Catatan duka ini tidak lain hanya untuk memberi peringatan pada semua ibubapa agar lebih berwaspada dalam menjaga amanah Allah, iaitu anak-anak kita.
Mengimbas kembali apa yang telah terjadi, hakikatnya hanya mengguris perasaan sendiri, dan menekan lagi perasaan bersalah dan berdosa yang masih menebal. Tapi demi Allah, aku menyesali apa yang telah terjadi, dan aku ingin menyeru agar insan lain tidak mengulangi episod duka, hasil kecuaian tangan sendiri.
Mungkin aku tak mampu nak bercerita secara detail. Namun aku harap penyampaian ini sampai dan boleh dijadikan iktibar.
13/12/17 (hari kejadian)
Sihat dan ceria saja
Sekitar jam 12 tengahari
Aku, suami, Mussaab, Miqdad dan Urwah (anak saudara), dalam perjalanan pulang ke rumah mak selepas membeli sedikit barang di Mr Diy, Tesco Kota Bharu.
Penyangkut baju besi yang baru dibeli terlepas ke tangan Miqdad hingga menyebabkan hujung penyangkut (yang bercangkuk) masuk ke dalam poket mata Miqdad (di bahagian bawah mata). Kami cuba sedaya upaya untuk keluarkan besi itu hingga ia berjaya dikeluarkan. Darah mengalir keluar dari bibir mata bawahnya. Aku dan suami tersangat cemas. Allah saja yang tahu perasaan ini. Aku segera menekup matanya agar darah tidak terus mengalir. Suamiku memecut kereta ke Hospital Raja Perempuan Zainab ke bahagian emergency. Miqdad lena dalam pangkuan.
Hampir 1 jam menunggu giliran, mata Miqdad diperiksa di bilik khas yang disediakan untuk kes kecemasan. Miqdad yang tadinya masih tidur menangis kuat bila matanya diperiksa. Tak tahan aku mendengar tangisan ‘sakitnya’ :’( Miqdad diberi ubat penahan sakit dan dirujuk ke bilik doktor untuk pemeriksaan dan rawatan susulan.
Ketika menunggu di bahagian kecemasan
1.19 petang
Menunggu giliran untuk berjumpa doktor. Lebih sejam perlu menunggu. Dalam tempoh itu perlu memangku dan tenangkan Miqdad yang masih menangis. Bila dah ok sikit, lepaskan dia berjalan. Tapi tak boleh biarkan dia terlalu bebas dalam keadaannya yang begitu. Tangisannya sudah mula reda.
Jumpa doktor, sekali lagi doktor memeriksa mata Miqdad. Sekali lagi menangis semahunya dia. Kemudian ke bilik rawatan pula. Kali ini aku tak dibenarkan masuk bersama. Aku hanya mampu mendengar suara raungan anakku dengan hati yang cukup pedih. Mampu berdoa dan berselawat. Hati menangis, menyesal tak berguna. Hanya perlu redha dan tawakkal.
Keluar dari bilik rawatan, menunggu lagi untuk dirujuk ke klinik mata. Suamiku yang tadinya menjaga Mussaab dan Urwah, datang membawa makanan dan minuman buatku dan Miqdad yang dari tadi tak makan.
2.50 petang
Kini di klinik mata (oftalmologi) pula. Menunggu giliran lagi. Miqdad bermain sementara menunggu giliran dipanggil.
Tiba giliran Miqdad, sekali lagi perlu membuat pemeriksaan mata. Menangis lagi anakku. Tapi tak berjaya juga untuk melihat ke dalam matanya. Kesian Miqdad. Trauma agaknya. Dia menangis dan menolak semahunya.
Berjumpa pula dengan pakar mata.’Dikerjakan’ sekali lagi. Aku dan suami tak dibenarkan masuk.
Kata doktor, pembedahan mata perlu dilakukan untuk melihat luka di dalam. Doktor menerangkan tujuan pembedahan, dan segala kemungkinan sekiranya pembedahan tidak dilakukan. Suamiku berurusan dengan doktor, dan aku di luar menenangkan Miqdad.
Suamiku bersetuju untuk melakukan pembedahan. Hati bagai direntap lagi. Pembedahan? Tak pernah terlintas di fikiran. Kenapa anakku perlu berdepan dengan semua ini? Aku terasa semakin lemah. Namun jika itu jalan yang terbaik, maka aku redha.
5 petang
Selesai urusan di klinik mata. Tunaikan solat di surau, dan segera mendaftar Miqdad di wad melati, wad menempatkan pesakit mata, tekak dan telinga. Bermakna di sini pesakitnya bercampur dewasa dan kanak-kanak.
Azim dan Nasibah (adik ipar dan biras) turut datang ke hospital untuk temankan kami. Suamiku pulang selepas aku selesai menunaikan solat maghrib. Miqdad lena jam 9 malam. 2 kali terjaga dari tidur dan menyusu. Pukul 2 pagi Miqdad perlu mula berpuasa.
Miqdad yang sudah aktif ke sana ke mari. Dah tak terasa sakit barangkali.
Bersambung:
0 comments:
Post a Comment