Saturday 30 December 2017 0 comments By: Naemah

OUR 7TH ANNIVERSARY






Alhamdulillah.
Sudah genap 7 tahun usia perkahwinan kita pada 11/12/17. Syukur ku panjatkan pada Allah atas rahmatNya yang tak pernah putus. Baru hari ini aku berkesempatan untuk menulis dan mencoret, mengingati detik yang terindah dalam hidup ini.

Tiada apa yang mampu aku persembahkan. Hanya syukur yang tak terhingga, atas kurniaan Allah dalam hidupku iaitu dirimu dan juga anak-anak. 

Semakin meningkat usia kita, dan semakin meningkat juga usia pernikahan kita. Aku bahagia kerana dikurniakan insan sepertimu dalam hidup ini.

Namun aku akui kehidupan kita bukan sempurna. Ikatan ini, banyak lagi yang perlu diperbaiki. Perlu sama-sama bermuhasabah dan memperbaiki. Aku dan juga kamu.

Sayang.

Aku bahagia ada kamu. Namun aku tak pasti apakah kamu bahagia bila bersamaku.

Aku terhibur dengan setiap sendamu. Namun aku juga tak pasti sejauh mana aku mampu menghiburkan hatimu sebagai seorang isteri.

Aku bangga kerana suamiku adalah kamu. Tapi sejauh mana aku mampu membuatmu bangga dengan apa yang ada padaku, sebagai seorang isteri.

Aku percaya padamu sebagai ayah yang baik, penyayang dan bertanggungjawab pada anak-anak kita. Namun aku tak pasti sejauh mana kepercayaanmu padaku sebagai ibu yang terbaik untuk anak-anak.

Kerana aku tahu terlalu banyak kurangnya aku. Aku sedar betapa aku masih kurang matang dalam memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Banyak episod kegagalanku. Banyak yang aku kesali. Bingung adakalanya memikirkan bagaimana aku mahu menjadi yang lebih baik untukmu dan anak-anak.

Sekali lagi maafkan aku sayang. Doakan aku sayang. Aku percaya pada cinta ikhlasmu. Namun aku juga tahu, aku perlu lebih berusaha untuk menjadi isteri yang lebih menyenangkan hatimu.

Semoga masih ada harapan dan peluang. Untuk sama-sama memperbaiki setiap kekurangan yang ada. Moga Allah panjangkan usia kita, setiap detik mencipta bahagia bersama. Pimpin tanganku sayang. Bersama kita menggapai redhaNya. Insya Allah.

Doaku, semoga kita akan tetap bersama di dunia dan akhirat. Aameen.

Selamat ulangtahun perkahwinan yang ke-7 sayang.
Dan selamat hari lahir sayang.
Love u forever. Lillahi Taa’la.
Wednesday 27 December 2017 0 comments By: Naemah

LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN : REGISTRATION

Anas dan Mussaab dengan rasminya berdaftar di tadika Little Diamond untuk sessi persekolahan tahun 2018. Pendaftaran dibuat pada 27/12/17, dengan pembayaran sepenuhnya yuran pendaftaran dan yuran untuk bulan Januari 2018. Anas dan Mussaab bersekolah half day (8-12pm)


Tahun depan Anas tidak bersekolah di Genius Aulad lagi. Bukan kerana sekolah itu tidak bagus, tapi selepas membuat pertimbangan sebaiknya (insya Allah) Anas didaftarkan di sekolah ini. Dari segi ‘nama’ sudah tentu tak dapat mengalahkan Genius Aulad yang sudah dikenali ramai dan terdapat banyak pula cawangannya di seluruh Malaysia. Sedangkan sekolah yang ini, masih baru nak bertapak dan anak-anak kami adalah batch pertamanya :) Namun insya Allah, anak-anak tetap akan menerima pendidikan terbaik sebagaimana di sekolah-sekolah lain.

Mussaab tahun depan berusia 4 tahun. Kalau ikutkan tak nak hantar sekolah lagi, tapi memandangkan dia yang beria nak sekolah, kami daftarkan juga dia sekolah. Mudah-mudahan Mussaab akan happy di sekolah. Anas pula, dia sebenarnya kurang excited nak sekolah. Entahlah, mungkin dia rasa sekolah tu ‘boring’. Bila dijanjikan dengan aktiviti-aktiviti menarik di sekolah baru, dia nampaknya lebih berminat. Namun, tak seperti Mussaab yang nampaknya lebih excited nak bersekolah. Harapannya, Anas juga akan sukakan sekolah barunya nanti.

Tahun 2018, akan ada kelainannya. Bab sekolah, nampaknya Anas dan Mussaab keduanya dah bersekolah. Tak sedar masa berlalu pantas. Anak-anak  ummi dah besar :)  Anas akan merasai pengalaman baru di sekolah baru, dan Mussaab yang sebelum ini teringin sangat nak bersekolah, akan dapat rasa juga bagaimana ‘bersekolah’. Tahun depan juga masing-masing perlu bangun pagi, kerana sekolah akan bermula jam 8 pagi. Tak seperti sessi persekolahan lepas di mana Anas bersekolah waktu petang. Dan sekolah baru ini juga jaraknya lebih dekat, ummi tak perlu drive untuk menghantar Anas dan Mussaab ke sekolah :)

Semoga Allah permudahkan segalanya. Semoga pilihan ini adalah yang terbaik untuk Anas dan Mussaab, untuk masa ini dan kali ini. Semoga dapat menimba sebanyaknya ilmu dan sentiasa seronok mencari ilmu. Insya Allah.

Bye Genius Aulad. Anas tak pernah lupa. Genius Aulad juga telah memberikan yang terbaik untuk Anas. Bukan Anas tak suka, cuma Anas ingin mencari kelainan pula :)


Hari pendaftaran Anas dan Mussaab 






Saturday 23 December 2017 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 241217



Dah lama tak mencatat diari anak-anak di sini. Yang pertama untuk bulan ini :) baru beberapa hari balik ke rumah setelah 2 minggu berada di kampung. Hari ini juga hari ketiga abi di Bintulu. Masih di laut, masih belum menerima khabar dari abi sejak semalam. Insya Allah abi baik-baik saja di sana.

Hari ini Miqdad bangun hampir jam 7 pagi. Kemudian Mussaab pula bangun dan akhir sekali Anas. Bergilir mandi, bersiap dan turun ke bawah. Ummi siapkan sarapan mi goreng dan roti paratha cheese. Kemudian sarapan bersama-sama. 

Lepas sarapan Anas dan Mussaab buat hal sendiri. Membelek buku dan melukis. Miqdad berjalan ke sana sini, explore apa yang patut. Sesekali merengek mahukan perhatian. Ummi buka video didi and friends sementara ummi nak siapkan kerja rumah. Kemudian keluar ke halaman. Miqdad berjalan di luar. Anas dan Mussaab keluar masuk rumah. 

Jam 9, Anas belajar ‘time’ dengan ummi. Cuba buat buku latihan yang ada. Mussaab pula menulis numbers di buku. Leka seketika dengan buku. Miqdad teman abang-abang yang tengah khusyuk belajar. Dah bosan, Miqdad menangis. Ummi carikan buku Miqdad pula. Miqdad leka sebentar dengan buku Iqra. 

Jam 10, Anas naik ke atas menonton video di YouTube pula. Mussaab di bawah menonton video di hard disk. Ummi susukan Miqdad di bilik hingga terlena. Mussaab naik ke atas sertai Anas.

Jam 11, Miqdad dah bangun. Mussaab juga turun ke bawah. Ummi masakkan paratha cheese lagi. Mi goreng pagi tadi juga masih ada. So, ummi tak masak nasi untuk tengahari. Miqdad hanya makan sedikit. Lepas makan keluar bermain di luar. Riuh rendah suara bermain. Kemudian masuk ke rumah. Anas melukis dan tolong ummi vakum lantai yang bertaburan dengan makanan tumpah. Mussaab juga tolong ummi. Miqdad sudah mula menangis dan merengek. 

Jam 1, naik ke atas. Ummi susukan Miqdad yang tak mahu duduk. Anas dan Mussaab mandi. Selesai mandi membaca buku dan melukis. Miqdad juga dah tak menangis lagi. Membelek buku bersama abang sementara ummi solat. Lepas tu masuk bilik dan main lagi. Beberapa kali ummi cuba tidurkan Miqdad, tak berjaya juga. Macamana nak tidur, abang-abang buat bising kat bilik. 

Hampir jam 2.30, Miqdad lena akhirnya. Selepas menangis terjatuh dari tilam. Anas dan Mussaab pun dah keluar membuat aktiviti sendiri di luar. Tiada suara bising lagi. Sekejap kemudian Mussaab juga masuk tidur di sebelah Miqdad. Tinggal Anas, keluar masuk bilik. Sendirian membuat aktiviti.

Hampir jam 4 petang, ummi bangun. Miqdad dan Mussaab juga bangun. Anas dah ada kawan untuk bermain. Melompat dan ketawa bertiga. Kemudian turun ke bawah. Masing-masing dah kelaparan. Anas makan mi goreng dan paratha cheese yang tak habis tadi. Mussaab dan Miqdad makan nasi goreng yang ummi baru masak. Selepas makan bermain lagi. Keadaan Rumah dah bersepah dan berselerak dengan makanan, kertas dan buku. Anas tolong ummi vakum lagi. Tak sudah juga, sambil buat kerja sambil main. 

Jam 6, dapat panggilan dari abi yang sudah balik ke hotel. Lama juga bercakap dengan abi. Lepas tu keluar ke halaman. Bermain dan berlari sepuasnya. Masuk semula ke dalam rumah dan naik mandi di atas. Siap berpakaian malam.

Sebelum ummi sempat solat maghrib Miqdad dah merengek. Ummi susukan Miqdad dulu hingga Miqdad kembali ceria bermain. Anas menonton video, Mussaab terbaring di tilam memeluk beg Macqueen kesayangnnya. Ummi solat maghrib dan ajarkan Anas al-quran. Kemudian susukan Miqdad lagi yang sudah mengantuk. Anas kembali ke bilik komputer dan menonton. Mussaab baring di tilam bersama Miqdad. Kepala beralaskan beg McQueen. Keduanya terlena. Penat bermain agaknya. Mussaab pula sudah serak basah suaranya kerana batuk. Kesian. Tadi berwajah sedih, rindukan abi. Insya Allah esok boleh jumpa abi. 

Anas masuk ke bilik mengadu lapar. Ummi minta tunggu sekejap sebab dah nak masuk waktu isyak. Ummi solat dan turun ke bawah bersama Anas. Ummi panaskan nasi goreng tadi, tapi Anas hanya makan sedikit. Katanya nak roti cheese. Hai. Cheese lagi. Dia buatkan sendiri. Ummi panaskan kuali, tapi belum sempat masak Miqdad dah menangis di atas. Ummi tinggalkan Anas siapkan semuanya dan makan. Lepas makan Anas naik ke atas. Sudah kenyang katanya. Ummi temankan Anas tidur. Jam 9.30, Anas sudah lena.

Malam sudah sunyi dan sepi. Semoga lena semuanya dan mimpikan yang indah saja. Semoga esok akan kembali ceria semuanya. Dan semoga esok akan menjanjikan yang lebih baik untuk Anas, Mussaab, Miqdad dan kita semua. Insya Allah.

Wednesday 20 December 2017 0 comments By: Naemah

KRONOLOGI SEBUAH TRAGEDI: DAY 3

Sambungan dari: 


15/12/17 (sehari selepas pembedahan)

5.30 pagi
Miqdad bangun awal seperti kebiasaannya di rumah. Miqdad cergas dan ceria bersama senyuman dan bebelannya :) Tapi aku tak berani nak tinggalkan Miqdad yang dalam keadaan begitu sendirian. Nak minta tolong orang jagakan, sah-sah Miqdad tak nak. Terpaksa la angkut sekali ke toilet dan solat saja di tepi katil agar dapat memantau Miqdad sepenuhnya. Risau dia bermain sesuatu yang membahayakan, dan takut dia menggosok-gosok matanya yang baru dioperate. Selepas itu aku membaca al-quran dan melayan Miqdad membaca buku iqra yang menjadi kesukaannya. Jam 7.30, Miqdad sambung tidur kembali. 


Breakfast Miqdad-makan dengan berselera


9.00 pagi
Doktor MO membuat pemeriksaan mata. Miqdad menangis. Masih trauma agaknya. Kata doktor, tiada masalah, dan mungkin Miqdad akan dibenarkan balik. Tapi perlu berjumpa dengan doktor pakar dulu untuk pengesahan.



Bebas dan ceria bermain


11.00 pagi
Doktor pakar membuat pemeriksaan mata Miqdad. Sekali lagi menangis bila matanya diusik. Kesian Miqdad :( Doktor memberi nasihat penjagaan mata Miqdad dan cara penggunaan ubatan. Miqdad dibenarkan balik hari ini.

Pok Long, Mok Long, abang Seraf dan Kak Nurul datang melawat sebelum Miqdad keluar dari hospital.


12.30 tengahari
Urusan surat discharge Miqdad selesai. Suamiku membuat pembayaran sebanyak rm54.50 di unit hasil dan mengambil ubat di farmasi. Kemudian kami bergerak pulang ke rumah ibu mertuaku.

Miqdad tidur dan bermain seperti biasa. Namun perlukan lebih pemerhatian dan pemantauan, tak boleh terlepas pandang. Tambahan pula di rumah neneknya ada ramai budak kecil. Berlari bergurau, memang tak boleh nak larang :)


Episod mencabar seterusnya; ialah untuk memberi Miqdad makan ubat dan titis ubat mata. Setiap kali nak suap ubat, menangis. Nak titis ubat mata, juga menangis. Agar mencabar, dan kesian juga. Tapi terpaksa demi kebaikan Miqdad. Maafkan ummi dan abi ya sayang. 

Keadaan mata Miqdad; masih kelihatan bengkak dan merah matanya, masih berair dan bertahi mata. Selepas 3 hari, bengkak semakin surut, tapi kelihatan kebiruan  seperti kesan lebam. Selepas seminggu hampir tiada nampak kesan kecederaan di mata.

Temujanji doktor buat pertama kali; pada 20/12/17. Miqdad menangis sekuatnya bila tiba masa untuk diperiksa matanya. Alhamdulillah, kata doktor jahitan dan keadaan mata Miqdad elok saja. Temujanji seterusnya ialah pada 6/2/18.

Day by day;


15/12/17


Hari pertama-selepas pembedahan
Kalau tidur memang nampak normal je


16/12/17


Hari kedua-selepas pembedahan
Mata kelihatan merah,bengkak dan berair


17/12/17


Hari ketiga-selepas pembedahan 
Masih kelihatan bengkaknya


18/12/17


Hari keempat-selepas pembedahan 
Bengkak mata dah surut



19/12/17


Hari kelima-selepas pembedahan 
Tiada bengkak lagi


20/12/17


Hari keenam-selepas pembedahan-hari temujanji doktor


21/12/17


Hari ketujuh (seminggu)-selepas pembedahan


Alhamdulillah a’laa kulli haal



Saturday 16 December 2017 0 comments By: Naemah

KRONOLOGI SEBUAH TRAGEDI: DAY 2

Sambungan dari: 


14/12/17 (Hari Pembedahan)

4.30 pagi
Miqdad menyusu kali terakhir jam 2.15 pagi. Jam 4.30, dia terjaga dan menangis untuk menyusu lagi. Kali ini aku hanya mampu memangku untuk meredakan tangisannya yang semakin kuat. Puas dipujuk, tetap juga menangis. Aku bawa Miqdad ke surau. Miqdad berhenti menangis bila aku mula membaca al-Quran. Dia mula bermain dan dalam beberapa tempoh, tak menangis lagi. Bila dah bosan Miqdad kembali menangis dan minta didukung. Kesian Miqdad, ummi tak mampu nak menyusukan Miqdad. Ummi berikan air kosong, Miqdad hanya minum sedikit.

Ummi solat subuh ditemani Miqdad yang masih menangis. Miqdad tak mahu dengan sesiapa kecuali ummi. 

Jam 7.30, abi datang membawa keperluan dan menunggu masa untuk dipanggil ke bilik pembedahan.



Main di dalam surau wad melati


8.00 pagi
Miqdad dibawa ke dewan bedah Intan. Aku dan suami juga ikut menghantar Miqdad ke dewan pembedahan. Aku hanya menghantar sehingga ke muka pintu. Suamiku masuk bersama petugas bilik tersebut membawa Miqdad. Miqdad ok saja, masih tak mengerti apa yang bakal terjadi padanya. Selepas setengah jam, selepas seluruh badan Miqdad dibius, suamiku juga diminta keluar, kerana operation akan dijalankan. Aku dan suamiku menanti di depan dewan pembedahan. 

Hanya Allah yang mengerti perasaanku dan suamiku. Pilu hati menanti sehingga segalanya selesai. Al-Quran, doa dan air mata menjadi teman. Aku redha dan percaya, segala kesedihan ini akan berakhir. Miqdad tak berdosa. Yang berdosa itu aku!





Dibawa masuk ke dalam dewan bedah 






10.30 pagi
Aku dipanggil masuk ke dalam dewan pembedahan. Suamiku menanti di luar. Miqdad sudah ditempatkan di ruang pemulihan. Aku menyambut dan merangkul badan Miqdad dengan penuh sebak. Sebak melihat keadaannya yang masih belum sedarkan diri. Sesekali dia menangis. Tapi mata masih belum dapat dibuka. Bila ditenangkan dia menyambung tidurnya. Kesan bius dan ubat tidur masih belum habis. Aku duduk di kerusi memangku Miqdad sementara menunggu dibawa ke wad. Corong oksigen didekatkan ke muka Miqdad untuk membantu pernafasannya.


11.05 pagi
Miqdad mula membuka mata buat pertama kali. Aku melihat matanya seperti perit untuk dibuka. Mungkin dia silau. Miqdad terbatuk dan termuntah. Namun kerana dari semalam tidak makan dan minum, hanya air liur yang dimuntahkan. Dia masih dalam keadaan mamai. Bila ditenangkan, Miqdad tidur kembali.

Dalam 15 minit kemudian Miqdad membuka mata sekali lagi. Seperti tadi, dia memuntahkan air liur juga. Kata petugas di situ, ia tindakbalas dari ubat bius tadi. Kemudian Miqdad tidur lagi. 


12 tengahari
Petugas dari wad melati membawa Miqdad kembali ke wad. Miqdad masih tidur dengan lena. Tapi Miqdad hanya lena di pangkuanku atau abinya sahaja. Bila diletakkan di katil, Miqdad akan menangis. Aku dan suamiku bergilir memangku Miqdad sehingga kami berdua selesai solat Zuhur, suamiku meninggalkan wad dan aku tidur di katil bersama Miqdad yang masih mengantuk, dan masih dalam keadaan perut kosong.

Dr Punitan, doktor pakar yang merawat dan melakukan pembedahan mata Miqdad datang ke wad dan memberikan sedikit penerangan berkenaan pembedahan tadi. Katanya, satu tiub kecil dimasukkan ke dalam mata Miqdad dan tiub itu akan dibuang semula selepas 6 minggu. Dia berpesan supaya sentiasa memantau Miqdad agar tidak menggaru atau menggosokkan tangannya ke mata. Miqdad dibenarkan menyusu selepas 4 jam tamat pembedahan.




Masih mengantuk 



3.30 petang
Miqdad menyusu buat pertama kali selepas pembedahannya. Masih dalam keadaan mengantuk dan mamai. Agak banyak juga Miqdad menyusu, dan sambung tidur kembali.

Selepas solat asar, suamiku kembali ke wad. Giliran aku solat, dan dia menjaga Miqdad. Miqdad terjaga dan menangis. Suamiku memangkunya. Miqdad membuka mata lagi. Kali ini lebih lama. Tapi masih dalam keadaan tidak selesa dan seperti keperitan. Kemudian Miqdad menyambung tidur semula.

Suamiku membuat pembayaran sebanyak rm450 di klinik mata (kos memasukkan tiub tadi)


5.30 petang
Miqdad bangun dan kelihatan lebih cergas sebaik mendengar suara abang-abangnya yang datang bersama nenek mereka. Miqdad sudah mula tersenyum dan makan dengan berselera. Hari ini ramai yang datang ziarah Miqdad. Pok muda dan abang hariz, mak ngah, mak chu dan pak chu, nenek, umar, uwais, urwah, kak jah, abang zaid dan Mohd.

Suamiku balik selepas solat maghrib, dan malam ini Miqdad tidur dengan sangat lena seperti kebiasaanya. 



Mula ceria bila abang-abang datang melawat



KRONOLOGI SEBUAH TRAGEDI: DAY 1

Catatan duka ini tidak lain hanya untuk memberi peringatan pada semua ibubapa agar lebih berwaspada dalam menjaga amanah Allah, iaitu anak-anak kita.

Mengimbas kembali apa yang telah terjadi, hakikatnya hanya mengguris perasaan sendiri, dan menekan lagi perasaan bersalah dan berdosa yang masih menebal. Tapi demi Allah, aku menyesali apa yang telah terjadi, dan aku ingin menyeru agar insan lain tidak mengulangi episod duka, hasil kecuaian tangan sendiri. 

Mungkin aku tak mampu nak bercerita secara detail. Namun aku harap penyampaian ini sampai dan boleh dijadikan iktibar.


13/12/17 (hari kejadian)

Miqdad pada waktu pagi-di rumah nenek
Sihat dan ceria saja


Sekitar jam 12 tengahari
Aku, suami, Mussaab, Miqdad dan Urwah (anak saudara), dalam perjalanan pulang ke rumah mak selepas membeli sedikit barang di Mr Diy, Tesco Kota Bharu. 

Penyangkut baju besi yang baru dibeli terlepas ke tangan Miqdad hingga menyebabkan hujung penyangkut (yang bercangkuk) masuk ke dalam poket mata Miqdad (di bahagian bawah mata). Kami cuba sedaya upaya untuk keluarkan besi itu hingga ia berjaya dikeluarkan. Darah mengalir keluar dari bibir mata bawahnya. Aku dan suami tersangat cemas. Allah saja yang tahu perasaan ini. Aku segera menekup matanya agar darah tidak terus mengalir. Suamiku memecut kereta ke Hospital Raja Perempuan Zainab ke bahagian emergency. Miqdad lena dalam pangkuan.

Hampir 1 jam menunggu giliran, mata Miqdad diperiksa di bilik khas yang disediakan untuk kes kecemasan. Miqdad yang tadinya masih tidur menangis kuat bila matanya diperiksa. Tak tahan aku mendengar tangisan ‘sakitnya’ :’( Miqdad diberi ubat penahan sakit dan dirujuk ke bilik doktor untuk pemeriksaan dan rawatan susulan. 

Ketika menunggu di bahagian kecemasan



1.19 petang
Menunggu giliran untuk berjumpa doktor. Lebih sejam perlu menunggu. Dalam tempoh itu perlu memangku dan tenangkan Miqdad yang masih menangis. Bila dah ok sikit, lepaskan dia berjalan. Tapi tak boleh biarkan dia terlalu bebas dalam keadaannya yang begitu. Tangisannya sudah mula reda.

Jumpa doktor, sekali lagi doktor memeriksa mata Miqdad. Sekali lagi menangis semahunya dia. Kemudian ke bilik rawatan pula. Kali ini aku tak dibenarkan masuk bersama. Aku hanya mampu mendengar suara raungan anakku dengan hati yang cukup pedih. Mampu berdoa dan berselawat. Hati menangis, menyesal tak berguna. Hanya perlu redha dan tawakkal. 

Keluar dari bilik rawatan, menunggu lagi untuk dirujuk ke klinik mata. Suamiku yang tadinya menjaga Mussaab dan Urwah, datang membawa makanan dan minuman buatku dan Miqdad yang dari tadi tak makan.



2.50 petang
Kini di klinik mata (oftalmologi) pula. Menunggu giliran lagi. Miqdad bermain sementara menunggu giliran dipanggil. 

Tiba giliran Miqdad, sekali lagi perlu membuat pemeriksaan mata. Menangis lagi anakku. Tapi tak berjaya juga untuk melihat ke dalam matanya. Kesian Miqdad. Trauma agaknya. Dia menangis dan menolak semahunya. 

Berjumpa pula dengan pakar mata.’Dikerjakan’ sekali lagi. Aku dan suami tak dibenarkan masuk. 

Kata doktor, pembedahan mata perlu dilakukan untuk melihat luka di dalam. Doktor menerangkan tujuan pembedahan, dan segala kemungkinan sekiranya pembedahan tidak dilakukan. Suamiku berurusan dengan doktor, dan aku di luar menenangkan Miqdad. 

Suamiku bersetuju untuk melakukan pembedahan. Hati bagai direntap lagi. Pembedahan? Tak pernah terlintas di fikiran. Kenapa anakku perlu berdepan dengan semua ini? Aku terasa semakin lemah. Namun jika itu jalan yang terbaik, maka aku redha.



5 petang
Selesai urusan di klinik mata. Tunaikan solat di surau, dan segera mendaftar Miqdad di wad melati, wad menempatkan pesakit mata, tekak dan telinga. Bermakna di sini pesakitnya bercampur dewasa dan kanak-kanak.

 Azim dan Nasibah (adik ipar dan biras) turut datang ke hospital untuk temankan kami. Suamiku pulang selepas aku selesai menunaikan solat maghrib. Miqdad lena jam 9 malam. 2 kali terjaga dari tidur dan menyusu. Pukul 2 pagi Miqdad perlu mula berpuasa.







Miqdad yang sudah aktif ke sana ke mari. Dah tak terasa sakit barangkali.

Bersambung: 


Tuesday 12 December 2017 0 comments By: Naemah

PANTAI BUKIT KELUANG: JAULAH DAN REHLAH BERSAMA SI KECIL



12/12/17: mengunjungi Pantai Bukit Keluang untuk kesekian kalinya setelah agak lama tidak ke sana. Pantai tersebut masih menjadi pilihan kerana pantainya yang masih cantik dan sesuai untuk mandi manda atau sekadar untuk beristirehat menikmati keindahan ciptaan Allah.

Kali ini agak berbeza kerana kami membawa bersama anak-anak saudara seramai 4 orang, ditambah dengan 3 anak kami, maka jumlah anak kecil semuanya seramai 7 orang, dalam lingkungan umur 1-7 tahun. Bayangkanlah! Dalam usia sebegini pastinya mereka perlukan pemantauan rapi hampir setiap masa. Tambahan pula semua lelaki, lasak dan terlebih :D

Aku sendiri pun tak menyangka yang suamiku akan membawa kami semua sejauh itu dengan anak-anak kecil yang ramai ini. Dalam perjalanan barulah tahu yang dia menghala ke pantai bukit keluang, lebih kurang 1 jam perjalanan dari Kota Bharu. Agak was-was aku pada mulanya, bagaimana nanti nak control anak-anak ini dengan hanya kami berdua sahaja yang dewasa. Mahunya tak takut, dah bawa sekali anak-anak orang. Kalau mak ayah mereka tahu dah tentu risau tak sudah. Kalau mak tahu juga, aku pasti mak yang akan halang dulu. 

Aku memilih untuk diam dulu tanpa memaklumkan pada ibubapa mereka sehingga mereka selesai mandi dan bermain di pantai. Maaf mak, maaf azim dan nasibah, maaf abang man. Lain kali tak buat lagi ‘:| 

Agak lama juga mereka bermain dan mandi di pantai dengan kawalan sepenuhnya dari suamiku yang tak lepas memegang anak kecil kami yang berusia setahun. Mereka hanya dibenarkan bermain di tepian pantai. Aku pula hanya memerhati dan of course, mengambil gambar di tepi pantai. Nak join main air sekali, tapi tak bawa baju persalinan :) 

Bahagia melihat mereka gembira. Tak puas bermain air. Hingga jam 2, masih tak mahu tinggalkan pantai. Berkali-kali diajak, baru semuanya akur untuk bersiap pulang. Sebelum balik, isi dulu perut yang lapar. 

Dalam perjalanan balik, kesemuanya masih rancak bermain dan berbual di dalam kereta. Langsung tak tidur. Hanya Miqdad dan Mussaab yang terlelap sekejap di dalam perjalanan. 

Jaulah dan rehlah bersama anak-anak kecil ini, ada cabarannya, dan ada bersama kebahagiaan. Cabaran untuk mengawal, dan memastikan mereka dalam keadaan selamat sentiasa. Adakala perlu bertegas, bila ada tindakan mereka yang boleh mengundang bahaya. Adakala perlu menyaksikan ‘perang saudara’ yang selalunya tak sampai 5 minit kemudian, elok je berbaik dan bermain bersama :D Masa ni memang perlu menggunakan kuasa veto sepenuhnya sebagai ‘penjaga’ sementara. Agar mereka lebih mendengar kata dan terjamin keselamatan.

Kebahagiaannya apabila melihat wajah-wajah riang mereka bermain dan terus bermain. Suara ketawa dan senyuman paling ikhlas, tergambar di wajah anak-anak yang belum benar-benar mengerti hakikat kehidupan ini. Terus bermain, terus tersenyum dan ketawa, dan membuat kesilapan dan pembetulan. Terus belajar tentang hidup. Mereka inilah, kain putih yang sedikit demi sedikit dicorakkan oleh kita, ibubapa mereka. Semoga menjadi anak-anak soleh semuanya, membesar dewasa sebagai hamba Allah yang taat. Insya Allah.








Saturday 9 December 2017 0 comments By: Naemah

AIR TERJUN STONG: KUNJUNGAN KALI KE-3

9/12/17: kami mengunjungi air terjun stong yang letaknya di Jelawang, Kuala Krai. Ini merupakan kunjungan kali ke-3 aku dan suami. Dan kali ke-2 buat anak-anak kami.

Air terjun Stong diiktiraf sebagai air terjun tertinggi di Asia Tenggara. Memang agak tinggi, dari jauh lagi dah nampak air terjunnya. 

Kali ini suami dan anak-anak tak lepaskan peluang untuk mandi di air terjun. Airnya sangat bersih, jernih dan sejuk. Tapi agak berbahaya bagi anak-anak kecil seperti Anas, Mussaab dan Miqdad kerana batunya yang sangat licin. Memang tak boleh nak lepaskan anak-anak bermain bebas. Ketiga-tiganya perlu berpaut rapat dengan abi mereka. Tak boleh nak bebas bermain sesuka hati.

Sekadar untuk puaskan kehendak anak-anak yang nak  bermain air, suamiku membawa anak-anak turun ke dalam sungai dan mandi untuk seketika. Bergilir suamiku memangku Miqdad, dan kemudian Anas dan Mussaab. Tak boleh nak mengawal ketiganya sekaligus, kerana keadaan agak berbahaya. Aku sendiri pun tak berani nak ikut bermain air. Hanya memerhati dari atas batu.

Hari ini orang tak ramai, seperti kunjungan kami yang sebelum ini juga. Kami hanya bermain air di tempat yang paling bawah, kerana tak daya nak mendaki ke atas bersama anak-anak kecil. Tak pasti bagaimana pemandangan dari atas, mungkin lebih cantik. Dan pasti, lebih berbahaya. 

Alhamdulillah, tenang melihat khazanah hutan yang masih terpelihara ini. Anugerah Allah yang tak ternilai harganya. Jangan pula nanti ada tangan yang merosakkan. 

Pada pandanganku, tempat ini kurang sesuai untuk membawa anak-anak kecil untuk mandi mandi. Kalau sekadar untuk berkelah dan melihat keindahan hutan dan air terjun, tak mengapa. Tapi kalau nak mandi, mungkin perlu cari tempat lain yang lebih terjamin selamat :)

















BIG BAD WOLF 2017

Big bad wolf datang lagi!

 Untuk kesekian kalinya kami mengunjungi pesta buku big bad wolf yang diadakan pada bulan Disember setiap tahun di MIECC, Serdang. Ini juga merupakan tahun ke-5 kami menjadi pengunjung setia big bad wolf, bermula tahun 2013. Dari anak seorang, hingga kini anak dah 3, ia masih menjadi tempat yang menyeronokkan untuk dikunjungi :)



2014


2015



2016



2017


Kami berpeluang untuk hadir ke pesta buku big bad wolf 2017 pada hari pertama ia diadakan iaitu pada 8/12/17.

Sebelum ini ketika masih tinggal di Melaka, kami bertolak seawal jam 5 pagi dan solat subuh di dalam perjalanan, sebelum ke miecc, tahun ini kami bertolak dari rumah di Semenyih selepas solat subuh dan selepas menikmati sarapan. Kerana hari Jumaat, kami jangkakan orang tak terlalu ramai, dan anak-anak juga pasti akan lebih ‘bertahan’ kerana perut sudah diisi :) maka kami tak terlalu bergegas dan tak perlu mengejar masa. 

Kami berada di sana jam 8 pagi, dan dengan tenangnya memilih buku-buku yang menarik. Anas, Mussaab dan Miqdad juga sangat baik dan terkawal. Yang pasti, mereka teruja dan gembira dapat memilih buku yang disukai. 

Anas yang sekarang tengah ‘obses’ dengan world maps dan flags, lebih terfokus pada buku-buku yang berkaitan ‘countries of the word’.

Mussaab pula katanya nak mencari buku dinosaur, maka dapat juga beberapa biji buku yang dia suka, termasuk buku ‘dusty crophopper’ yang jadi buku favourite Mussaab sampai ke hari ini. Ke sana ke mari, tak lepas membimbit buku kesayangannya :)

Miqdad pula baru nak berjinak-jinak dengan buku. Banyak buku yang menarik untuk baby, tapi memandangkan kat rumah pun dah banyak, maka kami tak fokus pada pencarian buku untuk Miqdad. Insya Allah, yang kat rumah tu dah banyak untuk Miqdad explore nanti :)

Kami berada di dalam dewan itu selama lebih kurang 2 jam setengah. Jam 10.30, kami siap membuat pembayaran dan bertolak pulang. Jumlah buku yang sempat disambar tahun ini lebih kurang 70 buah, dengan harga lebih kurang rm600 (harga buku antara rm5-rm30). 

Alhamdulillah di atas kesempatan dan rezeki hari ini. Semoga buku-buku ini menjadi pelaburan yang bermanfaat untuk masa depan anak-anak kami. Sebolehnya kami ingin menanam rasa minat dan cinta mereka pada buku, dengan salah satunya, dengan cara melibatkan mereka dalam pencarian buku-buku untuk mereka. 

Insya Allah, jika ada rezeki dan umur di masa yang akan datang, kami akan meluangkan masa lagi ke pesta buku big bad wolf. Semoga Anas, Mussaab dan Miqdad akan menjadi insan yang suka membaca, dan mencintai ilmu. Insya Allah. 


Gambar di sekitar big bad wolf 2017