Thursday, 31 July 2025 0 comments By: Naemah

MENITIK JULAI 2025




Julai berakhir jua. 


Satu bulan yang penuh dengan rutin pagi, bersiap ke sekolah, tengahari hingga petang, ulang-alik ambil anak, malam siapkan kerja rumah dan persediaan esok hari.


Suami pula, separuh bulannya ada di laut, mencari rezeki dalam gelombang. Bila dia tiada, semua urusan jatuh ke bahu sendiri. Kadang rasa kuat, kadang rasa nak rebah. Tapi tetap juga dilalui satu hari ke satu hari. Namun bila dia ada di sisi, banyak bebanan yang terangkat. Jadi ringan. 


Anak-anak pula kadang diuji kesihatan. Batuk selesema bergilir, ada yang gastrik dan berdarah hidungnya, tapi alhamdulillah bukan yang berat. Cuma cukup buat hati ibu ini resah.


Julai tak banyak cerita besar. Tapi dalam diam, ia mengajar erti mencukupkan, erti bertahan, erti jadi kuat walaupun tak selalu rasa begitu.


Bulan ini biasa-biasa saja, tapi penuh makna dalam kesederhanaannya.


Alhamdulillah. Syukur padaMu ya Allah. Dan terima kasih jua buat diri sendiri, sebab tak pernah berhenti mencuba.



Friday, 25 July 2025 0 comments By: Naemah

SEMEKAR: HARI KONSULTASI BERSAMA IBUBAPA




Sudah setengah tahun Anas menjadi pelajar tingkatan 1 di SMK Bandar Rinching (SEMEKAR). Serba sedikitlah dulu tentang pengalaman 6 bulan pertama Anas di sekolah baru ni.


Alhamdulillah tiada masalah, sudah semakin serasi dengan suasana sekolah baru, dan dapat kawan baru. Tak dengar rungutan yang bukan-bukan tentang sekolah, cuma adalah juga cerita baik dan tak baik. Macam budak sekolah bergaduh, ada yang suka ambik makanan orang, ada student ditangkap sebab hisap vape, ejek mengejek pun ada, dan ada lagilah cerita yang lain. Apa yang ummi mampu, nasihat sajalah agar tak mudah terpengaruh, tak join budak-budak nakal, dan pandai-pandai jaga diri di sekolah.


Kat sekolah, Anas merupakan ahli pengakap untuk unit beruniform, ahli kelab Pendidikan Islam dan ahli permainan bola sepak. Setiap Rabu akan sibuk dengan aktiviti Kokurikulum sama ada di sekolah ataupun secara online. 


Kat sekolah baru ni, untuk memegang jawatan pengawas sekolah, pengawas perpustakaan, dan yang lain-lain tu, murid perlu memohon dengan mengisi borang pada tempoh permohonan dibuka (awal sessi persekolahan hari tu). Mohon, dan kemudian cikgu akan saring dan pilih yang layak. Tapi untuk tahun pertama ni, Anas tak memohon mana-mana jawatan. Nak jadi student biasa katanya (kat sekolah rendah dulu pengawas sekolah). Takpelah, ikut yang Anas selesa.


6 bulan ini, Anas ke sekolah dihantar ummi/abi. Sekolah tak jauh pun, dalam 1.6km sahaja dari rumah. Tapi bermula minggu lepas Anas dah mula naik basikal ke sekolah. Pergi dan balik dengan kawan sekelas yang juga merupakan jiran dekat rumah. Alhamdulillah dah seminggu percubaan, takde masalah. Insya Allah dalam jagaan Allah sentiasa (risau juga sebab laluan lori keluar masuk). 


Dan pada 25/7/2025 adalah hari konsultasi bersama ibubapa buat pertama kalinya untuk Anas di sekolah ini. Alhamdulillah ummi dapat hadir, terima rekod keseluruhan UPSA dan PBD. Alhamdulillah untuk pencapaian keseluruhan, walaupun banyak B berbanding A. Takpelah dulu untuk permulaan. Anas pasti tahu dan sedar, lepas ni kena usaha lebih lagi. Kena fokus pada UASA pula.


Dan selain itu, cikgu cakap Anas ok je kat kelas. Tak banyak cakap, dan takde masalah disiplin. Yang sama dan lebih kurang je la dengan komen cikgu-cikgu sekolah sebelum ni. Yang nak kena improve lagi, ialah bab penyertaan dalam kelas. Kena bagi respon lebih pada guru yang mengajar. Kena baiki lagi markah PBD tu. insya Allah, cuba yang lebih baik.


Dan tak ada apa lagi nak tanya, dan bincang. Tamat pertemuan dengan guru kelas 1 Bougainvillea. 


Tahniah Anas kerana telah berusaha. Ummi terima saja result Anas dengan lapang hati. Tapi kalau nak banding dengan pencapaian sekolah rendah dulu, jauh lagi nak kejar tu. Yelah, sekolah rendah dan menengah tak sama. Tapi kecemerlangan akan tetap datang pada yang berusaha sesungguhnya. Dan macam biasa, ummi nak Anas berusaha lebih lagi untuk gapai yang lebih baik dan lebih cemerlang di masa akan datang. Ummi akan doakan sentiasa. 


You can do it, Anas!

Insya Allah… 


Selesai perjumpaan dengan guru kelas Anas dan Miqdad. Untuk Mussaab (SKKR) belum dapat info lagi bilakah harinya, sebab sekolah tengah sibuk dengan sukan tahunan yang akan berlangsung tak lama lagi. 




Result UPSA Anas.

Not badlah…

Boleh improve lagi, insya Allah.



SRAIPB: HARI BUAL BICARA AKADEMIK




Bertemu lagi tahun ini hari bual bicara akademik di SRAIPB. Tahun lepas perlu hadir untuk Anas dan Miqdad, tahun ni Anas dah pindah ke sekolah menengah, jadi tinggal Miqdad sorang jelah kat sini.


Hari ini (25/7/2025) datang awal bersama abi, lepas hantar Suri di tadika. Alhamdulillah sampai kelas terus dapat jumpa guru kelas Miqdad-3 Pintar iaitu Ustazah Nadiah dan terima keseluruhan result UPSA Miqdad. Tak sampai 5 minit pun, Ustazah just tunjuk result mana yang rendah sikit-Sains, PSV, Jawi dan Tajwid (dapat B), dan subjek lain semuanya A. Alhamdulillah, memuaskan, tapi mestilah nak kena improve lagi, terutamanya yang tak dapat A tu.


Bab perangai tu ok sajalah agaknya. Ustazah tak komen. Kata ustazah, dalam kelas ni student lelaki yang juara bersembang berbanding perempuan. Miqdad termasuk sekali juga tu, suka bersembang. 


Itulah saja. Ustazah tak de komen lebih, ummi pun takde soalan dah nak tanya. Anggap sajalah semuanya ok dan baik saja. 


Secara keseluruhan, result UPSA Miqdad memuaskan. Sudah terbaik, dan insya Allah boleh improve jadikan lebih baik lagi untuk UASA nanti. 


Miqdad tak boleh nak obses sangat dengan game. Konsisten buat latihan dalam workbook, dan jangan banyak sangat beralasan ye…


Ummi doakan Miqdad terus beroleh kecemerlangan di masa akan datang. Semoga hadir dalam diri Miqdad perasaan cintakan ilmu, dan berusaha sesungguhnya untuk jadi insan yang penuh ilmu di dada. 


Kini tumpuan pada UASA pula, di samping aktiviti sekolah yang lain. Miqdad belajar betul-betul ya. Insya Allah Miqdad akan dapat keputusan yang lebih baik dan berada di hadapan. Ameen. 




Keseluruhan result UPSA Miqdad

Tuesday, 22 July 2025 0 comments By: Naemah

HOSPITAL: PENGALAMAN YANG TAK INGIN DIULANG



Sekadar coretan pengalaman. 


Dah berapa kali kena tahan wad?


Pernah masuk wad kerana keracunan makanan (2010), pernah masuk wad kerana keguguran kandungan pertama (2011), pernah masuk wad asbab bersalin (2012,2014,2016,2019,2024), dan pernah masuk wad kerana batu karang dalam hempedu (2022). 


Dah 8 kali rupanya ditahan di wad atas sebab kelahiran dan sakit yang tak disangka. Semuanya di hospital kerajaan, kecuali untuk rawatan dan pembedahan buang batu karang.


Tragedi keracunan makanan (2010), dimasukkan di hospital Jeli dan berada di wad selama 2 hari 1 malam. Alhamdulillah dengan rawatan, pantauan dan layanan baik doktor dan jururawat, keadaan diri yang pada awalnya agak ‘teruk’ juga, akhirnya bertambah baik. 


Tak dilupa episod keguguran kandungan pertama (2011), kejadian yang bagai sekelip mata, dibawa ke hospital Kelaboran (sebab masa tu berada di rumah saudara di Tumpat), kemudian naik ambulan, dibawa ke HRPZ Kota Bharu. Satu malam ditahan di wad, dirawat sewajarnya dan dibenarkan balik pada keesokan harinya.


Seterusnya pengalaman bersalinkan anak, seorang demi seorang (2012-2024), 4 di HRPZ Kota Bharu, dan 1 di HUSM. Pengalaman bersalin yang hampir serupa, diberi layanan yang sebaiknya oleh doktor dan jururawat yang bertugas, dipantau setiap masa, dan terjaga serba serbi sebagai ‘patient’. Adalah pengalaman tak best sekali dua,tapi keseluruhannya berada di wad dan hospital kerajaan, rasa sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.


Dan yang terakhir (2022)- sebelum mengandungkan yang bongsu, dan pasca covid-19. Sakit yang tiba-tiba menyerang, dan pada ketika itu suami yang serba salah nak hantar ke hospital mana (kerajaan atau swasta)- yang pasti hospital kerajaan sentiasa menjadi pilihan dia atas alasan yang dipegangnya. Tengok keadaan aku yang sangat lemah, dia bawa ke bahagian kecemasan-KPJ Kajang (lokasi yang sangat hampir dengan Hospital Kajang), demi untuk tidak melengahkan masa rawatan. Ya, maklum, hospital kerajaan mungkin perlu menunggu lebih lama. 


Dan inilah pengalaman pertama ditahan di wad hospital swasta. Dan hmm… sebaik mendaftar, yang ditekankan ketika itu adalah tentang kos rawatannya yang bukan sedikit, untuk beri pilihan pada kita sama ada mampu bayar (teruskan rawatan di situ) atau tidak (bawa ke hospital kerajaan). Ya, syukurlah ada insurans yang boleh cover kos rawatan. Dari icu (2 malam) ke wad biasa (4 malam), kemudian menyambung rawatan di HUKM (3 malam). Dan dari segi layanan dari pihak hospital, tentulah terbaik dan first class. 


Itulah serba ringkas tentang pengalaman menerima rawatan (warded) di hospital kerajaan dan hospital swasta. 


Dari pengalaman, nak kata berbeza tu, adalah perbezaannya antara hospital kerajaan dan hospital swasta. Terutamanya dari segi keselesaan sebagai pesakit. Kalau di hospital kerajaan, semua kena berkongsi, wad padat dan sesak, makanan pun tak semewah mana (tapi Alhamdulillah sedap je). Di hospital swasta pula dapat bilik selesa dan ada privacy, duduk sorang-sorang, tak berkongsi bilik dengan pesakit lain. Makan pun ‘mewah’, siap boleh pilih-pilih menu yang berkenan. Yelah, semuanya berbayar kan.


Namun dari segi menerima rawatan, tak ada berbeza sangatlah. Cuma di hospital swasta, sesegera mungkin kita dilayan dan dirawat-macam kes kena operate batu karang hari tu, tak perlu menunggu lama. Jika di hospital kerajaan pula, biasanya dia ikut keutamaan dan giliran. Mana yang lebih teruk, yang itulah akan didahulukan. Dan yang kurang teruk, perlulah sabar menunggu. 


Tapi bukanlah nak kata yang swasta lebih baik. Sepadanlah dengan bayaran yang kita perlu keluarkan untuk rawatan di situ. Mereka sudah tentu akan cuba beri yang terbaik.


Namun pengalamanku di hospital kerajaan, doktor dan jururawat juga sangat komited memberikan khidmat mereka yang terbaik. Pantau pesakit tiap masa, beri perhatian secukupnya, dan merawat dengan begitu teliti. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya pengalamanku di hospital kerajaan semuanya baik dan memuaskan hati. Sedikit yang tak puas hati, masih boleh diabaikan. 


Namun biar di mana pun (antara hospital kerajaan atau hospital swasta), pengalaman ‘sakit’ itu tak dapatlah nak diceritakan bagaimana, dan tak inginlah diulang kembali. Semoga tak ada lagi cerita yang seumpama itu. Semoga cukuplah pengalaman yang lalu. Best ke tak best ke layanan diterima, memang tak ada siapa nak pilih untuk sakit dan masuk hospital. 


Kalian yang membaca coretan ini, tolong doakan aku sihat menjalani hari-hariku. Tolong doakan aku tak sakit lagi. Dan semoga doa itu dikembalikan kepada kalian jua. Ameen. 

Monday, 14 July 2025 0 comments By: Naemah

MENEMPUH HARI DAN RUTIN YANG BIASA


Julai 2025. Dah 2 minggu berlalu. Tiada apa yang ummi nak catatkan. Hanya menjalani hari yang biasa. Hari sekolah, bersekolah la semua. Hari minggu, di rumah sahaja, tak ke mana-mana. Abi pun dah kembali bekerja selepas 2 minggu bercuti.


Sudah hari ke-5 abi keluar bekerja. Ke Kota Kinabalu, kemudian ke Bintulu. Insya Allah selesai kerja nanti akan balik ke rumah. Dan pastinya, akan keluar bekerja lagi. Macam biasalah.


2 minggu yang telah berlalu, tak ada apa yang luar biasa. Masih mengulangi rutin yang sama. Kehadiran anak-anak ke sekolah cukup, tapi hari ni (Isnin) Mussaab pula diuji sakit perut dan tak dapat ke sekolah. Gastrik agaknya, sebab semalam hanya ambil sarapan, lepas tu dah tak makan apa-apa sampai ke pagi. Makanya pagi ni (dah siap pakai uniform sebenarnya), terbaring saja di sofa. Keadaan semakin baik, Insya Allah petang ni masuk sekolah agama.


Cerita lain tak ada, macam biasa, keadaan rumah yang sepi di waktu pagi, dan kembali riuh bila hampir senja bila semuanya kembali berkumpul. Hari minggu main game, buat latihan sikit, dan main sesama sendiri. 


Esok (Selasa) menjangkakan situasinya sama, sibuk hantar dan ambil anak sekolah pada waktu biasa. Cuma Rabu, jadualnya sedikit berbeza. Semuanya perlu dihantar pada waktu pagi. 4 anak, 4 sekolah berbeza, dan tambah lagi pada Rabu ini ummi juga ada temujanji di KK Beranang. 5 lokasi nak kejar. Bersiap sedialah ummi, mental dan fizikal. 


Selalunya, risau itu saja yang lebih. Dan selalunya, rasa susah bagaimana pun, Allah tetap permudahkan dan lancarkan. Moga kali ini, juga. Ameen. 


Dan sedar tak sedar, telah menjalani rutin seperti ini sudah setengah tahun. Abi yang tahun ini kembali sibuk, asyik ‘terbang’ Sabah dan Sarawak, rutin tahun ini sudah menjadi ‘sebati’ dalam diri. 


Dalam sibuknya meneruskan hari-hari, amat mengharapkan Allah bekalkan bersama kesihatan dan kudrat. Kadangkala diuji juga rasa lemah dan tak sihat, dan ketika itu juga hadir risau dan takut. Tak ada tempat bergantung selainNya. Bertawakkal penuh kepadaNya. Alhamdulillah, sehingga hari ini, tetaplah baik-baik saja.


2 minggu sahaja lagi berada di bulan Julai. Entah ada coretan atau kisah yang nak ditulis di sini  atau tiada. Biarlah Julai yang biasa-biasa, yang penting kita semua baik-baik saja. Insya Allah. 




JULAI 2025









Tuesday, 8 July 2025 0 comments By: Naemah

SHORT ESCAPE: HIMALAYA CAMP RESORT

Sudah seminggu berlalu. Setelah menempuh Jun yang agak padat dengan jadual harian, akhirnya dapat menikmati percutian singkat-keluar sekejap dari rumah dan rutin yang memenatkan.


Sempena cuti Awal Muharam, dapatlah balik kampung sekejap, satu malam di Kota Bharu dan satu malam di Jeli.


Dan pada  29 Jun menuju ke Himalaya Camp Resort, Gopeng, Perak untuk percutian singkat sekeluarga (suami dah booking 2 minggu sebelumnya). 


Bertolak dari Jeli selepas sarapan, sekitar jam 7.30 pagi. Perjalanan mengambil masa selama 4 jam setengah. Singgah sekejap membeli durian dan sedikit makanan dan bekalan di dalam perjalanan. 


Sampai di Himalaya Camp Resort pada jam 1.20 petang. Terus check in, sebab bilik dah ready (sepatutnya check in pukul 3). Tapi sebelum masuk bilik, berkelah dulu di tepi sungai dan mandi sungai sepuasnya. Seronok bermain air, lama tak mandi sungai. Sungainya agak luas dan airnya juga jernih. Tidak begitu dalam, tapi perlu berhati-hati juga sebab berbatu dan laju arusnya. Anak-anak bermain sepuasnya dipantau abi mereka. Bila lapar, naik makan dulu bekalan yang ada. Then sambung mandi lagi sampai diajak balik ke bilik. 


Pukul 3 petang meninggalkan sungai dan menuju ke bilik penginapan. Siap solat, dan sambung mandi kolam pula. Kolam mandi yang betul-betul menghadap bilik, memang puas dan seronoklah semua dapat sambung main air lagi. Kemudian sekitar jam 5 petang, main rainbow slide pula. Main puas-puas hari ni. Tak adanya nak rehat-rehat. Ummi dengan Nuha je la yang sempat lelap sekejap. Anas juga, katanya penat dah main. Cuaca juga agak panas sebenarnya. Masing-masing dah ‘terbakar’ muka. 


Jam 7 petang, dinner maggie cup je semua. Tak larat dah nak keluar. Lagipun tak tahu nak cari kedai makan kat mana (tempat ni agak ke dalam hutan-kebun kelapa sawit). Ada juga la nampak tadi gerai-gerai makan sebelum masuk ke dalam resort. Tak tahulah waktu malam masih ada kedai yang buka lagi. Kat dalam resort ni pun ada cafe, tapi tak tahu apa yang dijual. Menjamu selera dengan apa yang dibawa je la. 


*kat sini ada satu tempat khas untuk makan, banyak disediakan kerus meja, cerek, peti ais, sinki, tempat bbq, pinggan, cawan dan sudu*


Selepas solat jamak maghrib-isyak berjemaah, lepak kat luar bilik. Sambung makan lagi. Dan abi bawa anak-anak main  rainbow slide sekali lagi, nak habiskan tiket yang ada. Ummi tingga seorang di bilik, dah penat nak berjalan. ‘Me time’ sekejap dalam suasana malam yang agak tenang disapa angin sepoi-sepoi bahasa.


Bila semua balik, duduk sembang-sembang di kerusi batu yang disediakan. Indahnya rasa. Walau penat semuanya, peluang yang ada ini sangat dinikmati. Alhamdulillah.


Pukul 11 malam, seorang demi seorang lena. 

Nyenyak tidur sampai ke pagi.


Esok harinya bangun awal dan bersolat Subuh berjemaah. Pagi ini tak boleh nak santai-santai dah (walaupun waktu check out pukul 12). Sebab nak kejar waktu sekolah Anas (pukul 1 petang). Mussaab, Miqdad dan Suri dah ‘terpaksa’ cuti dah pagi ni, Anas masih sempat untuk ke sekolah. Dia pun sayang nak ‘ponteng’ walaupun satu hari. 


Lepas sarapan (yang resort sediakan), sekitar jam 8.30 pagi, bergerak baliklah kita sekeluarga ke Semenyih. 3 jam perjalanan (berhenti sekejap di r&r) dan sampai rumah pukul 12 tengahari. Alhamdulillah, sempatlah Anas makan dan bersiap ke sekolah. 


Maka tamatlah kisah percutian pendek kita sekeluarga. Anak-anak menyatakan rasa seronok mereka, maklumlah abi sibuk sepanjang bulan dan langsung tak ke mana walaupun weekend. Ini sajalah peluang yang ada, ketika abi balik, walaupun terpaksa ambik ‘cuti’ lebih dari sessi sekolah. Sehari saja, insya Allah tak apa-apa. 


Dan kini dah pun kembali kepada kehidupan biasa. Anak-anak sekolah dan belajar, ummi dengan urusan rumah yang tak pernah sudah, dan abi menunggu waktu untuk kembali bekerja. Sementara di rumah, melakukan apa yang perlu sebagai ketua keluarga. Sebelum selepas ini, ummi perlu pikul segala hal di rumah sendirian lagi. 


Syukur padaMu ya Allah untuk waktu berharga ini. Biar singkat, penuh kenangan. Terima kasih suami tercinta yang biarpun penat, tetap mencari waktu untuk mencipta kenangan manis bersama keluarga. 




Jenis-jenis penginapan yang terdapat di Himalaya Camp Resort. Besar tempatnya, weekend akan sentiasa penuh, kena booking awal. Kami pilih Gokyu Home, amat selesa untuk sekeluarga. Info lanjut boleh ke website yang tercatat.







Bilik kami

(gokyu Home)

Ada juga kolam di tempat lain.


Sampai, check in, dan bergerak ke sungai






Makan-makan dulu
































Mandi kolam pula







Rainbow slide







Suasana petang



Solat berjemaah





Suasana malam





Turun ambil sarapan di tempat yang disediakan.





Sarapan pagi sebelum bertolak pulang.


ALHAMDULILLAH UNTUK SEGALANYA.