Thursday, 28 June 2018 0 comments By: Naemah

BASIKAL BARU ANAS DAN MUSSAAB

Hari ini berkesempatan untuk selesaikan urusan geran motor di JPJ Bangi dan kemudiannya ke Saujana Putra untuk membeli basikal untuk Anas dan Mussaab.

 Beberapa hari ini Anas asyik bertanya bila nak belikan basikal untuknya. Duit raya hari tu pun katanya nak guna untuk beli basikal :) maklumlah basikal yang ada sudah tak sesuai dengan dia yang sudah makin membesar. Tambahan pula hari tu balik kampung asyik berbasikal saja bersama sepupunya. Tak puas-puas lagi berbasikal.

Alhamdulillah, hari ini kami ke kedai basikal ‘BicycleBlock Malaysia’ yang terletak di Saujana Putra. Pada awalnya suamiku hanya survey harga basikal di internet, dan cadangnya nak beli online saja. Tapi kemudian hari ini suamiku membuat keputusan untuk datang sendiri ke kedainya dan memilih basikal. Kami ke sana tanpa Anas dan Mussaab yang ketika itu masih dalam sessi persekolahan.

Kami tiba di kedai jam 10.30 pagi, dan kedai baru saja dibuka. Suamiku segera memilih basikal untuk Anas dan Mussaab. Boleh dikatakan banyak pilihan basikal di sini, dengan harga yang berpatutan. Suamiku memilih basikal jenama LERUN untuk Anas dan POLYGON untuk Mussaab. Jumlah harganya ialah Rm758.

Sebaik selesai membuat bayaran dan mengangkut basikal ke dalam kereta, kami segera bertolak balik ke rumah. Alhamdulillah segala urusan dan perjalanan hari ini dipermudahkan olehNya. Kami tiba di rumah hampir jam 12 tengahari, tepat masa untuk mengambil Anas dan Mussaab dari sekolah mereka.

Sampai di rumah, kami tidak terus menunjukkan basikal baru kepada mereka. Kami ambil peluang untuk tidur dan berehat terlebih dahulu sebelum melayan mereka yang nantinya confirm akan terlebih excited untuk berbasikal. Bila suamiku bangun dari tidur, barulah dia tunjukkan basikal baru kepada mereka. Dah tentu masing-masing gembira dan tersenyum lebar mendapat basikal baru, terutamanya Anas yang sudah lama mengimpikan sebuah basikal baru untuknya. Oklah, Anas pun dah berjaya hafal surah An-Naba’ dan An-Naziaa’t dalam tahun ni. Maka hadiah ini untuk Anas :) 

Pada petang harinya, Anas berbasikal di jalan. Agak merisaukan juga, kerana jalan itu agak sibuk juga terutamanya ketika waktu orang balik dari kerja. Perlu berpesan berulang kali untuk ingatkan Anas agar berhati-hati mengayuh basikal di jalan. Kayuhannya agak laju, ibu manalah tak risau kan? Sampai ke depan sekolahnya dia mengayuh basikal :)

Mussaab pula masih belum mampu mengayuh seperti Anas. Basikalnya juga masih beroda 4. Maka kayuhannya tak jauh, di sekitar rumah sahaja. 

Sehingga hampir masuk waktu maghrib, Anas masih tak puas berbasikal. Lepas mandi keluar mengayuh basikal lagi. Hai la anak..

Malam ini semua tidur awal selepas seharian berpenatan di sekolah dan bermain basikal di rumah. Penat dan gembira, sudah tentunya. Mungkin tak sabar nak menanti hari esok, nak kayuh basikal lagi :)

Terima kasih pada abi yang menggembirakan Anas dan Mussaab dengan hadiah basikal ini. Semoga basikal ini akan memberi manfaat dan kebaikan buat Anas dan Mussaab. Dan pada Miqdad juga. Insya Allah.


















Tuesday, 26 June 2018 0 comments By: Naemah

SELAMAT PENGANTIN BARU: FAIZ DAN TASNI




Pada raya ke-4 dan ke-6, kami sempat menghadiri dan meraikan bersama majlis perkahwinan anak saudaraku Faiz. Faiz merupakan anak saudaraku yang ke-5 yang sudah mendirikan rumahtangga. Alhamdulillah.

Majlis akad nikah diadakan pada hari raya ke-3, di mana kami masih berada di Kota Bharu rumah ibu mertuaku. Walaubagaimanapun kami diberi kesempatan untuk hadir ke majlis di rumah pengantin perempuan pada 4 Syawwal dan di rumah abangku pada 6 Syawwal, sebelum kami sekeluarga bertolak balik ke Semenyih.

Kedua majlis di rumah pengantin perempuan dan pengantin lelaki berjalan dengan sangat lancar. Pada hari tersebut juga dapat berjumpa dengan lebih ramai saudara mara yang sudah lama tak berjumpa. Kebetulan cuti sekolah dan cuti hari raya, maka ramai yang dapat hadir ke majlis kesyukuran yang diadakan ini.

Semoga Allah memberkati pasangan pengantin Faiz dan Tasni. Semoga ikatan yang baru diikat ini dilimpahi dengan rahmat, sakinah dan mawaddah hendaknya. Semoga berbahagia hingga ke syurga. Insya Allah.








Sunday, 24 June 2018 0 comments By: Naemah

AIDILFITRI 2018: RAYA KEDUA





Hari raya kedua, kami sekeluarga masih berada di Kg. Kijang rumah ibu mertuaku. Tetapi hari ini kami sudah merancang untuk ke Tumpat, kampung Mek. Ahli keluargaku lebih ramai di sana, kerana hampir semua Mak sedara dan pak sedara tinggal di sana.

Maka kami bertolak jam 9 pagi menuju ke Kg. Jubakar Pantai. Sesampai di sana, Mek dan family abang no.2 dah sampai di sana. Tapi aku hanya sempat jumpa mek sebab abang dan keluarganya pergi ziarah kubur ayah kami. Mereka juga ke rumah bapa saudara sebelah ayah. Kakakku dan family Abang sulungku juga mengikut rombongan mereka. Kami tak sempat nak menyertai mereka kerana perlu ziarah setiap rumah di sini dulu.

Lebih kurang jam 11 pagi, kami ke rumah yang terakhir di sana iaitu rumah keluarga mertua anak saudaraku. Di sinilah kami semua bertemu dan berkumpul ramai-ramai. Di sini juga kami menikmati hidangan tengahari iaitu nasi hujan panas yang disediakan oleh tuan rumah. Oh ya, abang sulungku tidak bersama kami kerana pada hari tersebut dia masih di Mekah, membuat ibadah umrah bersama isterinya. Begitu juga abang no.3 dan family, hari ini beraya di rumah isterinya di Kg. Pendek. Maka hari ini aku hanya sempat berjumpa dengan anak-anak abang sulung, abang no.2 dan family, juga kakakku suami isteri. Itupun sudah cukup ramai dan meriah sebenarnya :)

Hampir masuk waktu zohor, kami bertolak balik semula ke Kota Bharu. Kembali ke rumah ibu mertuaku. Pada petang harinya kami ke rumah sepupu suamiku yang letaknya tak jauh dari rumah Mak. Hari ni dia adakah rumah terbuka, maka sekali lagi kami menjamu selera merangkap makan malam kami. Nasi kerabu, spageti dan hidangan sampingan yang lain. Alhamdulillah. 

Malam harinya, berehat di rumah mak sepuasnya selepas sehari lagi melalui hari yang memenatkan, namun indah untuk dikenang bersama :) Esok hari akan meninggalkan rumah mak dan balik ke Jeli, sambung beraya di rumah Mek seterusnya meraikan majlis perkahwinan anak saudaraku Faiz. Beraya sakan lagi nampaknya :)


Gambar hari ni;






























Thursday, 21 June 2018 0 comments By: Naemah

AIDILFITRI 2018: RAYA PERTAMA





Alhamdulillah baru berkesempatan untuk update ‘cerita’ Aidilfitri kami sekeluarga. Hari ini sudah masuk 5 Syawwal 1439H. Kami sekeluarga masih berada di kampung manghabiskan cuti sekolah dan cuti kerja suamiku yang masih berbaki. 

Tahun ini, seperti juga tahun-tahun lepas kami sekeluarga berhari raya bersama keluarga di kampung. Tahun ini giliran kami berhari raya di Kota Bharu, rumah ibu mertuaku. 

Hari raya kami meriah, Alhamdulillah. Daripada 10 anak mak, hanya seorang yang tak dapat balik. Bermakna 9 daripadanya dapat berkumpul bersama (9 orang termasuk arwah abang Din, walaupun abang Din tiada, anak isterinya ada bersama)

Sehari sebelum menyambut Aidilfitri, anak dan cucu Mak bekerjasama membersih dan menghias rumah. Mak pula sibuk di dapur memasak bersama anak dan menantu perempuan. Seperti biasa, Mak adalah yang paling sibuk walaupun dalam keadaannya yang sudah kurang berupaya. Hari ini siap juadah lemang dan rendang, nasi himpit, sup, dan lain-lain juadah berbuka. Hari ini juga sangat meriah berbuka bersama-sama di hari terakhir Ramadhan.

Di pagi Syawwal, masing-masing ‘bergaya’ dengan pakaian baru dan cantik bersama warna tema family masing-masing. Bersalaman, bermaaafan, bergambar dan menikmati juadah yang dihidangkan bersama-sama. Meriah! Ya, itulah gambarannya bila anak cucu yang ramai ini berkumpul bersama :)

Selesai solat sunat hari raya, bermulalah acara ziarah menziarahi. Kami berkunjung ke rumah mak saudara/adik beradik Mak dan ayah mertua. Di setiap rumah, meriah lagi dengan hidangan dan sanak saudara yang ramai. Kebanyakannya, hanya dapat bertemu setahun sekali seperti ini. Alhamdulillah, hari raya dapat mendekatkan jarak yang sebelumnya terasa jauh. Berkenal-kenalan dengan yang baru bertemu, dan bertanya khabar mesra dengan yang jarang-jarang bertemu.

Acara ziarah kami berakhir jam 12 tengahari. Kami balik ke rumah, kaum lelaki perlu bersiap dan bersedia untuk solat Jumaat. Petang harinya juga kami tak kemana-mana. Hanya menyambut kedatangan tetamu yang datang beraya di rumah mak. 

1 Syawwal berakhir sudah. Masing-masing dalam mood ‘seronok’ di hari raya pertama, terutamanya anak-anak kami yang dapat beraya dan bermain bersama sepupu. Dapat kumpul duit raya lagi. Alhamdulillah di atas rezekiNya :)


Family raya pictures;



Family kak yah-kakak sulung




Family Abang Din- no.2




Family Abang Eki- no.4





Our Family/my husband- no.5




Family Azim- no.6




Family Sajidah- no.8





Family Asma- no.9




Mak dengan anak no.7 dan no.10
InsyaAllah nanti akan ada family masing-masing.


Tiada dalam gambar: family Abang Man (no.3)







Wednesday, 13 June 2018 0 comments By: Naemah

LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN: MENGUNJUNGI RUMAH ANAK YATIM

Entri ini adalah sambungan dari cerita lepas; 

Baru berkesempatan untuk update di sini tentang perjalanan seterusnya Anas dan Mussaab di Little Diamond Kindergarten.

Sebagaimana yang dirancang, anak-anak Little Diamond Kindergarten berkunjung ke Rumah Kebajikan RedhoMu Tuhan, Taman Tasik Semenyih pada hari terakhir persekolahan mereka (sebelum cuti beraya) iaitu pada tarikh 9/6/18. Rumah kebajikan ini menempatkan anak-anak yatim yang berumur di antara 4-6 tahun.

Guru dan pelajar Little Diamond Kindergarten membawa wang sumbangan hasil dari jualan bazar amal yang diadakan pada 31/5/18. Selain itu, ibubapa turut sama menghulurkan sumbangan masing-masing dalam bentuk wang tunai dan keperluan asas seperti minyak, gula, beras, biskut dan sebagainya. Alhamdulillah, sedikit sebanyak dapat membantu memenuhi keperluan harian mereka.

Anas dan Mussaab menimba pengalaman baru lagi hari ini bersama teman-teman Little Diamond. Anas dan Mussaab mendekati rakan sebaya yang berbeza nasib dengan mereka. Anas dan Mussaab mungkin belum sepenuhnya mengerti, tetapi betapa Anas dan Mussaab sangat beruntung masih mempunyai ibu dan ayah di usia sekarang, boleh bermanja, boleh meminta itu dan ini, boleh mengadu dan bercerita, dan menikmati kasih sayang sempurna ummi dan abi.

Sedangkan nasib mereka di rumah kebajikan sana amat berbeza. Namun pada ummi, bukan mereka tidak bernasib baik atau kurang berbanding orang lain, cuma Allah tempatkan mereka di situ atas sebab yang Allah saja tahu dan pasti itu juga yang terbaik dari Allah buat mereka. Mungkin mereka tak menikmati apa yang Anas, Mussaab dan rakan-rakan dapat, tapi rahsia Allah tak siapa yang tahu. Insya Allah, semua yang Allah takdirkan untuk mereka adalah semata untuk memberi kebaikan dan kemuliaan buat mereka.

Namun dengan mendekati mereka, ummi harap Anas dan Mussaab akan lebih mengerti dan memahami akan erti kehidupan ini. Jika bukan hari ini, insya Allah esok. Belajarlah untuk bersimpati, bermurah hati untuk memberi, dan sentiasalah bersyukur dengan segala kurnia. Bukan semua yang kita mahu kita akan dapat. Tapi apa yang kita ada hakikatnya sudah lebih dari mencukupi. Andai kita benar-benar menjadi hamba Allah yang bersyukur. 

Bila meletakkan diri pada tempat anak yatim seperti mereka, hati ummi sedikit tersentuh. Kerana ummi juga pernah mendapat gelaran ‘anak yatim’ ketika berusia 3 tahun. Bezanya ummi masih ada ibu dan adik-beradik untuk menumpang kasih. Walaupun anak yatim, kehidupan ummi baik-baik saja. Alhamdulillah. Semakin hari Allah kurniakan kehidupan yang lebih baik, sehingga hari ini dikurnia suami dan anak-anak yang membahagiakan. ‘Kekurangan’ lalu, tak lain hanya untuk ummi lebih mensyukuri kehidupan hari ini yang sangat baik walaupun bukan sempurna. Sungguh, perancangan Allah tetap terbaik dan terkandung hikmah. Ia rahsia Allah yang penuh dengan Rahmat dan Kasih.

Terima kasih sekali lagi buat para pendidik di Little Diamond Kindergarten kerana membawa anak-anak ke lapangan ‘realiti’ sebuah kehidupan. Tidak hanya bergantung pada pelajaran di dalam kelas. Terima kasih membuka mata dan menjentik hati mereka. Ya, mungkin mereka masih kecil, namun ummi percaya semua ini akan kekal menjadi pelajaran berguna untuk masa depan Anas, Mussaab dan rakan-rakan. 

Insya Allah


Kredit gambar pada Teacher Zeeda






















Monday, 11 June 2018 0 comments By: Naemah

PERJALANAN BALIK RAYA




Jika tahun-tahun sebelum ini, kami adalah antara yang terawal balik kampung untuk beraya, tetapi tahun ini nampaknya berbeza. Kepulangan kami ‘lewat’ sedikit iaitu setelah 3 hari sekolah bercuti. Kami tak dapat balik lebih awal memandangkan suamiku masih perlu bertugas.

Kami merancang pulang pada hari Isnin malam selesai solat terawih. Bermakna sempat lagi kami berpuasa di kampung 3 hari sebelum menyambut hari raya. Maka pada 11/06/18 kami sudah bersiap sedia dengan segala keperluan untuk balik kampung. Seperti biasa, Anas dan Mussaab yang paling tak sabar nak balik kampung. Teringat sepupu mereka yang ramai di kampung. Suamiku yang hari ini baru balik dari Bintulu memilih untuk bergerak malam berbanding esok paginya untuk mengelakkan dari kesesakan perjalanan di siang hari.

Kami bertolak hampir jam 12 malam, lewat dari masa yang dirancang dek satu ‘kejadian’ dan ujian yang tidak diduga. Kami bertolak bersama doa dan tawakkal hanya pada DIA. Anas dan Mussaab yang tadi aktif dan menanti saat bertolak ke kampung, akhirnya terlena. Miqdad terjaga ketika nak bertolak, tapi sambung lena semula di dalam perjalanan.

Musafir kami bermula malam ini. Aku yang mengantuk hanya sempat bertahan seketika. Memandangkan jam pun sudah pukul 12 pagi, aku lebih memilih untuk tidur. Tinggal suamiku sendiri memandu dan melayan perasaan. Ada ketikanya aku terjaga juga, terdengar suara suamiku ‘berdendang’ sendirian :) antara cara dia nak elakkan rasa mengantuk. Aku pun tak berdaya nak teman. Mengantuk sangat. Dalam hati risau juga, biarkan dia drive dan layan perasaan sorang-sorang. Dah la tadi sudah menempuh perjalanan jauh Bintulu-Semenyih. 

Suamiku berhenti di Kuala Lipis dan melelapkan mata seketika. Tak pasti berapa lama dia dapat lelap, aku terus melayan rasa mengantuk. Sehingga perjalanan diteruskan dan kami tiba di Gua Musang jam 4.30 pagi.  Sepanjang perjalanan kami dari rumah sehingga Gua Musang, boleh dikatakan ‘hidup’ malam ini. Kereta berderetan tak sunyi. Kalau malam pun dah begini banyak kereta, siang hari apatah lagi.

Kami bersahur di sebuah kedai makan di Gua Musang. Alhamdulillah anak-anak lena tidur di dalam kereta. Kami makan berdua. Nasi goreng kampung untukku, dan mi goreng untuk suamiku. 

Selepas itu kami singgah pula di masjid Gua Musang untuk menunaikan solat subuh. Miqdad sudah terjaga dari tidurnya. Alhamdulillah Miqdad baik-baik saja. Selesai solat, terus menyambung perjalanan. Gua Musang-Jeli, tinggal hampir 2 jam perjalanan berbaki. Aku menyambung lena lagi. Anas, Mussaab dan Miqdad bangun dari tidur selepas separuh perjalanan. Pagi kembali meriah dengan suara mereka. 

Akhirnya selamat sampai sekitar jam 8.30 pagi di rumah ibuku. Alhamdulillah. Kini giliran suamiku untuk tidur dan berehat sepuasnya selepas menempuh perjalanan yang panjang. Aku pula, sudah tentunya perlu mengawal anak-anak yang mula aktif sejak bangun pagi tadi. Apa taknya, semalam dah tidur sepuasnya :) Alhamdulillah ummi pun dah banyak rehat semalam kan. Tak perlu la ummi nak sambung tidur lagi :)

Alhamdulillah. Syukur kami dah berada di kampung. Perjalanan semalam juga dipermudahkan olehNya. Anak-anak (dan ibunya) lena tidur sepanjang perjalanan. Suamiku juga dapat fokus memandu walaupun di kala waktu orang perlu berehat dan tidur. Hari ini berbuka puasa di rumah ibuku. Esok insya Allah akan ke rumah ibu mertuaku pula, dan beraya di sana :)
Sunday, 10 June 2018 0 comments By: Naemah

MUHASABAH MUSSAAB BUAT UMMI







Hari ini hari yang agak menguji kesabaran. Setiap hari pun agak menguji sebenarnya. Sering saja ummi bertukar watak menjadi ibu singa bila berhadapan dengan karenah anak-anak bertiga ni. Cumanya, bila hari sekolah kuranglah sikit (kot). Tapi ya, hari-hari pun menguji sebenarnya. Apatah lagi tika bersendirian menguruskan mereka tanpa ada pertolongan sesiapa.

Cerita hari ini, agak menyentuh hati. Ini kisah Mussaab. Dia memang punya 'perangai' unik yang suka mencuba dan menghasilkan sesuatu. Pendek kata, dia seorang yang kreatif dalam diam. Ada-ada saja 'sesuatu' yang dia cuba hasilkan dari 'bahan' yang wujud di dalam rumah. Sukar disekat, sebab dia suka bertindak dalam diam. Pada ummi, Mussaab budak yang genius. ya, ini doa ummi.

Mussaab budak baik dan cerdik, ummi tak nafikan. Tetapi akan ada ketikanya Mussaab akan bertindak di luar kawalan seperti memukul adik, mencampak barang, menyepahkan buku, dengan tiba-tiba. Tapi ummi tahu, tak lain Mussaab sebenarnya mencari perhatian. Mussaab mungkin merasakan kewujudannya tak dihargai, atau dirinya tak dipandang. Mungkin di sini ummi yang khilaf.

Hari ini Mussaab yang tengah 'angin' bertindak memukul tv hingga menyebabkan skrin tv rosak dan tak dapat lagi menonton tv. Ummi cuba menahan diri dari marah, tapi tak terkawal rasa geram pada tindakan Mussaab yang ummi kira melampau itu. ummi marah dan 'hukum' Mussaab. Ummi tak layan Mussaab bercakap. Ummi marah dan geram betul!

Mussaab selepas itu jadi diam bila ummi tak lagi mempedulikan dia. Mussaab baring di sofa, hampir terlelap matanya. Hati ibu ini menjadi sayu melihat tubuh kecil yang tadi ummi tak pedulikan. Ummi datang padanya, kembali berbicara lembut dan menyatakan cinta. Ummi kira, Mussaab sudah lega dan terubat hatinya. Dia lena akhirnya di sofa itu.

Selepas zuhur, ummi dan Miqdad tidur di bilik. Anas juga tidur. Mussaab yang tadi tidur di bawah bangun dan masuk ke bilik. Tiada teman untuk bermain, keseorangan...

Ummi yang tadi lena terdengar esakan tangis yang kesayuan. Ummi buka mata. Mussaab! Ya Mussaab sedang menagis sayu. Bukan begini tangisan Mussaab yang biasa. Hati ummi tersentuh, dan sedih :( mungkinkah Mussaab masih memikirkan hal yang tadi? Ummi bangun dan bertanyakan hal Mussaab. Katanya dia rindu pada abi, katanya lagi dia takut kalau abi balik marah dan potong tangannya sebab rosakkan tv, katanya tak ada orang nak berkawan dengan dia, katanya lagi dia lapar.... ya tadi dia tak makan sebab tadi sibuk dengan 'aktiviti'

Ummi dan Mussaab turun ke bawah. Ummi masak nasi goreng dan suapkan Mussaab makan. Ummi mendengar cerita, celoteh dan luahan rasa Mussaab. Kemarahan ummi tadi membekas pada hatinya tanpa ummi sedar. Bicara Mussaab banyak menyentuh hati ummi. Lepas makan, Mussaab tanya macam mana nak baiki tv? Dia nak baiki sebelum abi balik. Risau sangat dia. Bila ummi cakap tak boleh baiki, agak kecewa dia mendengarnya.

Petang hari dapat video call abi. Abi juga dah tahu hal sebenar. Ummi harap sangat abi tak marah Mussaab. Cukuplah tadi ummi dah buat dia takut dan menangis. Ya, bicara abi baik-baik saja. Sebelum abi tanya Mussaab dah cakap dulu, dan dah minta maaf dulu. Alhamdulillah, abi cool and steady saja :)

Selepas berbuka puasa, Mussaab mencipta lagi kesedihan dan kesayuan dalam hati ummi. Mussaab tolong kemaskan rumah, Mussaab vakum lantai, susun buku, berbuat baik pada adik, dan banyak lagi. Mulut Mussaab tak berhenti berbicara tentang dirinya yang nak jadi baik, dia senaraikan satu-satu amalan dan sifat baik, semuanya yang pernah ummu dan abi sebutkan. Ummi tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan ummi. Ummi melihat Mussaab seorang anak yang sangat baik dan hebat. Mungkin ummi yang selama ini susah untuk datang dekat dan bicara hati ke hati dengan Mussaab. 

Ya Mussaab anak yang baik dan hebat! Anas dan Miqdad juga sama. Ada keistimewaan yang tersendiri. 

Mussaab, untuk hari ini dan yang sudah lepas, maafkanlah ummi atas segala kekurangan ummi. Seperti ummi nyatakan ummi sayang Mussaab, ummi tak berbohong! Ummi terlalu sayangkan Mussaab dan semua anak ummi. Tiada yang terlebih dan terkurang. Cuma mungkin ada kekurangan dari ummi dalam memberi yang terbaik untuk semua. Maafkanlah ummi. 

Segala bicara Mussaab hari ini memberi ruang untuk ummi berfikir dan bermuhasabah diri. Betapa ummi sedar bahawa ummi bukan ibu yang sempurna. Dari anak-anak ummi sendiri, ummi banyak belajar untuk menjadi yang lebih baik. Lebih baik untuk kalian. Maafkan ummi. Terlalu banyak khilafnya ummi :'( 

Semoga esok hari Mussaab sudah melupakan tentang kemarahan ummi.




Di petang hari Mussaab bersama abang dan adiknya


Wednesday, 6 June 2018 0 comments By: Naemah

SEBUAH KESYUKURAN



Hari ini sudah 21 Ramadhan 1439H. Sudah di 10 malam terakhir, di pecutan terakhir sebagai hamba yang mendambakan rahmat dan keampunan dariNya.

Alhamdulillah, syukur dapat menyempurnakan puasa dengan sebaiknya sebagai isteri dan sebagai ibu yang masih menyusukan anak kecilku. Alhamdulillah :)

Syukur juga sudah diberi kesempatan untuk balik berpuasa dan berbuka bersama orang tua di kampung pada awal puasa hari tu. Dek kesuntukan masa, itulah yang pertama dan terakhir setakat ini. Insya Allah akan balik ke kampung di hujung Ramadhan ini pula untuk sambut hari raya bersama keluarga di kampung. Tak dapat balik lebih awal walaupun dah nak cuti sekolah, disebabkan suamiku yang masih perlu bertugas. Tak apalah, masih bersyukur kerana suamiku dapat sambut hari raya bersama lagi tahun ini :)

Beberapa hari ini suamiku ada di rumah, dapat berpuasa dan berbuka bersama-sama. Alhamdulillah. Dia suami yang baik, yang banyak menbantuku dalam urusan rumah termasuk hal memasak di dapur. Dia yang hampir setiap hari menyediakan hidangan sahur, dan sesekali memasak untuk hidangan berbuka. Tak lupa juga hal dan urusan yang lain, yang tanpa pertolongan dia memang tak cukup tangan aku nak buat semua. Alhamdulillah. Dikurnia suami sebaik dia.

Di kesempatan bulan suci ini aku mendoakan agar Allah sentiasa merahmati dia yang terlalu baik buatku, dan buat anak-anak kami. Semoga Allah ampunkan segala dosa suamiku, semoga dia akan terus diberi kesihatan dan menjadi pemimpin terbaik buat kami yang akan memimpin kami ke jalan yang diredhaiNya. Semoga akan di kumpulkan bersama di dunia dan di akhirat nanti. Aameen.



Sunday, 3 June 2018 0 comments By: Naemah

IBU BERGAYA VS IBU SELEKEH



Setiap kali hantar Anas dan Mussaab ke sekolah sejak tahun lepas lagi, sesekali bertembung dengan ibu pelajar yang lain. Kadang-kadang menyapa, kadang-kadang sekadar melempar senyuman. Ada di antara mereka yang tidak bekerja sepertiku, dan kebanyakan mereka adalah yang berkerjaya.

Antara yang berkerjaya dan tidak, mungkin dapat dibezakan melalui penampilan :) yang berkerjaya, meskipun bukan jenis yang bergaya, tetap tampil lebih kemas dan cantik berbanding yang tidak sepertiku. Aku tak kisah sangat pun sebenarnya dengan penampilan diri. Aku jenis yang ‘asal menutup aurat sudahlah’. Untuk dilihat cantik di mata orang, bukan akulah orangnya.

Tambahan pula bila sibuk seharian dengan urusan di rumah, memang tak ada masa nak berhias, nak menukar pakaian, menata wajah. Selesai memasak, dengan bau masakan semua melekat di baju, terus keluar ambil anak di sekolah. Tak kisah pun sebenarnya, sebab sekejap je tempoh masanya di sekolah. Just nak pick up mereka balik, bukan nak berurusan dengan sesiapa. Apa nak dikisah sangat dengan penampilan diri?

Namun terkadang dijentik persoalan; apa perasaan anak aku bila tengok ibu orang lain kemas dan cantik, ibu dia selekeh saja :/ 

Entahlah, patut ke perasaan itu hadir? Adakah mungkin anak-anak akan mempersoalkan hal itu? 

Betapa selama ini aku tidak memikirkan tentang penampilan diri. Malahan di waktu belajar dulu lagi, aku memang yang akan tampil simple dan sederhana saja. Bila ke kuliah, pakaian aku hanya baju kurung atau jubah. Melihat rakan sekelas menggayakan pelbagai fesyen, ia langsung tak menarik hatiku untuk mencuba. Rupa pun biasa-biasa saja. Orang nak pandang? Memang taklah! :D

Selepas bernikah, aku masih seorang yang simple (atau selekeh?) suami pun ok saja, tak ada pula nak suruh aku tukar penampilan. Kadang-kadang rasa malu juga nak berdepan dengan kenalan dia, maklumlah tak cantik, tak vogue. Tapi tak apalah.. syukur dia terima aku seadanya. 

Berbalik pada hal anak-anak tadi, aku juga mengharapkan anak-anak aku akan OK dengan penampilan ibunya ini. Tak membandingkan aku dengan ibu-ibu yang lain, yang lebih cantik, dan yang pandai bergaya. Ummi awak ni tak pandai semua tu. Ummi suka jadi yang biasa-biasa macam ni je.

Sebagaimana satu ungkapan, ibu adalah yang paling cantik dan istimewa di mata anak-anaknya, ummi harap anak-anak ummi juga dapat merasakan hal yang sama, meskipun ummi sedar ummi tak layak. 

Biar bagaimana ummi, ketahuilah betapa ummi sayang anak-anak ummi. Semoga kalian tidak kisah, bagaimana ‘selekeh’ pun ummi di pandangan mata orang lain. 
Friday, 1 June 2018 0 comments By: Naemah

BAZAR RAMADHAN LITTLE DIAMOND



Pada 31/5/2018 diadakan bazar Ramadhan/bazar amal di Little Diamond Kindergarten. Keuntungan daripada hasil jualan ini akan disumbangkan ke rumah anak-anak yatim.

Sebelum teacher maklumkan kepada ibubapa lagi, Anas sudah sampaikan pada ummi tentang perancangan tersebut. Bila guru memaklumkan di group whatsapp, kira confirm dan jadi jugalah akhirnya :)

Apa yang menarik, setiap pelajar terlibat dari awal perancangan hingga berakhirnya event tersebut. Masing-masing ada peranan dan tanggungjawab yang tersendiri. Tersusun dan terancang. Ya, meskipun mereka hanya kanak-kanak yang berumur di antara 4-6 tahun sahaja. Terima kasih pada guru-guru di atas ‘kepercayaan’ itu. Bahkan mungkin kami ibubapa sendiri tidak sehingga memberi tanggungjawab seperti itu kepada mereka.

Sudah semestinya, Anas yang sentiasa excited dan bersemangat bila diadakan sesuatu event atau aktiviti di sekolah. Seronok dapat tahu dia akan memasak dan berniaga bersama kawan-kawan. Dia pula dipertanggungjawabkan sebagai cashier, tekun dia belajar mengira duit dengan ummi. Tapi terus terang, Anas walaupun sudah biasa dengan angka, tetapi tidak biasa berurusan dengan duit. Tapi tak mengapa, insya Allah sedikit sebanyak ia membantu Anas untuk lebih ‘mengenal’ duit. Next year dah nak masuk darjah 1 kan?

Mussaab pula, dia sebenarnya tak berapa faham apa yang bakal berlaku :D Dia iyekan saja segala maklumat yang disampaikan Anas kepada ummi. Oh ya, Mussaab ditugaskan menjaga bahagian mi goreng :)

Di hari kejadian, bazar Ramadhan anak-anak Little Diamond berjalan dengan lancar. Dari hal memasak, memasang khemah, menyusun meja, semuanya terlibat dan bekerjasama membuat kerja dengan arahan dan pantauan guru mereka, semestinya. 

Ummi datang sekitar jam 5.30 petang bersama Miqdad. Semestinya ummi support, langsung tak memasak hari ni sebab nak beli juadah berbuka di bazar Little Diamond. Memang meriah sangat :) dan comel sangat semuanya. Mana nak cari pemandangan bazar Ramadhan seperti ini kan :D 

Ummi tak lepas peluang mengambil gambar dan video untuk dijadikan sebagai kenangan terindah buat Anas dan Mussaab bersama guru dan rakan di zaman kecil ini. Ini antara momen yang pasti akan dikenang bila besar nanti :)

Kira-kira jam 6.30 petang, Anas dan Mussaab balik bersama ummi. Mussaab kelihatannya penat sangat seharian membuat persiapan dan berjualan di bazar Ramadhan. Anas, yang sentiasa energetic kelihatannya ceria dan menyatakan rasa ‘best’ di atas pengalaman hari ini. Alhamdulillah. Ummi bahagia di atas keseronokan anak-anak. Syukur dan terima kasih tak terucap.

Ummi sudah siapkan video sebagai kenangan, ummi sudah share dengan teacher, dan ummi tulis lagi di blog ini, untuk menyatakan syukur dan terima kasih di atas pengalaman baru yang anak-anak ummi tempuh bersama. Ummi percaya, ibubapa yang lain juga tak kurang rasa senang hati melihat anak-anak mereka bertungkus lumus menjayakan bazar amal ini. Insya Allah ianya bermanfaat buat anak-anak kecil kita ini.

Penghargaan dan terima kasih ummi buat guru-guru Little Diamond Kindergarten di atas segalanya. Ummi tahu ‘bukan mudah’ nak handle anak-anak kecil ni. Ya ummi faham, bukan mudah! Tapi guru-guru sudah berjaya. Sebagai ibu, ummi terus meletakkan ‘kepercayaan’ kepada guru-guru di sini untuk terus membimbing Anas dan Mussaab di sekolah ini. Insya Allah. 


Terlalu banyak gambar
Ummi letakkan sebahagiannya di sini :)