Pengajaran dan pembelajaran di rumah (pdpr) Mussaab: 20/1/2021-26/2/2021
Sekolah mula dibuka pada 1/3/2021
Seminggu pertama sessi persekolahan Mussaab (tahun 1) sudah pun berakhir. Alhamdulillah kehadiran Mussaab penuh, tak ada sebarang masalah dan keuzuran sepanjang seminggu bersekolah.
Mussaab bersekolah 2 sessi, paginya di SRI Permata Nusaybah (8 pagi-11 pagi), dan petangnya di SK Kampung Rinching (1 petang-6 petang). Di SRIPN untuk kelas KAFA dan SKKR untuk sekolah harian biasa. Berbeza dengan Anas (SRAI Pekan Beranang) yang perlu menghadiri satu sessi sahaja.
Untuk minggu pertama ini, Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Mussaab memang tak ada masalah untuk ke sekolah. Cuma bab nak bersiap, kalau tak disuruh dan diperhatikan, memang lambatlah jawabnya nak masuk sekolah.
Selama seminggu ini, Mussaab dah mula belajar di sekolah. Di SKKR masih berada di dalam minggu transisi dan belajar menggunakan buku transisi yang digunakan selama tempoh sebulan pdpr. Maknanya tak perlu bawa buku teks ke sekolah, hanya buku transisi dan alat tulis yang secukupnya.
Bab makan pula, di SRIPN yurannya dah termasuk makan, manakala di SKKR ibubapa diberi pilihan untuk bawa bekal dari rumah atau menempah makanan dari pihak kantin sekolah. Untuk minggu pertama ini Mussaab makan makanan yang ditempah (bayaran dibuat secara online). Di samping itu bekalkan juga roti dan air kosong sebagai tambahan.
Alhamdulillah tiada masalah untuk minggu pertama ini. Abi ada di rumah, makanya ummi taklah kelam kabut sangat nak uruskan hal sekolah Mussaab (dan Miqdad). Minggu depan Anas pula dah mula bersekolah, mungkin akan jadi lebih mencabar. Semoga Allah permudahkan. Buat masa sekarang abi masih belum dipanggil untuk ke laut, namun ummi tetap perlu bersedia sebab bila-bila masa saja abi akan kembali bekerja.
Begitulah serba ringkas tentang minggu pertama persekolahan Mussaab. Agak penat juga, bersekolah 2 sessi, dari pagi hingga ke petang hari. Namun insya Allah lama-kelamaan Mussaab akan biasa dengan rutin seperti ini. Memang agak berbeza dengan Anas, tapi nak buat macam mana, insya Allah ini yang terbaik untuk Mussaab. Juga menjadi rutin baru untuk ummi dan abi, siapkan anak-anak waktu pagi, hantar dan ambil anak sekolah (banyak trip tahun ni). Tahun ni juga tak ambil van sekolah untuk Anas dan Mussaab sebab risaukan kes covid-19 yang masih tinggi angkanya. Mungkin bila kes dah menurun dan tak merisaukan lagi, akan pertimbangkan untuk Anas dan Mussaab naik van ke sekolah.
Oh ya, Mussaab menjalani ujian penilaian untuk tentukan kedudukan kelas pada 4/3/2021. Tunggulah apa keputusannya. Insya Allah yang terbaik saja untuk Mussaab. Next week pula akan terima suntikan vaksin dan perlu hadir ke KK Semenyih pada waktu yang telah dijadualkan.
Ok sehingga di sini saja catatan minggu pertama Mussaab bersekolah. Next week cabaran baru akan bermula. Anas juga akan masuk sekolah, pagi akan lebih meriah (suara ummi abi yang tak henti ingatkan anak-anak bersiap dan bermacam pesan lagi). Kalau abi pula tak ada, akan lebih mencabar. Namun tetaplah pergantungan kita hanya pada Allah. Biar bagaimana mencabar, insya Allah akan dapat diharungi dengan pertolonganNya.
Semoga minggu depan akan lebih memberikan keseronokan buat Mussaab. Semoga lebih serasi dengan sekolah baru, dapat kawan-kawan baru, dan seronok belajar bersama-sama.
Moga Allah terangi hati Mussaab, dan semoga seronok menuntut ilmu dan menjadi hamba yang mencintai ilmu. Insya Allah.
Selangkah lagi ke hadapan. Semoga akan maju dan berjaya anakku!
Kenangan minggu pertama persekolahan Mussaab;
0 comments:
Post a Comment