Sunday, 18 May 2025 0 comments By: Naemah

SAAT AKU MERASA PENAT




Ada hari-hari, di mana mata ini terbuka bukan kerana cukup tidur, tapi kerana tanggungjawab yang menunggu. Bermula dengan langkah kecil ke dapur, dan berakhir dengan langkah panjang ke kamar anak yang masih belum lena.

Aku ibu.Sendirian di rumah bila suami jauh di laut, berjuang untuk rezeki kami, dan itu juga satu bentuk cinta.

Dan di sini, aku berdiri, menjadi ibu dan ayah, menjadi pelindung, pengurus, pendidik, penghibur. Setiap satu kerja aku selitkan kasih sayang, walau kadang penat memadamkan sabar di dada.

Ada ketika suara ini meninggi, bukan kerana benci, tapi kerana terlalu lama memendam. Ada air mata di sejadah malam, bukan kerana aku lemah, tapi kerana aku rindu jadi kuat.

Namun bila aku duduk diam sejenak, memandang wajah anak-anak yang lena di pangkuan doaku, aku tahu penat ini bukan sia-sia. Lelah ini bukan beban, tapi tanda bahawa aku masih mampu memberi.

Bila hati mulai merungut, aku ingatkan diriku; Aku tidak perlu risau tentang rezeki kerana Allah telah mengurniakan seorang suami yang setia berkorban jauh dari mata.

Aku tidak perlu keluar berpanas dan bermandi peluh mencari sesuap nasi.

Aku masih punya rumah yang menjadi tempat kasih berteduh.

Dan aku masih mampu memeluk anak-anak dengan tangan yang kuat, walau kadang menggigil dalam diam.

Ya Allah, bila aku lelah, ingatkan aku tentang nikmat yang aku ada. Bila aku mengeluh, bisikkan ke hatiku tentang betapa beruntungnya aku.

Kerana di balik riuh rumah ini, ada syurga yang sedang aku bina. Sedikit demi sedikit. Hari demi hari. Dengan kasih, dengan sabar, dengan sujud yang penuh harap.


Wednesday, 14 May 2025 0 comments By: Naemah

BINGKISAN HATI BUAT DIA




Dia bangkit Subuh seperti biasa. Bersama yang sulung, menunaikan solat di surau. Balik dari surau, siap untuk hantar Mussaab dan Miqdad yang bersekolah sessi pagi. Balik breakfast dan hantar Suri ke tadika pula.


Selesai anak-anak, siapkan keperluan untuk bermusafir kerja, keluar cuci kereta, isi minyak kereta, hantar borang permohonan sekolah KAFA Suri, dan beli keperluan memasak.


Balik rumah, memasak untuk makan tengahari sekeluarga. Makan bersama, ambil Suri di tadika, dan hantar Anas ke sekolah (sessi petang). 


Selesai dulu tanggungjawabnya di rumah. Masa untuk berangkat pergi. Masa untuk serahkan semua tanggungjawab di rumah kepadaku. Keluar lagi untuk mencari rezeki, dan insya Allah akan kembali lagi kepada yang menantinya di sini.


Dialah suami tercinta yang penuh dengan nilai cinta dan tanggungjawab. Mencintai dengan caranya tersendiri.


Dia suamiku, yang sudah makin memutih rambutnya. Ya Allah, hampir menjengah 15 tahun kami hidup bersama. Hampir 15 tahun, menjalani rutin yang tak jauh bezanya. Bertemu dan berpisah yang entah berapa episod tak tercatat. 


Dia yang memikul banyak tanggungjawab, kadang terlihat berkerut dahinya, dan jauh lamunannya. Bermacam perkara bermain di fikiran. Hal kerja, hal keluarga dan rumahtangga, hal persatuan penduduk, dan macam-macam. Aku faham tika diamnya, tika fokusnya banyak pada hal-hal yang tak berkaitan dengan anak dan isteri walaupun jasadnya ada bersama kami.


Suamiku yang pada banyak ketikanya tenang dan baik melayan anak-anak, tapi ada ketika juga terhakis sabar dek karenah anak-anak. Namun tetap dia jualah bapa yang terbaik untuk anak-anakku. Tak lepas tangan dari tanggungjawab azalinya. Banyak berpesan, dan mendidik semampunya dalam keterbatasan masa.


Baru minggu lepas dia kembali. Minggu ini dia keluar lagi. Sudah tak terkira episod pertemuan dan perpisahan. Aku dan anak-anak yang perlu memahami akan rentak kerjanya yang seperti itu. Belum ada pilihan yang lain. Sesekali ada yang merungut, ada yang menangis rindu, ada yang tak sabar menunggu, namun apakan daya, hanya mampu memujuk dan minta difahami. Rindu? Berdoalah anak-anak, untuk abi yang penat bekerja. Abi juga sama merindu.


Dan aku sebagai isteri, juga tak sempurna sebagai pendamping hidupnya. Pada banyak hal yang dia beri, seperti tak cukup yang aku mampu balas. Dia yang sentiasa berlemah lembut denganku, sabar akan tingkah burukku, mengambil banyak tugas di rumah dan meringankan bebanku ketika pulangnya, dan banyak hal baiknya yang lain terhadapku. Ya, dia menyantuni aku sebaiknya biar dalam banyaknya kekurangaku sebagai isterinya. 


Dia suami sempurna? Tentu saja tidak. Dia manusia biasa yang pasti ada kurang lebihnya. Dia hanya insan yang berusaha untuk berbuat baik kepada sesiapa jua. Aku perakui dia baik sebagai suami dan ayah, aku percaya dia baik sebagai anak, sebagai abang dan adik, baik sebagai sahabat dan jiran, baik sebagai pekerja dan rakan sekerja, baik dengan sesiapa pun yang pernah mengenalinya. Aku yakin pada peribadinya.


Semoga Allah merahmati suamiku sentiasa. Dikurnia sihat dan sembuh, dikurnia tenang dan lapang hati, dipermudahkan tiap urusan, dikeluarkan dari segala kesulitan, dilepaskan dari segala bebanan hutang, dicintai Allah, dan disenangi serta disayangi oleh seluruh makhlukNya.


Ameen ya Allah.


Terima kasih ya Allah atas hadirnya dia dalam hidupku sejak 15 tahun yang lalu. 

Tuesday, 13 May 2025 0 comments By: Naemah

MEREKA DALAM KISAH SILAMKU



Membesar sebagai anak yatim, itu adalah takdir Allah buatku, dan barangkali itu satu bentuk ‘kemuliaan’ yang Allah berikan untukku. Takdir yang tidak kuratapi, biarpun itu hakikat yang pasti tak diinginkan oleh sesiapa pun.


Sewaktu ayahku meninggal, abang sulungku berumur 28 tahun, abang kedua berumur 27 tahun, abang ketiga berumur 17 tahun, kakakku berumur 15 tahun dan aku pula baru berusia 3 tahun.


Ternyata yang paling ‘sakit’ menerima takdir kematian ayahku ialah abang dan kakakku yang pastinya mempunyai banyak kenangan bersama ayah. Aku? Hampir tiada kenangan yang aku ingat. Maklum sajalah, baru 3 tahun. 


Tapi yang nyatanya juga, setiap mata memandangku dengan penuh simpati. Kecil-kecil lagi dah tak ada ayah. Kecil lagi dah bergelar ‘yatim’.


Namun syukur padaMu ya Allah. Kau anugerahkan aku adik beradik yang sangat menjagaku. Yang tak lepas tangan dari bertanggungjawab pada anak yatim ini.


Abang sulungku yang berperanan sebagai ayah. Dia yang jauh beza usia denganku, yang ketika ayah pergi, abangku sudah ada keluarga sendiri. Ada isteri dan 2 anak. Namun di samping keluarganya, dia tak mengabaikan aku, adiknya yang bongsu yang sudah kehilangan ayah. Dia bertanggungjawab dalam hal pendidikanku. Dari sekolah rendah, menengah, hingga universiti. Dia main peranan yang besar.


Antara kenangan yang aku ingat, setiap kali dia balik kampung (abangku seorang guru MRSM yang berpindah merata negeri), dia pasti bawa balik sekali buku latihan semua  subjek untuk aku buat. Aku punyalah seronok, sekejap saja siap semua latihan. Pernah dulu, masa dia mengajar di Gerik, dia bonceng aku naik motor dari Jeli ke Gerik (cuti sekolah). Motor ye, bukan kereta. Tapi ok je perjalanan kami. Dulu takde lagi cerita gajah melintas ke, mengamuk ke, mungkin masa tu (tahun 90an) habitatnya masih belum diceroboh. Itu kenangan yang tak luput dari ingatan. Dan setiap kali balik kampung (cuti panjang), dia akan bawa aku ikut sekali ke mana mereka sekeluarga pergi. Ada juga yang salah anggap, aku ni anak dia (umur aku dengan anak saudara pun beza setahun je). 


Next, abang kedua yang banyak diam tapi banyak membantu. Abang keduaku tak banyak ‘bunyi’ macam yang sulung. Namun apa-apa nak minta tolong, tak pernah dia tak tolong. Dia pun masa ayah meninggal, dah ada isteri dan seorang anak. 


Antara kenangan, naik motor bersama dengan abang kedua ke kem bijak matematik di Lubuk Bongor (jauh juga la dari kampung), masa ujian lisan di Kota Bharu, dia juga la yang membonceng aku dengan motornya (masa tu belum ada kereta). Dan bila aku dah belajar dan duduk di asrama (di Kota Bharu), dia la yang akan ambik aku dari bus stop Ayer Lanas (kampung aku kena masuk dalam lagi). 


Kisah abang ketiga pula, yang sentiasa jauh tapi tak melupakan adiknya. Seingat aku, aku membesar ketika dia berada di asrama dan kemudian masuk UKM (masa tu aku dah masuk sekolah rendah). Time cuti je aku dapat jumpa abang aku ni. Itupun segan semacam, sebab jarang-jarang jumpa kan.


Antara kenangan yang aku tak lupa berkaitan dengan abang ketiga ni ialah, masa dia bawa aku ambik ujian bertulis (selepas ujian lisan hari tu) di Kota Bharu, dan dia belanja aku makan KFC. Itulah first time merasa makan KFC, di usia 12 tahun. Dan yang paling aku ingat juga, masa kat sekolah aku selalu terima surat dari abangku yang sedang belajar di UKM. Surat yang memberiku nasihat dan kata semangat, disertakan dengan duit rm5, kadang rm10, dan kadang-kadang diselitkan cenderahati seperti badge lambang UKM. Pernah sekali, cikgu baca surat dalam kelas, kuat-kuat semua orang dengar. Malu ada, bangga pun ada juga. Itulah kenangan.


Yang terakhir ialah satu-satunya kakak yang aku ada, yang paling dekat denganku, dan paling banyak membantu, memberi dan segalanya dari dulu sampai sekarang. Dia yang tak pernah naik suara denganku, yang tempat aku nak minta tolong apa-apa. Tapi kakakku ini terlebih dahulu mendirikan rumahtangga berbanding abang ketiga. Lepas setahun ayah meninggal, kakakku berkahwin. Tapi oleh kerana rumahnya juga dekat, boleh kata setiap hari jugalah aku ke rumahnya. Dari aku kecil, sampailah tahap umur aku dah malu nak jejak rumah orang tiap-tiap hari. Hehe. Dan kakakku juga, takdir hidupnya tak berzuriat, hidup berdua dengan suaminya sahaja. Banyaklah cerita aku dengan kakak. Cerita masa kecil, sampailah dah banyak usia ni. 


Paling aku tak lupa, dia temankan aku di hospital masa keguguran kandungan sulung (masa tu suami kat laut). Dia juga temankan aku di hospital masa aku lahirkan anak sulung, dan sekali lagi dia temankan aku di hospital masa aku operate batu karang. 


Kini aku dah ada 5 anak, anak-anakku juga dari kecil rapat dengan kakakku. Dia layan umpama anak sendiri. Semua sayang cik (panggilan buat kakakku).


Dan tahun ini usiaku mencecah 40 tahun. Naik satu angka di depan. Besar makna angka tu. Dah tua, kenalah sedar diri. 


Dalam tak sedar juga, abang sulungku dah pun berusia 65 tahun, dah jadi cikgu pencen, bahagia bersama isteri dan 7 anak, 4 menantu, dan 9 cucu (seorang lagi bakal lahir tak lama lagi). Dan insya Allah akan bertambah dan berkembang lagi keluarga abangku. Semoga dalam limpahan rahmat Allah sentiasa. Abangku layak hidup bahagia bersama keluarga yang dibinanya.


Abang keduaku pula sudah berusia 64 tahun. Dari dulu hanya bekerja sendiri, hidup sederhana bersama isteri dan dikurnia 9 anak, 2 menantu (tahun depan jadi 3), dan 5 cucu. Dan insya Allah semakin bertambah dan berkembang juga, dan semoga semakin bertambah meriah dan lapang kehidupan abangku, bila anak-anak semuanya dah lepas dari tanggungan.


Abang ketigaku pula kini berusia 54 tahun, masih bekerja sebagai seorang guru, juga bahagia bersama isteri dan 5 anak. Anak-anak yang semakin membesar, 3 di menara gading dan 2 lagi di sekolah menengah. Insya Allah keluarga ini juga akan bertambah ahli dan berkembang. Semoga abangku dan kakak ipar memperoleh kehidupan bahagia sebagaimana impian mereka.


Kakakku pula, tahun ini berusia 52 tahun tapi masih gagah masuk kebun, menoreh dan menjahit. Dia hanya orang kampung yang biasa, namun padaku dia banyak berjasa. Tetap berdua dengan suaminya, meneruskan hari tua mereka. Kadang ada rasa simpati, namun aku percaya rahsia Tuhan pasti tersimpan banyak hikmah buat mereka suami isteri. Lagipun, kami semua menyayangi kakakku dan tak melupakan dia. Doaku sentiasa, agar kakakku menjalani takdir hidupnya dengan penuh ketenangan. Dia yang banyak berjasa (bukan hanya pada aku), pasti Allah ganjarkan kebaikan yang setimpal dunia dan akhirat. Ameen.


Itulah mereka dalam kisah silamku. Adik-beradik yang jarang aku dendangkan kisah mereka. Sedangkan itulah watak yang mula hadir dalam kehidupanku, sebelum aku mengenal dunia yang lebih besar, dan lebih mencabar. Mereka pembimbing, mereka yang pernah memimpin tika aku tak punya upaya dan kemampuan. 


Ya Allah, jasa mereka takkan mampu aku balas. Tiada lain yang aku pinta, semoga abang-abang dan kakakku dalam rahmatMu sentiasa. Izinkan mereka menjalani hari tua mereka dengan tenang dan dilimpahi kasih sayang. Ampunkan segala dosa mereka. Kurniakan untuk mereka kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. 


Ameen.






Monday, 12 May 2025 0 comments By: Naemah

CATATAN DI IG: CATATAN HARI KELUARGA



Terima kasih anak saudaraku Hamizah untuk photobook ini. Untuk tatapan mek di kala merindu anak-cucu-cicit.

Imbas:
Hari keluarga yang kita plan sejak sekian lama, terhalang pula oleh PKP, dan Allah izinkan terlaksana jua perancangan dan impian kita untuk berkumpul dalam suasana kemeriahan seperti ini.

Hari keluarga 2022: baru saja tamat pkp, plan pun last minute, makanya ramai yang tak dapat sertai. Tapi tetap meriah, tetap jadi kenangan terindah.

Hari keluarga 2023: penyertaan paling ramai (tapi tak cukup 3 orang lagi). Tambah lagi dengan kehadiran ahli keluarga baru (Harun dan Zil Qayyim), dan takdir jua tahun ni mek dah berkerusi roda. Tetapi hari keluarga tahun ini tetap meriah, dipermudahkan Allah, dan memberikan kenangan yang tak dilupakan. 

Hari keluarga 2024: masih belum kesampaian hasrat nak kumpulkan semua (5 orang tak dapat sertai atas kekangan kerja dan hal lain). Dan tahun ini bertambah lagi ahli keluarga dengan kehadiran Nuha. Alhamdulillah, program berjalan lancar meski dalam keadaan cuaca yang kurang baik. Dan masih, ia satu hari yang memberi penuh makna buat keluarga besar kita.

Hari keluarga 2025: Masih dalam perancangan awal. Besar harapan agar semua dapat menghadirkan diri, semoga semua dalam keadaan sihat dan dilindungiNya, semoga program berjalan dengan lancar dari awal perancangan hingga akhir pelaksanaannya, ameen. 

Dan tahun ini, tambah 2 lagi ahli (baby Asyifa dan yang bakal lahir tak lama lagi). Masya Allah, semoga dapat kita berkumpul dalam suasana lebih meriah, dan dalam suasana yang diberkati Allah. Dan insya Allah, tahun depan bertambah lagi ahli baru (mungkin dari perkahwinan pula).

Syukur pada Allah atas nikmat berkeluarga. Biar tak sering berjumpa, sekurang-kurangnya doa menjadi tanda ingatan. Kita semua yang punya kehidupan sendiri, dan cabaran hidup sendiri, semoga Allah lapangkan laluan kita, dan mendorong langkah kepada jalan keluar dari segala kesulitan hidup. 

Semoga selamanya, bertemu dan berpisah kerana Allah. Moga ‘harmoni’ kisah keluarga kita tanpa ada sengketa. Ameen.



Family Day 1.0
September 2022



Family Day 2.0
September 2023



Family Day 3.0
September 2024

Sunday, 4 May 2025 0 comments By: Naemah

DARI IBU UNTUK IBU



Untuk Ibu yang Sedang Penat,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,


Ibu yang dikasihi,

Aku tahu kau penat. Aku tahu ada malam yang kau tangisi dalam diam, ada siang yang terasa panjang kerana hilangnya semangat. Ada saat kau rasa gagal, merasa tak cukup baik, tak cukup sabar, tak cukup kuat. Dan bila anak-anak semakin membesar, karenah mereka berubah, ujian pula makin mencabar.

Tapi ibu, izinkan aku mengingatkanmu — penat itu bukan tanda kalah. Air mata itu bukan tanda gagal. Ia tanda kau sedang berjuang. Ia bukti bahawa kau peduli, kau tak putus asa walaupun dunia seakan tak memihakmu.

Tidak ada buku panduan yang sempurna untuk mendidik anak dari bayi hingga remaja. Setiap anak berbeza, dan setiap ibu pun unik. Kau mungkin rasa kau kerap tersilap, tapi pada pandangan anakmu, kau tetap satu-satunya tempat paling selamat.

Ingat, tidak semua hasilnya akan nampak sekarang. Benih cinta, nasihat, doa dan pelukan yang kau semai setiap hari akan tumbuh perlahan-lahan. Kadangkala anak tidak mengikut kata, tapi dia tetap mengikut teladan. Dan teladan itulah yang kau beri, hari demi hari — dalam sabar dan tangisanmu.

Ibu, berilah dirimu ruang untuk berehat dan memaafkan diri. Jangan terlalu keras pada diri sendiri. Kau bukan malaikat, tapi kasihmu sudah cukup dekat dengan syurga.

Bangkitlah perlahan-lahan. Tak perlu sempurna. Kau hanya perlu terus ada, terus mencuba, dan terus menyayangi. Dan itu sudah lebih dari cukup.

Aku doakan semoga Allah kuatkan hatimu, lapangkan dadamu, dan beri kau ganjaran atas setiap titis peluh dan air mata yang tak terlihat manusia — tapi tak pernah terlepas dari pandangan Tuhan.


Dengan penuh kasih dan doa,

Dari yang sama berjuang,

Dari ibu untukmu ibu


Thursday, 1 May 2025 0 comments By: Naemah

SELAMAT HARI BURUH




Kini melangkah ke bulan Mei pula. Ya Allah, cepat sangat rasanya! 2025 dah hampir ke pertengahannya.


Hari ni cuti hari pekerja. Macam tahun lepas, 1 Mei tahun ni juga abi sedang berada di laut. Bekerja, berjuang, memikul amanah dan tanggungjawab demi sesuap rezeki yang halal. Apapun, Alhamdulillah dan syukur untuk seluruh nikmat dan rezeki yang sentiasa Allah cukupkan buat kita sekeluarga.


Dan di sini, ummi meneruskan hari bersama anak-anak. Alhamdulillah hari ni boleh rehat dari memandu di jalan raya yang sibuk. Rehat dari seharian keluar masuk kereta bersama si kecil ini. Oh, si kecil pun dah tak kecil lagi nampaknya. Dari baby sampai kini ikut ummi ke mana saja. 


Hari ni spend masa kat rumah je. Ummi lepas subuh tadi, sambung tidur balik. Sangat-sangat jaranglah nak buat begitu. Hari sekolah apatah lagi. Tapi hari ni nak layan mengantuk, dan rasa nak rehat puas-puas. Breakfast? Biarlah dulu. Anak-anak pun hari cuti mencari game je semua.


Ingat nak bangun dalam 7.30, bangun-bangun dan 8 lebih. Allah.. menyesal tu ada. Bukan best pun tidur lepas Subuh kan? Tapi takpela, turun bawah masak nasi lemak. Pukul 9.30 baru breakfast semua. Pulak tu hampir habis nasi yang dimasak, yang konon-kononnya nak simpan sampai makan tengahari. Adui. Lunch kena masak lagi. 


Masak sesimple dan sedanya. Tapi still, perlu bekerja kaki dan tangan. Anak-anak, bila dikerah, buat la juga kerja walaupun hasil kurang memuaskan. Ya Allah, hari ni malas nak mengarah, malas nak bising-bising, penat…


Hari ni, tetap buat kerja suri rumah seperti biasa. Mana ada ‘cuti’nya. Cuma lapang sikitlah, tak keluar rumah langsung hari ni. 


Satu hari cuti umum dah berlalu. Esok (Jumaat) akan kembali ke sekolah sehari lagi. Akan bangkit lebih awal, sediakan sarapan dan keluar rumah seawal mungkin demi tak kelewatan menghantar anak-anak ke sekolah. 


Alhamdulillah untuk hari ini. Segalanya baik-baik saja. Cukup makan minum dan segalanya. Mengumpul kekuatan untuk mendepani hari esok pula. Tetap perlu banyak bermuhasabah diri. Kerana ternyata, setiap hari ada saja salah dan kurangnya pada diri dan tindakan ini.


Selamat hari buruh buat semua. Niatkan setiap pekerjaan yang dilakukan kerana Allah, demi sesuap rezeki yang berkat dan sentiasa mencukupi. Insya Allah. 




Di pagi 1 Mei 2025