan setia mencatat pada setiap kehamilanku. 

Pada anak anak ummi, catatan itu membuktikan ummi bahagia mengandungkan kalian, catatan itu membuktikan ummi sangat menanti kehadiran kalian. Catatan ini membuktikan ummi ambil berat akan kandungan ummi dan mengharapkan anak anak ummi sihat dan selamat dilahirkan.

Sekian catatan hari ini :)




DIARI ANAKKU: 270716

Hari ini hari ke-4 tanpa abi di sisi. Semalam seharian Anas dan Mussaab menemani ummi check up baby di klinik desa dan klinik kesihatan. Penat bermain dan bebas berlari, malam tadi tidur lebih awal dari biasa.

Anas bangun jam 8.30 pagi, mandi dan berpakaian. Kemudian Mussaab pula bangun, mandi dan menyertai Anas yang dari tadi minta nak menonton video Tayo. Ummi ajak makan dulu pun tak nak. Ummi buka video Tayo untuk Anas dan Mussaab tonton bersama. Semalam Anas dan Mussaab tak menonton video, jadi hari ini ummi penuhi permintaan Anas walaupun masih pagi.

Ummi suapkan Anas dan Mussaab makan bihun goreng, sambil Anas dan Mussaab menonton. Tadi tak nak makan, dah suap, banyak pula makannya. Lepas suap makan ummi sapu sampah dan kemas ruang tamu dan bilik. Anas dan Mussaab masih di depan laptop. 

Jam 9.30 pagi, ummi duduk di sofa untuk buat kerja ummi mencatat di buku ummi. Bawa bersama buku Anas dan Mussaab. Anas menutup video, dan keduanya datang mendekati ummi. Mussaab minta pen ummi untuk menulis. Anas juga mencari kertas dan pen untuk menulis dan melukis. Anas memang suka menulis sekarang. Buku buku dah banyak dipenuhi tulisan Anas. Tulisan surah juga berjaya ditiru Anas dengan baik. Cantik juga tulisan arabic Anas :)






Ummi siapkan catatan ummi. Mussaab mencapai ipad yang ada di sofa. Ummi biarkan juga, memandangkan dah 2 hari Mussaab 'lupakan' ipad. Anas masih dengan pen dan buku. Ummi mengambil hand bag, teringat nak mengira duit raya Anas dan Mussaab yang dah lama tersimpan di dalam hand bag ummi . Anas dan Mussaab juga tertarik untuk sertai ummi. Tertangguh sekejap urusan ummi bila masing masing dah berminat dan mengambil duit yang ummi dah susun. Ummi biarkan saja, sehingga masing masing puas dan menyerahkan semula duit pada ummi. Anas dan Mussaab sambung buat hal masing masing sambil diperdengarkan surah juzuk amma yang dah banyak hari ummi tak pasangkan.

Jam 10.30 pagi, Anas masuk ke kedai mek dan bermain basikal. Kemudian ambil kek apollo dan makan. Lepas tu keluar dan minta nak makan nuget pula. Ummi minta stop makan dulu. Masing masing sambung main dan buat hal sendiri. Ada juga part mengusik, pukul memukul dan menangis. Ummi cuba tahan dan leraikan. Anas minta hp ummi. Sekarang suka tengok application weather forecast yang ada dalam hp ummi. Lepas tu tengok video video lama.



Jam 11.15, ummi masuk ke dapur untuk perap ayam dan goreng nuget. Ummi suapkan bihun goreng sekali lagi, sambil makan nuget. Cik juga datang sekejap ke rumah mek. Kemudian balik semula, tak boleh nak layan sangat Anas dan Mussaab. Anas dan Mussaab ke ruang tamu, minta ummi ambilkan mainan yang ummi dah kemas dan simpan. Ummi minta Anas janji untuk kemas balik lepas main. Anas iyakan..

Jam 12, masih bermain dengan permainan blok dan kereta. Anas dah bosan bermain, mengacau Mussaab yang sedang menyusun kereta. Bising lagi dengan tangisan Mussaab. Tadi dah kena marah dengan ummi sebab main tekan tekan laptop. Bila kena marah, Anas makin buat perangai. Ummi tarik dan peluk Anas. Ummi nasihat baik baik, baru Anas berhenti mengusik Mussaab. Haish.. Ummi memang tak mampu kawal emosi marah lagi. Padahal ummi tahu reaksi Anas lebih teruk lepas kena marah. Maafkan ummi..

Anas minta hp ummi lagi. Ummi berikan pada Anas. Anas asyik menonton video di dalam hp dan melihat weather seperti biasa. Entah apa yang Anas faham. Ummi cuba jelaskan jadual tu untuk apa, mungkin Anas faham, mungkin kurang faham lagi :) tak mengapalah. Ummi faham benar minat Anas. Anas akan belajar lebih lagi. 

12.40, ummi rasa lapar. Ummi masuk ke dapur dan makan nasi. Mussaab juga sesekali masuk minta suapkan nasi dan menghilang keluar. Anas masih kenyang, katanya. Masih memegang hp ummi hingga ummi selesai makan. Ummi ambil buku 'saya sayang bahasa arab' untuk ajar Mussaab. Mussaab tak beri tumpuan, akhirnya buku berpindah ke tangan Anas yang memang sukakan buku itu sejak dulu lagi. Anas membaca dan menulis. Baca kuat kuat, namun Mussaab tak tertarik juga. Mussaab main kereta lagi, lepas tu kacau Anas yang tekun membaca. Anas pun dah penat membaca, kini bermain dan bergurau dengan Mussaab pula. Anas sporting hari ni jadi tiger untuk Mussaab.




Masuk waktu zohor, ummi solat. Anas dan Mussaab kemas mainan yang bersepah di lantai. Kemudian Anas main basikal dan melukis jalan dan kereta di kertas. Mussaab masih mengemas mainan. Kemudian Mussaab masuk ke bilik melihat lukisan Anas. 

Ummi ajak Anas dan Mussaab tidur, tapi keduanya tak nak tidur. Anas ke dapur nak minum air, Mussaab juga ikut. Lepas tu minta nak makan roti. Ummi dah tak larat nak bangun. Anas ambil roti dan sapu butter dan nutella sendiri. Lepas tu tengok mek buat kerja di luar rumah, sambil main. Ummi suruh masuk tidur, masih tak mahu.

Ummi terlelap sekejap. Bangun jam 3 petang, ke dapur mencari Anas dan Mussaab. Rupanya tengah tengok mek kopek ubi kayu. Bukan saja tengok, basah kuyup bermain air basuhan ubi. Ummi suruh Anas dan Mussaab mandi. Anas dan Mussaab terus ke bilik air. Anas mandikan Mussaab. Ummi tak larat, mujurlah Anas boleh mandikan Mussaab. Lepas tu keluar dan pakai seluar. 

Jam 3.30, Mussaab dah mula mengantuk dan berbaring di sebelah ummi. Akhirnya tertidur juga. Tinggal Anas masih aktif dan tak mahu tidur. Ummi yang masih mengantuk, juga lena bersama Mussaab. Anas sendirian membuat hal sendiri. 

Jam 4 lebih, Anas kejutkan ummi untuk beritahu hujan turun. Ummi cuba bangun, dah hampir masuk waktu Asar. Selepas solat ummi ke dapur mencari Anas. Tengah makan roti nutella lagi. Dah pandai buat sendiri. Ummi rasa lemah badan. Tekak juga rasa tak sedap, batuk saja dua tiga hari ni. Risau juga, dalam keadaan mengandung begini. Ummi makin rasa berat nak bergerak, menukar posisi tidur, dan untuk solat. Namun ummi cuba gagahkan diri juga.

Mussaab masih lena. Ummi goreng pisang untuk Anas. Kak Zana datang selepas balik dari kelas iqra. Anas main dengan kak Zana. Kemudian abang Faiz datang bawa ubat ummi dan sedikit makanan. Anas makan di luar bersama abang Faiz dan kak Zana. Lepas tu mereka balik, tinggal Anas seorang lagi. Mussaab masih belum bangun.

Jam 6 petang, ummi suapkan Anas makan nasi. Makan lagi dengan berselera. P. Long pula datang, ajak Anas ke rumahnya malam ni. Lepas p. Long balik, Mussaab bangun dari tidur. Sudah pukul 6.30. Bangun menangis sekejap, lepas tu ok. Cik pula datang rumah mek. 

Terima whatsapp dari abi yang berada di atas bot menuju ke Bintulu. Seharian tak dengar berita abi. Alhamdulillah selesai tugas abi, dan abi akan balik ke hotel sementara menunggu tugas berikutnya.

6.45 petang, Anas dan Mussaab mandi dan bersiap untuk ke rumah p. Long. Hampir masuk waktu Maghrib p. Long datang jemput untuk ke rumahnya. 

Ummi dan Mek solat maghrib dan isyak di rumah p. Long. Anas dan Mussaab bermain dengan abang Faris dan Kak Zana. 




Selesai solat, abang Loh hantar balik ke rumah mek. Anas dan Mussaab bersiap untuk tidur. Anas yang langsung tak tidur siang tadi, terlebih dahulu lena jam 10.30 malam. Kemudian Mussaab juga terlena.

Alhamdulillah. Anak anak ummi sedang lena tidur. Semoga mimpi yang baik dan indah. Semoga hari esok akan lebih baik untuk Anas dan Mussaab. Tak lupa pada abi yang jauh. Semoga dalam rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa.

Love u all...'


Tuesday, 26 July 2016 0 comments By: Naemah

CERITA KITA HARI INI

Hari ini, ummi ada temujanji di klinik untuk check up kandungan (29 minggu). Kerana berada di kampung, dan abi pula tiada, maka perlu menumpang di klinik desa di sini. Hajat nak pergi awal pagi, tapi Anas dan Mussaab masih lena tidur tak sampai hati nak tinggal walaupun klinik dekat je. Kalau tiba tiba bangun dan ummi tiada, susah pula la mek nak uruskan. Sabar jelah ummi menunggu sehingga Anas dan Mussaab bangun.

Dah 9 lebih baru bangun. Mandi, pakai baju, makan, dan sempat juga ummi jemur kain dulu sebelum ke klinik. 

Sampai di klinik, orang dah ramai. Perlu menunggu lama kali ini. Anas dan Mussaab dah tak boleh duduk diam. Ke sana ke mari, memanjat, dan bermain macam macam. Kena selalu pantau dan perhatikan. 

Misi minta datang petang, kerana orang ramai sangat. Misi juga beritahu hari ini perlu ke klinik kesihatan untuk temujanji doktor. Allah.. Tak sangka pula kena jumpa doktor. Abi tiada, kena minta pertolongan orang lain. Ummi iyakan saja dulu. Mood dah tak berapa nak baik. Mula rasa 'susah'nya macam ni, bila abi tiada. Anas dan Mussaab of courselah kena bawa bersama.

Ummi ajak Anas dan Mussaab balik. Agak penat jalan naik bukit, nak sampai ke rumah. 

Sebaik duduk lepaskan lelah, Anas pulak minta nak makan roti nutella. Minta tunggu dulu, nak juga. Ummi layan dengan mood yang dah tak berapa baik. Habis satu, nak satu lagi. Handphone yang ummi pegang diambil kasar, buat ummi jadi marah. Marah dan membentak, kerana mood dah tak berapa ok dari tadi. Anas dah mula diam, muka masam mencuka. Roti pun dah tak nak lagi.

Ummi rasa bersalah, ummi peluk Anas dan belai rambut Anas. Anas marah ummi dan pukul badan ummi. Ummi minta maaf. Anas masih mencuka dan mengambil kembali handphone ummi di dalam hand bag. Ummi biarkan saja apa yang Anas nak lakukan. Mood Anas dah kembali ok.

Mussaab yang sedang memegang ipad beberapa kali melepaskan ipad ke lantai. Ummi jadi marah lagi. Ipad dah retak dan tunggu masa nak pecah saja. Ummi cuba sabar. 

Masa makan, seperti biasa perlu suapkan Anas dan Mussaab walau ummi rasa kurang tenaga lagi. Malah, masih fikir kesukaran nak ke klinik petang ini. Ummi suap Anas dan Mussaab makan. Berkali tambah, tumpah nasi, tumpah air, berebut tempat duduk, bergurau sampai menangis, dan macam macam hal sehingga selesai makan. Tahan sabar lagi ummi walau hati dah kian panas..

Lepas suap makan kena kemas tempat makan, sapu mana yang tumpah pula. Ummi rasa penat yang tak terluah. Masih berfikir urusan check up yang belum selesai. Fikir bagaimana nak bawa sekali Anas dan Mussaab untuk temujanji doktor pula. Lama ke nanti kena menunggu. Ok ke nanti Anas dan Mussaab jika dibawa bersama. Semua hadir dalam kerisauan ummi. Abi tiada, memang rasa agak sukar sedikit kerana tiada yang boleh menjaga Anas dan Mussaab. Nak minta orang lain jaga, memang taklah. Anas dan Mussaab memang tak biasa ditinggalkan.

Perlahan lahan ummi cuba tenangkan hati. Bak pesan abi, be positive.. Ya, fikirkan balik memang bukan masalah besar pun. Tapi bila kena minta tolong dengan orang lain, rasa susah sikit. Takut menyusahkan. Ummi berdoa, dan pesan pada diri, segalanya akan ok! Cuba untuk rehat dan tenangkan hati. Pukul 2.30 perlu ke klinik desa dulu kerana urusan tadi belum selesai.

Tengah rehat, Anas dan Mussaab buat hal sendiri. Semestinya tak boleh nak duduk diam. Mussaab sepahkan mainan, Anas mengangkut kertas dan alat tulis, dan buat macam macam. Ummi dalam membiarkan, kena pantau dan banyak berpesan juga. Jangan buat itu, jangan buat ini..nak rehat sangat pun tak boleh juga. Boleh la sekadar nak rebahkan badan. Mood ummi dah rasa baik sikit.

Keadaan lebih tenang bila Anas dan Mussaab minta nak menonton video. Ummi boleh berehat dan baring baring, sementara Anas dan Mussaab menumpukan perhatian pada cerita yang diminati.

Dah bosan menonton, Anas tutup video dan Mussaab menangis kerana masih nak menonton. Keduanya mendapatkan ummi yang siap sedia untuk solat zohor. Hajat nak lelapkan mata sekejap sebelum ke klinik. Tapi tak boleh juga...

Hampir jam 2.30 bersiap untuk ke klinik. Anas, puas ummi suruh bersiap, kencing dan basuh muka semua. Mussaab, ummi ingatkan boleh tidurkan dia dulu sebelum pergi check up.  Tapi akhirnya bawa juga Anas dan Mussaab. Anas yang berbasikal, tak sengaja melanggar kaki ummi. Ummi yang kesakitan memarahi Anas hingga Anas terdiam lagi. Allah.. Kesian Anas kena marah lagi :,(

Terus ke klinik, ummi cuba jadi lebih baik, berbicara dengan Anas dan Mussaab. Di klinik, misi masih belum sampai. Menunggu sekejap. Ummi ok je. Boleh sabar menunggu sambil melihat Anas dan Mussaab berlarian di sekitar kawasan klinik. 

Check up ummi mengambil masa agak lama, satu jam lebih kurang. Anas dan Mussaab memang tak boleh duduk diam di klinik. Bermain sesuka hati. Barang barang misi juga diusik. Memanjat, melompat dan macam macam lagi. Ummi cuba melarang, namun masih bermain sesuka hati juga. 

Anas balik sendiri berbasikal. Risau pula ingatkan kereta motor yang lalu lalang. Ummi berteriak agar dia berhati hati di jalan, sambil memerhati dari jauh. Nak kejar, Anas dah jauh. Mujurlah rumah dekat saja dengan klinik.

Selesai di klinik desa, ke klinik kesihatan pula untuk temujanji doktor. Pergi dengan abe Loh, dan ajak cik sekali untuk tolong tengokkan Anas dan Mussaab. Mek juga ke klinik untuk mengambil ubatnya. 

Cabaran di klinik kesihatan pula. Dalam suasana orang yang lebih ramai, klinik yang lebih besar, Anas dan Mussaab dah pasti makin bebas ke sana ke mari. Memanjat kerusi, berlarian di dalam dan luar klinik. Ummi tak mampu nak control, mujurlah ada cik yang kejar ke sana ke mari. Bila hujan turun, Anas bermain hujan pula hingga kebasahan. Geramnya ummi, Allah saja yang tahu. Cik larang, pun tak dengar. Akhirnya tak main hujan lagi bila ummi cakap tak boleh balik kalau  basah. Bebas berlarian di dalam klinik pula. Main barang barang yang tak sepatutnya, cabut nama staff di papan kenyataan, dan ada ada saja yang buat ummi panas hati. Ummi juga yang kena keras melarang, cik cakap pun tak nak dengar.

Tiba giliran ummi bertemu doktor, Anas mengetuk kuat dan menendang pintu untuk masuk bersama ummi. Geram lagi ummi. Berkali kali Anas melakukannya hingga doktor beri izin Anas masuk. Di bilik doktor juga tidak duduk diam. Panjat  kerusi, panjat ummi, dan panjat katil di saat doktor scan baby. Sabar jelah ummi. Marah pun dalam berbisik, takut mengganggu doktor. 

Selesai di klinik, balik ke rumah mek. Hari dah nak gelap. Suap makan, mandikan dan pakaikan baju. Ummi penat tak terkata. Penat, seperti langsung tiada rehat hari ini. Sayu hati, tak pasti atas sebab apa. Ummi menangis seorang. 

Ummi rasa seperti keseorangan menanggung segala. Ummi rasa ummi sangat teruk kerana kerap marah pada Anas dan Mussaab dek penat dan merasakan diri berhadapan dengan keadaan sukar sendirian. Tapi siapa yang salah? Anak anak ummi langsung tak bersalah. Abi juga tak bersalah. Ummi rasa sangat sukar tanpa dia, namun ummi juga tak tahu bagaimana sukarnya abi di sana dalam menjalani tugasnya. Nurse, doktor juga tidak bersalah. Mereka menjalankan tugas mereka dengan sebaiknya, walau ummi rasa sukar untuk ikut apa yang diminta. Lagi susah rasanya bila perlu lebih kerap ke klinik dan berjumpa doktor. Sukar, kerana  jika abi tiada, ummi perlu bergantung pada orang lain. Meski mereka baik dan ikhlas membantu, namun untuk minta pertolongan demi pertolongan, terasa berat dan serba salah. Sukar, bila setiap kali temujanji klinik dan doktor, perlu bawa bersama Anas dan Mussaab yang tak boleh ditinggalkan pada orang lain. Anak ummi lasak, dan perlu sentiasa dipantau. Di klinik pula, makan masa berjam untuk setiap temujanji. Manalah ummi tak risau dan tak fikir panjang...

Tiada yang mampu ummi lakukan untuk mengubat hati. Ummi solat sunat taubat, mohon keampunan dari Allah atas segala dosa ummi. Ummi mohon kemaafan dari Anas yang belum sepenuhnya mengerti. Ummi memberi pesan dan nasihat selembutnya agar Anas menjadi anak yang lebih baik dan mendengar kata ummi. 

Malam ini, masih ada drama menguji hati dan kesabaran, Anas masih buat yang ummi tak suka. Bermain yang tak sepatutnya. Mengusik adik... Mussaab pula ada saja yang tak kena, asyik nak menangis dan meragam. Ummi nak habiskan bacaan al quran pun tertangguh tangguh dan sering terganggu. Ummi cuba tenangkan hati, tingkatkan sabar. Cuba jadi cool, tak mahu marah marah. Ummi menegur, namun ummi tak beremosi lagi. Hati ummi tak panas lagi. Ummi masih boleh berlembut lagi. 

Malam ini, Anas dan Mussaab terlena lebih awal dari biasa. Mungkin kerana penat, seharian bermain dan menemani ummi di klinik. 

Tiba masa untuk ummi merenung diri dan bermuhasabah. Ummi sedar betapa ummi banyak membuat kesilapan. Ummi berdosa pada anak anak ummi. Cerita hari ini adalah secebis dari keseluruhan cerita kita. Adakala ummi boleh menjadi ummi yang baik, ada ketikanya ummi berubah menjadi ummi yang sangat teruk. Maafkan ummi... Banyak perkara yang mempengaruhi emosi ummi hingga ummi sukar untuk berfikir dengan lebih matang dan rasional. Maafkan ummi kerana Anas dan Mussaab sering menjadi mangsa.

Hari ini sudah berlalu. Hari esok tidak pasti bagaimana. Doakan ummi agar mampu menjadi ummi yang lebih baik untuk Anas dan Mussaab :'(


"TEARS are words the heart can't say"
Monday, 25 July 2016 0 comments By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: PENGALAMAN MENGANDUNG YANG BERBEZA





Kini mengandungkan anak ketigaku. Bermakna sudah ada pengalaman mengandung sebelum ini, dan sudah 'biasa' dalam keadaan berbadan dua :)

Pun begitu, tiga kali mengandung (actually 5kali dah), pengalaman yang ditempuh tetap berbeza. Mengandung anak pertama, anak kedua dan anak ketiga, ternyata ada perbezaan dan cerita tersendiri.


Mei 2011-Januari 2012
Tempoh masa mengandungkan anak sulungku, Anas Zaydan yang kini sudah berusia 4 tahun 6 bulan. Mengandung kali pertama boleh dikatakan satu pengalaman yang sangat baru. Terasa diri begitu dimanja dan diambil berat hampir setiap masa. 

Tiada masalah morning sickness, kira-kira 1-2 bulan pertama aku berada di atas kapal, di lautan luas mengikut suamiku bertugas. Berulang alik Bintulu-Jepun, berehat sepenuhnya bak sebuah percutian yang sangat indah.

Balik ke kampung, juga tidak perlu berbuat apa memandangkan aku tidak bekerja, makan minum biasanya mak dan mak mertua yang uruskan, atau suami yang rajin ke dapur. Malah suami sangat menjaga, apa yang aku makan dan minum (maklumlah sebelum ini pernah keguguran). Sepanjang mengandung, hanya berulang alik KB-Jeli dan banyak berjalan juga.

Ketika ini juga masih bergelar pengantin baru, mengandung anak sulung pula, tiada tanggungjawab lain, terasa diri sangat dijaga dan diberi perhatian. Tambahan pula suami sedang bercuti panjang, hinggalah anak kami dilahirkan. Alhamdulillah :)



Mei 2013-Januari 2014
Ini pula tempoh masa mengandungkan anak kedua kami, Abdullah Mussaab yang kini sudah berusia 2 tahun 6 bulan. Mengandung kali ini juga tiada masalah morning sickness, dan seingatku paling tenang mengandungkan dia. Tidak berhadapan dengan sebarang masalah yang menimbulkan debaran di hati. 

Namun yang sedikit berbeza ialah ketika ini, aku juga perlu menjaga anak sulung kami yang ketika itu berusia 1 tahun lebih. Anas memerlukan perhatian hampir setiap masa, suami pula ketika itu bekerja di Petronas Sungai Udang sebagai pilot kapal. Rutin berulang alik ke tempat kerja setiap hari, dan aku perlu menguruskan Anas sendirian. Tapi tiada masalah sangat, Allah permudahkan segalanya. Mungkin sedikit penat saja :)

Suami juga dah tak terlalu risau seperti dulu lagi. Makan je la, selagi aku lalu nak makan :) Tapi dia seperti biasa banyak membantu urusan rumah dan memasak di dapur. Ini juga kali pertama kami hidup sendiri berjauhan dengan keluarga. Suamiku sudah tidak belayar jauh lagi. Hampir setiap hari dia ada untukku dan Anas.

Di minggu terakhir, kami sekeluarga pulang ke kampung menaiki kereta selama hampir 10 jam perjalanan. Aku selamat melahirkan anak kedua kami dengan mudah, setelah tiba masanya. Alhamdulillah :)



Februari 2016-Oktober 2016
Insya Allah ini tempoh mengandungkan anak ketiga kami. Pengalaman yang sedikit berbeza juga, kerana buat pertama kalinya aku berhadapan dengan simpton morning sickness setelah empat kali mengandung (yang sebelum ini keguguran juga). Tak pernah terfikir untuk menempuh pengalaman seperti ini. Dengan badan lemah tak bermaya, makan tak berselera, alah pada bau tertentu, muntah lagi.. memang pengalaman baru buatku :)

Dalam masa yang sama juga aku perlu menguruskan dua lagi anak yang tengah lasak membesar. Anak lelaki pula tu kan :) Yang berbeza lagi, suamiku kini banyak travel ke sabah dan sarawak meninggalkan aku dan anak anak. Ketika dia ada di rumah, memang dia banyak membantu uruskan rumah dan anak anak, tapi ketika dia tiada, memang aku perlu buat sendiri segala kerja. 

Tapi sehingga hari ini, aku dapat menempuhnya dengan baik. Jika suami perlu pergi lama sehingga seminggu atau lebih, dia akan menghantar kami balik ke kampung. Kandunganku juga Alhamdulillah tidak bermasalah. Anas dan Mussaab juga dapat aku jaga dan uruskan mereka meskipun ketika suami tiada. Cuma mengandung kali ini perlu lebih tenaga, dan tak boleh nak releks sangat :) boleh dikatakan mengandung kali ini lebih mencabar dan lebih penat ':) tapi aku perlu menghadapinya dengan ikhlas dan redha. Insya Allah.

Suamiku pula, dah berpengalaman jadi ayah, dah biasa isteri mengandung, maka keadaan aku tidaklah merisaukan dia sangat. Sesekali bertanya keadaanku, makan minumku juga dia serahkan pada aku untuk memilih sesuka hati :)

2 bulan lebih lagi tempoh masa yang perlu aku tempuh. Semoga kandunganku baik dan sihat, semoga aku sentiasa bertenaga meskipun dah semakin sarat, semoga Anas dan Mussaab dapat aku uruskan dengan baik, dan semoga yang dikandungkan ini akan selamat dan mudah dilahirkan. aameen


CATATAN KEHAMILAN: PEMERIKSAAN ULTRASOUND





Ketika sedang mengandung, atau saat bakal menimang cahaya mata, melakukan pemeriksaan ultrasound/scan baby menjadi satu part yang mengujakan dan membahagiakan. Aku juga tak lepas dari perasaan itu. Mengapa tidaknya, melalui ultrasound kita dapat melihat anak kita secara 'live' di dalam rahim kita. Walaupun tidak terlalu jelas, namun ia cukup memberi rasa yang membahagiakan.

Melihat dia bergerak, berpusing, menguap, menendang, dan sebagainya. Benar benar membuai perasaan seorang ibu :)

Aku sendiri telah menjalani pemeriksaan ultrasound sebanyak 4 kali sehingga berakhirnya trimester kedua ini. Kini sudah berada di trimester ketiga, mungkin akan melakukan pemeriksaan ultrasound lagi di klinik.

Pertama kali melakukan scan ialah ketika usia kandunganku sekitar 8 minggu. Suami membawaku ke Klinik Asyifa yang berdekatan dengan rumah. Sekadar untuk memastikan janin ada di kantung rahim dan membesar mengikut saiz yang sepatutnya. Alhamdulillah, dapat melihat gumpalan kecil di dalam rahim, yang membesar mengikut kiraan period terakhirku.

Kali kedua scan ialah selepas membuka buku mengandung di Klinik Desa Rinching Tengah, ketika usia kandungan 9 minggu. Temujanji doktor kali pertama di Klinik Kesihatan Beranang, dan di sini ujian ultrasound dilakukan. Sekali lagi melihat janin di rahim yang sihat membesar meskipun masih belum terbentuk sebarang anggota tubuh. 

Kali ketiga melakukan scan ialah pada trimester kedua, minggu ke-15. Aku yang semakin pulih dari simpton morning sickness mengajak suamiku ke klinik untuk scan anak kami. Masih ada kerisauan, meskipun sudah melepasi trimester pertama. Sekadar untuk memastikan jantungnya berdegup normal dan anakku membesar sihat. Kami ke klinik Asyifa sekali lagi. Dan ini juga kali pertama suamiku melihat anaknya ini melalui imbasan scan. Anas dan Mussaab juga turut serta tengok 'adik' mereka. Alhamdulillah,kandungan membesar sihat, degupan jantung juga dapat dilihat normal. Doktor pula memberi harapan anak aku 'girl' meskipun belum dapat melihat jelas jantinanya :)

Scan kali ke-4, dan yang terakhir ialah pada minggu ke-23 di klinik kesihatan Beranang. Kali ini hanya doktor yang melihat imej di skrin, dan aku tidak dapat melihat sendiri anakku. Kata doktor, anakku kemungkinan 'boy'. Eh.. Boy pulak :) tak kisahlah mana mana pun. Janji anakku sihat. Insya Allah. Kata doktor juga, ketika itu uri masih berada di bawah. Insya Allah akan naik ke atas, dan perlu scan lagi pada masa yang akan datang untuk memastikannya. 

Kini dah masuk trimester ke-3, minggu ke 29. Masih belum membuat scan selanjutnya. Mungkin pada temujanji doktor yang akan datang. Suami ada sebut nak scan 4D, tapi entah bila ada kesempatan. Bila baby dah semakin besar, scan 4D mungkin dah tak sesuai. Lagipun 2 anak sebelum ini pun kami tak pernah buat scan 4D.

Tertanya tanya juga, apa jantina anakku ini. Masih tak puas hati sebab tak tengok sendiri. Tapi hakikatnya, ia tetap menjadi rahsia sehingga anak ini lahir ke dunia. Scan banyak kali pun, kebenarannya hanya jelas selepas kelahirannya sendiri :)

Teringat ketika mengandungkan Mussaab anak kedua kami. Beberapa kali scan, tetap tak nampak jantinanya, sehingga dia dilahirkan barulah tahu kami mendapat anak lelaki :)

Apapun semoga anak yang ku kandung ini sentiasa sihat dan mudah saat dilahirkan. Anak lelaki atau anak perempuan, Allah saja yang lebih tahu mana yang terbaik untukku dan suami. 

Semoga Allah menjagamu sentiasa sayang. Ummi dan abi menanti saat indah kelahiranmu :)