Friday 26 April 2024 0 comments By: Naemah

RAYA.RAYA.RAYA (2024)

Masih lagi di bulan Syawal. Sebagaimana setiap tahun diadakan jamuan hari raya di sekolah-sekolah, tahun ini juga tak terkecuali. Semua sekolah anak-anak mengadakan jamuan hari raya pada tarikh yang telah ditetapkan.


Bermula dengan tadika Suri-Little Diamond Kindergarten, ia diadakan pada 20/4/2024 (hari Sabtu). Ahli keluarga turut dijemput untuk meraikan. Hari ni ummi datang bersama Suri, Mussaab, Miqdad, dan Nuha. Anas stay kat rumah je. Abi pula berada di laut. Alhamdulillah, menikmati hidangan dengan aneka juadah raya yang sedap-sedap. Siap dapat duit raya lagi semua :)


Pada 24/4/2024 (hari Rabu) pula diadakan jamuan raya di SK Kampung Rinching (sekolah Mussaab). Para pelajar membawa makanan dari rumah masing-masing sebagaimana yang tertulis dalam senarai group telegram (potluck). Mussaab bawa nugget tempura ayam hari ni. Cepat dan mudah untuk ummi sediakan. Kat sekolah, beraneka juadah yang ada untuk Mussaab nikmati bersama guru dan kawan-kawan. Seronoklah, dapat berhari raya sekali lagi.


Pada 26/4/2024 (hari Jumaat), giliran Anas dan Miqdad pula berhari raya di sekolah-SRAI Pekan Beranang. Juga perlu membawa makanan dari rumah sebagaimana yang telah ditetapkan dalam list. Anas (tahun 6 Bestari) perlu bawa air mineral. Miqdad pula (tahun 2 Pintar) perlu bawa bebola daging/ayam atau kentang goreng. Pun mudah juga nak sediakan. Alhamdulillah Anas dan Miqdad juga seronok meraikan majlis hari raya bersama guru dan kawan-kawan di sekolah. 


Yang terakhir ialah SRI Permata Nusaybah (sekolah agama Mussaab), majlis hari raya diadakan pada 27/4/2024 (hari Sabtu). Ibubapa turut dijemput hadir untuk meraikan bersama. Sekali lagi Mussaab berhari raya dengan kawan-kawan. Hari ni semua ikut (kecuali abi yang berada di laut lagi weekend ni). Alhamdulillah walaupun ramai orang, terus dapat tempat duduk dan dapat menikmati aneka juadah hingga kekenyangan. Paling seronok, dapat beratur ambik aiskrim :) Alhamdulillah.


Masih lagi di bulan Syawal. Masih ada jamuan rumah terbuka di sana sini. Tak lama lagi taman dan surau pun insya Allah akan adakan jamuan raya juga. 


Alhamdulillah atas nikmat rezeki dan kurniaNya. Alhamdulillah atas keamanan dan kesejahteraan di tanah air tercinta ini, hingga masih dapat menikmati hari raya yang meriah dan penuh warna warni. 


Bersyukur seadanya kita. Semoga tahun depan masih bertemu Ramadan dan Syawal yang penuh kenikmatan lagi. Ameen.






Monday 22 April 2024 0 comments By: Naemah

BERSALIN INDUCE KALI KE-3



Terasa nak menulis pengalaman bersalin secara paksa (induced) kali yang ke-3 ini (dari 5 kelahiran).


Reason kenapa kena induce semuanya sebab kencing manis. Dari anak sulung hingga la yang kelima ni. Tak boleh bersalin melebihi due date (diet control), dan tak boleh lebih 38 minggu (kalau dah ambil ubat atau insulin). Cuma kelahiran kedua tak sempat dimasukkan ubat induce sebab dah ada bukaan, dan kelahiran ketiga juga tak dimasukkan ubat induce bila air ketuban pecah dulu di rumah (ngam-ngam pada tarikh jangka bersalin). 


Nak tulis yang ke-3 ni sebab pengalaman kali ni berbeza. Untuk anak pertama dan keempat hanya bergantung pada satu ubat untuk dibawa ke labor room dan bersalin. Tapi yang last ni sampai 3 biji. Perit dan sakitnya luar biasa. 


Hari pertama- dimasukan ubat (prostin) pertama sekitar jam 8 pagi. Mula rasa kontraksi ringan selepas solat zohor. Kontraksi makin kuat menyerang selepas waktu asar hingga ke malam. Kontraksi konsisten berjarak 3 minit sekali (40-50 saat rasa sakit). Lepas mengadu sakit pada misi, dimasukkan ubat tahan sakit (paracetamol cecair). Lega sikit rasa sakit dan dapat tidur. Petang tadi bukaan serviks sudah 2cm


Hari kedua- kusangkakan dah tak perlu masukkan ubat induce lagi sebab dah ada bukaan 2cm. Yelah, pengalaman lepas hanya sebiji je. Bila dah ada bukaan dah tak perlu masuk ubat kedua dah. Rupanya lepas cek jalan pagi ni (masih bukaan 2cm), doktor decide masukkan separuh lagi ubat. Keadaan hari ni ‘menanggung sakit’ kontraksi lagi. Setiap 5 minit dia menyerang. Sukar bergerak, pergerakan solat terganggu, nak ke toilet melepaskan hajat dan mandi pun sulit. Setiap beberapa jam nurse masukkan ubat tahan sakit. Bukaan serviks masih 2cm juga. Dah tengah-tengah malam barulah sakit beransur reda. Kesan ubat dah hilang dan boleh tidur.


Hari ketiga- lepas subuh cek bukaan lagi. Hampir ke 3cm kata doktor. Adalah progress sikit. Eh, masuk lagi ubat 1.5 bijik untuk cukupkan maksimum 3 biji. Dan sehari lagilah menanggung rasanya sakit kontraksi. Rasa sakit yang sama seperti 2 hari dan sehari lepas. Hanya kurang rasa sakit bila dimasukkan ubat tahan sakit untuk beberapa ketika, dan rasa kontraksi itu menghilang bila habis kesan ubat pada tengah malamnya. 


Hari ni diberi ubat tahan sakit suntikan di bahu. Ubat ni memberi rasa mengantuk yang amat. Hari ni tidur saja. Buka mata macam nak pitam. Makan pun tak boleh. Bila dah habis kesan ubat tu barulah sedar balik. Kembali menanggung rasa sakit yang tadi hilang sekejap (kesan ubat tahan sakit).  


Sakit hari ni rasanya lebih panjang. Pulak tu sampai ke sudah tak dipanggil ke labor room. Sekitar jam 2-3 pagi barulah rasanya sakit kontraksi menghilang dan boleh lena hingga ke pagi. Tamat dulu sakit kontraksi kesan dari ‘ubat induce’ selama 3 hari berturut.


Keesokan harinya bukaan masih 3cm tapi selepas sarapan terus dibawa ke labor room untuk bersalin. Tapi hari ni dah tak rasa sakit kontraksi dah. Ketuban dipecahkan, dan kat sini kena ‘paksa’ lagi dengan ubat cecair (drip) pula. Sekali lagi sakit ‘menyerang’ perlahan-lahan dan semakin lama semakin kerap dan sakit. Lebih kurang 2-3 jam bertarung sakit, akhirnya si kecil Nuha Khadeeja selamat dilahirkan. Alhamdulillah.


Begitulah pengalaman ‘induced’ kali ini. Ceritanya lebih panjang. Sakitnya bersambung-sambung. 3 hari pertama hanya menanggung sakit kesan ubat tersebut. Sedangkan bukan masanya lagi untuk melahirkan. Belum ada pengalaman sakit sampai berhari-hari macam tu. Serik dan perit bila diingat kembali.


Namun syukurlah dah melepasi saat-saat getir itu. Yang dikandung, akhirnya selamat dilahirkan. Moga segala sakit itu menjadi asbab untuk Allah ampunkan segala dosa yang menggunung. 


Benarlah, tiap kehamilan dan kelahiran ada ceritanya yang tersendiri. Cerita yang akhirnya menjadi satu pengalaman manis untuk dikenang dan dikisahkan kembali. Melihat anak yang dikandung dan dilahirkan membesar sihat dan cerdik, segala kesakitan lalu terhapus sepenuhnya. Yang tinggal hanya kemanisan untuk dinikmati bersama-sama. 

Sunday 21 April 2024 0 comments By: Naemah

ANAS DAN UPKK (2023)


Akhirnya diumumkan keputusan UPKK yang telah diduduki pada bulan Januari lepas. Keputusan boleh disemak oleh ibubapa secara online pada 18/4/2024 (Khamis).


Tenang dan debar saling beriringan. Begitu Anas, begitu jualah ummi. Hanya mengharapkan yang terbaik untuk anak sulung ummi ini. Ummi tahu Anas dah cuba yang terbaik. Ummi akan cuba terima walau apa pun keputusannya nanti. 


Tepat jam 12 tengahari, ibubapa dah boleh cek result anak masing-masing. Ummi tak boleh segera cek sebab nak ambik Suri di sekolah dulu. Dalam group whatsapp ibubapa dah meriah dengan perkongsian result anak masing-masing (semuanya 8A). Makin berdebar ummi. 


Balik rumah cek result Anas. 

7A, 1B

Ummi tak tahu apa perasaan time tu.

Tentunya tak segembira ibubapa yang anaknya 8A.

Tapi ummi perlu terima ini sebagai apa yang telah Allah tentukan untuk Anas.

Ummi tak boleh kecewa. Dan ummi tak boleh salahkan Anas, apalagi takdir Allah. Ummi terima dengan hati lapang.


Di sekolah, Anas dan kawan-kawan masih belum tahu result masing-masing sebab sekolah akan umumkan pada esok hari. Petang tu ummi ambik Anas macam biasa (abi kat laut). Ummi serahkan result yang ummi print beserta kad ucapan tahniah ‘dari hati’ ummi buat Anas. Wajah Anas sugul. Kecewa sudah tentu. Sepanjang perjalanan balik Anas membisu saja. Ummi cuba pujuk. Tapi banyak masa diam juga. Biarkan Anas melayan rasa. Menangis dalam diam. Dengan hujan gerimis di luar, begitu juga suramnya hati Anas dan ummi. 


Ummi singgah kedai, belanja makanan kesukaan Anas walaupun Anas menolak. Sampai rumah ummi sambung pujuk Anas lagi. Peluk dan gosok belakang Anas. Makin lebat tangisan Anas. Allah, sedih Anas sedih ummi juga. Ummi biarkan Anas melepaskan tangisan. Jarang Anas nak menangis kan. Lepaskan segala kesedihan. Ya, untuk hari ini saja. Ummi percaya esok atau lusa Anas takkan sedih lagi. 


Esok harinya ummi ke sekolah ambil slip result Anas. Anas dah tak sesedih semalam, tapi masih kurang ceria. Ummi pujuk dan nasihat lagi. Tak lupa bagi kata semangat agar Anas tak lemah dan berputus asa. Berbaki tahun ini Anas di SRAIPB. Insya Allah, Anas boleh buat yang lebih baik untuk exam akan datang. 7A tak teruk pun kan? Cuma tak seperti yang Anas harap.


Tahniah untuk anak-anak SRAI Pekan Beranang yang mendapat 8A (seramai 54 orang). Ramai kan? Cuma bukan rezeki Anas untuk berada di kalangan mereka. Yang cemerlang mendapat penghargaan selayaknya dari pihak sekolah. Harapannya ustaz ustazah tak melupakan yang kurang cemerlang ini juga. Maklumlah ramai yang dapat 8A tahun ni, janganlah pula yang 7A tidak dipandang terus ya! Kesian mereka. Sebab di kalangan mereka ini juga mungkin ada yang cikgu target untuk dapat 8A, tapi rezeki tak menyebelahi. Semoga para pendidik SRAIPB terus  menyokong dan mendorong anak-anak ini untuk lebih bersemangat menimba ilmu bersama rakan-rakan.


(Hari ni Anas bawa balik bouquet pemberian sekolah untuk pelajar yang tak berjaya dapat 8A. Terima kasih cikgu)


Ummi percaya Anas dan kawan-kawan semua sudah berusaha dan mencuba yang terbaik. Jangan terus bersedih kerana tak mendapat seperti yang diharapkan. Mungkin ada rezeki yang lebih besar di depan hari. Siapa tahu kan?


Akhir kata, tahniah anakku Anas Zaydan untuk keputusan 7A1B dalam UPKK. Tak mengapa tak dapat seperti yang Anas harap. Ummi dan abi tak marah dan tak kecewa pun. Allah dah tetapkan rezeki Anas setakat itu. Terima dengan syukur dan reda ya! Jangan sedih-sedih lagi. Usahakan Mumtaz dan terbaik untuk exam yang akan datang pula. You can do it Anas! Insya Allah. 



You can fly higher, Anas!
Insya-Allah



Saturday 13 April 2024 0 comments By: Naemah

NUHA KHADEEJA: SEBULAN SETENGAH BERLALU

(25/2-25/3/2024)
Nuha 1 month old


Pantas masa berlalu, pantas jualah Nuha membesar. Hari ini usia Nuha sudah mencecah 50 hari. Tak sempat ummi nak update tentang perkembangan Nuha. Seadanya saja.


Alhamdulillah Nuha membesar dengan sangat baik dan mudah dijaga. Pada 25/3 genap usia Nuha sebulan. Pada 2 minggu pertama, hampir setiap hari perlu ke klinik untuk cek jaundis. Dah lebih 2 minggu, kena ambik darah pula sebab bacaan kuning masih tinggi. Tapi Alhamdulillah result normal dan tak perlu dirisaukan. Lama kelamaan kuning hilang juga. 


Pada 1/4, Check-up di KK Rinching Tengah. Perkembangan semua baik. Berat badan 4.4 kg (berbanding 3.1 kg semasa lahir). Nuha membesar dengan sihat, dan semakin bambam dah sekarang. Badan dan tulang makin kuat. Ada respon bila ditegur, kepala ligat ke kiri dan ke kanan, dah boleh senyum, dan dah mula nak ‘bercakap’. 


Nuha juga mudah dijaga. Tak selalu menangis, kecuali bila lapar dan nak ‘membuang’. Tidur malam ummi tenang saja, hanya sekali dua bangun menyusukan Nuha. 


Untuk sebulan setengah ini, ummi taklah sibuk sangat walaupun selepas Nuha hadir dalam keluarga ni, sebab abi banyak masa di rumah. Hampir segalanya abi uruskan, tinggal ummi fokus pada Nuha saja. Seminggu percubaan, abi ke laut dan masa tulah ummi sedikit sibuk uruskan segalanya sendirian. Tapi Alhamdulillah, sentiasa ada kemudahan dalam kesulitan. Allah tak letakkan kita pada situasi yang kita tak mampu kan?


Tahun ni Nuha sambut Aidilfitri pertama pada usia Nuha 46 hari. Alhamdulillah makin bertambah seri raya kita dengan kehadiran Nuha. Dan pada hari raya itu jugalah dapat tangkap gambar family pertama kita (bersama Nuha). 


Setakat hari ni Nuha sihat-sihat saja. Moga Allah sentiasa lindungi Nuha. Kalau sakit demam, risaunya ummi. 


Minggu depan abang kakak semua dah nak sekolah. Dan abi pun nak balik kerja. Sudah pasti minggu depan adalah minggu yang sibuk buat ummi. Nuha akan jadi teman setia ummi untuk hantar dan ambik abang kakak sekolah. Nuha baik-baik saja ya! 


 Buat puteri ummi Nuha Khadeeja, moga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah hendaknya. Ummi bersyukur atas hadirnya Nuha dalam keluarga ini, walau saat ini masih ummi rasakan kehadiran Nuha ini bagai sebuah mimpi-yang ummi rasa cepat dan pantasnya melalui saat hamil dan bersalinkan Nuha. 


Syukur pada Allah atas nikmat dan kurniaNya. Ummi akan menjaga dan akan sentiasa menyayangi. Insya Allah. Membesar baiklah duhai puteriku. 

AIDILFITRI 1445H/2024




Berlalu Ramadan. Kini tibanya Syawal. Alhamdulillah sebulan Ramadan sudah kita lalui. Mudah-mudahan puasa kita diterima di sisiNya. Alhamdulillah, cukup puasa semua (Anas, Mussaab dan Miqdad) seperti tahun yang lepas juga.


Dan Alhamdulillah raya tahun ni dapat beraya bersama keluarga di kampung lagi.  Tahun ini giliran beraya di rumah mek. Seperti biasa, hanya family kita yang ada kat rumah mek. Sebab adik beradik ummi yang lain ada rumah dan keluarga besar masing-masing (tinggal berdekatan rumah mek je). 


Pagi raya siapkan juadah nasi arab, nasi himpit, dan dendeng. Ada juga lemang (yang dibeli semalam). Itu sajalah hidangan pagi raya di samping biskut raya (yang tak seberapa juga). Namun syukurlah, ada juga hidangan untuk tetamu. 


Usai Subuh, bersarapan, siap berpakaian raya dan bergambar keluarga. Masih belum ada tetamu yang datang. Semua berpakaian cantik dan kemas pagi ni. Sedondon satu keluarga. Dan ini juga raya pertama buat Nuha. Nuha pun ada baju raya juga, sedondon dengan ummi, abi, kakak dan abang-abang. Alhamdulillah raya lebih bermakna dengan kehadiran Nuha.


Lepas solat sunat Aidilftri, rumah mek meriah dengan kehadiran anak cucu mek. Dari keluarga sulung hingga bongsu. Tapi ramai juga yang tak ada sebab cucu mek yang berumahtangga, ada yang beraya di rumah mertua masing-masing. Dan ada juga yang terpaksa bekerja di hari raya. Pun begitu, tetap juga meriah walaupun rasa macam sedikit ‘kurang’ raya kali ini.


Selesai melayan tetamu di rumah mek, ke rumah pok long dan pok ngoh pula. Berkumpul ramai-ramai kat sini pula. Bergambar, menjamu selera, dan bersilaturrahim seadanya. Alhamdulillah.


Petang duduk rumah mek saja. Masih ada tetamu yang datang nak beraya. Agak penat juga beraya, walaupun tak pergi banyak rumah. Malam rehat saja.


Hari raya kedua ke Tumpat, ziarah adik beradik mek di sana. Tapi tak ramai juga yang ada. Lepas tu balik rumah nenek di Kota Bharu. Beraya dengan family abi pula. Nenek masak nasi dagang special hari ni. Ada family mak long, mak ngah, mak andak, acik, di samping nenek, mak de dan mak su. Yang lain beraya di rumah mertua (berlainan negeri). Oh ya, abi pun dah start puasa 6 hari ni. 


Dan hari raya pertama, kedua, dan ketiga dah pun berlalu. Balik semula ke rumah mek, dan tiba masanya untuk kembali ke rumah sendiri. Cuti sekolah hampir tamat. Abi juga dah dipanggil bertugas. Kita semua akan balik ke rutin biasa, seperti hari-hari sebelum tibanya Ramadan.


Alhamdulillah syukur dipanjatkan kepada Allah, dapat menyambut dan berpuasa di bulan Ramadan dalam keadaan sihat, dapat beraya dengan keluarga besar kita, dapat duit raya, dapat hulur duit raya juga, dapat makan sedap dan cukup, Alhamdulillah untuk segalanya. Besarnya rahmat Allah buat kita. 


Kini kita perlu kembali ke kehidupan biasa. Akan sibuk macam biasa. Semoga tetap jua dipermudahkan olehNya untuk kita harungi segalanya di hari-hari yang mendatang. Insya-Allah. 



Kenangan raya tahun ini;