Ada hari-hari, di mana mata ini terbuka bukan kerana cukup tidur, tapi kerana tanggungjawab yang menunggu. Bermula dengan langkah kecil ke dapur, dan berakhir dengan langkah panjang ke kamar anak yang masih belum lena.
Aku ibu.Sendirian di rumah bila suami jauh di laut, berjuang untuk rezeki kami, dan itu juga satu bentuk cinta.
Dan di sini, aku berdiri, menjadi ibu dan ayah, menjadi pelindung, pengurus, pendidik, penghibur. Setiap satu kerja aku selitkan kasih sayang, walau kadang penat memadamkan sabar di dada.
Ada ketika suara ini meninggi, bukan kerana benci, tapi kerana terlalu lama memendam. Ada air mata di sejadah malam, bukan kerana aku lemah, tapi kerana aku rindu jadi kuat.
Namun bila aku duduk diam sejenak, memandang wajah anak-anak yang lena di pangkuan doaku, aku tahu penat ini bukan sia-sia. Lelah ini bukan beban, tapi tanda bahawa aku masih mampu memberi.
Bila hati mulai merungut, aku ingatkan diriku; Aku tidak perlu risau tentang rezeki kerana Allah telah mengurniakan seorang suami yang setia berkorban jauh dari mata.
Aku tidak perlu keluar berpanas dan bermandi peluh mencari sesuap nasi.
Aku masih punya rumah yang menjadi tempat kasih berteduh.
Dan aku masih mampu memeluk anak-anak dengan tangan yang kuat, walau kadang menggigil dalam diam.
Ya Allah, bila aku lelah, ingatkan aku tentang nikmat yang aku ada. Bila aku mengeluh, bisikkan ke hatiku tentang betapa beruntungnya aku.
Kerana di balik riuh rumah ini, ada syurga yang sedang aku bina. Sedikit demi sedikit. Hari demi hari. Dengan kasih, dengan sabar, dengan sujud yang penuh harap.
0 comments:
Post a Comment