Monday 18 July 2016 By: Naemah

MAAFKAN AKU DUHAI IBU YANG MELAHIRKAN

Aku dibesarkan ibu sendirian sejak usiaku 3 tahun. Ayah meninggal dunia, di saat aku belum mengerti tentang kehidupan. Alhamdulillah ada abang dan kakak yang turut membantu meski mereka ada kehidupan sendiri. Namun di rumah itu...hanya ada aku dan ibuku.

Ibuku, seorang yang rajin dan tekun bekerja dan berusaha. Menoreh getah sendirian di tanah seluas 6 ekar. Berjalan kaki pergi dan balik, tak kurang 1 jam perjalanan. Demi mencari rezeki, tak mengharap pada sesiapa, malah pada abang kakak tak pernah ingin menyusahkan. Aku pastinya tak mengerti kepayahan dan keperitan itu..

Aku belajar dan berbelanja dengan senang hati, tak pernah ada masalah kewangan. Dari sekolah rendah, hingga ke menengah hingga ke universiti. Hidupku mudah dan senang. Semua hasil penat lelah ibuku.

Hari ini, aku sudah menjadi seorang isteri juga seorang ibu. Ibuku pula sudah semakin tua dan semakin uzur. Hidup sendirian, meneruskan hidup. Tak pernah ingin bergantung hidup pada sesiapa, meski pada anak anak. Padanya, selagi mampu dengan kudrat dan tenaganya, dia akan cuba lakukan segalanya sendirian.

Hari ini ibuku sudah tidak bekerja, malah harta sudah lebih dari mencukupi. Kehidupan sehariannya hanya di rumah, meneruskan sisa kehidupan dengan kerja kerja ringan dan beramal mengikut kemampuan.

Ibuku telah tua, sudah sangat tua. Keperitan masa lalunya hanya dia simpan sendiri. Aku....sehingga hari ini masih belum mampu untuk mengerti. Kerana hidupku tak sesukar dia. Aku tidak bersusah payah seperti dia.

Hampir separuh usianya membanting tulang hanya untuk menyara kehidupan dan pengajianku. Tak terkira berapa banyak yang dia habis untukku. Aku menyedari hakikat itu. Namun sehingga hari ini... sedikit pun aku tak mampu untuk membalas jasanya.

Nak hulurkan wang sendiri, aku tak bekerja. Nak selalu pulang dan tinggal bersamanya, aku ada keluarga sendiri dan ada keluarga yang lain juga. Nak bawa dia jalan jalan, hmm... jarang nak fikirkan tentang itu. Nak ringankan kerja kerjanya, tapi nampaknya dia lebih penat tika kami sekeluarga balik berkampung di rumahnya. Nak dengar cerita dan luahan hatinya, ahh...selalu tiada masa...

Aku sering merasa bersalah, dan serba tidak kena. Aku sedar aku bukan anak yang baik. Tak pernah mengenang budi, banyak membuat hatinya luka dan kecewa. Meski hingga ke saat ini... saat diri juga sudah bergelar seorang ibu. Banyak memikirkan hal sendiri, langsung tidak endah pada hati dan perasaan ibu yang telah tua, yang banyak bersusah payah, yang sering memaafkan, yang tak pernah jemu berdoa. Untuk anaknya ini....

Sedikit pun aku tak mampu untuk membalas segala jasa dan pengorbanannya. Aku tak mampu menjaganya, tak mampu menghulurkan kesenangan untuknya, sering tiada masa untuk membantu dan meringankan kesukarannya.

Aku, tika ini masih mengharapkan ibuku fahami kedudukanku, yang tak boleh selalu ada untuknya. Aku, tika ini sering mengharapkan kemaafan dan redha darinya agar aku tenang menjalani hidup ini. Aku, tika ini sangat mendambakan doa darinya yang bergelar ibu, kerana aku percaya hidupku hari ini baik dan lapang, kerana berkat doa seorang ibu.

Aku mohon Allah mengampuni segala dosa ibuku, dan menerima segala amalannya. Apa yang telah ibu korbankan buatku selama ini, dari saat aku dilahirkan hingga aku menjadi isteri orang, hanya Allah saja dapat membalasnya. Hanya Allah...

Aku hari ini... bertatih belajar menjadi ibu yang baik untuk anak anakku, walau aku sering gagal. Dari kepayahan, dari kesukaran, aku cuba menyelami pengorbanan ibuku selama ini, meski aku masih belum benar benar mengerti.

Sungguh, hati ibuku yang telah tua itu tak termampu aku selam. Segala jerit perih, susah payah, segala kesunyian, hajat yang belum tercapai, keinginan yang tidak terluah.... aku sendiri tak mampu untuk menduga.

Dengan cebisan rasa sayu dan simpati ini, aku mendoakan agar kehidupan ibuku hari ini benar benar memberi kepuasan dan ketenangan pada hatinya. Setelah apa yang telah dia lalui selama ini, aku mengharapkan tiada lagi kepayahan dalam hidupnya selepas ini.
Segala jasa dan pengorbanan seorang ibu, takkan mampu dimengerti oleh seorang anak. 

Semoga syurga hadiah buat seorang ibu yang telah banyak berkorban.

0 comments:

Post a Comment