Thursday, 14 November 2024 0 comments By: Naemah

DIARI UMMI: PENAT SANGATKAH?


Seawal pagi, kisah pun bermula. Bangun dan bersedia kejutkan anak-anak dari lena mereka. Sekali, dua kali, hingga  berkali-kali baru bangkit semuanya. Dari nada suara rendah kepada yang lebih tinggi.


Sarapan wajib siapkan juga. Paling malas, goreng nuget jelah. Yang penting ada terhidang sarapan kat atas meja. Ada yang tak suka makan pagi, ada yang pilih-pilih nak makan, tak nak makan, ada yang memang nak kena makan juga sebelum ke sekolah. 


Selesai di meja makan, ayuhlah bergerak ke sekolah masing-masing! Time semua ready (keperluan ke sekolah), akan segalanya lancar. Tapi kalau sebaliknya; ada yang belum susun jadual, stokin takde, songkok lupa letak mana, dan lain-lain kejadian, jadi ribut dan kalutlah. Walaupun setiap hari dipesan, masih berulang hal yang serupa. 


Masuk kereta, kena cukup ‘lima’, seorang pun tak boleh tinggal. Selain yang paling kecil, yang kakaknya kadang perlu berangkut masuk kereta sebab tak nak bangun lagi. Dalam kereta pula, ada masanya tenang-tenang saja. Ada masanya pula kecoh dan riuh dengan pelbagai asbab. Yang kecil tu pun kalau dia diam je dalam carseat tu alangkah baiknya. Kalau dia menangis tak henti, nak memandu pun tak tenang. Tapi tetap perlu teruskan juga. 


Akhirnya seorang demi seorang berjaya dihantar  ke sekolah. Empat sekolah, seorang di rumah. Seorang yang tak boleh lepas dari perhatian, hampir sepanjang masa. Yang perlu diikut rentak dan mahunya. Nak susu, nak tidur, nak main sendiri, nak ummi ada dengan dia, terserah dia. Nak masak, nak kemas, nak laundry, tengoklah.. waktu bila kaki ummi tak di’ikat’ oleh dia. Atau lakukan ‘bersama-sama’ dia. Dah biasa dah dengan kerja/masak separuh jalan, bila bertembung dengan kehendak dia. 


Tepat jam 12 keluar ambil kakaknya. Balik rumah. Kemudian ambik angahnya di sekolah pagi, dan balik rumah. Makan tengahari wajiblah beres, dan hantar pula ke sekolah petang. Ada lebih kurang 2 jam untuk trip berikutnya. Boleh lah rehat lelapkan mata dulu.


Kemudian ambik 2 yang di SRAI. Dan akhir sekali yang seorang lagi di sekolah agama. Jam 6.30 dah boleh tutup rapat pagar rumah. Dah tak ada aktiviti keluar masuk lagi. Dah tak perlu hadap jem di jalan raya. Yang kecil dah tak perlu turun naik kereta dah. Tak meronta di atas carseat dah. Rumah pun kembali meriah dengan suara-suara. Biarkan mereka berbuat sesuka hati sebelum jam 7 malam. Makan malam, pun wajib ada demi anak-anak tak kelaparan di malam harinya. 


Hingga Maghrib, semua wajib naik ke atas untuk solat dan bersedia untuk tidur (selesai isyak). Anak-anak yang siang harinya sudah kepenatan, selalunya akan tidur awal tak perlu dipaksa-paksa.


Malam sebelum ummi lelap, perlu pastikan baju/uniform tersedia untuk esok harinya (5 pasang satu hari ya!). Yang perlu dibasuh dan digosok, perlu segera siap. Tak boleh tangguh. Esok hari tinggal sarung saja. Sinki perlu dikosongkan (kalau malas tinggal je). Ruang tamu perlu dirapikan (kalau tak larat biarkan aje dulu). Yang nyata, jarang la nak sempurna semua sebelum masuk tidur. Settle yang wajib-wajib je. 


Sebelum tidur, masih ada masa untuk diri sendiri. Adalah ruang sekejap sebelum lelap. Dan bersedia untuk rutin esok yang seakan sama dan berulang. 


Begitulah perjalanan harian seorang ummi. Kitaran harian yang terkini (time abi di laut). Yang akan datang pasti ceritanya berbeza. Seiring berjalannya waktu. Dan anak-anak yang kian menjengah besar dewasa. Rutin pasti akan berubah lagi.


Tak dinafikan penat, dan bukan ‘berdosa’ meluahkan rasa penat ini kan? 


Fizikal penatnya tak seberapa. Tapi mental yang (mungkin) terlebih beban. Banyak nak kena fikir dan berjaga-jaga. Ada ketikanya dihadap dengan kebuntuan yang memerlukan penyelesaian sendiri. 


Tapi.. kepenatan ini akan berlalu jua. ‘Mereka’ takkan selamanya berada pada fasa yang kini. Mereka akan membesar. Mereka akan melangkah keluar seorang demi seorang dari rumah ini untuk membina kehidupan sendiri. Dan mungkin mereka dah tak perlukan ummi lagi untuk urusan kehidupan mereka.


Sudahlah.. buat ummi sebak pula nak fikir jauh ke depan.


Duhai ummi..  hadaplah segalanya hari ini dengan penuh ikhlas. Penat ini, satu hari akan hilang. Penat ini, jika kerana Allah, takkan pernah sia-sia. 

Saturday, 9 November 2024 0 comments By: Naemah

DI PERMULAAN NOVEMBER INI


Satu pertiga bulan November sudah berlalu.

Alhamdulillah bermula November ini dengan cukup lengkap ahli keluarga (abi balik dari laut pada penghujung Oktober). Berkebetulan  pula dengan cuti Deepavali, sempatlah balik kampung bertemu keluarga. Ya, bermulanya November kita di kampung dengan suasana meriah, siap ada jamuan makan dan bbq di rumah nenek. Tak semua balik, tapi tetap meriah dengan anak-cucu yang ada. 


Balik rumah nenek sekejap, then balik rumah mek sekejap, cukuplah dulu, sebab cuti tak lama. Insya Allah bulan depan kita balik lagi.


Dan 10 hari pun berlalu. Kini dah berada di rumah meneruskan rutin yang biasa. Anak-anak masing-masing perlu fokus dan bersedia untuk exam akhir tahun. Ummi pula, mengulangi hal yang sama seperti setiap harinya. Namun Alhamdulillah, kerana abi ada bersama, tugas ummi lebih ringan. Syukur pada Allah.


Imbas situasi bulan lepas yang agak ‘berat’ dan terhimpit, bila mana masa abi banyak di laut berbanding di rumah. Ia sangat-sangat menguji. Dengan urusan 4 anak yang bersekolah, dengan baby yang dalam fasa melasak, dan tak boleh ditinggalkan lama untuk buat kerja, agak memenatkan. Tak ada siapa nak minta tolong. Semua sendiri-sendiri. Termasuk juga cerita musafir jauh untuk exam UKKM Anas, semua dilalui tanpa abi. Dan semua berjaya diharungi dengan izin Allah, 


Alhamdulillah, di permulaan November ini keadaannya lebih tenang dan bahu juga terasa amat ‘ringan’. Walaupun awalnya diuji dengan keadaan Nuha yang kurang sihat (first time demam). Menangis, merengek, dan mahu dipangku sentiasa. Alhamdulillah ada abi, boleh saling menjaga dan buat kerja rumah dan urusan anak- anak yang lain bersama. Dan Alhamdulillah, Nuha kembali sihat dan ceria. Yang lain-lain juga sihat dan baik semua. Dapat ke sekolah setiap hari. Syukur pada Allah.


Tapi.. abi juga akan kembali lagi ke lapangan kerjanya. Kurang seminggu saja lagi berada di rumah. Akan ke laut lagi. Begitulah rentak kerja abi yang perlu ummi dan anak-anak faham sentiasa. 


Alhamdulillah untuk permulaan November yang boleh dikatakan ‘baik’ ini. Biarpun tetap ada ujian yang tersendiri. Namun segalanya tetap baik-baik saja. Cukup rezeki makan minum, belanja dan yuran sekolah, belanja dapur, tempat tinggal yang selesa, kenderaan yang bergerak, anggota badan yang berfungsi, dan tak terhitung lagi banyaknya, semoga sentiasa jadi asbab untuk kita semua bersyukur. Kita ADA, berbanding yang tiada. Kita CUKUP, tak perlu meminta. 


Alhamdulillah. 

Semoga dapat menyusuri November ini dengan lebih baik dan tenang. Insya Allah.