Sunday 31 December 2023 0 comments By: Naemah

2024 KITA BERSUA


Bertemu kembali 1 Januari di tahun yang seterusnya (2024). Alhamdulillah. Syukur padaMu ya Allah, masih dipinjamkan usia, dikurniakan kudrat dan kekuatan untuk meneruskan hidup ini.


Hari ini adalah hari ke-2 berada di rumah (selepas berada di kampung selama 8 hari). Hari ni juga hari terakhir anak-anak bercuti sekolah. Esok semuanya akan kembali ke sekolah, di tahun baru tapi masih menyambung sessi persekolahan 2023/2024 yang berbaki tak sampai 2 bulan lagi. Esok Anas dan Miqdad akan menempuh exam akhir tahun, then next week giliran Mussaab pula. Di minggu-minggu akhir ini sekolah akan sibuk dengan exam, yuran, buku teks, jamuan dan hari anugerah. Dah tak belajar sangat dah. Manakalq Suri, melangkah ke kelas 5 tahun pula. Masya Allah! Dah besar ‘kakak’ Suri.


Hari ke-2 di rumah ni, mood masih ke laut. Keadaan sekarang ni masih lemah dan lesu. Rasa tak nak buat apa-apa kerja lagi. Kisahnya, 4 hari lepas (di usia kandungan 30 minggu) mengalami sakit perut, muntah dan cirit-birit. Tak pasti tersalah makan apa. Berlanjutan 3 hari, dan hari ni hari ke-4 masih terasa lemah dan kurang selera makan. Masak sekadarnya saja. Suami pula hari ni berpuasa sunat. Pun, melayan mengantuk saja sejak pagi. Tapi semalam dia dah buat banyak kerja. Biarlah dia rehat. 


Alhamdulillah masih meneruskan hari di tahun baru ini sebagai ibu mengandung yang semakin sarat dan menunggu masa untuk bersalin. Insya Allah, dah tak sampai 2 bulan. Kalau ikutkan jangka, 7/3/2024 adalah tarikhnya. Tapi oleh kerana kencing manis, tarikh akan diawalkan. Belum dapat tarikh dari doktor lagi. Agak-agak, dalam minggu ke-3 Februari dah kena bersalin. Dan kena pula time tu cuti sekolah. Alhamdulillah, cantik je Allah aturkan. Cumanya, tak confirm juga lagi nak bersalin kat mana. Kat kampung, mungkin! Apapun, menempuh tempoh kehamilan yang berbaki tak lama saja lagi ni, semoga Allah permudahkan sehingga sampai saatnya bersalin dan menjaga si kecil ini.


Memulakan awal tahun baru dalam keadaan semangat yang ‘kurang cukup’ lagi. Mungkin kerana kurang sihat, insya Allah  semakin sihat dan dihadirkan bersama kekuatan dan semangat untuk meneruskan hari bersama yang tercinta. Januari ini, banyak juga tuntutan penting yang perlu dipenuhi termasuklah temjuanji di klinik dan hospital. Perlu beri perhatian juga pada anak-anak yang akan menghadapi exam. UPKK Anas pun pada bulan ni juga. Semoga Allah permudahkan semuanya. 


Sampai masanya nanti suami juga akan kembali ke laut. Nak tak nak, perlu terus kuat untuk uruskan semua sendirian. Sungguh aku tak mampu dan tak punya kekuatan, melainkan semuanya datang dari Allah. Dan aku percaya, aku akan tetap dapat jalani semuanya dengan baik, dengan izin Allah. 


Selamat menyambut tahun baru 2024 buat semua. Semoga tqhun ini dihadirkan dengan hal-hal yang baik dan menggembirakan, di samping kita semua berusaha ke arah kebaikan dalam segala aspek dalam diri dan kehidupan kita. Insya Allah!





Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri
1 Januari 2024

Berempat sebelum berlima.
Insya-Allah



DIARI KITA 2023


Januari 2023


Masa pantas berlalu. Sebulan telah kita lalui.  Januari 2023 menutup tirainya tanpa kita sedar. 


Bulan ni Anas dan Mussaab kembali ke sekolah. Teruskan hari-hari terakhir di sessi persekolahan 2022/2023. Miqdad pula, masih bercuti sehingga Mac ini.


Bulan ni diuji dengan demam dan tak sihat badan satu keluarga. Seorang demi seorang. Alhamdulillah semua dah beransur baik dan sihat. Abi juga kembali bekerja selepas bercuti panjang.


Cuti Tahun Baru Cina, stay at home je. Abi kerja, dan ada yang masih tak sihat. Tak dapat nak balik kampung lagi.


Kini semua dah kembali ke rentak asal. Dah makin sihat, rumah pun kembali meriah. Syukur padaNya yang menghadirkan ujian, dan menganugerahkan nikmat.


Sempat hadiri kenduri di Kota Tinggi (x-jiran abi) dan stay di JB semalaman. Itu saja yang sempat. Alhamdulillah, itu pun sudah cukup bermakna. 


Insya Allah di depan hari akan lebih baik. Lebih ceria dan bersemangat. 





Februari 2023


Februari berakhir. Alhamdulillah mendepani situasi yang lebih baik. Semua sihat dan jalani kehidupan dengan baik. Sekali sekali diuji, biasalah. Alhamdulillah, ujian kecil saja.


Di minggu-minggu terakhir sessi persekolahan, anak-anak dah tak belajar dah. Sekolah sibuk dengan urusan buku teks, jamuan kelas dan majlis anugerah kecemerlangan. Sekolah mula bercuti pada 18/2 sehingga 19/3. Ke mana lagi nak tuju, sudah tentulah ke kampung halaman. 


Alhamdulillah abi juga banyak masa di rumah bulan ni. Maka segala urusan menjadi lebih mudah. Cuti sekolah, abi hantar balik kampung dan kembali bekerja untuk beberapa hari dan kembali lagi. 


Cuti sekolah ni dapat spend lebih masa di rumah mek, jaga mek yang masih uzur. Lepas abi balik, ke rumah nenek pula. Alhamdulillah ada juga sepupu teman bermain. Februari berakhir di sini. Dan hampir 2 minggu cuti sekolah berlalu. 


Alhamdulillah atas kehidupan yang kita jalani bersama. Semoga limpah rahmat Allah sentiasa ada buat kita dalam meneruskan kehidupan di dunia ini. 





Mac 2023


Mac berlabuh. April pula mengambil tempat. Alhamdulillah untuk sebulan lagi menjalani kehidupan bersama yang tercinta.


Permulaan Mac, bermusafir kita satu keluarga ke Hatyai, Thailand. Alhamdulillah memanfaatkan masa cuti sekolah dengan percutian singkat, dan dapat spend lebih masa di kampung dengan keluarga.


20 Mac, bermula sessi persekolahan baru. Anas (tahun 5) dan Miqdad (tahun 1) di SRAIPB dan Mussaab (tahun 3) di SKKR dan SRIPN. Sudah 3 orang bersekolah rendah. Cepatnya masa berlalu. Semoga success selalu anak-anak!


Suri juga sudah berdaftar di Little Diamond Kindergarten. Insya Allah akan masuk sekolah bulan April. Harapannya Suri akan suka juga ke sekolah (sebab Suri yang selalu tanya bila nak sekolah kan). Dan lepas ni, dah tak ada lagi yang teman ummi di rumah waktu pagi. Ya Allah, sayu hati. Anak-anak dah makin besar!


Alhamdulillah sebulan Mac ini abi ada bersama. Menyambut Ramadan (23 Mac) bersama abi, setelah 2 tahun berturut tak sambut Ramadan bersama. Alhamdulillah. Syukur atas anugerahNya. Masa bersama yang tak mampu dikutip dan dibeli di mana pun.


Masa untuk abi kembali bekerja semakin hampir. Semoga dipermudahkan urusan abi, dan selamat kembali ke pangkuan keluarga yang menanti. 


Meneruskan Ramadan dengan hati yang penuh pengharapan. Banyak hal lagi yang perlu diperbaiki antara kita. Semoga pengampunan Allah sentiasa ada buat kita. Semoga diterangkan hati, disuluh jalan menuju redaNya.  Semoga dapat kita tempuhi kehidupan yang lebih baik. Dan semoga tak kita sia-siakan Ramadan yang membuka 1001 pintu pengampunan, rahmat dan kasih sayangNya. Insya Allah. 





April 2023


April pula menutup tirainya. Awesome April, Masya Allah!


Bulan April meneruskan puasa Ramadan dan bulan April juga menyambut Aidilfitri lengkap seluruh ahli keluarga. 


Tahun ni giliran beraya di rumah nenek. Tahun ni juga syukur sangat, abi ada time raya. Tambah meriah, bila anak cucu nenek semua balik beraya. Alhamdulillah. Raya kita sangatlah meriah dan penuh bermakna. 


Cuti raya bersambung dengan cuti penggal persekolahan. Balik kampung naik train sekali lagi. Dapat stay hampir 2 minggu di kampung. Ahli keluarga semuanya dalam keadaan sihat dan baik meski dalam cuaca panas yang teramat, sekarang ni. Syukur Alhamdulillah.


Kini sudah kembali ke rumah. Cuti sekolah hampir berakhir. Semua perlu bersedia untuk kembali ke sekolah. Abi pun dah kembali bekerja. Walaupun masih dalam mood raya, tetaplah juga perlu kembali ke rutin asal. 


Oh ya, Suri pun dah mula bersekolah pada awal April lalu. Dah masuk sekolah semua anak ummi. Sunyilah pagi ummi sekarang. Insya Allah, inilah pilihan terbaik untuk semua. 


Satu lagi berita baik-abi mendapat tawaran menunaikan haji tahun ni. Bersyukur sangat dengan jemputan ini, walaupun ummi tak dapat ikut sekali atas alasan yang Allah dah tentukan. Insya Allah giliran ummi juga akan tiba. Moga Allah permudahkan urusan haji abi nanti. Moga Allah jemput kita semua untuk menjadi tetamuNya. Ameen.


Melangkah bulan Mei. Mengharapkan yang baik-baik saja bakal kita tempuh bersama. Kini berdepan dengan ujian cuaca panas melampau. Semua perlu jaga diri sebaiknya, di samping memohon perlindungan dari Allah dari segala musibah. 


Insya Allah, baik-baik saja kehidupan kita yang mendatang. Biar ujian apapun yang bakal kita tempuh, Allah pasti ada bersama kita. Yakinlah sentiasa.





Mei 2023


May pula menutup tirainya. Alhamdulillah, sebulan lagi menjalani kehidupan bersama-sama.


Selepas cuti hari raya, anak-anak kembali ke sekolah. Meriahnya syawal masih terasa. Semua sekolah membuat sambutan raya, sempat juga hadir open house jiran-jiran, dan open house bersama PMX di Seremban. Juga tak lupa, bulan ni menyambut hari guru di sekolah masing-masing. 


Masih lagi dalam cuaca panas. Alhamdulillah hujan sesekali. Syukurlah, anak-anak sihat saja dan dapat hadir ke sekolah setiap hari. Suri saja, masih kedengaran batuk-batuknya.


Bulan ni ada exam penilaian Anas dan Mussaab. Selesai di minggu terakhir sekolah, harapnya mendapat keputusan yang cemerlang, insya Allah. 27/5 bermula cuti sekolah sehingga 5/6/2023.


Abi dah dapat tarikh berangkat ke Tanah Suci iaitu pada 18/6/2023. Dah hadir kursus haji, Alhamdulillah. Semoga dipermudahkan urusan haji abi dari awal hingga akhirnya, insya Allah. 


Menutup Mei dengan cuti sekolah yang bermula pada 27/5. Pada hari yang sama, abi kembali bekerja, dan Anas hadir program sekolah. Esok harinya balik kampung menaiki bas. Alhamdulillah Allah permudahkan perjalanan ummi dan anak-anak. Untuk beberapa hari, menunggu abi datang jemput di rumah mek. 


30/5, Miqdad demam chicken pox. Ya Allah, ujian di saat abi jauh. Risau anak-anak yang lain pun berjangkit. Risau sepupu yang main bersama pun turut berjangkit. Ya Allah, aku serah segala urusan ini padaMu semata. Aku tak berdaya. Semoga Miqdad sembuh, semoga yang lain terhindar dari jangkitan. Ameen.


Masih berbaki tak sampai sebulan lagi, waktu bersama abi. Abi akan berangkat ke tanah suci tak lama lagi. Sedih, tapi dalam masa yang sama happy untuk abi yang menerima jemputan agung ini. Semoga abi akan mendapat haji yang mabrur. Ameen. 


Alhamdulillah untuk tiap detik yang kita lalui bersama. Kehidupan kita tak sempurna, namun kita sentiasa punya peluang untuk memperbaiki diri menjadi yang lebih baik, membentuk sebuah keluarga yang lebih harmoni. Insya Allah.






Jun 2023


Jun mengundurkan diri. Bermakna sudah setengah tahun 2023 berlalu. Dan setengah tahun lagi bakal kita tempuh.


Bulan ini anak-anak dalam keadaan kurang sihat, namun syukur tidaklah teruk sangat. Miqdad dan Anas demam campak , Mussaab pun demam, tapi bukan campak, dan semuanya dalam  keadaan batuk-batuk. Agak lama juga batuk ni. Masih belum hilang. Ada hari-hari yang tak dapat hadir ke sekolah. Kini semua dah kembali bersekolah, dan dalam keadaan yang lebih baik semuanya. Semoga terus sihat, anak-anak.


18 Jun, abi berangkat ke tanah suci menunaikan haji. Alhamdulillah, dapat hantar abi ke tempat melapor diri, dan tenang melepaskan abi pergi kerana Allah. Terus setia menanti kepulangan abi. Semoga abi di sana, sihat dan lapang, dapat menunaikan ibadah sebaiknya dan beroleh haji mabrur. Insya Allah.


Ummi meneruskan hari-hari di sini bersama anak-anak. Menutup Jun dengan menyambut Aidiladha bersama anak-anak. Buat keputusan untuk beraya di sini saja. Itu pilihan yang terbaik, insya Allah. Abi balik nanti, barulah kita balik kampung ye.


Melangkah ke bulan Julai. Sebulan lagi akan bertemu abi, insya Allah. Semoga dikurniakan kesihatan buat abi di sana, dan kita di sini. Dipermudahkan urusan, dipermudahkan pertemuan. Insya Allah. 






Julai 2023


Julai melabuhkan tirai. Menempuh sebulan Julai hanya bersama anak-anak-tanpa abi.


Sebulan melalui rutin yang hampir sama setiap hari. Weekdays anak-anak bersekolah. Weekend pula stay kat rumah je pada kebanyakan masanya. Ada juga bawa anak-anak ke taman permainan dan shopping di Lotus. Sekadar itu sajalah. Tak boleh nak pergi jauh.


Bulan ni anak-anak ada sikit tak sihat badan-batuk dan selesema (Mussaab demam campak). Ada hari yang tak dapat ke sekolah. Tapi akhirnya semua sihat dan baik saja. Alhamdulillah. 


Walaupun jauh, kerap juga dapat cakap dengan abi melalui video call. Dah habis musim haji, abi dah tak busy sangat kat sana. 20/7 abi berangkat ke Madinah dan penerbangan balik ke Malaysia pada 29/7/2023. Alhamdulillah selamat tiba di Malaysia pada 30/7/2023 (12.30 am).


Bulan ini (ketika abi di tanah suci), menyedari kehadiran seorang lagi khalifah kecil dalam rahim ummi. 


Alhamdulillah atas rezeki yang Allah kurniakan buat kita. Alhamdulillah atas segala ujian dan cabaran hidup yang dapat kita lalui dengan baik atas pertolonganNya. Alhamdulillah atas penyatuan kembali keluarga kecil kita.


Ogos kunjung tiba. Abi sudah kembali ke pangkuan. Semoga dapat jalani kehidupan bersama dengan lebih baik, dan bersama berusaha mencari redaNya. Ameen.





Ogos 2023


Ogos berlalu juga. Alhamdulillah menjalani kehidupan bersama dengan baik-baik saja.


3 minggu dapat bersama abi, selepas kepulangan abi dari tanah suci. Minggu ke-4 abi kembali bertugas di laut. Bertemu kembali di penghujung Ogos, di mana cuti sekolah juga bermula. 


Anak-anak bersekolah dengan kehadiran penuh. Bulan ni juga anak-anak menempuh exam pertengahan tahun. 26/8 cuti sekolah bermula, dan kampung menjadi hala tuju kita sekeluarga setelah 2 bulan tak balik. Alhamdulillah dapat ziarah nenek dan mek yang sangat uzur.


Alhamdulillah kandungan ummi dah masuk trimester ke-2. Dalam keadaan baik saja, insya Allah. 


Syukur pada Allah untuk kehidupan yang telah kita jalani bersama. Allah sentiasa ada bersama pada tiap situasi susah dan senang kita. Semoga hari yang mendatang menjanjikan yang lebih baik buat kita semua. Ameen. 






September 2023


September berlalu. Alhamdulillah masih Allah kurniakan usia dan kesihatan untuk meneruskan hari-hari yang mendatang.


Di permulaan September, menyambut ‘Family Day’ di Jeli. Alhamdulillah tercipta lagi kenangan manis bersama keluarga besar kita. Namun agak sedih juga, tak dapat stay lama kat kampung. Balik semula ke rumah, dan meneruskan rutin yang sibuk di sini. Anak-anak kembali bersekolah seperti biasa. Anas sibuk dengan kelas tambahan, Mussaab sekolah pagi dan petang tanpa miss, begitu juga Miqdad meneruskan hari-hari persekolahan yang padat. Oh Suri juga, sekolah macam biasa dan ada event penting juga iaitu sambutan hari merdeka dan sukan tahunan. 


Bulan ni juga menerima rekod prestasi Anas, Mussaab dan Miqdad. Alhamdulillah semua terbaik! Adalah juga lebih dan kurang. Namun syukur atas semuanya. Dan yang penting kena terus berusaha untuk lebih cemerlang di masa akan akan datang. 


Ummi sudah berada di bulan ke-5 kehamilan. Alhamdulillah Allah jaga dengan sangat sempurna, sihat dan baik-baik saja hingga ke hari ini. Harapnya baby dalam kandungan juga sihat sentiasa. Insya Allah. 


Abi banyak masa di rumah, dan balik juga ke kampung selama seminggu (ketika nenek operate hari tu). Tak dapat nak balik semua, sebab sibuk dengan sekolah. Di penghujung September ini abi kembali bekerja. Insya Allah bakal bersua lagi-next month. 


Ada yang demam, batuk dan selesema. Alhamdulillah tak teruk sangat dan semakin baik, insya Allah. 


Syukur pada Allah atas perjalanan hidup yang telah kita lalui bersama. Dalam sukar ada mudah. Ada sedih, tapi banyak yang gembira. Semoga kita sentiasa menjadi hamba Allah yang tahu bersyukur dan berterima kasih. Atas takdir Allah yang sentiasa terbaik buat kita. 






Oktober 2023


Oktober pula mengundurkan diri. 31 hari yang penuh warna-warninya. 


Oktober bermula tanpa abi di sisi. Seperti biasa, memenuhi tuntutan kerja dan mencari rezeki. Semoga Allah berkati sentiasa rezeki yang dikurniakan buat kita sekeluarga.


Anak-anak meneruskan hari persekolahan yang sibuk. Anas ada trial exam UPKK, Mussaab pula ada exam pertengahan tahun di SRIPN. Setiap Ahad pula, Mussaab dan Miqdad jalani latihan bola sepak WIRA. Anas ikut training bola baling di sekolah, dan mewakili sekolah dalam KESUSRAI (31/10/2023). 


Bulan ni juga Mussaab ikut lawatan sekolah (SKKR) ke Kidzania, dan Suri ikut lawatan sekolah ke Muzium Polis dan Petrosains. Enjoy the moment dengan guru dan kawan-kawan.


Oh ya, tak lupa birthday Miqdad (13/10/2023). Dah genap usia Miqdad 7 tahun. Alhamdulillah. Semoga membesar sihat, cerdas dan sentiasa disayangi.


Kandungan ummi dah hampir mencecah usia 5 bulan. Masya-Allah. Alhamdulillah. Semoga sihat sentiasa baby yang dikandung ini.


Dan syukur Alhamdulillah, bulan ni Allah makbulkan hajat untuk balik kampung. Sekejap cuma (dan tak sempat pun ke KB), tapi tetap bersyukur, setelah sekian lama tak balik. Kalau diizinkanNya, bulan depan kita cuba cari peluang untuk balik lagi. Insya-Allah. 


Alhamdulillah untuk sebulan Oktober yang telah kita lalui bersama. Menempuh suka duka, gembira sedih, berbahagia dan berkonflik juga, begitulah hakikat kehidupan sebuah ‘keluarga’. Ambil yang jernih, buang yang keruh. Semoga tiap yang kita lalui memberi pengajaran dalam hidup kita. Dan semoga kasih sayang antara kita akan sentiasa segar mewangi. Insya Allah.






November 2023


November sampai ke penghujungnya. Berbaki 1 bulan untuk membuka tirai 2024.


November berjalan dengan baik, Alhamdulillah. Anak-anak meneruskan hari pengajian yang padat. Ada suka dan duka tersendiri, yang mengajar erti kehidupan buat anak-anak yang sedang membesar. 


Di samping belajar, ada program sekolah yang diikuti anak-anak seperti hari sukan dan hari kanak-kanak. Anas busy persediaan UPKK, Mussaab tengah kejar nak khatam Quran sebab terpilih untuk majlis khatam Quran SRIPN. Moga Allah permudahkan semuanya.


Abi masih meneruskan kerja mencari rezeki di laut. Alhamdulillah masih tercukupkan rezeki buat kita sekeluarga. Bertemu dan berpisah kerana Allah. Mudah-mudahan keberkatan Allah turut mengiringi kehidupan kita sekeluarga.


Sempat balik kampung sekejap (cuti Deepavali) untuk ziarah mek dan nenek. Alhamdulillah. Moga ada rezeki untuk balik dan jumpa mereka lagi. Insya Allah.


Ummi pula, melalui fasa-fasa seterusnya dalam usia kehamilan ini (di hujung trimester ke-2). Alhamdulillah untuk segala yang Allah telah permudahkan untuk ummi lalui. Tidak segalanya mudah, namun segalanya boleh ummi lalui dengan pertolongan Allah. Moga baik-baik juga yang di dalam kandungan ummi, dalam jagaan dan rahmat Allah sentiasa. Insya Allah. 


Menutup November, dengan meneruskan hari-hari yang sibuk seperti biasa. Abi masih di laut. Ummi sendirian menguruskan anak-anak yang bersekolah. 2 minggu lagi, menanti cuti sekolah yang panjang sikit (2 minggu), insya Allah dapat rehat dan dapat lari sikit dari rutin biasa. 


Terima kasih Ya Allah untuk segalanya yang telah dilalui bersama. Ada suka duka dan segala rasa. Namun kasih sayang Allah masih dapat dirasakan. Kaki terus kuat melangkah menempuh hari-hari. Moga tetap kuat di depan harinya. Moga mampu menjadi hamba Allah yang lebih baik dan dicintaiNya. 




Disember 2023


Disember sudah berakhir, sekaligus menutup tirai 2023. Setahun sudah kita jalani kehidupan bersama. Masya Allah! 


Disember ini persekolahan berjalan selama 2 minggu dan 2 minggu berikutnya anak-anak bercuti sekolah.


Bulan ni Mussaab ikut lawatan sekolah ke Sabak Bernam, dan join perlawanan bola sepak di Bangi. Suri pula buat persembahan di majlis graduasi Little Diamond Kindergarten. Manakala Anas dan Miqdad berdepan dengan exam. 


Bulan ni juga merupakan bulan anniversary ummi dan abi yang ke-13 tahun. Alhamdulillah. Syukur atas kerukunan hidup yang kita jalani bersama. Sempat abi bawa anak-anak bercuti di Melaka sebaik balik dari laut hari tu. 


Cuti sekolah yang berbaki 10 hari (lepas kelas tambahan Anas), sempatlah balik kampung jumpa ahli keluarga. Berkumpul dengan keluarga nenek di KB, dan berkumpul juga dengan keluarga mek di Jeli. Alhamdulillah. Walaupun tak cukup semuanya.


Di penghujung Disember ini, kandungan ummi dah mencecah usia 30 minggu. Aktif dan sihat saja di dalam kandungan ini, insya Allah , dan Alhamdulillah. Syukur padaNya.


Mengimbas ke belakang hari. Banyak yang telah kita lalui. Bermacam rencah hidup yang kira rasa sepanjang setahun ini. Segalanya menjadi kenangan dan pelajaran hidup. 


Anak-anakku yang semakin membesar. Ummi dan abi yang semakin berusia. Dan seorang lagi yang bakal lahir. Tahun mendatang kita kan mencipta kenangan yang baru bersama-sama. Makin mencabar atau sebaliknya, kita serah dan bergantung pada Allah semata. Segalanya akan mudah untuk kita harungi jika dengan dengan pertolonganNya. Yakin pada Allah sentiasa.


Selamat datang 2024!