Sambungan catatan kehamilan: Trimester Pertama
Alhamdulillah melepasi fasa seterusnya. Berakhir sudah trimester kedua kehamilan ku (minggu 13-minggu 28).
Sedikit catatan pengalaman sepanjang menempuh trimester kedua, bermula April sehingga Julai 2016.
Masuk minggu ke 13, simpton morning sickness perlahan beransur pergi. Tidak seteruk minggu minggu sebelumnya. Namun masih ada juga rasa mual dan muntah sesekali. Selera makan sudah kembali, dan sudah boleh memasak.
Kebetulan juga suamiku yang sebelum ini agak lama bercuti, kini kembali ke tempat kerjanya. Bermusafir jauh mencari rezeki, meninggalkanku dan anak anak di rumah. Perginya sehingga 3-7 hari. Namun kali ini aku sudah kembali bertenaga, dan ketiadaannya tidak begitu merisaukan. Aku sudah mampu menguruskan anak anak sendiri tanpanya walau masih tidak begitu kuat. Buat kerja sekadar kemampuan saja.
Minggu minggu seterusnya badan lebih bertenaga. Morning sickness hampir tiada. Namun aku masih tidak boleh menerima vitamin (zincofer) yang diambil dari klinik kerana ia menyebabkan loya dan muntah. Sering aku skip makan vitamin kerana tak sanggup nak menahan loya dan sering termuntah selepas menelannya. Akhirnya aku membeli sendiri vitamin (iberet) di farmasi untuk menggantikan vitamin yang dibekalkan oleh klinik.
Di trimester kedua ini, meskipun morning sickness sudah tiada, aku kerap pula diserang sakit kepala dan sakit pinggang. Seminggu sekali atau dua kali, pasti akan diserang sakit kepala. Terutamanya bila berjalan jauh atau kurang minum air. Panadol dan minyak angin wajib ada bersama untuk melegakan sakit kepala. Sakit pinggang/belakang pula sudah menjadi perkara biasa sejak mengandung anak pertama dan kedua lagi. Sakit, terutamanya ketika bangun dari tidur dan duduk yang lama. Namun setakat ini masih boleh bertahan.
Satu lagi masalah ialah keputihan yang agak mengganggu. Sangat tidak selesa, dan kadangkala menyebabkan kegatalan. Keputihan memerlukan aku memakai pantiliner hampir setiap masa. Hadir juga kegusaran memikirkan kemungkinan berlaku leaking/atau ketuban bocor. Aku mengadukan masalah ini kepada doktor, dan ubat (insert) diberikan untuk rawatan keputihan. Namun masalah keputihan masih mengganggu juga.
Minggu ke 15, ke klinik asyifa untuk scan buat kali ketiga. Sekadar untuk memastikan anakku membesar dengan baik, dan untuk melihat degupan jantungnya. Kerana kegusaran masih ada, meski sudah melepasi trimester pertama. Alhamdulillah jelas dan bahagia melihat anakku membesar sihat di skrin. Suamiku dan anak anak turut serta melihat ahli baru dalam keluarga kami. Jantina...masih belum pasti. Girl mungkin??
Pada minggu ke 17 membuat ujian MOGTT yang sememangnya wajib ke atas setiap ibu mengandung. Minggu ke 19 mendapat keputusannya. Sangat kecewa, kerana di trimester kedua ini aku sudah berhadapan dengan masalah kencing manis ketika mengandung. Perlu buat bsp, perlu sering berjumpa doktor dan memantau keadaan diri dan kandungan.
Di trimester kedua ini juga temujanji klinik menjadi lebih kerap. 2 minggu sekali perlu ke klinik untuk check up. Setakat ini segalanya ok dan baik. Cuma hb agak rendah, sama seperti pengalaman mengandung yang lepas.
Mula merasakan gerakan lembut anakku ketika usia kandunganku 17 minggu. Pada mulanya tidak pasti apakah itu gerakan si kecil atau sekadar angin di perut. Bila saban hari merasainya, aku pasti ia adalah gerakan anakku. Perasaanku gembira dan bahagia. Akhirnya menikmati detik manis ini sekali lagi. Gerakan semakin kuat pada minggu minggu seterusnya. Malah menjadi risau jika lama tak menikmati rasa gerakan di dalam perutku.
Sesekali datang rasa nyeri/cramp di rahim dan peha. Cramp kaki juga dah mula menyerang. Namun setakat ini segalanya dapat diharungi dengan baik.
Minggu ke-23, scan sekali lagi di KK Beranang. Anakku membesar dengan baik, tapi kedudukan uri masih di bawah. Kata doktor, anakku kemungkinan boy :) entah, aku sendiri tak melihat imej scan di skrin. Alhamdulillah, boy atau girl tetap ummi menanti dengan penuh harapan. Minggu ni juga perlu jumpa dietitian untuk nasihat pemakanan ibu gdm sepertiku.
Pada trimester ini juga aku menyambut Ramadhan ketika usia kandunganku 22 minggu. Alhamdulillah dapat menyempurnakan puasa 30 hari tanpa sebarang masalah. Ada juga diuji dengan sakit kepala dan kepenatan pada hari pertama puasa dan juga hari terakhir. Alhamdulillah puasa dapat diteruskan.
Menyambut hari raya pada minggu ke-26 kehamilanku. Hari raya pertama, masih sakit sakit kepala, telan sehingga 3 biji panadol, tapi dapat berhari raya macam orang lain juga, ziarah sanak saudara. Makan pun berselera :) raya pada hari seterusnya dah ok, sihat dan tak ada masalah sangat.
Kalau nak dikirakan, pada trimester kedua ini aku sering berjalan jauh, entah dah berapa kali balik kampung. Perjalanan memakan masa 7-8 jam, memang kerap dan tak terkira sudah berapa kali berulang alik. Namun syukur, tidak menghadapi masalah, cuma sesekali diserang sakit kepala bila berjalan jauh.
Sehingga minggu ke-28, sudah buat 4x bsp (gdm kan). Yang kali ketiga tu agak tinggi bacaan gula (5.5/8.2/5.1/8.7), mungkin kerana raya, makan macam macam dan tak ikut masa. Hingga doktor minta buat bsp yang ke-4, seminggu kemudian. Risau jugak, tak pasal pasal kena insulin pula. Due bersalin masih lambat lagi ':)
Bacaan bsp yang ke-4 lebih baik (4.4/6.1/5.1/6.6). Oleh kerana berada di kampung ketika ini, perlu refer bsp dengan doktor di sini. Aku membuat temujanji dengan birasku Dr Nasibah untuk review bsp. Alhamdulillah selesai sudah, dan perlu repeat bsp lagi selepas 2 minggu. Semoga dipermudahkan.
Berakhir sudah trimester kedua. Satu perkara yang aku rasa sedikit berbeza kali ini ialah, aku tidak menghadapi masalah sembelit sebagaimana mengandungkan Anas dan Mussaab dulu. Alhamdulillah, kerana pengalaman sembelit memang sangat memeritkan.
Kini bersedia untuk ke trimester ketiga/terakhir. Malah tidak sabar, menanti saat kelahiran anakku ini. Dalam debaran, tetap tersimpan harapan, semoga Allah permudahkan kelahiran anak ketigaku ini. Aku bersedia untuk menghadapi saat yang mendebarkan itu.
Pengalaman lepas, meski takut untuk dikenang, tetap menjadi kenangan manis untuk diulangi.
Semoga Allah permudahkan...
Aameen
0 comments:
Post a Comment