Saturday, 23 March 2024 0 comments By: Naemah

KEMBALI MEMIKUL TANGGUNGJAWAB



Sampai masanya untuk ummi harus kembali ke rutin asal. Tempoh ‘berehat’ sudah tamat sepenuhnya. Kembali ambil peranan sebagai ibu yang menguruskan anak-anak sendirian ketika abi kembali bekerja (di laut). Kali ini bukan lagi ibu kepada 4 anak, bahkan bertambah menjadi 5. Alhamdulillah, syukur atas rezekiNya. Bukanlah ini bebanan, tetapi anugerah dari DIA.


Pada usia Nuha 27 hari (bersamaan 11 Ramadan),  abi perlu kembali bekerja. Alhamdulillah, Allah beri masa yang banyak untuk abi bersama keluarga sebelum dipanggil bekerja. Segalanya mudah dengan abi di sisi. Balik kampung, teman bersalin, jaga anak-anak, cek kuning Nuha di klinik, cukupkan kepeluan sekolah untuk sessi baru, masak sahur dan berbuka, dan sebagainya. Boleh dikatakan, ummi berehat panjang ketika abi ada. 


Tiba masanya, harus kembali ke kebiasaan. Alhamdulillah Allah kembalikan kesihatan dan kudrat. Cuma kini ada si kecil yang mendamba sepenuh perhatian dan jagaan, di samping mengambil alih tugas abi masak, kejut sahur, hantar sekolah, dll. Bersedia untuk kembali ‘berkejaran’ dengan waktu. Waktu sekolah sedikit berubah di bulan puasa ini. Dengan kesesakan di jalan lagi, pandai-pandailah ummi manage masa. 


Baru permulaan. Dan Allah tetap permudahkan. Walau ada ketika Nuha menangis panjang time ummi drive nak ambik abangnya. Berkali Nuha keluar masuk kereta sebab perlu ke 4 buah sekolah pada waktu yang berbeza. Time Nuha ok dan tak nangis, segalanya lancar. Alhamdulillah.


Begitu juga time nak masak untuk berbuka. Kena ikut ‘masa’ Nuha. Time Nuha tidurlah kalau nak masak pun. Kalau tak, memang kena dahulukan Nuha. Kena kenyangkan dan tenangkan Nuha dulu. Barulah ummi boleh buat kerja. Alhamdulillah untuk sehari dua ni, takdelah sukar sangat. Tambahan pula cuti Sabtu dan Ahad, semua ada kat rumah je. Tak kejar masa untuk ke sekolah. 


Sudah 3 hari abi di laut. Insya Allah perginya tak lama. Hari ni masih cuti, esok akan kembali sibuk dari pagi bawa ke malam sebab dah sekolah. Harapnya dapat jalani hari esok dengan baik juga. Allah kan ada. Padanya jua tempat berpaut. 




Thursday, 21 March 2024 0 comments By: Naemah

KEHADIRANMU NUHA KHADEEJA




Siapa sangka Nuha Khadeeja kini hadir dalam kehidupan kita sekeluarga. Kadang rasa bagaikan bermimpi. Masa berlalu sangat cepat. Sedar-sedar ummi dah ada 5 orang cahaya mata. Masya Allah!


Satu ketika, ummi masih berkira-kira nak tambah anak lagi, atau 4 sudah cukup? Sebab ummi masih ragu dengan kemampuan ummi untuk tambah zuriat lagi. 4 pun rasanya macam ‘gagal’ jadi ummi yang baik. Tambah dengan keadaan kesihatan yang kurang baik, dengan umur yang dah banyak ni.. macam-macamlah nak kena fikir. Walau pada hakikatnya, hati masih mahu.


Sampai satu masa, Nuha wujud dalam rahim ummi. Betul-betul ‘surprise’ buat ummi dan abi (yang ketika itu berada di Mekah). Pada ketika itu juga kakak Suri dah nak masuk 4 tahun usianya. Kiranya, agak jauh juga la beza umur Nuha dan kakak (Nuha lahir pada usia Suri 4 tahun setengah). Berbanding sebelum ini jarak kelahiran Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri antara 2-3 tahun saja setiapnya. Kiranya dah agak lama ummi tak ada ‘baby’. Kakak Suri pun dah masuk sekolah dah.


Alhamdulillah, ummi menerima dengan penuh kesyukuran. Apa yang Allah hadirkan, memang sudah tepat pada masanya. Dari awal mengandung hinggalah melahirkan Nuha, ummi lalui dengan mudah saja. Sibuk menjalani hari-hari, sampai tak sedar masa berlalu. 9 bulan mengandungkan Nuha, memang terasa amat pantas. Pulak tu, ramai yang tak perasan dan tak tahu ummi pregnant. 


Tiba masanya, ummi selamat melahirkan Nuha. Di hospital yang sama dengan abang kakak Nuha (kecuali Mussaab). Dengan cerita dan pengalaman yang sedikit berbeza, tetaplah segalanya manis setelah hadirnya Nuha yang dinanti. 


Hari ini (10 Ramadan 1445h)  Nuha sudah pun berusia 26 hari. Ramadan kali ini ummi tak dapat laksanakan ibadah puasa kerana masih dalam tempoh berpantang. Walaupun anak dah 5, inilah kali pertama ummi berpantang dalam bulan puasa. Hmm.. banyak nak kena ganti puasa nanti. Semoga ummi mampu. Insya Allah. 


Nuha sehingga hari ini dalam keadaan baik, sihat dan mudah dijaga. Minggu lepas ada ambik darah untuk rujukan prolong jaundice, tapi harapnya ok saja. Sebab Nuha kelihatannya sihat dan aktif saja. Menyusu ok, ‘membuang’ pun takde masalah. Insya Allah, Nuha sihat dan normal seperti abang kakak Nuha juga.


Abi pula bercuti panjang sejak sebelum tarikh Nuha dilahirkan. Dan hari ini last day abi di rumah. Esok perlu ke laut mencari rezeki. Alhamdulillah, lama abi ada bersama. Banyak sangat yang abi tolong dan uruskan. Ummi dapat rehat yang cukup. Hanya perlu fokus pada Nuha. Lain-lain hal, serah pada abi. Termasuk memasak untuk sahur dan berbuka abang-abang Nuha. Semoga Allah rahmati abi yang sangat bertanggungjawab menjaga kita semua. 


Ummi percaya, kehadiran Nuha satu anugerah dan akan menghadirkan bersama kebaikan yang banyak buat keluarga kita. Ummi dan abi menerima kehadiran Nuha dengan penuh kesyukuran. Syukur dan bahagia seperti kelahiran 4 yang dulu. Kerana setiapnya istimewa untuk ummi dan abi. 


Membesar baik ya, Nuha Khadeeja. Dikau juga zuriat yang dinanti. Kau hadir pada saat dan waktu yang tepat pada perkiraan takdirNya. 


Ummi dan abi amat menyayangimu.

Abang dan kakak excited menanti kelahiranmu.

Insya Allah, melimpah cinta dan kasih buatmu.


Membesarlah sebagai Muslimah yang terbaik amal dan akhlaknya ya! Moga-moga kau mendapat cinta Allah yang teragung. Moga-moga syurga menjadi tempat kembalimu dan tempat berkumpulnya kita semua.

Ameen. 








Monday, 11 March 2024 0 comments By: Naemah

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH & RAMADAN KAREEM!


Bermula sessi persekolahan baru 2024/2025 pada 11/3/2024.


Masa terus berganjak ke depan. Anak-anak makin membesar di depan mata. Ya, Alhamdulillah masih di depan mata.


Tahun ni Anas dah masuk darjah 6. Mussaab darjah 4 dan Miqdad darjah 2. Tahun terakhir Anas di sekolah rendah. Mussaab bertukar sessi pagi di sekolah kebangsaan, dan sessi petang di sekolah agama. Miqdad masuk tahun kedua di sekolah rendah. Dan Suri, sambung belajar di kelas 5 tahun selepas sebulan bercuti (balik kampung). 


Memulakan sessi persekolahan baru dalam suasana yang sedikit berbeza. Ummi masih di dalam pantang (hari ke-16 selepas melahirkan Nuha). Masih belum mampu untuk tunaikan sepenuh tanggungjawab seperti dulu. Alhamdulillah, abi masih ada bersama meringankan segala beban. 


Hari pertama persekolahan, mungkin tak seperti yang sepatutnya dan tak seperti yang diharapkan. Ada banyak kekurangan di sana sini. Namun Alhamdulillah, semua hadir ke sekolah dalam keadaan yang cukup semua keperluan. Dihantar dan diambil pada waktunya.


Esok kembali ke sekolah lagi. Esok juga umat Islam menyambut 1 Ramadan. Anak-anak meneruskan sebulan persekolahan dan berpuasa. Dalam keadaan cuaca yang panas ini, ummi doakan semoga Allah kurniakan kudrat dan kesihatan yang baik buat semua untuk menyempurnakan sebulan puasa. Alhamdulillah, nampaknya semua excited nak sambut Ramadan. Tak perlu lagi pujukan, apa lagi paksaan. Anak-anak ummi dah besar kan :,)


Hari ini adalah permulaan untuk 1 tahun yang mendatang. Semangat hari ini, moga terus dibawa ke hari-hari yang berikutnya. Semoga Allah terangkan hati anak-anak ummi dalam menuntut ilmu. Diberi kefahaman yang jelas, dan kekal menjadi ilmu yang bermanfaat untuk seluruh kehidupan. Ameen. 


Selamat kembali ke sekolah dan Ramadan Kareem buat semua!




Malam 1 Ramadan 1445h
Bersedia untuk ke surau untuk berterawih (Suri pun sekali)


Friday, 1 March 2024 0 comments By: Naemah

PENGALAMAN BERSALIN: NUHA KHADEEJA



Menyusul catatan ‘pengalaman bersalin’ anak ke-5 ku, Nuha Khadeeja binti Mohd Suzainizam.


Alhamdulillah selamat melahirkan anak perempuanku pada 25/2/2024 jam 12.42 tengahari.


Kali ini juga, aku sebagai ibu mengandung dengan kencing manis (rawatan metformin dan insulin), perlu bersalin pada usia kandungan 38 minggu. Setelah mendapat surat dari doktor di KK Kijang, aku perlu masuk wad pada 21/2/2024 (pada usia kandungan genap 38 minggu).



21/2/2024

(4 hari sebelum bersalin)


Suami menghantarku ke HRPZ ditemani dua anakku, Miqdad dan Suri. Keluar rumah jam 8.30 pagi, breakfast dulu di kedai, lepas tu beli sedikit keperluan di Mydin KB dan terus ke HRPZ. Mendaftarkan diri pada jam 9.30, ikut segala prosedur sebelum dibawa ke wad. 


Ditempatkan di wad 11, mulanya buat ctg, dan ambik darah. Rehat dan santai je dulu. Lepas zohor dibawa ke wad 25 untuk scan baby dan cek laluan bersalin. Jangkaan berat baby 3.1, dan tiada bukaan serviks. Balik semula ke wad 11 dan rehat. Lalui hari ini dengan baik-baik saja. Esok perlu bersedia untuk dimasukkan ubat induce tablet (prostin e).



22/2/2024

(3 hari sebelum bersalin)


Tiba harinya. Mengulangi kisah yang sama seperti kelahiran Suri juga. (8 pagi) Hari ni doktor masukkan ubat induce yang pertama untuk gesaan bersalin. Bukaan 1 cm kata doktor. Baring sejam, makan dan menunggu ‘waktunya’ dengan sabar dan debar. Haraplah, boleh segera bersalin hari ni. Tak nak duduk lama di hospital (macam Suri dulu 5 hari duduk hospital).


Sehingga jam 12pm, belum rasa apa-apa. Langsung tak ada sakit atau kontraksi. Lepas solat zohor, datanglah rasa kontraksi yang ringan dan tak menyakitkan. 2 pm, doktor cek jalan bersalin. 2cm, sebagaimana yang dijangka. Lepas asar, rasa makin kuat. Mulanya 10 minit sekali (30 saat masa kontraksi), lama kelamaan jaraknya makin dekat hingga 3 minit sekali (40-50 saat masa kontraksi). Statik hingga ke tempoh dan jarak tu untuk beberapa jam. Tak ada progress lagi. Menahan sakit sampai ke malam. 


Sekitar jam 12 malam, minta ubat tahan sakit dengan nurse. Dia masukkan pcm cecair. Membantulah juga untuk tidur malam.



23/2/2024

(2 hari sebelum bersalin)


Seperti biasa jam 4.30am nurse kejut untuk buat ctg. Sakit semalam dah hilang, Alhamdulillah. 


Kerana tiada progress (setakat 2cm je), doktor tambah ubat kedua (separuh je katanya). Dengan harapan adalah progress untuk cepat bersalin hari ni. 


Tapi hari ni pun sama juga. Sakit kontraksi datang balik secara konsisten setiap 5 minit. Menanggung sakit lagilah hari ni. Sedangkan tiada bukaan serviks pun. Masih tetap 2cm. Perit rasanya menanggung kontraksi yang berterusan. Sungguh, pengalaman kali ini berbeza. Nurse masukkan ubat tahan sakit setiap beberapa jam. 


Malam hari sekitar jam 12 sakit makin kurang dan boleh tidur sampai ke pagi.



24/2/2024

(Sehari sebelum bersalin)


Ikut rutin dalam wad seperti biasa. Ctg, mandi dan subuh, lepas tu cek bukaan serviks lagi. Hampir ke 3cm katanya doktor. Dia masukkan lagi 1.5 bijik ubat induce (cukupkan 3 biji). Katanya, insya Allah hari ni dah boleh bersalin. Memberi harapan lagi. 


Dan kontraksi berulang lagi. Hari ni lebih perit, dengan jarak 5 minit sekali (dengan 1 minit tempoh kontraksi). Sakitnya sukar nak gambarkan. Sekitar jam 12pm dicucuk ubat tahan sakit (cucuk di bahu). Ubat ni memang menjadikan pening, mengantuk dan khayal. Sakit kontraksi tak dirasakan sangat. Mata tak boleh buka, sebab pening. Makan jamah sedikit, tak boleh nak habiskan sebab terlampau pening. Suami datang melawat, suapkan makan tapi tak boleh makan banyak sebab mual. 


Jam 2 petang doktor cek jalan, dah 3 cm. Doktor kata dah boleh masuk labor room hari ni.


Tapi tak dipanggil-panggil juga ke labor room. Hilang kesan ubat tahan sakit tadi, kontraksi kembali dirasa. Ya Allah, sampai bila nak menanggung sakit ni. Mengadu pada nurse pun, sekadar didengar. Dah tanya juga bila boleh ke labor room, tapi katanya belum dipanggil. Sabar jelah. Tahan dululah sakit. Harapnya masih mampu bertahan. 


Sekitar jam 3 pagi barulah rasanya kontraksi berkurang (sebab dapat tidur lena sampai dikejutkan kembali). Sebelum tu hanya tidur ayam.



25/2/2024

(Hari bersalin)


Ya, ikut prosedur biasa, hari ke-5 di wad. Alhamdulillah pagi ni dah tak rasa sakit kontraksi. Dah hilang terus. 


Waktu nak cek laluan bersalin, doktor pun pelik sebab masih ada lagi ‘muka ni’. Katanya patut kan semalam dah masuk labor room. Pelik juga dia. Pagi ni laluan masih 3 ke 4cm tapi dinding serviks dah lembut sangat dah kata doktor. Hari ni sure boleh bersalin. Doktor meyakinkan. Pagi ni juga doktor terus call ke labor room untuk booking.


Lepas sarapan, terus dibawa ke labor room. Akhirnya, sampai juga ke next step. Masa yang ditunggu-tunggu, sebab dah tak sabar nak akhiri episod mendebarkan ini. Malahan, memeritkan untuk kali ini.


8.30 pagi, masuk labor room. Mengimbas kembali kenangan dulu-dulu ditolak masuk ke labar room serba kebiruan itu. Aku ditempatkan di bilik no.7. Macam biasa, tukar baju, baring kat katil, dan seterusnya. Mencuba untuk bertenang. Biarlah mudah, kali ini. Reda atas kesakitan yang dah lepas. Hari ini biarlah mudah untuk menempuhnya. 


Pukul 9 pagi ketuban dipecahkan. Masih tak rasa apa-apa. Masih bukaan 4 cm. Lebih kurang pukul 9.30 dimasukkan ubat induce pitocin. Dalam setengah jam lepas tu datang rasa sakit perlahan-lahan dan berjarak sekitar 10 minit sekali. Kemudian makin bertambah lagi, dan makin lama pula. Macam dulu juga, makin lama makin kuat. Pukul 10.30 doktor cek bukaan. 4 cm je. Ya Allah, sakit makin kuat.


Pukul 11.30 makin tak tertahan. Dah ada gesaan untuk meneran, cuma tak kuat. Bila bagitau misi dia cakap belum lagi, sebab baru 4cm. Biasa la, time datang contraction mesti rasa nak meneran. Katanyalah. (Pengalaman aku yang lepas-lepas, kalau dah datang rasa tu, maknanya dah tak lama). Aku bertahan dulu. Sejam kemudian (dalam pukul 12.30) suami dipanggil masuk. Ketika itu contraction sudah semakin kuat dan kerap. Aku tahu, dah tak lama. 


Baru sekejap dia duduk, cuba tenangkan aku dan membaca beberapa ayat Quran, aku sudah meronta tak tertahan setiap kali datang kontraksi dalam jarak yang sangat singkat (tak sampai seminit rasanya). Aku memintanya memanggil nurse dan maklumkan yang aku dah tak tahan nak teran. Dia ikut saja. Nurse masuk (bukan yang jaga aku tadi), dia cek bukaan, 7 cm. Masih tak cukup 10cm. Dia minta tahan dulu. Tarik nafas dulu bila datang sakit. Aku dah tak mampu nak ikut arahan. Terlampau sakit. Nurse cuba buat persediaan yang sepatutnya, tapi kala itu juga datang contraction yang kuat dan.. sekali push! Baby dah keluar tanpa disangka. Dan tanpa sempat disambut nurse pun! Semua tergamam. Termasuk suamiku. Dan kala itu juga aku lega seleganya. Cuma mata tertatap pada wajah suami yang masih terpegun dan tergamam di situ. Kali ini dia menyaksikan kelahiran anaknya dengan cara yang berbeza. Bila aku tanya girl atau boy, lambat dia nak proses soalan tu. Masih terkejut agaknya. Dan kemudian dia menjawab ‘aah.. girl’. (12.42pm waktu dia dilahirkan). 


Siap proses seterusnya, anak diletakkan di dadaku. Lapisan putih menyalut seluruh tubuhnya. Chubby sangat kelihatannya. Dan tetap comel di pandanganku. Selepas melafazkan azan dan iqamah, suamiku diminta keluar. Anakku dibawa untuk dibersihkan dan diperiksa segala. Aku masih terbaring untuk dikeluarkan uri dan untuk dijahit luka bersalin. Agak lama juga. Namun sakit yang seterusnya tak terbanding dengan sakit nak melahirkan. Aku pasrah saja. Perasaan lega mengatasi segalanya setelah terlahirnya si kecil itu. 


Begitulah sekali lagi diberikan pengalaman ‘indah’ yang tak terungkap dengan kata-kata. Nikmat bersama sakitnya. Lega setelah peritnya. Dan Alhamdulillah, kali ini tak ditemani air mata tika menanggung segala rasa. Aku ‘kuat’ dengan meletakkan sepenuh keyakinan padaNya. Biarpun pengalaman kali ini aku rasakan lebih perit.


Berbanding Suri, tempoh berada di hospital adalah selama 5 hari. Tapi aku tak melalui hari dengan menanggung kesakitan. Kali ini 6 hari, 3 hari adalah hari menanggung sakit kontraksi kesan dari ubat induce. 


Syukur padaNya, tempoh sakit di labor room lebih singkat (2-3 jam) sehingga sampai saatnya bersalin. Itupun, tak mampu nak cerita sakitnya. Moga gugurlah segala dosaku yang banyak bersama sakit yang kutanggung itu. 


Doa dan pengharapan, sudah tentu tanpa jemu aku melafazkan pada lisan atau lintasan hati. Tak ada siapa lagi tempat aku bergantung, hanyalah DIA! 


Dan aku yakin juga doa dan restu suami tercinta, ibu yang jauh di mata, dan ibu mertua menghadirkan bersama pertolongan dariNya. 


Juga sesiapa jua yang ikhlas mendoakan diri ini. Allah dengar segala.


Syukur padaMu ya Allah. Zuriat yang dinanti telah hadir dalam dakapan ini. Menambah lagi seri keluarga kami. Insya Allah, akan kami bimbing menjadi hambaMu yang taat. Dan bimbinglah kami menjadi ibubapa yang mampu ya Allah! 



Pengalaman bersalin yang lalu;

ANAS ZAYDAN

ABDULLAH MUSSAAB

ILHAM MIQDAD

SURI LILYANA