Tuesday 26 July 2016 By: Naemah

CERITA KITA HARI INI

Hari ini, ummi ada temujanji di klinik untuk check up kandungan (29 minggu). Kerana berada di kampung, dan abi pula tiada, maka perlu menumpang di klinik desa di sini. Hajat nak pergi awal pagi, tapi Anas dan Mussaab masih lena tidur tak sampai hati nak tinggal walaupun klinik dekat je. Kalau tiba tiba bangun dan ummi tiada, susah pula la mek nak uruskan. Sabar jelah ummi menunggu sehingga Anas dan Mussaab bangun.

Dah 9 lebih baru bangun. Mandi, pakai baju, makan, dan sempat juga ummi jemur kain dulu sebelum ke klinik. 

Sampai di klinik, orang dah ramai. Perlu menunggu lama kali ini. Anas dan Mussaab dah tak boleh duduk diam. Ke sana ke mari, memanjat, dan bermain macam macam. Kena selalu pantau dan perhatikan. 

Misi minta datang petang, kerana orang ramai sangat. Misi juga beritahu hari ini perlu ke klinik kesihatan untuk temujanji doktor. Allah.. Tak sangka pula kena jumpa doktor. Abi tiada, kena minta pertolongan orang lain. Ummi iyakan saja dulu. Mood dah tak berapa nak baik. Mula rasa 'susah'nya macam ni, bila abi tiada. Anas dan Mussaab of courselah kena bawa bersama.

Ummi ajak Anas dan Mussaab balik. Agak penat jalan naik bukit, nak sampai ke rumah. 

Sebaik duduk lepaskan lelah, Anas pulak minta nak makan roti nutella. Minta tunggu dulu, nak juga. Ummi layan dengan mood yang dah tak berapa baik. Habis satu, nak satu lagi. Handphone yang ummi pegang diambil kasar, buat ummi jadi marah. Marah dan membentak, kerana mood dah tak berapa ok dari tadi. Anas dah mula diam, muka masam mencuka. Roti pun dah tak nak lagi.

Ummi rasa bersalah, ummi peluk Anas dan belai rambut Anas. Anas marah ummi dan pukul badan ummi. Ummi minta maaf. Anas masih mencuka dan mengambil kembali handphone ummi di dalam hand bag. Ummi biarkan saja apa yang Anas nak lakukan. Mood Anas dah kembali ok.

Mussaab yang sedang memegang ipad beberapa kali melepaskan ipad ke lantai. Ummi jadi marah lagi. Ipad dah retak dan tunggu masa nak pecah saja. Ummi cuba sabar. 

Masa makan, seperti biasa perlu suapkan Anas dan Mussaab walau ummi rasa kurang tenaga lagi. Malah, masih fikir kesukaran nak ke klinik petang ini. Ummi suap Anas dan Mussaab makan. Berkali tambah, tumpah nasi, tumpah air, berebut tempat duduk, bergurau sampai menangis, dan macam macam hal sehingga selesai makan. Tahan sabar lagi ummi walau hati dah kian panas..

Lepas suap makan kena kemas tempat makan, sapu mana yang tumpah pula. Ummi rasa penat yang tak terluah. Masih berfikir urusan check up yang belum selesai. Fikir bagaimana nak bawa sekali Anas dan Mussaab untuk temujanji doktor pula. Lama ke nanti kena menunggu. Ok ke nanti Anas dan Mussaab jika dibawa bersama. Semua hadir dalam kerisauan ummi. Abi tiada, memang rasa agak sukar sedikit kerana tiada yang boleh menjaga Anas dan Mussaab. Nak minta orang lain jaga, memang taklah. Anas dan Mussaab memang tak biasa ditinggalkan.

Perlahan lahan ummi cuba tenangkan hati. Bak pesan abi, be positive.. Ya, fikirkan balik memang bukan masalah besar pun. Tapi bila kena minta tolong dengan orang lain, rasa susah sikit. Takut menyusahkan. Ummi berdoa, dan pesan pada diri, segalanya akan ok! Cuba untuk rehat dan tenangkan hati. Pukul 2.30 perlu ke klinik desa dulu kerana urusan tadi belum selesai.

Tengah rehat, Anas dan Mussaab buat hal sendiri. Semestinya tak boleh nak duduk diam. Mussaab sepahkan mainan, Anas mengangkut kertas dan alat tulis, dan buat macam macam. Ummi dalam membiarkan, kena pantau dan banyak berpesan juga. Jangan buat itu, jangan buat ini..nak rehat sangat pun tak boleh juga. Boleh la sekadar nak rebahkan badan. Mood ummi dah rasa baik sikit.

Keadaan lebih tenang bila Anas dan Mussaab minta nak menonton video. Ummi boleh berehat dan baring baring, sementara Anas dan Mussaab menumpukan perhatian pada cerita yang diminati.

Dah bosan menonton, Anas tutup video dan Mussaab menangis kerana masih nak menonton. Keduanya mendapatkan ummi yang siap sedia untuk solat zohor. Hajat nak lelapkan mata sekejap sebelum ke klinik. Tapi tak boleh juga...

Hampir jam 2.30 bersiap untuk ke klinik. Anas, puas ummi suruh bersiap, kencing dan basuh muka semua. Mussaab, ummi ingatkan boleh tidurkan dia dulu sebelum pergi check up.  Tapi akhirnya bawa juga Anas dan Mussaab. Anas yang berbasikal, tak sengaja melanggar kaki ummi. Ummi yang kesakitan memarahi Anas hingga Anas terdiam lagi. Allah.. Kesian Anas kena marah lagi :,(

Terus ke klinik, ummi cuba jadi lebih baik, berbicara dengan Anas dan Mussaab. Di klinik, misi masih belum sampai. Menunggu sekejap. Ummi ok je. Boleh sabar menunggu sambil melihat Anas dan Mussaab berlarian di sekitar kawasan klinik. 

Check up ummi mengambil masa agak lama, satu jam lebih kurang. Anas dan Mussaab memang tak boleh duduk diam di klinik. Bermain sesuka hati. Barang barang misi juga diusik. Memanjat, melompat dan macam macam lagi. Ummi cuba melarang, namun masih bermain sesuka hati juga. 

Anas balik sendiri berbasikal. Risau pula ingatkan kereta motor yang lalu lalang. Ummi berteriak agar dia berhati hati di jalan, sambil memerhati dari jauh. Nak kejar, Anas dah jauh. Mujurlah rumah dekat saja dengan klinik.

Selesai di klinik desa, ke klinik kesihatan pula untuk temujanji doktor. Pergi dengan abe Loh, dan ajak cik sekali untuk tolong tengokkan Anas dan Mussaab. Mek juga ke klinik untuk mengambil ubatnya. 

Cabaran di klinik kesihatan pula. Dalam suasana orang yang lebih ramai, klinik yang lebih besar, Anas dan Mussaab dah pasti makin bebas ke sana ke mari. Memanjat kerusi, berlarian di dalam dan luar klinik. Ummi tak mampu nak control, mujurlah ada cik yang kejar ke sana ke mari. Bila hujan turun, Anas bermain hujan pula hingga kebasahan. Geramnya ummi, Allah saja yang tahu. Cik larang, pun tak dengar. Akhirnya tak main hujan lagi bila ummi cakap tak boleh balik kalau  basah. Bebas berlarian di dalam klinik pula. Main barang barang yang tak sepatutnya, cabut nama staff di papan kenyataan, dan ada ada saja yang buat ummi panas hati. Ummi juga yang kena keras melarang, cik cakap pun tak nak dengar.

Tiba giliran ummi bertemu doktor, Anas mengetuk kuat dan menendang pintu untuk masuk bersama ummi. Geram lagi ummi. Berkali kali Anas melakukannya hingga doktor beri izin Anas masuk. Di bilik doktor juga tidak duduk diam. Panjat  kerusi, panjat ummi, dan panjat katil di saat doktor scan baby. Sabar jelah ummi. Marah pun dalam berbisik, takut mengganggu doktor. 

Selesai di klinik, balik ke rumah mek. Hari dah nak gelap. Suap makan, mandikan dan pakaikan baju. Ummi penat tak terkata. Penat, seperti langsung tiada rehat hari ini. Sayu hati, tak pasti atas sebab apa. Ummi menangis seorang. 

Ummi rasa seperti keseorangan menanggung segala. Ummi rasa ummi sangat teruk kerana kerap marah pada Anas dan Mussaab dek penat dan merasakan diri berhadapan dengan keadaan sukar sendirian. Tapi siapa yang salah? Anak anak ummi langsung tak bersalah. Abi juga tak bersalah. Ummi rasa sangat sukar tanpa dia, namun ummi juga tak tahu bagaimana sukarnya abi di sana dalam menjalani tugasnya. Nurse, doktor juga tidak bersalah. Mereka menjalankan tugas mereka dengan sebaiknya, walau ummi rasa sukar untuk ikut apa yang diminta. Lagi susah rasanya bila perlu lebih kerap ke klinik dan berjumpa doktor. Sukar, kerana  jika abi tiada, ummi perlu bergantung pada orang lain. Meski mereka baik dan ikhlas membantu, namun untuk minta pertolongan demi pertolongan, terasa berat dan serba salah. Sukar, bila setiap kali temujanji klinik dan doktor, perlu bawa bersama Anas dan Mussaab yang tak boleh ditinggalkan pada orang lain. Anak ummi lasak, dan perlu sentiasa dipantau. Di klinik pula, makan masa berjam untuk setiap temujanji. Manalah ummi tak risau dan tak fikir panjang...

Tiada yang mampu ummi lakukan untuk mengubat hati. Ummi solat sunat taubat, mohon keampunan dari Allah atas segala dosa ummi. Ummi mohon kemaafan dari Anas yang belum sepenuhnya mengerti. Ummi memberi pesan dan nasihat selembutnya agar Anas menjadi anak yang lebih baik dan mendengar kata ummi. 

Malam ini, masih ada drama menguji hati dan kesabaran, Anas masih buat yang ummi tak suka. Bermain yang tak sepatutnya. Mengusik adik... Mussaab pula ada saja yang tak kena, asyik nak menangis dan meragam. Ummi nak habiskan bacaan al quran pun tertangguh tangguh dan sering terganggu. Ummi cuba tenangkan hati, tingkatkan sabar. Cuba jadi cool, tak mahu marah marah. Ummi menegur, namun ummi tak beremosi lagi. Hati ummi tak panas lagi. Ummi masih boleh berlembut lagi. 

Malam ini, Anas dan Mussaab terlena lebih awal dari biasa. Mungkin kerana penat, seharian bermain dan menemani ummi di klinik. 

Tiba masa untuk ummi merenung diri dan bermuhasabah. Ummi sedar betapa ummi banyak membuat kesilapan. Ummi berdosa pada anak anak ummi. Cerita hari ini adalah secebis dari keseluruhan cerita kita. Adakala ummi boleh menjadi ummi yang baik, ada ketikanya ummi berubah menjadi ummi yang sangat teruk. Maafkan ummi... Banyak perkara yang mempengaruhi emosi ummi hingga ummi sukar untuk berfikir dengan lebih matang dan rasional. Maafkan ummi kerana Anas dan Mussaab sering menjadi mangsa.

Hari ini sudah berlalu. Hari esok tidak pasti bagaimana. Doakan ummi agar mampu menjadi ummi yang lebih baik untuk Anas dan Mussaab :'(


"TEARS are words the heart can't say"

0 comments:

Post a Comment