Setiap kali hantar Anas dan Mussaab ke sekolah sejak tahun lepas lagi, sesekali bertembung dengan ibu pelajar yang lain. Kadang-kadang menyapa, kadang-kadang sekadar melempar senyuman. Ada di antara mereka yang tidak bekerja sepertiku, dan kebanyakan mereka adalah yang berkerjaya.
Antara yang berkerjaya dan tidak, mungkin dapat dibezakan melalui penampilan :) yang berkerjaya, meskipun bukan jenis yang bergaya, tetap tampil lebih kemas dan cantik berbanding yang tidak sepertiku. Aku tak kisah sangat pun sebenarnya dengan penampilan diri. Aku jenis yang ‘asal menutup aurat sudahlah’. Untuk dilihat cantik di mata orang, bukan akulah orangnya.
Tambahan pula bila sibuk seharian dengan urusan di rumah, memang tak ada masa nak berhias, nak menukar pakaian, menata wajah. Selesai memasak, dengan bau masakan semua melekat di baju, terus keluar ambil anak di sekolah. Tak kisah pun sebenarnya, sebab sekejap je tempoh masanya di sekolah. Just nak pick up mereka balik, bukan nak berurusan dengan sesiapa. Apa nak dikisah sangat dengan penampilan diri?
Namun terkadang dijentik persoalan; apa perasaan anak aku bila tengok ibu orang lain kemas dan cantik, ibu dia selekeh saja :/
Entahlah, patut ke perasaan itu hadir? Adakah mungkin anak-anak akan mempersoalkan hal itu?
Betapa selama ini aku tidak memikirkan tentang penampilan diri. Malahan di waktu belajar dulu lagi, aku memang yang akan tampil simple dan sederhana saja. Bila ke kuliah, pakaian aku hanya baju kurung atau jubah. Melihat rakan sekelas menggayakan pelbagai fesyen, ia langsung tak menarik hatiku untuk mencuba. Rupa pun biasa-biasa saja. Orang nak pandang? Memang taklah! :D
Selepas bernikah, aku masih seorang yang simple (atau selekeh?) suami pun ok saja, tak ada pula nak suruh aku tukar penampilan. Kadang-kadang rasa malu juga nak berdepan dengan kenalan dia, maklumlah tak cantik, tak vogue. Tapi tak apalah.. syukur dia terima aku seadanya.
Berbalik pada hal anak-anak tadi, aku juga mengharapkan anak-anak aku akan OK dengan penampilan ibunya ini. Tak membandingkan aku dengan ibu-ibu yang lain, yang lebih cantik, dan yang pandai bergaya. Ummi awak ni tak pandai semua tu. Ummi suka jadi yang biasa-biasa macam ni je.
Sebagaimana satu ungkapan, ibu adalah yang paling cantik dan istimewa di mata anak-anaknya, ummi harap anak-anak ummi juga dapat merasakan hal yang sama, meskipun ummi sedar ummi tak layak.
Biar bagaimana ummi, ketahuilah betapa ummi sayang anak-anak ummi. Semoga kalian tidak kisah, bagaimana ‘selekeh’ pun ummi di pandangan mata orang lain.
0 comments:
Post a Comment