Hari ini 26 Ramadhan 1437h. Hari ke-11 abi di Bintulu. Juga masuk hari ketiga tanpa khabar berita abi yang jauh di lautan. Semoga Allah menjaga abi.
Anas bangun dari tidur sebaik ummi selesai makan sahur. Ummi keluar teman Anas tidur di sofa. Mata Anas dah tak mengantuk untuk tidur semula. Ummi solat subuh, Anas baring pula di sebelah ummi. Juga masih tak mahu tidur. Ummi baring sekali di antara Anas dan Mussaab. Akhirnya Anas tidur lena semula.
Jam 8.30 pagi, Mussaab bangun dari tidur diikuti Anas. Keduanya bangun dengan keadaan ceria. Namun masih tak berganjak dari tempat tidur. Anas dan Mussaab mencari ipad. Akhirnya Anas yang dapat dulu, dan terus leka sebentar dengan ipad. Ummi buatkan susu untuk Mussaab.
9.00 pagi, Anas dan Mussaab mandi dan gosok gigi. Siap berpakaian dan keluar kembali. Ummi siapkan sarapan untuk Anas dan Mussaab. Pagi ini makan nasi berlaukkan ikan goreng dan kicap saja. Mussaab tak makan banyak, mungkin dah kenyang minum susu.
Pukul 10, mulakan aktiviti sebagaimana biasa. Anas dan Mussaab bergilir bermain ipad, membuat aktiviti di buku Hidden Things, melukis, dan menulis juga. Sempat juga ajar Anas tentang 'time'. Ummi rasa mengantuk sangat pagi ni. Layan tak layan je, segala permintaan Anas dan Mussaab. I'm sorry :(
Jam 11 pagi, ummi tak tahan rasa mengantuk dan rasa lemah sangat badan. Ummi masuk ke bilik. Anas dan Mussaab turut serta. Anas leka lagi dengan ipad. Mussaab juga sesekali membuka hp ummi. Ummi terlelap seketika.
Ummi bangun semula jam 12. Anas dan Mussaab masih setia di sisi, tak ke mana mana. Tak lama kemudian cik datang. Anas dan Mussaab keluar dapatkan cik di dapur. Minta cik buatkan susu pula. Cik pun layan saja. Lepas cik balik, ummi suapkan Anas dan Mussaab makan tengahari. Masih nasi dan lauk yang sama. Anas makan banyak, Mussaab makan sedikit saja. Yelah, kenyang minum susu lagi. Lepas makan nasi, minta kek Apollo pula. Anas dan Mussaab share sekeping kek. Lepas tu masuk bilik semula.
Ummi baring di katil, sementara menanti azan zohor. Masih terasa lemah badan. Rasa mahu baring dan rehat saja. Anas dan Mussaab melompat dan bermain riang di atas katil. Habis bersepah bilik, ummi masih tak daya nak kemas. Biarkan dulu Anas dan Mussaab yang masih nak bermain. Happy sangat sangat dapat buat sesuka hati. Geram juga ummi, tapi sabar jelah...
1.30, ummi solat zohor. Anas leka kembali dengan ipad. Mussaab sudah bosan tak tahu nak buat apa. Keseorangan tak ada yang melayan. Lepas solat, ummi baring semula di atas katil. Anas masih dengan ipad. Mussaab minta nak tengok video dalam hp ummi. Ummi layan video bersama Mussaab hingga Mussaab terlena akhirnya. Ummi juga turut tidur selepas Mussaab. Dah nasihatkan Anas untuk berhenti bermain ipad, tapi tak nak lepaskan ipad juga.
Ummi bangun jam 3.45. Anas mundar mandir seorang. Beg yang disusun dah terjatuh dipanjat Anas yang tak mahu tidur. Ipad sudah kehabisan bateri. Anas panjat tingkap dan buka tingkap pula. Mata kiri bengkak lagi. Tak tahu kenapa mata asyik bengkak dan berair je sejak akhir akhir ni. Mungkin allergic pada habuk, mungkin juga kerana terlalu lama menatap ipad.
Hampir jam 4 petang, Mussaab pula bangun dari tidur. Keluar ke ruang tamu. Lepas tu Anas dan Mussaab mandi.
Anas dan Mussaab ambil kertas dan minta lukiskan rainbow. Maka terhasil rainbow, sementara ummi tunggu untuk solat asar. Lepas tu tampal ke dinding seperti biasa. Azan asar, ummi mandi. Anas dan Mussaab main berdua. Habis tumpah air pula. Mussaab basah kuyup bermain air. Ummi marah lagi.
Ummi masih rasa tak berdaya. Anas dan Mussaab terus cergas bermain dan berlari hingga ke luar rumah. Ummi tak larat nak control. Kesian, ummi tak mampu nak beri perhatian pada Anas dan Mussaab yang lincah ke sana sini. Ambil lagi kek Apollo di kedai Mek. Ummi rehat si sofa. Rasa tak larat nak buat apa apa. Nak masak untuk berbuka pun rasa malas. Kebetulan Mek akan berbuka di surau hari ni. So, ummi masih berfikir nak makan apa. Mungkin yang paling senang dan simple.
5.50 petang, Anas dan Mussaab masih di dapur bersama Mek. Ambil keropok pula. Hai..kalau dengan ummi memang ummi takkan bagi. Anas datang kepada ummi untuk belajar 'time' lagi.
Jam 6 petang, ummi masuk ke dapur untuk memasak serba ringkas. Anas dan Mussaab masih di dapur berbual dengan Mek. Tak tahu apa yang dibualkan. Oklah, ada juga kawan buat Anas dan Mussaab berbual. Keduanya tak berbaju. Mussaab hanya berpampers :) bila ummi masak, semuanya sibuk nak tengok.
Jam 6.30, suapkan Anas dan Mussaab makan. Jam 7 malam, mandi lagi kerana badan dah berpeluh peluh kerana bermain dan berlari.
Jam 7.15, abang faris pula datang singgah. Anas dan Mussaab bermain di luar rumah lagi sehingga abang faris pergi. Ummi dah masuk dapur untuk berbuka. Tapi rupanya Mussaab dalam diam mengikut abang faris. Ummi tersedar bila terdengar tangisan Mussaab yang kuat, dan suara Anas yang memanggilnya. Bergegas ummi keluar dan turun dari rumah. Mujurlah abang faris datang hantar Mussaab semula. Ummi sambung berbuka puasa. Hati panas juga, kenapalah buat ummi risau macam ni. Anas dan Mussaab setia di dapur menemani ummi berbuka puasa.
Selesai berbuka ummi tunaikan solat Maghrib, kemudian ajar mengaji seperti biasa. Tak lepas lagi ummi dari rasa marah. Anas silap baca sikit ummi dah naik angin. Ya Allah.. kenapalah ummi macam ni hari ni. Kesian Anas.
Lepas mengaji Anas buat aktiviti dalam buku Hidden Things lagi. Ummi turut membantu. Mussaab hanya memerhati seperti biasa. Kadangkala memanjat almari dan meja kerana bosan tak tahu nak buat apa.
Hingga ummi selesai solat isyak dan terawih, Anas juga menutup bukunya. Anas dah mengantuk sangat, siang tadi tak tidur. Namun masih mahu mengikut ummi ke sana sini. Ummi jemur kain, Anas dan Mussaab makan kerepek pisang pula. Kemudian ummi kemas tempat tidur, tutup lampu dan bersedia untuk tidur.
Jam 10 lebih, Anas terlebih dahulu lena. Diikuti Mussaab kemudiannya. Ummi juga, dah mengantuk dan mahu tidur juga.
Alhamdulillah hari ini sudah berlalu. Anak anak ummi tetap riang menjalani hidup. Cuma ummi merasakan ummi sangat 'teruk' hari ini. Mudah marah, dan tak ikhlas melayan. Kerana penat dan tak berdaya, ummi lakukan sekadarnya. Maafkan ummi sayang. Ummi tak tahu apa rasamu. Ummi harapkan hari esok akan lebih baik buat kita semua. Ummi perlu menjadi ummi yang lebih baik. Semoga ummi mampu.
Tak lupa pada abi yang terus dirindui. Semoga Allah menjaga abi sebagaimana Allah menjaga kita. Baik baiklah semua kesayangan ummi :')
0 comments:
Post a Comment