Monday 11 June 2018 By: Naemah

PERJALANAN BALIK RAYA




Jika tahun-tahun sebelum ini, kami adalah antara yang terawal balik kampung untuk beraya, tetapi tahun ini nampaknya berbeza. Kepulangan kami ‘lewat’ sedikit iaitu setelah 3 hari sekolah bercuti. Kami tak dapat balik lebih awal memandangkan suamiku masih perlu bertugas.

Kami merancang pulang pada hari Isnin malam selesai solat terawih. Bermakna sempat lagi kami berpuasa di kampung 3 hari sebelum menyambut hari raya. Maka pada 11/06/18 kami sudah bersiap sedia dengan segala keperluan untuk balik kampung. Seperti biasa, Anas dan Mussaab yang paling tak sabar nak balik kampung. Teringat sepupu mereka yang ramai di kampung. Suamiku yang hari ini baru balik dari Bintulu memilih untuk bergerak malam berbanding esok paginya untuk mengelakkan dari kesesakan perjalanan di siang hari.

Kami bertolak hampir jam 12 malam, lewat dari masa yang dirancang dek satu ‘kejadian’ dan ujian yang tidak diduga. Kami bertolak bersama doa dan tawakkal hanya pada DIA. Anas dan Mussaab yang tadi aktif dan menanti saat bertolak ke kampung, akhirnya terlena. Miqdad terjaga ketika nak bertolak, tapi sambung lena semula di dalam perjalanan.

Musafir kami bermula malam ini. Aku yang mengantuk hanya sempat bertahan seketika. Memandangkan jam pun sudah pukul 12 pagi, aku lebih memilih untuk tidur. Tinggal suamiku sendiri memandu dan melayan perasaan. Ada ketikanya aku terjaga juga, terdengar suara suamiku ‘berdendang’ sendirian :) antara cara dia nak elakkan rasa mengantuk. Aku pun tak berdaya nak teman. Mengantuk sangat. Dalam hati risau juga, biarkan dia drive dan layan perasaan sorang-sorang. Dah la tadi sudah menempuh perjalanan jauh Bintulu-Semenyih. 

Suamiku berhenti di Kuala Lipis dan melelapkan mata seketika. Tak pasti berapa lama dia dapat lelap, aku terus melayan rasa mengantuk. Sehingga perjalanan diteruskan dan kami tiba di Gua Musang jam 4.30 pagi.  Sepanjang perjalanan kami dari rumah sehingga Gua Musang, boleh dikatakan ‘hidup’ malam ini. Kereta berderetan tak sunyi. Kalau malam pun dah begini banyak kereta, siang hari apatah lagi.

Kami bersahur di sebuah kedai makan di Gua Musang. Alhamdulillah anak-anak lena tidur di dalam kereta. Kami makan berdua. Nasi goreng kampung untukku, dan mi goreng untuk suamiku. 

Selepas itu kami singgah pula di masjid Gua Musang untuk menunaikan solat subuh. Miqdad sudah terjaga dari tidurnya. Alhamdulillah Miqdad baik-baik saja. Selesai solat, terus menyambung perjalanan. Gua Musang-Jeli, tinggal hampir 2 jam perjalanan berbaki. Aku menyambung lena lagi. Anas, Mussaab dan Miqdad bangun dari tidur selepas separuh perjalanan. Pagi kembali meriah dengan suara mereka. 

Akhirnya selamat sampai sekitar jam 8.30 pagi di rumah ibuku. Alhamdulillah. Kini giliran suamiku untuk tidur dan berehat sepuasnya selepas menempuh perjalanan yang panjang. Aku pula, sudah tentunya perlu mengawal anak-anak yang mula aktif sejak bangun pagi tadi. Apa taknya, semalam dah tidur sepuasnya :) Alhamdulillah ummi pun dah banyak rehat semalam kan. Tak perlu la ummi nak sambung tidur lagi :)

Alhamdulillah. Syukur kami dah berada di kampung. Perjalanan semalam juga dipermudahkan olehNya. Anak-anak (dan ibunya) lena tidur sepanjang perjalanan. Suamiku juga dapat fokus memandu walaupun di kala waktu orang perlu berehat dan tidur. Hari ini berbuka puasa di rumah ibuku. Esok insya Allah akan ke rumah ibu mertuaku pula, dan beraya di sana :)

0 comments:

Post a Comment