30 Ramadhan 1437H
Sudah di hari terakhir Ramadhan. Begitu cepat masa berlalu. Esok umat Islam akan menyambut Syawal pula. Insya Allah, hari kemenangan seluruh umat Islam.
Aku masih menanti kepulangan suami tercinta yang sudah di dalam perjalanan pulangnya. Namun tak pasti jam berapa akan sampai. Tak tahu sekarang dah sampai mana, jalan raya jem atau tidak.. tak mahu ganggu dia yang tengah memandu dengan pertanyaan demi pertanyaan. Cuma berdoa dan berharap, suamiku akan selamat sampai ke rumah. insya Allah.
Kalau ikutkan, tahun ni turn kami beraya di rumah ibu mertuaku di Kota Bharu. Kalau suamiku cepat sampai, insya Allah kami sekeluarga akan balik ke rumah mak. Lagipun tahun ni tak ramai anak mak yang balik beraya bersama, kerana beraya di rumah mertua masing masing. Tinggal anak perempuan mak 3 orang, dan insya Allah suamiku seorang lagi sebagai wakil anak lelaki mak :)
Walaupun anak mak 10, belum pernah sekalipun aku dapat menikmati hari raya dengan kesemua mereka. Yalah, 8 orang sudah berkahwin, giliran beraya juga tak sama. Kalau tahun ni semua dapat berkumpul di hari raya, tahun depan mungkin sunyi pula rumah mak bila giliran anak anak beraya di rumah mertua masing masing pula. So, tak mengapalah... asalkan setiap kali raya anak anak mak ada bersama walaupun tak semua.
Cuba menyelami hati seorang ibu.. sudah pasti mengharapkan anak anak pulang beraya bersama. Kalau boleh, nak semua ada sebab hati ibu pastinya sangat rindu pada anak anak. Tak kira anak sikit, anak ramai, kalau boleh nak tengok semua ada depan mata. Aku pun suatu hari akan rasa macam tu juga. Hmm.. hari ni pun dah mula fikir. Sedihnya bila anak anak dah jauh, dah berumahtangga, dah ada kehidupan sendiri... tapi begitulah lumrahnya hidup ini kan???
Namun sebagai anak/menantu, kita cubalah sedaya upaya untuk tidak membuatkan hati ibu terasa jauh dari kita. Jangan pula sampai buat ibu kecil hati dengan kita. Sering sering pulang menjenguk mereka, meski bukan di hari raya. Jadi, kalau di hari raya kita tak dapat bersama, tidaklah ibu terasa sangat.
Ibu, memang setiap masa rindukan anak anak. Cuma nak luahkan tu mungkin tidak. Hanya pendam di hati. Ibu faham anak anak ada kehidupan sendiri. Setiap hari doa ibu mengalir dalam kehidupan kita, meski kita tak pernah sedar. Percayalah, kesenangan, kebahagiaan, dan apa saja kebaikan yang kita dapat dalam hidup kita hari ini adalah berkat doa dan restu ibu yang tak pernah putus. Itu adalah rahsia yang tak pernah kita ambil tahu. Ya, selagi ibu ada, keberkatan itu sentiasa ada. Asal ibu tak terkecil hati dengan kita.
Apalagi sebagai anak lelaki, ibu adalah yang sepatutnya menjadi kepentingan utama dalam hidupnya. Aku adakala risau, kalau ada mak terasa hati dengan suamiku ini tanpa kami sedar. Aku tahu, aku bukan menantu yang baik sangat. Takut dalam tak sedar, aku yang menjadi punca mak kecil hati dengan suamiku. Na'uzubillah.
Raya ni, aku harap dapat raikan mak di sana. Aku harap suamiku akan cepat sampai. Aku tahu mak masih menanti kalau ada anaknya yang akan pulang beraya bersama, meski pun mak tak tanya. Bukan mak tak ambil peduli, mak cuma tak nak berharap.
Tidak hanya memikirkan tentang ibu mertuaku, ibuku di sini juga pasti harapkan yang sama. Tapi setiap tahun tiada beza sangat di rumah ibuku ini. 2 abangku ada keluarga besar mereka sendiri, rumah juga dekat. Beraya di rumah masing masing, dan setiap tahun mereka ada di sini. Kakakku juga sama. Setiap tahun beraya di sini juga, walaupun rumah sendiri. Abangku yang seorang lagi sudah banyak tahun tak balik beraya kerana berada di Sabah. Dari bujang sampai anak sudah 5, di sanalah tempat mereka. Hanya balik pada cuti panjang setiap hujung tahun.
Yang sedikit membezakan raya ibuku setiap tahun ialah antara aku ada dan tiada. Kerana setiap tahun aku bergilir raya antara rumah ibuku dan ibu mertuaku. Itu saja bezanya. Yalah, aku hanya ada 5 beradik, suamiku pula 10, pasti berbeza situasi di sini dan di sana.
Namun cuba menyelami hati ibu yang semakin tua. Keduanya menyimpan rasa rindu pada anak anak, dan setiap masa menanti kepulangan anak anak, meski bukan di hari raya. Cuma, kalau hari raya feel dia lainlah sikit kan :)
Aku juga semakin hari semakin tua, anak anak semakin besar dan dewasa, suatu hari akan berada di tempat ibu seperti ibu dan ibu mertuaku. Aku tak mahu membuat mereka kecil hati, sebagaimana aku juga tak mahu diperlakukan yang serupa. Aku sayang ibuku, juga sayang ibu mertuaku. Apa yang lebih aku harapkan, jangan sampai ada tindakan dan perlakuan suamiku yang mengguris hati ibu mertuaku. Kerana suamiku anak lelakinya. Di mana lagi keberkatan hidup ini ingin dicari selain dari redha ibunya sendiri. Sungguh, redha itu sangat mahal untuk kami menjalani kehidupan berkeluarga ini. Betapa redha dan restu ibu itu sangat kami damba, demi sebuah keberkatan dalam rumahtangga kami.
Pesananku, jagalah hati ibu, jangan pernah buat dia terguris dan menangis kerana perbuatan kita :'(
Selamat menyambut Syawal yang bakal tiba :)
0 comments:
Post a Comment