Monday 31 August 2015 0 comments By: Naemah

ANTARA ADA DAN TIADA

Hari ini suami kembali meneruskan kerjanya setelah lebih seminggu bercuti dan bersama keluarga. Pagi ini terbang ke Labuan seperti biasa dan insya Allah bakal bertemu lagi :)

Aku dan anak anak sudah pasti sangat merinduinya. Ketika adanya, dia menceriakan hari hari kami dengan hiburan dan jenaka. Ketika adanya, anak anak ketawa ceria dan bahagia. Bermain dan belajar dengan abi. Aku juga terhibur dan bahagia..

Ketika adanya, banyak perkara yang suami bantu dalam urusan rumahtangga hingga ke hal anak anak. Dia banyak membantu, dan cuba menjadi suami dan ayah yang terbaik.

Ketika adanya juga, langkah kami lebih luas ke sana ke sini dibawa suami. Anak anak dapat melihat dunia luar yang lebih terbuka. Takdelah terkurung seperti ini :) tapi hidup berkurung begini pun ada banyak baiknya juga :)

Bila dia tiada, hidup lebih sunyi dan terasa kekurangan. Anak anak hanya ada ummi untuk bergurau dan bermain. Adakalanya ummi sibuk dan tak terlayan. Hai... Kesian anak anakku.

Bila dia tiada, segala urusan rumah dan anak anak terpikul di bahuku. Aku lakukan sekadar yang termampu :) ada ketikanya terasa perlunya dia ada. Tapi pada kebanyakan masanya, aku mampu berdiri sendiri. Tapi mungkin tempang sikit la :D

Saat dia tiada juga kehidupan kami hanya di rumah ini. Banyak masa di rumah, banyak juga ruang waktu untuk anak anak belajar. Boleh mendengar dan menghafaz al Quran, boleh membelek dan membaca buku, dan boleh melakukan banyak perkara juga meskipun hanya di rumah. 

Aku percaya semua isteri mengharapkan suami sentiasa ada di sisi. Aku pun juga begitu... Namun aku menerima hakikat bahawa kerjanya tak memungkinkan dia untuk selalu ada bersama. Dan aku juga percaya ada atau tiada, pasti ada hikmah dan kebaikan buat kami.

Bila berjauhan kami mengenal erti rindu dan rindu menyuburkan cinta. Insya Allah. 

Bila berjauhan, inilah masanya untuk bermuhasah diri. Merenung kekurangan diri dan salah silap pada pasangan. Hati insaf, terasa mahu menjadi yang lebih baik untuknya.

Saat berjauhan begini, ada masa untuk diri sendiri melakukan sesuatu yang disukai. Saat anak dah dibuai lena, itulah masa untuk diri :)

Saat dia tiada juga, dapatlah aku menulis dan mengupdate blog ini :) masa untuk berfikir, mencari ilham, meluah rasa... Inilah masanya...

Aku tetap bersyukur dengan kehidupan yang ditempuhi ini. Bersyukur punya suami yang baik dan bertanggungjawab, serta anak anak yang bijak dan sihat. Mereka anugerah yang tidak ternilai. Mereka hartaku dunia dan akhirat. Semoga bahagia milik kita selamanya.. Insya Allah :)






TRIP TO LANGKAWI: WITH LOVE

Alhamdulillah berpeluang bersama keluarga tercinta bercuti di Pulau Langkawi pada 25/8/15-26/8/15. Percutian yang singkat, tapi memberi makna buat kami.

Sebenarnya dah lama suami berhajat untuk bercuti di sana, namun asyik tertangguh saja. Kali terakhir ke Pulau Langkawi dalam 4 tahun yang lepas. Itulah kali pertama dan yang terakhir. Masa tu masih berdua, pergi bersama keluarga mertua. 

Kali ini pergi bersama anak anak pula. Tapi kerana masa yang singkat di sana, menjadi percutian yang memenatkan, namun memuaskan. 

Kebetulan berada di kampungku di Jeli Kelantan. Bertolak seawal 5.30 pagi dari rumah, dan berhenti solat subuh di Batu Melintang. Anak anak masih nyenyak tidur dan masih berbaju tidur. Singgah membeli nasi lemak di Gerik, Perak dan berhenti di satu kawasan di puncak bukit untuk menikmati sarapan. Entah apa namanya tempat tu. agak lama juga berhenti di sini menikmati hidangan dan udara segar :)




Kemudian menyambung perjalanan ke destinasi. Singgah sekejap di r&r untuk mandikan anak anak dan menyambung perjalanan semula.  

Tiba di Kuala Perlis dalam pukul 11.30 pagi dan sempat menaiki feri pukul 12. Di situ juga suami membuat bayaran deposit untuk island hopping dan kereta sewa. 

Pengalaman pertama buat Anas dan Mussaab, menaiki feri. Agak excited juga melihat laut dari cermin tingkap. Mujur jugalah dapat seat tepi tingkap. 

Kerapkali juga mata menatap sekumpulan penumpang bangsa cina yang sedang enak menikmati kfc. Anak anak dah mula lapar. Maklum sajalah dah lunch hour :)



Lebih kurang sejam di atas feri, anak anak langsung tak tidur. Aku pula yang terlelap dek kerana kepala yang dah rasa pusing semacam. Akhirnya sampai ke destinasi, Pulau Langkawi. 

Sebaik turun dari feri ada seseorang mencuit suami dari belakang. Dia menghulurkan hp suami yang tertinggal di seat kami duduk tadi. Allahu... Terkejut dan bersyukur sangat Allah hantarkan insan yang jujur ini untuk memulangkannya. Kalau tak.... Tak tahu nak cakap apa. Betapa hp itu sangat penting buat suamiku, terutama untuk urusan kerja. Terima kasih ya Allah...

Kami meneruskan perjalanan dan singgah ke restoren kfc, untuk menikmati lunch kami. Tengah ready nak makan, seorang pelancong arab mendekati kami dan menghulurkan satu bekas berisi coklat pada Mussaab . Hadiah katanya. Alhamdulillah rezeki dari Allah untuk kesekian kalinya. 



Ternampak hamba Allah yang memulangkan hp suami tadi, juga melangkah masuk ke restoren yang sama bersama isteri dan anak kecil. Mereka pasangan muda yang mungkin datang bercuti juga. Suami sempat mengucapkan terima kasih padanya. Dari kejauhan aku turut mendoakan agar urusan mereka di sini dipermudahkan :)

Selesai makan suami menelefon pemilik kereta sewa. Kereta sewa (pesona) diserahkan di jeti tersebut dan kami ke stesen minyak untuk mengisi petrol dan seterusnya mencari hotel untuk menginap malam itu. 

Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Sesuai dengan percutian budget, kami memilih uptown hotel di pekan kuah yang berharga rm80 untuk semalaman. Check in hotel lebih kurang pukul 3 petang. 

Aku yang masih sakit kepala mengambil sebiji panadol dan terlelap seketika. Anak anak dan suami masih bertenaga dan langsung tidak tidur. 

Selepas waktu asar kami keluar dari hotel untuk menuju ke tempat kereta kabel. Dah lama berjanji dengan Anas nak bawa dia naik kereta kabel. Dalam perjalanan keduanya tertidur kerana kepenatan. Tak sampai hati nak kejutkan mereka, suami pusing pusing di sekitar tempat tersebut, hingga ke Pantai Cenang. Dah agak lama sikit mereka tidur, kami menuju ke tempat kereta kabel. 




Anak anak seronok menaiki kereta kabel walaupun pada mulanya agak takut takut dan kepelikan. Kebetulan baru lepas hujan, pemandangan di puncak bukit sangat berkabus dan langsung tak dapat nak menikmati pemandangan hijau di bawah. 




Di tempat itu juga sempat membeli kereta mainan untuk anak anak dan monopod. Hari dah menghampiri senja, kami meninggalkan tempat itu menuju ke hotel. Dalam perjalanan singgah makan di kawasan beras terbakar. (Padang Mat Sirat). Memandangkan sudah hampir maghrib kami hanya singgah makan di gerai. Aku memesan chicken chop dan suami nasi goreng udang serta nescafe ais. Setelah itu kami pulang ke pekan kuah.

Selepas Maghrib kami ke pasaraya Haji Ismail Group. Sebenarnya datang ke Langkawi hanya untuk jalan jalan dan tiada niat pun untuk shopping. Tapi dah masuk kedai tu, beli juga pressure cooker yang berharga rm189 :) beli kerana dah lama suami survey benda ni. Dah jumpa ni rasa macam rugi pulak tak beli.

Akhirnya keluar dari HiG dengan barang barang: t shirt Muslimah, sotong kering, coklat, pressure cooker dan beg bagasi :)

Selepas itu ke kedai membeli sedikit keperluan untuk island hoping esok hari. Sekali lagi singgah ke kedai makan membeli char kue teow, nasi goreng ikan masin dan popia. Supper lah jadinya malam tu. masing masing tidur lena selepas berpenat seharian.

Hari ke 2 di Pulau Langkawi. 

Paginya seawal jam 10 pagi kami ke Awana Porto Malai, jeti bot untuk pakej island hopping kami. Hotel pun dah check out siap siap. Sebenarnya jam 9.30 pagi, tapi kami tiba lewat dari masa yang dijanjikan. Semua penumpang sedang menunggu, rasa malu dan bersalah sangat. Kami juga lah satu satunya penumpang yang bersama anak kecil. 





Tempat pertama yang di kunjungi ialah Tasik Dayang Bunting. Dulu pernah datang ke tempat ini. Ada sedikit perbezaan berbanding dulu. Kami tak berjalan naik hingga ke atas, hanya menunggu di bawah. Selepas 1 jam (11pagi) kami meninggalkan tempat itu menaiki bot tadi. Kemudian pergi tengok burung helang, dan akhir sekali ke Pulau Beras Basah. Di sini anak anak seronok mandi pantai. Sekali lagi tak sedar masa berlalu, hingga kami yang terakhir menaiki bot balik :)







Lebih kurang pukul 1 petang kami tiba di jeti permulaan tadi. Di situ juga mandikan anak anak dan salin pakaian yang basah. Perlu cepat kerana selepas  itu akan ke jeti untuk mendapatkan tiket feri ke kuala perlis pula.




Sebelum ke jeti kami singgah makan di gerai laksa berdekatan airport langkawi, juga di tepi pantai. Perut dah lapar sangat, tak sempat nak makan bekal nasi lemak yang di bawa ke pantai tadi. Kami memesan laksa ikan sekoq, bihun sup, pasembor, dan air. Anas makan nasi lemak yang dibeli pagi tadi. Alhamdulillah kenyang menikmati hidangan di tepi jalan bersama angin sepoi sepoi, sambil menyaksikan kapal terbang yang terbang dan mendarat.



Selepas itu bergegas ke jeti dan memulangkan kereta sewa serta membeli tiket feri. Alhamdulillah sempat naik feri jam 4 petang. Tiba di Kuala Perlis jam 5 petang. 

Selepas itu melencong pula ke Georgetown, Pulau Pinang. Alang alang dah dekat, pergi juga la walaupun dah penat sebenarnya. Sampai di sana  dah Maghrib. Singgah makan di Restoren nasi kandar Line Clear. Alhamdulillah sekali lagi kenyang. Kemudian terus menyambung perjalanan pulang ke Kajang. Singgah makan saja :)

Meneruskan perjalanan yang masih panjang. Anak anak tidur lena di atas carseat masing masing. Aku juga terlelap agak lama. Berhenti sekejap di r&r Tapah dan selamat tiba ke Kajang jam 1.30 pagi.

Alhamdulillah di atas percutian yang singkat ini. Alhamdulillah dipermudahkan segala urusan. Alhamdulillah dapat menikmati masa berkualiti bersama keluarga :)



EXPENSES SUMMARY:

DAY 1 (jeli-Langkawi)

Petrol: Rm100
Breakfast (nasi lemak+kuih): Rm7
Tol gurun-alorstar: Rm 4.80
Petrol: Rm50
Tiket feri: Rm49
Island hoping deposit: Rm45
Sewa Kereta (proton) deposit: Rm50
lunch (Kfc): Rm32
Petrol: Rm20
Hotel (Uptown hotel): Rm80
Cable car: Rm55
Gambar magnet: Rm15
Keropok+air: Rm10
Car toys+monopod: Rm66
HiG (baju, pressure cooker, bagasi, coklat, sotong kering): Rm360
Dinner (nasi goreng udang, chic cop, neacafe ais): Rm14
Supper (char kue teow, nasi goreng ikan masin, popia): Rm14
Biskut+air+bekas: Rm29
TOTAL: RM1000.80

DAY 2 (langkawi-georgetown-kajang)

Breakfast (nasi lemak+kuih): Rm17
Island hoping: +Rm50
Sewa kereta: +Rm50 
Petrol: Rm10
Ice cream: Rm8
Gambar anas: Rm10
Toilet: Rm3
Snorkeling +baju safety: Rm25
Lunch (laksa, mihun, pasembor, air): Rm19
Tiket feri: Rm49
Parking: Rm15
Tol balik: Rm49 
Dinner (Nasi Kandar): Rm20
Petrol: Rm50
TOTAL: RM375

TOTAL EXPENSES: RM1376




Sunday 30 August 2015 0 comments By: Naemah

STADIUM KAJANG: TEMPAT RIADAH KAMI

Hari ini, riadah bersama keluarga di Stadium Kajang untuk kesekian kalinya. Stadium kajang menjadi tempat yang sering kami kunjungi untuk aktiviti riadah. Jaraknya hanya dalam 5km saja dari rumah. Lokasinya pula bersebelahan dengan medan sate Haji Samuri yang terkenal di Kajang. 

Aktiviti yang sering kami dilakukan di sana ialah berjogging, berbasikal dan bermain di taman permainan yang disediakan. Kawasan stadium yang sangat luas, memberikan kebebasan pada setiap orang yang mengunjunginya untuk melakukan aktiviti. 

Pada hari minggu, ada disediakan perkhidmatan sewa basikal, kereta permainan, bubbles, kasut roda dan skateboard, dan banyak lagi. Kalau hari minggu, memang sangat ramai yang datang untuk beriadah atau sekadar mengambil angin dan membawa anak anak bermain. 

Anak anak seronok dan bebas bermain di padang yang luas. Berlari dan berbasikal hingga keletihan. Malah seronok juga melihat kanak kanak yang riang bermain di situ. Tempat yang menjadi pilihan kebanyakan keluarga. 

Semoga dapat menjadikan aktiviti riadah ini satu rutin buat kami sekeluarga. Riadah itu aktiviti yang baik dan menyihatkan. Badan segar lepas berlari :)  bimbang juga dengan kesihatan diri. Maklumlah badan tak slim macam dulu lagi dah. Lemak sana sini. Takut juga  diserang penyakit yang bermacam. Nau'zubillah..

Ya, makan pun kena jaga juga. Bukan main telan je semua kan. Jaga makan, rajin exercise, insya Allah kesihatan terjaga. Nasihat untuk diri sendiri :D

Stadium Kajang.. Menjadi tempat kenangan kami sekeluarga di masa yang akan datang. Suatu hari nanti mungkin tak tinggal di sini lagi. Kenangan di sini pastinya akan terus tersemat di hati :)







Saturday 29 August 2015 0 comments By: Naemah

BELAJAR UNTUK TERUS MENCINTAI

Picture: here
Suami dan isteri...diikat dengan tali pernikahan, berlafazkan ijab dan kabul, diiringi doa dan restu

Lazimnya, di awal perkahwinan itu segalanya manis dan membahagiakan. Maklum saja, insan yang dicintai kini dimiliki. Atau mungkin... Cinta sedang mula berputik dan berbunga indah :)

Semakin lama usia pernikahan, semakin mengenal pasangan dan terserlah sikap baik dan kurang baik. Masam dan manis ada bersama. Kini bukan lagi manis dan sweet saja :)

Dan jika dulu berdua, kini bilangan bertambah dengan kehadiran anak anak. Tanggungjawab bertambah, dan segala yang manis dan indah suatu ketika dulu adakalanya seperti tak terasa lagi.

Resam hidup berumahtangga memang begitu. Tak selalu indah, dan tak selalu manis. Suami dan isteri bersatu, bukan hanya untuk bersuka suka dan bermesra saja. Di bahu terpikul amanah dan tanggungjawab. Suami bertanggungjawab pada isteri dan anak anak. Isteri juga bertanggungjawab pada suami dan anak anak. Suatu masa nanti akan dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan. 

Picture: Here

Adakalanya kita tak sehaluan dengan pasangan. Adakala kita bercanggah pendapat dan tidak sepakat. Kita mahukan A dia pula mahukan B. Dalam fikiran kita begini, dalam fikiran dia pula begitu. Tak sama, tak serupa, malah sangat berbeza. 

Saat itu betapa pentingnya sebuah kesabaran dan tolak ansur. Kita mungkin makan hati, tapi bertikam lidah itu lebih menyakitkan hati. Kita mungkin rasa kita lebih betul, tapi anggap saja kita mungkin juga salah :)

Dalam hal tertentu, barangkali kita dipersalahkan. Mungkin ketika itu diam lebih baik dari bersuara dan saling menyalahkan. Biar hati lebih tenang, biar keadaan menjadi reda. Pujuklah hati agar tidak terus berkecamuk.

Hakikatnya rumahtangga penuh dengan ujian. Menguji kesetiaan dan cinta antara pasangan. Sejauh mana ikhlas kita terhadap pasangan. Apakah ujian yang mendatang semakin mengeratkan kasih sayang dan mengukuhkan cinta, atau sebaliknya..

Ada ketikanya, pahit getir yang dilalui dan pertelingkahan antara pasangan menghadirkan rasa cinta dan kasih yang tidak disangka. Cinta yang hadir dalam diam, mengubah geram dan marah kepada cinta yang meresap di lubuk hati. Pernahkah anda merasainya???

Hakikatnya kita menikahi seorang insan yang pastinya tidak sempurna. Bersama kelebihan, tetap ada kekurangan. Ikhlaskan hati menerima pasangan seadanya dia. Berusaha menjauhi pertelingkahan. Berusaha meredakan suasana tegang di dalam rumahtangga. Belajar untuk terus menerima dan mencintai pasangan. 

Insya Allah... Kerana perkahwinan bukan untuk sehari dua. Kita mahukan bahagia bersama pasangan hingga ke akhir hayat, malah hingga ke syurga... Insya Allah :')

Wednesday 26 August 2015 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 210815

Diari anak di kampung. 

Pastinya berbeza dengan aktiviti di rumah kami. Di kampung, panjang langkahnya, lebih bebas dan punya ramai teman.

Hari ini memulakan hari di awal pagi. Mandi dan makan, seterusnya bermain. Hari ni juga rumah mak agak meriah kerana ada sedikit jamuan dan makan makan malam ni. Anak menantu dan cucu mak juga ramai yang balik walaupun tak semua.

Bermakna Anas dan Mussaab punya ramai kawan hari ni. Asyik bermain dengan sepupu, umar, Uwais, kak zawiah dan Eiman. Berlari, berkejar, bermain pasir dan segala aktiviti bersama. Riang gembira semestinya. Sesekali dengar juga suara menjerit dan menangis. Itu perkara biasa. Nama pun budak kecil :)

Bila ramai kawan, Anas leka bermain. Jarang mendekati ummi kecuali jika mahukan sesuatu. Sesekali ummi perlu menjenguk Anas melihat apa yang sedang dilakukan. Tak harap juga dibiarkan saja tanpa pantauan. Dan bimbang juga andai bergaduh dan bertumbuk. Alhamdulillah segalanya baik. 

Namun ada ketikanya Anas mencari masa untuk bersendiri. Hanya mahukan ummi dan adik. Lupakan sebentar kawan kawan di luar. Tapi sekejap sajalah. Lepas tu entah ke mana :)

Mussaab juga happy dengan sepupu yang ramai. Ikut saja apa yang abang abang main. Ummi pun tak dipedulikan sangat. Ummi pula yang kena kidnap Mussaab perlahan lahan dan bawa lari dari keriuhan itu. Yelah, Mussaab perlu susu, perlu makan, perlu tidur dan tukar pampers. Jadi, tak boleh dibiarkan terlalu asyik dan terlalu lama bermain.

Sudah masuk hari kedua suami di Labuan. Tinggal kami 3 beranak di kampung. Tarikh mak untuk menunaikan haji juga semakin dekat. Harapnya suamiku sempat pulang dan hantar mak di airport. Dan kami anak serta isterinya seperti biasa sangat merinduinya

Semoga suamiku baik baik saja di sana. Semoga dalam jagaan Allah sentiasa. Semoga anak anakku juga happy di sini, dalam suasana yang jarang jarang dirasai. 

Insya Allah segalanya baik..


happy time with cousins














230815- hari berangkat mak kb-kl
240815- kl-madinah





Thursday 20 August 2015 0 comments By: Naemah

KENAPA MENULIS??

Picture: here

Mengapa aku menulis??

Kerana banyak suara hati yang dapat aku keluarkan melalui tulisan. 

Dan kerana aku mendapat kepuasan melalui penulisan

Sebenarnya ini bukan satu satunya blog yang aku ada. Blog ini adalah yang ke 4 :) 

Blog pertama wujud ketika aku di UIA lagi. Saja suka suka nak menulis di blog. Seronok rasanya bila ada blog sendiri. Namun isi blog tak seberapa. Banyak artikel yang di copy paste dari blog atau website lain, tanpa rasa bersalah (suatu ketika dulu). Blog itu masih wujud, tapi dah terlalu lama bersawang tak diupdate. 

Blog kedua tercipta setelah berumahtangga. Dah bergelar isteri, sudah pastinya blog itu antara luahan hati seorang isteri buat suami. Penuh kata cinta dan rindu, semestinya.yelah, dah punya suami dan kekasih hati kan :D blog itu juga dah hampir setahun tak disentuh. 

Blog ke 3 pula wujud setelah bergelar seorang ibu. Kini blog didedikasikan pula untuk anak anak. Segala luahan rasa seorang ibu kuabadikan di situ. Tak lupa update tentang perkembangan mereka. Namun sayang... Blog itu juga sudah lama tidak diupdate isinya. Hampir setahun juga....

Hingga lahirnya blog ke 4 ini, dedikasi untuk suami, anak anak dan semua yang sudi membaca, dan mengambil ilmu (sekiranya ada) dari penulisanku ini. Segalanya ada di sini. Untuk suami, untuk anak anak, dan untuk semua... Semoga seluruh isi penulisan ini bermanfaat dan memberi kebaikan, insyaAllah.

Menulis memang hobiku. Seingatku dari zaman sekolah rendah lagi, pasti ada catatan yang terilham dari hati. Sehingga sekolah menengah dan sehingga bergelar mahasiswi. Ada saja tulisan yang aku hasilkan. Ada yang tertulis di kertas, ada yang tersimpan di dalam komputer/laptop. Sehingga pandai membuat blog dan sehingga terhasilnya blog yang ke 4 ini (2015)

Namun aku akui aku bukan penulis yang hebat. Ayat yang digunakan pun biasa biasa saja. Adakala pening nak menyusun ayat biar jelas dan sedap dibaca. Tidaklah diri ini setaraf Fatimah Syarha, atau Hilal Asyraf, atau Ummi Hani dan semua penulis hebat dan terkenal itu :) tulisan yang biasa biasa saja. Kalau ikutkan malu juga memikirkan tulisan tak seberapa ini. Namun biarkan saja... Akan terus menulis sekadar yang ku mampu. Moga ada perkongsian yang baik buat sesiapa yang sudi singgah di blog ini. Insya Allah

Apapun.. Semoga bermanfaat :):):)

ZINA HATI: USAH PANDANG REMEH

Nukilanku suatu ketika dulu
(JULY 2010)

Semoga bermanfaat
-------------------------------------------------------------------------------------------------


Peringatan buat teman2, adik2, anak2 dn diri sendiri semestinya...


Sabda Rasulullah yg bermaksud: 
"mata boleh berzina dgn melihat, lidah boleh berzina dengan bercakap, tangan boleh berzina dengan berpegangan. Kaki boleh berzina dengan berjalan ke arah tempat maksiat. Hati pula boleh berzina dgn merindui, mengingati dan membayangi si dia" HR Bukhari dan Muslim

Saudara2 ku… jika dengan hati juga kita boleh berzina… tidak mustahil jika setiap seorang dari kita ini pernah melakukannya… iye kan? Namun sesungguhnya pintu taubat itu sentiasa terbuka luas buat hamba2Nya yang ingin kembali dan menyucikan hati….


Picture: here

Buatmu yang masih sendirian, sedang dilamun cinta, sudah bertunang, yang sedang ber’couple’, hatta yang anti couple sekalipun… berhati2lah dengan zina hati yang kadang2 kita x sedar.. hanya dengan keimanan yang mantap saja dapat kita menghindari dan membawa diri keluar dari daerah maksiat ini.. tidak gerunkah kita pada firman Allah:


وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلاً  
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)” (17:32)



Zina hati itu satu permulaan… jika hati sudah teringat2..terbayang2…terindu2 pd yg bukan mahram… maka beristighfarlah… zina hati boleh membawa kepada zina2 anggota yang lain… mata merenung, tangan menyentuh, lidah melafazkan ungkapan2 manis… dan seterusnya.. Na’uzubillah…  


Yang sedang bercinta, sudah masanya untuk menukar arah.. kepada hubungan yang lebih berkat dan selamat iaitu sebuah perkahwinan.. yang sedang bertunang, jagalah keberkatan pertunanganmu demi sebuah kemanisan selepas pernikahanmu… dan yang masih sendirian, jagai hatimu dan dirimu kerana yang bakal hadir kepadamu juga seorang yang terjaga iman dan kehormatannya…InsyaAllah….


Di sini dikongsikan tips untuk mengatasi zina hati. 



• Ikhlas kepada Allah. Ikhlas adalah ubat penyakit rindu. Ikhlas kepada Allah bermakna selalu berusaha berada di pintu ibadah dan memohon kesembuhan daripada Allah. Jika kita ikhlas kepada Allah, Allah akan menolong kita daripada penyakit kerinduan melalui cara tidak pernah terdetik di hati. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan: “Sungguh jika hati telah berasakan manisnya ibadah kepada Allah dan ikhlas kepada-Nya, nescaya ia tidak akan menjumpai hal lain yang lebih manis, indah, nikmat dan baik daripada Allah. Manusia tidak akan meninggalkan sesuatu dicintainya, melainkan selepas memperoleh kekasih lain yang lebih dicintainya.  


• Doa mengundang sikap, rasa fakir dan rendah diri di hadapan Allah. Oleh itu doa adalah salah satu bentuk ibadah yang agung. Ketika kita berada dalam kesempitan, kita bersungguh-sungguh dalam berdoa, berasakan Allah amat dekat mendengarkan rayuan.  


• Mengurus mata dan pandangan. Pandangan yang berulang-ulang adalah suis penting menyalakan api rindu. Orang yang memandang dengan sepintas lalu jarang berasakan hati terusik dan jatuh. Ibnul Qayyim menyatakan: “Orang berakal tidak mudah tergelincir jatuh hati dan rindu, dia tidak tertimpa pelbagai kerosakan. Barang siapa yang terjun ke dalamnya maka ia termasuk orang yang menzalimi diri sendiri, tertipu dan akhirnya binasa. Jika dia tidak melakukan pandangan berkali-kali terhadap orang yang dikagumi dan usahanya itu meragut benang asmara, pastilah asmara tidak akan kukuh mencengkam jiwanya.” 


• Bernikah dan membina rumah tangga adalah langkah paling baik. Inilah ubat rindu paling baik. Tidak semestinya bernikah dengan orang yang kita kagumi. Meskipun pernikahan itu dilangsungkan tidak dengan orang dicintai dan diidamkan. 


Bersama2 kita renungkan dan amalkan… sesungguhnya keimanan itu perlu hadir bersama hati, lisan dan tindakan… jangan sekadar tahu ye… itu bermakna kita memandang remeh pada dosa…


MEMILIKI RUMAH KEDIAMAN

Source: Here

Antara keputusan paling besar dan penting dalam hidup ini ialah keputusan untuk membeli 'rumah kediaman'.

Untuk memiliki rumah pada hari ini bukanlah perkara mudah. Harganya semakin meningkat tahun ke tahun, sukar nak cari rumah mampu milik. Kebanyakannya hanya mampu tengok saja :)

Pada bulan Ramadhan yang lalu, suami mengambil keputusan untuk membeli sebuah rumah setelah hampir 4 tahun menyewa. Keputusan yang kami harapkan betul, setelah sekian lama berbincang, berfikir, dan beristikharah juga, insya Allah.

Nak buat keputusan ini bukan juga senang. Malah hati tak terlepas dari debaran. Dah lama berbincang pasal ni. Nak beli sekarang atau tunggu dulu. Nak pilih lokasi bersesuaian, harga yang di dalam kemampuan, jenis rumah dan sebagainya.

Kalau ikutkan hati, dah tentu mahukan rumah banglo dan mempunyai tanah  yang luas. Tapi lihatlah di lokasi mana kita memilihnya. Di KL dan kawasan membangun, harganya sudah tentu sangat tinggi. Makan berjuta ringgit. 

Akhirnya suami memilih rumah teres 2 tingkat bertempat di Semenyih Selangor. Alhamdulillah rezeki dapat corner lot, ada  jugalah tanah untuk anak bebas berlari nanti :) Tapi rumah tu belum dibina, dijangka siap pada 2017. Insya Allah

Suami uruskan segala urusan awal hingga akhir. Aku sekadar diberitahu perkembangannya. Loan sudah lulus, tandatangan semua sudah, tinggal perintah bank untuk memulakan bayaran bulanan dan tunggu sehingga rumah siap. Insya Allah. Semoga Allah permudahkan. 

Pasti setiap insan punya impian untuk memiliki rumah sendiri, terbayang di fikiran rumah yang bagaimana menjadi idaman. Namun melihatkan realiti hari ini, kita seolah hanya mampu bermimpi. Harga rumah melambung tinggi hingga tak masuk akal. Di luar kemampuan manusia yang hanya bekerja makan gaji. 

Dalam ramai yang tak mampu, semakin banyak pula rumah dibina di sana sini. Entah siapa yang kaya sangat tu... Harga berjuta pun tetap laku (barangkali)

Apapun sebenarnya keselesaan dan kebahagiaan itu bukan bergantung pada besar atau kecilnya rumah. Cukup syukur dan redha menjadikan kehidupan seseorang itu diberkati. Keberkatan membuahkan kecukupan dan kebahagiaan. Rumah yang mewah dan besar belum tentu isi rumahnya gembira dan bahagia. Rumah yang kita sangka kecil dan sempit, boleh jadi isi rumahnya tenang dan bahagia hidup di dalamnya.

Ya, rezeki Allah datang dalam berbagai bentuk, dan setiap kita diberi rezeki yang berbeza. Banyak atau sikit bukan jaminan bahagia. Yang penting adalah rezeki yang berkat. 

Merujuk kepada rumah kediaman, kita bukan melihat pada besar atau kecilnya rumah itu. Meskipun kita mahukan yang besar dan selesa, apa yang sepatutnya kita pentingkan adalah keberkatan daripada Allah. Biar rumah tidak besar, syukurlah dan redha itu kurniaan Tuhan. Apatah lagi jika mampu memiliki rumah yang besar, bersyukurlah hanya pada Dia yang memberi.

Semoga diriku juga termasuk di kalangan Hamba yang bersyukur. Semoga impian untuk memiliki rumah sendiri bersama keluarga tercinta menjadi kenyataan. Semoga dapat terus hidup bersama dalam kebahagiaan dan berkasih sayang. Insya Allah :)


Wednesday 19 August 2015 0 comments By: Naemah

PANGGILAN HAJI TIBA LAGI

Musim haji tiba lagi. Tahun ini giliran ibu mertuaku pula untuk menunaikan fardhu haji di Mekah. Alhamdulillah :)

Kami sekeluarga pulang ke kampung untuk jumpa mak yang bakal berangkat ke KL pada 23/08 dan ke Madinah pada 24/08. 

Anak anakku seperti biasa, seronok pulang ke kampung. Ada kawan, dan bebas berlari ke sana sini. Berbeza bila berada di rumah sewa kami di kajang. Rumah yang sempit (apartment pula) tidak memberi ruang kebebasan yang cukup pada anak. Malah adalakanya berhari hari kaki tak menjejak tanah. Apapun tetap bersyukur, kerana punya tempat tinggal dan berteduh :)

Odw balik kampung. Singgah sebentar di TTDI untuk sempurnakan urusan penting




Suami bakal ke Labuan untuk tugasan seterusnya. Kami tiga beranak ditinggalkan sementara di kampung. Insya Allah bakal bersua kembali dan sempat hantar mak ke airport nanti.

Suami bakal bercuti lama, insya Allah. Dah ada plan percutian juga :) percutian untuk menghiburkan anak anak yang dah lama tak makan angin, dan hadiah untuk Anas kerana hafazan al qurannya yang sangat baik dan masih diteruskan. 

Aku mendoakan kesihatan mak baik sepanjang tempoh di tanah suci dan dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna dan diterima Allah. Bimbang juga, ingatkan mak yang tidak sihat dan baru keluar dari wad minggu lepas. Yang penting, segala keperluan mak di sana nanti cukup. Ubat ubatan semua perlu pastikan dibawa bersama. Lebih sebulan mak di sana. Semoga Allah melindungi dan menjaga mak.

Sudah lama tak menghantar ahli keluarga menunaikan haji. Kali terakhir menghantar abang sulungku, rasanya dah hampir 10 tahun yang lepas. Ibuku juga, kali terakhir menunaikan haji ketika aku darjah 6 (3x menunaikan haji). Kakakku juga menunaikan haji bersama ibuku. Adik beradik dan ahli keluarga yang lain (termasuk aku dan suami) menanti giliran kami seterusnya. 

Teringin rasanya menjadi tetamu Allah. Indahnya berada di tanah suci. Pernah menunaikan umrah pada tahun 2007 yang lalu. Sudah lama, dan rindu rasanya nak berkunjung ke sana lagi.

Impianku untuk ke tanah suci bersama suami dan anak anak. Ingin bersama mereka yang tersayang, menjadi tetamu istimewa Allah. Layakkah kami ya Allah... Semoga Engkau permudahkan buat kami ya Allah.