Monday 25 December 2023 By: Naemah

2023: AKU BANGGA KERANA..

2023 dah hampir kepada penutupnya. 2023 ini, apa pencapaian kalian? Apa yang boleh dibanggakan pada diri kalian untuk tahun ini?


Tahun 2023. Aku bangga kerana…

Nah! Isi tempat kosong :)


Ada yang berjaya menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.

Ada yang berjaya menjadi seorang yang lebih penyabar.

Ada yang berjaya meninggalkan tabiat buruk.

Ada yang berjaya konsisten berjemaah di masjid.

Ada yang berjaya sampai ke tanah suci.

Ada yang berbangga menambah zuriat.

Ada yang berbangga dapat membeli dan mengumpul aset.

Ada yang berbangga kembalikan berat badan ideal.

Dan bermacam lagi bentuk pencapaian, kebanggaan dan kepuasan diri untuk tahun 2023 ni.


Buat diriku sendiri bagaimana? Termenung panjang juga nak fikirkan apa pencapaianku. Dan Apa kebanggaanku untuk keseluruhan tahun 2023 ini? Jadi ibu yang lebih baik dan lebih penyabarkah? Rasanya kurang lagi bab tu. Masih perlu bawa azam menjadi ibu yang lebih baik ni ke tahun depan. 


Sambung pelajaran? Tentulah tidak. Membeli aset? Tidak juga. Amalan dan gaya hidup sihat? Hmm.. tak konsisten juga.


Untuk satu tahun ini, apa yang aku dapat ialah level ujian yang Allah ‘up’ lagi berbanding tahun-tahun sebelumnya. 


Bab berjauhan dengan suami dan sendirian menguruskan anak-anak, itu adalah ujian yang memang sudah aku hadap sekian lama. Aku dah biasa. Malahan paling teruk adalah ketika tempoh PKP yang lalu di mana suami sering menjalani kuarantin di hotel setiap kali perlu memulakan kerja. 2 minggu berkuarantin, campur tolak tempoh kerja dan perjalanan balik, hampir sebulan jugalah berpisah setiap kalinya. Sehinggalah syarat kuarantin ditamatkan. 


Dan ujian perpisahan itu tetap berulang pada setiap bulan dan tahunnya. Tak henti. Kerana dari jalan begitulah Allah mengurniakan rezeki buat kami sekeluarga. 


Untuk tahun 2023 ini, begitulah jua ia berterusan. Cuma boleh aku katakan, level ujian itu sedikit bertambah, di mana tahun ini suami dijemput menunaikan haji dan perpisahan kali ini lebih lama iaitu selama 40 hari. 40 hari aku dan anak-anak jalani kehidupan tanpanya, dan jauh juga dari ahli keluarga. Dan kalau boleh dikatakan ia satu kebanggaan, ya aku bangga kerana aku dapat melalui tempoh itu dengan baik (dengan izin Allah).


Ditakdirkan juga tahun 2023 aku hamil lagi. Kali ini, melalui tempoh kehamilan yang lebih mencabar berbanding sebelumnya. Bertemu dan berpisah dengan suami, itu sudah tak dapat dielakkan. Dalam masa yang sama perlu uruskan 4 anak yang sudah bersekolah semuanya. Di sekolah yang berbeza, yang waktu masuk dan balik sekolahnya juga berbeza.  Memang agak padat jadual harian, hanya dapat sedikit masa rehat (ketika semua anak sedang berada di sekolah), dan itulah juga masa untuk ‘siapkan’ rumah dan memasak. Bertambah mencabar, bila bertembung dengan hari temujanji di klinik atau hospital. Benar, tempoh kehamilan ini lebih mencabar. Namun satu kebanggaan buatku, kerana aku mampu mengharunginya (juga dengan izin Allah) sampai ke penghujung tahun ini. Alhamdulillah, kandungan dah mencecah 30 minggu. Lebih kurang 2 bulan saja lagi penantian, insya Allah. 


Tak banyak, tapi itulah yang boleh aku banggakan untuk diriku sendiri sepanjang tahun 2023 ini. Setahun yang berlalu, dengan rutin yang hampir sama setiap hari, aku pilih untuk tidak give up dan terus berjuang demi keluarga tercintaku. Kedatangan anak-anak ke sekolah cukup, kecuali tak sihat. Makan minum mereka cukup, walaupun bukan masak setiap hari. Pakaian sekolah dan harian juga terurus. Semua ok saja, biarpun perlu bergerak sendirian. Biarpun ada ketikanya rasa ‘berat’ tak tertahan. 


Dalam masa yang sama, aku akui ianya juga tak sempurna. Aku seorang, tak mampu nak lakukan semua perkara dengan sempurna. Sekadar yang boleh saja. Emosi diri yang turun naik, juga perlu lebih latihan untuk bertenang dan sabar menguruskan anak-anak yang pelbagai ragam dan perangai. 


Walaubagaimanapun aku tetap bersyukur dengan apa yang telah dilalui sepanjang tahun ini. Dikurniakan kudrat dan kesihatan yang baik, rezeki yang mencukupi, juga suami dan anak-anak yang masih di sisi, itu adalah nikmat termahal yang tak mampu diganti dengan apapun. 


Alhamdulillah untuk segalanya. Untuk tahun yang mendatang, mengharapkan diri ini mampu menjadi yang lebih baik lagi. Semoga ada pencapaian yang boleh dibanggakan diri. Semoga terus semangat untuk ke depan!





0 comments:

Post a Comment