Sunday 21 April 2024 By: Naemah

ANAS DAN UPKK (2023)


Akhirnya diumumkan keputusan UPKK yang telah diduduki pada bulan Januari lepas. Keputusan boleh disemak oleh ibubapa secara online pada 18/4/2024 (Khamis).


Tenang dan debar saling beriringan. Begitu Anas, begitu jualah ummi. Hanya mengharapkan yang terbaik untuk anak sulung ummi ini. Ummi tahu Anas dah cuba yang terbaik. Ummi akan cuba terima walau apa pun keputusannya nanti. 


Tepat jam 12 tengahari, ibubapa dah boleh cek result anak masing-masing. Ummi tak boleh segera cek sebab nak ambik Suri di sekolah dulu. Dalam group whatsapp ibubapa dah meriah dengan perkongsian result anak masing-masing (semuanya 8A). Makin berdebar ummi. 


Balik rumah cek result Anas. 

7A, 1B

Ummi tak tahu apa perasaan time tu.

Tentunya tak segembira ibubapa yang anaknya 8A.

Tapi ummi perlu terima ini sebagai apa yang telah Allah tentukan untuk Anas.

Ummi tak boleh kecewa. Dan ummi tak boleh salahkan Anas, apalagi takdir Allah. Ummi terima dengan hati lapang.


Di sekolah, Anas dan kawan-kawan masih belum tahu result masing-masing sebab sekolah akan umumkan pada esok hari. Petang tu ummi ambik Anas macam biasa (abi kat laut). Ummi serahkan result yang ummi print beserta kad ucapan tahniah ‘dari hati’ ummi buat Anas. Wajah Anas sugul. Kecewa sudah tentu. Sepanjang perjalanan balik Anas membisu saja. Ummi cuba pujuk. Tapi banyak masa diam juga. Biarkan Anas melayan rasa. Menangis dalam diam. Dengan hujan gerimis di luar, begitu juga suramnya hati Anas dan ummi. 


Ummi singgah kedai, belanja makanan kesukaan Anas walaupun Anas menolak. Sampai rumah ummi sambung pujuk Anas lagi. Peluk dan gosok belakang Anas. Makin lebat tangisan Anas. Allah, sedih Anas sedih ummi juga. Ummi biarkan Anas melepaskan tangisan. Jarang Anas nak menangis kan. Lepaskan segala kesedihan. Ya, untuk hari ini saja. Ummi percaya esok atau lusa Anas takkan sedih lagi. 


Esok harinya ummi ke sekolah ambil slip result Anas. Anas dah tak sesedih semalam, tapi masih kurang ceria. Ummi pujuk dan nasihat lagi. Tak lupa bagi kata semangat agar Anas tak lemah dan berputus asa. Berbaki tahun ini Anas di SRAIPB. Insya Allah, Anas boleh buat yang lebih baik untuk exam akan datang. 7A tak teruk pun kan? Cuma tak seperti yang Anas harap.


Tahniah untuk anak-anak SRAI Pekan Beranang yang mendapat 8A (seramai 54 orang). Ramai kan? Cuma bukan rezeki Anas untuk berada di kalangan mereka. Yang cemerlang mendapat penghargaan selayaknya dari pihak sekolah. Harapannya ustaz ustazah tak melupakan yang kurang cemerlang ini juga. Maklumlah ramai yang dapat 8A tahun ni, janganlah pula yang 7A tidak dipandang terus ya! Kesian mereka. Sebab di kalangan mereka ini juga mungkin ada yang cikgu target untuk dapat 8A, tapi rezeki tak menyebelahi. Semoga para pendidik SRAIPB terus  menyokong dan mendorong anak-anak ini untuk lebih bersemangat menimba ilmu bersama rakan-rakan.


(Hari ni Anas bawa balik bouquet pemberian sekolah untuk pelajar yang tak berjaya dapat 8A. Terima kasih cikgu)


Ummi percaya Anas dan kawan-kawan semua sudah berusaha dan mencuba yang terbaik. Jangan terus bersedih kerana tak mendapat seperti yang diharapkan. Mungkin ada rezeki yang lebih besar di depan hari. Siapa tahu kan?


Akhir kata, tahniah anakku Anas Zaydan untuk keputusan 7A1B dalam UPKK. Tak mengapa tak dapat seperti yang Anas harap. Ummi dan abi tak marah dan tak kecewa pun. Allah dah tetapkan rezeki Anas setakat itu. Terima dengan syukur dan reda ya! Jangan sedih-sedih lagi. Usahakan Mumtaz dan terbaik untuk exam yang akan datang pula. You can do it Anas! Insya Allah. 



You can fly higher, Anas!
Insya-Allah



0 comments:

Post a Comment