Sunday 1 January 2023 By: Naemah

CERITA BALIK KAMPUNG



Imbas kenangan balik kampung pada cuti sekolah yang lepas (11/12-27/12/2022). Balik kampung kali ini, kita dihadiahkan dengan situasi dan suasana yang berbeza. Ia tak seperti yang kita ingin dan yang kita rancang, namun itulah perancangan terbaik dari Allah.


Beberapa hari sebelum cuti sekolah bermula, menerima berita mek jatuh di dapur rumah dan patah tulang peha. Ya Allah, tika itu Allah saja yang tahu betapa merontanya hati nak balik. Tapi tika itu juga, terhalang kerana Mussaab yang sedang menjalani exam pada minggu tersebut, abi pula janji nak tolong hantar pak lang ke airport, dan terikat juga dengan majlis graduasi Miqdad. Jadi, kita balik sebagaimana yang dirancang dengan menaiki keretapi. 


Sebaik tiba di kampung, terus melawat mek di Hospital Tanah Merah, dan hari itu juga ummi terus mengambil giliran menjaga mek di hospital. Alhamdulillah, kerana musim cuti sekolah, adalah anak menantu dan cucu-cucu mek yang boleh ambil giliran menjaga mek selama 2 minggu mek ditahan di wad. Ketika ummi menjaga mek, anak-anak bersama abi di rumah. Alhamdulillah, kebetulan abi juga bercuti panjang.


Sebagaimana mek tak ada di rumah, begitu juga nenek. Malang tak berbau, di kampung menerima berita pak lang yang jatuh sakit di Sarawak. Agak kritikal sakitnya, tak sangka sebab kita baru saja hantar pak lang ke airport hari tu. Nenek segera ambil tiket dan terbang ke Sarawak. Makanya, rumah nenek pun tak ada orang. Kurang seronok bila balik kampung dalam situasi seperti ini. Namun apa daya, inilah takdirNya.


Kebetulan juga musim tengkujuh, Kelantan dilanda banjir besar. Rumah nenek tak terkecuali, cuma tak teruk seperti di tempat lain. Disebabkan banjir juga, kita tak dapat kemana-mana untuk beberapa hari sehingga banjir surut. 


Alhamdulillah lepas 2 minggu mek dibenarkan balik selepas menjalani pembedahan. Nenek juga balik ke rumah bila keadaan pak lang bertambah baik. Di rumah, ummi ambil tanggungjawab menjaga mek hampir 24 jam sebelum tiba masanya untuk kembali ke rumah. Keadaan mek memerlukan penjagaan rapi sebab mek tak dapat dah nak berjalan macam dulu. Hanya mampu baring dan duduk. Ramai orang datang ziarah mek, termasuk nenek.


Cuti Anas, Mussaab dan Miqdad kali ini agak berbeza. Perlu faham keadaan dan situasi sukar ini. Alhamdulillah masih ada sepupu dan anak sepupu untuk berkawan dan bermain. Ada ketikanya, rumah mek jadi sangat meriah bila semua datang. Di siang hari, ikut ayah cik ‘mengembala’ biri-biri yang berpuluh ekor tu. Itupun antara keseronokan juga. Yang tak best, internet kat kampung sangatlah slow. Nak main game, memang tak bolehlah! Whatsapp pun susah nak lepas. Sabar jelah.


Selepas 3 malam ummi jaga mek di hospital, dan 6 malam di rumah, tiba masanya untuk kita pulang ke rumah. Berat hati nak tinggalkan mek, tapi ada tanggungjawab lain yang perlu dilunaskan di sini. Ummi serahkan penjagaan mek pada adik beradik yang lain, dan pada Allah seluruhnya. Mengharapkan keadaan mek akan bertambah baik, mek dijaga dengan sebaiknya. Dengan nenek pun hanya dapat jumpa sekejap saja.


Balik ke rumah, hampir masanya untuk Anas dan Mussaab kembali ke sekolah. Abi juga perlu bersedia untuk dipanggil bekerja. Semoga Allah permudahkan urusan mek dan semua ahli keluarga di kampung. Insya Allah kita akan balik lagi, jumpa mek dan nenek. Insya Allah segalanya akan baik-baik saja. Tidak Allah takdirkan semua ini terjadi, melainkan ianya baik buat kita. Ada hikmahnya, insya Allah.



Antara kenangan di kampung; 














0 comments:

Post a Comment