Wednesday 21 October 2015 By: Naemah

OUR BIG FAMILY




Apabila sudah berumahtangga, bermakna kita mempunyai sebuah lagi keluarga yang besar. Sebagaimana sebelum ini kita mempunyai ibu ayah, adik beradik, dan saudara jauh dan dekat, suami juga seperti itu. Maka bilangan ahli keluarga kita makin bertambah ramai. Tak dinafikan...

Boleh jadi kita dari keluarga yang besar, suami pula sebaliknya. Boleh jadi juga kita dari keluarga yang lebih kecil berbanding suami. Atau keduanya sama besar, atau sama kecilnya. Tak kisahlah tu... Yang pastinya, selepas berkahwin kita punya dua keluarga yang pasti ada perbezaan antara keduanya, sikit atau banyak.

Kita tidak sekadar menikahi seorang suami/isteri, tetapi dalam masa yang sama juga kita menambah jumlah ahli keluarga yang sedia ada.

Antara keluarga kita dan keluarga dia, pasti ada bezanya. Cara ibubapa mendidik dan mempamerkan kasih sayang mungkin tak sama, pergaulan sesama adik beradik mungkin juga berbeza, adab dan nilai yang tertanam di dalam diri setiap ahli keluarga malah berbeza juga. Rutin dan kebiasaan setiap dari kita pun mungkin tak sama. Namun.. Di situlah kita perlu mencuba meraikan setiap perbezaan, dan cuba untuk 'masuk' ke dalam kehidupan yang berbeza itu.

Kita mungkin lebih selesa dan happy  bila berada dalam keluarga sendiri. Yelah, itukan keluarga kita. Dari awal kelahiran hingga akhirnya berumahtangga itulah keluarga kita, begitulah kehidupan kita. Dah biasa, dah rasa best sangat dah. 

Tetapi setelah berumahtangga, kita masuk dalam keluarga baru yang rasanya 'asing' sangat dengan kita. Masuk seorang diri, dipimpin suami tercinta, langkah demi langkah hingga akhirnya menjadi biasa. Walaupun biasa, masih ada rasa asingnya, dan menjadi tugas kita sendiri untuk membuang rasa asing dan cuba meletakkan kita sebagai sebahagian dari mereka. 

Dalam keluarga baru ini, kita tidak boleh mengharapkan mereka memahami kita dan mengikut rentak kita. Sebaliknya kita yang perlu biasakan diri mengikut rentak mereka. Pendiam dan malu kita, boleh dianggap sombong dan tak pandai bergaul, walaupun hakikatnya begitulah kita. Ya, agak sukar untuk menjadi orang lain, bila dalam situasi yang lain dari kehidupan kita suatu masa dulu. Dan ya, kita harapkan mereka mengerti kita dan menerima kita seadanya sebagai sebahagian dari mereka, serta menjauhi segala sangkaan. 

Namun kita juga perlu menerima dan menyayangi keluarga baru ini dengan  sepenuh hati. Keluarga suami, hakikatnya keluarga kita juga. Setiap masalah yang timbul dalam keluarga ini hakikatnya menjadi sebahagian dari masalah kita juga. Tidak boleh nak jauhkan diri, dan merasakan diri tak perlu ambil tahu atau masuk campur. Kerana itu juga keluarga kita!

Bukti cinta kita pada suami adalah dengan mencintai keluarganya juga. Kita tahu itulah kehidupan suami sebelum kita hadir. Merekalah yang paling dekat dengan suami, mereka membesar bersama, saling melihat jatuh bangun bersama. Betapa kita akui, bahawa keluarga itu memberi makna kehidupan yang sangat besar dalam diri suami, sebelum hadirnya kita. Ya, seperti kita dan keluarga kita juga :)

Oleh itu, semoga hati kita sentiasa berlapang dada menerima segala perbezaan yang ada antara keluarga kita dan keluarga suami. Kita menyayangi dan menghormati setiap ahli keluarga, dan menerima hakikat antara kita dan mereka mungkin berbeza, tetapi tiada sesiapa yang lebih baik dari sesiapa pun, melainkan keduanya punya kelebihan dan kekurangan tersendiri. 

0 comments:

Post a Comment